ISLAM ADALAH SEBUAH BINAAN, APAKAH BATU BATANYA?
1.Dalam sesi Quranic Circle mingguan kami yang lepas, kami menelaah hadis ketiga daripada hadis 40 yang dihimpun oleh Imam Nawawi.
2.Hadis ini diawali dengan pernyataan بني الإسلام على خمس yang bermaksud telah dibina Islam itu atas lima perkara yakni rukun-rukunnya.
3. Hadis ini memberikan dimensi kefahaman islam yang lebih tepat. Islam bukanlah 5 perkara, tetapi merupakan 1 binaan yang dibina atas 5 perkara. Pendek kata, 5 perkara yang menjadi rukun hanyalah cerucuk atau “piling” bagi binaan islam yang jauh lebih besar.
4. Tetapi ramai muslim menganggap islamnya sempurna setelah ia menanam tiang-tiang ini atau rukun-rukun ini.
5. Mengumpamakan islam sebagai 1 binaan menyebabkan kami bertanya, apakah batu batanya? Tidak syak lagi, itulah peribadi muslim yang ditarbiyah.
6. Itulah proses pembinaan islam generasi awal yang dirintis oleh Baginda Rasulullah saw. Baginda menyemai islam dalam peribadi sahabat sehingga mereka menjadi batu bata yang kokoh untuk binaan islam.
7. Setelah batu bata ini disusun rapi, maka zahirlah agama ini dengan begitu indah sehingga menarik orang ramai untuk berbondong-bondong menyertainya.
8. Namun, batu bata ini tidak selamanya kuat dan kelamaan akan pergi. Kerana itu, usaha memproduksi batu bata baharu bagi menjamin kemegahan bangunan islam perlu diteruskan.
9. Di sinilah peranan tarbiyah yang kami sedang ikuti dan cuba terapkan. Untuk terus membina, membekalkan dan menyusun batu bata ini.
10. Jika bukan dari Rasulullah, diriwayatkan kata-kata ini diungkapkan oleh Umar r.anhu, “أنت على ثُغرة من ثُغر الإسلام فلا يؤتين من قبلكِ” yang membawa maksud “engkau berada di salah satu penjuru daripada penjuru penjuru islam. Jangan islam dicerobohi daripadamu”
11. Ungkapan ini memperkemas lagi kefahaman bahawa setiap muslim bertanggunjawab menjadi batu bata, tentera dan benteng mempertahankan islam. Dan tentunya ia perlu melalui proses persediaan yang mendalam dan rapi agar tidak mudah dicerobohi.
12. Ayuh kita bersama, nenawarkan diri untuk dipersiapkan menjadi batu bata Islam agar bangunan islam terus tersergam indah.