BENDA BAIK APA SALAHNYA

BENDA BAIK APA SALAHNYA

1- Saat ditegur tentang amalan-amalan yang dilihat atau dianggap baik oleh pelakunya, pasti akan dibalas teguran tersebut dengan kenyataan : “benda baik apa salahnya”.

2- Dalam isu ini, suatu persoalan yang perlu kita fikirkan : Ia baik di sisi siapa ? Di sisi syariat atau perasaan kita sahaja yang menganggap ia baik ?

3- Sekiranya ia baik di sisi syariat, sudah tentu Allah SWT akan mensyariatkannya serta mengarahkan para hamba-Nya untuk melakukannya. Demikian, Rasulullah SAW akan turut mengisyaratkan tentangnya.

4- Jika kita meneliti kepada beberapa riwayat, nescaya kita akan dapati bahawa kenyataan “benda baik apa salahnya” bukan satu hujah kukuh untuk melakukan apa sahaja amalan yang zahirnya nampak sebagai benda baik.

5- Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda :

ألَا وإنِّي نُهِيتُ أنْ أقْرَأَ القُرْآنَ رَاكِعًا، أوْ سَاجِدًا

Maksudnya : Ketahuilah bahawa aku ini dilarang dari membaca al-Quran ketika ruku’ serta ketika sujud.

Riwayat Muslim (479).

6- Meskipun perbahasan ulama berlegar sekitar hukum haram atau makruh, namun yang jelas perbuatan baca al-Quran semasa ruku’ dan sujud adalah dilarang. Maknanya, berlaku juga larangan terhadap benda yang dilihat sebagai benda baik. Iaitu baca al-Quran semasa ruku’ dan sujud.

7- Bahkan hujah balas terhadap kenyataan “benda baik apa salahnya” ini juga telah disebut lama dahulu oleh sahabat Nabi SAW iaitu Abdullah bin Mas’ud R.A menerusi katanya :

وكَمْ مِن مُريدٍ للخيرِ لنْ يُصِيبَهُ

Maksudnya : Berapa ramai orang yang mahukan kebaikan namun mereka sama sekali tidak mendapatkannya.

Ya, kenyataan Ibn Mas’ud ini adalah bagi menjawab kenyataan hampir serupa oleh kumpulan yang mengatakan “tidaklah tujuan kami melainkan inginkan kebaikan semata”.

8- Ini kerana, istilah amalan yang baik ini ada neracanya, ada kayu ukurnya, iaitu baik dari pandangan syarak. Sekiranya ia baik di sisi syarak, nescaya ia akan disyariatkan oleh Allah SWT serta disampaikan oleh Rasulullah SAW.

9- Inilah juga pegangan dan pengamalan para ulama. Ketika Imam Ibn al-Jauzi meninggalkan pengamalan zikir selepas solat yang disebutkan dalam sebuah hadis palsu, setelah beliau tahu hadis itu adalah hadis palsu, ada yang bertanya kepada beliau : “Bukankah ia digunakan untuk amalan yang baik ?”.

Maka Ibn al-Jauzi menjawab :

استعمال الخير ينبغي أن يكون مشروعا ، فاذا علمنا أنه كذب خرج عن المشروعية

Maksudnya : Beramal dengan kebaikan ini hendaklah pada perkara yang disyariatkan. Apabila kita telah mengetahui yang ia palsu, maka ia telah terkeluar dari perkara yang disyariatkan.

Rujuk Al Maudū’āt, Ibn al-Jauzi (1/245).

10- Maka teliti sekali lagi dalam setiap pengamalan kita. Ia baik di sisi siapa ? Jika di sisi syarak sudah pasti ia akan disyariatkan dan ada sandarannya. Tidak kemas semata berpada dengan kenyataan “benda baik apa salahnya” sahaja. Wallahul Muwaffiq.

Create your website with WordPress.com
Get started