Kenapa Allah Menguji Kita?

Kenapa Allah Menguji Kita?

“Ustaz, kenapa Allah uji saya macam ni? Apa salah saya?”

Seorang gadis tingkatan 1 menangis di hadapan saya dengan teresak-esak. Malam itu, saya diberikan peluang memberikan perkongsian dalam sebuah sekolah menengah agama di Perak. Usai habis perkongsian, datang beberapa orang pelajar bertanyakan soalan peribadi. Dan akhirnya, sebelum saya balik, ada seorang pelajar tingkatan 1 datang pada saya. Dia datang kepada saya bukan untuk bertanyakan soalan, tetapi lebih kepada meminta kata-kata semangat.

“Ustaz, boleh tak ustaz bagi kata semangat pada saya? Saya sedih dengan keluarga saya. Saya sedih dengan mak ayah saya. Saya sedih dengan adik beradik saya. Ustaz, tolong bagi saya kata-kata semangat supaya saya kuat untuk hadapi ujian keluarga macam ni..”

Bila saya mendengar luahannya, mata saya mula berkaca. Saya faham bahawa beratnya untuk menanggung beban ujian seawal usia sebegitu. Sebab saya juga pernah melalui situasi macam itu. Ujian yang datang secara bersilih ganti. Ada masa, ujian yang Allah berikan itu terasa senang untuk kita hadapi. Tetapi dalam banyak keadaan, ujian yang Allah berikan itu kita rasakan terlalu berat untuk ditanggung hingga akhirnya kita tertekan dengan tekanan yang teramat sangat. Hingga akhirnya, kita pun mengeluh,

            “Kenapa mesti aku yang kena ?!”

Ujian Berbeza.

Setiap daripada kita pasti akan diuji dengan ujian yang berbeza-beza. Apa yang saya hadapi, mungkin kamu tak pernah dan tak akan hadapi. Dan apa yang kamu hadapi, mungkin saya tak pernah dan tak akan hadapi.

            Kenapa pula?

            Sebab Allah dah beritahu bahawa kita semua PASTI akan diuji berdasarkan apa yang kita mampu. Allah dah sebutkan di dalam Al Quran,

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”

(Surah al Baqarah 2:286)

            Allah dah beritahu bahawa kita semua diuji berdasarkan APA yang kita mampu. Ya, dalam hidup ini, Allah akan berikan setiap ujian berdasarkan kapasiti kemampuan kita. Ujian demi ujian yang kita terpaksa lalui, sebenarnya PASTI dan PASTI kita kuat dan mampu sangat untuk hadapi. Percayalah, you never know how strong you are, until being strong is the ONLY choice you have.

            “Tetapi Shuk, aku memang tak mampu. Dan, ada masa aku rasa macam nak bunuh diri. Serius, aku tak mampu..”

            Tarik nafas sedalam yang mungkin. Saya nak beritahu kamu satu rahsia. Nak tahu apa dia? Ketahuilah, apa yang kita fikir, adalah apa yang kita doa kepada Allah. Maknanya, kalau kamu fikir tak mampu, selamanya kamu tak akan mampu dan tak akan boleh hadapi. Tetapi kalau kamu fikir mampu, selamanya kamu akan mampu dan boleh hadapi. Kenapa saya cakap macam ini? Sebab Allah pernah menyebut dalam satu hadis Qudsi,

“Aku adalah apa yang hamba-Ku sangkakan..”

(Muttafaqun ‘alaih)

            Allah adalah seperti apa yang kita sangkakan. Maksudnya, apa yang kita sangkakan itu secara tak langsung akan menjadi DOA kepada Allah. Kalau kita sangka tidak mampu, seolah kita sedang berdoa kepada Allah supaya bagi kita untuk tidak mampu, dan paling kritikal adalah, jika Allah tunaikan ‘permintaan’ kita. Lalu selamanya kita tak akan mampu. Naudzubillah !

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa.”

(Surah Al Hujuraat 49:12).

            Sebab itu, penting untuk kita bersangka baik kepada Allah dan diri sendiri. Kita semua mampu hadapi setiap ujian yang Allah berikan, cuma tinggal lagi pada diri kita untuk uruskan mindset macam mana saja. Betul, memang easier said than done. Cakap memang mudah, nak buatnya susah. Tetapi, apa salahnya kalau kita mencuba bersangka baik pada Allah. Kan?

Kenapa Allah Menguji?

Masa zaman saya belajar di UKM dulu, ada banyak peristiwa yang saya diuji sehingga terduduk dan menangis. Dan saat diuji itu juga, ada masa saya pilih untuk bersendirian. Tetapi syukur saya faham bahawa, bukan semua ujian kita perlu hadapi sendirian. Dalam banyak keadaan, berkongsi cerita berkaitan masalah dan ujian yang kita hadapi kepada sahabat baik sangat penting. Ini pentingnya ada sahabat yang baik. Di UKM dahulu, banyak kali saya bercerita masalah kepada beberapa orang sahabat baik antaranya almarhum Ustaz Abdillah, Ustaz Adnin, dan sebagainya.

Pernah satu ketika, saya menghubungi Ustaz Adnin untuk berbual kosong. Tujuan saya hanyalah untuk meredakan tekanan jiwa. Saya pun berbual dengan dia seketika. Baru saja dia nak tanya tentang masalah saya, saya terus beritahu,

            “Jangan bincang pasal masalah ana. Ana malas nak fikir.”

            Dia okay kan saja. Kemudian saya terus beritahu,

            “Adnin, bagi ana nasihat. Ana perlukan nasihat sekarang ini.”

            Adnin terdiam seketika.

            “Anta nak tahu kenapa Allah bagi anta ujian?” Adnin memulakan nasihat. “Sebab Allah nak suruh anta istighfar banyak-banyak. Istighfar ini memang menyelesaikan banyak masalah. Serius. Anta bayangkan kalau sekarang ini anta takde masalah, mana ada anta terfikir nak istighfar.”

            Saya tersenyum kecil. Betul juga kata dia. Kalau Allah tak berikan ujian seberat ini, belum tentu saya nak istighfar sekarang ini. Sambil dia ulas tentang istighfar, saya pun istighfar sekali secara diam-diam.

            “So Shuk, Allah nak anta istighfar banyak kali. Istighfarlah, insyaAllah akan selesai.”

            Kemudian kami tutup perbualan. Saya setuju dan bermuhasabah dengan apa yang dia sebut.

            Istighfar.

            Bila saya bermuhasabah diri, sehari berapa kali saja saya beristighfar dan meminta ampun kepada Allah? Sedangkan Rasulullah ﷺ sendiri minimum sehari beristighfar 70 kali, ada dalam hadith riwayat lain ada menyebut 100 kali. Rasulullah ﷺ dah la maksum, suci daripada dosa, tetapi masih lagi minta ampun pada Allah.

            Saya ni dahlah bukan malaikat, maksum memang selamanya takkan. Tetapi berlagak sombong bongkak ego dan malas untuk beristighfar pada Allah walaupun hanya 70 kali sehari. Sombong dan berlagak betul kepada Allah. Astarghfirullah. Mungkin ini antara sebab Allah menguji saya pada hari itu, iaitu supaya saya bertaubat dan beristighfar sebanyak-banyaknya pada Dia. Dan kalau kamu nak tahu, Allah menguji bukan sekadar hanya mahukan kita bertaubat, malah Allah dah beritahu dalam Al Quran,

“Adakah manusia menyangka, bahawa mereka akan dibiarkan, dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), Allah mengetahui, siapakah orang-orang yang benar-benar beriman, dan dapat diketahuiNya, tentang siapakah orang-orang yang berdusta.

(Surah Al Ankabut 29:2-3)

            Allah nak melihat (walaupun Allah Maha Mengetahui dan sudah tahu apa akan berlaku) sejauh mana kesungguhan kita untuk taat perintah Allah dan menjauhi larangan Allah! Dan dalam masa yang sama, Allah menguji supaya kita dapat tahan lasak untuk hadapi dan perbaiki kelemahan diri kita.

            Pernah ke kita jumpa jenama kereta yang ada di pasaran, yang tidak diuji terlebih dulu? Macam-macam ujian dilakukan ke atas sebuah kereta sebelum dipasarkan secara global walaupun kereta itu adalah yang paling low cost. Itu baru sebuah kereta, apatah lagi kita sebagai manusia yang Allah telah jadikan sebaik-baik ciptaan. Kan?

Peringkat Ujian

Saya boleh bahagikan sebab ujian Allah antaranya kepada 4 bahagian,

1.              Allah menguji sebab nak menaikkan darjat kita.

2.              Allah menguji sebab nak membimbing hati kita.

3.              Allah menguji sebab nak mengampunkan dosa-dosa kita.

4.              Allah menguji sebab nak hukum dan sayang kita.

Untuk pengetahuan kamu, bukan hanya ini saja sebabnya. Boleh jadi ada lebih lagi sebab, tetapi untuk kali ini saya hanya senaraikan 4 sahaja. Apabila Allah menguji, kamu hanya ada dua pilihan, sabar dan redha atau sebaliknya.

“Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin. Semua urusannya adalah baik baginya. Hal ini tidak didapatkan kecuali pada diri seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya apabila tertimpa kesusahan, dia pun bersabar, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya.”

(Riwayat Muslim)

1.         Jika bersabar dan redha, maka Allah akan menaikkan darjat kita di sisi-Nya. Darjat ini tak akan nampak pada mata kasar, seperti darjah kebesaran diRaja. Tetapi kesannya boleh dilihat dengan mata.

Contohnya, jika orang itu sabar dan redha, kamu akan nampak orang ini tenang dan boleh uruskan masalah dengan tersusun. Mukanya pun akan sentiasa senyum saja dan tidak mengeluh. Tetapi kalau sebaliknya, kamu sendiri akan nampak dia serba tak kena, cakap pun mencarut dan memaki hamun saja. Kemudian menyalahkan ramai orang. Lagi bahaya dia menyalahkan takdir.

Sebab itu para ulama’ apabila bercerita tentang sabar, mereka akan mengaitkan dengan akhlak. Contohnya, Syeikh Junaid al-Baghdadi bila ditanyakan tentang sabar, dia menjawab,

“Menelan kepahitan tanpa bermasam muka.”

            Imam Ahmad Al-Jariri pula sebut tentang sabar,

“Sabar adalah tidak memisahkan antara kenikmatan dan ujian dengan pemikiran yang tenang, sedangkan yang dimaksudkan penerimaan sabar adalah tenang menghadapi ujian dengan merasakan beratnya ujian.”

            Imam Ruwaim pula menyebut,

“Sabar ialah meninggalkan keluhan.”

            Tetapi kalau mula-mula dia tak sabar dan mengeluh, tetapi selepas beberapa ketika dia muhasabah diri semula, maka dia akan kembali ke pangkal jalan untuk mengurus ujian yang di hadapi dengan tersusun. Cumanya, dia tak dapatlah ganjaran pahala sabar yang sepenuhnya. Sebab Rasulullah ﷺ pernah bersabda yang bermaksud,

“Sesungguhnya kesabaran itu pada pukulan (musibah) pertama..”

(Riwayat Bukhari)

            Dengan kata lain, Allah menguji kita untuk membezakan antara orang yang betul-betul beriman dengan mulut, hati dan amal (termasuk orang yang sabar) dengan orang yang hanya pandai cakap saja.

2.         Seterusnya, Allah menguji sebab nak membimbing hati kita. Ini adalah hadiah yang paling istimewa buat orang yang beriman, bertawakal dan bersabar dengan ujian yang Allah berikan. Allah sebut di dalam al-Quran,

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

(Surah At-Taghaabun 64 : 11)

Imam Jalaluddin Al-Mahalli dalam tafsirnya, menafsirkan يهد قلبه (Allah akan membimbing hatinya) dengan “Allah memberikan hambaNya petunjuk dengan memberikannya kesabaran menghadapi musibah yang menimpanya.”

Kenapa hati? Perasaan sedih, kecewa, marah, semua tu datang daripada mana? Hati kan? Jadi, Allah yang membimbing hati kita. Apabila Allah dah bimbing hati kita, maknanya Allah akan membimbing sekali perasaan, emosi, cara fikir, idea, tingkah laku dan perbuatan kita. Allah.. Saya boleh jamin pada kamu.

Kalau ada masalah kewangan, Allah akan bimbing hati untuk mencari punca kewangan. Kalau masalah kesihatan, Allah akan bimbing hati untuk mencari jalan penyembuhan.

Kalau ada masalah keluarga, Allah akan bimbing hati kita untuk mencari jalan keluar.

            Dan banyak lagi. Itulah harganya sekiranya kita bersabar dan kekal beriman sungguh-sungguh pada Allah. Allah akan bimbing hati kita, يَهْدِ قَلْبَهُ.

3.         Kemudian Allah menguji sebab nak mengampunkan dosa-dosa kita. Kita ini selalu berbuat dosa, dan ada kalanya dah banyak kali Allah tegur dengan cara “lembut”. Tetapi kita buat tak tahu saja. Sebab kita ambil remeh. Apabila kena “tegur” dengan ujian yang berat, barulah kita sedar dan nak berubah.

            Sama juga macam di dalam kelas. Kalau cikgu atau lecturer tegur baik-baik, semuanya nak pijak kepala. Tetapi apabila dah naik rotan ataupun sebat, semuanya akan diam menikus, takut dan insaf.

“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu kelelahan, atau penyakit, atau kekhuatiran, atau kesedihan, atau gangguan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya (dosa) kerananya.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

4.         Dan terakhir, Allah menguji sebab Allah nak ‘menghukum’ atas kesalahan yang kita sengaja dan berulang-ulang kali buat. Mesti ada yang pelik, kenapa Allah nak menghukum kalau betul Allah sayang? Ramai orang keliru, kalau sayangkan sesuatu, kita tak boleh menghukumnya. Salah fikiran macam ini.

            Contohnya, apabila ada seorang anak kecil berlari nak melintas jalan, tiba-tiba ada kereta nak melalui jalan itu, agaknya apa yang mak budak itu akan buat? Sudah pasti akan jerit sekuat mungkin untuk selamatkan anaknya. Dan apabila dapat tarik tangan anaknya, secara spontan dicubit tangannya. Adakah perbuatan maknya itu tanda dia benci dengan anaknya? Sudah pasti tidak. Tetapi dia marah sebab sayang! Wallahi, sebab sayang! Kalau mak itu benci, nescaya mak itu akan biarkan saja anaknya dilanggar. Buat apa susah payah menjerit dan berlari untuk selamatkan.

            Tetapi Maha Suci Allah yang melebihi daripada itu. Allah mencintai dan menyayangi kita melebih daripada seorang ibu menyayangi seorang anaknya. Allah menguji bukan semata-mata nak menghukum kesalahan kita, tetapi melebihi daripada itu, ia adalah tanda Allah SAYANG dan RINDU sangat pada kita. Wallahi, Allah sayang dan rindu pada kita. Sangat sayang. Dia Maha penyayang. Ibn Attoilah pernah menyebut,

“Apabila Allah menjadikan kamu rasa tidak seronok, jemu dan tidak tenang dengan makhluk-Nya, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Dia mahu membuka untukmu pintu perasaan tenang, gembira, seronok dan tidak kesepian dengan-Nya.”

            Bahkan Rasulullah bersabda dalam satu hadis qudsi,

“Pergilah pada hambaku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya.”

(Riwayat Thabrani)

Tips Menghadapi Ujian Allah Pada Pukulan Pertama

            Ketahuilah, saya yang menulis ini pun sering kali gagal pada pukulan pertama saat ujian Allah itu datang. Tetapi, saya tetap ingin berkongsi sebagai peringatan khusus untuk diri saya sendiri.

a) Yakin di dalam hati, bahawa setiap ujian daripada Allah adalah untuk menguatkan lagi iman dan nak menghapuskan segala dosa-dosa kita. Dan Allah hanya menguji bergantung pada sekuat mana iman kita. Tidak lebih, dan tidak kurang. Satu ketika, Rasulullah ﷺ pernah ditanya oleh seorang sahabat, “Siapakah orang yang paling berat ujiannya?” Baginda menjawab,

“Para Nabi, kemudian orang yang seperti mereka sesudahnya, dan orang yang seperti mereka berikutnya lagi. Seseorang akan diuji sesuai kadar (kekuatan) agamanya. Jika (pegangan) agamanya kuat, maka ujiannya akan bertambah berat. Jika agamanya lemah, maka akan diuji sesuai kadar kekuatan agamanya. Maka senantiasa seorang hamba diuji oleh Allah sehingga dia dibiarkan berjalan di atas permukaan bumi tanpa memiliki dosa.”

(Riwayat Tirmidzi)

Dalam hadis lain, Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud,

“Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, gundah-gulana hingga duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian daripada dosa-dosanya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Dan banyak lagi hadis yang beritahu kita bahawa setiap ujian adalah bergantung sejauh mana keimanan kita, dan ia juga sebagai satu proses penghapusan dosa.

b) Jangan cuba membanding-bandingkan ujian kita dengan orang lain. Ketahuilah, Allah menguji setiap orang BERBEZA-BEZA. Sebab apa? Sebab kemampuan setiap orang berlainan. Ujian yang dilalui adalah sesuai dengan kemampuan orang itu. Allah tidak akan beri ujian secara ‘pukul rata’. Ujian yang saya lalui, tak semestinya kamu boleh lalui. Begitu juga ujian yang kamu lalui, tidak semestinya saya boleh lalui.

            Ada orang diuji dengan perceraian ibu bapa, hidup dalam kemiskinan sehingga merempat, hidup dalam keluarga yang jauh daripada agama, susah belajar, cacat anggota, dan sebagainya. Tetapi ada orang lain diuji dengan hidup kaya raya sampai harta melimpah ke jalan raya, hidup dalam keluarga yang sangat kuat amalkan agama, terlalu genius dengan kadar IQ 999, terlalu sempurna anggota, dan sebagainya. Itu semua ujian walaupun nikmat yang diberi keliling pinggang.

            Ada orang diberi ujian kemiskinan, tetapi dia bersabar, akhirnya dia berjaya keluar daripada garis kemiskinan dalam tempoh beberapa tahun. Tetapi ada orang lain diberi ujian kekayaan, namun dia terlalu tamak, akhirnya muflis dan merempat di tepi jalan sampai bertahun-tahun lamanya. Begitulah seterusnya. Jadi teman, jangan bandingkan diri kita dengan orang lain.

c) Jangan cuba melarikan diri daripada masalah. Hadapi, dan berusaha untuk selesaikan walaupun mengambil masa bertahun-tahun lamanya. Bahkan mungkin mengambil masa seumur hidup. Yang penting, hadapinya, jangan putus asa. Putus asa bukan satu pilihan. Semakin kita lari daripada masalah, semakin besar masalah itu mengejar kita. Ada orang cuba lari daripada masalah dengan harapan hati akan tenang. Ketahuilah, kalau tenang pun, ia cuma sementara saja. Hakikatnya, kita tak boleh menipu diri sendiri.

Wallahu’alam.

Saya doakan moga kita semua mampu menghadapi ujian yang dihadapi masing-masing. Ameen.

https://www.tarbiahsentap.com/2019/11/kenapa-allah-menguji-kita.html

Taubat Nabi Nuh Alayhissalam

Kisah Taubat 1 : Taubat Nabi Nuh Alayhissalam

Sebelum saya mulakan perkongsian hari ini, suka untuk saya maklumkan sesuatu. Mulai hari ini, insyaAllah Tarbiah Sentap akan melancarkan Koleksi Kisah Taubat yang akan memuatkan kisah-kisah taubat setiap hamba Allah, bermula daripada para Nabi, hinggalah kisah taubat manusia di akhir zaman macam kita ini.

Kebanyakkan kisah ini dipetik daripada kitab Mukhtashar Kitab at-Tawwabeen karya Ibnu Qudamah al-Maqdisi, seorang ulama Palestin yang hidup pada sekitar tahun 541 Hijrah.

Kisah Nabi Nuh adalah antara kisah yang paling mahsyur di kalangan orang Melayu di Malaysia. Kita mungkin pernah dengar kisah Nabi Nuh sama ada ketika baginda berdakwah, membuat kapal, banjir besar sehinggalah selamat daripada banjir. Tetapi kali ini, untuk Koleksi Kisah Taubat daripada kami di Tarbiah Sentap yang pertama ini, insyaAllah kami akan persembahkan kisah taubat yang ringkas berkenaan Nabi Nuh. Moga kita sama-sama dapat pengajaran.

Allah murka kepada seluruh umat Nabi Nuh kerana tidak mahu mengikut apa yang Allah perintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang. Lalu, Allah mahu menenggelamkan mereka yang ingkar dalam banjir yang besar. Ini adalah kisah yang terkenal dalam kalangan kita. Bahkan, terkenal juga dikalangan orang Kristian dan Yahudi.

Sebab itu, Allah memerintahkan kepada Nabi Nuh untuk membuat satu kapal besar di atas bukit. Semasa buat kapal ini, ramai umat Nabi Nuh menggelakkan dan menghina baginda. Semua pengikut Nabi Nuh yang taat kepada Allah mesti menaiki kapal itu termasuklah haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Mereka yang ingkar dan tak percaya kepada Allah, termasuk anak-anak dan isteri Nabi Nuh mengejek  perbuatan Nabi Nuh dan orang beriman masa itu.

            Nabi Nuh dah puas memujuk anak-anak dan isterinya untuk mengikut perintah Allah dan menaiki kapal itu. Tetapi, mereka tak nak. Kemudian, Nabi Nuh berdoa sungguh-sungguh kepada Allah agar anak-anak dan isterinya diselamatkan daripada bencana banjir itu. Nabi Nuh berdoa seperti mana yang dirakamkan dalam surah Hud ayat yang ke-45,

Dan Nuh berseru kepada Tuhannya sambil berkata: “Ya Tuhanku, sesungguhnya anakku termasuk keluargaku, dan sesungguhnya janji Engkau itulah yang benar. Dan Engkau adalah Hakim yang seadil-adilnya.”

Tetapi, Allah menempelak perbuatan Nabi Nuh ini dengan berfirman di dalam surah Hud ayat ke-46,

Allah berfirman: “Hai Nuh, sesungguhnya dia bukanlah termasuk keluargamu (yang dijanjikan akan diselamatkan), sesungguhnya (perbuatan)nya perbuatan yang tidak baik. Sebab itu janganlah kamu memohon kepada-Ku sesuatu yang kamu tidak mengetahui (hakikat)nya. Sesungguhnya Aku memperingatkan kepadamu supaya kamu jangan termasuk orang-orang yang jahil”.

Kritikan Allah ini disedari Nabi Nuh. Tanpa bertangguh, Nabi Nuh segera memohon ampun dan bertaubat atas kesalahannya kerana seakan “memaksa” Allah memberikan hidayah dan menyelamatkan isteri dan anak-anaknya. Doa Nabi Nuh ini dirakamkan oleh Allah dalam surah Hud ayat yang ke-47,

“Nuh berkata: Ya Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari memohon kepada Engkau sesuatu yang aku tiada mengetahui (hakikat)nya. Dan sekiranya Engkau tidak memberi ampun kepadaku, dan (tidak) memberikan belas kasihan kepadaku, nescaya aku akan termasuk orang-orang yang merugi.”

Maha Pemurah dan penerima taubatnya Allah, Allah pun menjawab doa Nabi Nuh dalam surah Hud pada ayat yang ke-48,

Allah berfirman: “Hai Nuh, turunlah dengan selamat sejahtera dan penuh keberkatan dari Kami atasmu dan atas umat-umat (yang mukmin) dari orang-orang yang bersamamu. Dan ada (pula) umat-umat yang Kami beri kesenangan pada mereka (dalam kehidupan dunia), kemudian mereka akan ditimpa azab yang pedih dari Kami”.

Wuhaib bin al-Ward, seorang ulama’ hadith, melaporkan,

“Apabila Allah tidak bersetuju dengan perbuatan Nabi Nuh meminta anak-anak dan isterinya selamat daripada bencana sedangkan mereka adalah daripada golongan yang ingkar kepada Allah, lalu Allah memberikan peringatan kepada Nabi Nuh dengan kata-kataNya.”

Wuhaib menambah lagi,

“Selepas Allah berkata seperti itu, Nabi Nuh menangis dengan penuh penyesalan selama 300 tahun. Air Matanya dikatakan mengalir deras seperti sungai.”

Antara pengajaran penting yang boleh dapat di sini adalah, jangan bertangguh taubat apabila kita sedar kesalahan dan maksiat yang kita buat. Jangan bertangguh. Kerana, apabila sesuatu azab dan bala bencana datang, ia tak akan datang secara bertangguh

Rujukan : Mukhtashar Kitab at-Tawwabeen karya Ibnu Qudamah al-Maqdisi.

Bahaya Taqlid Dalam Masyarakat Kini

Bahaya Taqlid Dalam Masyarakat Kini

Encik Mohd. Noor bin Omar

Zaman telah berubah dari era demi era sehinggalah ke era pengetahuan dan teknologi. Masyarakat dari hari ke hari disuapkan secara sengaja atau tidak dengan berbagai kefahaman dari pelbagai sumber. Kebaikan umat Islam makin boleh dipersoalkan malah ada di kalangan umat Islam tiada kepastian atau meragui sendiri agama mereka. Yang tergadai maruah dan agama berlari seiring dengan perkembangan ini. Di sinilah iman akan menjadi pemandu ke arah kehidupan yang lebih terjamin sebagai seorang Islam bukannya iman semata-mata di atas dasar taqlid.

Taqlid terbahagi kepada dua iaitu Taqlid Jazam (putus) iaitu I’tiqad yang teguh dan tidak akan berubah walaupun orang yang diikuti itu berubah. Taqlid yang tidak Jazam (Tidak Putus) iaitu menerima perkataan orang lain dengan tidak teguh sekiranya orang yang diikuti seperti guru-gurunya, ibubapanya atau lainya. I’tiqad mereka berubah-ubah mengikut orang yang diikutinya. Taqlid Jazam adalah sah di sisi Ahli Sunnah Wal-Jamaah kerana ada mempunyai i’tiqad yang jazam (putus). Manakala taqlid tidak jazam pula dihukumkan tidak sah imannya kerana serupa imannya dengan syak, zhan atau wahm (tiada putus).

Iman orang yang bertaqlid sentiasa di dalam bahaya atau bimbang dan tergantung kebenarannya atas orang yang diikutinya. Jika benar perjalanan orang yang diikutinya seperti guru-gurunya maka mengikutnya selamat, tetapi jika sebaliknya binasalah mereka. Hendaklah seseorang itu bersungguh-sungguh menuntut Ilmu Tawhid yang sahih supaya terlepas ia daripada syak dan wahm dalam iman kerana di akhir zaman ini terdapat ramai ahli-ahli bida’ah. Taqlid itu membawa mudharat kerana jalan membawa kepada sesat yang amat hina yang tiada layak pada seseorang manusia. Dalam keadaan mudahnya mendapatkan ilmu dan maklumat, umat Islam tiada alasan untuk tidak mencari, memahami dan memegang kepada hakikat iman sebenar.

Dalam masyarakat Melayu yang ditakrifkan sebagai beragama Islam pada sandaran takrif bangsanya, keadaan iman taqlid bukanlah perkara asing. Malah yang paling menyedihkan lagi, taqlid di atas taqlid terus berlaku sehingga keturunan demi keturunan berlangsungan. Takrif ‘melayu’ sebagai beragama Islam dalam keadaan-keadaan tertentu amat berguna tetapi dalam keadaan lain telah mendorong melayu untuk tidak mendalami hal-hal mengenai aqidah Islami.

Ramai berpendapat apabila seseorang mengucap dua kalimah shahadah, maka mereka akan terjamin masuk syurga. “Sesiapa yang mengucapkan laa ilaha illallah, maka masuk syurga” (al-hadith). Malangnya masih ramai orang Islam tersalah anggap. Mereka merasakan selama mana mereka mengucapkan shahadah, tiada apa yang akan menjejaskan mereka. Janji syurga juga kononnya akan terjamin. Hadith ini memberi tumpuan kepada mereka yang di saat kematian mengucapkan shahadah. Tapi sekiranya seseorang mempergunakan shahadah untuk kepentingan keduniaan semata-mata, mungkinkah mereka akan terucap shahadah di saat kematian?

Dalam hakikat yang lain, orang-orang munafiq juga menggunakan shahadah tetapi Allah menganggap mereka sebagai pendusta. Shahadah dianggap sebagai anak kunci syurga tetapi, ia perlu memenuhi rukun-rukun dan syarat-syaratnya. Dengan hanya mempunyai kunci kereta kita tidak berupaya sampai ke sesuatu tempat yang dituju. Banyak perkara lain lagi yang diperlukan seperti sebuah kereta, kepakaran memandu dan pengetahuan-pengetahuan undang-undang jalanraya untuk sampai ke tempat yang dituju.

Syarat-syarat kesempurnaan shahadah memastikan seseorang sampai ke tahap keimanan sebenar dan menjadi seorang Muslim yang baik. Taraf iman taqlid atau iman ikut-ikutan yang bergantung kepada individu lain dalam keadaan sekarang tidak memadai dan akan menjejaskan pemurnian aqidah, ibadah harian dan perlaksanaan hukum-hakam Islam. Kita perlu tanyakan soalan kepada diri sendiri supaya kita sedar tentang hakikat shahadah. Isu seperti murtad, pecah amanah, melakukan tindakan-tindakan yang memberi kesan buruk kepada agama Islam menerusi perundangan, pimpinan, urusniaga dan sebagainya hanya akan dapat dipulihkan sekiranya pihak-pihak terbabit kembali memahami hakikat iman dan kesempurnaan shahadah. Tanda-tanda kesempurnaan shahadah ialah apabila seseorang itu bersifat dengan sifat mahmudah.

Orang yang bershahadah mestilah mengetahui, mengikrarkan, mengakui, mendalami, fahami dan menyaksikan apa yang dishahadahkan. Ikrar di dalam perkataan dan membenarkan di dalam hati seperti rukun shahadah perlu diiringi dengan pengetahuan tentang zat, sifat dan af’al Allah. Untuk menjadi seorang penganut Islam, para ulama menggariskan 3 perkara sebagai matlamat di dunia dan tanda keimanan, iaitu mengenali dan mencontohi Rasulullah sebagai seorang yang berakhlak agung (khuluqi ‘azim), contoh tauladan (uswah hasanah) dan memberi rahmat kepada seluruh alam (rahmatan lil’alamin).

Orang yang sempurna iman akan sentiasa merasai kewujudan dan kebesaran Allah serta menimbulkan pertanyaan pada diri sendiri dalam setiap tindakan sekiranya Rasulullah bersama, adakah perbuatan yang dilakukan ini berkemungkinan sama atau dipersetujui oleh baginda. Inilah yang menjadikan maksud iman ini membimbing manusia ke arah kemurnian hidup di dunia dan akhirat. Maksud mendalam keimanan juga ialah mereka merasai kewujudan Allah sebilang masa dalam setiap gerak geri yang tidak sunyi dari pengetahuan Allah. Mungkinkah seseorang beriman itu melakukan perkara-perkara mungkar? Inilah kepentingan iman hakikat daripada iman taqlid yang memberi pedoman dan panduan sepanjang hayat manusia.

Suburkan Hidup dengan Budaya Kerja Cemerlang

Suburkan Hidup dengan Budaya Kerja Cemerlang

Puan Nor Hartini binti Saari

Dalam beberapa hari saja lagi kita bakal menyambut 1 Mei yang merupakan Hari Pekerja, atau dikenali sebagai Hari Buruh suatu ketika dahulu. Sebelum tibanya detik tersebut pada tahun ini, cuba kita renungkan dan perhatikan kepada diri kita sendiri sebagai pekerja ikhlaskah kita bekerja? Cemerlangkah hasil-hasil kerja kita? Mampukah kita menyiapkan kerja yang dipikul dalam tempoh masa yang telah ditetapkan? Jujurkah sumbangan kita kepada masyarakat? Berapa ramaikah antara kita benar-benar jujur, ikhlas, bersungguh-sungguh dan bertungkus-lumus menjalankan tugas yang diamanahkan?

Sebenarnya kejujuran dan keikhlasan dalam melakukan kerja ini adalah sangat dituntut oleh Allah S.W.T. Hal ini penting untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam pencarian rezeki yang halal untuk diri dan keluarga. Dalam agama sendiri, ibadah tidak hanya memberi tumpuan kepada sembahyang, berzikir dan bertasbih sahaja, tetapi digalakkan juga umat Islam untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh, dengan hati yang ikhlas dan niat yang betul dimana semua pekerjaan baik yang dilakukan dengan hati yang ikhlas dan tidak bercanggah dengan pandangan alam, ia adalah satu tuntutan dan dikira sebagai satu ibadah.

Selain itu, dalam pada mengejar budaya kerja cemerlang ini para pekerja perlulah mempunyai ciri-ciri seperti rajin berusaha, tekun, berdisiplin, sabar, amanah dan bertanggungjawab dengan segala tugas yang dipikul. Jangan jadikan kerja-kerja tersebut sebagai satu bebanan. Ini kerana punca rezeki kita adalah daripada hasil kerja yang kita cari.

Justeru, untuk mengejar budaya kerja cemerlang, di mata majikan, rakan sejawat dan yang penting di sisi Allah S.W.T, faham kejujuran dan keikhlasan wajar menjadi rujukan utama. Akhlak dan nilai-nilai baik perlulah ditanam dan diterapkan di kalangan pekerja bagi menjamin mutu kerja yang lebih berkesan. Para majikan pula perlu menjadikan kakitangannya sebagai aset yang sangat bernilai dalam memastikan matlamat jabatan dan organisasi tercapai.

Majikan juga mempunyai hak memberi ganjaran, latihan dan kursus kepada pekerjanya demi memantapkan mutu kerja kakitangannya. Janganlah lupa tentang pengorbanan yang dilakukan oleh para pekerjanya. Seandainya hak pekerja dinafikan, maka para pekerja menganggap diri mereka teraniaya dan mungkin timbul pula gejala-gejala yang buruk seperti sifat-sifat mazmumah yang bersarang dalam diri seperti cemburu, hasad dengki, riya’, takabbur, syak wasangka, tidak boleh ditegur dan seumpamanya. Ada segelintir pekerja juga yang bertungkus lumus menjalankan kerja cuma apabila berada di hadapan ketua, dan ada juga pekerja yang dianggap pengampu dan pembodek nombor satu. Kesemua sifat inilah yang menjadi pendorong kepada terjejasnya mutu kerja yang cemerlang. Jika dilihat sifat-sifat seperti inilah yang menjadi punca kegagalan umat Islam untuk bersaing dengan bangsa yang lain.

Sekiranya diambil contoh negara Jepun, misalnya mengamalkan budaya kerja SAMURAI. Budaya kerja ini menekankan kepada kesefahaman bersama seperti kecekapan berjuang, kesetian, dan pengabdian diri kepada ketua dan pemimpin, bekerja bermati-matian, ini menjadikan negara Jepun berjaya menterjemahkan budaya kerja mereka sehingga mereka menjadi satu bangsa yang berjaya mendaulatkan kekuatan pasaran perdagangan dan perindustrian yang unggul di dunia. Misalnya, mereka berjaya dalam mengeluarkan industri elektronik dan industri kereta yang terkenal dengan teknologi yang canggih. Jadi budaya kerja dan cara hidup orang Jepun ini telah menjadikan mereka beroleh kejayaan sampai sekarang.

Jika diimbas kembali, kempen gerakan kerja cemerlang yang telah dilancarkan di negara kita pada 27hb November 1989, mempunyai matlamat utama, iaitu untuk meningkatkan taraf hidup melalui tahap budaya kerja sehari-hari. Sempena sambutan hari pekerja yang bakal menjelang, kita perlu bersatu, sentiasa berkorban, menggembleng pemikiran serta tenaga, untuk memastikan kerjaya kita dirahmati Allah S.W.T. Kita tanamkan azam dalam diri kita dengan bertekad dalam diri untuk berjaya dan menjadikan kerjaya kita sebagai satu ibadah. Jadi sebagai pekerja kita perlulah hargai masa yang ada kerana kalau dilihat diluar sana masih lagi terdapat lebih kurang dua puluh ribu orang yang masih lagi menganggur. Oleh itu, kita perlulah bersyukur di atas rezeki yang dilimpahkan dan terus berusaha memantapkan kerjaya yang cemerlang.

Adakah dikatakan budaya kerja cemerlang jika segelintir pekerja masih lagi melakukan tugas-tugas secara sambil lewa, cuai, tidak memberikan perkhidmatan yang memuaskan kepada pelanggan dan sebagainya. Lebih-lebih lagi mereka yang bersikap suka membuang masa, menyalahgunakan kuasa dan kedudukan, tidak menyimpan rahsia, pecah amanah, melakukan rasuah dan sebagainya. Ini semua melambangkan sikap pekerja yang tidak berakhlak dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Bukan itu sahaja, segelintir pekerja juga ada yang melakukan kerja hanya kerana terpaksa atau sekadar melepas batuk di tangga dan bukannya untuk mencari keredaan daripada Allah S.W.T. Jadi kerja yang dilakukan itu hanya sia-sia sahaja. Oleh sebab itu, kita pada hari ini perlu bangkit dalam memperkasakan kecemerlangan dan meningkatkan budaya kerja cemerlang. Sehubungan itu, untuk meningkatkan mutu kerja kita apa yang perlu, kita disarankan belajar semula daripada kesilapan kerja-kerja lepas.

Dalam pada itu, sambutan hari pekerja yang bakal menjelang juga turut ditunggu-tunggu oleh segelintir kakitangan awam iaitu kira-kira 1.2 juta orang. Mungkin ada satu pengumuman dan berita gembira berkaitan semakan gaji baru iaitu kenaikan gaji antara 10 peratus hingga 40 peratus. Semakan gaji yang hampir 15 tahun tidak disemak ini akan sedikit sebanyak boleh menjadi pengubat rasa dan perangsang kepada kakitangan perkhidmatan awam untuk meningkatkan lagi taraf mereka dalam menghasilkan kerja-kerja yang lebih bermutu.

Namun, keseimbangan bekerja dan beribadat perlulah seiring dalam melahirkan insan yang cemerlang dan hasil kerja yang bermutu. Tidak ada jalan lain, untuk memantapkan budaya kerja cemerlang ini. Semuanya bermula daripada diri kita sendiri. Sesungguhnya budaya kerja cemerlang ini merupakan tuntutan di kalangan perkhidmatan awam sebagai satu cabaran menjelang dekad 2020.

Sehubungan itu, nilai dan akhlak yang murni perlulah menjadi kayu ukur untuk menuju kecemerlangan tersebut. Oleh sebab itulah kita perlu bersatu, bertanggungjawab dengan tugas yang diamanahkan agar pendapatan yang kita perolehi itu adalah daripada sumber rezeki yang halal. Dalam usaha untuk menyuburkan budaya kerja cemerlang ini marilah kita sama-sama bekerja dengan penuh rasa tanggungjawab agar kita mendapat kejayaan serta kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Gandakan Mutu Perkhidmatan Awam Dengan Amalan Berbudi Bahasa

Gandakan Mutu Perkhidmatan Awam Dengan Amalan Berbudi Bahasa

Puan Nor Hartini binti Saari 29/05/2007

Lebih 1.2 juta kakitangan awam mula terseyum lebar dan berasa gembira apabila mendapat tahu gaji baru yang bakal dikuatkuasakan 1 Julai 2007 ini. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua kakitangan awam berkaitan kenaikan gaji ini. Sesungguhnya kenaikan gaji ini ibarat ‘durian runtuh’ kepada kakitangan awam terutama kepada mereka yang telah lama berkhidmat. Selain itu, kenaikan gaji ini juga merupakan satu lagi usaha dan satu kepuasan kepada pekerja untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

Sebagai pekerja, kakitangan awam ini perlulah bersyukur dengan rezeki yang dilimpahkan. Walau bagaimanapun, perasaan rasa syukur dan terima kasih ini perlulah diterjemahkan dengan menggandakan lagi kerja dan usaha meningkatkan mutu perkhidmatan terutamanya yang melibatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam. Sejajar dengan kenaikan gaji ini sebagai kakitangan awam, janganlah kita lupa, alpa dan leka dengan mutu perkhidmatan awam yang sering diingatkan oleh Perdana Menteri. Hal ini perlu diberikan perhatian kerana, kita seringkali mendengar keluhan, rungutan dan aduan daripada orang ramai akan kelemahan sistem penyampaian kakitangan awam yang agak kasar.

Oleh itu, dalam menggandakan mutu perkhidmatan awam ini, kita perlulah membudayakan faham budi bahasa ini di tempat kerja. Sikap kakitangan awam perlulah berubah. Mereka mesti mempamerkan diri yang baik dalam segala tindakan yang dilakukan termasuk cara berfikir, cara bertindak, melahirkan perasaan, pertuturan dan kelakuan yang ditunjukkan. Hanya dengan cara inilah kakitangan awam dapat membentuk satu budaya kerja yang boleh dibanggakan dan dikenang oleh orang ramai yang berurusan. Di samping itu, ia dapat meletakkan maruah sesebuah organisasi kepada satu tahap yang tinggi dan disegani lagi.

Sifat mesra pelanggan perlulah dipamerkan oleh semua kakitangan awam. Bukanlah sesuatu yang merugikan sekiranya kakitangan awam melayani pelanggan dengan muka yang manis, dengan tutur kata yang baik dan menghormati satu sama lain. Ini sememangnya dituntut dalam agama.

Mengamalkan budi bahasa yang baik dan nilai-nilai murni ini mencerminkan seseorang itu memiliki budi pekerti yang tinggi. Agama Islam dengan jelas telah mengaitkan tahap ketinggian iman dengan budi pekerti. Di dalam beberapa hadis yang diriwayatkan secara berasingan oleh Ibnu Hibban dan Ahmad Ibnu Hanbal yang membawa pesanan dari Rasullulah S.A.W, bahawa mereka yang terbaik budi pekertinya adalah merupakan hamba Allah yang paling dicintai, mukmin yang paling sempurna imannya dan merekalah orang yang paling dicintai dan orang yang paling dekat dengan Rasulullah di hari kiamat kelak.

Begitulah nilai yang diberikan agama Islam terhadap ummahnya yang memiliki budi pekerti yang tinggi. Jadi mengapakah kakitangan awam hari ini tidak mengambil peluang yang dijanjikan ini dan mengamalkannya sepanjang hidup? Bukanlah sukar untuk melaksanakannya. Itu semua bergantung kepada kakitangan awam yang terlibat. Jika mereka menganggap kerja itu sebagai satu ibadah, maka apa tunggu lagi? Lipat gandakanlah lagi tugas tersebut dan hiasi dengan budi pekerti yang tinggi.

Kita seringkali menyalahkan emosi atau perasaan sekiranaya tindakan atau perbuatan yang diambil kurang tepat. Keadaan bercakap kasar atau keterlaluan ini menggambarkan seolah-olah seseorang itu tidak beradab, tidak berupaya mengawal perasaan, dan perlakuannya.

Dalam hal ini, kebolehan seseorang pekerja itu mengawal perasaanya amat penting terutama ketika berhubung dengan pelangganya. Ia juga dikatakan mempunyai kaitan dengan emotional intelligence (EI) atau emotional quotient (EQ). Maka dalam ruang lingkup budi bahasa dan perhubungan dengan seseorang yang baik, kita boleh dapati bahawa mereka yang mempunyai EQ yang tinggi sahaja, sebenarnya mempunyai budi bahasa yang tinggi. Dalam hal ini, mereka yang mempunyai EQ yang tinggi bukan sahaja dapat mengawal dan mengurus perasaanyang baik tetapi berupaya mewujudkan hubungan mesra dengan orang lain. Sebaliknya, bagi mereka yang rendah EQnya, akan menjadikan rendah juga budi bahasanya.

Sesungguhnya, budi bahasa dan budaya kerja yang baik inilah akan menjadi pengenalan diri kepada kejayaan sesebuah organisasi. Ada yang mengatakan sendi bahasa ialah budi; dan runtuh budi runtuhlah bangsa. Ini menunjukkan kepada kita betapa pentingnya budi bahasa yang diamalkan oleh para kakitangan awam, akan membentuk mutu perkhidmatan organisasi tersebut.

Maka dalam hal ini, kakitangan awam ini perlulah bertindak secara bijak dalam mengawal suasana di dalam organisasi yang terbabit untuk meningkatkan mutu kerja mereka. Penambahbaikan dari semasa ke semasa perlu untuk meningkatkan mutu penghasilan dan kebaikan para pekerja. Terutama bagi mereka yang berkhidmat di ruang meja pertanyaaan dan melayani panggilan telefon. Kawallah perasaan apabila berhubung dengan pelanggan. Jangan campur adukkan masalah di rumah dengan tempat kerja.

Jadi apabila kerajaan mengumumkan sahaja kenaikan gaji ini, maka para pekerja perlulah bertekad akan memastikan bahawa mereka juga perlu berkhidmat dengan lebih berusaha lagi. Tidak dinafikan pengukur kejayaan penyampaian perkhidmtan adalah terletak di tangan pelanggan. Untuk memenuhi kepuasan pelanggan ini, ia merupakan satu lagi cabaran kepada para kakitangan awam. Namun atas dasar erti kata bekerja, maka kakitangan awam ini perlulah memikul tugas sebagai satu tanggungjawab yang diamanahkan.

Budaya kerja cemerlang dalam sesebuah organisasi bergantung kepada kecemerlangan pekerja yang merupakan tunjang belakang atau modal insan bagi kejayaan sesebuah organisasi. Sesungguhnya, organisasi yang dianggotai oleh pekerja yang cemerlang akan menjadi organisasi ini terbilang dan dikagumi oleh pelangan-pelanggannya. Malah, kakitangan yang cemerlang dan mempunyai budi bahasa yang tinggi ini akan menjadi role model kepada kakitangan yang lain.

Yang pasti, sebagai kakitangan awam, mereka perlulah menyahut cabaran ini. Bukanlah suatu perkara yang sukar untuk melahirkan kakitangan awam yang berbudi bahasa dan bertanggungjawab. Sememangnya rakyat Malaysia sudah terkenal dengan adat sopan santunnya. Cuma perkara ini perlulah diamalkan di mana jua kita berada. “Bahasa melambangkan bangsa’. Teruskan dalam memberi khidmat cemerlang kepada organisasi dan lipat gandakanlah lagi mutu perkhidmatan awam dengan amalan berbudi bahasa.

Gandakan Mutu Perkhidmatan Awam Dengan Amalan Berbudi Bahasa

Gandakan Mutu Perkhidmatan Awam Dengan Amalan Berbudi Bahasa

Puan Nor Hartini binti Saari

Lebih 1.2 juta kakitangan awam mula terseyum lebar dan berasa gembira apabila mendapat tahu gaji baru yang bakal dikuatkuasakan 1 Julai 2007 ini. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua kakitangan awam berkaitan kenaikan gaji ini. Sesungguhnya kenaikan gaji ini ibarat ‘durian runtuh’ kepada kakitangan awam terutama kepada mereka yang telah lama berkhidmat. Selain itu, kenaikan gaji ini juga merupakan satu lagi usaha dan satu kepuasan kepada pekerja untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

Sebagai pekerja, kakitangan awam ini perlulah bersyukur dengan rezeki yang dilimpahkan. Walau bagaimanapun, perasaan rasa syukur dan terima kasih ini perlulah diterjemahkan dengan menggandakan lagi kerja dan usaha meningkatkan mutu perkhidmatan terutamanya yang melibatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam. Sejajar dengan kenaikan gaji ini sebagai kakitangan awam, janganlah kita lupa, alpa dan leka dengan mutu perkhidmatan awam yang sering diingatkan oleh Perdana Menteri. Hal ini perlu diberikan perhatian kerana, kita seringkali mendengar keluhan, rungutan dan aduan daripada orang ramai akan kelemahan sistem penyampaian kakitangan awam yang agak kasar.

Oleh itu, dalam menggandakan mutu perkhidmatan awam ini, kita perlulah membudayakan faham budi bahasa ini di tempat kerja. Sikap kakitangan awam perlulah berubah. Mereka mesti mempamerkan diri yang baik dalam segala tindakan yang dilakukan termasuk cara berfikir, cara bertindak, melahirkan perasaan, pertuturan dan kelakuan yang ditunjukkan. Hanya dengan cara inilah kakitangan awam dapat membentuk satu budaya kerja yang boleh dibanggakan dan dikenang oleh orang ramai yang berurusan. Di samping itu, ia dapat meletakkan maruah sesebuah organisasi kepada satu tahap yang tinggi dan disegani lagi.

Sifat mesra pelanggan perlulah dipamerkan oleh semua kakitangan awam. Bukanlah sesuatu yang merugikan sekiranya kakitangan awam melayani pelanggan dengan muka yang manis, dengan tutur kata yang baik dan menghormati satu sama lain. Ini sememangnya dituntut dalam agama.

Mengamalkan budi bahasa yang baik dan nilai-nilai murni ini mencerminkan seseorang itu memiliki budi pekerti yang tinggi. Agama Islam dengan jelas telah mengaitkan tahap ketinggian iman dengan budi pekerti. Di dalam beberapa hadis yang diriwayatkan secara berasingan oleh Ibnu Hibban dan Ahmad Ibnu Hanbal yang membawa pesanan dari Rasullulah S.A.W, bahawa mereka yang terbaik budi pekertinya adalah merupakan hamba Allah yang paling dicintai, mukmin yang paling sempurna imannya dan merekalah orang yang paling dicintai dan orang yang paling dekat dengan Rasulullah di hari kiamat kelak.

Begitulah nilai yang diberikan agama Islam terhadap ummahnya yang memiliki budi pekerti yang tinggi. Jadi mengapakah kakitangan awam hari ini tidak mengambil peluang yang dijanjikan ini dan mengamalkannya sepanjang hidup? Bukanlah sukar untuk melaksanakannya. Itu semua bergantung kepada kakitangan awam yang terlibat. Jika mereka menganggap kerja itu sebagai satu ibadah, maka apa tunggu lagi? Lipat gandakanlah lagi tugas tersebut dan hiasi dengan budi pekerti yang tinggi.

Kita seringkali menyalahkan emosi atau perasaan sekiranaya tindakan atau perbuatan yang diambil kurang tepat. Keadaan bercakap kasar atau keterlaluan ini menggambarkan seolah-olah seseorang itu tidak beradab, tidak berupaya mengawal perasaan, dan perlakuannya.

Dalam hal ini, kebolehan seseorang pekerja itu mengawal perasaanya amat penting terutama ketika berhubung dengan pelangganya. Ia juga dikatakan mempunyai kaitan dengan emotional intelligence (EI) atau emotional quotient (EQ). Maka dalam ruang lingkup budi bahasa dan perhubungan dengan seseorang yang baik, kita boleh dapati bahawa mereka yang mempunyai EQ yang tinggi sahaja, sebenarnya mempunyai budi bahasa yang tinggi. Dalam hal ini, mereka yang mempunyai EQ yang tinggi bukan sahaja dapat mengawal dan mengurus perasaanyang baik tetapi berupaya mewujudkan hubungan mesra dengan orang lain. Sebaliknya, bagi mereka yang rendah EQnya, akan menjadikan rendah juga budi bahasanya.

Sesungguhnya, budi bahasa dan budaya kerja yang baik inilah akan menjadi pengenalan diri kepada kejayaan sesebuah organisasi. Ada yang mengatakan sendi bahasa ialah budi; dan runtuh budi runtuhlah bangsa. Ini menunjukkan kepada kita betapa pentingnya budi bahasa yang diamalkan oleh para kakitangan awam, akan membentuk mutu perkhidmatan organisasi tersebut.

Maka dalam hal ini, kakitangan awam ini perlulah bertindak secara bijak dalam mengawal suasana di dalam organisasi yang terbabit untuk meningkatkan mutu kerja mereka. Penambahbaikan dari semasa ke semasa perlu untuk meningkatkan mutu penghasilan dan kebaikan para pekerja. Terutama bagi mereka yang berkhidmat di ruang meja pertanyaaan dan melayani panggilan telefon. Kawallah perasaan apabila berhubung dengan pelanggan. Jangan campur adukkan masalah di rumah dengan tempat kerja.

Jadi apabila kerajaan mengumumkan sahaja kenaikan gaji ini, maka para pekerja perlulah bertekad akan memastikan bahawa mereka juga perlu berkhidmat dengan lebih berusaha lagi. Tidak dinafikan pengukur kejayaan penyampaian perkhidmtan adalah terletak di tangan pelanggan. Untuk memenuhi kepuasan pelanggan ini, ia merupakan satu lagi cabaran kepada para kakitangan awam. Namun atas dasar erti kata bekerja, maka kakitangan awam ini perlulah memikul tugas sebagai satu tanggungjawab yang diamanahkan.

Budaya kerja cemerlang dalam sesebuah organisasi bergantung kepada kecemerlangan pekerja yang merupakan tunjang belakang atau modal insan bagi kejayaan sesebuah organisasi. Sesungguhnya, organisasi yang dianggotai oleh pekerja yang cemerlang akan menjadi organisasi ini terbilang dan dikagumi oleh pelangan-pelanggannya. Malah, kakitangan yang cemerlang dan mempunyai budi bahasa yang tinggi ini akan menjadi role model kepada kakitangan yang lain.

Yang pasti, sebagai kakitangan awam, mereka perlulah menyahut cabaran ini. Bukanlah suatu perkara yang sukar untuk melahirkan kakitangan awam yang berbudi bahasa dan bertanggungjawab. Sememangnya rakyat Malaysia sudah terkenal dengan adat sopan santunnya. Cuma perkara ini perlulah diamalkan di mana jua kita berada. “Bahasa melambangkan bangsa’. Teruskan dalam memberi khidmat cemerlang kepada organisasi dan lipat gandakanlah lagi mutu perkhidmatan awam dengan amalan berbudi bahasa.

Gaya Hidup Sihat Perlu Keseimbangan Rohani dan Jasmani

Gaya Hidup Sihat Perlu Keseimbangan Rohani dan Jasmani

Puan Norkumala binti Awang 30/05/2007

Masyarakat negara kita sering terdedah dengan pelbagai masalah kesihatan yang kronik dan akhirnya mengundang kepada kematian. Ia adalah kesan daripada amalan gaya hidup yang tidak sihat dan ketidakseimbangan kesihatan rohani dan jasmani dalam kitaran hidup seharian. Kementerian Kesihatan kerap kali mengadakan kempen kesihatan untuk memberi kesedaran kepada awam tentang penjagaan kesihatan yang perlu dipupuk dalam budaya hidup kita malah perlu disemai sejak awal lagi agar kita tidak tergolong dalam kalangan yang mempunyai masalah kesihatan. Namun, adakah kempen gaya hidup sihat, “Tak Nak Merokok”, makanan berkhasiat dan kempen kecerdasan mampu mengubah pandangan masyarakat kita tentang peri pentingnya menjaga kesihatan sekaligus mengamalkan gaya hidup yang sihat? Mungkin ada sesetengah golongan menyedari akan hakikat ini dan ada juga segelintirnya yang menganggap kesihatan hanya perlu dijaga apabila sudah berusia ataupun ada sesetengah golongan merasakan usia muda menjadi tiket untuk mereka terus kekal sihat. Bagi golongan ini, apakah jaminan mereka? Usahkan menunggu sehingga umur tua, sedangkan yang masih kecil lagipun sudah mengidap pelbagai penyakit. Usia bukan jaminan untuk kita terus kekal sihat, tetapi usia boleh dijadikan satu pemangkin untuk kita menjaga kesihatan agar boleh menjalani hidup yang bermakna pada masa hadapan.

Kesihatan merupakan suatu kekayaan. Walau sehebat manapun seseorang individu, sihat masih lagi menjadi agenda utama yang perlu dikekalkan. Secara umumnya, umur 40 tahun adalah tempoh yang paling ketara pelbagai penyakit dikesan tetapi jika kita menyedari akan kepentingan penjagaan kesihatan sejak dari awal lagi, pelbagai langkah pencegahan boleh diambil dan merupakan satu cara yang terbaik daripada kita mengubatinya. Peningkatan utama masalah kesihatan masyarakat di negara kita adalah kerana gaya hidup yang tidak sihat dan seimbang termasuklah kurangnya kesedaran dalam menjaga keseimbangan dan kesederhanaan dalam hidup. Gaya hidup yang berlebihan ini akan mengakibatkan tekanan dan akhirnya memberi kesan timbulnya pelbagai penyakit. Ruang lingkup keseimbangan rohani, jasmani, akli, dan sosial perlu dirangkumkan agar ia dapat diterjemahkan sebagai gaya hidup yang sihat. Oleh itu, penjagaan kesihatan secara menyeluruh perlu dilaksanakan bagi setiap individu agar dapat meneruskan amanah dan tanggungjawab masing- masing secara harmoni. Kesihatan jasmani boleh dikekalkan melalui pengambilan makanan yang sihat dan seimbang serta melakukan aktiviti fizikal seperti senaman. Kita juga perlu menjauhkan diri daripada tabiat merokok yang boleh merosakkan kesihatan. Kesihatan jasmani yang baik juga akan memberi kesan kepada kesihatan rohani yang mantap. Makanan yang halal dan baik mampu melahirkan insan yang berkualiti dari aspek rohani dan jasmani. Kesihatan mental yang baik pula mempamerkan bahawa seseorang itu mampu mengawal tekanan hidup yang dihadapi secara bijaksana dan bebas daripada gangguan mental yang boleh mengubah keupayaan seseorang individu. Manakala kesihatan sosial ialah, individu mampu menambah atau mengekalkan jaringan hubungan antara masyarakat yang akhirnya dapat mengekalkan kesihatan diri sendiri mahupun masyarakat umumnya. Gabungjalin antara kesemua unsur itu perlu diamalkan bagi setiap individu dalam suasana hari ini agar tidak mengundang pelbagai penyakit moden yang kini kian menular dalam masyarakat kita.

Hasil kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan tahun 2006 mendapati bahawa amalan gaya hidup masyarakat di negara ini menyebabkan banyak masalah kesihatan yang kronik. Apabila masyarakat terdedah dengan faktor risiko yang lebih menjurus kepada amalan gaya hidup akan mengundang kepada penyakit berbahaya seperti jantung, kencing manis, angin ahmar, kanser, darah tinggi, kegagalan buah pinggang, kerosakan paru- paru dan penyakit tulang. Antara ciri yang boleh mendatangkan risiko penyakit berbahaya yang tidak berjangkit adalah gaya pemakanan yang tidak sihat di mana didapati seramai 8.7 juta (7.8 peratus) daripada masyarakat kita tidak memakan sayur- sayuran dan buah- buahan. Manakala sebanyak 7.2 juta (60.1 peratus) rakyat tidak menjalankan aktiviti fizikal yang sepatutnya. Dan juga ciri gaya hidup yang lain seperti merokok, minum arak, kegemukan, buncit juga mendatangkan risiko kesihatan. Jika diteliti hasil kajian ini, menunjukkan bahawa pemakanan secara seimbang dan aktiviti fizikal tidak dititikberatkan dalam gaya hidup masyarakat Malaysia. Sebab itulah pesakit kanser, jantung, diabetes dan darah tinggi adalah antara golongan yang paling banyak menerima rawatan di hospital kerajaan sepanjang tahun 2006 (Kementerian Kesihatan) di mana penyakit tersebut adalah penyakit yang disebabkan oleh faktor pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat. Oleh itu, kita seharusnya melihat bahawa arus penyakit pada hari ini lebih menjurus kepada unsur pemakanan dan gaya hidup walaupun mungkin terdapat juga faktor persekitaran dan lahiriah yang menyumbang kepada masalah penyakit tersebut. Sepatutnya, kita perlu ada kesedaran di dalam diri untuk menggiatkan lagi penjagaan kesihatan walaupun di usia muda kerana pengabaian kesihatan menyebabkan kita seolah- olah menyimpan bom yang akan meletup bila- bila masa sahaja apabila sampai kepada tahap kronik. Oleh itu, seharusnya kita berwaspada.

Masalah kesihatan di dunia kini mengalami revolusi di mana jika dahulu kebanyakan masyarakat mengalami masalah kekurangan zat galian dan vitamin tetapi hakikat hari ini telah berubah di mana masyarakat mengalami masalah kesihatan disebabkan terlebih makan dan seterusnya berlanjutan kepada masalah lebihan kolesterol, lebihan gula dan kegemukan. Penyakit yang wujud dalam masyarakat sekarang adalah kerana manusia tidak mengikut peraturan yang telah disusun oleh Allah SWT dan mengikut Sunnah yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW. Ia berlaku akibat kelalaian dan kealpaan manusia itu sendiri kerana tidak menjaga keseimbangan dalam hidup. Keseimbangan adalah penting untuk kita mengekalkan kesihatan yang optimum. Namun, disebabkan kegagalan inilah menyebabkan mereka mendapat pelbagai penyakit. Sepertimana yang termaktub dalam surah ar- Ruum ayat 41 di mana Allah mengingatkan kita bahawa kerosakan di muka bumi ini adalah akibat daripada perbuatan manusia itu sendiri dan mereka perlu bertanggungjawab dan merasakan akibat daripada perbuatan tersebut.

Nyata hari ini, masyarakat kurang menyayangi diri mereka dengan tidak mengamalkan pemakanan halal dan sihat, gaya hidup yang tidak sihat, terdedah kepada tekanan yang juga menjadi akar umbi kepada masalah kesihatan dan juga tidak menitikberatkan soal kesihatan rohani. Agama Islam melarang manusia mementingkan diri sendiri tetapi kita bertanggungjawab untuk menjaga diri dan seharusnya ia dijadikan penggerak untuk memperbaiki mutu kesihatan diri kita. Oleh itu, sudah sampai masanya masyarakat muhasabah kembali kesilapan dan memperbetulkannya serta perlu menjadikan kesihatan sebagai satu amalan penting dalam hidup tidak kira semua lapisan umur. Gaya hidup yang sihat memerlukan kita menjaga keseimbangan antara rohani dan jasmani bagi mengelakkan pelbagai serangan penyakit moden kini dan seterusnya kita boleh meneruskan kehidupan ini dengan kekal sihat dan teratur.

Jangan Khianati Amanah Pelanggan

Jangan Khianati Amanah Pelanggan

Puan Mastura binti Mohd Zain

Baru-baru ini polis telah mengeluarkan senarai nama dan gambar 25 peguam dari seluruh negara yang sedang dicari bagi membantu siasatan 217 kes jenayah penyelewengan dan pecah amanah yang nilainya mencecah jutaan ringgit. Sejak 1995, sebanyak 249 aduan pecah amanah melibatkan peguam tempatan diterima polis dan daripada jumlah itu sebanyak 40 hingga 50 kes dilaporkan dilakukan pada awal tahun ini.

Menurut pihak polis, kes-kes yang dilaporkan biasanya membabitkan peguam-peguam yang diberi kepercayaan sebagai pemegang amanah ke atas urusan jual-beli melibatkan pembelian rumah dan tanah. Contohnya, dalam satu kes urusan jual-beli rumah, pembeli sudah membayar wang pendahuluan yang dijanjikan menerusi peguam tetapi peguam tersebut tidak membuat pembayaran kepada pemaju sebaliknya melarikan duit itu. Kes-kes tersebut disiasat oleh polis di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan peguam-peguam itu boleh dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun.

Daripada keseluruhan aduan kes pecah amanah melibatkan peguam yang diterima setakat ini, polis telah pun menyelesaikan sebanyak 32 kes. Satu senarai lain yang membabitkan lebih ramai peguam akan turut dikeluarkan secara berperingkat-peringkat bagi membantu siasatan. Nilai kerugian sehingga RM3 juta adalah yang tertinggi dalam kes-kes pecah amanah melibatkan peguam sehingga memaksa polis mengeluarkan senarai 25 orang peguam yang sedang dicari untuk membantu siasatan. Ini juga merupakan satu pendedahan yang sangat berani dan membanggakan oleh pihak polis dalam usaha mereka untuk menyelesaikan kes sebegini.

Sememangnya para peguam merupakan manusia biasa yang sentiasa terdedah kepada godaan berurusan dengan wang ringgit, maka itu terdapat Akta Profesion Guaman 1976 yang menyediakan peruntukan berhubung kesalahan pecah amanah yang dilakukan mereka. Melalui Seksyen 93(1) Akta Profesion Guaman 1976, Lembaga Disiplin Majlis Peguam Malaysia ditubuhkan. Antara lain Seksyen 94 Akta tersebut memberikan kuasa kepada Lembaga untuk menyingkirkan seseorang peguam yang telah melakukan sebarang salah laku(misconduct) atau digantung daripada senarai pengamal undang-undang selama tidak lebih daripada lima tahun.

Profesion Perundangan(Amalan dan Etika) Kaedah 1978 pula mengandungi semua peraturan akhlak bagaimana seorang peguam harus bertindak dan ketrampilan mereka sama ada sesama peguam ataupun dengan pelanggan dan orang awam. Etika profesion perundangan adalah merangkumi nilai moral dan tanggungjawab profesional satu dengan yang lain dan terhadap pelanggan serta mahkamah. Inilah yang diberi keutamaan dalam kaedah 1978 ini.

Hukuman paling berat jika terbukti salah laku terhadap Kaedah 1978 dan juga Akta Profesion Guman 1976 ini, adalah peguam boleh disingkirkan daripada senarai pengamal undang-undang atau digantung sementara, dan yang paling ringan adalah dikenakan denda. Pihak yang dikenakan hukuman bolehlah membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Lembaga Disiplin tersebut. Rayuan pemohon hendaklah dibuat dalam tempoh sebulan daripada pemberitahuan keputusan atau perintah tersebut. Rayuannya itu akan didengar oleh panel tiga hakim mahkamah tinggi dan akan dipertimbangkan sebagaimana kaedah rayuan biasa.

Majlis Peguam mengatakan sejak tahun 1981 hingga kini seramai 171 orang telah digantung(daripada mengamalkan undang-undang), 99 digantung sementara dan 233 orang pula dilucutkan daripada senarai pengamal undang-undang. Majlis peguam juga mendedahkan bahawa mereka menerima tuntutan sebanyak hampir RM44 juta daripada mangsa pecah amanah oleh peguam sejak tahun 1998 hingga 2004 dengan jumlah aduan sebanyak 297 dan 100 peguam dipecat untuk tempoh yang sama.

Walaupun setiap pengamal undang-undnag membayar premium insurans bagi kecuaian professional dan salah laku hingga ke tahap RM1.2 juta tetapi hakikatnya Majlis Peguam tidak mampu membayar keseluruhan jumlah tuntutan. Majlis Peguam selalunya hanya dapat membayar 10 peratus daripada jumlah tuntuan yang dikemukakan.

Keadaan sebegini menimbulkan kesedaran betapa pentingnya manusia itu mempunyai nilai kehidupan yang baik bagi dijadikan asas dan pedoman hidup. Bagi orang Islam, tentunya kehidupan yang berkat adalah kehidupan di dalam lingkungan syariat Islam, yang memberikan batasan dan pedoman serta memandu manusia memilih jalan yang baik dan sebaliknya. Bagi seorang Islam yang beriman mematuhi unsur syarak adalah suatu tuntutan dan kewajipan. Ini kerana sekadar pertimbangan akal fikiran, atau akal dan nafsu sahaja tidak menjamin syarak dipatuhi. Juga jika kita berpandukan terdapat ramai orang yang melakukannya, ini tetap tidak bermakna ia selari dengan syarak.

Oleh yang demikian kehidupan yang baik adalah keyakinan dan kepatuhan yang teguh terhadap agama dan menjadikan manusia sentiasa patuh, taat dan tunduk kepadaNya. Bila ini terjadi orang yang memegang amanah akan menunaikannya kepada mereka yang berhak, kerana amanah ini bukan saja terhadap manusia tetapi lebih utama ialah terhadap Allah swt. Kita harus yakin hanya dengan keimanan yang teguh akan membawa kita kepada kehidupan yang direda’i Allah.

Pendekatan modal insan yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke 9 boleh dimanfaatkan ke arah ini. Pendekatan bersepadu diperlukan dalam pembangunan modal insan untuk menilai sesuatu kejayaan dengan cara menyatupadukan ilmu dan akhlak. Kekuatan jasmani dan rohani harus dijana sebaik mungkin untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat dan tidak hanya sekadar di dunia. Oleh itu pembangunan insan dan persoalan akhlak tidak dapat dipisahkan bila berbicara tentang modal insan. Tanpa iman dan akhlak, akal fikiran kelas pertama pun tidak mungkin dapat memberi kesan baik kepada pembangunan insan.

Sebagai golongan yang sentiasa diamanahkan dengan pelbagai kepentingan sudah sewajarnyalah peguam menjalankan tanggungjawab dengan penuh jujur. Keadilan kepada orang awam yang memberikan kepercayaan penuh terhadap seseorang peguam dengan harta dan masa depan mereka akan terjejas dengan sikap rakus dan tidak amanah para peguam yang sedemikian.

Pendidikan Sempurna Penting untuk Pembangunan Negara

Pendidikan Sempurna Penting untuk Pembangunan Negara

Puan Nor Hartini binti Saari

Islam amat mementingkan soal pendidikan dan penguasaan ilmu pengetahuan yang sempurna. Ini kerana pendidikan merupakan salah satu tunjang utama dalam pembangunan sosial negara. Pengabaian dalam soal pendidikan bererti mengabaikan kebajikan masyarakat dan menjejaskan pembangunan sesebuah negara. Kepentingan pendidikan kepada pembangunan sesebuah negara dapat dilihat dengan peruntukan perbelanjaan negara yang besar pada setiap tahun untuk tujuan membangunkan sistem pendidikan yang diperlukan oleh masyarakat. Tindakan ini dianggap sebagai satu pelaburan yang besar untuk menjamin kemajuan yang berterusan dan bagi membangunkan modal insan ‘minda kelas pertama’ pada masa akan datang.

Kita sedia maklum bahawa menuntut ilmu adalah satu fardu (wajib) terhadap seseorang insan. Maka, dengan adanya pendidikan ini, ia mampu mengeluarkan seseorang atau sesebuah keluarga daripada kepompong kemiskinan. Oleh itu, untuk keluar daripada belenggu kemiskinan, maka pendidikan yang dapat menentukan sejauhmanakah seseorang itu boleh pergi lebih jauh lagi. Dengan kata lain, semakin tinggi pengetahuan pendidikan yang dicapai, semakin terbuka luas peluang pasaran untuk menjawat pelbagai jawatan dan mendapat pulangan yang lumayan. Namun begitu, kepentingan pendidikan ini tidak harus dilihat dari segi matlamat ekonomi sahaja, tetapi ia berkaitan dengan melahirkan seorang insan yang beriman, bertanggungjawb, amanah, mempunyai akhlak atau moral yang tinggi serta matang dalam menguruskan kehidupan diri dan keluarga dengan lebih sempurna.

Hakikatnya, pendidikan merupakan satu pra-syarat kepada kemajuan kerana pendidikan dikaitkan dengan penyebaran dan penghasilan ilmu-ilmu pengetahuan yang dapat membantu manusia membangunkan kehidupannya dengan lebih baik. Namun demikian, berdasarkan pengalaman negara-negara yang telah pun lebih dahulu maju dari segi sistem pendidikannya wujud beberapa masalah. Pertamanya ialah berkaitan dengan muncul satu keadaan di mana para pelajar hanya belajar untuk lulus dalam peperiksaan. Ini menyebabkan fokus utama mereka dan juga penekanan ibubapa kepada pencapaian di dalam peperiksaan semata-mata tanpa memberi perhatian kepada pembinaan peribadi seseorang pelajar itu. Ukuran kejayaan seseorang pelajar itu bukannya hanya berdasarkan kepada pencapaian akademik yang cemerlang semata-mata. Natijahnya lahirlah individu-individu yang tidak seimbang disebabkan penekanan pendidikan yang juga tidak seimbang.

Dengan pendidikan yang tidak seimbang ini mana mungkin negara kita dapat mengecap pembangunan yang mampan. Sebagai contoh, penghasilan kualiti graduan akhir-akhir ini didapati tidak seimbang untuk keperluan pekerjaan bagi membangukan negara. Masalah ini menyebabkan negara kita mengalami kekurangan pekerja mahir di dalam bidang yang benar-benar dikehendaki oleh negara untuk program-program pembangunan. Malah, apa yang kerap berlaku ialah ramai graduan yang dihasilkan adalah terdiri dari bidang-bidang yang tidak diperlukan atau pun yang sudah berlebihan dari segi keperluannya. Keadaan ini juga akan membantutkan pembangunan dan kemajuan sesebuah Negara.

Justeru itu, kepentingan ilmu pengetahuan yang seimbang dari sudut rohani dan kemahiran kini menjadi satu keperluan yang amat mustahak bagi sesebuah negara. Tanpa ilmu pengetahuan yang seimbang, keupayan untuk memajukan negara adalah amat sukar malahan akan menjejaskan apa jua rancangan dan kemajuan yang telah direncanakan. Begitulah pentingnya ilmu pengetahuan, tanpanya siapalah kita. Dunia kini lebih mengutamakan ilmu pengetahuan. Jika bangsa kita tidak berilmu kita akan jauh ketinggalan, malah akan ditinggalkan dalam usaha untuk memaju dan menjana pembangunan negara.

Apakah kita mahu senario ini berlaku kepada bangsa dan negara kita? Rasanya, kita tidak mahu tertinggal dalam apa jua bidang ilmu. Kerana kita mahu bangsa kita menjadi besar dan dihormati. Kita mahu bangsa kita boleh mencetuskan idea-idea yang besar, kita tidak mahu hanya menjadi sebagai pemerhati, pengguna dan ‘pak turut’ semata-mata tetapi kita lebih rela menjadi pencetus keilmuan di dunia ini. Begitulah sebenarnya harapan menggunung yang kita idam-idamkan untuk menjadi bangsa yang ‘hebat’ dan ‘besar’.

Walau bagaimanapun, bagi merealisasikannya kita memerlukan komitmen semua pihak. Kita maklum bahawa pada tahun ini Negara kita bakal menyambut 50 tahun kemerdekaan. Apakah pada usia 50 tahun ini bangsa kita masih lagi berada di takuk yang lama, membiarkan bangsa-bangsa asing memonopoli bidang yang sepatutnya bangsa kita sendiri yang mengunggulinya. Sebenarnya dalam mengejar pembangunan ini, selain pendidikan, sikap bangsa kita juga perlu berubah. Masa untuk menunggu peluang datang bergolek ke atas riba sudah lama berlalu. Setiap orang perlulah mengintai peluang kekosongan yang ada dalam membangunakan segala projek yang telah direncanakan.

Baru-baru ini terdapat beberapa projek mega untuk pembangunan negara telah dilancarkan, antaranya adalah Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER). Sekilas pandang, projek-projek ini mencerminkan satu kekuatan ekonomi jangka panjang yang terancang untuk pembangunan negara. Jadi persoalannya kini bagaimanakah peluang ini dapat diambil oleh bangsa kita jika mereka masih ketinggalan dalam aspek pendidikan? Terdapat segelintirnya yang masih lagi dilihat malas, membuang masa menjadi hanya ‘pak turut’ dalam gejala sosial yang negatif, dan bagaimana pula kemajuan negara hendak dicapai dalam masa yang telah ditetapkan? Jika peluang yang ada, tidak direbut oleh bangsa kita, di manakah letaknya bangsa kita pada masa akan datang? Itu yang perlu difirkan.

Justeru kita merasakan, pendidikan yang sempurna itu penting dalam menerajui sesebuah pembangunan negara. Kita tidak mahu pembangunan yang dirancang ini semata-mata hanya menampilkan peluang pekerjaan kepada bangsa lain atau warga asing yang sentiasa mengintai peluang yang ada. Kita mahu bangsa Melayu itu sendiri memanfaatkan ilmu pengetahuan dalam menjayakan projek yang ada seterusnnya mengubah nasib hidup mereka.

Apa yang pasti, ilmu itu amatlah penting untuk diteroka dan didalami. Maksud mendalaminya bukan lagi secara akademik ataupun ilmiah tetapi lebih menjurus kepada penghayatan ilmu itu sendiri. Memang benar kita banyak mempunyai para ilmuan yang dilahirkan oleh beberapa universiti, tetapi itu bukan bermakna kita mempunyai segala-galanya. Kini kita memerlukan mereka yang mempunyai pelbagai cabang ilmu. Terutama ilmu kemahiran yang pelbagai bagi kepentingan negara di masa mendatang.

Justeru itu, kepentingan pendidikan atau ilmu pengetahuan itu sangatlah penting untuk diberikan ruang yang selayaknya dalam kita sama-sama menyambut 50 tahun kemerdekaan. Moga-moga dengan berbekalkan ilmu pendidikan yang seimbang, ia mampu menjadi wadah ke arah kecemerlangan ummah dan negara.

Sejauh Manakah Sumbangan Biodiversiti Terhadap Kehidupan Sejagat?

Sejauh Manakah Sumbangan Biodiversiti Terhadap Kehidupan Sejagat?

Puan Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin

Biodiversiti memberi sumbangan yang sangat besar dan tidak ternilai kepada kehidupan manusia sejagat. Ia menjadi penyumbang kepada sejumlah besar bekalan makanan (yang diperolehi daripada spesies flora dan fauna yang wujud) dalam kehidupan seharian kita. Malah sepanjang sejarah, manusia sangat bergantung kepada biodiversiti bagi meneruskan kelangsungan hidup. Sebagai contoh, penangkapan ikan dunia tahunan (dengan kadar purata 100 juta tan metrik) menggambarkan bahawa ia membekal sumber protein yang sangat penting kepada kehidupan manusia dengan lebih daripada 20% populasi di Afrika dan Asia bergantung kepada ikan sebagai sumber protein utama mereka. Sementara itu, haiwan daratan pula membekalkan hasil makanan seperti telur, susu, daging dan sebagainya kepada kita melalui sektor penternakan.

Biodiversiti liar pula menyediakan pelbagai sumber bahan mentah dan makanan merangkumi buah-buahan, kekacang, bijirin, cendawan, madu, rempah ratus, dan bahan perisa. Sumber bekalan makanan liar ini sangat penting kepada kita terutamanya apabila bekalan makanan daripada hasil pertanian menemui kegagalan. Dengan adanya biodiversiti liar, ia menjadi penampung kepada kegagalan sesetengah sistem pertanian maju. Sebagai contoh, daya pengeluaran hasil tanaman pertanian dunia membangun adalah dikekalkan melalui penyerapan lazim gen daripada penghubung liar hasil tanaman ini. Gen liar ini memberikan ketahanan terhadap serangga perosak dan penyakit yang mana ia dapat mengawal ancaman secara berterusan kepada tuaian. Dengan adanya gen liar yang bertindak sebagai pembiakbaik tumbuhan, ia membantu menghasilkan tumbuhan bermutu dan mengeluarkan hasil tinggi yang sekaligus menjana pendapatan berjuta-juta ringgit dalam sektor pertanian global. Jika spesies berkenaan pupus, maka kolam gen yang berpotensi bagi pertanian masa depan juga akan musnah.

Bukan itu sahaja, malah sehingga kini tumbuhan liar masih menjadi sumber makanan berjuta-juta penduduk pedalaman yang miskin dan juga masyarakat orang asli. Sebagai contoh, penduduk di kawasan pedalaman Thailand menjalankan aktiviti memungut dan mengumpul tumbuhan liar untuk dijadikan sumber makanan semasa musim hujan. Manakala bagi penduduk di bandar Iquitos, Peru pula, buah-buahan daripada enam puluh spesies tumbuhan liar dipungut untuk dijual di pasar-pasar. Walaupun para petani boleh membeli dan menanam biji benih yang telah diubahsuai secara genetik (GM) menggunakan teknik molekular terkini, namun produktiviti makanan masih lagi bergantung kepada biodiversiti tumbuhan yang harus dikekalkan oleh amalan pertanian tradisional. Bagi biodiversiti marin di Sabah misalnya, rumpai laut dan ikan diternak sebagai salah satu industri yang besar dan sangat menyumbang kepada ekonomi negara.

Biodiversiti juga menjadi penyumbang kepada sumber ubat-ubatan yang wujud pada hari ini baik ubat-ubatan tradisional mahupun ubat-ubatan moden. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa 80% daripada penduduk dunia membangun bergantung kepada ubat-ubatan tradisional yang diperoleh terutamanya daripada spesies tumbuh-tumbuhan. Di Asia Tenggara misalnya, penyembuh tradisional menggunakan sejumlah 6, 500 spesies tumbuhan berbeza untuk merawat malaria, ulser perut, siflis dan penyakit-penyakit lain. Malah, biodiversiti juga kritikal kepada sektor kesihatan ‘rasmi’ dunia membangun. Hasil tinjauan yang direkodkan menunjukkan bahawa sebanyak 150 preskripsi dadah digunakan di United States dan 118 daripadanya adalah berasaskan sumber biodiversiti. Daripada jumlah tersebut, didapati sebanyak 74% adalah diperolehi daripada spesies tumbuh-tumbuhan. Ini sekaligus telah meningkatkan penggunaan spesies tumbuhan dalam bidang perubatan. Kebiasaannya bahagian-bahagian yang berguna daripada spesies tumbuh-tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan adalah seperti bahagian batang, akar, pucuk, daun dan ubi. Struktur dan kandungan ubat yang dihasilkan daripada spesies tumbuh-tumbuhan adalah bergantung kepada jenis penyakit yang hendak diubati.

Bagi spesies-spesies daripada ekosistem marin seperti sepan, batu karang dan rumpai laut, selain menyumbang sumber makanan, ia juga boleh digunakan dalam pelbagai jenis industri seperti sektor perubatan dan juga bioteknologi. Sebagai contoh, dalam bidang perubatan, spesies batu karang dikatakan amat sesuai digunakan bagi menggantikan tulang berbanding dengan besi. Selain itu, hasil kajian lain yang dijalankan oleh ahli biologi marin telah mendapati bahawa spesies sepan mempunyai komponen anti bakteria dan sangat sesuai digunakan dalam ubatan anti bakteria. Manakala dalam bidang bioteknologi pula, saintis telah mendapati batu karang mempunyai kompaun yang boleh melindungi kulit daripada pancaran ultra violet (ultralembayung) yang sangat sesuai digunakan dalam industri alat solek iaitu untuk penghasilan krim penahan sinaran matahari.

Bagi mikrob dan sebahagian spesies haiwan pula menyumbang sebahagian daripada ubatan termasuk Penicilin (yang dihasilkan daripada fungus Penicillium notatum) dan beberapa dadah termasuk anesthetics yang dihasilkan daripada rembesan kulit spesies katak pokok. Sumbangan sumber ubatan daripada komponen biodiversiti adalah mewakili pecahan yang terlalu kecil daripada spesies bumi yang diselidiki secara langsung untuk keperluan perubatan. Proses penyelidikan secara berterusan sentiasa menemukan sumber ubatan baru yang lebih baik. Sebagai contoh, satu kajian ke atas spesies siput telah dapat mengenalpasti sejenis ubat penahan sakit yang lebih berkesan daripada morfin tanpa memberi kesan ketagihan kepada pesakit.

Selain itu, biodiversiti turut menyumbang sebahagian besar sumber pendapatan kepada manusia sejagat. Sumbangan-sumbangan yang disebutkan di atas sekaligus turut menyediakan faedah ekonomi secara menyeluruh dalam kehidupan manusia. Ia juga sangat penting dan menjadi penyumbang secara langsung kepada sumber pendapatan dan pembangunan ekonomi sesebuah negara. Satu contoh yang jelas ialah ‘bioprospek’ iaitu pencarian ke atas hasil biotik yang tidak diketahui kegunaan spesifik seperti pestisid semulajadi, toksin antifungal dan enzim. Penemuan senarai hebat sumber ‘serbaneka’ yang disumbangkan oleh biodiversiti juga merangkumi kebanyakan bahan binaan yang sangat penting daripada bahan balak dan bukan balak dalam sektor perhutanan, gentian, bahan bakar, damar, rotan, haruman, bahan pewarna dan getah. Walaupun hasil keluaran tersebut bernilai rendah, namun pada umumnya ia sangat berguna kepada masyarakat dan penjanaan ekonomi sesebuah negara.

Malah bagi sesetengah negara, biodiversiti memberi sumbangan ekonomi yang besar melalui aktiviti pelancongan dan rekreasi. Ekosistem marin misalnya boleh dijadikan kawasan tarikan bagi aktiviti pelancongan seperti taman laut yang boleh menjana kepada pembangunan ekonomi yang besar kepada sesebuah negara. Bagi mereka yang menghabiskan percutian sambil menikmati alam semulajadi dianggarkan menyumbang sekurang-kurangnya 500 bilion setahun sumber pendapatan kepada negara yang dilawati. Sebagai contoh, ekosistem terumbu karang di Florida menjana sumber pendapatan sebanyak 1.6 billion setahun hanya melalui aktiviti pelancongan sahaja. Bahkan biodiversiti juga turut memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi sesebuah negara melalui aktiviti penyelidikan, terutamanya melalui hasil penyelidikan yang dikomersialkan dan dipasarkan ke peringkat global.

Biodiversiti juga turut memberi sumbangan terhadap nilai budaya dan agama. Adalah bukan sesuatu yang aneh jika manusia ingin menghabiskan masa yang banyak untuk mendekati alam. Ini kerana, manusia secara naluri memperoleh kepuasan estetik dan rohani daripada biodiversiti dan persekitaran yang didiami. Malah ada kajian mendapati bahawa emosi yang baik dapat ditambah apabila kita menyelami keindahan alam semulajadi. Dalam agama Islam sendiri pun menggalakkan kita sebagai makhluk di bumi ini mencintai keindahan alam semulajadi kita. Dengan kata lain, ia memberi sumbangan yang penting dari aspek sosial misalnya untuk menjalankan kegiatan rekreasi luar seperti memburu, memancing, berkhemah, berkhelah, menerokai sumber biodiversiti dan menikmati keindahan alam. Bukan itu sahaja, bahkan hubungan yang rapat antara manusia sejagat dan biodiversiti juga turut digambarkan melalui seni, agama dan adat resam pelbagai budaya manusia. Warisan kerohanian kita ini akan hilang selamanya jika kita sebagai khalifah Allah di bumi ini tidak menjaganya dengan baik dan membiarkan kemusnahan dilakukan secara berterusan ke atas biodiversiti kita.

Dengan menghayati sumbangan-sumbangan yang cukup besar yang diperolehi daripada komponen biodiversiti, ia jelas menggambarkan bahawa manusia sangat bergantung kepada sumber biodiversiti untuk meneruskan kelangsungan hidup dan pembangunan. Kewujudan biodiversiti jangka panjang sangat perlu dalam memastikan pencapaian berterusan terhadap pembangunan manusia sejagat. Justeru itu, komponen biodiversiti perlu dipelihara terutamanya dalam mengekalkan sesuatu habitat kerana setiap satu spesies yang menghuninya mempunyai nilai yang tersendiri terhadap kehidupan sejagat. Nasib biodiversiti kita pada masa hadapan adalah bergantung kepada bagaimana manusia mengolah dan menggunakannya pada hari ini. Penggunaan sumber biodiversiti secara terkawal dan disusuli dengan program pemuliharaan akan mampu menyelamatkan khazanah biodiversiti yang kita pinjam daripada anak cucu kita. Dalam mengekalkan kelebihan biodiversiti yang ada, aspek yang penting adalah bagaimana kita menggalas cabaran yang melanda biodiversiti dan kehidupan kita setiap hari. Jika kita mampu memikul tanggungjawab menjaga khazanah alam yang diamanahkan kepada kita dengan baik, Insya Allah ia akan dapat dipelihara dan dikekalkan untuk turut dinikmati oleh generasi seterusnya.

Create your website with WordPress.com
Get started