Design a site like this with WordPress.com
Mulakan

MERAWAT MASALAH KEKELUARGAAN DAN RUMAHTANGGA

MERAWAT MASALAH KEKELUARGAAN DAN RUMAHTANGGA

Merawat Masalah Kekeluargaan dan rumahtangga, hasil tadabbur Surah Yusuf dan Maryam

“… Masa dan sabar, pengubat hubungan…”

Surah Yusuf dan Maryam sangat indah dan sesuai untuk ditadabburi oleh mereka yang ingin mengambil iktibar dalam masalah rumahtangga dan hubungan kekeluargaan.

Allah berfirman;

لَقَدْ كَانَ فِي يُوسُفَ وَإِخْوَتِهِ آيَاتٌ لِلسَّائِلِينَ

“Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda kekuasaan Allah pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya.” (Yusuf: 7)

1. Surah-surah ini mengajarkannya kita hakikat kehidupan insan bahawa tiada manusia yang terlepas daripada masalah rumahtangga dan kekeluargaan, hatta keluarga para nabi.

Nabi Yusuf alaihisalam diuji dengan adik-beradik yang cemburu dan Nabi Ya’kub alaihisalam diuji dengan anak-anak yang degil lagi derhaka.

2. Kebanyakan musibah dan fitnah bermula daripada niat yang baik, sebagaimana anak-anak Ya’kub alaihisalam yang berniat baik,

Kata mereka;

اقْتُلُوا يُوسُفَ أَوِ اطْرَحُوهُ أَرْضًا يَخْلُ لَكُمْ وَجْهُ أَبِيكُمْ وَتَكُونُوا مِنْ بَعْدِهِ قَوْمًا صَالِحِينَ

“Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia kesuatu daerah (yang tak dikenal) supaya perhatian ayahmu tertumpah kepadamu saja, dan sesudah itu hendaklah kamu menjadi orang-orang yang baik.” (Yusuf: 9)

Mereka bertujuan baik, (يَخْلُ لَكُمْ وَجْهُ أَبِيكُمْ) untuk mendapatkan perhatian dan kasih sayang penuh bapa mereka iaitu Ya’kub alaihisalam yang dianggap berat sebelah pada sangkaan mereka.

3. Banyak hubungan kekeluargaan, rumahtangga rosak akibat sangkaan dan anggapan. Sangkaan atau disebut الظن seringkali menjadi alat syaitan merosakkan hubungan sesama manusia.

Kerana itu Allah berfirman;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah bersangka-sangka, kerana sebahagian dari sangka-sangka itu dosa…” (Al-Hujurat:12)

Agaknya, rasa-rasa, mungkin, jangan-jangan… seringkali menjadi racun yang merosakan  perasaan dan hati nurani manusia.

4. Menangis itu lumrah, dalam Al-Quran, Allah menceritakan bagaimana Nabi Allah Ya’kub alaihisalam menangis kerana kehilangan anaknya Yusuf sedangkan baginda ialah Nabi Allah dan demikian Maryam yang menangis dan bersedih sambil mengeluh atas nasib dirinya yang hamil tanpa suami dan bimbang tuduhan buruk orang-orang ke atas dirinya.

Allah berfirman tentang Maryam yang menyebut;

يَا لَيْتَنِي مِتُّ قَبْلَ هَٰذَا وَكُنْتُ نَسْيًا مَنْسِيًّا

“Aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini, dan aku menjadi barang yang tidak berarti, lagi dilupakan”. (Maryam: 23)

Kata-kata Maryam ini bukanlah bermaksud beliau tidak redha atau berputus asa tetapi mengambarkan bahawa agama ini bukan hitam putih atau semuanya perlu dihukum sebagai halal atau haram, sah atau batal.

Ada kalanya, biarkan sahaja.

Allah abadikan keluhan ini bagi mengambarkan betapa Allah menyantuni keluhan hamba-hamba-Nya dan bukan hanya mahu menghukum sebagai kufur, syirik, kafir, fasik, derhaka dan sebagainya.

5. Syaitan adalah perosak dan punca sebenar kepada segala perselisihan dan masalah di antara sesama keluarga dan rumahtangga.

Allah berfirman;

مِنْ بَعْدِ أَنْ نَزَغَ الشَّيْطَانُ بَيْنِي وَبَيْنَ إِخْوَتِي ۚ

“.. setelah syaitan merosakkan (hubungan) antaraku dan saudara-saudaraku…(Yusuf: 100)

Kerana itu penting bagi setiap yang bergaduh untuk membaca أعوذ بالله من الشيطان الرجيم bagi meminta perlindungan Allah daripada syaitan.

Sebagaimana dalam hadith Al-Bukhari dan Muslim tentang dua orang yang bergaduh di hadapan Nabi salallahualaihiwassalam dan disuruh mereka supaya membaca تَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ bagi menghilangkan kemarahan mereka.

Diriwayatkan dari Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;

إذا غضب الرجل فقال : أعوذ بالله سكن غضبه

“Jika seseorang itu marah, lalu dia mengatakan: a’udzu billah (aku berlindung pada Allah), maka akan redalah marahnya.” [HR. Ibn Adi dalam Al-Kamil]

6. Ubat dan rawatan yang paling mujarab bagi masalah kekeluargaan dan rumahtangga ialah kesabaran dan masa.

Dikatakan oleh ahli tafsir bahawa tempoh perpisahan Yusuf alaihisalam dengan bapa dan ahli keluarganya ialah selama 30 tahun, ada yang berpendapat selama 40 tahun dan ada yang mengatakan tempohnya adalah lebih daripada itu seperti Imam Ibn Jarir Al-Tabari rahimahullah yang meriwayatkan bahawa tempohnya ialah selama 80 tahun lebih.

Para ahli hikmah menyebut;

 الصبر كالصبر مر في مذاقته لكن عواقبه أحلى من العسل

`Sabar itu adalah pahit seperti buah Sibr rasanya, tetapi hasil akibatnya adalah lebih manis daripada madu.. ‘

Pergaduhan adik-beradik, perpisahan anak beranak, pertengkaran suami isteri, ipar-duai, mertua dan sebagainya memakan masa untuk pulih atau baik.

7. Orang yang gopoh, tidak penyabar dan anak muda yang belum berpengalaman dalam seluk beluk rumahtangga, isu kekeluargaan perlulah menahan diri daripada mencampurinya kerana dibimbangi membawa mudharat daripada ubat.

Bukan semua perkara perlu kepada fatwa dan dijawab,

لكل مقال مقام ، وليس كل ما يعلم يقال

‘Bagi setiap ungkapan itu ada tempatnya dan bukanlah setiap apa yang diketahui itu diucapkan..’

Itulah maksud hikmah, mengetahui apa dan bagaimana..

Ketenangan الأناة ialah hasil daripada ketabahan hati dan kemampuan untuk bersabar dan mengawal diri.

Allah berfirman tentang Yusuf yang berhasil mengawal emosi dirinya, agar rahsianya terpelihara;

قَالُوا إِنْ يَسْرِقْ فَقَدْ سَرَقَ أَخٌ لَهُ مِنْ قَبْلُ ۚ فَأَسَرَّهَا يُوسُفُ فِي نَفْسِهِ وَلَمْ يُبْدِهَا لَهُمْ ۚ قَالَ أَنْتُمْ شَرٌّ مَكَانًا ۖ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا تَصِفُونَ

“Mereka berkata: “Jika dia mencuri, maka sesungguhnya, telah pernah mencuri pula saudaranya sebelum itu”. Maka Yusuf pun menyembunyikan kejengkelan itu pada dirinya dan tidak menampakkannya kepada mereka. Dia berkata (dalam hatinya): “Kamu lebih buruk kedudukanmu (sifat-sifatmu) dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu terangkan itu”. (Yusuf: 77)

Bukan semua isi hati, komen dan perasaan kita perlu dizahirkan, ada kalanya demi mencapai sesuatu tujuan dan maslahat, ianya disimpan dan dipendamkan.

Itulah kematangan hidup.

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَمَنْ يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

“… Allah menganugerahkan al hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah, dia telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal yang dapat mengambil pelajaran…” (Al-Baqarah: 269)

https://ustaz.blogspot.com/2020/02/merawat-masalah-kekeluargaan-dan.html

JIKA DIAMBIL ILMU ITU DARIPADA TOKOHNYA, KITA PUN AKAN SELAMAT

JIKA DIAMBIL ILMU ITU DARIPADA TOKOHNYA, KITA PUN AKAN SELAMAT

Diriwayatkan bahawa Imam Malik bin Anas rahimahullah (wafat 179 H) pernah menyebut;

إن هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذون دينكم

‘Sesungguhnya ilmu ini merupakan agama. Maka, lihatlah dengan siapa kamu mengambil agama kamu.’

لقد أدركنا في هذا المسجد سبعين ممن يقول قال فلان قال رسول الله صلى الله عليه وسلم وإن أحدهم لو ائتمن على بيت مال لكان أمينا عليه فما أخذت منهم شيئا ، لم يكونوا من أهل هذا الشأن

‘Sesungguhnya aku telah bertemu dengan 70 orang di Masjid Nabi ini yang menyatakan telah berkata fulan bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda (menyampaikan hadis). Sesungguhnya jika salah seorang daripada mereka itu diamanahkan untuk menjaga Baitulmal, nescaya dia ialah orang yang amanah, namun aku tidak mengambil sesuatu pun (hadith) daripada mereka kerana mereka bukanlah ahli dalam bidang ini (hadith).’

ويقدم علينا محمد بن مسلم بن شهاب الزهري وهو شاب فنزدحم على بابه

‘Namun apabila datang kepada kami Muhammad bin Muslim bin Syihab Az-Zuhri (wafat 125 H) walaupun dia masih muda maka kami bersesak-sesak ke pintu rumahnya (untuk belajar hadith).’

[Al-Adab Asy-Syar’iyah wa Al-Minah Al-Mar’iyah, Ibn Muflih]

# Jangan asal berguru dengan sesiapa sahaja yang sedap didengar kata-katanya, kerana gula itu walaupun manis boleh membawa penyakit. Tetapi belajar dan bergurulah daripada mereka yang ahli dalam bidangnya!

https://ustaz.blogspot.com/2018/02/jika-diambil-ilmu-itu-daripada-tokohnya.html

PERBEZAAN TAUHID ANTARA MANHAJ SALAF DAN ASYA’IRAH

PERBEZAAN TAUHID ANTARA MANHAJ SALAF DAN ASYA’IRAH

*(Saya merayu sahabat-sahabat membaca berulang kali sehingga sahabat-sahabat dapat memahami apa yang ditulis dan mampu mengaitkan dengan realiti semasa)*

Perbezaan yang paling ketara antara seruan dakwah tauhid yang dibawa oleh manhaj Salaf dan Asya’irah ialah;

1. Manhaj salaf membawa tauhid yang bertujuan mengesakan Allah dalam ibadah dan menafikan sekutu baginya, pendek kata tauhid itu di sisi manhaj salaf ialah menjadikan ibadah hamba (manusia) hanya kepada Allah sahaja dan menentang segala pengabdian atau ibadah kepada selain Allah.

==> Sebab itu GOLONGAN SALAF dalam perbincangan tauhid lebih fokus kepada menjadikan ibadah kita hanya kepada Allah dan menjauhi bentuk ibadah kepada selain Allah.

===> Sebab itu GOLONGAN salaf cukup anti @ alergik kepada syirik dan perbuatan yang berkait dengan ibadah yang tidak ditujukan kepada Allah secara langsung, mengadakan perantara (wasilah) antara Allah dan makhluk.

Ini kerana, manhaj salaf menekankan konsep لا إله إلا الله yang diterjemah sebagai (TIADA TUHAN YANG “BERHAK” DISEMBAH SELAIN ALLAH) dalam dakwah dan seruan mereka terhadap tauhid sebagaimana yang disebut oleh Imam Ibn Rajab Al-Hambali rahimahullah (wafat 795 Hijrah) yang menyatakan;

إنما أراد التوحيد الكامل الذي يحرّم صاحبه على النار

Sesungguhnya yang dikehendaki bagi maksud tauhid yang sempurna, yang dengannya menyebabkan para pemiliknya (pemilik tauhid) itu diharamkan daripada azab api neraka ialah;

وهو تحقيق معنى لا إله إلا الله فإن الإِله هو المعبود الذي يُطاع فلا يُعصى؛ خشيةً، وإجلالا، ومهابةً، ومحبةً، ورجاءً، وتوكلا، ودعاءً

Membenarkan maksud Lailahailallah, kerana sesungguhnya Al-ILah ialah Tuhan yang disembah yang ditaati dan tidak diderhakai, ditakuti, diagungkan, digeruni, dicintai, diharapkan, yang menjadi tempat pergantungan dan kepada-Nya ditujukan doa permintaan. [Jami Al-Ulum Wal Hikam, Ibn Rajab]

2. Manhaj Asya’irah pula berbeza dalam memahami Tauhid dengan aliran salaf apabila Tauhid di sisi mereka bermaksud mengesakan Allah yang bersifat azali dengan makhluk yang bersifat baharu sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Al-Junaid Al-Baghdadi (wafat 298 Hijrah);

هو إفراد القدم عن الحدث

Mengesakan Allah yang Qadim daripada makhluk yang bersifat baharu.

Kemudian, jika dirujuk tokoh-tokoh lain dalam aliran Asya’irah yang menjadi pegangan kaum Asya’ari dan Maturidi serta ahli kalam dan gagasan ilmu berkait tauhid dan aqidah, mereka lebih banyak membincangkan aspek sifat Tuhan yang berbeza dengan sifat makhluk.

Pendek kata, perbahasan tauhid berkisar soal zat Tuhan, sifat Tuhan dan Af’al (perbuatan Tuhan) yang tidak sama dengan makhluk.

==> Sebab itu GOLONGAN ASYA’IRAH lebih fokus dan tertumpu pada isu menyerupakan Allah dengan makhluk (Pada ZAT, SIFAT, AF’AL (PERBUATAN) atau tidak menyerupakan Allah dengan makhluk, sebab itulah perjuangan TAUHID mereka sejak sekian lama.

==> Bagi kebanyakan ASYA’IRAH, tawasul bukan isu syirik, memohon kepada selain Allah, mengambil perantara, berlebihan dalam memuliakan orang soleh, guru-guru, tunduk rukuk dan mencium kaki guru, bukan termasuk syirik. Kerana syirik ialah perbuatan menyamakan sifat Allah dengan sifat makhluk.

Justeru perjuangan pendakwah ASya’irah dan Maturidiyyah sejak sekian lama adalah lebih menjurus kepada memastikan tiada orang menyamakan sifat Allah dengan makhluk berbanding memastikan orang tidak beribadah dan mengambil sembahan atau melakukan bentuk pengibadatan kepada selain Allah sebagaimana yang diperjuangan oleh Manhaj Salaf.

# Sila baca dan hadam apa yang dijelaskan di atas berulang kali sehingga faham, InsyaAllah akan kita bahas sambungannya kemudian!

https://ustaz.blogspot.com/2019/02/perbezaan-tauhid-antara-manhaj-salaf.html

Jangan Biarkan Mungkar Tanpa Mencegah

Jangan Biarkan Mungkar Tanpa Mencegah

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِذَا ظَهَرَتْ الْمَعَاصِي فِي أُمَّتِي عَمَّهُمْ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِعَذَابٍ مِنْ عِنْدِهِ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمَا فِيهِمْ يَوْمَئِذٍ أُنَاسٌ صَالِحُونَ قَالَ بَلَى قَالَتْ فَكَيْفَ يَصْنَعُ أُولَئِكَ قَالَ يُصِيبُهُمْ مَا أَصَابَ النَّاسَ ثُمَّ يَصِيرُونَ إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ اللَّهِ وَرِضْوَانٍ

Daripada Ummu Salamah, isteri Nabi SAW berkata; aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kemaksiatan telah bermaharajalela pada umatku, maka Allah akan mengirim azab dari sisi-Nya secara umum.” Aku bertanya; “Wahai Rasulullah! Bagaimana bila pada hari itu terdapat orang-orang soleh?” baginda menjawab: Ya, ikut tertimpa azab.” Ummu Salamah bertanya, “Lalu bagaimanakah nasib mereka selanjutnya?” Rasulullah SAW bersabda, “Orang-orang soleh itu ikut tertimpa azab yang menimpa kaumnya, kemudian mendapat ampunan dan reda dari Allah. (Musnad Ahmad No: 25382)

Pengajaran:

1. Setiap Muslim perlu berperanan untuk mengajak anggota masyarakat yang lain melakukan amal soleh dan mencegah mereka daripada melakukan maksiat dan kejahatan.

2. Kesolehan individu sahaja tidak mencukupi untuk selamat daripada azab Allah di dunia melainkan perlu berperanan menjadi musleh (agen merubah masyarakat melalui peranan amar makruf nahi mungkar).

3. Azab Allah akan diturunkan jika maksiat dan kejahatan berleluasa tanpa ada usaha mencegahnya walaupun ada dalam kalangan mereka orang-orang yang soleh.

4. Imam as-Suyuthi menyatakan: Allah memerintahkan kaum Muslim untuk tidak membiarkan kemungkaran. Jika tidak, Allah akan meratakan azab kepada mereka baik yang zalim mahupun yang tidak.

إِنَّ اللهَ لاَ يُعَذِّبُ الْعَامَةَ بِعَمَلِ الْخَاصَةِ حَتَّى يَرَوْا الْمُنْكَرَ بَيْنَ ظَهْرَانِيْهِمْ وَهُمْ قَادِرُوْنَ عَلَى أَنْ يُنْكِرُوْهُ فَلاَ يُنْكِرُوْهُ فَإِذَا فَعَلُوْا ذَلِكَ عَذَّبَ اللهُ الْعَامَةَ وَالْخَاصَةَ

Sesungguhnya Allah tidak akan menyiksa masyarakat umum kerana perbuatan orang-orang tertentu hingga masyarakat umum melihat kemungkaran di hadapan mereka sedang mereka mampu mengingkarinya tetapi mereka tidak mengingkarinya. Jika mereka berbuat demikian maka Allah akan menyiksa masyarakat umum dan orang-orang tertentu itu. (HR Tobrani No: 13788)

Semoga Allah memberi kepada kita kekuatan untuk mencegah kemungkaran yang berlaku di sekeliling kita.

Menolong Saudara Yang Zalim dan Dizalimi

Menolong Saudara Yang Zalim dan Dizalimi

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ قَالَ تَحْجُزُهُ أَوْ تَمْنَعُهُ مِنْ الظُّلْمِ فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ

Daripada Anas RA mengatakan, Rasulullah SAW bersabda: “‘Tolonglah saudaramu baik ia berbuat zalim atau dizalimi.” Ada seorang laki-laki bertanya; ‘ya Rasulullah, saya maklum jika ia dizalimi, namun bagaimana saya menolong saudara yang melakukan kezaliman? ‘ Nabi menjawab; “engkau mencegahnya atau menahannya dari kezaliman, itulah cara menolongnya.” (HR Bukhari No: 6438) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Seorang Muslim wajib membantu muslim yang lain.

2. Jika saudara kita dizalimi, menjadi tanggungjawab untuk menolong dengan membela dan mempertahankannya.

3. Jika saudara kita melakukan kezaliman, menjadi tanggung jawab kita untuk membantunya agar tidak berterusan melakukan kezaliman. Contohnya jika saudara kita mencuri, rasuah, menganiaya orang atau binatang, kita wajib menghentikan, menghalangnya agar tidak berterusan membuat kezaliman.

4. Seorang Muslim tidak boleh membabi buta membela saudaranya yang berbuat zalim

5. Bantu orang lain agar tidak dizalimi oleh orang yang zalim dengan cara memberi peringatan kepada mereka tentang kezaliman orang yang zalim.

Bersifat Tawaduk

Bersifat Tawaduk

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَإِنَّهُ أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Lihatlah orang yang lebih rendah daripada kamu dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi darjatnya daripada kamu, itulah yang lebih baik supaya kamu tidak merendah-rendahkan nikmat Allah yang dikurniakan kepada kamu”. (HR Tirmidzi No: 2437) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Memiliki sifat redha dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki adalah suatu yang dituntut.

2. Buatlah perbandingan nikmat yang kita miliki dengan orang lain yang tidak memilikinya, nescaya kita akan sentiasa bersyukur dan merasa cukup dengan apa yang kita ada, tidak akan kecewa, sedih mahupun dengki pada orang lain.

3. Elakkan dari membuat perbandingan dengan orang yang lebih kaya dan berada kerana akan menghilangkan rasa bersyukur malah akan mendatangkan rasa kecewa, sedih malah sentiasa berdengki dengan kelebihan pada orang lain.

4. Dalam hal yang berkaitan dengan akhirat, kita hendaklah sentiasa melihat orang yang lebih baik daripada diri kita untuk bersaing dan berlumba mencontohinya.

5. Kita perlu merasa cemburu melihat kealiman dan kesolehan orang lain untuk diikuti dan dicontohi.

وَٱبۡتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلۡأٓخِرَةَۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنۡيَاۖ وَأَحۡسِن كَمَآ أَحۡسَنَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ وَلَا تَبۡغِ ٱلۡفَسَادَ فِي ٱلۡأَرۡضِۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ ٧٧

Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan. (al-Qasas: 77).