BUKAN SEMUA ARAHAN ATAU KEPUTUSAN PEMIMPIN ITU BETUL

BUKAN SEMUA ARAHAN ATAU KEPUTUSAN PEMIMPIN ITU BETUL

Allah SWT berfirman;

يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ يَقُولُونَ يَا لَيْتَنَا أَطَعْنَا اللَّهَ وَأَطَعْنَا الرَّسُولَا (66) وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا (67) رَبَّنَا آتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ الْعَذَابِ وَالْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا (68)

“Pada hari ketika muka mereka dibolak-balikan dalam neraka, mereka berkata: “Alangkah baiknya, andaikata kami taat kepada Allah dan taat (pula) kepada Rasul”. Dan mereka berkata: “Ya Rabb kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar). Ya Rabb kami, timpakanlah kepada mereka azab dua kali lipat dan kutuklah mereka dengan kutukan yang besar”.

(Al-Ahzab: 66-68)

Di zaman Nabi salallahualaihiwassalam, ada seorang lelaki Ansor yang bernama Abdullah bin Hudzafah as-Sahmi (wafat 28 H) yang diangkat sebagai ketua kepada suatu rombongan oleh baginda salallahualaihiwasalam.

Lelaki itu ialah sahabat Nabi, yang melantiknya pula ialah Nabi salallahualaihiwassalam sendiri. Namun itu bukanlah jaminan beliau tidak akan pernah salah.

Ternyata dalam hadis tersebut mengisahkan bahawa beliau (sang ketua) telah memerintahkan sesuatu yang menyalahi kebenaran maka perintahnya tidaklah diikuti oleh para sahabat.

Setelah diadukan kepada baginda salallahualaihiwassalam maka baginda pun membenarkan dengan bersabda;

إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

Sesungguhnya ketaatan hanyalah pada perkara kebaikan.

[HR. Al-Bukhari dan Muslim]

Hati-hatilah wahai pengikut, jangan taasub membuta tuli.

Jangan sampai kita diseksa dalam neraka kerana mengikuti keputusan yang salah secara membuta-tuli.

Allah SWT berfirman;

وَإِذْ يَتَحَاجُّونَ فِي النَّارِ فَيَقُولُ الضُّعَفَاءُ لِلَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا إِنَّا كُنَّا لَكُمْ تَبَعًا فَهَلْ أَنتُم مُّغْنُونَ عَنَّا نَصِيبًا مِّنَ النَّارِ

“Dan (ingatlah), ketika mereka berbantah-bantah di dalam neraka, maka orang-orang yang dahulunya lemah itu berkata kepada orang-orang yang dahulunya menyombongkan diri (pembesar mereka) : “Sesungguhnya kami adalah pengikut-pengikut kamu, maka dapatkah kamu menghindarkan kami dari sebahagian azab api neraka?” (al-Mukmin:47)

Sesungguhnya ketua dan pemimpin kita walau sehebat mana sekalipun tetap tidak akan dapat menyelamatkan pengikut-pengikutnya bahkan mereka akan berlepas diri daripada mereka ketika di akhirat kelak.

Allah SWT berfirman;

قَالَ الَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا إِنَّا كُلٌّ فِيهَا إِنَّ اللَّهَ قَدْ حَكَمَ بَيْنَ الْعِبَادِ

“Orang-orang yang menyombongkan diri (di dunia itu dahulu) pun menjawab: “Sesungguhnya kita semua sama-sama sudah berada dalam neraka kerana sesungguhnya Allah telah menetapkan keputusan antara hamba-hamba-(Nya).” (Al-Mukmin:48)

# Semoga Allah memberikan petunjuk kepada kita dan kepada pemimpin kita supaya mereka dipandu ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT dan membimbing kita ke jalan yang diredhai-Nya.

Tidak salah bersikap wala’ dan taat kepada pemimpin yang menjadi pilihan, namun biarlah ianya di atas jalan kebenaran!

https://ustaz.blogspot.com/2017/01/bukan-semua-arahan-atau-keputusan.html

TIDAK AKAN SAMA ORANG YANG KAFIR DAN MUKMIN

TIDAK AKAN SAMA ORANG YANG KAFIR DAN MUKMIN

Demi Allah, orang yang beriman tidak akan melayani orang yang kafir dan orang yang beriman dengan layanan yang sama.

Diriwayatkan daripada A’iz bin Amru RA bahawa Abu Sufyan (sebelum Islam) pernah melintasi Salman, Suhaib dan Bilal dalam sekumpulan orang. Kejadian ini ketika sebelum Fathul Mekah sewaktu Abu Sufyan mendatangi Nabi Muhammad salallahualaihiwassalam untuk berbincang.

Maka berkatalah mereka (Bilal, Salman dan Suhaib) kepada Abu Sufyan;

والله ما أخذت سيوف الله من عنق عدو الله مأخذها

Demi Allah, belumlah pedang Allah mengenai tengkuk musuh Allah ini lagi.

Perbuatan para sahabat nabi itu ditegur oleh Abu Bakar RA dengan mengatakan;

أتقولون هذا لشيخ قريش وسيدهم

Adakah kamu mengatakan semacam ini kepada tokoh Quraisy dan pemimpin mereka?

~ Maksudnya, Abu Bakar nak kata tolonglah respek sikit, dia ini ketua orang Quraisy.

Maka beliau pun mendatangi Nabi salallahualaihiwassalam untuk mengadu perbuatan para sahabat nabi itu.

Sebaliknya Nabi salallahualaihiwassalam pula yang menegur Abu Bakar RA dengan mengatakan;

يا أبا بكر لعلك أغضبتهم لئن كنت أغضبتهم لقد أغضبت ربك فأتاهم أبو بكر فقال يا إخوتاه أغضبتكم قالوا لا يغفر الله لك يا أخي

Wahai Abu Bakar, boleh jadi engkau telah menyebabkan mereka merasa marah?

Sesungguhnya jika engkau membuat mereka marah maka engkau telah membuatkan TuhanMu menjadi marah.

Maka Abu Bakar segera mendatangi mereka dan memohon maaf sambil berkata, wahai saudaraku, adakah aku telah membuatkan kalian marah?

Mereka pun berkata, “Tidak, semoga Allah mengampuni wahai saudaraku!

[HR. Muslim]

Allah Azza Wa Jalla berfirman;

لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ ۚ

“Kamu tak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapak-bapak, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka.” (Al-Mujadilah: 22)

# Usah kau bercakap soal deen, jika tauhid Mu belum jelas!

KEMATIAN DAN HATI YANG TIDAK JUJUR

KEMATIAN DAN HATI YANG TIDAK JUJUR

Tanyakan pada diri kita, bentuk kematian yang bagaimanakah sanggup kita rasai?

Takala membaca berita dan khabar tentang kematian orang lain, secara spontan kita juga akan turut merasa takut dan bimbang tentang keselamatan diri sendiri.

Membaca berita orang mati lemas, kita pun terbayang bagaimanalah rasanya mati kelemasan dan tiba-tiba kita pun merasa takut untuk mati lemas!

Membaca berita atau mendapat maklumat tentang ada orang yang mati terbakar, terjatuh, kena racun, kemalangan, sakit dan terbunuh.

Maka kita pun segera berharap agar kejadian yang sama tidak menimpa diri kita. Lalu dengan mengambil langkah berjaga-jaga kita pun berusaha mengelak diri daripada ditimpa segala macam bahaya dan musibah.

Tetapi salah satu persoalan yang penting dalam hidup kita tetap tidak berjawab dan kita selalu berusaha untuk tidak memikirkannya.

Iaitu bagaimanakah kita mahu mati?

Kematian itu sesuatu yang pasti dan semua orang pun akan mati dan ramai yang telah mati. Kita sering membaca dan mendengar cerita tentang kematian orang lain lalu merasa gerun dengan cara mereka mati.

Namun secara jujurnya, kita sendiri tidak ada cara kematian yang kita inginkan kerana sejujurnya majoriti kita tidak mahu mati. Itu yang cuba kita lakukan apabila mendengar berita tentang kematian orang lain.

Mengelak daripada penyebab-penyebab atau perkara yang pernah menyebabkan kematian kepada orang lain.

Sedangkan Tuhan Yang Maha Mulia berfirman;

قُلْ إِنَّ اْلمـَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ

“Katakanlah, Sesungguhnya kematian yang kalian lari daripadanya, sesungguhnya kematian itu akan menemui kalian…” (Al-Jumuah:8)

Kita tidak akan dapat lari daripada kematian kerana ianya sudah ditakdirkan.

أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِككُّمُ اْلمـَوْتُ وَ لَوْ كُنتُمْ فِى بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ

“Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. (An-Nisa’: 78)

Justeru apa yang dapat dilakukan bukanlah berlari daripada kematian tetapi bersedia untuk menghadapi kematian.

Agar apabila sampai masanya, kita pun insyaAllah menghadapinya dengan hati yang tenang dan pasrah kerana telah berbuat bekal amalan semampu yang terdaya.

# Sebilangan manusia tidak takut kepada kematian, kerinduan untuk bertemu Tuhan dan keimanan yang tinggi menjadikan mereka kaum yang mencintai mati.

Rasulullah sallahualaihiwassallam bersabda;

مَنْ أَحَبَّ لِقَاءَ اللَّهِ أَحَبَّ اللَّهُ لِقَاءَهُ وَمَنْ كَرِهَ لِقَاءَ اللَّهِ كَرِهَ اللَّهُ لِقَاءَهُ

‘Barangsiapa suka bertemu dengan Allah, maka Allah suka untuk berjumpa dengan-Nya dan sesiapa yang benci bertemu dengan Allah maka Allah pun benci untuk bertemu dengannya.’

[HR. Al-Bukhari dan Muslim]

https://ustaz.blogspot.com/2017/10/kematian-dan-hati-yang-tidak-jujur.html

SETIAP TUDUHAN AKAN BERPATAH BALIK

SETIAP TUDUHAN AKAN BERPATAH BALIK

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA (wafat 72 H) bahawa ;

إِذَا كَفَّرَ الرَّجُلُ أَخَاهُ فَقَد بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا وفي رواية : إِن كَانَ كَمَا قَالَ ، وَإِلاَّ رَجَعَتْ عَلَيهِ

‘Apabila seseorang mengkafirkan saudaranya maka tuduhan itu akan kembali kepada salah seorang daripada mereka’.

Dalam riwayat lain,

‘Jika tuduhan itu benar seperti yang dikata maka jadilah ia seperti yang dikata tetapi jika tidak benar maka tuduhan itu akan kembali mengenai orang yang menuduh.’

[HR. Al-Bukhari dan Muslim]

# Kita begitu mudah menuduh seseorang sedangkan banyak daripada tuduhan itu hanya berdasarkan sangkaan. Islam mengajar umatnya sifat al-Inshof, untuk bersikap adil kepada kawan dan lawan.

Diriwayatkan bahawa Imam Muhammad bin Sirin rahimahullah (wafat 110 H) berkata;

ظلمت أخاك إذا ذكرت مساوئه ولم تذكر محاسنه

‘Kamu telah menzalimi saudaramu apabila kamu hanya menyatakan keburukannya tanpa menyebutkan kebaikan-kebaikannya.’

[Al-Jami lil Akhlak al-Rawi, Al-Khatib Al-Baghdadi]

AJARKAN ANAK-ANAK KITA AGAMA ALLAH SWT

AJARKAN ANAK-ANAK KITA AGAMA ALLAH

Anak-anak ialah amanah daripada Allah, namun ramai ibubapa masih lalai akan kewajipan tersebut dan gagal mendidik anak-anak mereka dengan pengetahuan agama yang asas.

Justeru, kesempatan cuti sekolah yang ada ini perlu dimanfaatkan masa untuk mengajarkan anak-anak kita supaya mereka dapat mengenal agamanya.

Luangkan masa untuk mengajarkan anak-anak topik berikut;

1. Kebesaran Tuhan kita iaitu Allah, ajarkan mereka mengenal kekuasaan Allah, kemampuan Allah mencipta alam, mencipta manusia, memberi rezeki, menghidup dan mematikan.

Kenalkan mereka akan nama-nama-Nya yang mulia dan kewajipan tauhid serta menjauhi syirik.

Fahamkan mereka bahawa dalam hidup ini ada yang lebih penting dan lebih besar daripada diri kita iaitu TUHAN. Kita hanyalah hamba, diciptakan dengan tujuan supaya menjadi hamba yang baik.

2. Perkara ghaib seperti Malaikat dan tugas-tugasnya, syurga dan neraka, hari kiamat dan perhitungan di padang masyhar, titian sirath, azab kubur dan perkara yang berkaitan dengan kewujudan makhluk ghaib seperti jin dan syaitan.

3. Rukun Islam dan rukun Iman, terangkan satu-persatu khususnya hari kiamat dan qadha dan qadar. Ajarkan mereka supaya memahami ketetapan Allah dan beriman kepada perkara berkaitan takdir.

4. Ajarkan mereka cara berwudhuk, tayammum, istinjak dan cara bersuci dan membersihkan diri, pakaian dan tempat daripada najis dengan betul. Kemudian ajarkan mereka juga tentang aurat dan batasan mereka dengan orang lain serta kedudukan mahram dan ajnabi.

5. Ajar cara hendak mengetahui masuk waktu solat, jangan hanya berdasarkan tengok jam. Tetapi pengetahuan melihat bayang dan matahari bagi menentukan masuk waktu solat.

6. Ajarkan cara azan dan iqamah dengan betul dan cara menjawab azan dan iqamah beserta doanya.

7. Ajarkan mereka cara solat yang betul beserta bacaan wajib atau penting yang perlu diketahui dalam solat. Semak cara takbiratul ihram, semak doa iftitah, semak bacaan al-fatihah, semak bacaan ayat lazim, semak rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud.

Semak bacaan tahiyat awal dan akhir, bacaan qunut dan juga bacaan doa sebelum salam.

Jika mampu ajarkan wirid selepas solat, yang ringkas, yang sunnah tetapi boleh diamalkan sepanjang hayat.

8. Semak bacaan al-Quran anak-anak, betulkan makhraj sebutan huruf. Semak hukum mad tentang panjang dan pendek bacaan, dengung dan ikhfa’ anak-anak. Pilih surah-surah yang ringkas pastikan mereka hafal.

Pilih satu surah panjang untuk dijadikan amalan seperti surah al-Mulk untuk dibaca setiap malam, al-Kahfi dibaca setiap hari Jumaat atau surah Yasin dibaca malam Jumaat. Sebagai rutin dan kebiasaan mendidik mereka supaya sentiasa terikat dengan ayat Allah.

9. Ajarkan anak tentang dosa dan kejahatan yang dilarang oleh agama seperti zina, mencuri, berbohong dan perbuatan keji yang perlu mereka jauhi. Takutkan mereka dengan neraka Allah dan azab selepas mati serta tanamkan kefahaman bahawa Allah Melihat dan Mengawasi serta malaikat mencatat amalan kita di kiri dan kanan.

10. Ajarkan anak-anak kita sirah Nabi, kenali rasul kita Muhammad salallahualaihiwassalam, sunnah-sunnah baginda yang utama dan perlu diamalkan dalam kehidupan seharian, cara makan, cara minum, cara duduk, cara tidur, cara memakai baju dan kenalkan mereka dengan kisah sahabat-sahabat baginda seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan sepuluh ahli syurga yang masyhur.

11. Ajarkan anak-anak kita hukum-hakam yang asas seperti perkara wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Terangkan kepada mereka hukum fekah yang penting seperti makanan yang halal dan haram dimakan, batas perhubungan lelaki perempuan, rezeki yang halal dan haram, amalan yang sunat, perbuatan makruh dan perkara yang harus.

12. Akhirnya ajarkan mereka akhlak yang mulia, akhlak dengan Allah, rasul, para ulama, para pemimpin, ibubapa, guru, kawan, adik-beradik dan sesama manusia, serta akhlak dengan haiwan dan seluruh makhluk Allah. Didik mereka dengan tertib, kesabaran, kesopanan, sifat malu, maruah, sifat-sifat mulia yang disukai Allah.

# Inilah 12 topik yang asas yang perlu diterangkan kepada anak-anak kita supaya mereka dapat memahami agama yang diturunkan oleh Allah Ta’ala dan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah salallahualaihiwassalam.

Jika kita tidak mampu, maka carilah orang yang mampu dan kita pun ikut sama belajar dengan anak-anak kita untuk memahami agama Allah.

Allah Ta’ala berfirman;

وَالَّذِينَ ءَامَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُم بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَآأَلَتْنَاهُم مِّنْ عَمَلِهِم مِّن شَىْءٍ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ

“Dan orang-orang yang beriman dan anak cucu mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan kami tidak mengurangi sedikitpun daripada pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” (Ath Thur:21)

https://ustaz.blogspot.com/2017/11/ajarkan-anak-anak-kita-agama-allah.html

KONSPIRASI TEORI, FREEMASON, SEJARAH YAHUDI TIDAK WAJAR MENJADI TAJUK CERAMAH

KONSPIRASI TEORI, FREEMASON, SEJARAH YAHUDI TIDAK WAJAR MENJADI TAJUK CERAMAH

Ustaz yang cerdik dan berilmu tidak akan berceramah dalam masjid bercakap tentang raja-raja Firaun, sejarah yang belum tentu betul, teori konsiprasi dan kisah-kisah yang ganjil tanpa sumber yang sahih.

*** Apatah pula hal-hal yang melibatkan riwayat yang tidak sahih seperti isteri Nabi Ibrahim berketurunan Melayu bernama Keturah dan teori bangsa Melayu, kerajaan-kerajaan nusantara, nama kerajaan Kemboja diambil daripada nama bunga sebab Melayu suka bunga (Baca; Cambodia atau disebut Kampuchea) semuanya mengarut dan menzahirkan kejahilan terhadap fakta sejarah, lemahnya ilmu alat dan memalukan Islam apabila lebai sebegini berceramah di masjid!

Diriwayatkan daripada Hafs bin A’sim RA bahawa Nabi salallahualaihiwassalam bersabda;

كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع

‘Cukuplah seseorang itu dianggap berdusta apabila menyampaikan semua yang didengarnya.’

[HR Muslim dalam Mukadimah]

Menurut Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241 H);

أكذب الناس القُصَّاص والُّسوَّال

Orang yang paling kuat berdusta ialah penceramah yang bercerita pelbagai kisah-kisah…

# Bukan semua yang dibaca di laman website illuminati, video klip ‘The Arrival…’, buku-buku tentang Dajjal dan fitnah akhir zaman boleh diajar di masjid kerana ianya belum tentu benar.

Dinyatakan oleh Imam Ibn Jauzi Al-Baghdadi rahimahullah (wafat 597 H);

والقاص يروي للعوام الأحاديث المنكرة , ويذكر لهم ما لو شم ريح العلم ما ذكره

Si tukang cerita yang menceritakan kepada orang awam hadith-hadith (berita-berita) yang munkar itu kalaulah dia hanya memiliki sedikit bauan-bauan ilmu pun nescaya itu sudah mencukupi untuk menyebabkan dia tidak menceritakan kepada orang ramai apa yang disampaikannya….

[Al Mawdhuaat, Ibn Jauzi]

https://ustaz.blogspot.com/2018/02/konspirasi-teori-freemason-sejarah.html

Jaminan Syurga

Jaminan Syurga

عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اضْمَنُوا لِي سِتًّا مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَضْمَنْ لَكُمْ الْجَنَّةَ اصْدُقُوا إِذَا حَدَّثْتُمْ وَأَوْفُوا إِذَا وَعَدْتُمْ وَأَدُّوا إِذَا اؤْتُمِنْتُمْ وَاحْفَظُوا فُرُوجَكُمْ وَغُضُّوا أَبْصَارَكُمْ وَكُفُّوا أَيْدِيَكُمْ

Daripada ‘Ubadah bin Ash Shamit bahawa Nabi SAW bersabda: “Jaminlah enam perkara untukku dari diri kalian, nescaya aku akan menjamin syurga untuk kalian; jujurlah jika berbicara, tepatilah jika kalian berjanji, tunaikanlah amanah jika kalian diserahi amanah, jagalah kemaluan kalian, tundukkan pandangan kalian dan tahanlah tangan kalian.” (HR Ahmad No: 21695) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

Rasulullah SAW memberi jaminan setiap Muslim akan masuk Syurga jika memelihara enam perkara:

1. Jujur jika berbicara.

Ibnu Qayyim menyatakan: Kejujuran adalah jalan yang lurus dimana orang yang tidak jujur, dia akan celaka dan binasa. Kejujuran (tidak berbohong) akan membezakan antara munafik dan beriman.

2. Menepati janji.

Tidak memenuhi janji adalah diantara sifat munafik.

3. Menunaikan amanah.

Amanah berkaitan dengan hak Allah dan hak manusia yang wajib ditunaikan (pelihara amanah yang diberi kepada kita)

4. Memelihara kemaluan (kecuali untuk pasangan yang sah)

5. Menundukkan pandangan.

Ibnu Qayyim menyatakan: menjaga pandangan adalah modal pokok untuk menjaga kemaluan. Siapa yang tidak menjaga pandangannya, dia telah menempatkan dirinya ke tempat kehancuran.

6. Menahan tangan.

Seorang Muslim tidak menganggu, menyakiti saudara Muslim yang lain, teman, mahupun tetangganya baik dengan lisan mahupun tangannya. Mereka merasa aman dengan kehadiran dirinya. Tahanlah tangan kamu. (tidak mencuri, tidak mengambil rasuah, tidak memukul orang dan tidak menulis atau menyebarkan sesuatu berita fitnah).

Ayuh kita berlaku jujur, tepati janji, tunaikan amanah, jaga kemaluan, tundukkan pandangan dan menahan tangan.

Golongan Yang Dijauhkan Dari Syurga

Golongan Yang Dijauhkan Dari Syurga

عَنْ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ خَبٌّ وَلَا بَخِيلٌ وَلَا مَنَّانٌ وَلَا سَيِّئُ الْمَلَكَةِ وَأَوَّلُ مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ الْمَمْلُوكُ إِذَا أَطَاعَ اللَّهَ وَأَطَاعَ سَيِّدَهُ

Daripada Abu Bakar Ash Shiddiq RA dari Nabi SAW, beliau bersabda: “Tidak akan masuk syurga seorang penipu, orang yang bakhil, orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya dan pemimpin yang berperangai buruk. Orang yang pertama kali akan masuk syurga adalah hamba yang taat kepada Allah dan kepada tuannya (majikannya).” (HR Ahmad No: 32) Status: Isnad Maqbul

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW memberi amaran kepada umatnya dengan ancaman tidak akan masuk syurga kepada mereka yang mempunyai ciri-ciri berikut:

a. Orang yang menipu

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِي مَنۡ هُوَ مُسۡرِفٞ كَذَّابٞ ٢٨

Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi penipu (al-Ghafir: 28).

b. Orang yang bakhil

عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ قَالَتْ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي مِنْ بَيْتِي إِلَّا مَا أَدْخَلَ عَلَيَّ الزُّبَيْرُ أَفَأُعْطِي قَالَ نَعَمْ وَلَا تُوكِي فَيُوكَى عَلَيْكِ يَقُولُ لَا تُحْصِي فَيُحْصَى عَلَيْكِ

Daripada Asma’ binti Abu Bakar RA ia berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tidak memiliki sesuatu kecuali apa yang diberikan oleh Zubair kepadaku, apakah aku harus bersedekah dengannya?” Nabi menjawab: “Ya, dan janganlah engkau bakhil, (jika engkau bakhil) maka Allah akan bakhil kepadamu. (Sunan Tirmidzi No: 1883) Status: Hadis Hasan Sahih.

c. Orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُم بِالْمَنِّ وَالْأَذَىٰ

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan mengungkit-ungkit dan menyakiti (perasaan si penerima).” (QS. Al-Baqarah: 264).

d. Pemimpin yang berperangai buruk (pemimpin yang menjauhkan rakyat daripada kehidupan yang sejahtera)

Jadilah kita pemimpin yang benar-benar mengutamakan rakyat di bawah. Janganlah kerana kepentingan kedudukan dan pangkat, kita sanggup menyusahkan rakyat.

2. Orang yang pertama kali akan masuk syurga adalah hamba yang taat kepada Allah dan kepada tuannya (majikannya).

3. Jauhilah perangai penipu, bakhil, suka mengungkit pemberiannya dan berperangai buruk.

Menolong Saudara Yang Zalim dan Dizalimi

Menolong Saudara Yang Zalim dan Dizalimi

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ قَالَ تَحْجُزُهُ أَوْ تَمْنَعُهُ مِنْ الظُّلْمِ فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ

Daripada Anas RA mengatakan, Rasulullah SAW bersabda: “‘Tolonglah saudaramu baik ia berbuat zalim atau dizalimi.” Ada seorang laki-laki bertanya; ‘ya Rasulullah, saya maklum jika ia dizalimi, namun bagaimana saya menolong saudara yang melakukan kezaliman? ‘ Nabi menjawab; “engkau mencegahnya atau menahannya dari kezaliman, itulah cara menolongnya.” (HR Bukhari No: 6438) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Seorang Muslim wajib membantu muslim yang lain.

2. Jika saudara kita dizalimi, menjadi tanggungjawab untuk menolong dengan membela dan mempertahankannya.

3. Jika saudara kita melakukan kezaliman, menjadi tanggung jawab kita untuk membantunya agar tidak berterusan melakukan kezaliman. Contohnya jika saudara kita mencuri, rasuah, menganiaya orang atau binatang, kita wajib menghentikan, menghalangnya agar tidak berterusan membuat kezaliman.

4. Seorang Muslim tidak boleh membabi buta membela saudaranya yang berbuat zalim

5. Bantu orang lain agar tidak dizalimi oleh orang yang zalim dengan cara memberi peringatan kepada mereka tentang kezaliman orang yang zalim.

Reda Terhadap Maksiat Itu Berdosa

Reda Terhadap Maksiat Itu Berdosa

عَنْ الْعُرْسِ ابْنِ عَمِيرَةَ الْكِنْدِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا عُمِلَتْ الْخَطِيئَةُ فِي الْأَرْضِ كَانَ مَنْ شَهِدَهَا فَكَرِهَهَا وَقَالَ مَرَّةً أَنْكَرَهَا كَانَ كَمَنْ غَابَ عَنْهَا وَمَنْ غَابَ عَنْهَا فَرَضِيَهَا كَانَ كَمَنْ شَهِدَهَا

Daripada Al ‘urs bin Amirah Al Kindi dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Apabila ada satu maksiat dikerjakan dimuka bumi, maka orang yang melihat lalu membencinya, dalam riwayat lain, “lalu ia mengingkarinya, maka ia sama seperti orang yang tidak melihatnya. Barangsiapa tidak melihatnya, namun ia reda dengan maksiat tersebut, maka ia seperti orang yang melihatnya.” (HR Abu Daud No: 3782) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Barangsiapa melihat kemungkaran lalu ia membencinya atau mengingkari dengan berusaha mencegahnya maka ia seperti orang yang tidak melihat mungkar tersebut (seorang yang beriman).

2. Barangsiapa mengetahui suatu maksiat yang berlaku dan dia reda dengannya (tidak berusaha mencegah dengan kuasa, lisan atau benci dengan hati) sesungguhnya dia telah melakukan dosa.

3. Muslim yang tidak melihat kemungkaran tetapi reda dengannya, maka dosanya adalah sama dengan orang yang melihat dan tidak mengingkarinya.

4. Reda terhadap maksiat akan menghilangkan perasaan ingin mengingkarinya dengan hati. Sedangkan mengingkari maksiat dengan hati adalah fardhu ain.

5. Jadilah Mukmin yang berjaya. Firman Allah:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤

Dan hendaklah ada di antara kamu sekumpulan yang menyeru (berdakwah) kepada kebaikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Ali Imran: 104).

Semoga kita sentiasa memiliki sifat mukmin dengan tidak meredhai kemungkaran yang berlaku.

Create your website with WordPress.com
Get started