Category: RASUAH MEMBAWA KECELAKAAN DI AKHIRAT

Pentingan sifat Amanah agensi penguat kuasa

Oleh Dr Ahmad Sanusi Azmi

JABATAN kerajaan serta badan penguat kuasa adalah agensi yang diberikan amanah untuk membantu kerajaan dan rakyat dalam melancarkan urusan pentadbiran setempat. Adalah menjadi tanggungjawab untuk setiap institusi melaksanakan tugas mereka dengan penuh amanah dan berintegriti. Bersikap tidak adil atau menjalankan tugas sambil lewa bukan sahaja memberikan impak negatif kepada kerajaan dan masyarakat, malah mengganggu kelancaran sistem pengurusan.

Adil dalam penguatkuasaan

Dalam urusan penguatkuasaan undang-undang, Rasulullah amat menekankan mengenai sikap adil. Pernah terjadi di zaman Rasulullah, seorang wanita daripada Bani Makhzum  melakukan kesalahan mencuri. Namun, Bani Makhzum adalah antara kabilah yang mempunyai kedudukan dan pengaruh di sisi Quraisy. Tiada siapa yang berani memaklumkan perkara ini kepada Rasulullah kerana menjaga kedudukan kumpulan manusia yang mempunyai kedudukan ini. Quraisy mengambil langkah berjaga-jaga. Mereka menggunakan pendekatan memujuk dan berdiplomasi dengan Baginda Nabi agar melepaskan pihak yang melakukan kesalahan ini. Reaksi Rasulullah sangat teguh. Rasulullah marah dengan sikap tidak adil sebegini lantas menegaskan: “Apakah kamu meminta syafaat (supaya dilindungi mereka yang melakukan kesalahan) berkenaan hukuman hudud ini? Sesungguhnya telah
binasa umat sebelum kamu kerana apabila yang mencuri itu orang berpengaruh, kamu bebaskan. Dan apabila yang mencuri itu orang yang lemah (orang biasa) maka kamu kenakan hukuman hudud terhadap mereka.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Perhatikan ketegasan sikap Baginda Nabi. Dari aspek penguatkuasaan Rasulullah tidak pernah bersikap pilih kasih. Baginda meneruskan penguatkuasaan undang-undang dan hukuman ke atas mereka yang melakukan kesalahan tidak kirsa sama ada yang melakukan kesalahan tersebut orang yang mempunyai pangkat atau kedudukan.

Menjauhi rasuah

Bagi melancarkan urusan pentadbiran, Islam menolak keras amalan rasuah. Rasuah bukan sahaja membuka ruang untuk menzalimi pihak lain, ia turut berupaya menghilangkan keyakinan rakyat terhadap pihak yang berautoriti. Dengan sebab itu Saidina Abdullah bin Amru pernah meriwayatkan sebuah hadis yang menyebutkan bahawa: “Rasulullah melaknat pemberi dan penerima rasuah.” (Hadis riwayat Ahmad)

Perhatikan hadis ini betul-betul. Perkataan yang digunakan adalah ‘laknat’. Bererti perbuatan rasuah ini adalah perlakuan yang amat terkutuk sehingga mereka yang melakukannya dilaknat oleh Allah dan Rasul. Dengan sebab itu al-Imam al-San’ani dan al-Zahabi meletakkan kumpulan perasuah ini sebagai pelaku dosa besar (murtakib al-kabirah) (Lihat Kitab Subul al-Salam dan al-Kaba’ir). Malah, al-Imam al-Qurtubi menegaskan penerima rasuah ini dikategorikan sebagai orang fasiq. Ini menggambarkan betapa Islam membenci rasuah bahkan meletakkannya di bawah satu kesalahan yang berat seperti zina dan minum arak.

Implikasi perbuatan rasuah sangat jelas. Rasuah berupaya menyebabkan berlakunya kezaliman terhadap pihak tertentu. Mereka yang sepatutnya mendapat hak yang diperlukan mungkin akan kehilangan hak tersebut. Dengan sebab itu Rasulullah menolak keras perlakuan ini kerana ia akan menyebabkan kezaliman boleh berleluasa.

Ruang aduan dan komunikasi

Bagi melancarkan urusan pentadbiran dan mengelakkan berlakunya kezaliman, pihak penguat kuasa juga disarankan agar membuka ruang aduan dan komunikasi rakyat dengan mereka. Ini bagi memastikan segala permasalahan yang dihadapi oleh rakyat dapat didengari. Menurut Dr Ali al-Salabi, tindakan seperti ini pernah dilakukan oleh Umar Abdul Aziz. Khalifah Umar Abdul Aziz dikatakan menulis iklan kepada rakyat bahawa barang siapa yang datang menceritakan kezaliman atau kesusahan yang berlaku di sisi rakyat, maka dia akan diberikan ganjaran kerana memberikan maklumat mengenai kesukaran yang dihadapi oleh rakyat. Perhatikan bagaimana Umar Abdul Aziz membuka ruang komunikasi antara rakyat dengan pemerintah. “Dan mana-mana lelaki yang tampil kepada kami mendedahkan tentang kezaliman (yang berlaku) atau perkara yang perlu diislah (diperbaiki) tidak kira sama ada perkara khusus atau umum tentang urusan agama ini, maka dia akan diberikan anugerah 100 dinar ke 300 dinar bergantung kepada apa yang difikirkan munasabah oleh Jabatan Hisbah.” (Dr Ali al-Salabi, al-Khalifah al-Rasyid wa al-Muslih al-Kabir Umar Abdul Aziz, 2009)

Ini hanyalah sebahagian daripada prinsip asas yang digariskan dalam Islam sebagai panduan buat seorang Muslim dalam urusan penguatkuasaan. Ia bukan sahaja bagi memastikan agar tiada kezaliman yang berlaku terhadap rakyat malah bagi menjamin hak setiap rakyat mestilah terpelihara.

https://wordpress.com/read/feeds/129742/posts/2862499195

Hidup biar bermaruah jauhi rasuah

Mohd Shahrizal Nasir

KETETAPAN Islam mengenai pahala dan dosa adalah jelas. Sebab itu sesiapa yang melakukan kebaikan maka dia akan menerima pahala. Manakala orang yang melakukan kemungkaran pasti mendapat dosa. Semua balasan atas setiap perbuatan manusia akan diberikan secara adil dalam perhitungan Allah di akhirat nanti.

Penjelasan tentang hal ini dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran bermaksud:  (Ingatlah) hari Kami menyeru setiap kumpulan manusia dengan nama imamnya; kemudian sesiapa diberikan kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita) dan mereka tidak dikurangkan (pahala amalnya yang baik) sedikitpun.”  (Surah al-Isra’, ayat 71)

Firman Allah dalam ayat lain bermaksud:  Adapun orang yang diberikan menerima kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka dia akan berkata (dengan sesalnya): ‘Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan kitab amalku.‘”  (Surah al-Haqqah, ayat 25)

Justeru,  ketetapan Allah tentang perkara yang halal dan haram tidak boleh diragui. Keraguan mengenai perbuatan baik dan buruk hanya terjadi dalam fikiran orang yang hatinya tidak berasa takut dengan janji Allah. Golongan seperti ini bukannya tidak tahu mengenai perbuatan dosa yang dilakukannya, malah tahu bahawa perbuatannya mengundang kemurkaan Allah. Namun kerana akur terhadap tuntutan hawa nafsu, maka mereka buat-buat keliru tentang halal dan haram dalam Islam.

Lihatlah dalam isu rasuah yang sememangnya dihukumkan haram di sisi Islam. Masih ada dalam kalangan umat Islam yang terjebak dalam rasuah. Kita semua dapat menyaksikan adanya kes yang dilaporkan dalam media massa tentang individu yang disyaki terlibat dengan rasuah. Ada juga yang dijatuhkan hukuman tertentu disebabkan perbuatan rasuah dilakukan.

Meskipun begitu, kesalahan rasuah masih terus berlaku. Malah hari ini dosa rasuah cuba disembunyikan kejelekannya dengan nama lain seperti hadiah saguhati, duit kopi, komisen, pelincir,   angpau,  kautim,  under table  dan seumpamanya. Penjenamaan rasuah dengan nama baharu ini bertujuan menghalalkan rasuah, sekali gus untuk memastikan perbuatan terkutuk tersebut kelihatan suci.

Sebenarnya hal ini sudahpun dijelaskan dalam al-Quran. Allah menjelaskan perihal Ratu Saba’ yang memberi ‘hadiah’ kepada Nabi Sulaiman setelah baginda mengutus surat mengajak pemimpin wanita tersebut mengesakan Allah, sekali gus meninggalkan perbuatan syiriknya menyembah matahari.

Ratu Saba’ membalas surat Nabi Sulaiman dengan mengirim bersamanya hadiah. Apakah tujuan pemberian hadiah tersebut? Hadiah tersebut dikirimkan untuk Nabi Sulaiman agar baginda menerimanya dan menghentikan dakwah baginda agar ratu tersebut menerima Allah sebagai Tuhan yang selayaknya disembah.

Peristiwa ini dirakam Allah dengan menyatakan ayat Ratu Saba’ bermaksud:  “Dan bahawa aku (Ratu Saba’) hendak menghantarkan hadiah kepada mereka kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh para utusan kita.  (Surah an-Naml, ayat 35)

Walau bagaimanapun, hadiah yang dikirimkan Ratu Saba’ kepada Nabi Sulaiman ditolak oleh baginda. Ini membuktikan Nabi Sulaiman menyedari tujuan pemberian hadiah tersebut yang hakikatnya adalah satu bentuk rasuah. Hadiah itu menuntut agar baginda tidak meneruskan dakwahnya kepada pemerintah wanita tersebut.

Nabi Sulaiman memberi respons terhadap perbuatan Ratu Saba’ dengan berkata:  Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang menghadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): ‘Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang telah diberikan-Nya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah).’”  (Surah an-Naml, ayat 36)

Bukan setakat pemberian Ratu Saba’ ditolak oleh Nabi Sulaiman, malah baginda memberi amaran yang keras:  “Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman), maka demi sesungguhnya Kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba’ dalam keadaan hina menjadi orang tawanan.” (Surah an-Naml, ayat 37)

Menurut Sheikh Solah ‘Abdul Fattah Al-Khalidi dalam kitabnya Lata’if Qur’aniyyah, Ratu Saba’ adalah orang pertama yang cuba menggunakan istilah hadiah bagi menutup kemungkaran rasuah. Walau apa pun nama yang cuba diberikan bagi mengaburi kesalahan rasuah, perbuatan tersebut tetap dilarang Allah SWT.

Ketegasan Nabi Sulaiman dalam menolak pemberian rasuah patut dicontohi setiap Muslim. Sesungguhnya hukum memberi mahupun menerima rasuah adalah haram. Rasuah termasuk dalam perbuatan dosa berat kerana pelakunya dilaknat Allah dan Rasul-Nya. Daripada Abdullah bin ‘Amr, dia berkata: “Rasulullah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”  (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Perbuatan rasuah menyebabkan berlakunya banyak kezaliman. Rasuah dapat menafikan hak sebenar orang ramai, menzalimi golongan yang tidak berdosa, menjadi punca tergadainya maruah negara, membuka ruang permusuhan antara sesama manusia, menyebabkan kemungkaran berleluasa, memusnahkan nilai integriti dalam diri dan seumpamanya.

Sebagai contoh apabila ada pihak yang diberi tanggungjawab untuk memastikan tidak ada kegiatan judi dalam masyarakat, namun disebabkan rasuah maka kegiatan mungkar tersebut terus berleluasa. Pihak yang terlibat dengan jenayah tersebut juga tidak akan berasa khuatir dengan sebarang tindakan pihak berkuasa.

Begitu juga sekiranya sesuatu projek melibatkan peruntukan wang yang besar dibuat secara tender terbuka namun dengan wujudnya rasuah maka peluang orang ramai untuk terlibat dalam projek tersebut terus tertutup. Pihak yang memberi rasuah pula akhirnya tidak mampu untuk merealisasikan projek yang diberikan sehingga akhirnya projek terbengkalai. Inilah keburukan daripada perbuatan memberi dan menerima rasuah.

Duit daripada sumber rasuah termasuk kategori duit haram. Oleh itu, makan daripada hasil perbuatan rasuah menyebabkan diri tergolong dalam kalangan orang yang memakan hasil daripada sumber yang batil.

Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Jadilah masyarakat yang menolak rasuah serta membenci perbuatan buruk tersebut. Orang yang terlibat dengan amalan rasuah sememangnya sedar akan perbuatan buruk dilakukannya. Sebab itu golongan seperti ini akan melakukan perbuatan rasuah secara tersembunyi. Ditambah pula dengan usaha melabel perbuatan rasuah dengan nama yang cuba untuk mengaburi kesalahan tersebut.

Rasulullah mengingatkan umatnya perihal dosa yang juga termasuk di dalamnya rasuah: “Dan dosa adalah apa yang menggetarkan jiwa dan kamu tidak suka jika (perbuatan dosa tersebut) diketahui oleh manusia.” (Hadis riwayat Muslim)

https://wordpress.com/read/feeds/129742/posts/2863618413#comments

DNA RASUAH…

DNA RASUAH…

images

 “Hampir semua orang buat begitu…”

“Jika semua orang buat sekalipun, yang salah tetap salah,” balas saya.

Begitulah perbualan kami berdua tentang sikap curi tulang dan curi masa dalam kalangan pekerja di syarikat tersebut. Sikap melambat-lambatkan kerja, berehat bukan pada masanya dan bersembang-sembang kosong hampir menjadi budaya di situ.

“Lagipun itu hanya perkara kecil. Tidak perlu dibesar-besarkan,” kilasnya lagi.

“Mahu saya ceritakan perkara yang lebih kecil daripada itu?”

Tanpa menunggu anggukannya, saya mula bercerita. Cerita Khalifah Umar Abdul Aziz dengan anaknya. Satu malam anaknya datang ke tempat kerja ayahnya untuk menceritakan suatu masalah.

“Masalah negara atau keluarga?” tanya Umar Ibn Aziz.

“Masalah keluarga, ayah,” jawab anaknya.

“Jika demikian, padamkan lampu tempat kita bercakap ini.”

“Mengapa ayah?”

“Kerana duit membeli minyak bagi menyalakan lampu ini daripada duit negara. Duit rakyat. Bukan duit kita.”

Dia terdiam. Mula berfikir dan menghayati, agaknya. Harap saya begitulah. Sudah setengah jam kami berbincang mengenai ketirisan dan kebocoran yang melibatkan integriti di tempat kerja.

“Hanya beberapa titisan minyak… mengapa begitu sekali gementarnya khalifah?”

“Dia gementar dengan dosa.”

“Tetapi masih dosa kecil, bukan?”

“Dia bukan hanya melihat dosa tetapi kepada siapa dia berdosa. Dosa itu kepada Allah. Allah Maha Besar.”

“Allah yang Maha Pengampun.”

“Ya, Allah juga menegaskan kebaikan dan kejahatan sebesar zarah pun akan mendapat balasan.”

Lalu saya kongsikan satu hadis daripada seorang sahabat tentang rasa  berdosa dalam kalangan manusia. “Sesungguhnya orang Mukmin itu memandang dosa-dosanya seperti orang yang berdiri di bawah gunung, yang mana dia (sentiasa) rasa takut yang gunung itu nanti akan menghempapnya,dan orang yang keji pula memandang dosa-dosa mereka seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, yang berkata, ‘dengan hanya begini sahaja (iaitu dengan hanya ditepis dengan tangan sahaja) maka dengan mudah sahaja lalat itu terbang.’” (Riwayat al-Bukhari)

“Oh, begitu. Kalau begitu beratlah… kita ni bukan setakat beberapa titisan minyak tetapi lebih daripada itu.”

“Itulah yang saya katakan tadi, kita perlu rasa berdosa. Dengan rasa itu kita terdorong untuk bertaubat dan berhenti melakukannya.”

“Itu sahaja?”

“Belum cukup sebenarnya. Kita perlu minta halal, minta maaf dan minta reda kepada siapa yang tipu, zalimi dan kita curi haknya. Maklumlah dosa curi tulang, curi masa dan tidak amanah ini melibatkan dosa kita dengan manusia. Syarat taubatnya tambah satu lagi berbanding dosa kita kepada Allah,” kata saya cuba menjelaskan.

Alhamdulillah, akhirnya dia berlembut. Sejak tadi perbualan kami jadi tegang sedikit kerana satu isu…  isu babi!

Antara dua Dosa

Saya masih ingat bagaimana dia ‘mengamuk sakan’ apabila saya katakan dosa curi tulang, curi masa dan tidak amanah lebih berat daripada dosa ‘termakan’ DNA babi.

“Biar betul, babi haram di sisi Islam. Sosej bersalut usus babi dan coklat yang dicemari DNA babi ini mencabar keimanan kita!” bentaknya keras.

“Benar itu haram. Kita perlu jauhi. Tetapi saya membandingkan antara dua dosa. Dosa makan rasuah misalnya, lebih besar daripada makan babi,” jelas saya perlahan. Risau juga terjerat dalam emosi apabila berbincang soal-soal agama. Agama ini bersandarkan ilmu, bukan emosi.

“Apa sebabnya awak berani cakap begitu?”

“Dosa makan babi selalunya kerana umat Islam ‘termakan’. Maksudnya, bukan sengaja menempahnya. Kebanyakannya, kerana tidak segaja atau kurang teliti. Dalam syariat, jika kita bebuat dosa secara tidak sengaja, maka kedudukannya tidak berdosa.”

“Bezanya dengan rasuah?” tanyanya. Saya melihat dari reaksi mukanya dia sudah dapat ‘menangkap’ apa yang saya akan katakan. Cuma dia menunggu untuk menambah kepastian.

“Rasuah, curi masa dan culas bekerja ini adalah perbuatan yang memang disengajakan. Ini dosa yang sengaja. Malah adakalanya dirancang dan dilakukan dengan teliti tetapi tersembunyi.”

“Maksud awak dosa rasuah?”

“Ya, begitulah. Ia selalunya dibuat dengan teliti untuk menyembunyikan bukti. Dosa rasuah lebih besar dari dosa makan babi kerana, pertama, ia dibuat dengan sengaja. Kedua, rasuah adalah dosa yang melibatkan manusia. Ia adalah perbuatan khianat dan pecah amanah.”

“Pecah amanah itu sifat munafik kan?”

Saya cuma diam. Dia bukan minta pengesahan, hanya meluahkan.

“Tapi dosa makan babi akan mengotorkan hati. Bila hati kotor, kemahuan untuk melakukan kebaikan jadi lemah, keinginan melakukan kejahatan pula jadi tinggi. Begitu yang saya dengar dari ustaz-ustaz.”

“Itu juga yang saya dengar dari para asatizah kita. Tetapi saya juga mendapat maklumat dan ilmu, bahawa bukan sahaja ‘zat’ sesuatu makanan haram itu sahaja yang mengotorkan hati tetapi daripada mana sumber makanan itu juga mengotorkan hati.”

“Zat, sumber? Saya tidak berapa jelas,” akuinya terus-terang.

Pastikan Sumbernya Halal

“Misalnya, babi itu haram. Tetapi ayam juga boleh jadi haram… apabila cara mendapat ayam itu dengan mencuri, menipu dan sebagainya. Ketika itu, daging ayam sudah menjadi haram. Memakan daging ayam ini akan menggelapkan hati.”

“Wah, daging babi dengan daging curi sama-sama dosa!”

“Begitu juga dengan duit rasuah yang digunakan membeli makanan, pakaian, kereta, mendirikan rumah, melanjutkan pelajaran anak-anak, memulakan perniagaan, simpanan cucu cicit malah melakukan haji dan umrah. Semuanya haram. Makan babi sekali, dosanya terhenti. Tetapi makan rasuah, dosanya bertingkat-tingkat, berkembang dan berpanjangan.”

“Betul juga. Semasa saya remaja dulu, pernah saya tegur kawan yang mencuri ayam di kampung…” katanya membukan kisah lama.

“Menarik tu…” saya meraikan.

“Masa mereka hendak makan ayam curi tu mereka sembelih juga guna nama Allah. Takut tidak sah. Takut tidak halal. Pada hal, ayam itu ayam curi…”

Dia ketawa. Saya turut ketawa. Kejahilan kekadang melucukan namun tetap membahayakan.

Saya teringat cerita seorang sahabat yang pergi ke Bosnia Herzogovina suatu ketika dulu. Ketika kejahilan begitu mencengkam umat, pada ketika itulah tentera Serb mengganas. Satu hukuman atau didikan? Wallahua‘lam. Namun, menurut sahabat saya kejahilan sesetengah umat Islam ketika itu sangat menjengkelkan. Bayangkan, ada yang mula meminum keras dengan membaca bismillah…

Namun, dalam hati saya tersenyum. Ironinya, betapa ramai ketua keluarga yang ‘selesa’ membaca doa makan, ketika wang yang membeli keperluan hidupnya dari jenayah rasuah. Betapa ramai ketua keluarga dan masyarakat yang terus (kononnya) membuat pelbagai kebajikan dan kebaikan dengan dana yang dicemari rasuah!

iiiii

Melihat saya termenung panjang, dia cuba mengalih sedikit hala perbualan. “Susah juga prosedur untuk mengesan DNA babi dalam makanan. Ia perlukan kaedah yang begitu saintifik dan spesifik. Dengan mata kasar dan lidah biasa… sama sahaja makanan yang dicemari DNA babi dengan yang tidak dicemari babi.”

Saya mengangguk dan membalas, “ayam yang dibeli dengan duit halal dan duit rasuah sama juga rasanya. Malah, kalau kena cara masaknya, resipi dan bumbunya… ayam rasuah mungkin lebih enak.”

Saya masih dalam ‘mode’ dan ‘mood’ perbualan yang sama. Umat ini perlu meninggalkan yang haram bukan kerana adat atau kebiasaan nenek moyang. Benarkah kita tinggalkan babi dan anjing kerana iman dan Islam? Jika benar kerana iman dan Islam mengapa rasa jijik kita terhadap rasuah, judi, riba, dedah aurat, arak tidak sejijik kita terhadap babi dan anjing? Malah rasuah dan perkara-pekara haram itu seharusnya lebih dibenci daripada babi dan anjing.

Bayangkan, orang bukan Islam yang menilai agama ini mengikut pengamalan umatnya. Jika beginilah cara kita mengamalkan agama ini, tertarikkah mereka kepada ajaran Islam? Saya masih ingat, pesan ‘songsang’ seorang kawan di kampung kami dahulu. Kebetulan kampung kami bersebelahan kebun sayur milik kaum Cina. Katanya, “curi sayur Cina tidak mengapa, dia kafir…”

Ya, apa hendak dihairankan kejahilan semasa kecil yang dibuat secara kecil-kecilan. Sedangkan kini kejahilan yang besar-besaran sudah diamalkan secara sedar dan gah. Tiba-tiba satu rasa yang meluap-luap meruap di dalam dada. Tanpa dapat ditahan meluncur kata, “mungkin DNA rasuah lebih sukar dikesan.”

Mengesan DNA Rasuah

“Apa DNA rasuah?” sampuk teman bual saya yang masih di sebelah.

“Mungkin DNA rasuah lebih saintifik dan spesifik. Kerana itu ia lebih sukar dikesan. Masih ada yang tega, rela dan bangga membaham harta haram melalui jalan yang haram,” tegas saya.

“Wah, di mana makmal untuk mengesan DNA rasuah itu?”

“Dalam hati pada dada orang yang takutkan dosa dan neraka seperti Sayidina Abu Bakar dan Imam Syafi‘i,” tambah saya.

Lalu perbualan kami bersambung lagi, tentang cerita kemampuan figur muttaqin yang mampu mengesan DNA rasuah. Kisah Sayidina Abu Bakar memuntahkan susu yang masuk ke perutnya apabila disedari susu itu diperolehi daripada cara yang haram. Bagaimana cerita Imam Syfi‘i yang tidak makan kambing selama usia seekor kambing apabila diketahuinya seekor kambing untuk zakat sudah terlepas dan bercampur gaul dengan kambing-kambing lain.

Mereka berdua takut ‘termakan’ dan ‘memakan’. Tetapi kini umat ini hanya takut ‘termakan’ tetapi tidak takut ‘memakan’.  Aneh, bukan?

https://gentarasa.wordpress.com/2014/06/03/dna-rasuah/