PKP Dedah Masalah Literasi Kewangan

PKP Dedah Masalah Literasi Kewangan

Encik Muhammad Hisyam Bin Mohamad 12/06/2020

Salah satu masalah kewangan yang sering dihadapi oleh ramai dalam kalangan kita ialah ketiadaan atau ketidakcukupan simpanan bagi menampung keperluan pada saat yang tidak terduga. Hal ini terbukti menerusi beberapa kajian yang dilakukan oleh pelbagai agensi kerajaan seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), mahupun agensi-agensi antarabangsa seperti World Bank atau OECD International Network on Financial Education.

Terbaharu, satu lagi kajian membuktikan kewujudan isu yang dinyatakan di sini. Kajian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang bertajuk Survei Khas Kesan Covid-19 Kepada Ekonomi Dan Individu (Pusingan 1) yang diadakan secara atas talian daripada 23 – 31 Mac 2020 menunjukkan 71.4% responden yang bekerja sendiri mempunyai simpanan yang hanya mencukupi kurang daripada sebulan sahaja. Ini diikuti oleh pekerja swasta sebanyak 58% dan golongan majikan sebanyak 49.2%. Hanya 2.4% daripada responden yang bekerja sendiri mempunyai simpanan melebihi 6 bulan. Manakala kategori pekerja swasta dan golongan majikan masing-masing hanya 3.6% dan 5.5% sahaja yang mempunyai simpanan melebihi tempoh tersebut.

Kita menyaksikan sendiri bagaimana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula secara berperingkat mengikut fasa daripada 18 Mac 2020 sehingga 12 Mei 2020 telah menyebabkan ramai dalam kalangan anggota masyarakat yang terkesan daripada segi kewangan kerana tidak dapat keluar mencari rezeki seperti lazimnya. Semasa peringkat awal PKP dikuatkuasakan, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) misalnya dilaporkan menerima sebanyak 100000 permohonan daripada pelbagai kaum dan agama bagi Bantuan Khas Musaadah Khaira PPZ. Projek Zero Hunger anjuran Yayasan Brainy Bunch dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula merekodkan lebih 100000 permohonan untuk mendapatkan bantuan makanan asas daripada seluruh negara sepanjang tempoh PKP.  Angka-angka ini secara tidak langsung menceritakan kepada kita bahawa ramai yang terkesan akibat PKP dan mereka yang tidak mempunyai simpanan yang mencukupi merupakan mereka yang paling terkesan sekali.

Dalam Laporan Survei Khas Kesan Covid-19 kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2) yang juga dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dalam tempoh 10 April hingga 24 April 2020 pula ada menyebut bahawa 96.8 peratus atau 40,076 responden menyatakan memperoleh faedah daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin yang diperkenal oleh pihak kerajaan bagi menangani kesan wabak ini. Dengan kata lain pihak kerajaan telah sedikit sebanyak berjaya mengurangkan kesan ekonomi yang ditanggung oleh rakyat akibat penularan wabak Covid-19 ini. Tanpa Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin ini, adalah sukar untuk anggota masyarakat untuk mengharungi tempoh PKP tersebut.

Sebenarnya, kesukaran yang dihadapi masyarakat akan berterusan walaupun PKP ini ditamatkan. Keperluan untuk membiasakan pelbagai norma kehidupan yang baharu ialah sesuatu yang penting pasca PKP nanti. Justeru ini juga akan memberi kesan kepada permulaan semula operasi ekonomi kerana majikan dan pihak industri perlu mematuhi pelbagai prosedur baharu bagi memastikan tidak berlaku penularan semula wabak Covid-19 ini. Dengan kata lain, ekonomi akan mengambil masa untuk kembali beroperasi pada skala yang asal. Ini seterusnya akan memberi kesan kepada aspek pertumbuhan ekonomi negara. Bagi anggota masyarakat kesan ini wujud daripada segi mendapatkan pekerjaan dan tahap pendapatan yang diterima.

Bagaimanapun kesukaran-kesukaran yang berkaitan dengan masalah pengurusan wang tidak akan menjadi satu isu yang besar sekiranya setiap kita mempunyai perancangan kewangan yang betul. Secara amnya perancangan kewangan merujuk kepada cara seseorang itu mengurus harta bagi mencapai matlamat kewangan yang diingininya. Dalam suasana sekarang keperluan kepada pengetahuan ilmu perancangan kewangan menjadi lebih mendesak kerana kita berhadapan dengan pelbagai cabaran kewangan terutamanya yang menyentuh soal peningkatan kos sara hidup dan kenaikan gaji atau upah yang perlahan. Jadi mereka yang tahu mengurus dan merancang kewangan mempunyai kelebihan daripada segi menentukan kemampuan berbelanja, mengendali beban hutang dan menentukan tahap tabungan yang boleh dicapai pada setiap peringkat kehidupan yang dilaluinya.

Merujuk kembali kepada survei yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, majoriti responden ialah kaum bumiputera iaitu seramai 89.3% daripada 168 162 jumlah responden untuk pusingan 1 dan 90.3% daripada 41 386 jumlah responden untuk survei pusingan 2. Justeru dapatan survei ini juga boleh dianggap sebagai mencerminkan tahap kesihatan kewangan golongan bumiputera yang rata-rata beragama Islam.

Kemampuan individu untuk membuat perancangan kewangan pula ada hubungan dengan tahap literasi kewangan. Literasi kewangan bagi orang Islam boleh didefinisikan sebagai kombinasi kesedaran, pengetahuan, sikap dan tingkah laku yang diperlukan bagi membuat satu keputusan kewangan yang betul yang selaras dengan prinsip syariah yang seterusnya membantu individu mencapai matlamat kejayaan hidup yang hakiki di dunia dan akhirat (al-falah). Dalam satu penjelasan mudah celik kewangan Islam merujuk kepada kemampuan seseorang Muslim mengkoordinasi pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan tindakan untuk mengurus sumber kewangannya selaras dengan ajaran Islam.

Di sini, masyarakat Islam perlu disedarkan bahawa literasi kewangan ada kaitan dengan aspek mencapai matlamat Syariah yang digariskan oleh Islam. Tanpa kekuatan ekonomi dan sumber kewangan yang mencukupi (hifz al-mal), urusan meninggikan syiar Islam, memperkasa akal, menjaga nyawa dan keturunan adalah sukar untuk dilaksanakan.

Seterusnya literasi kewangan ini bertitik tolak daripada ilmu pengetahuan. Dalam Islam, urusan menuntut ilmu ialah satu usaha yang berterusan yang tidak dibatasi faktor usia. Oleh yang demikian perlu ada usaha daripada pelbagai pihak bagi meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Menerusi usaha-usaha ini diharap masyarakat Islam mampu membuat perancangan kewangan mereka dengan baik. Ini bukan sahaja membolehkan mereka mengharungi kejutan-kejutan ekonomi di sepanjang kehidupan mereka dengan baik bahkan mampu membantu dalam mencapai objektif-objektif yang digariskan Syariah.

https://www.ikim.gov.my/index.php/2020/06/12/pkp-dedah-masalah-literasi-kewangan/

Create your website with WordPress.com
Get started