Category: PERINGATAN DI USIA 40 TAHUN

PERINGATAN DI USIA 40 TAHUN

Assalamualaikum Warah Matullah…

Ramai tidak sedar dalam Al-Quran ada menyentuh tentang usia 40 tahun. Tentu ada hikmah penting, perlu diambil perhatian serius kerana Allah SWT telah berfirman :

 ”Apabila seseorang telah dewasa dan usianya sampai empat puluh tahun, ia berdoa, “Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk  mensyukuri nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku, kepada ibu bapaku dan   supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai, berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku  bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.”               

(al-Ahqaf: 15)

Usia 40 tahun disebut dengan jelas dalam ayat diatas . Pada usia inilah manusia mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal,  intelektual, emosi, mahupun spiritualnya. Benar-benar telah meninggalkan usia mudanya dan melangkah ke usia dewasa yang sebenar.
Doa yang terdapat dalam ayat tersebut  dianjurkan untuk dibaca oleh mereka yang berusia 40 tahun ke atas. Di dalamnya terkandung penghuraian yang jelas  bahawa mereka telah menerima nikmat yang sempurna, kecenderungan untuk beramal yang positif, telah mempunyai keluarga yang harmoni, kecenderungan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah S.W.T.

Dalam ayat yang lain Allah S.W.T. berfirman:

 Apakah Kami tidak memanjangkan umurmu

dalam tempoh yang cukup untuk berfikir bagi orang-orang yang mahu berfikir dan (apakah tidak) datang kepadamu pemberi                    peringatan?”  (al-Fathir: 37)

Menurut Ibnu Abbas, Hasan al-Basri, al-Kalbi,  Wahab bin Munabbih  dan Masruq, yang dimaksud dengan “ umur panjang dalam tempoh yang cukup untuk berfikir ” dalam ayat tersebut tidak lain adalah ketika berusia             40 tahun.

Menurut Ibnu Kathir, ayat ini memberikan petunjuk bahawa manusia apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah dengan bersungguh-sungguh.


Usia 40 tahun adalah usia matang untuk kita bersungguh-sungguh dalam hidup. Mengumpulkan pengalaman, menajamkan fikiran dan         kebijaksanaan, membuang kejahilan ketika usia muda, lebih berhati-hati, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul     secara matang pada usia ini.

Bahkan Nabi S.A.W, seperti yang disebut oleh Ibnu Abbas:


“Dibangkitkan Rasulullah S.A.W.  pada usia 40 tahun” (Riwayat al-Bukhari).


Nabi Muhammad SAW diutuskan menjadi nabi tepat pada usia 40 tahun. Begitu juga dengan nabi-nabi yang lain kecuali Nabi Isa Alaihis Salam dan Nabi Yahya Alaihis Salam.

Banyak negara menetapkan untuk menduduki jabatan-jabatan elit seperti ketua negara, disyaratkan bakal calon mesti berusia 40 tahun. Masyarakat sendiri mengakui prestasi seseorang mantap tatkala orang itu telah berusia 40 tahun. Soekarno menjadi presiden pada usia 44 tahun. Soeharto menjadi presiden pada umur 46 tahun. J.F. Kennedy 44 tahun. Bill Clinton 46 tahun. Paul Keating 47 tahun. Sementara Tony Blair 44 tahun.

Mengapa umur 40 tahun begitu penting ?.


Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah usia manusia

diklasifikasikan menjadi empat peringkat iaitu :

1. Kanak-kanak ( sejak lahir hingga akil baligh )
2. Muda ( sejak akil baligh hingga 40 tahun )
3. Dewasa ( 40 tahun hingga 60 tahun )
4. Tua ( 60 tahun hingga  mati )

Usia 40 tahun adalah usia ketika manusia benar-benar meninggalkan masa mudanya dan beralih kepada peringkat dewasa. Kenyataan yang paling menarik pada usia 40 tahun ini adalah meningkatnya minat seseorang terhadap agama sedangkan semasa mudanya jauh sekali dengan agama. Seolah-olah satu fitrah di usia ini ramai yang mula menutup aurat dan mendekati kuliah-kuliah agama.

Salah satu keistimewaan usia 40 tahun tercermin dari  Sabda Rasulullah  S.A.W. :


Seorang hamba muslim bila usianya mencapai 40 tahun, Allah akan meringankan hisabnya (perhitungan amalnya). Jika usianya   mencapai 60 tahun, Allah akan memberikan anugerah berupa kemampuan kembali (bertaubat) kepadaNya. Bila usianya  mencapai 70 tahun, para malaikat di langit akan mencintainya. Jika usianya mencapai 80 tahun, Allah akan menetapkan amal  kebaikannya dan menghapus amal  keburukannya.



 

Dan bila usianya mencapai 90 puluh tahun, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu , Allah juga akan memberikan  pertolongan kepada anggota keluarganya serta Allah akan mencatatnya sebagai  tawanan Allah di bumi.” (Riwayat Ahmad).

Hadis ini menyebut usia 40 tahun paling awal memiliki komitmen terhadap perhambaan kepada Allah SWT. Sekaligus konsisten terhadap Islam, maka Allah SWT akan meringankan hisabnya. Orang yang usianya mencapai 40 tahun mendapatkan keistimewaan berupa hisabnya diringankan. Tetapi umur 40 tahun merupakan saat harus berhati2 juga. Ibarat waktu, orang yang  berumur 40 tahun mungkin sudah masuk senja.

Abdullah bin Abbas R.A. dalam suatu riwayat berkata :


“Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dapat mengalahkan amal keburukannya, maka hendaklah ia bersiap-siap ke neraka.”


Imam Asy-Syafi’i tatkala mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memak  tongkat. Jika ditanya, jawab beliau, “Agar aku ingat bahawa aku adalah musafir. Demi Allah, aku melihat diriku sekarang ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas di udara, kecuali telapak kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki sisa-sisa syahwat untuk  menetap tinggal di dunia. Aku tidak berkenan sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah dari dunia. Aku juga tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk dunia, kecuali hal yang menurut syariat lazim bagiku. Di antara aku dan dia ada Allah SWT.”

Oleh yang demikian, hendaklah kita bertindak segera untuk :

1. Meneguhkan tujuan hidup
2. Meningkatkan daya spiritual
3. Menjadikan uban sebagai peringatan
4. Memperbanyak bersyukur
5. Menjaga makan dan tidur

6. Menjaga ibadah dengan penuh istiqamah.

Jika ada yang mengatakan bahawa:    Life began at forty, saya cenderung    berpendapat kehidupan yang dimaksudkan ialah kehidupan terarah kepada mendekatkan diri kepada penciptaNya dengan sebenar-benarnya.

Tetapi satu perkara yang kita harus sentiasa  sedar   bahawa kematian memanggil kita  bila-bila masa tanpa tanda, tanpa alamat  dan tanpa mengira usia.

Jika kita beranggapan harus menunggu usia 40 tahun untuk berubah, maka rugi dan sia-sia lah hidup kita jika umur kita tidak panjang.

Maksud sabda Nabi Muhammad S.A.W :

” Orang yang bijak adalah orang yang selalu mengingati mati”.

Ramai manusia tertipu dengan keindahan dunia dan isinya yang bersifat sementara.

Sejak Nabi Adam Alaihis Salam sehingga kini, kesemuanya telah kembali kepada Allah SWT, tidak kira kaya atau miskin, berpangkat atau tidak. Mengingati mati bukan bermakna kita akan gagal di dunia tetapi dengan mengingati mati kita akan menjadi insan yang memiliki  matlamat  dan bersemangat untuk berjaya di dunia dan di akhirat. Janganlah menunggu  sehingga esok untuk membuat persediaan menghadapi kematian, kerana mati boleh    datang pada bila-bila masa.. Wallahu a’lam. 

Semoga tulisan ini memberi manfaat kepada semua pihak.