Category: PAMPHLET AGAMA

JANGAN MEMBAZIR MASA

JANGAN MEMBAZIR MASA

Kalau kita tahu waktu itu tidak ternilai harganya, mengapa kita selalu membazir masa dengan perkara yang sia-sia?.  Sedangkan sesaat masa itupun mempunyai makna yang amat besar nilainya kepada kita. Bayangkan sesaat masa bagi seorang pakar bedah yang melakukan   pembedahan untuk menyelamatkan nyawa pesakitnya, atau sesaat bagi seorang olahragawan yang mahu mencipta rekod baru bagi kerjaya sukannya. Begitulah   tingginya nilai masa bagi kita yang tahu bagaimana menggunakan waktu untuk menambah kualiti kepada kehidupan.

Tetapi sayangnya bagi mereka yang hanya melihat waktu sebagai satu putaran biasa tanpa merasa kerugian atas kehilangannya. Betapa ruginya kita melepaskan masa berlalu tanpa   memanfaatkannya dengan sesuatu yang produktif.

Agama Islam amat menitikberatkan waktu untuk meningkatkan kualiti diri dan seterusnya membina kehidupan yang bermakna di dunia mahupun akhirat. Ini kerana amat penting bagi kita mengisi ruang waktu untuk mencari sebanyak mungkin pahala seperti menggunakan masa tidak terpengaruh dengan tindakan yang  tidak membawa apa-apa makna kepada kita. hanya bercakap perkara yang berfaedah, berkhidmat dengan jujur,

Amanah terhadap tanggungjawab yang diberikan dan mengurus masa secara bijak.

Selain itu Islam juga menyeru kita semua agar jangan membiarkan waktu berlalu  begitu sahaja tanpa mengisinya dengan sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada kita. Malah dalam keadaan kita sedang bersenang-senang sekalipun, waktu itu harus diisi dengan bermakna         seperti zikrullah dan selawat ke atas Nabi Muhammad saw. 

Kehadiran teknologi telefon pintar dengan pelbagai aplikasi moden seperti Facebook, WhatApps, Twitter dan sebagainya boleh menyumbang kepada kualiti masa kita jika kena caranya. Namun akan merosakkan waktu kita jika kita gagal mengurusnya dengan baik.

Pelbagai aplikasi gajet jika digunakan dengan cara yang betul boleh memberi kesan positif terhadap perhubungan suami isteri kerana walaupun berjauhan, mereka dapat berhubung antara satu sama lain tanpa sempadan. Begitu juga dengan ahli keluarga lain atau rakan-rakan dan  sahabat handai, perhubungan akan bertambah kukuh dengan aplikasi moden yang cepat dan pantas ini.

Tetapi ada kesan buruknya, jika ianya digunakan tanpa terkawal seperti hanya menghabiskan masa dengan berbual kosong dengan teman alam maya  tersebut atau hanya melayar laman sosial untuk melihat iklan-iklan yang dipaparkan menerusi laman sosial berkenaan tanpa mendatangkan apa-apa faedah.

Malah lebih menambah masalah apabila ada segelintir suami atau isteri menggunakan semua kemudahan aplikasi laman sosial untuk berhubung dengan orang lain bukan pasangan sendiri.

Lebih parah lagi sekiranya masing-masing leka dengan dunia alam maya yang tidak menyumbang apa-apa kepada  pembinaan kerukunan rumahtangga yang berkualiti dan bahagia.

Bayangkan jika isteri yang leka melayan  facebook, mengabaikan keperluan suami dan anak-anak. Kehidupan rumahtangga semakin tergugat kerana tiada lagi komunikasi disebabkan masing-masing sibuk dengan penggunaan gajet, maka berlakulah perpecahan dalam rumahtangga.   Walaupun ‘gajet’ ini tidak salah dan  banyak kebaikan tetapi jika diguna secara tidak terkawal boleh merosakkan perhubungan sesama manusia.

Dengan mengambil contoh penggunaan whatApps yang sangat popular di   kalangan masyarakat hari ini, sekiranya terlalu banyak bergantung kepada aplikasi berkenaan sehingga kita mengabaikan  tugasan lain sama ada di tempat kerja,  rumah ataupun di mana-mana  sahaja  ianya sudah pasti tidak menyumbang kepada produktiviti harian kita. Malahan berbual melalui WhatsApp ini juga sebenarnya mendedahkan kita kepada perbuatan mengumpat, riak dan membuang masa tanpa mendatangkan apa-apa faedah.

Kita hendaklah selalu sedar dengan cara memerhatikan perbuatan diri sendiri terutama dalam pengurusan masa agar kita memperolehi keberkatan dalam kehidupan.

Ini kerana menurut cerdik pandai, orang yang waktunya berkat adalah mereka yang dapat melakukan banyak perkara dalam waktu yang singkat, namun orang yang mempunyai waktu yang panjang tetapi tidak dapat melakukan perkara yang bermanfaat adalah orang yang sedang menghabiskan umurnya dengan sia-sia dan kehidupannya tidak ada keberkatan.

Sebab itu dalam hidup ini kita jangan menjadi pencuri masa kerana masa yang paling kualiti adalah masa kita sekarang, oleh itu jangan dibazirkan   masa sekarang dengan kekesalan atas kesilapan lalu, atau kita sibuk risaukan masa hadapan yang belum tentu  menjadi milik kita. Sebab itulah waktu sekarang yang kita miliki ini gunakannya dengan segala kebaikan yang ada seperti bersedekah, taat kepada Allah dan suami, menghargai isteri, bertanggungjawab terhadap amanah yang diberi, membaca al-Quran atau buku-buku untuk menambah ilmu dan apa sahaja perkara memberi kebaikan.

Ini kerana kesibukan waktu untuk tujuan membina nilai diri pastinya akan membawa kita kepada kehidupan yang berkualiti, malah sudah tentu akan menolong kita untuk menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah SWT. Sekiranya sesebuah ahli keluarga umpamanya dapat menggantikan gajet kepada majlis ilmu atau bertadabur dengan al-Quran, kita akan dapat membina   sebuah keluarga yang cintakan Allah swt dan hidup di atas ilmu Allah yang Maha Hebat.

Hakikatnya Waktu juga adalah makhluk yang perlu diraikan dengan bersungguh-sungguh.

Ini bermakna waktu juga harus disantuni sebagaimana kita menyantuni manusia lain yang berada di sekeliling kita. Oleh itu hargailah waktu yang kita ada supaya apabila kita kehilangannya kelak kita tidak berasa rugi dan menyesal.

Akhir sekali, hendaklah selalu kita pasakkan dalam diri tentang tiga asas penting yang berkaitan dengan masa adalah bilakah waktu yang paling penting? Jawabnya  adalah waktu sekarang. Siapakah orang yang paling penting?, jawapannya ialah siapa yang berada di hadapan kita dan terakhir apakah perbuatan yang paling   penting ? jawapannya adalah berbuat baik. Jika kita faham tentang perkara ini kita akan menjadi insan yang selalu menghormati  waktu, menyantuni insan yang berada di sekeliling kita dan hidup sebagai insan yang bertaqwa kepada perintah Allah swt.

Sebagaimana kata para cendekiawan, orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa,                 menyediakan waktu untuk berfikir kerana   berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan dan menyediakan waktu  beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.

Sekian , Terima Kasih.

Semoga Memberi Manfaat…

Allah SWT Amat Memuliakan Mereka Yang Berakhlak Mulia

Alhamdulillah, setinggi-tinggi  penghargaan buat Rasul Junjungan,           Selawat dan Salam  buat  Baginda,Para Sahabat serta keluarga.

Demi kemakmuran sejagat dan ketinggian nilai akhlak  rasul tercinta , marilah kita hayati bingkisan Baginda  berkaitan ketinggian akhlak di sisi Allah SWT 

Berikut adalah koleksi hadis Rasulullah SAW berkaitan kemuliaan akhlak:

Rasulullah SAW bersabda :

“Paling dekat dengan aku kedudukannya pada hari kiamat adalah orang yang  paling baik akhlaknya dan sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap keluarganya”. (HR. Ar-Ridha)

Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya seorang mukmin-kerana kebaikan akhlaknya-menyamai darjat orang yang biasa melakukan puasa dan menunaikan solat malam.” (HR Abu Dawud) 

Dari Abu Ad-Darda’ R.A ; Rasulullah SAWbersabda:

Tidak ada sesuatu yang diletakkan pada timbangan hari kiamat yang lebih berat daripada akhlak yang mulia dan sesungguhnya orang yang berakhlak mulia boleh mencapai derajat orang yang berpuasa dan solat. [Sunan Tirmidzi: Sahih]

Rasulullah SAW bersabda,

“Sesungguhnya orang yang paling aku cintai dan paling dekat kedudukannya dengan majlisku pada Hari Kiamat nanti adalah orang yang paling baik akhlaknya. Sebaliknya, orang yang aku benci dan paling jauh dari diriku adalah orang yang terlalu banyak bicara (yang tidak bermanfaat dan sombong.”    (HR at-Tirmidzi).

Baginda Rasulullah SAW menyebut  sejumlah keistimewaan akhlak mulia ini. Saat beliau ditanya tentang apa itu kebajikan (al-birr), contohya, beliau lansung menjawab, “Al-Birr husn al-khulq (Kebajikan itu adalah akhlak mulia.” (HR Muslim).

Beliau bahkan bersabda,  “Tidak ada sesuatu pun yang lebih berat dalam timbangan seorang Mukmin pada Hari Kiamat nanti selain akhlak mulia.  Sesungguhnya Allah membenci orang yang berbuat keji dan berkata-kata keji.” (HR at-Tirmidzi)

Rasulullah SAW juga menyebut Muslim yang berakhlak mulia sebagai manusia terbaik. Beliau bersabda, “Sesungguhnya yang terbaik di antara kalian adalah yang paling baik akhlaknya.” (HR al-Bukhari dan Muslim).

Dari Sahl bin Sa’ad R.A Rasulullah SAW  bersabda:]
Sesungguhnya Allah mencintai akhlak yang mulia dan membenci akhlak yang buruk. [Al-Mu’jam Al-Kabiir: Sahih]

An-Nawwaas bin Sim’aan Al-Anshary R.A. berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang kebaikan dan keburukan, dan Rasulullah menjawab:

Kebaikan adalah akhlak yang baik, dan keburukan adalah sesuatu yang kamu benci di hati kamu), dan kamu tidak suka jika orang lain mengetahuinya.   [Sahih Muslim]

Dari Abu Umamah R.A bersabda:   Saya menjamin sebuah rumah tepi syurga bagi orang meninggalkan debat sekalipun ia benar, dan sebuah rumah di tengah syurga bagi orang yang tidak berbohong sekalipun hanya bergurau, dan rumah di atas syurga bagi orang yang mulia akhlaknya. [Sunan Abi Daud: Hasan]

Dari Jabir bin Samurah R.A, Rasul bersabda:
Sesungguhnya orang yang paling baik keislamannya adalah yang paling baik akhlaknya. [Musnad Ahmad: Sahih]

Dari Jabir R.A ; Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya yang paling aku cintai dari kalian dan yang paling dekat tempatnya dariku di hari kiamat adalah yang paling mulia akhlaknya dan yang paling aku benci dari kalian dan yan paling jauh tempatnya dariku di hari kiamat adalah yang banyak bicara, angkuh dalam berbicara, dan sombong. [Sunan Tirmidzi: Sahih]

Dari Abu Hurairah R.A; Rasulullah SAW bersabda: Kalian tidak akan mampu memberi kepada semua orang dengan hartamu, akan tetapi kamu boleh memberi kepada semua orang dengan senyuman dan akhlak mulia.  [Musnad Al-Bazzar: Hasan]

Hubungilah orang yang memutuskan hubungannya dengan kamu dan berilah (sesuatu) kepada orang yang enggan memberimu. Hindarkan dirimu dari orang yang menzalimi kamu (Artinya, jangan menghiraukan orang yang menzalimi kamu). (HR. Ahmad)

Aku menjenguk ke syurga dan aku  melihat kebanyakan penghuninya orang-orang fakir (miskin). Lalu aku menjenguk ke neraka dan aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita. (HR. Bukhari dan Muslim) yang dimaksud hadits ini adalah fakir miskin yang sabar dan bersyukur dan kebanyakan wanita masuk neraka adalah kerana banyak mengeluh kepada suami dan tidak mahu bersyukur.

Tiada lurus iman seorang hamba sehingga lurus hatinya, dan tiada lurus

hatinya sehingga lurus lidahnya. ( HR. Ahmad)

Sebaik-baik umatku adalah apabila pergi (musafir) dia berbuka puasa dan solat Qashar, dan jika berbuat kebaikan merasa gembira, tetapi apabila melakukan keburukan dia beristighfar. Dan seburuk-buruk umatku adalah yang dilahirkan dalam kenikmatan dan dibesarkan dengannya, makanannya sebaik-baik makanan, dia mengenakan pakaian mewah-mewah dan bila berkata tidak benar (tidak jujur). (HR. Ath-Thabrani)

Allah SWT mewajibkan tujuh hak kepada seorang mukmin terhadap mukmin lainnya, iaitu:

(1) Melihat saudara seimannya dengan rasa hormat dalam pandangan matanya;

(2) Mencintainya di dalam hati;

(3) menyantuninya dengan hartanya;

(4) Tidak menggejek atau mendengar ejekkan terhadap kawannya;

(5) Menziarahi orang sakit;

(6) Menziarahi jenazahnya;

(7) dan tidak menyebut kecuali kebaikannya sesudah ia meninggal. (HR. Ibnu Baabawih)

Sebaik-baik kamu ialah yang diharapkan kebaikannya dan aman dari kejahatannya, dan seburuk-buruk kamu ialah yang tidak diharapkan kebaikannya dan tidak aman dari kejahatannya. (HR. Tirmidzi dan Abu Ya’la)

Aku mengagumi seorang mukmin. Bila memperoleh kebaikan dia memuji Allah dan bersyukur. Bila ditimpa musibah dia memuji Allah dan bersabar. Seorang mukmin diberi pahala dalam segala hal walaupun dalam sesuap makanan yang diangkatnya ke mulut isterinya. (HR. Ahmad dan Abu Dawud)

Jangan menunjukkan kegembiraan atas penderitaan saudaramu, nescaya Allah akan menyelamatkannya dan akan menimpakan (musibah) kepadamu. (HR. Aththusi dan Tirmidzi)

Sesiapa membela (nama baik dan kehormatan) saudaranya tanpa kehadirannya maka Allah akan membelanya di dunia dan di akhirat. (HR. Al-Baihaqi)

Hiasilah diri kita dengan akhlak mulia, agar  kita tersenarai dalam golongan yang mendapat perhatian Allah SWT.

Sekian , Terima Kasih.

Semoga Memberi Manfaat…