Category: KITAB AL-HIKAM

PENYUCIAN DIRI

PENYUCIAN DIRI

Dua jenis penyucian: Pertama zahir, ditentukan oleh peraturan agama dan dilakukan dengan membasuh tubuh badan dengan air yang bersih. Keduanya ialah penyucian batin, diperolehi dengan menyedari kekotoran di dalam diri, menyedari dosanya dan bertaubat dengan ikhlas. Penyucian batin memerlukan perjalanan kerohanian dan dibimbing oleh guru kerohanian.

Menurut hukum dan peraturan agama, seseorang menjadi tidak suci dan wuduk menjadi batal jika keluar sesuatu dari rongga badan. Ini perlu diperbaharui dengan wuduk. Dalam hal keluar mani dan darah haid mandi wajib diperlukan. Dalam hal lain, bahagian tubuh yang terdedah – tangan, lengan, muka dan kaki – mesti dibasuh. Mengenai pembaharuan wuduk Nabi s.a.w bersabda, “Pada setiap pembaharuan wuduk Allah perbaharui kepercayaan hamba-Nya yang cahaya iman digilap dan memancar dengan lebih bercahaya”. Dan, “Mengulangi bersuci dengan wuduk adalah cahaya di atas cahaya”.

Kesucian batin juga boleh hilang, mungkin lebih kerap daripada kesucian zahir, dengan sifat buruk, buruk perangai, perbuatan dan sifat yang merosakkan seperti sombong, takabur, menipu, mengumpat, fitnah, dengki dan marah. Perbuatan secara sedar dan tidak sedar memberi kesan kepada roh: mulut yang memakan makanan haram, bibir yang berdusta, telinga yang mendengar umpatan dan fitnah, tangan yang memukul, kaki yang membawa kepada kejahatan. Zina, yang juga satu dosa, bukan sahaja dilakukan di atas katil. Nabi s.a.w bersabda, “Mata juga berzina”.

Bila kesucian batin ditanamkan demikian dan wuduk kerohanian batal, membaharui wuduk demikian adalah dengan taubat yang ikhlas, yang dilakukan dengan menyedari kesalahan sendiri, dengan penyesalan yang mendalam disertai oleh tangisan (yang menjadi air yang membasuh kekotoran jiwa), dengan berazam tidak akan mengulangi kesalahan tersebut, berhasrat meninggalkan semua kesalahan, dengan memohon keampunan Allah, dan dengan berdoa agar Dia mencegahnya daripada melakukan dosa lagi.

Sembahyang adalah menghadap Tuhan. Berwuduk, berada di dalam keadaan suci, menjadi syarat untuk bersembahyang. Orang arif tahu penyucian zahir sahaja tidak memadai, kerana Allah melihat jauh ke dalam lubuk hati, yang perlu diberi wuduk dengan cara bertaubat. Firman Allah:
“Inilah apa yang dijanjikan untuk kamu, untuk tiap-tiap orang yang bertaubat, yang menjaga (batas-batas)”. (Surah Qaaf, ayat 32). Penyucian tubuh dan wuduk zahir terikat dengan masa kerana tidur membatalkan wuduk. Penyucian ini terikat dengan siang dan malam bagi kehidupan di dalam dunia. Penyucian alam batin, wuduk bagi diri yang tidak kelihatan, tidak ditentukan oleh masa. Ia untuk seluruh kehidupan – bukan sahaja kehidupan sementara di dunia tetapi juga kehidupan abadi di akhirat.

http://tamansufi.tripod.com/asrar16.html

TIADA KESEMPURNAAN TANPA IKHLAS

TIADA KESEMPURNAAN TANPA IKHLAS


TANAMKAN WUJUD KAMU DALAM BUMI YANG TERSEMBUNYI KERANA  YANG TUMBUH DARI SESUATU YANG TIDAK DITANAM ITU TIDAK SEMPURNA HASILNYA.

Hikmat yang lalu mengarahkan pandangan kita kepada ikhlas. Ikhlas menjadi kekuatan yang menghalau syirik Jalan syirik adalah kepentingan diri sendiri. Oleh itu diri sendiri mesti diperhatikan bagi mengelakkan berlakunya syirik. Bila kepentingan diri sendiri boleh
ditundukkan baharulah muncul keikhlasan.


Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)? ( Ayat 21 : Surah adz-Dzaariyaat )Hikmat 11 mengajak kita menyelami persoalan yang lebih halus iaitu hakikat diri kita sendiri atau kewujudan kita. Kita dijadikan daripada tanah, maka kembalikan ia (jasad) kepada tanah, iaitu ia (jasad) harus dilayani sebagai tanah supaya ia tidak mengenakan tipu dayanya. Apabila kita sudah dapat menyekat pengaruh jasad maka kita hadapi pula roh kita. Roh datangnya daripada Allah s.w.t, kerana roh adalah urusan Allah s.w.t, maka kembalikan ia kepada Allah s.w.t. Apabila seseorang hamba itu sudah tidak terikat lagi dengan jasad dan roh maka jadilah dia bekas yang sesuai untuk diisi dengan Allah s.w.t.
Pada awal perjalanan, seseorang pengembara kerohanian membawa bersama-samanya sifat-sifat basyariah serta kesedaran terhadap dirinya dan alam nyata. Dia dikawal oleh kehendak, pemikiran, cita-cita, angan-angan dan lain-lain. Anasir-anasir alam seperti galian, tumbuh-tumbuhan dan haiwan turut mempengaruhinya. Latihan kerohanian menghancurkan sifat-sifat yang keji dan memutuskan rantaian pengaruh anasir-anasir alam. Jika diperhatikan Kalam-kalam Hikmat yang lalu dapat dilihat bahawa hijab nafsu dan akal yang membungkus hati sehingga kebenaran tidak kelihatan. Akal yang ditutupi oleh kegelapan nafsu, iaitu akal yang tidak menerima pancaran nur, tunduk kepada perintah nafsu. Nafsu tidak pernah kenyang dan akal sentiasa ada jawapan dan alasan. Hujah akal menjadi benteng yang kukuh buat nafsu bersembunyi. Jangan memandang enteng kepada kekuatan nafsu dalam menguasai akal dan pancaindera. Al-Quran telah memberi peringatan mengenainya:@Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi. ( Ayat 43 & 44 : Surah al-Furqaan )Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan  lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlan kisah-kisah itu supaya mereka mahu berfikir. ( Ayat 176 : Surah al-A’raaf )Manusia yang menerima ayat-ayat Allah s.w.t yang seharusnya menjadi mulia telah bertukar menjadi hina kerana mereka memperturutkan hawa nafsu. Ayat-ayat Allah s.w.t yang diketahuinya memancarkan cahaya pada hati dan akalnya tetapi kegelapan nafsu membungkus cahaya itu. Di dalam kegelapan nafsu, akal mengadakan hujah bagi mendustakan ayat-ayat Allah s.w.t yang dia sendiri mengetahuinya. Allah s.w.t mengadakan perbandingan yang hina bagi orang yang seperti ini. Mereka adalah umpama anjing yang tidak boleh berfikir dan tidak bermaruah. Buruk sekali pandangan Allah s.w.t terhadap orang yang mempertuhankan nafsunya. Nafsu yang tidak mahu kenyang adalah umpama anjing yang sentiasa menjulurkan lidahnya, tidak memperdulikan walaupun dihalau berkali-kali. Allah s.w.t mewahyukan ayat-ayat yang menceritakan tentang kehinaan manusia yang menerima ayat-ayat-Nya tetapi masih juga memperturutkan hawa nafsu, supaya cerita yang demikian boleh memberi kesedaran kepada mereka. Jika mereka kembali sedar, mereka akan keluar daripada kegelapan nafsu. Berpandukan ayat-ayat Allah s.w.t yang sudah mereka ketahui mereka akan temui jalan yang benar. Ayat-ayat yang diturunkan Allah s.w.t memberi pengertian kepada Rasulullah s.a.w bahawa cendikiawan Arab yang menentang baginda s.a.w berbuat demikian bukan kerana tidak dapat melihat kebenaran yang baginda s.a.w bawa, tetapi mereka dikuasai oleh hawa nafsu. Cahaya kebenaran yang menyala dilubuk hati ditutupi oleh kegelapan nafsu. Orang yang telah menerima cahaya kebenaran tetapi mendustakannya itulah yang diberi perumpamaan yang hina oleh Allah s.w.t. Menurut cerita daripada Ibnu Abbas, pada zaman Nabi Musa a.s ada seorang alim bernama Bal’am bin Ba’ura. Allah s.w.t telah mengurniakan kepada Bal’am rahsia khasiat-khasiat nama-nama Allah Yang Maha Besar. Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israil, setelah selamat daripada Firaun, sampai hampir dengan negeri tempat tinggal Bal’am. Raja negeri tersebut ketakutan, takut kalau-kalau negerinya diserang oleh kaum yang telah berjaya menewaskan Firaun. Setelah bermesyuarat dengan penasihat-penasihatnya  Raja tersebut memutuskan untuk meminta pertolongan Bal’am agar Bal’am menggunakan ilmunya untuk mengalahkan Nabi Musa a.s. Bal’am yang pada mulanya enggan berbuat demikian tetapi akhirnya bersetuju juga setelah isteri kecintaannya menerima sogokan daripada Raja. Bal’am dengan kekuatan ilmunya dan kemujaraban doanya telah mengenakan sekatan kepada Nabi Musa a.s. Menurut cerita, doa dan perbuatan Bal’am dimakbulkan Allah s.w.t dan ia menjadi sebab kaum Nabi Musa terperangkap di Padang Teh beberapa tahun lamanya. Apabila Nabi Musa a.s mendoakan agar kaumnya dilepaskan daripada sekatan tersebut, Allah s.w.t memakbulkan doa tersebut dan pada masa yang sama laknat turun kepada Bal’am. Sebahagian orang menganggap cerita di atas sebagai cerita Israiliat. Rasulullah s.a.w menentukan dasar bahawa cerita ahlul kitab tidak dibenarkan dan tidak didustakan. Cerita tersebut dibawa sekadar menunjukkan sejauh mana kekuatan nafsu menutup pandangan hati sehingga Bal’am sanggup menentang Nabi Musa a.s walaupun dia mengetahui kebenarannya, sebagaimana cendikiawan Arab menentang Rasulullah s.a.w sekalipun hati kecil mereka menerima kebenaran baginda s.a.w.
Menundukkan nafsu bukanlah pekerjaan yang mudah. Seseorang itu perlu kembali kepada hatinya, bukan akalnya. Hati tidak akan berbohong dengan diri sendiri sekalipun akal menutupi kebenaran atas perintah nafsu. Kekuatan hati adalah ikhlas. Maksud ikhlas yang sebenarnya adalah:Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan  sekalian alam”. ( Ayat 162 : Surah al-An’aam )Dalam ikhlas tidak ada kepentingan diri. Semuanya kerana Allah s.w.t. Selagi kepentingan diri tidak ditanam dalam bumi selagi itu ikhlas tidak tumbuh dengan baik. Ia menjadi sempurna apabila wujud diri itu sendiri ditanamkan. Bumi tempat menanamnya adalah bumi yang tersembunyi, jauh daripada perhatian manusia lain. Ia adalah umpama kubur yang tidak bertanda.



http://alhikam0.tripod.com/hikam011.html

TEMAN YANG PALING MENGENALI KELEMAHAN KITA

TEMAN YANG PALING MENGENALI KELEMAHAN KITA

مَا صَحِبَكَ الاَّ مَنْ صَحِبَكَ وَهُوَ بِعَيْبَكَ عَلِيْمٌ، وَلَيْسَ ذَلِكَ إلاَّ مَوْلاَكَ الكَرِيْمُ.
Tiada teman yang menemani mu yang paling mengenali keaiban diri mu melainkan Tuhan mu yang Maha Mulia.

Setelah nyata pada kita bahawa yang sebenarnya yang memuliakan kita dengan memperlihatkan kebaikan kita dengan menutup keaiban dan kekurangan kita walaupun Dia mengetahui akannya ialah Allah…

Justeru Dialah yang selayaknya dijadikan teman dengan senantiasa mengintai-ngintai keberadaan Nya di mana jua kita berada.

Ketahui oleh mu duhai para salik kepada Allah! Sesungguhnya sebenar-benar teman mu ialah Allah, oleh itu Hendaklah engkau mengetahui hakikat bersuhbah dengan Nya dan sentiasa melazimi adab bersama Nya pada zahir dan batin mu.

Malulah kepada Nya apabila Dia mendapati dirimu berada dalam perkara yang ditegah Nya dan mencari mu pada perkara yang diperintahkan Nya.

Al Hakim di dalam kitabnya Al Mustadrak meriwayatkan sebuah hadis :

عَبْدِاللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رضي الله عنه قَالَ – قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “اسْتَحْيُوا مِنْ اللَّهِ حَقَّ الْحَيَاءِ قَالَ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا نَسْتَحْيِي وَالْحَمْدُ لِلَّهِ قَالَ: “لَيْسَ ذَاكَ وَلَكِنَّ الِاسْتِحْيَاءَ مِنْ اللَّهِ حَقَّ الْحَيَاءِ أَنْ تَحْفَظَ الرَّأْسَ وَمَا وَعَى وَالْبَطْنَ وَمَا حَوَى وَلْتَذْكُرْ الْمَوْتَ وَالْبِلَى وَمَنْ أَرَادَ الْآخِرَةَ تَرَكَ زِينَةَ الدُّنْيَا فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَدْ اسْتَحْيَا مِنْ اللَّهِ حَقَّ الْحَيَاءِ”.

Abdullah bin Masud r.a berkata : sabda Rasulullah s.a.w :” hendaklah kamu berasa malu kepada Allah dengan sebenar-benarnya, kata beliau : kami menjawab : ya Rasulullah! Kami sudah malu kepada Nya Alhamdulillah!

Lalu Baginda bersabda : bukan begitu… Sebenar-benar malu kepada Allah itu ialah bahawa engkau memelihara fikiran yang masuk ke otak mu, apa yang memasuki perut mu, bahawa engkau mengingati mati dan hal ehwal kubur, sesiapa yang melakukan demikian maka dia telah sebenar-benarnya malu kepada Allah.

Teman yang sentiasa menemani mu dan sangat mengenali keiaban mu itu dapat mencegah mu dari bersifat pura-pura dan riya’ dalam beragama, tiada sesiapa yang mampu melakukan demikian melainkan Tuhanmu.

Tuhan yang sentiasa Memerhatikan zahir dan batin mu, gerak dan diam mu, tawa dan tangis mu. Tuhan yang apabila engkau menderhakainya akan menutupnya dan apabila engkau memohon kemaafan Nya pasti akan memaafkan mu.

Bersuhbah dengan Allah itu bermula dengan Bersuhbah dengan para AhliLLah. Hal ini kerana kebanyakan manusia tiada mampu mendapat pedoman langsung dari Allah melainkan melalui perantaraan sahabat, guru dan sebagainya.

كن مع الله فان لم تكن مع الله فكن مع من كان مع الله فانه يوصلك الى الله
“Hendaklah engkau selalu bersama Allah. Jika
tidak mampu, berusahalah selalu bersama orang-
orang yang dekat dengan Allah. Karena
sesungguhnya orang itulah yang akan
menyampaikanmu kepada Allah.” (HR. Abu Daud).
Maka bersuhbah dengan mereka juga seperti bersuhbah dengan Allah, maka jika engkau malu kepada mereka juga seperti engkau malu kepada Allah dan seterusnya.

Mereka jugalah yang diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w :
عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ ، قَالَ : قِيلَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، مَنْ أَوْلِيَاءُ اللَّهِ ؟ قَالَ : الَّذِينَ إِذَا رُؤُوا ذُكِرَ اللَّهُ
أخرجه ابن أبي الدنيا في الأولياء ( 0/11 برقم 27 )
Rasulullah s.a.w ditanya siapakah Awliya’ Allah? Baginda menjawab : ” mereka yang apabila dipandang wajahnya akan mengingatkan kepada Allah”.

Assalamualaikum  &  Selamat  Pagi,

FURMAN ALLAH SWT YANG BERMAKNA

SESUNGGUHNYA KAMU TIDAK AKAN DAPAT MEMBERI PETUNJUK KEPADA ORANG YANG KAMU KASIHI, TETAPI ALLAH MEMBERI PETUNJUK KEPADA ORANG YANG DIKEHENDAKI-NYA, DAN ALLAH LEBIH MENGETAHUI ORANG-ORANG YANG MAU MENERIMA PETUNJUK. Surah Al-Qasas : 56

Mohon  Kunjungi Blog Kami Untuk Mendapat Maklumat Tentang  Al-Quran Mendahului Sains  Dan Lebih 80 Blog Gerbang Ilmu Agama Terbaik :

PERINGATAN DARI ILAHI (IV) – RINGKASAN KITAB TANBIHUL GHAFILIN

https://jipskelantan88695409.wordpress.com/2020/09/13/peringatan-dari-ilahi-iv-ringkasan-kitab-tanbihul-ghafilin/

Sama2 Kita Berkongsi Pahala Jariah Dengan Menyebarkan Bahan2 Agama Yang Bermanfaat, Mohon Para Sahabat Follow Blog Kami Dan Beri Pandangan Berguna, Terima Kasih.

SEBAIK-BAIK TEMAN

 SEBAIK-BAIK TEMAN
خَيْرُ مَنْ تَصْحَبُ مَنْ يَطْلُبُكَ لاَ لِشَيْءٍ يَعُوْدُ مِنْكَ إلَيْهِ
Sebaik-baik orang yang sewajarnya engkau bersahabat dengannya ialah orang yang mencari mu bukan kerana manfaat yang diperolehinya dari mu.
Sesungguhnya telah dinyatakan sebelum ini bahawa di antara ciri – ciri teman yang baik ialah teman yang mengenali kelemahan kita tetapi menutupnya dengan sifat pemaafnya dan sifat-sifat mulianya yang lain.
Kemudian pada kalam ini Syeikh memperincikan lagi ciri-ciri tersebut agar kita bersungguh mencarinya dan mendampinginya iaitu mereka yang mencari kita bukan kerana menginginkan sesuatu manfaat dari kita.
Sementara itu, tiada sesiapa pun yang menepati dengan ciri-ciri ini melainkan Allah, Zat Yang Maha Kaya lagi Maha Agung. Tuhan yang pasti melaksanakan apa yang dikehendaki Nya, Yang mencintai sesiapa sahaja tanpa sebarang sebab dan yang memurkai sesiapa sahaja tanpa ditimpa sebarang kemudaratan dan kesakitan.

Tuhan yang mendekatkan sesiapa sahaja yang dikehendaki Nya walaupun tanpa amalan yang dikerjakan dan menjauhkan sesiapa sahaja walau tanpa dosa yang dilakukannya.
Oleh itu, sebaik-baik sahabat ialah Tuhan mu, yang sentiasa mencari mu agar diri mu sentiasa merasai kehadiran Nya dan yang memilih mu untuk dicintai Nya tanpa menginginkan sebarang manfaat dari mu melainkan semuanya belas ihsan darinya kepada mu.

Justeru bagaimana engkau meninggalkannya dan mencari teman bermanja kepada selain Nya sedangkan mudaratnya lebih besar dari manfaatnya??
Sesetengah para Arif biLLah menyebut kebanyakan manusia umpama kala jengking yang bisa yang ada pada penyepitnya bisa mematikan.

Demikianlah keinginan nafsu yang ada dalam diri manusia juga seperti bisa kala jengking yang boleh mematikan agama.
Oleh itu jika engkau hendak bersahabat maka bersahabat lah dengan para Arif iaitu mereka yang perilakunya dapat memberikan kesedaran kepada mu dan bicaranya membawa mu mengenal Tuhan mu.
Tegasnya bersuhbah dengan menyampaikan kepada Allah sebenarnya bersuhbah dengan Allah, kerana tiada sesuatu selain Nya.

Sementara memandang para Arif biLLah itu seolah memandang kepada Allah kerana para Arif itu lebur dirinya dalam naungan Kebesaran Allah. Tiada sesuatu lagi dalam hati dan hidupnya melainkan untuk Allah.
Para Arif biLLah sentiasa wujud pada setiap zaman dan masa serta tiada pernah terputus kewujudannya.

Kewujudan mereka terlalu nyata seperti terangnya cahaya matahari. Oleh kerana nyatanya kewujudan mereka sehingga ada sebahagian manusia yang tersilau dari menemuinya.

Moga Allah menemukan kita dengan para Arif biLLah ini dan jika kita telah temui mereka moga di istiqamah kan kita untuk bersuhbah bersama mereka.

Assalamualaikum  &  Selamat  Pagi,

FURMAN ALLAH SWT YANG BERMAKNA

SESUNGGUHNYA KAMU TIDAK AKAN DAPAT MEMBERI PETUNJUK KEPADA ORANG YANG KAMU KASIHI, TETAPI ALLAH MEMBERI PETUNJUK KEPADA ORANG YANG DIKEHENDAKI-NYA, DAN ALLAH LEBIH MENGETAHUI ORANG-ORANG YANG MAU MENERIMA PETUNJUK. Surah Al-Qasas : 56

Mohon  Kunjungi Blog Kami Untuk Mendapat Maklumat Tentang  Al-Quran Mendahului Sains  Dan Lebih 80 Blog Gerbang Ilmu Agama Terbaik :

PERINGATAN DARI ILAHI (IV) – RINGKASAN KITAB TANBIHUL GHAFILIN

https://jipskelantan88695409.wordpress.com/2020/09/13/peringatan-dari-ilahi-iv-ringkasan-kitab-tanbihul-ghafilin/

Sama2 Kita Berkongsi Pahala Jariah Dengan Menyebarkan Bahan2 Agama Yang Bermanfaat, Mohon Para Sahabat Follow Blog Kami Dan Beri Pandangan Berguna, Terima Kasih.

Perjalanan Menuju Allah

Keadaan hamba yang dipersiapkan untuk memasuki jalan kerohanian itu sudah sangat berbeza daripada keadaannya yang asal. Minatnya kepada orang ramai sudah tidak ada lagi. Dia tidak memperdulikan lagi televisyen, radio, surat khabar, talipon, kunjungan sahabat handai dan lain-lain. Dia lebih suka bersendirian. Dalam suasana bersendirian itulah dia dibawa kepada stesen kerohanian yang pertama.

STESEN PERTAMA

 Si hamba membetulkan niatnya: “Ilahi! Engkaulah maksud dan tujuan. Keredaan Engkau yang daku cari”. Tiada niat lain lagi baginya. Dia tidak mengharapkan untuk menjadi wali atau mendapat kekeramatan. Dia tidak meminta ilmu keduniaan atau ilmu akhirat. Dia adalah umpama seorang pesalah yang sedang menanti dengan rela hukuman pancung yang akan dijatuhkan kepadanya. Dia menyerahkan ‘batang lehernya’ bulat-bulat kepada ‘pancungan’ takdir.

 Dalam penyerahan itu si hamba merasakan hatinya seperti disinari cahaya yang terang, lebih terang daripada segala cahaya yang ada di bumi. Dalam suasana hati yang demikian dia merasakan kewujudan jalinan hubungan yang erat dengan Kenabian Ibrahim a.s. Rasa kehadiran Ibrahimiyah membuat si hamba mengenangkan keluhuran Nabi Ibrahim a.s yang hanif, dengan kekuatan sabar, reda dan tawakalnya. Ibrahim a.s meninggalkan isteri yang sarat mengandung di tempat yang tidak ada penghuni, demi menjunjung perintah Tuhan. Ibrahim a.s sanggup mengorbankan anak kesayangan demi menjunjung perintah Tuhan. Ibrahim a.s mempunyai kekuatan hati kerana hati beliau a.s berserah sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Sewaktu akan dicampakkan ke dalam api Ibrahim a.s berkata: “Tuhanku melihat keadaanku. Dia tahu apa yang baik untukku. Dia tidak akan membiarkan daku”. Api kehilangan keupayaan membakar apabila berhadapan dengan kekuatan penyerahan Ibrahim a.s.

 Si hamba berdoa kepada Tuhan: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku sebahagian daripada apa yang telah Engkau kurniakan kepada Khalil-Mu, Ibrahim a.s. Kurniakanlah kepadaku rasa penyerahan yang sebenarnya kepada-Mu. Perkuatkanlah kesabaranku menghadapi ujian-Mu. Teguhkan tawakalku menanti keputusan-Mu. Kurniakanlah kepadaku keredaan yang sebenarnya dalam menerima takdir yang datang daripada-Mu, baik atau buruk”.

 Hati si hamba sentiasa memanggil Tuhannya: “Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah!” Inilah hamba-Mu yang berdiri kerana menjunjung perintah-Mu. Inilah hamba-Mu yang rukuk kerana memuji dan memuja-Mu. Inilah hamba-Mu yang sujud kerana mengharapkan Wajah-Mu. Wahai Tuhanku. Janganlah Engkau jadikan kejahilan dan kedaifanku sebagai hujah untuk Engkau tidak menerima kedatanganku”. Kemudian didatangkan kecenderungan membaca al-Quran kepada hati si hamba. Si hamba memulakannya dengan membaca Surah al-Hadiid, Surah yang ke lima puluh tujuh. Dia membacanya dengan penuh penghayatan dan memahami maksudnya. Surah ini mengajar manusia supaya sanggup berkorban kerana Allah s.w.t demi menegakkan kebenaran. Diterangkan bahawa kehidupan di dalam dunia ini adalah perjuangan di antara yang benar dengan yang salah. Orang yang beriman kepada Allah s.w.t, Rasul-Nya dan hari akhirat mestilah mempertahankan keyakinan yang benar dan apa sahaja yang benar. Surah ini juga memperingatkan bahawa mengenakan tipu daya kepada manusia. Manusia mestilah sedar bahawa dunia dengan segala kemewahannya tidak ada nilainya jika dibandingkan dengan perjuangan pada jalan Allah s.w.t. Manusia digesa supaya mengejar nikmat yang ada pada sisi Allah s.w.t, disediakan untuk orang yang bertaubat dan bertakwa. Manusia juga diperingatkan supaya bersabar menerima ujian daripada Allah s.w.t. Ia mengajar manusia supaya beriman kepada Qadak dan Qadar.Tidaklah mengena satu bencana atas bumi dan tidak pula pada diri kamu melainkan semua itu sudah tercatit dalam Kitab sebelum Kami melakukannya. Yang demikian bagi Allah sangatlah mudah. Allah khabarkan demikian supaya kamu tidak berputus asa terhadap apa yang telah hilang daripada kamu dan tidak menyombong dengan apa yang datang kepada kamu. Dan Allah tidak suka kepada orang yang menyombong. (Ayat 22 & 23 : Surah al-Hadiid )

 Allah s.w.t menerangkan bahawa segala yang berlaku adalah menurut takdir yang Dia telah tentukan. Membuat yang demikian sangatlah mudah bagi Tuhan kerana Ilmu-Nya meliputi yang awal, yang akhir, yang zahir dan yang batin. Orang yang beriman tidak seharusnya berputus asa apabila berpisah daripada sesuatu yang dia sayangi kerana mungkin menurut Ilmu Allah s.w.t yang demikian baik baginya. Kesusahan dan bala bencana membuat manusia menjadi sabar, reda, bertawakal dan bersyukur, lalu dia dibawa hampir dengan-Nya. Ini jauh lebih baik daripada apa yang terpisah daripadanya.

Surah al-Hadiid juga memperkenalkan Allah s.w.t melalui nama-nama-Nya. Nama-nama Tuhan menjadi jambatan menghubungkan hamba dengan Tuhan. Jika nama Tuhan ditilik dengan hati nescaya terlihat apa yang tidak dapat dilihat oleh mata.
Seterusnya si hamba membaca pula Surah as-Sajdah, Surah yang ke tiga puluh dua. Surah ini mengajak manusia memerhatikan hubungan mereka dengan Pencipta. Tuhan menciptakan manusia pertama daripada tanah dan keturunan manusia dikembangkan melalui air mani. Tuhan sempurnakan ciptaan manusia dengan pengurniaan kepada mereka roh dan diperlengkapkan dengan berbagai-bagai bakat serta keupayaan. Surah ini menceritakan keadaan orang yang beriman sujud kepada-Nya apabila mereka diperingatkan dengan-Nya Orang beriman memisahkan diri mereka daripada tempat tidur pada malam hari kerana melakukan ibadat kepada-Nya, memuji dan memuja-Nya dengan rasa takut dan harap. Manusia diberitahu bahawa Allah s.w.t adalah Pencipta, Pengatur dan Pengurus segala-galanya. Hanya Dia yang berkuasa memberi pertolongan dan pembelaan. Dia Mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Oleh itu layaklah jika hamba mengadu dan merayu kepada-Nya sahaja, tidak kepada yang lain. Manusia diperingatkan supaya menggunakan bakat dan keupayaan yang Tuhan kurniakan kepada mereka untuk berbakti kepada-Nya bukan berbuat maksiat.

 Si hamba semakin merasakan keakraban dengan al-Quran. Dibacanya pula Surah Luqman dengan penuh penghayatan. Surah ini menceritakan sifat orang yang beriman seperti yang telah digambarkan oleh Surah as-Sajdah. Luqman adalah seorang hamba Allah yang salih. Beliau banyak bertafakur merenung alam keliling dan kehidupan di dalamnya. Tuhan bukakan kepadanya rahsia kehidupan. Beliau dapat melihat kehidupan ini dengan pandangan hikmah, kerana itu beliau digelar ahli hikmah. Ahli hikmah melihat yang tersirat sedangkan orang lain melihat yang tersurat.

 Keseronokan membaca al-Quran berterusan. Dibacanya pula Surah Yusuf. Surah ini menceritakan bahawa orang yang memperolehi hikmah adalah orang yang tahan menanggung ujian. Ujian merupakan proses penyucian dan pembentukan jiwa manusia.

 Si hamba beralih pula kepada Surah Saba’. Surah Yusuf menceritakan hamba-Nya yang diuji dengan kesusahan. Surah Sabaa pula menceritakan tentang hamba-hamba-Nya yang diuji dengan kesenangan dan kekuasaan. Nabi Daud a. s menjadi raja yang sangat luas daerah kekuasaannya, hinggakan angin dan gunung ditundukkan kepadanya. Anakandanya, Sulaiman a.s, mewarisi kekuasaan tersebut. Kekuasaan Sulaiman a.s ditambah lagi hinggakan haiwan dan jin tunduk kepadanya. Kerajaan dan kekuasaan yang begitu luar biasa tidak sedikit pun menggugat iman Daud a.s dan Sulaiman a.s.

Si hamba kemudiannya membaca Surah Faatir. Surah ini menggambarkan dengan indah bangunan alam maya ciptaan Tuhan. Diceritakan keharmonian perjalanan anggota-anggota alam. Manusia yang menggunakan akal fikiran akan dapat menghayati kerapian ciptaan Tuhan untuk mereka merasakan kebesaran dan keagungan Tuhan. Surah Faatir menekankan bahawa segala-galanya berpusat kepada Kudrat dan Iradat Tuhan yang tidak terbatas. Semuanya diciptakan dan diaturkan oleh satu kuasa sahaja, iaitu Allah Yang Maha Esa. Manusia diciptakan dan dihantarkan ke bumi. Kemudian dikirimkan petunjuk supaya manusia dapat menjalankan urusan dan bertugas sebagai khalifah di bumi. Mereka diberi peringatan bahawa mereka akan berhadapan dengan gangguan-gangguan. Gangguan tersebut memperingatkan mereka kepada tujuan mereka dihantarkan ke bumi.

Setelah membaca Surah-surah al-Hadiid, as-Sajdah, Luqman, Yusuf, Saba’ dan Faatir, si hamba mendapat keinsafan yang mendalam. Dibacanya pula Surah at-Taubah sebagai pengakuan bahawa dia bertaubat daripada segala kesalahan dan kekeliruannya.

 Si hamba menghayati tujuh buah Surah daripada al-Quran. Pembacaan al-Quran kali ini sangat menyentuh jiwanya. Hatinya berasa terang dan jelas memandang kepada jalan yang mahu ditujunya. Tujuan dan matlamatnya untuk menghampiri Tuhan semakin teguh. Sesungguhnya membaca al-Quran dalam suasana kehadiran Hakikat Ibrahimiyah memperkuatkan tapak kakinya untuk terus berjalan kepada Tuhan. Tidak ada apa lagi yang boleh mengalihkan pandangannya daripada matlamatnya.

 Kemudian hatinya dibawa kepada suasana kehadiran Hakikat Musawiyah. Musa a.s adalah Kalim Allah, iaitu orang yang Allah s.w.t bercakap-cakap dengannya. Musa a.s mengerti tentang Kalam Allah s.w.t yang tidak bersuara dan berhuruf. Dalam suasana kehadiran Musawiyah itu si hamba memulakan pembacaan al-Quran dari permulaannya. Dimulakannya dengan membaca Surah al-Faatihah, Ibu Kitab, kunci pembuka keghaiban, cahaya yang terang benderang menerangi hati nurani. Hati yang diterangi oleh cahaya al-Faatihah merenung al-Quran, huruf demi huruf, ayat demi ayat. Al-Quran dibaca bukan sekadar mengeluarkan bunyi dan erti-makna malah lebih mendalam daripada itu al-Quran melahirkan daya rasa yang seni, yang melampaui apa yang mampu disampaikan oleh bunyi dan makna. “Jika ada satu Kitab yang mampu dijalankan gunung-gunung dengannya atau dibelah bumi dengannya atau dibuat bercakap orang yang telah mati dengannya, maka al-Quran adalah Kitab tersebut”. Apabila hati menghayati maksud ayat ini, maka al-Quran jualah yang membawa hati kepada jalan yang lurus, membelahnya untuk diisi dengan kebaikan dan menghidupkannya untuk memandang kepada Tuhan. Bacaan al-Quran bertindak seumpama air sejuk yang enak menyerap ke seluruh rongga dan ruang. Bacaannya memberi kesan kepada seluruh diri zahir dan Diri Batin, menyerap ke seluruh maujud, menjadi darah dan daging, menjadi cita-cita dan keinginan. nur al-Quran menghancurkan hijab yang didirikan oleh syaitan, dunia dan hawa nafsu. Tenaga nur al-Quran akan menghapuskan apa sahaja yang cuba menawan hati. nur al-Quran membebaskan hati daripada segala bentuk perhambaan kepada makhluk dan menetapkan satu perhambaan sahaja iaitu perhambaan kepada Allah s.w.t yang tidak bersekutu dengan-Nya sesuatu apa jua pun. Bila ruang hati sudah penuh dengan nur al-Quran baharulah manusia itu benar-benar menjadi hamba Allah yang sesuai dengan Kalam Allah s.w.t. Penghayatan bacaan al-Quran tanpa penyerapan nur al-Quran tidak memadai untuk membentuk insan al-Quran, seperti generasi Muslim yang diasuh secara langsung oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Si hamba sampai kepada ayat 54, Surah al-Baqarah:Dan (ingatlah) tatkala Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menzalimi diri-diri kamu dengan sebab kamu menyembah anak sapi. Oleh itu minta ampun kepada Tuhan dan bunuhlah diri-diri kamu. Yang demikian itu baik bagi kamu pada sisi Tuhan kamu. Lantas Dia ampunkan kamu kerana sesungguhnya Dia Maha Pengampun, Penyayang.” ( Ayat 54 : Surah al-Baqarah )

 Hati si hamba disentuh oleh ayat di atas. Bukan kaum Nabi Musa a.s sahaja yang menzalimi diri mereka. Manusia lain juga tidak kurang menzalimi diri sendiri. Mereka juga ‘menyembah berbagai-bagai anak sapi’ yang dibentuk oleh hawa nafsu mereka. Musa a.s menyarankan agar bertaubat dan diri yang zalim itu dibunuh. Si hamba yang berada dalam suasana kehadiran Hakikat Musawiyah menyahut seruan ayat 54, Surah al-Baqarah itu. Si hamba berdiri menghadap kiblat sambil mengangkat tangannya. Dia melafazkan dengan penuh kekhusyukan:
Aku bertaubat daripada menzalimi diri sendiri.

 Si hamba mengerti bahawa kezaliman yang paling besar adalah meletakkan taraf ketuhanan Allah s.w.t tidak pada kedudukan yang adil dan meletakkan taraf makhluk melebihi apa yang sepatutnya. Dia benar-benar ikhlas ‘membunuh’ dirinya yang zalim agar diri yang adil sahaja tegak berdiri. Si hamba bersyukur kepada Allah s.w.t kerana memberinya taufik, hidayat dan kekuatan untuk melakukan taubat yang demikian. Peristiharan hamba yang ikhlas itu menjadi kenyataan kepada firman Tuhan:Dan tidak! Aku bersumpah dengan jiwa yang selalu menegur dirinya (nafsu lawwamah). ( Ayat 2 : Surah al-Qiyamah )

 Nafsu lawwamah adalah diri hamba yang menginsafi segala kesalahan yang telah dilakukannya dan benar-benar ingin memperbaiki diri sendiri.


STESEN KE DUA Sambil membaca al-Quran si hamba memperbanyakkan zikir. Dipalukannya zikir itu kuat-kuat ke dalam lubuk hatinya, seumpama jentera yang memukul tiang konkrit ke dalam tanah hingga bergegar tanah di sekelilingnya. Ucapan zikir bergema di dalam diri. Gemanya menyelinap ke seluruh ruang diri.

 Di dalam suasana kehadiran Hakikat Musawiyah hati si hamba diperkuatkan bagi melawan anasir syirik yang cuba menguasai jiwanya. Kemudian dia berpindah pula kepada suasana kehadiran Hakikat Isaiyah. Si hamba meneruskan pembacaan al-Quran dalam suasana yang baharu ini. Dalam suasana ini hati banyak memerhatikan urusan taubat. Hati mencari-cari cara taubat yang lebih baik. Dia mahu memutuskan dirinya daripada rantai-rantai yang mungkin boleh mengheretnya semula kepada kesalahan. Dia mahu menjadi orang yang benar dengan taubatnya.

 Dia terus membaca al-Quran dari satu Surah ke Surah yang lain dalam suasana hati memohon keampunan kepada Allah s.w.t, mengharapkan taubatnya diterima oleh-Nya. Dalam suasana bertaubat memohon keampunan Allah s.w.t, dalam kehadiran Hakikat Isaiyah atau dalam sinaran cahaya kenabian Isa a.s, si hamba mendapat pengertian bahawa bertaubat bukan sekadar menyesal dan meninggalkan kesalahan. Lebih penting daripada itu adalah menyesuaikan baki hayat yang masih ada dengan al-Quran secara zahir dan batin. Taubat adalah pintu kepada al-Quran, bukan sekadar pintu meninggalkan kesalahan dan dosa. Taubat yang sebenarnya berlaku di dalam sinaran nur al-Quran, dalam suasana hati yang sama dengan hati orang yang sedang mengerjakan sembahyang dengan khusyuk. Setelah selesai membaca Surah Maryam sebelum memasuki daerah Surah Taha, si hamba ‘digerakkan’ supaya meletakkan tangannya ke atas dada al-Quran, pada muka pertama Surah Taha dan dia mengucapkan:
Aku bertaubat daripada perbuatan syirik dan munkar.

 Kemudian si hamba menadah tangannya ke langit dan bermunajat kepada Tuhan: “Wahai Tuhanku! Engkau Mengetahui kezaliman dan kejahatan diriku. Jika tidak kepada Engkau kepada siapa lagi hendakku pohonkan keampunan. Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang Maha Mengampuni dan Maha Mengasihani. Ya Allah, ya Tuhanku! Ampuni segala dosa-dosaku, dosa-dosa kedua ibu-bapaku ,dosa-dosa isteri dan anak-anakku, dosa-dosa saudara-saudaraku dan dosa-dosa sekalian kaum Muslimin dan Muslimat. Sesungguhnya Engkau jualah yang mengampunkan dosa-dosa hamba-Mu. Amin!”  Si hamba menyapu mukanya dengan kedua-dua tapak tangannya yang telah menyentuh al-Quran dan menadah ke langit itu. Dia merasakan aliran wap sejuk berjalan ke seluruh tubuhnya. Dia berada dalam keadaan demikian beberapa ketika.


STESEN KE TIGA Si hamba meneruskan perjalanannya di dalam daerah-daerah Surah al-Quran. Hatinya memasuki suasana kehadiran kenabian Daud a.s. Nabi Daud a.s telah menerima tanah kepunyaan Nasuha untuk didirikan masjid. Nasuha yang pada mulanya enggan menyerahkan tanah tersebut tetapi kemudian mendapat taufik dan hidayat daripada Tuhan, lalu dia bertaubat. Taubat itu dinamakan taubat nasuha, iaitu taubat orang yang meyakini akan berjumpa dengan Tuhan dan kembali kepada-Nya. Setelah menerima tanah Nasuha, bekerjalah Nabi Daud a.s membina rumah Allah. Si hamba yang telah benar dengan taubatnya bekerja membina hatinya untuk menjadi rumah Allah.

 Setelah melepasi daerah Surah Muhammad, si hamba masuk ke dalam daerah Surah al-Fat-h, sampai kepada ayat ke 29.Muhammad Pesuruh Allah! Dan orang-orang yang besertanya keras terhadap orang kafir (dan) berkasih sayang sesama mereka. Engkau lihat mereka rukuk, sujud, mencari kurniaan dan keredaan Allah. Tanda-tanda mereka (ada) di muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat mereka di Taurat dan sifat mereka di Injil, sebagai tanaman yang keluarkan tunasnya, lalu Dia teguhkan ia. Maka jadilah ia gemuk dan tegap berdiri di atas pangkalnya. (Adalah) kerana Dia hendak jengkilkan kafir-kafir itu dengan (kesuburan) mereka (yang mukmin). Allah janjikan mereka yang beriman dan beramal salih dari mereka keampunan-Nya dan ganjaran yang besar. ( Ayat 29 : Surah al-Fat-h )

 Si hamba membaca ayat di atas dengan khusyuk. Diulanginya beberapa kali. Kemudian dia digerakkan supaya menghadap kiblat dan mengangkat tangannya. Dia mengadakan baiah (janji setia) dengan sepenuh jiwa raganya:

Daku mengadakan baiah dengan Rasulullah s.a.w

 Tangan kanan yang menyaksikan baiah di atas diletakkannya ke dada sebelah kiri, berbetulan dengan kedudukan hati. Sebaik sahaja tapak tangannya yang menyaksikan baiah itu menyentuh dadanya dirasakannya seolah-olah “Muhammad ur-Rasulullah ”  menjadi pedang yang tajam memancung tangkal hatinya. Pancungan tersebut seumpama petir memanah ke hatinya. Terlalu kuat pancungan dan panahan tersebut hinggakan dia terbaring. Dia merasakan tusukan bisa di dalam hatinya. Dia bermohon kepada Allah s.w.t agar diberikan kepadanya kekuatan untuk menahan bisa yang sedang merobekkan hatinya itu. Pada saat itu Kaabatullah muncul dalam pandangan mata hatinya. Dalam penyaksian tersebut hatinya ‘mengucup’ Hajaral Aswad dengan penuh rasa tawadhuk kepada Allah s.w.t. Baharulah berkurangan kepedihan yang menikan hatinya.

 Pengalaman yang singkat itu membuat si hamba mengerti kebesaran ucapan kalimah “Muhammad-ur-Rasulullah.” Ia adalah pedang kebenaran yang memancung apa sahaja yang selain Allah s.w.t yang berada di dalam hati. Ia merobekkan istana iblis yang telah sekian lama terbina di sana. Ia meruntuhkan dinding dan tembok yang didirikan oleh syaitan, hawa nafsu dan dunia. Pedang kebenaran menghalau segala yang keji. Bila segala yang keji sudah menyingkir terbinalah sebuah istana yang indah di dalam hati.
Kalbu (hati) orang mukmin adalah istana Allah.


STESEN KE EMPATHati si hamba masuk pula kepada suasana kehadiran Cahaya Kenabian Sulaiman a.s. Sulaiman a.s menyudahkan pembinaan masjid yang pembinaannya dimulakan oleh ayahandannya, Daud a.s. Mereka membina masjid di atas tanah Nasuha yang bertaubat.

 Daud a.s dan Sulaiman a.s merupakan dua orang hamba Allah yang diberikan kerajaan dan kekuasaan yang tidak diberikan kepada manusia lain. Kurniaan Allah s.w.t yang begitu besar menambahkan kesyukuran mereka. Si hamba yang telah memasuki pintu taubat menemui pula pintu kesyukuran.

 Si hamba yang hatinya dikuasai oleh rasa bersyukur kepada Allah s.w.t meneruskan pembacaan al-Quran. Alunan kesyukuran pada jiwa ketika membaca al-Quran berbeza daripada alunan taubat. Kedua-duanya tidak mampu dihuraikan. Hati yang telah merasainya akan mengerti. Di dalam alunan kesyukuran itu si hamba sampai kepada daerah Surah ar-Rahman. Dia sampai kepada ayat ke 13:Dan kurniaan Tuhan kamu yang mana lagi hendak kamu dustakan? ( yat 13 : Surah ar-Rahman )

 Si hamba terpegun sejenak. Bacaannya terhenti. Dicubanya membaca sekali lagi ayat tersebut tetapi lidahnya kelu. Dia merasakan kekerdilan diri yang amat sangat. Apabila dia mencuba lagi untuk meneruskan bacaannya dirasakannya sebuah gunung yang besar terhempap ke atas kepalanya. Tiba-tiba mata hatinya menyaksikan keagungan ar-Rahman. Keagungan ar-Rahman menguasai hatinya. Dia merasakan seolah-olah nafasnya dan perjalanan darahnya terhenti. Ingatan kepada ar-Rahman itu menggoncangkan sekalian maujudnya. Apabila dia berhadapan dengan ar-Rahman dirasakannya dirinya umpama lilin yang cair dimakan api, umpama tepung yang diterbangkan angin kencang. Tidak ada daya dan upayanya untuk menghampiri daerah ar-Rahman. Dia sujud ke Hadrat Tuhan ar-Rahman dan bermunajat: “Wahai ar-Rahman! Engkau perlihatkan Keagungan-Mu kepada hamba-Mu yang kerdil dan daif ini. Dalam serba kelemahan dan kekurangan ini hamba-Mu memohonkan keampunan dan kemaafan-Mu. Maafkan daku wahai Yang Maha Agung! Tidak terdaya hamba-Mu ini melalui Surah ar-Rahman Yang Agung ini. Izinkan daku meneruskan perjalananku kepada Surah-surah yang lain dengan meninggalkan apa yang tidak terdaya daku melaluinya”.

 Pengalaman berhadapan dengan Surah ar-Rahman membuatkan si hamba mengerti bagaimana Gunung Thursina hancur lebur bila dihadapkan kepada tajalli Tuhan. Berhadapan dengan Surah ar-Rahmaan sudah menghancur-leburkan kewujudan insan, Apa lagi jika benar-benar berhadapan dengan keagungan-Nya. Kesucian dan kemuliaan malaikat Jabrail a.s masih tidak cukup kuat untuk berhadapan dengan keagungan Allah ar-Rahman!

 Si hamba sampai kepada daerah Surah al-Ikhlas. Diulangi bacaannya beberapa kali. Kemudian diletakkan tangannya di atas dada Surah al-Ikhlas dan diucapkannya dengan penuh kekhusyukan.:

Diucapkannya kalimah di atas beberapa kali dengan sepenuh jiwa raganya. Dia merasakan sesuatu keanehan. Dirasakannya kalimah suci itu menyelinap ke seluruh tubuhnya dan ke seluruh jiwa raganya. Tiada ruang lagi pada dirinya yang tidak diresapi oleh kalimah suci itu. Sekalian maujudnya menyaksikan:

 Tapak tangan kanannya yang menyentuh dada al-Quran semasa dia mengucapkan Kalimah Syahadah tadi diletakkannya di dadanya, berbetulan dengan hati. Seluruh maujudnya, zahir dan batin, dikuasai oleh kalimah La ilaha illa Llah. Ia menjalar ke dalam darah, daging, urat saraf, tulang belulang dan seluruh tubuhnya dari hujung rambut sampai hujung kaki. Sekaliannya menyaksikan dengan penuh tawadhuk kepada Tuhan bahawa  La ilaha illa Llah. Apa yang dirasainya daripada ucapan Kalimah Tauhid kali ini sangat berbeza daripada yang sudah-sudah. Tidak pernah dia merasakannya begini, walaupun dia selalu mengucapkan kalimah tersebut. Pengalaman  La ilaha illa Llah yang diperolehinya kali ini tidak akan ditukarkan dengan sesuatu, walaupun dengan sebuah gunung emas. Dunia dan isinya bukanlah harga untuk ditukar dengan kalimah suci ini. Si hamba bermunajat kepada Tuhan dengan segala kerendahan hatinya: “Ya Allah! Ya Ahad! Bawalah daku kepada-Mu. Jangan Engkau tinggalkan daku walau satu detik pun. Jangan Engkau biarkan yang selain-Mu mengurus daku walau satu saat pun. Janganlah Engkau kembalikan daku kepada pekerjaan zalim, munkar dan melampaui batas. Daku berlindung kepada-Mu pada setiap waktu. Engkau jualah sebaik-baik Pelindung!”

Kemudian si hamba mengucapkan:

“Aku reda Allah s.w.t jualah Tuhan, Islam jualah agama, Muhammad s.a.w adalah Nabi dan Rasul, al-Quran adalah imam (ikutan), Kaabah adalah Kiblat dan Mukminin serta Mukminat adalah saudara!”

Kemudian si hamba menghabiskan bacaan al-Quran hingga ke Surah yang terakhir. Dia telah diberi kesempatan mengalami sesuatu yang unik semasa melalui daerah-daerah Surah al-Quran. Pengalaman hati sukar dijelaskan. Hati yang merasai suka, duka, senang dan susah. Hati mengalami suasana yang dipanggil sabar, reda, tawakal dan syukur. Hati juga merasai suasana kehadiran cahaya kenabian, sebagaimana hati mengalami kehadiran (Hadrat) Ilahi. Merasai kehadiran cahaya kenabian bukan berhadapan secara nyata, bertutur-kata dengan mereka. Rasa kehadiran berlaku di dalam hati. Tutur-katanya bukanlah percakapan tetapi pengertian yang tiba-tiba tertanam pada lubuk hati.


STESEN KE LIMA

 Setelah selesai membaca al-Quran si hamba meneruskan perjalanannya dengan memperbanyakkan zikir dan bersembahyang sunnat, sesuai dengan firman Tuhan:Sesungguhnya aku adalah Allah! Tidak ada Tuhan melainkan Aku. Sebab itu abdikan dirimu kepada-Ku dan dirikanlah sembahyang buat mengingati Aku. ( Ayat 14 : Surah Taha )

 Pengembaraan di dalam sembahyang membentuk hati yang kuat berserah diri kepada Allah s.w.t. Keinginan untuk bertemu dengan-Nya semakin kuat. Si hamba yakin bahawa hanya dengan menyerahkan segala urusan kepada-Nya sahaja boleh membawa seseorang hamba hampir kepada-Nya. Dalam keadaan demikian pergantungan si hamba itu kepada Allah s.w.t semakin teguh. Pengharapannya kepada makhluk tinggal hanya sedikit sahaja lagi. Ingatannya kepada Allah s.w.t sangat kuat dan ingatannya kepada makhluk sangat berkurangan. Lama kelamaan kuatlah penghayatan dalam hatinya suasana: “Maksud dan tujuan hanyalah Allah s.w.t. Keredaan-Nya yang dicari”.

 Dalam keasyikan mengerjakan berbagai-bagai sembahyang sunnat itu hati si hamba disentuh oleh sepotong ayat yang sering dibaca dalam sembahyang. Si hamba dengan ikhlas membuat penyaksian:Dengan Nama Allah, Pemurah, Penyayang.
Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku semuanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam.

 Si hamba memperakui bahawa tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah s.w.t. Oleh kerana segala daya dan upaya adalah hak Allah s.w.t, maka segala sembahyang, ibadat-ibadat, seluruh penghidupan dan juga kematian adalah diperuntukkan kepada Allah s.w.t, tidak kepada yang lain. Tidak ada motif keduniaan dan keakhiratan.


STESEN KE ENAM

 Si hamba tenggelam dalam penghayatan bahawa tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah s.w.t. Bertambah kuat dia melakukan sembahyang dan zikir sebagai menyatakan bahawa segala daya dan upaya yang dikurniakan Allah s.w.t kepadanya digunakannya untuk mencari keredaan Allah s.w.t jua. Hatinya menyaksikan bahawa segala perkara, semua kejadian, apa sahaja yang bergerak dan yang diam, semuanya terjadi kerana daya dan upaya yang dari Allah s.w.t. Pergantian malam dengan siang, pasang dan surut air laut, senang dan susah, sihat dan sakit dan semuanya adalah kenyataan kepada daya dan upaya yang dari Allah s.w.t jua. Daya dan upaya yang dari Allah s.w.t itu muncul dalam berbagai-bagai keadaan, rupa bentuk, sifat, ruang dan waktu. Si hamba melihat perbuatan dan kelakuan muncul daripada dirinya sebenarnya adalah daya dan upaya yang datang dari Allah s.w.t.


STESEN KE TUJUH

 Dalam suasana yang dipenuhi dengan sembahyang dan zikir si hamba digerakkan untuk bertafakur. Dia gemar merenung segala perkara dan menghubungkannya dengan Tuhan. Sesuatu perkara yang pada mulanya kelihatan sulit, setelah direnungnya dengan mendalam dia mendapat jawapan yang memuaskan hatinya. Melalui proses tafakur itulah dia banyak mendapat kefahaman tentang berbagai-bagai perkara yang pernah dimusykilkannya dahulu. Dahulu akalnya tidak mampu mencari jawapan. Kini dia mendapat jawapan dengan mudah. Sedikit demi sedikit, melalui penemuan secara bertafakur, hatinya merasakan bahawa jawapan yang datang kepadanya bukan terjadi dengan tiba-tiba, tetapi ia berlaku secara terancang dan diuruskan dengan bijaksana. Hatinya merasakan bahawa dirinya diberi pengajaran dengan cara yang sangat misteri. Dari situ dia menyedari bahawa ada Pembimbing Rohani yang bertindak memberinya petunjuk, panduan dan nasihat dengan cara yang sangat sukar untuk difahami. Dia tidak mengetahui hakikat pembimbing tersebut tetapi dia merasakan kehampiran dengannya. Rasa kehadiran pembimbing tersebut membuatnya lebih berani bertafakur mengenai perkara-perkara ketuhanan yang pada zahirnya sukar dimengerti. Apa juga perkara yang mencetus minatnya untuk bertafakur, didapatinya jawapan yang memuaskan hatinya. Melalui proses tersebut dia mula mengenal Tuhan melalui pandangan yang berbeza daripada pengenalannya yang lalu.

 Kehadiran Pembimbing Rohani menjadikan si hamba bersikap pasif, jiwanya tenang dan yakin, membiarkan Petunjuk Ghaib ‘membawanya’ ke mana sahaja. Pada peringkat ini si hamba seolah-olah memiliki dua jenis diri. Diri pertama adalah diri yang memiliki sifat kemanusiaan biasa. Diri kedua adalah diri yang bergerak di bawah kekuasaan Petunjuk Ghaib atau Pembimbing Rohani. Bila dikuasai oleh Petunjuk Ghaib akan lahirlah perbuatan yang ganjil, tidak logik yang kadang-kadang menyalahi adab sopan dan nilai kemanusiaan biasa. Walaupun lahir perbuatan yang kelihatan bodoh dan remeh temeh tetapi baginya perbuatan yang dicetuskan oleh Petunjuk Ghaib itu  mengandungi pengajaran yang halus tentang Tuhan. Oleh itu si hamba berasa tenang dan tenteram walaupun keganjilan yang muncul pada dirinya telah membuat orang-orang yang hampir dengannya menjadi gelisah.

Si hamba bukan sekadar melihat Haula dan Kuwwata sebagai bakat dan tenaga yang menggerakkan makhluk, malah dilihatnya Haula dan Kuwwata adalah jambatan yang menghubungkan hamba dengan Tuhan. Tanpa Haula dan Kuwwata tidak mungkin hamba boleh menghadap kepada-Nya dan menghampiri-Nya. Haula dan Kuwwata adalah urusan-Nya yang pada satu aspek memungkinkan makhluk bergerak dan melahirkan kesan, sementara pada aspek yang lain pula merupakan ‘Rahsia’ yang memungkinkan hamba berhubung dengan Tuhan.


STESEN KE LAPAN

 Si hamba masih lagi di dalam suasana bersembahyang, berzikir dan bertafakur. Rasa kehambaannya semakin mendalam. Dia hanya mementingkan soal hubungannya dengan Tuhan. Soal-soal kehidupan harian tidak mendapat perhatiannya. Dia tidak mengambil berat tentang soal-soal zahiriah seperti makan, minum, pakaian dan lain-lain. Kelakuannya sudah agak berlainan dengan kelakuan orang biasa. Cara dia makan kadang-kadang menimbulkan fitnah kepada orang yang memandangnya. Dia dapat melihat keganjilan yang berlaku kepada dirinya tetapi dia tidak berdaya menghalangnya dan juga dia tidak keberatan hal yang demikian terjadi kepada dirinya. Dia merasakan dirinya benar-benar tidak berdaya dan upaya. Dia merasakan dirinya digerakkan untuk melakukan sesuatu tanpa dia boleh membantah atau mengubahnya. Dia melihat anggotanya sebagai alat yang digunakan oleh kuasa dalaman yang menguasainya. Dia lebih banyak berada dalam keadaan dia tidak tahu mengapa dia berbuat sesuatu yang ganjil. Perbuatan yang tidak dapat dikawalnya itu disandarkannya kepada Pembimbingnya. Dia yakin bahawa dengan mematuhi Petunjuk Ghaib itu dia akan sampai kepada Tuhan.

 Dia benar-benar mahu mengabdikan diri kepada Tuhan. Bukankah dia telah menyaksikan bahawa:Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang.
Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku semuanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam.

 Tiap kali dia membaca ayat tersebut di dalam sembahyang jiwanya menggeletar, darah daging dan urat sarafnya ikut menggeletar.

Tiba-tiba muncul dalam lubuk hatinya firman Tuhan:Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan berkata: “Kami telah beriman”, padahal mereka tidak diuji? ( Ayat 2 : Surah al-‘Ankabut )

Dia mendengar dari dalam lubuk hatinya ‘Juru-bicara’ mengatakan: “Apakah kamu menyangka akan dibiarkan berkata, ‘Sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku semuanya kerana Allah’, padahal engkau tidak diuji?” Ucapan Juru-bicara tersebut sangat menyentuh jiwanya. Adakah dia benar dengan apa yang selalu dibacakannya di dalam sembahyang itu?

 Allah s.w.t adalah Maharaja yang sangat cemburu. Dia tidak mengizinkan hamba-Nya mempersekutukan kasih sayang dan taat setia kepada-Nya. Dia tidak mahu ada yang selain-Nya lebih dicintai dan ditaati daripada kecintaan dan ketaatan kepada-Nya. Tanda Dia cemburu adalah Dia mengharamkan sesiapa sahaja menyamakan Diri-Nya dengan sesuatu. Dia tidak mengampunkan dosa syirik. Si hamba itu telah mengatakan bahawa dia mencintai Allah s.w.t lebih daripada segala yang lain. Pengakuan itu adalah bohong belaka kerana dia melebihkan kasihnya kepada dirinya daripada kasihnya kepada Tuhannya. Dia tidak mahu dirinya mengalami kesusahan dan penderitaan dalam membuktikan kecintaan-Nya kepada Allah s.w.t. Jika seseorang hamba itu benar-benar mencintai Tuhannya dia akan sanggup menyerahkan dirinya kepada Tuhannya.

 Juru-bicara dari dalam hatinya membacakan firman Tuhan:Katakanlah: “Kami datang dari Allah dan kepada-Nya kami kembali”. ( Ayat 156 : Surah al-Baqarah )

Si hamba terpegun sejenak. Dia merasakan ayat tersebut ditujukan khusus untuknya. “Kembalikan sembahyang kamu kepada Allah! Kembalikan ibadat kamu kepada Allah! Kembalikan hidup kamu kepada Allah! Kembalikan mati kamu kepada Allah!” Itulah gema yang memenuhi ruang hatinya. Sujudlah si hamba itu kepada Tuhannya dengan penuh tawadhuk dan bermunajatlah dia kepada Tuhannya: “Ya Allah! Engkaulah Tuhan, tiada Tuhan kecuali Engkau. Aku hanyalah hamba-Mu. Tidak ada satu hak pun pada diriku. Semuanya adalah hak Engkau. Nyawaku juga adalah hak Engkau. Engkau berhak mengambil apa yang menjadi hak Engkau. Aku tidak akan membantah atau mengeluh menerima ketentuan-Mu. Terimalah daku sebagai hamba yang berserah diri kepada-Mu. Izinkan daku mengerjakan sembahyang buat kali penghabisan sebelum Engkau mengambil nyawaku”.

 Si hamba berdiri untuk mengerjakan sembahyang. Baginya itulah sembahyangnya yang penghabisan dalam hidupnya. Dia berdiri, rukuk dan sujud dengan penuh penyerahan. Tidak ada keresahan atau terkilan. Tidak ada takut atau berdukacita. Tidak ada kegembiraan atau keghairahan. Hatinya menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t, tanpa sebarang perasaan, harapan dan cita-cita. “Ya Allah! Inilah hamba-Mu yang berdiri dengan penuh penyerahan kepada-Mu. Ya Allah! Inilah hamba-Mu yang rukuk dengan penuh penyerahan kepada-Mu. Ya Allah! Inilah hamba-Mu yang sujud dengan penuh penyerahan kepada-Mu. Lakukanlah apa yang Engkau kehendaki”. Begitulah lebih kurang suasana hati si hamba ketika melakukan sembahyang yang penghabisan. Selepas mengucapkan salam si hamba sujud dengan penuh akur kepada ketentuan Tuhannya. Dia sujud lama sekali tanpa menyedari apa yang berlaku kepada dirinya dan di mana dia sedang berada. Kemudian hatinya mendengar ucapan Juru-bicara dari dalam dirinya: “Bangkitlah dari sujudmu sebagai insan baharu yang mati makhluk dari hatinya sehingga tidak melihat lagi ada makhluk yang berkuasa mendatangkan manfaat dan mudarat, yang tidak berkehendak lagi kepada dunia dan akhirat dan yang hidup dengan lakuan Allah s.w.t semata-mata”.

 Si hamba bangkit dari sujudnya dan mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t.


STESEN KE SEMBILAN

 Rasa kekerdilan diri semakin kuat menguasai hati si hamba. Bila diri berasa kerdil dapatlah hati merasakan kebesaran, ketinggian dan keagungan Allah s.w.t. Apa sahaja yang berkait dengan Allah s.w.t akan menggetarkan hati nurani. Nama-nama Allah s.w.t, sifat-sifat-Nya dan ayat-ayat-Nya memberi kesan yang kuat kepada hati. Setiap disebut atau didengarnya nama dan ayat-ayat Allah s.w.t hatinya merasakan seperti ditikam dengan lembing tajam. Setiap patah suara azan yang berkemundang di udara ‘menerpa’ ke dadanya seumpama anak panah yang bisa. Dalam keadaan yang demikian si hamba sujud mengakui kebesaran, ketinggian dan keagungan Allah s.w.t, Tuhan sekalian alam. Pengalaman yang demikian membuatnya mengerti maksud mukmin yang diceritakan oleh al-Quran.Orang-orang mukmin apabila diperingatkan dengan Allah nescaya gementarlan hati mereka. (Ayat 2 : Surah al-Anfaal )

 Si hamba bersyukur kepada Allah s.w.t kerana mengajarkan maksud ayat al-Quran melalui pengalaman yang membuatnya lebih mengerti dengan apa yang al-Quran katakan. Dia telah dikurniakan nikmat yang besar kerana diberi kesempatan untuk memahami maksud ayat al-Quran melalui pengalaman rasa. Bertambahlah kesyukurannya dan rasa kekerdilan diri di hadapan keagungan Allah s.w.t.

 Di dalam suasana kekerdilan diri berhadapan dengan keagungan Allah s.w.t itu Juru-bicara dari dalam dirinya membacakan ayat:Masuklah engkau ke dalam golongan hamba-Ku dan masuklah engkau ke dalam syurga-Ku. ( Ayat 30 : Surah al-Fajr )

 Si hamba tersentak mendengar ‘ucapan’ tersebut. Dia tergamam seketika. Sebelum sesuatu berputik di dalam hatinya dia ‘mendengar’ peringatan daripada Petunjuk Ghaib: “Apa yang kamu cari masih jauh di hadapan. Jangan kamu berhenti dan terpesona dengan keindahan syurga”. Si hamba dengan merendahkan diri bermunajat kepada Tuhannya: “Wahai Tuhanku! Tutupkanlah pandanganku daripada melihat syurga-Mu agar keindahannya tidak memukau daku, yang nanti menyebabkan langkahku menuju-Mu terhenti. Wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani. Janganlah Engkau jadikan syurga sebagai penghalang di antara Engkau dengan aku. Ambillah kembali syurga-Mu dan serahkannya kepada sesiapa sahaja yang ada tuntutan terhadap diriku agar aku bebas daripada mereka dan hanya menjadi hamba-Mu sahaja. Janganlah Engkau adakan selain-Mu sebagai hijab di antara Engkau dengan aku. Inilah hamba-Mu yang tidak ada maksud dan tujuan selain Engkau, wahai Tuhanku!”


STESEN KE SEPULUH

 Si hamba membebaskan dirinya daripada sebarang pergantungan kepada daya usaha dan ikhtiar memilih, kosong daripada kehendak dan tujuan yang bersangkutan dengan dunia dan juga akhirat. Hatinya menjadi kosong daripada hawa nafsu, keinginan, harapan, cita-cita dan angan-angan. Jadilah hatinya benar-benar kosong. Dia adalah umpama mayat di tangan pemandi mayat.

 Si hamba telah membuktikan kehambaan dan pengabdiannya kepada Tuhan dengan rela menyerahkan apa sahaja kepada-Nya dan bersedia menjalankan perintah-Nya seperti malaikat yang bersifat teguh. Apakah itu sudah memadai bagi menghilangkan kecemburuan Tuhan Yang Maha Cemburu? Pengorbanan yang demikian boleh dilakukan oleh seorang manusia untuk kekasihnya yang juga seorang manusia. Bukan sedikit manusia yang sanggup membunuh diri demi kekasihnya. Bukan sedikit manusia yang sanggup membinasakan orang lain demi kekasihnya. Pengorbanan untuk Allah s.w.t mestilah lebih agung daripada segala bentuk pengorbanan yang boleh dilakukan oleh manusia untuk sesama manusia. Pengorbanan yang paling tinggi boleh dilakukan oleh seorang hamba untuk Tuhannya adalah menetapkan keesaan-Nya, tidak menyengutukan-Nya dengan sesuatu, baik daripada anasir bumi atau langit, anasir nyata  atau  ghaib atau apa sahaja termasuklah dirinya sendiri. Allah Maha Esa, bagaimana yang lain boleh berhadapan dengan-Nya? Selagi ada istilah hamba selagi itu ada hamba yang berhadapan dengan-Nya. Selagi ada kesanggupan melakukan sesuatu selagi itu ada diri yang berkesanggupan berhadapan dengan-Nya. Selagi mengharapkan pangkat kewalian selagi itulah ada diri yang berharap menjadi wali berhadapan dengan-Nya. Selagi bercita-cita untuk dunia dan akhirat selagi itulah ada diri yang bercita-cita berhadapan dengan-Nya. Selagi ada itu dan ini selagi itulah ada diri yang itu dan ini berhadapan dengan-Nya. Tidak ada yang layak berhadapan dengan-Nya kerana Dia Maha Esa. Siapakah yang boleh duduk dalam majlis keesaan-Nya melainkan Diri-Nya sendiri?

 Apa juga yang tersisa pada si hamba dilenyapkan. Jadilah si hamba itu seumpama tong kosong yang berlubang. Setiap kali hujan turun ia menyucikan sisa-sisa kekotoran yang melekat pada dindingnya. Apabila dinding itu sudah tidak ada sebarang kekotoran, maka air yang bersih dan jernih keluar daripadanya tanpa sedikit pun berubah rupa dan warnanya sebagaimana air yang masuk ke dalamnya. Apa yang turun dari langit itulah juga keluar daripada tong kosong yang berlubang dan suci bersih. Tidak ada pertukaran dan perubahan.


STESEN KE SEBELAS Si hamba telah menyerahkan apa sahaja yang bernama hak kepada Yang Empunya hak. Hati si hamba kosong daripada segala-galanya. Perhatian terhadap dirinya sendiri sudah tidak ada lagi, begitu juga dengan perhatiannya kepada segala sesuatu di sekelilingnya. Bila hati si hamba benar-benar kosong, maka Allah s.w.t penuhkannya dengan Kehendak dan Tujuan-Nya semata-mata. Allah s.w.t yang nengurus kehidupan si hamba yang telah terpisah daripada segala hak itu. Allah s.w.t yang menguasai Loh Kun. Si hamba menjadi alat yang melaluinya Urusan Allah s.w.t menjadi nyata. Bila Allah s.w.t katakan: “Jadi!” maka jadilah ia. Bila Allah s.w.t katakan: “Bergerak!” maka bergeraklah ia. Bila Allah s.w.t katakan: “Diam!” maka diamlah ia. Bila Allah s.w.t katakan:
Sesungguhnya Aku adalah Allah! Tidak ada Tuhan melainkan Aku! Sembahlah Aku!

Si hamba pun mengatakan:
Sesungguhnya Aku adalah Allah! Tidak ada Tuhan melainkan Aku! Sembahlah Aku!

 Bila Allah s.w.t mengatakan:
Aku adalah Yang Haq !

Si hamba pun mengatakan:
Aku adalah Yang Haq !


STESEN KE DUA BELAS

Sesungguhnya Aku adalah Allah! Tidak ada Tuhan melainkan Aku! Sembahlah Aku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku. ( Ayat 14 : Surah Taha )

 Allah s.w.t memerintahkan supaya mendirikan sembahyang. Si hamba berdiri mengerjakan sembahyang. Dalam suasana tong kosong yang berlubang, apa juga suasana sembahyang yang Tuhan kurniakan itulah yang zahir padanya. Bagaimana kedudukan sembahyang pada sisi Tuhan begitulah yang nyata pada si hamba. Allah s.w.t mengatakan sembahyang itu adalah ingatan kepada-Nya, maka yang ada dalam sembahyang itu adalah ingatan kepada-Nya. Bila kesedaran terhadap diri sendiri sudah tidak ada, si hamba hanya menjadi ‘yang menyaksikan’. Si hamba sudah ‘tidak ada’ untuk ingat kepada Allah s.w.t. Oleh itu ‘yang ada’ adalah Allah s.w.t yang ingat kepada Diri-Nya sendiri. Si hamba sudah ‘tidak ada’ untuk mengerjakan sembahyang, ‘yang ada’ adalah Allah s.w.t dan sembahyang itu adalah “Puji-pujian Allah s.w.t kepada Diri-Nya.” Pada ketika si hamba berada dalam suasana ‘dirinya tidak ada’. Dia mengalami suasana “Keesaan Allah s.w.t.” Dalam majlis keesaan tidak ada dua. Tidak ada yang ada dalam majlis keesaan-Nya melainkan Dia. Dia yang memuji Diri-Nya. Pujian Allah s.w.t kepada Diri-Nya adalah kelazatan yang paling lazat dan kebahagiaan yang paling bahagia, melebihi apa yang ada di bumi, di langit dan di syurga. Buat seketika hati si hamba diizinkan menikmati kelazatan dan kebahagiaan yang maha agung itu dalam suasana dirinya ‘tidak ada’, yang ada hanyalah Yang Maha Esa. Siapakah yang layak mendampingi-Nya melainkan Diri-Nya sendiri. Siapakah yang layak berhadapan dengan-Nya melainkan Diri-Nya sendiri. Siapakah yang layak berkata-kata dengan-Nya melainkan Diri-Nya sendiri. Siapakah yang layak mendengar ucapan-Nya melainkan Diri-Nya sendiri. Dalam Majlis Keesaan yang ada hanyalah Yang Maha Esa. Allah s.w.t mengizinkan sebahagian daripada hamba-hamba-Nya mendapat pengertian tentang “Allah Maha Esa” melalui pengalaman kerohanian ketika hamba-hamba tersebut hilang perhatian dan kesedaran kepada sesuatu kecuali Allah s.w.t Yang Maha Esa. Apa yang berlaku kepada si hamba pada ketika itu seolah-olah Tuhan berkata: “Aku cabutkan dirimu buat seketika untuk Aku masukkan suasana keesaan-Ku agar engkau mengenali keesaan-Ku.”


STESEN KE TIGA BELAS

 Yang nyata sudah ghaib. Yang ghaib sudah hilang. Tiada lagi kenyataan dan yang menyatakan. Tiada lagi ilmu untuk membahaskan. Tiada lagi penyaksian untuk menyaksikan. Tiada lagi cahaya untuk menerangkan. Tiada lagi kewujudan untuk membuktikan. Alam perasaan dan rujukan sudah tiada. Tiada atas tiada bawah. Tiada hadapan tiada belakang. Tiada kanan tiada kiri. Tiada ruang tiada zaman. Tiada siang tiada malam. Tiada panjang tiada pendek. Tiada jauh tiada dekat. Tiada perpisahan tiada penyatuan. Tiada persamaan tiada perbezaan. Tiada perkaitan dengan wujud tiada perkaitan dengan tidak wujud.

 Tahu berkamil dengan tidak tahu. Kenal berkamil dengan tidak kenal. Itulah Allah, Rabbil ‘Izzati! Benteng keteguhan-Nya tidak mungkin diruntuhkan!

“Sesungguhnya Engkau adalah Allah yang aku saksikan dengan mata keyakinan, bukan dengan mata zahir, bukan dengan mata ilmu dan bukan juga dengan mata makrifat; tiada huruf, tiada suara, tiada rupa, tiada warna, tiada cahaya kerana sesungguhnya Engkau adalah:
Tiada sesuatu serupa dengan-Nya

http://alhakiki.tripod.com/hakiki034.html

Zikir Meliputi Perkataan, Perbuatan Dan Perasaan

Sesungguhnya Aku adalah Allah! Tidak ada Tuhan melainkan Aku! Dan dirikanlah sembahyang bagi mengingati Aku! ( Ayat 14 : Surah Taha )

 Sembahyang mengandungi perbuatan anggota zahir, perkataan yang dilafazkan dan penyertaan hati yang benar menghadap kepada Allah s.w.t dengan sepenuh jiwa raga. Mengingati Allah s.w.t melalui sembahyang merupakan zikir yang paling sempurna. Perbuatan menjadi zikir, perkataan menjadi zikir dan perasaan menjadi zikir. Sekalian maujud berada dalam suasana zikir. Zikir dalam sembahyang menggabungkan pengakuan bahawa yang diingatkan itu adalah Allah s.w.t; bahawa Allah s.w.t yang diingati itu adalah Tuhan; bahawa tiada Tuhan melainkan Dia; bahawa Allah adalah Tuhan yang disembah; bahawa menyembah Allah s.w.t adalah dengan perkataan, perbuatan dan perasaan; bahawa apa sahaja yang dilakukan adalah kerana mentaati-Nya dan kerana ingat kepada-Nya.

 Zikir yang di dalam sembahyang menjadi induk kepada zikir-zikir di luar sembahyang. Menyebut nama-nama Allah s.w.t adalah zikir. Perkataan yang baik-baik diucapkan kerana Allah s.w.t adalah zikir. Nasihat menasihati kerana Allah s.w.t adalah zikir. Menyeru manusia ke jalan Allah s.w.t adalah zikir. Semua itu merupakan zikir perkataan. Zikir perbuatan pula meliputi segala bentuk amalan dan kelakukan yang sesuai dengan syarak demi mencari keredaan Allah s.w.t. Berdiri, rukuk dan sujud dalam sembahyang adalah zikir. Melakukan pekerjaan yang halal kerana Allah s.w.t, kerana mematuhi peraturan yang Allah s.w.t turunkan, adalah zikir. Mengalihkan duri dari jalan kerana Allah s.w.t adalah zikir. Apa juga perbuatan yang tidak menyalahi peraturan syariat jika dibuat kerana Allah s.w.t maka ia menjadi zikir. Tidak melakukan apa-apa pun boleh menjadi zikir. Orang yang menahan anggotanya, lidahnya dan hatinya daripada menyertai perbuatan maksiat sebenarnya melakukan zikir jika dia berbuat demikian kerana Allah s.w.t. Semua itu menjadi zikir jika dibuat kerana Allah s.w.t, kerana mematuhi perintah-Nya, kerana mencari keredaan-Nya dan kerana ingat kepada-Nya. Jadi, perbuatan dan perkataan terikat dengan amalan hati untuk menjadikannya zikir. Ia hanya dikira sebagai zikir jika ada zikir hati iaitu hati ingat kepada Allah s.w.t, ikhlas dalam melakukan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya Tanpa zikir hati tidak ada zikir-zikir yang lain, kerana setiap amalan digantungkan kepada niat yang lahir dalam hati.

 Zikir adalah mengingati Allah s.w.t sebaik dan seikhlas mungkin. Mengingati nama-nama dan sifat-sifat-Nya adalah zikir. Melihat matahari, bulan dan bintang di langit sambil mengenang kebijaksanaan Allah s.w.t merupakan zikir. Melihat kilat memancar dan mendengar guruh berdentum sambil mengenangkan keperkasaan Allah s.w.t adalah zikir. Melihat fajar subuh, melihat dan mencium bunga yang indah lagi harum sambil mengenang keelokan Allah s.w.t adalah zikir juga namanya. Jadi, zikir adalah pekerjaan sepanjang masa, setiap ketika, semua suasana, pada setiap sedutan dan hembusan nafas dan pada setiap denyutan nadi. Kehidupan ini merupakan zikir daim (zikir berkekalan) jika mata hati sentiasa memerhatikan sesuatu tentang Allah s.w.t.

 Misalkan seorang sedang melakukan zikir hati dan perkataan; menyebut dan mengingati nama-nama dan sifat-sifat Allah s.w.t. Tiba-tiba datang seorang kanak-kanak di hadapannya. Anak kecil itu memegang sebotol racun. Anak kecil mahu meminum racun tersebut. Pada ketika itu ahli zikir tadi berkewajipan meninggalkan pekerjaan zikir yang sedang dilakukannya dan berpindah kepada zikir menyelamatkan anak kecil yang mahu meminum racun itu. Perpindahan perbuatan tidak memutuskan zikir atau ingatannya kepada Allah s.w.t. Dia menyebut nama Tuhan kerana ingat kepada Tuhan. Dia menyelamatkan anak kecil itu kerana mentaati perintah Tuhan. Tuhan yang mentakdirkan anak kecil itu mahu meminum racun di hadapannya. Tuhan juga mengadakan syariat yang mewajibkan membuang kemudaratan. Taat kepada perintah Tuhan dan reda dengan takdir Tuhan yang datang serta bertindak menurut peraturan syariat Tuhan merupakan zikir yang sangat mulia pada sisi Tuhan. Zikir yang begini termasuk di dalam golongan zikir yang berkekalan atau zikir daim.

 Zikir daim sukar diperolehi. Kebanyakan manusia melakukan pekerjaan yang baik-baik yang seharusnya menjadi zikir tetapi dilakukan tanpa ingatan kepada Allah s.w.t dan bukan dengan penghayatan mematuhi syariat-Nya. Kekuatan dalaman perlu ditambah bagi memperolehi zikir daim. Bagi tujuan tersebut perlulah dilakukan zikir sebutan iaitu zikir nafi-isbat (ucapan kalimah “La ilaha illa Llah ”) dan zikir nama-nama serta sifat-sifat-Nya. Zikir yang seperti ini memberi kesan kepada menguatkan rasa kecintaan dan ingatan kepada Allah s.w.t. Ia membuka kesedaran-kesedaran dalaman seperti yang telah dinyatakan pada tajuk yang membicarakan perjalanan Latifah Rabbaniah. Kekuatan kesedaran dalaman mendorong seseorang melakukan sesuatu dengan ikhlas kerana Allah s.w.t yang dicintainya, yang hampir dengannya. Zikir nafi-isbat dan sebutan nama-nama serta sifat-sifat-Nya menjadi jalan kepada zikir dalam bentuk mentaati peraturan-Nya tanpa lupa kepada-Nya. Jadi, perlu dilakukan zikir secara sebutan untuk memudahkan zikir secara amalan atau perbuatan dan kelakuan. Mudah-mudahan terhasillah zikir yang berkekalan.

 Zikir atau mengingati Allah s.w.t haruslah dilakukan menurut kadar kemampuan masing-masing. Zikir yang paling baik diucapkan adalah seperti yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabda baginda s.a.w yang bermaksud: “Ucapan zikir yang paling baik adalah yang aku dan sekalian nabi-nabi bawa. Itulah ucapan kalimah ‘La ilaha illa Llah ’ .”

 Orang yang tidak pernah berzikir adalah orang yang sangat keras hatinya dan kuat dikuasai oleh syaitan, hawa nafsu dan dunia. Cahaya api syaitan, fatamorgana dunia dan karat hawa nafsu membaluti hatinya sehingga tidak ada ingatannya kepada Allah s.w.t. Seruan, peringatan dan ayat-ayat Tuhan tidak diterima oleh hatinya. Beginilah keadaan orang Islam yang dijajah oleh sifat munafik. Orang yang masih mempunyai kesedaran perlu memaksakan dirinya untuk berzikir, sekalipun hanya berzikir dengan lidah sedangkan hatinya masih lalai dengan berbagai-bagai ingatan yang selain Allah s.w.t. Pada tahap pemaksaan diri ini, lidah menyebut Nama Allah s.w.t tetapi hati dan ingatan mungkin tertuju kepada pekerjaan, harta, perempuan, hiburan dan lain-lain. Beginilah tahap orang Islam biasa. Orang yang berada pada tahap ini perlu meneruskan zikirnya kerana jika dia tidak berzikir dia kan lebih mudah dihanyutkan di dalam kelalaian. Tanpa ucapan zikir syaitan akan lebih mudah memancarkan gambar-gambar tipuan kepada cermin hatinya dan dunia akan lebih kuat menutupinya. Zikir pada peringkat ini berperanan sebagai juru ingat. Sebutan lidah menjadi sahabat yang memperingatkan hati yang lalai. Berlakulah pertembungan di antara tenaga zikir dengan tenaga syaitan yang menutupi hati. Tenaga syaitan akan mencuba untuk menghalang tenaga zikir daripada memasuki hati. Tindakan syaitan itu membuatkan orang yang ingin berzikir itu menjadi malas dan mengantuk. Oleh yang demikian perlulah dilakukan mujahadah, memerangi syaitan yang menghalang lidah daripada berzikir itu. Zikir yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh akan berjaya melepasi benteng yang didirikan oleh syaitan. Tenaga zikir yang berjaya memasuki hati akan bertindak sebagai pencuci, menyucikan karat-karat yang ada pada dinding hati. Pada peringkat permulaannya zikir masuk ke dalam hati sebagai Nama-nama dan Sifat-sifat Tuhan yang diucapkan. Apabila karat pada dinding hati sudah berkurangan ucapan zikir akan disertai oleh rasa kelazatan. Hati yang sudah merasai nikmat zikir itu tidak perlu kepada paksaan lagi. Lidah tidak perlu lagi berzikir. Zikir sudah hidup dalam hati secara diam, jelira dan melazatkan. Perhatian bukan sekadar kepada nama-nama dan sifat-sifat yang diingatkan malah ia lebih tertuju kepada Yang Empunya nama dan sifat. Inilah kedudukan orang yang beriman.

 Zikir yang lebih mendalam membawa hati berhadap kepada Hadrat Tuhan, menyaksikan Tuhan pada setiap masa dan suasana. Apa sahaja yang dilihat dan dibuat memperingatkannya kepada Tuhan. Inilah peringkat zikir daim yang dikurniakan kepada mereka yang beriman dan bersungguh-sungguh mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Kehidupan mereka dipenuhi oleh zikir sepanjang masa. Tidur mereka juga menjadi zikir.

 Zikir yang diucapkan dengan perkataan membantu hati mengingati Tuhan. Bagi sebahagian manusia berzikir secara kuat lebih memberi kesan daripada berzikir secara perlahan, terutamanya bagi mereka yang baharu memulakan amalan zikir. Zikir secara senyap di dalam hati adalah pergerakan perasaan. Hati menghayati apa yang dizikirkan dan terbentuklah alunan perasaan sesuai dengan apa yang dihayati. Pada tahap yang lebih mendalam zikir bukan lagi sebutan atau ingatan kepada Nama, tetapi hati menyaksikan Keperkasaan dan Keelokan Tuhan. Bila hati sudah boleh menyaksikan Keelokan dan Keperkasaan Tuhan, itu tandanya seseorang itu sudah ada hubungan semula dengan roh suci yang mengenal Tuhan. Pancaran cahaya makrifat daripada roh suci membuat hati dapat melihat kenyataan sifat-sifat Tuhan.

 Pada tahap kesedaran yang lebih mendalam, ucapan serta ingatan dan perhatian yang berhubung dengan Tuhan menimbulkan keghairahan atau zauk. Zauk itu terjadi kerana kuatnya tarikan Hadrat Tuhan kepada hati. Ingatan dan penyaksian terhadap Hadrat Tuhan akan memberi kesan yang sangat kuat kepada hati. Hati yang menyaksikan Hadrat Tuhan Yang Maha Perkasa boleh menyebabkan seseorang itu menjadi pengsan kerana takutnya hati kepada keperkasaan Allah s.w.t. Hati yang menyaksikan Hadrat Tuhan Yang Maha  Lemah-lembut akan mengalami rasa kenikmatan dan kebahagiaan yang amat sangat.

 Pada tahap kesedaran yang lebih mendalam, hati diperkuatkan lagi supaya mampu menerima ‘sentuhan’ Hadrat Tuhan itu. Penyaksian terhadap Hadrat Tuhan tidak lagi melahirkan keghairahan atau zauk atau kegoncangan kepada hati. Hati mengalami suasana Hadrat Tuhan dalam keadaan damai dan sejahtera. Pada tahap ini hati akan mengenali Tuhan sebagai Raja Yang Maha Berkuasa. Berada pada sisi Raja tersebut membuat hati merasakan kesejahteraan dan keselamatan yang tidak terhingga, hilang rasa takut dan dukacita.

 Pada tahap kesedaran yang paling dalam hati berhadap kepada Hadrat Tuhan yang bernama Allah s.w.t, yang menguasai semua Hadrat, yang melampaui segala nama dan sifat, segala kenyataan dan ibarat. Hati sampai kepada tahap jahil setelah berpengetahuan. Ilmu gagal menghuraikan tentang Allah s.w.t. makrifat gagal memperkenalkan Allah s.w.t. Apa sahaja yang terbentuk, tergambar, terfikir, yang disaksikan dengan mata luar dan juga mata dalam dan segala-galanya tersungkur di hadapan Hadrat Allah s.w.t, yang tiada Tuhan melainkan Dia, Maha Perkasa. Sesungguhnya tidak ada sesuatu yang menyamai Allah s.w.t, Dia Maha Esa. Hati yang berhadapan dengan Hadrat Allah s.w.t benar-benar mengalami dan mengenali maksud keesaan Allah s.w.t. Hati pun tunduk, menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t, Tuhan Maha Mencipta. Baharulah sempurna penyerahannya, baharulah lengkap perjalanan Islamnya.

 Setelah itu rohnya menjadi seakan-akan roh  yang baharu, seumpama baharu lahir. Roh yang baharu itu adalah Roh Islam yang telah mengenal Allah s.w.t yang melampaui segala sesuatu tetapi memiliki Hadrat-Nya, Nama-nama-Nya dan Sifat-sifat-Nya, menyata kepada Roh Islam, iaitu Roh yang lebih tulen dan seni daripada semua roh-roh yang lain. Itulah roh yang telah menemui Kebenaran Hakiki. Pada roh tersebut bercantum tahu dengan tidak tahu, kenal dengan tidak kenal, nafi dengan isbat. Roh Islam itulah yang benar-benar mengerti maksud nafi dan isbat pada Kalimah Tauhid: “La ilaha illa Llah”.

Dia turunkan Roh dari urusan-Nya kepada siapa yang Dia kehendaki daripada hamba-hamba-Nya untuk memberi peringatan tentang hari pertemuan. ( Ayat 15 : Surah al-Mu’min

 Roh Islam yang mengenderai hati Islam dan memiliki nafsu Islam, akal Islam dan pancaindera Islam kembali kepada kehidupan dunia untuk mengajak dan membimbing orang lain kepada Yang Haq, Kebenaran Hakiki. Roh Islam mengeluarkan yang Islam sahaja. Jiwanya Islam, perkataannya Islam, perbuatannya Islam, diamnya Islam, tidurnya Islam dan segala-gala yang mengenainya adalah Islam. Roh Islam yang paling sempurna adalah roh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w merupakan contoh tauladan Islam yang paling sempurna, paling baik.

 Zikir memainkan peranan yang penting dalam melahirkan Roh Islam. Bagi orang yang inginkan kebenaran dan melihat kebenaran, menjadi kewajipan baginya mengingati Allah s.w.t sebanyak mungkin.

Lantas apabila kamu telah selesaikan sembahyang (sembahyang di waktu perang ) itu, maka hendaklah kamu ingat kepada Allah s.w.t sambil berdiri, dan sambil duduk, dan sambil (berbaring) atas rusuk-rusuk kamu. Tetapi apabila kamu telah tenteram, maka hendaklah kamu dirikan sembahyang (seperti biasa), kerana sesungguhnya itu adalah bagi Mukminin satu kewajipan yang ditentukan mwaktunya. ( Ayat 103 : Surah an-Nisaa’ )

Yang mengingati Allah sambil berdiri dan sambil duduk dan sambil berbaring, dan memikirkan tentang kejadian langit-langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Engkau tidak jadikan (semua) ini dengan sia-sia! Maha Suci Engkau. Lantaran itu peliharakanlah kami daripada seksa neraka”. ( Ayat 191 : Surah a-Li ‘Imran )

 Setiap Muslim seharusnya mencari kehidupan berzikir; berzikir sambil duduk dan sambil berbaring; bekerja di dalam berzikir; berehat di dalam berzikir dan tidur di dalam berzikir. Lidah berzikir, anggota tubuh berzikir dan hati berzikir. Tentera Islam yang sedang berperang dengan musuh pun dituntut berzikir, apa lagi kaum Muslimin yang berada dalam suasana aman. Muslim sejati sentiasa berzikir, mengingati dan mentaati Allah s.w.t.
 

http://alhakiki.tripod.com/hakiki024.html

TAUBAT : PINTU KESELAMATAN

Sesudah itu Adam terima beberapa kalimat dari Tuhannya lalu Dia ampunkannya kerana Allah itu Maha Pengampun Maha Penyayang. ( Ayat

37 : Surah al-Baqarah )

Dia jualah Penerima taubat hamba-hamba-Nya dan mengampunkan dosa dan Dia Mengetahui apa yang kamu kerjakan. ( Ayat 25 : Surah asy-Syura )

Kecuali orang yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan amal salih, maka mereka itu Allah tukarkan kejahatan mereka dengan kebaikan kerana Allah Maha Pengampun Maha Penyayang. ( Ayat 70 : Surah al-Furqaan )

Adam a.s, manusia pertama, telah melakukan kesalahan. Ketika itu beliau a.s mendiami syurga. Manusia secara tabi’inya tidak dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan, sekalipun mereka tinggal di dalam syurga yang serba menyenangkan, apa lagi mereka tinggal di dalam dunia yang serba memayahkan. Adam a.s mengakui kesalahannya dan merujuk kembali kepada Tuhan, memohon agar Tuhan mengajarkannya apa yang perlu dibuatnya bagi menutup kesalahannya dan menggantikannya dengan kebaikan. Tuhan Yang Maha Pengampun Maha Penyayang mengajarkan kepada Adam a.s beberapa kalimat, iaitu cara bertaubat. Adam a.s bertaubat dengan penuh keinsafan dan keikhlasan. Tuhan yang mengajarkan Adam a.s bertaubat itu menerima taubatnya dan mengampunkan kesalahannya. Taubat mengembalikan Adam a.s kepada Tuhan as-Salam, Yang Mensejahterakan. Taubat yang dilakukan oleh Adam a.s adalah taubat yang disertai oleh iman dan diikuti oleh amal salih. Taubat yang demikian menghapuskan kejahatan dan menggantikannya dengan kebaikan.

 Iblis, jin yang pertama diciptakan Tuhan, telah melakukan kesalahan. Kesalahan Adam a.s adalah lupa kepada pesanan Tuhan. Kesalahan iblis pula adalah engkar kepada perintah Tuhan. Adam a.s mengakui kesalahan dan bertaubat. Iblis tidak mahu mengakui kesalahannya dan enggan bertaubat. Adam a.s yang bertaubat menerima nikmat keampunan dari Tuhan. Iblis yang enggan bertaubat menerima kemurkaan dan laknat dari Tuhan. Adam a.s kembali kepada Tuhan dan keselamatan-Nya. Iblis tercampak jauh dari Tuhan dan hilang peluang untuk kembali. Di akhirat kelak taubat membawa Adam a.s kembali kepada syurga dan iblis pula akan dicampakkan ke dalam neraka jahanam, tempat yang paling buruk dan paling azab.

 Taubat adalah jalan kembali kepada Tuhan. Apabila manusia melakukan dosa dia tercampak jauh dari Tuhan. Jika dia tidak bertaubat dia tetap tinggal jauh dari Tuhan. Jika kemudiannya dia berbuat kebaikan maka dia berbuat baik dalam keadaan jauh dari Tuhan. Dia boleh melakukan suruhan syariat tetapi tanpa taubat dia menjadi ahli syariat yang jauh dari Tuhan.

 Hamba yang melakukan kesalahan sangat perlu bertaubat. Taubat merupakan cetusan iman. Iman yang menguatkan amal salih. Tanpa iman tidak ada amal salih. Amal tanpa taubat sebenarnya tidak berpangkal kepada iman. Amal yang demikian sangat sedikit nilai salihnya. Salih itulah yang menentukan darjat kemuliaan sesuatu amal itu di sisi Tuhan. Amal yang tidak disertai oleh taubat tidak banyak memberi pahala. Pahala bukan sahaja berguna di akhirat. Keberkatan pada rezeki dan kesejahteraan hidup di dunia merupakan terjemahan kepada pahala yang diperolehi daripada amal yang salih. Di akhirat kelak terjemahan pahala itu akan lebih menyata lagi. Banyak daripada masalah kehidupan harian tidak mampu diselesaikan lantaran tidak bertaubat daripada dosa-dosa yang lalu.

 Bani Adam memiliki tabii keadaman. Mereka tidak sunyi daripada melakukan kesalahan. Tidak wajar jika ada orang yang mengatakan dia tidak pernah berbuat kesalahan dan tidak perlu bertaubat. Nabi Muhammad s.a.w yang suci bersih pun sering bertaubat. Paling tidak memohon keampunan di atas kelemahan sebagai manusia yang tidak berupaya melakukan perintah Tuhan dengan sempurna.

 Ramai manusia terhalang daripada memperolehi apa yang layak diperolehinya sebelum mereka memasuki pintu taubat. Adam a.s yang diciptakan khusus untuk menjadi khalifah di bumi hanya memperolehi mahkota khalifah itu setelah beliau a.s melalui pintu taubat dan menerima keampunan dari Tuhan. Roh syariat, roh agama, nur iman, nur Ilahi dan yang seumpamanya hanya masuk ke dalam hati yang telah dibasuh dengan air taubat. Orang yang bertaubat dan Tuhan mengampunkan dosanya, kesuciannya kembali kepada kesucian roh yang latif, yang suci dan hampir dengan Tuhan. Manusia yang rohnya kembali kepada taraf amr Tuhan akan memperolehi keselamatan di dunia dan di akhirat. Manusia yang memiliki roh yang demikian mampu mengkamilkan batin syariat dengan zahir syariat atau antara iman dengan amal. Bani Adam sewajarnya mengikuti langkah bapa mereka dengan bertaubat agar mereka juga boleh kembali kepada Tuhan dan layak dipakaikan mahkota khalifah di bumi.

 Taubat yang hanya merupakan kata-kata, tanpa mengetahui sejauh mana dosa yang dilakukan, tidak berikrar untuk tidak mengulangi dosa tersebut, tidak mengambil langkah mencegah daripada berulangnya perbuatan dosa dan tidak melakukan kebaikan yang boleh menghapuskan dosa, adalah taubat pada luaran sahaja, tidak terhunjam ke dalam lubuk hati yang dalam. Taubat yang demikian adalah umpama memotong rumput bahagian di atas tanah sahaja sedangkan akar yang di dalam tanah dibiarkan. Rumput akan kembali tumbuh selagi akarnya tidak dicabut. Orang yang benar-benar bertaubat mengetahui kesalahannya dan punca kesalahan tersebut, bertekad tidak akan mengulanginya dan membebaskan dirinya daripada punca kesalahan. Taubat yang begini umpama mencabut rumput beserta akarnya yang di dalam tanah dan membuangnya jauh-jauh.

 Taubat luaran adalah penyesalan secara umum dan samar-samar. Tauabat dalaman adalah penyesalan yang jelas tentang apa yang dikesalkan dan menjauhkan diri daripadanya. Orang yang bertaubat daripada zina tidak lagi menghampiri zina, bukan sekadar tidak melakukan zina. Jika masih lagi menghampiri zina, sekalipun tidak melakukannya, itu bukanlah taubat yang sebenarnya. Adam a.s yang telah melakukan kesalahan dengan memakan buah larangan di dalam syurga, setelah bertaubat beliau a.s tinggal di bumi yang sangat jauh daripada pokok larangan yang menjadi isu kesalahannya. Tanda taubat diterima adalah orang yang berdosa tidak jatuh lagi ke dalam jurang dosa tersebut.

 Orang yang benar dengan taubatnya mempelajari keadaan dirinya, mencari punca dan faktor yang menyebabkan dia jatuh kepada perbuatan dosa. Dia mengawasi perjalanan nafsunya, membebaskannya daripada ego yang mengheret kepada kejahatan dan kedurhakaan kepada Tuhan. Jihad membuang nilai-nilai buruk daripada daerah nafsu akan memberi kekuatan kepada rohani. Rohani yang sedar dan celik akan dapat melihat kepada kejahatan dan dapat mengeluarkan teguran daripada dalam. Teguran dari dalam itu dinamakan suara hati. Pada peringkat awalnya suara hati hanya sekadar memberi teguran tetapi tidak mampu menghalang berlakunya kesalahan tetapi apabila semakin banyak nilai-nilai buruk dikeluarkan daripada daerah nafsu suara hati akan menjadi lebih kuat. Hati akan sempat memberi peringatan sebelum terjadinya perbuatan dosa. Kemunculan penasihat dari dalam diri sendiri menambahkan kesedaran seseorang tentang yang benar dan yang salah. Kemudian dibukakan kepadanya hakikat yang benar dan yang salah. Apabila hakikat tersebut telah terbuka kepadanya dia akan lebih mudah melakukan yang benar dan meninggalkan yang salah.

 Dalam perjalanan menuju tahap yang suci bersih seseorang perlu menentang nafsu kehaiwanan yang menumpang pada nafsunya yang asli, yang suci bersih. Nafsu kehaiwanan hanya inginkan makanan, minuman, pakaian, tidur, melakukan yang sia-sia dan berseronok. Dalam daerah nafsu yang rendah itu juga ada sifat ego yang jahat seperti takabur, sombong, dengki, dendam, tamak dan lain-lain penyakit hati. Semua itu mesti dibuang daripada daerah nafsu supaya kemurnian nafsu yang asli kembali menyerlah. Orang yang benar-benar bertaubat mampu berbuat demikian dan dia kembali menjadi suci, bersih dan murni. Hijab yang muncul dari alam zahiriah menjadi hancur dan rohaninya akan bercahaya, memperlihatkan keserian wajah yang menggambarkan kedamaian jiwa.

 Syariat mengajarkan jihad menyelamatkan diri daripada dosa. Dosa masuk ke dalam manusia melalui setiap bahagian tubuhnya dan juga melalui dirinya yang tidak kelihatan. Mata, telinga, mulut, hidung, tangan, kaki, syahwat dan segenap tubuh boleh menjadi pintu buat dosa memasuki manusia. Fikiran dan perasaan juga menjadi pintu dosa.

 Dosa adalah umpama besi dan neraka umpama besi berani yang besar lagi kuat, menarik besi dosa kepadanya. Makanan, minuman dan bauan yang harum memasukkan dosa ke dalam tubuh manusia. Dosa bercampur dengan darah, daging, tulang, sumsum dan seluruh tubuh. Tangan yang melakukan kejahatan akan dibaluti oleh dosa seperti balutan lumpur. Tangan yang berbalut dosa menyentuh isteri, anak-anak, makanan, pekerjaan dan lain-lain. Ia mencemarkan apa sahaja yang disentuhnya.

 Syahwat yang berzina akan dibaluti dosa dan dengan syahwat yang berbalut kekotoran dosa itu juga lelaki meniduri isterinya. Tangannya yang menyuap makanan dibaluti dosa. Makanannya haram. Darahnya bercampur air dosa. Air mani yang terbentuk dalam tubuhnya juga terpalit dosa. Melalui syahwat yang berdosa dia menghantar air mani yang terpalit dosa ke dalam kandungan isterinya. Dalam kandungan ibu lagi bayi sudah dihadapkan dengan kesan dosa. Anak keluar ke dunia membawa kekuatan dosa, bersedia untuk menghadapi dosa-dosa. Ramai bayi yang dibungkus oleh dosa sejak dalam kandungan ibu mereka keluar membawa penyakit yang ganjil-ganjil. Sudah ada bayi yang keluar sahaja ke dunia sudah pun menghidapi penyakit aids.

 Kecelakaan menimpa manusia yang berdosa kerana syaitan boleh bersekutu dalam apa sahaja yang mereka lakukan. Apa sahaja yang dipegangnya dan apa yang keluar daripadanya beserta dengan syaitan yang sentiasa mencari jalan untuk menjahanamkan Bani Adam. Dosa yang menemani seseorang itu membawa bahang api neraka kepadanya ketika dia masih hidup dalam dunia ini, apa lagi setelah dia memasuki lubang kubur. Bahang api neraka membuatnya menjadi resah gelisah dan kepanasan. Isteri yang cantik tidak menyejukkan pandangannya. Harta yang banyak tidak menemukannya dengan kepuasan. Kemuliaan yang diberikan oleh manusia tidak mendamaikan jiwanya. Beban dosa menghimpit jiwanya, takut orang ramai mengetahui kejahatan yang disembunyikannya.

 Fikiran dan perasaan yang dibaluti dosa, walaupun memikirkan sebaik mungkin, merancang dengan penuh kerapian, membuat kajian dengan teliti namun, hasilnya adalah kemusanahan. Morfin yang ditemui oleh pakar-pakar perubatan untuk membantu orang sakit itulah yang menjadi dadah membunuh jutaan manusia. Satelit yang diciptakan untuk kesejahteraan umat manusia itulah yang memandu peluru berpandu dan bom nukliar untuk membunuh umat manusia sendiri. Sentuhan fikiran, perasaan dan anggota yang berdosa lebih mengwujudkan neraka dalam dunia daripada memberi kesejahteraan kepada umat manusia. Dosa-dosa yang bertaburan dalam dunia inilah yang mengheret dunia kepada kiamat.

 Ulama zaman dahulu suka memperingatkan umat manusia supaya menghindarkan diri daripada melakukan dosa demi kesejahteraan manusia sendiri. Ramai daripada ulama hari ini segan mahu bercakap tentang dosa, takut dianggap kolot. Orang ramai hari ini tidak tahu tentang dosa tetapi sangat mengerti tentang kemudaratan pada tubuh badan. Perkara dosa mesti dihurai secara saintifik terlebih dahulu untuk mengetahui kemudaratannya. Apakah kemudaratan meminum arak? Apakah kemudaratan memakan daging babi? Apakah kemudaratan tidak bersembahyang? Apakah kemudaratan tidak berpuasa? Semuanya mesti dimasukkan ke dalam ‘tabung uji’ terlebih dahulu sebelum disahkan sebagai dosa. Manusia mengambil alih tugas menentukan sesuatu perkara itu berdosa atau tidak.

 Kaum Muslimin memainkan peranan yang penting di dalam dunia. Mereka berfungsi sebagai pengimbang kepada ketidak-stabilan yang terjadi kepada dunia. Kaum Muslimin berperanan menyekat mala petaka yang mengancam dunia akibat dosa-dosa manusia. Kaum Muslimin mempunyai keupayaan yang tinggi kerana mereka berpegang kepada syariat yang benar yang mengajar mereka ibadat taubat dan memperkenalkan mereka kepada Tuhan Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang. Air taubat yang mengalir daripada kaum Muslimin menyejukkan api neraka dunia yang keluar daripada dosa-dosa manusia. Taubat merupakan kurniaan Tuhan  yang besar kepada orang-orang yang beriman demi faedah mereka sendiri dan umat manusia seluruhnya. Ibadat taubat mesti disebarkan seluas-luasnya demi kesejahteraan hidup di dunia dan juga di akhirat. Kaum Muslimin seharusnya memandang serius kepada ibadat taubat sebagaimana kesungguhan mereka dalam ibadat sembahyang dan lain-lain. Mereka mestilah benar di dalam taubat sebagaimana benarnya hati mereka menghadap Tuhan di dalam sembahyang.

 Taubat, sebagaimana juga ibadat yang lain, ada aspek zahir dan ada aspek batin. Aspek zahir melibatkan cara dan peraturan yang bersangkutan dengan perbuatan zahir. Aspek batin melibatkan urusan hati. Setiap amalan zahir digantungkan kepada niat yang berada dalam batin.
Amalan zahir dinamakan syariat zahir dan amalan batin dinamakan syariat batin. Ilmu yang membicarakan tentang syariat zahir dinamakan ilmu fikah. Ilmu yang membicarakan tentang syariat batin dinamakan ilmu tasauf. Istilah fikah dan tasauf digunakan pada zaman yang di belakang ini. Pada zaman Rasulullah s.a.w semua ilmu dikenali sebagai ilmu agama atau ilmu al-Quran atau ilmu Islam. Kesempurnaan ilmu syariat adalah gabungan ilmu fikah dan tasauf. Ilmu fikah mengajar manusia cara beramal yang betul. Ilmu tasauf mengajar manusia menghadap Tuhan dengan benar dalam melakukan suruhan-Nya. Bagi mereka yang cenderung dengan aliran tarekat tasauf janganlah menganggap tasauf sebagai persaingan kepada fikah atau kepada syariat itu sendiri. Fahaman yang membezakan tasauf daripada syariat, yang mengatakan fikah itulah syariat dan tasauf adalah bidang yang tersendiri, mestilah dihapuskan. Tasauf berperanan memudahkan seseorang melakukan peraturan syariat sebagaimana yang dikehendaki oleh fikah. Fikah pula membentuk jalan yang lurus agar seseorang boleh menghadap kepada Tuhan dan menghampiri-Nya sebagaimana yang diajarkan oleh tasauf. Gabungan fikah dan tasauf membentuk syariat yang sempurna. Berfikah tanpa tasauf dibolehkan bagi mendapatkan kedudukan sebagai seorang Islam tetapi bertasauf tanpa fikah tidak mungkin. Tidak mungkin mengerjakan sembahyang dengan niat yang betul tetapi tidak ada perbuatan sembahyang.

Taubat yang benar menggabungkan cara fikah dengan cara tasauf. Orang yang bertaubat melakukan sembahyang sunat taubat dan memperbanyakkan ucapan istighfar. Kesalahan yang berhubung dengan orang lain diselesaikan secara meminta maaf atau membayar hutang jika ada. Dia tidak mengulangi kesalahan selepas dia bertaubat. Dia tidak mendekati ruang yang boleh membawanya kepada kesalahan semula. Bagi kesalahan kepada orang lain dia perlu mendoakan kesejahteraan untuk orang itu.

Taubat yang lebih mendalam perlu kepada bimbingan orang arif yang telah melakukan taubat secara khusus. Orang arif melakukan taubat dengan penuh rasa takut kepada Tuhan. Dilihatnya dosa seumpama gunung yang akan jatuh ke atas kepalanya. Dia berasa takut dan lari kepada Tuhan memohonkan keampunan-Nya. Dia takut dicampakkan jauh daripada Tuhan. Dia takut ‘kehilangan’ Tuhan yang sangat dikasihinya. Dia takut kehilangan perhatian-Nya, cinta-Nya dan keampunan-Nya. Dia takut dan malu kerana Tuhan Melihat dan Mendengar segala perbuatan dan tutur kata lidah serta hatinya. Dia takutkan azab Tuhan yang sangat keras. Ucapan yang keluar dari mulut orang yang takutkan Tuhan memberi kesan yang mendalam kepada jiwa orang yang mahu bertaubat. Keadaan takutkan Tuhan itu turut menguasai jiwa orang berkenaan yang mahu bertaubat itu. Perkataan yang keluar daripada hati yang bersih dan dibaluti oleh cahaya suci menyinar pada cermin hati orang yang mendengar. Hati yang menerima pancaran cahaya suci daripada orang suci akan menjadi jaga dan hidup. Hati yang hidup itu melakukan taubat dengan sebenar-benarnya.

Orang arif yang mampu membimbing orang lain memasuki pintu taubat adalah orang yang telah sampai kepada makam kehampiran dengan Tuhan. Kemudian mereka dihantar balik kepada alam rendah bagi membimbing orang lain yang berpotensi tetapi masih ada kecacatan dan kelemahan. Dalam melaksanakan tugas tersebut orang arif berjalan menurut Sunah Rasulullah s.a.w. Tugas pembimbing kerohanian berbeza daripada tugas seorang Rasul. Rasul ditugaskan menyampaikan kepada semua orang. Pembimbing kerohanian tidak mengajarkan semua orang. Mereka hanya mengambil orang-orang tertentu sahaja, yang dipilih untuk mengikuti latihan intensif bagi menambahkan bilangan orang arif yang akan berkhidmat kepada orang ramai. Rasul diberi kebebasan dalam melakukan tugas berdakwah tetapi pembimbing jalan kerohanian mesti mengikuti jalan rasul, tidak boleh membuat jalan sendiri. Guru kerohanian yang mengaku dirinya bebas daripada Sunah Rasulullah s.a.w, mendakwa dirinya sama dengan nabi, sebenarnya telah jatuh ke dalam kesesatan dan kekufuran. Guru kerohanian yang benar berpegang teguh kepada prinsip agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, tidak membawa peraturan baharu. Cara penyampaian mereka boleh jadi berbeza dengan cara Rasulullah s.a.w kerana kebijaksanaan manusia tidak sama, tetapi perbezaan cara tidak sampai mengubah hukum dan peraturan. Orang arif yang benar mempunyai ‘kehampiran’ dengan Rasulullah s.a.w melebihi kehampirannya dengan isteri, anak dan kaum keluarga mereka. Kehampirannya adalah kehampiran kerohanian yang lebih erat daripada hubungan darah daging.

Dalam masyarakat Islam sudah ramai orang alim yang memperkatakan tentang zahir syariat iaitu ilmu fikah. Sebab itu orang arif lebih menumpukan soal batin iaitu ilmu tasauf yang menumpukan soal hati. Bidang fikah lebih bersifat umum. Satu fatwa yang dikeluarkan oleh seorang alim fikah sesuai untuk orang ramai dan kebanyakan keadaan. Bidang kerohanian bersifat persendirian. Bagi satu orang hanya ada satu sahaja jalan kerohanian yang sesuai untuknya. Oleh sebab itu guru kerohanian perlu ada kasyaf yang membolehkannya mengerti kedudukan muridnya. Kearifan guru lebih diperlukan bagi memandu murid yang didatangi oleh jazbah atau mendapat gangguan khadam. Hanya guru yang arif mengerti jalan khusus yang sedang dilalui oleh muridnya dan dia mampu membimbing muridnya menuju matlamat dengan selamat.

http://alhakiki.tripod.com/hakiki021.html

KEHIDUPAN DUNIA

Roh Insan yang sangat suci hanya menyata apabila ia dibaluti oleh jasad dan bakatnya hanya menonjol apabila ia ditempatkan di dalam dunia. Ketika Adam a.s mendiami syurga bakat kekhalifahannya tidak menyata. Setelah dimasukkan ke dalam dunia baharulah nyata Adam a.s sebagai khalifah Tuhan. Keturunan Adam a.s juga menanggung kewajipan kekhalifahan itu di dalam dunia ini juga. Di dalam dunia yang sangat luas ini Adam a.s dan keturunannya ditempatkan pada satu tempat yang bernama bumi. Kehidupan di dunia dengan kehidupan di bumi adalah perkara yang sama bagi Adam a.s dan keturunannya. Kehidupan dunia ini adalah satu-satunya peluang untuk manusia. Manusia tidak diberi peluang yang kedua kali.Dan barangsiapa yang buta di sini, maka di akhirat pun dia buta dan lebih sesatlah jalannya.
( Ayat 72 : Surah al-Isra’ )

Bukan buta mata di kepala tetapi buta mata pada hati. Jika ketika hidup di dalam dunia tidak menemui jalan kembali kepada Tuhan, sesudah matinya pun tidak menemui jalan. Kesesatan jalan di akhirat lebih menggerunkan daripada buta mata di dunia. Apa juga yang manusia mahu usahakan maka dunia inilah kebunnya. Kehidupan dalam dunia inilah yang menentukan nasib manusia ketika sakratul maut, dalam alam kubur, di Padang Mahsyar, di Hisab, di atas jambatan menyeberangi neraka dan pada kehidupan yang abadi. Perbezaan di antara dunia dan akhirat hanya satu sahaja, iaitu di akhirat ada peluang untuk melihat Tuhan secara terang-terangan, sementara di dunia melihat Tuhan melalui hijab-hijab. Urusan Islam, iman, tauhid dan makrifat selesai di dalam dunia ini juga. Apa yang diperolehi di dunia ini itulah yang akan dibawa ke akhirat.

 Tugas menjadikan dunia sebagai kebun akhirat bukanlah mudah. Suasana semulajadi dunia menjadi cabaran kepada petani-petani akhirat.Dan tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Aku hendak menciptakan khalifah pada bumi”, mereka berkata: “Adakah Engkau mahu jadikan padanya makhluk yang akan berbuat bencana padanya dan akan menumpahkan darah? Padahal kami berbakti dengan memuji Engkau dan memuliakan Engkau”. Dia berfirman: “Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui”. ( Ayat 30 : Surah al-Baqarah )

 Para malaikat sudah dapat membayangkan kehidupan dunia yang akan dijalani oleh makhluk berbangsa manusia sebelum lagi manusia pertama diciptakan. Sifat kehidupan dunia yang ada dalam pengetahuan malaikat adalah huruhara dan pertumpahan darah. Dunia adalah ibu, sementara huruhara dan pertumpahan darah adalah anak-anaknya. Kelahiran huruhara dan pertumpahan darah adalah sesuatu yang sesuai dengan suasana dunia itu sendiri secara semulajadi. Manusia sebagai khalifah bertugas membersihkan dunia daripada huruhara dan pertumpahan darah itu. Khalifah tidak seharusnya membiarkan dunia terus melahirkan anak-anak jahat dan nakal.

 Tuhan memperjelaskan lagi keadaan huruhara penghidupan dunia:Tuhan berfirman: “Pergilah kamu (Adam dan Hawa). Sebahagian daripada kamu (manusia) jadi musuh kepada sebahagiannya. Dan adalah bagi kamu di bumi itu tempat ketetapan dan bekalan hingga satu masa (mati dan kiamat)”. ( Ayat 24 : Surah al-A’raaf )

 Kehidupan dalam dunia membawa manusia bermusuhan sesama sendiri. Dalam dunia yang huruhara, penuh dengan permusuhan dan pertumpahan darah itulah manusia menetap sehingga sampai ajal mereka dan sehingga berlaku kiamat. Tuhan mengajar manusia supaya mengambil bekalan semasa hidup di dunia. Tuhan mengajar manusia supaya menghargai tempuh singkat yang Tuhan berikan kepada mereka di dunia ini.Dia berfirman: “Padanya (bumi) kamu hidup dan di situlah kamu akan mati dan daripadanya kamu akan dikeluarkan. ( Ayat 25 : Surah al-A’raaf )Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati. Dan tidak akan disempurnakan balasan kamu melainkan pada hari kiamat. Lantaran itu barangsiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka selamatlah dia, kerana penghidupan dunia ini tidak lain melainkan menipu-daya. ( Ayat 185 : Surah a-Li ‘Imran )

 Alam dihukumkan dengan kiamat dan setiap yang hidup dihukumkan dengan mati. Manusia hidup dalam dunia, mati dalam dunia dan dibangkitkan daripada dunia. Dunia yang dikenali sebagai medan asbab akan melahirkan berbagai-bagai usaha dan tindakan. Sifat dunia tidak mengizinkan usaha dan tindakan melahirkan hasil yang sempurna. Banyak daripada pokok yang ditanam tidak sempat berbuah atau buahnya tidak semanis yang dijangkakan. Tuhan memperingatkan bahawa apa juga yang manusia tanam di dunia buah yang sempurna muncul di akhirat. Buah yang manis, masam atau beracun akan dirasai dengan sempurna setelah berlaku kiamat. Apa yang diperolehi di dalam dunia lebih banyak bersifat bayangan yang menipu-daya.

 Manusia terdiri daripada dua jenis anasir iaitu tubuh zahir dan hati seni. Gabungan anasir zahir yang kasar dengan anasir rohani yang seni membuat manusia boleh berfungsi sebagai cermin yang membalikkan wajah yang memandang kepadanya. Tubuh kasar umpama muka cermin yang gelap di sebelah belakang dan rohani pula umpama muka cermin yang terang di hadapan. Susunan manusia yang demikian menyebabkan manusia boleh menerima suluhan  cahaya Ilahi. Kebolehan ini dinamakan mengenal Tuhan melalui mata hati. Makhluk yang mempunyai satu jenis badan sahaja tidak memiliki kebolehan yang demikian. Malaikat yang hanya memiliki badan yang terang dan haiwan yang hanya memiliki badan yang kasar tidak boleh berfungsi sebagaimana manusia. Malaikat hanya mengenal Tuhan dalam satu aspek sahaja iaitu aspek tanzih. Haiwan pula tidak mengenal Tuhan. Hanya manusia yang boleh mengenal Tuhan dalam aspek tanzih dan tasybih, iaitu Tuhan yang tidak serupa dengan sesuatu dan Dia yang memperkenalkan Diri-Nya melalui sifat-sifat-Nya.

 Sifat semulajadi manusia yang mampu menerima suluhan cahaya Ilahi itu tertutup kerana manusia hidup di dalam dunia. Dunia menjadi anasir yang merosakkan gabungan badan yang gelap dengan rohani yang cerah. Dalam dunia ini wujud satu jenis makhluk yang diciptakan daripada cahaya api, dinamakan syaitan berbangsa jin. Cahaya api syaitan ini boleh menyelinap masuk ke dalam badan manusia yang gelap dan menjadikannya lutsinar, menyebabkan suluhan yang datang dari alam ghaib tidak melekat pada cermin hati. Peringatan yang di sampaikan oleh nabi-nabi tidak berbekas pada hati. Sekalipun nabi-nabi memperlihatkan mukjizat namun hati tetap tidak dapat melihat kebenarannya. Beginilah yang terjadi kepada manusia yang hidup di dalam dunia dan diganggu oleh cahaya api syaitan. Badan cahaya api syaitan menjadi tembok menghalang cahaya kebenaran daripada masuk ke dalam hati. Apabila cahaya kebenaran tidak melekat pada hati maka hati tidak mengenal apakah yang benar. Hati yang sudah jahil itu menjadi kain putih yang menerima apa sahaja yang ditayangkan oleh syaitan. Syaitan mengadakan berbagai-bagai gambaran dan dihantarkannya kepada hati. Hati menyangkakan bentuk yang dihantar oleh syaitan itulah kebenaran. Hasilnya muncullah penjelmaan mengambil alih tempat kebenaran. Penjelmaan gubahan syaitan itulah yang diterima oleh manusia sebagai yang benar. Manusia yang di dalam keadaan sedemikian beramal menurut gubahan syaitan tetapi menyangkakan mereka berada di atas jalan yang lurus. Lahirlah keyakinan yang dibina di atas asas yang sesat. Ada manusia menyembah batu dengan menyangkakan itulah jalan yang benar. Ada manusia membunuh diri dengan keyakinan mereka mati syahid. Amalan sesat telah menjadi kepercayaan yang suci lantaran mereka diperdayakan oleh syaitan.

 Dunia yang dihuni oleh syaitan melahirkan berbagai-bagai tipu daya. Semua bidang kehidupan manusia diresapi oleh tipu daya syaitan. Syaitan membina jalan yang selari dan hampir dengan jalan yang lurus dan diperhiaskan jalan itu sehingga apa sahaja yang ada padanya kelihatan bersesuaian dengan jalan yang lurus. Akibat perhiasan yang dipamerkan oleh syaitan, fitrah manusia hilang kekuatan untuk melonjak kepada fitrah Muslim. Mereka berpuas hati dengan berpegang kepada fitrah kemanusiaan sahaja dan dalam keadaan yang demikian fitrah kemanusiaan tidak berkekuatan menyekat tarikan syaitan. Akibatnya nilai-nilai murni kemanusiaan dicampur adukkan dengan nilai-nilai palsu yang datang dari syaitan. Ramai daripada penganut agama Islam sendiri mencampur adukkan nilai Islam dengan nilai syaitan. Di sana sini banyak terjadi orang yang bersembahyang tetapi masih melakukan perbuatan zina dan meminum arak. Orang yang menunaikan fardu haji masih melakukan rasuah. Orang yang berpuasa tetapi masih mencuri dan menipu. Orang yang mengucapkan dua Kalimah Syahadah masih juga pergi ke kubur-kubur kerana meminta nombor toto. Perilaku orang yang mengaku beragama Islam tidak berbeza dengan orang yang ternyata kafir. Semua itu terjadi kerana warna syaitan melindungi warna kebenaran. Orang yang telah menerima dan mengguna-pakai warna syaitan itu dinamakan ahli dunia.

 Dalang yang mengarahkan perjalanan ahli dunia adalah raja syaitan iaitu iblis. Iblis adalah sumber kejahatan dan syaitan adalah penyebar kejahatan iblis itu. Iblis sentiasa mengheret manusia supaya menyalahi ubudiah kepada Tuhan. Iblis memasukkan sifat-sifatnya kepada manusia bagi menyekat atau melengah-lengahkan mereka menunaikan perintah Tuhan. Sifat iblis adalah kufur atau engkar kepada kebenaran. Apabila sifat iblis membaluti hati manusia ia akan bertindak sebagai tenaga yang menghalang apa juga kebenaran yang mahu masuk ke dalam hati. Walaupun akal boleh menerima sesuatu kebenaran itu namun tenaga yang muncul daripada sifat iblis menghalang hujah akal daripada diterima oleh hati. Sebab itu orang yang mengenal dan mengakui kebenaran masih juga menolak kebenaran itu dan berbuat yang tidak benar. Orang yang mengakui berzina adalah berdosa tetapi masih juga melakukannya. Orang yang mengakui rasuah itu berdosa masih juga berbuat rasuah. Bahkan orang-orang yang menggubal undang-undang berdasarkan kebenaran yang diperolehi melalui akalnya masih juga melanggar undang-undang tersebut. Akal mengakui kewajipan bersembahyang dan anggota melakukan perbuatan sembahyang tetapi hati yang dikuasai oleh sifat iblis tidak mampu lari daripada kemaksiatan.

 Syaitan menjadi ejen yang menghantar sifat-sifat iblis kepada manusia. Syaitan masuk ke dalam tubuh manusia melalui perjalanan darah. Darah yang dimasuki oleh syaitan akan menerbitkan rangsangan atau dorongan yang mengajak manusia melakukan kejahatan. Syaitan hanya mampu memberi rangsangan tetapi tidak mampu menggerakkan anggota manusia untuk melakukan sesuatu. Nafsu manusia sendiri yang bertindak menggerakkan anggotanya supaya melakukan kejahatan sebagaimana yang dirangsang oleh syaitan. Nafsu adalah umpama tuan rumah dan syaitan umpama pendatang haram. Tuan rumah sendiri yang mengizinkan pendatang haram memasuki rumahnya dan membiarkannya memerintah di dalam rumah itu. Syaitan bertindak sebagai pengajar dan nafsu yang menerima pengajaran syaitan bertindak sebagai pelaku.

 Nafsu yang jahat, seperti tuan rumah yang jahat, melakukan kejahatan di dalam rumahnya walaupun kejahatan daripada luar tidak masuk. Nafsu yang rendah memang cenderung kepada kejahatan walaupun tidak menerima rangsangan syaitan. Rangsangan syaitan ditujukan kepada perkara yang menyalahi ubudiah, kederhakaan kepada Tuhan, berbuat syirik dan kufur terhadap kebenaran. Apabila manusia menolak satu rangsangan jahat, syaitan dengan cepat mencadangkan kejahatan yang lain. Asal sahaja kejahatan dilakukan syaitan sudah berasa senang dan puas. Jika syaitan gagal merangsang manusia supaya meninggalkan sembahyang, syaitan akan berpindah kepada merangsang agar manusia bersembahyang dengan lalai. Jika manusia berjaya meneruskan sembahyangnya sehingga selesai, syaitan beralih kepada merangsang agar manusia berasa riak dengan sembahyangnya. Sikap nafsu berbeza dengan sikap syaitan. Nafsu gemar kepada perkara-perkara yang menyeronokkan, suka kepada kebesaran dan kemuliaan dan cenderung kepada yang melalaikan. Tabiat nafsu, jika ia inginkan sesuatu, ia akan mengejar atau menanti sesuatu itu. Ia tidak mahu menyerah kalah sebelum ia mendapatkannya. Ia boleh mendiamkan diri walaupun bagi tempuh yang lama. Bila ada kesempatan ia akan muncul semula, selagi keinginannya belum tercapai. Cita-cita merupakan bakat nafsu. Mencitai kesejahteraan hidup adalah bakat nafsu yang baik. Banyak pula bakat nafsu yang tidak baik. Nafsu yang menginginkan seorang perempuan cantik tidak berhenti mengingininya walaupun perempuan itu sudah menjadi isteri orang lain. Sebab itulah nafsu yang tidak dikawal oleh iman sanggup merosakkan rumah tangga orang lain demi mencapai keinginannya. Begitu juga keinginan nafsu kepada kereta mewah. Ketika tidak mampu ia mendiamkan diri. Sebaik sahaja ada kemampuan, kereta mewah yang diingininya itulah yang pertama sekali dibelinya. Keinginan dan cita-cita nafsu tidak mudah berubah, tetapi rangsangan syaitan mudah berubah daripada satu kejahatan kepada kejahatan yang lain. Nafsu yang rendah merosakkan nilai-nilai murni kemanusiaan dan syaitan pula merosakkan kehambaan kepada Tuhan. Gabungan keduanya menjadikan manusia golongan yang engkar dan berbuat maksiat.

 Banyak sekali kerosakan yang berlaku kerana nafsu. Al-Quran menceritakan sebahagian daripadanya.Sesungguhnya nafsu ammarah sangat mengheret kepada kejahatan. (Ayat 53 : Surah Yusuf )

Nafsu pada peringkat yang paling rendah dan paling buruk dinamakan nafsu ammarah. Ammarah adalah sifat nafsu yang berkongsi dengan sifat syaitan, iaitu nafsu yang warnanya diresapi oleh warna syaitan. Nafsu pada peringkat ammarah berkedudukan sama dengan syaitan. Inilah nafsu yang sesat.Tidakkah engkau perhatikan orang yang mengambil nafsunya sebagai tuhan dan dia disesatkan oleh Allah kerana Allah mengetahui (kejahatan hatinya), lalu ditutup Allah akan pendengarannya dan penglihatannya tertutup. ( Ayat 23 : Surah al-Jaathiyah )
Bahkan mereka mempertuhankan jin. ( Ayat 41 : Surah Saba’ )

Kesesatan nafsu boleh sampai kepada peringkat mempertuhankan jin. Syaitan adalah bangsa jin. Jin yang berbangsa syaitan inilah yang dipertuhankan oleh nafsu manusia. Bila nafsu lari dari sumbernya, iaitu roh yang suci murni dan ia bersyarikat pula dengan syaitan dari bangsa jin, berlakulah kerosakan pada akidah dan akhlak manusia. Dari segi akidah manusia boleh mempertuhankan nafsunya atau mempertuhankan jin atau mempertuhankan kedua-duanya sekali. Nafsu manusia dengan diri manusia (ego) adalah perkara yang sama. Mempertuhankan nafsu dan mempertuhankan ego diri adalah yang sama. Firaun dan Namrud mengaku menjadi tuhan. Mereka mempertuhankan nafsu. Qarun mengaku menjadi tuhan harta. Qarun juga mempertuhankan nafsu. Sebahagian manusia mempertuhankan roh. Mereka juga mempertuhankan nafsu. Ramai manusia menolak peraturan Allah s.w.t kerana mahu memuaskan nafsu mereka. Mereka juga termasuk di dalam golongan yang mempertuhankan nafsu. Pertuhanan nafsu yang paling halus adalah sifat riak, melakukan kebaikan untuk mendapat pujian orang ramai demi menaikkan ego nafsunya. Nafsu yang mempersekutukan dirinya dengan Tuhan itulah yang mengundangkan pertuhanan jin. Nafsu yang boleh masuk ke dalam alam khayal ciptaan syaitan mengambil bentuk-bentuk tuhan yang digubah oleh syaitan. Jin suka menjelma dalam bentuk haiwan seperti ular, gajah putih, kera dan lain-lain. Penjelmaan jin dalam bentuk haiwan itu dalam keadaan luar biasa, seperti ular berkepala tujuh, gajah bergading emas, kera sakti dan lain-lain yang menguatkan sangkaan manusia jahil bahawa itulah tuhan. Mereka yang menerima tuhan-tuhan yang demikian memanggilnya sebagai dewa-dewi, ratu, puteri dan lain-lain. Itu semua adalah jin yang mengenakan tipu daya kepada manusia yang jahil tentang Tuhan.

 Kerosakan akidah yang berlaku kepada umat manusia berpunca daripada iblis yang memusuhi bangsa manusia sejak manusia yang pertama diciptakan oleh Allah s.w.t. Iblis telah bersumpah untuk menyesatkan keturunan Adam a.s. Al-Quran menceritakan:(Iblis) berkata: “Beri tempuh akan daku wahai Tuhanku, kerana aku akan menyesatkan mereka hingga hari kiamat.” Tuhan berfirman: “Kamu diberi tempuh.” Iblis berkata: “Oleh kerana aku telah sesat, maka aku akan halang mereka daripada jalanMu yang lurus. Aku datang kepada mereka dari hadapan, belakang, kanan dan kiri dan Engkau dapati kebanyakan mereka tidak mensyukuri Engkau. ( Ayat 14 – 17 : Surah al-A’raaf )

 Hasil daripada gerakan iblis dan kuncu-kuncunya, iaitu syaitan, dan tewasnya nafsu manusia kepada mereka, maka terjadilah apa yang diceritakan oleh al-Quran:Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakit mereka dan bagi mereka azab yang pedih akibat dusta mereka. ( Ayat 10 : Surah al-Baqarah )Dan sesungguhnya Kami telah sediakan untuk neraka jahanam beberapa ramai dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tetapi tidak mengerti, mempunyai mata tetapi tidak melihat, mempunyai telinga tetapi tidak mendengar. Mereka adalah seperti haiwan bahkan lebih hina daripada itu dan mereka adalah orang-orang yang lalai. ( Ayat 179 : Surah al-A’raaf )Kami jadikan manusia dalam bentuk yang paling baik kemudian kembalikan dia ke tempat yang paling rendah. ( Ayat 4 & 5 : Surah at-Tiin )Dikunci Allah akan hati mereka dan pendengaran mereka dan penglihatan mereka tertutup.
( Ayat 7 : Surah al-Baqarah )

 Manusia yang sudah parah dijangkiti oleh penyakit iblis akan mengikuti iblis kepada kedudukan yang paling buruk.Itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah, maka ditulikan pendengaran mereka, dibutakan penglihatan mereka. Tidakkah mereka merenung al-Quran? Bahkan dalam hati mereka terdapat kunci-kunci. ( Ayat 23 & 24 : Surah Muhammad )

 Azazil yang telah berbuat ibadat kepada Tuhan selama beribu tahun, apabila mendapat laknat dari Tuhan, bertukarlah keadaannya, terhapus semua ibadatnya yang telah lalu dan dia berubah menjadi iblis. Jika Tuhan melaknati seseorang manusia dia akan bertukar menjadi syaitan berbangsa manusia. Iblis, syaitan berbangsa jin dan syaitan berbangsa manusia akan menjadi penghuni neraka jahanam. Mereka kekal di dalamnya.

  Fitnah dan tipu daya yang menanti manusia di dalam dunia sangat besar dan bahaya. Setiap kelahiran keturunan Adam a.s akan disambut oleh syaitan yang menjadi bakat iblis. Cahaya syaitan akan mewarnai cermin hati manusia. Apa yang singgah pada hati akan berubah keasliannya. Hati manusia akan terlindung daripada menyaksikan yang benar. Hanya satu sahaja yang sangat berkesan memelihara dan membersihkan cermin hati daripada warna syaitan. Itulah syariat!

http://alhakiki.tripod.com/hakiki019.html

SYARIAT MENYELAMATKAN MANUSIA

Sesudah itu Adam terima beberapa kalimat dari Tuhannya, lalu Dia ampunkannya kerana sesungguhnya Allah itu Pengampun dan Penyayang. Kami berkata: “Pergilah kamu sekalian dari (syurga) itu, kemudian jika datang petunjuk (agama) daripada-Ku dan sesiapa yang ikut petunjuk itu tidaklah ada ketakutan atas mereka dan tidaklah mereka berdukacita”. ( Ayat 37 & 38 : Surah al-Baqarah )

Hai Bani Adam! Sesungguhnya Kami telah turunkan atas kamu pakaian untuk menutup kemaluan kamu dan pakaian perhiasan dan juga pakaian takwa, ini lebih baik. Yang demikian itu adalah tanda-tanda (kurnia) Allah supaya kamu ingat. ( Ayat 26 : Surah al-A’raaf )

 Nabi Adam a.s hanya dipakaikan dengan syariat apabila beliau a.s masuk ke dalam dunia. Beliau a.s tidak dibebankan dengan syariat sewaktu beliau a.s berada di dalam syurga. Syariat menjadi pakaian kebal yang dengannya keturunan Adam a.s boleh selamat daripada fitnah dan tipu daya dunia. Dunia adalah umpama racun dan syariat adalah penawarnya. Sesiapa yang masuk ke dalam dunia tanpa memakai syariat akan ditelan oleh dunia dan diheret kepada alam syaitan.

 Syariat adalah peraturan atau sistem yang digubal oleh Allah s.w.t untuk dipatuhi oleh manusia dalam mengadakan perhubungan dengan Tuhan, dengan sesama manusia dan dengan makhluk lain dalam alam maya ini. Syariat sampai kepada umat manusia melalui manusia pilihan Tuhan yang berkedudukan sebagai nabi-nabi. Nabi-nabi bertanggungjawab menerima, memahami, mengamalkan dan menyebarkan syariat yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Dasar syariat adalah taat kepada Allah s.w.t dengan mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Peraturan yang terdapat dalam syariat yang dibawa oleh seorang Nabi harus ada perbezaan dengan peraturan yang terdapat dalam syariat yang dibawa oleh Nabi yang lain. Walaupun ada perubahan pada peraturan syariat tetapi tuntutan mentaati syariat tidak berubah.

 Syariat Nabi Daud a.s mengizinkan lelaki berkahwin seberapa ramai yang mereka mampu tetapi syariat Nabi Muhammad s.a.w menghadkan setakat 4 orang isteri sahaja dalam satu masa. Haram bagi umat Nabi Muhammad s.a.w berkahwin lebih daripada empat orang dalam satu masa, walaupun umat Nabi Daud a.s boleh berbuat demikian. Umat Nabi Muhammad s.a.w tidak boleh bersandar kepada syariat Nabi Daud a.s bagi berkahwin lebih daripada empat orang.

 Jika diperhatikan kepada tuntutan mentaati syariat yang dibawa oleh Nabi bagi satu-satu umat, dapatlah difahamkan bahawa dosa dan pahala yang dikatakan oleh syariat bukanlah kerana tidak melakukan atau melakukan peraturan semata-mata. Hukum dosa dan pahala bergantung kepada tidak mentaati atau mentaati Allah s.w.t berhubung dengan peraturan yang Dia tetapkan. Orang munafik boleh melakukan perbuatan sembahyang dengan sempurna, tetapi ia tidak disertakan dengan ketaatan kepada Allah s.w.t, maka perbuatannya itu tidak mendatangkan pahala. Darjah pahala bergantung kepada kekuatan taat dan dalam melakukan peraturan syariat itu dituntut supaya melakukannya dengan cara yang betul, tidak boleh membuat cara sendiri yang menyalahi peraturan syariat.Bagi setiap umat telah Kami tetapkan upacara ibadat (syariat) yang mereka akan lalui. Maka janganlah sekali-kali mereka membantah engkau dalam perkara ini; dan serulah kepada Tuhan engkau. Sesungguhnya engkau adalah di atas petunjuk yang lurus. ( Ayat 67 : Surah al-Hajj )

 Umat satu nabi wajib berpegang kepada syariat yang dibawa oleh nabi tersebut, tidak boleh lari kepada syariat nabi yang lain, melainkan telah datang nabi lain yang membawa syariat yang lebih lengkap dan sempurna. Apabila datang Nabi Muhammad s.a.w sekalian umat manusia wajib berpegang kepada syariat yang dibawa oleh baginda s.a.w. Umat Nabi Muhammad tidak boleh meninggalkan syariat baginda s.a.w kerana mahu mengikuti Nabi-nabi yang terdahulu. Umat Nabi Muhammad s.a.w wajib berpegang kepada firman Allah s.w.t:Hari ini Aku sempurnakan agama kamu bagi kamu dan Aku cukupkan atas kamu nikmat-Ku. Dan Aku reda Islam menjadi agama (syariat) kamu. ( Ayat 3 : Surah al-Maa’idah )

 Umat Nabi Muhammad s.a.w sangat bertuah kerana Allah s.w.t telah kurniakan kepada mereka nikmat yang lengkap iaitu agama Islam, sehingga mereka tidak perlu lagi merujuk kepada apa yang telah diturunkan terdahulu. Allah s.w.t menjamin bahawa Dia reda menerima Islam sebagai agama bagi umat Nabi Muhammad s.a.w. Jaminan Allah s.w.t itu sudah cukup bagi orang yang benar-benar mencari keredaan Allah s.w.t untuk tetap berjalan di atas landasan  yang telah dibina oleh Islam. Islam adalah perlembagaan yang cukup lengkap, mencakupi perkara zahir dan juga perkara batin. Islam telah menjelaskan apa yang mesti dibuat dan apa yang mesti tidak dibuat dan bagaimana mahu bertindak menghadapi sesuatu perkara. Umat Islam tidak perlu bertengkar tentang penyelesaian sesuatu masalah. Segala penyelesaian sudah dibentangkan, hanya tegakkan iman dan rujukkan kepada Islam itu sendiri, nescaya segala kemusykilan akan terjawab.

 Setiap umat Islam dituntut supaya beriman kepada peraturan yang Tuhan telah tetapkan, mempelajarinya, mengamalkannya dan menyebarkannya sekadar kemampuan masing-masing. Hubungan kaum Muslimin dengan syariat Islam adalah percaya, mempelajari dan melaksanakan. Oleh kerana darjat zahir dan rohani manusia tidak serupa maka terdapatlah perbezaan tahap kepercayaan, pengetahuan dan kekuatan melaksanakannya. Perbezaan tersebut menyebabkan umat Islam mudah bersepakat dalam perkara pokok, bertolak ansur pada perkara cabang dan tidak bersefahaman pada perkara ranting. Kegoncangan pada ranting tidak seharusnya menggoncangkan pokok perpaduan umat Islam. Perbezaan pada tumpuan pelaksanaan tidak seharusnya menyekat kerjasama sesama Muslim. Masalah khilafiah tidak seharusnya menjarakkan kumpulan yang berlainan mazhab.

 Al-Quran yang sampai kepada kita sekarang ini mengandungi 6,666 ayat. Tidak mungkin ada orang Islam masa ini yang mampu menyesuaikan dirinya dengan 6,666 ayat tersebut sekaligus, dengan serta merta atau dalam jangka masa yang singkat. Rasulullah s.a.w membawa pengikut-pengikut baginda s.a.w ‘ke dalam’ al-Quran secara berperingkat-peringkat dan baginda s.a.w mengambil masa lebih daripada dua puluh tahun untuk membawa mereka ‘berjalan di dalam’ 6,666 ayat tersebut. Allah s.w.t dan Rasul-Nya sangat berhikmah di dalam mendidik umat manusia. Pada masa berlaku peperangan Badar arak masih belum diharamkan. Sebahagian daripada syuhada Badar terdiri daripada mereka yang kuat meminum arak tetapi Allah s.w.t, dengan kasihan belas dan rahmat-Nya, menerima sekalian ahli Badar sebagai ahli syurga.

Rasulullah s.a.w memberi tumpuan kepada akidah, diikuti oleh akhlak. Al-Quran mengajarkan beriman, kemudian beramal salih. Allah s.w.t memperingatkan bahawa Dia mengampunkan segala dosa, termasuk dosa zina, meminum arak dan sebagainya tetapi Dia tidak mengampunkan dosa syirik. Umat manusia harus diselamatkan daripada dosa yang tidak diampunkan Tuhan terlebih dahulu sebelum dosa yang Tuhan ampunkan. Golongan Muslim yang berilmu berkewajipan menyelamatkan golongan Muslim yang jahil daripada lembah syirik. Dalam berbuat demikian perbezaan fahaman tidak boleh dijadikan penghalang. Puak yang berkuasa dan puak yang berilmu sama-sama akan disoal oleh Tuhan nanti apakah yang mereka buat bagi membersihkan akidah umat manusia. Puak berilmu tidak boleh memberi alasan yang puak berkuasa tidak menerima nasihat. Tanggungjawab ahli ilmu tidak terlepas dengan alasan yang demikian. Dengan sedikit ‘suntikan’ daripada puak yang berilmu akan menjadikan puak yang berkuasa boleh melakukan berbagai-bagai perkara demi kebaikan syariat Tuhan. Dengan sedikit tolak-ansur daripada puak yang berkuasa akan membolehkan puak yang berilmu menyampaikan banyak perkara demi syariat Tuhan.

 Muslim yang mempunyai kesedaran dan kemampuan haruslah mengkaji dengan mendalam apakah yang terlebih terdesak diperlukan oleh umat Islam masa kini. Setelah mengetahui penyakit semasa yang melanda umat Islam itu puak berilmu dan puak berkuasa sama-sama berkewajipan mencari penawar di antara 6,666 ayat al-Quran. Penawar yang diperlukan dengan segera itulah yang mesti dihulurkan kepada orang ramai terlebih dahulu. Mengubati penyakit secara bersistematik lebih berkesan daripada mengubati semua jenis penyakit sekaligus. Syariat telah menyediakan segala jenis ubat untuk semua jenis penyakit. Ahli ilmu dan pemerintah haruslah faham menyusun jadual pengubatan umat.

 Kita perlu menjiwai Islam untuk merasai nikmat Islam yang Tuhan kurniakan. Orang Islam bukan sahaja mendukung Islam untuk dirinya sahaja malah dia juga mendukung Islam untuk ahlinya, saudara-saudara Muslim yang lain dan juga umat manusia seluruhnya. Kewajipan manusia adalah melakukan apa yang Tuhan aturkan dengan penuh ketaatan kepada-Nya, sementara hak mengatur diserahkan kepada Allah s.w.t. Sekiranya Allah s.w.t mengaturkan seseorang itu menjadi alim dan mendapat kuasa ketika masyarakat Islam sedang menghadapi ancaman perang, orang alim dan berkuasa itu berkewajipan membuka syariat bahagian jihad, keperluan memperkuatkan ketenteraan, strategi peperangan dan lain-lain yang bersangkutan dengan perang, terlebih dahulu daripada bahagian syariat yang lain. Mengajar cara pembahagian harta pusaka kepada orang yang sedang bersiap ke medan perang adalah kurang sesuai. Dalam tabligh (menyampaikan), bukan sahaja perlu ada siddik dan amanah, malah perlu juga ada fatanah (kebijaksanaan).

 Rasulullah s.a.w bertabligh secara siddik, amanah dan fatanah. Setelah berjaya menawan Makkah baginda s.a.w memaafkan secara beramai-ramai orang Makkah yang pernah berperang menentang baginda s.a.w. Baginda s.a.w tidak ghairah melakukan hukum qisas. Beberapa orang yang baginda s.a.w telah umumkan untuk dibunuh pun kemudiannya baginda s.a.w maafkan. Kemaafan daripada baginda s.a.w telah menarik orang-orang yang bersalah itu kepada Islam. Sekiranya baginda s.a.w telah melakukan hukuman bunuh tentu ramai daripada orang Makkah yang mati sebagai orang kafir musyrik. Kebijaksanaan baginda s.a.w telah menyelamatkan ramai manusia daripada azab neraka.

 Allah s.w.t menghargai orang alim yang menggunakan kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat Islam. Pelaksanaan peraturan Tuhan kepada umat manusia yang tidak mengerti haruslah dengan kasih sayang, belas kasihan dan simpati. Bukankah Rasulullah s.a.w telah mendoakan bagi penduduk Taif yang mengkasari baginda s.a.w dengan doa yang baik: “Wahai Tuhan. Maafkan mereka kerana mereka tidak mengerti”.
Rasulullah s.a.w mengerti setakat mana pengikut baginda s.a.w mampu memikul beban. Baginda s.a.w tidak meletakkan beban melebihi keupayaan mereka. Sebab itulah dakwah baginda s.a.w berjaya. Baginda s.a.w telah memberi contoh, ketika berdakwah di Makkah, bilangan kaum Muslimin masih sangat sedikit. Baginda s.a.w tidak menggerakkan kaum Muslimin supaya berperang dengan kaum musyrikin. Jika baginda s.a.w berbuat demikian tentu sahaja kaum Muslimin akan terhapus sebelum agama Islam sempat berkembang di atas muka bumi. Umat Islam dituntut melaksanakan syariat Tuhan secara bijaksana. Serahkan urusan mentadbir kepada Tuhan. Kaum Muslimin perlu bertindak sesuai dengan pentadbiran Tuhan. Umat Islam yang tinggal di negeri yang sering dilanda banjir dituntut menyediakan kelengkapan banjir, tidak dituntut menyediakan kelengkapan gempa bumi. Dalam menguruskan hal-ehwal kaum Muslimin secara bijaksana, Muslim yang ditakdirkan berkuasa dengan Muslim yang ditakdirkan berilmu wajib bekerjasama demi mencari keredaan Allah s.w.t.

Syariat mengajarkan prinsip satu untuk ramai kerana Allah s.w.t. Lelaki bertanggungjawab menyelamatkan dirinya dan ahlinya daripada api neraka. Orang yang berharta berkewajipan mengeluarkan zakat bagi membantu orang miskin. Orang yang memiliki makanan yang cukup perlu mempastikan jirannya tidak tidur dalam kelaparan. Orang yang berilmu berkewajipan mengajar orang yang jahil. Orang yang berkuasa berkewajipan melindungi orang yang lemah. Setiap anggota masyarakat perlu menyumbangkan sesuatu untuk kesejahteraan masyarakatnya.

Syariat Islam mengajarkan supaya menyebarkan yang makruf dan mencegah yang munkar. Muslim diajar supaya mengasihani orang yang dizalimi dan juga orang yang berbuat kezaliman. Mengasihani orang yang dizalimi adalah dengan cara menyelamatkannya daripada kezaliman dan mengasihani orang yang berbuat zalim adalah dengan cara menyekatnya daripada berbuat kezaliman atau setidak-tidaknya menasihatinya. Dalam menyebarkan yang makruf dan mencegah yang munkar tidak ada istilah ‘menjaga tepi kain orang lain’.
Satu perkara yang sangat diberati oleh syariat adalah perbuatan menzalimi diri sendiri. Tuhan memberi ancaman yang keras terhadap mereka yang melakukan kezaliman terhadap diri mereka. Syariat Islam melarang kaum Muslimin sengaja mencampakkan diri mereka kepada kebinasaan walaupun atas alasan berserah kepada takdir. Rasulullah s.a.w menyuruh kaum Muslimin mengikat unta mereka terlebih dahulu baharulah bertawakal. Umar al-Khattab melarang orang ramai memasuki kampung yang sedang dilanda wabak taun dan pergi ke kampung yang tidak ada taun. Lari daripada takdir yang memudaratkan dan pergi kepada takdir yang mensejahterakan masih lagi dalam medan takdir.

Maksud menzalimi diri sendiri sangat luas. Zalim adalah lawan kepada adil. Maksud adil adalah meletakkan sesuatu pada kedudukan yang benar dan layak baginya. Jika meletakkan sesuatu pada kedudukan yang tidak benar dan tidak layak, ia dinamakan zalim. Menggunakan pancaindera yang dikurniakan Tuhan untuk melakukan perbuatan yang dilarang oleh Tuhan adalah melakukan kezaliman kepada pancaindera atau diri sendiri.

Kezaliman yang paling besar dilakukan oleh hamba Tuhan adalah meletakkan Tuhan pada taraf yang tidak benar dan tidak layak bagi-Nya. Ketuhanan Allah s.w.t meliputi bidang penyembahan, pematuhan, pemujaan, penyayangan dan kebaktian. Ada batas yang mesti dipelihara agar tidak terjadi perbuatan yang menurunkan taraf ketuhanan Allah s.w.t daripada yang sepatutnya. Batas tersebut juga dipelihara agar apa sahaja yang selain Tuhan tidak sampai kepada taraf tersebut. Jangan sekali-kali terjadi penyembahan, perhambaan, ketaatan, pemujian dan penyayangan hak ketuhanan Allah s.w.t turun daripada taraf ketuhanan-Nya dan jangan pula yang selain Tuhan naik kepada taraf ketuhanan. Jika percerobohan dilakukan maka perbuatan yang demikian dikatakan menzalimi hak ketuhanan Allah s.w.t dan ia diistilahkan sebagai syirik. Syirik adalah menyengutukan hak ketuhanan Allah s.w.t dengan sesuatu yang lain. Meletakkan taraf Isa al-Masih sebagai anak Tuhan adalah syirik. Menganggap Uzair sebagai anak Tuhan adalah syirik. Mengiktikadkan Nur Muhammad sebagai penjelmaan Tuhan atau Tuhan sendiri adalah syirik. Nur Muhammad bukanlah Allah s.w.t sebagaimana  Isa al-Masih (zahirnya atau rohaninya iaitu nurnya) bukan anak Allah s.w.t. Mematuhi guru dengan sepenuh jiwa raga sehingga perkara haram dihalalkan dan perkara halal diharamkan masih juga dipatuhi, pun termasuk di dalam perbuatan syirik. Mencari rezeki yang baik tetapi dengan meninggalkan hak ketuhanan Allah s.w.t yang wajib dilaksanakan juga berunsur syirik. Kasih sayang sesama makhluk yang menyebabkan tenggelam hukum dan peraturan Tuhan juga berunsur syirik. Besar atau kecilnya syirik itu bergantung kepada sejauh mana hak ketuhanan Allah s.w.t dicerobohi. Al-Quran menceritakan beberapa keadaan syirik.Dan berkata orang-orang Yahudi: “Uzair anak Allah”. Dan berkata orang-orang Nasrani: “Al-Masih anak Allah”. Demikian itulah kata-kata mereka dengan mulut mereka; menyerupai perkataan orang-orang kafir yang dahulu. Diperangi Allah akan mereka. Bagaimana mereka dapat dipalingkan? Telah mereka ambil guru-guru mereka dan pendeta-pendeta mereka menjadi Tuhan selain Allah dan (juga) al-Masih anak Maryam; padahal tidaklah mereka diperintahkan melainkan supaya menyembah kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada Tuhan melainkan Dia. Maha Suci Dia dari apa yang mereka sekutukan. ( Ayat 30 & 31 : Surah at-Taubah )
Bahkan mereka mempertuhankan jin. ( Ayat 41 : Surah Saba’ )
Tidakkah engkau perhatikan mereka yang mempertuhankan nafsu mereka? Maka apakah engkau boleh jadi pemelihara atas mereka? ( Ayat 43 : Surah al-Furqaan )

Selain yang dinyatakan di atas al-Quran juga menceritakan beberapa perkara yang boleh menggelincirkan manusia kepada syirik.Katakanlah: “Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu, harta yang kamu dapati, perniagaan yang kamu takut akan mundur dan tempat kediaman yang kamu sukai, lebih tercinta kepada kamu daripada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad pada jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan ketentuan-Nya. Dan Allah itu tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang fasik”. ( Ayat 24 : Surah at-Taubah )

 Syirik adalah kezaliman yang paling besar boleh dilakukan oleh seseorang kepada dirinya sendiri, bukan kepada Tuhan. Tuhan tidak cedera lantaran manusia berbuat syirik dan tidak beruntung Tuhan jika manusia berbakti kepada-Nya. Apa yang manusia lakukan memberi keuntungan atau kerugian kepada dirinya sendiri, bukan kepada Tuhan. Syirik adalah kerugian manusia yang paling besar kerana Allah s.w.t sangat tegas menghadapi orang yang berbuat syirik. Oleh itu tugas seseorang Muslim adalah menghapuskan syirik pada dirinya dan juga pada saudara-saudara Muslimnya yang lain. Tugas utama penguasa Muslim dan ulama Muslim juga demikian. Syirik adalah musuh utama umat manusia. Di dalam berjihad menentang kemusyrikan kaum Muslimin mestilah bersatu sekalipun mereka tidak boleh bersatu dalam bidang yang lain.

 Selain syirik, syariat juga menekankan soal perbuatan munkar. Kerosakan akidah dinamakan syirik dan kerosakan akhlak dinamakan perbuatan munkar. Dalam soal kemunkaran, rujukannya secara umum adalah fitrah kemanusiaan, nilai-nilai murni kemanusiaan yang dipersetujui oleh syarak. Fitrah kemanusiaan yang sejati sangat hampir dengan fitrah Muslim, tetapi jarang yang sampai kepada tahap kesedaran fitrah yang sejati kerana bakat fitrah mereka dihijab oleh kemampuan berfikir yang terhad, pengaruh pendidikan, pengalaman dan sebagainya. Sekalipun manusia boleh sampai kepada tahap kesedaran fitrah yang sejati namun, ia belum boleh dikatakan fitrah Muslim kerana ia tidak berkeupayaan menyingkap tentang Tuhan. Ia mesti tunduk kepada perkhabaran yang datang daripada Tuhan baharulah fitrah kemanusiaan yang sejati itu beroleh kedudukan sebagai fitrah Muslim. Fitrah kemanusiaan yang sejati hanya memerlukan iman untuk menjadikannya fitrah Muslim.

 Nilai-nilai murni kemanusiaan yang disertai iman menjadi rujukan dalam menentukan sesuatu perkara itu munkar atau tidak. Perbuatan munkar adalah perbuatan yang menyalahi akhlak Muslim. Perbuatan yang sesuai dengan akhlak Muslim dan dilakukan dengan disertai iman, dinamakan perbuatan makruf. Perbuatan makruf termasuk dalam kategori amal salih. Amal yang tidak salih itulah yang munkar.

 Amal yang tidak salih secara automatiknya adalah amal yang munkar, tetapi amal yang pada zahirnya kelihatan salih belum tentu ianya salih. Ia hanya menjadi salih jika ia disertai oleh iman. Tidak ada amal salih tanpa iman. Sebab itulah sistem yang digubal oleh cerdik pandai bukan Islam, walaupun sesuai dengan nilai-nilai murni kemanusiaan, jika diambil bulat-bulat ia tidak mampu melahirkan amal salih kerana tidak ada dasar iman padanya. Itulah punca kegagalan badan dunia menyebarkan perkara makruf dan mencegah yang munkar. Umat Islam sendiri jika menggubal sistem yang tidak berlandaskan iman akan menemui kegagalan yang serupa. Kemunkaran hanya boleh dihancurkan oleh kekuatan iman.

 Fitrah kemanusiaan yang tidak disertakan iman tidak dapat melihat rasional di sebalik kebanyakan peraturan syariat, terutamanya dalam bidang penghakiman dan penghukuman terhadap orang yang melakukan jenayah. Penghukuman menurut syarak biasanya dipandang sebagai keterlaluan, di luar peri kemanusiaan. Fitrah kemanusiaan hanya memandang kepada sekop kehidupan dunia sahaja, sedangkan syarak mengenakan hukuman yang berat di dalam dunia bagi menyelamatkan pesalah daripada hukuman berat di akhirat. Syarak melihat dunia sebagai kehidupan yang sangat singkat sementara akhirat adalah kehidupan yang abadi. Menderita dalam tempuh yang singkat lebih baik daripada menderita berkekalan. Tuhan tidak suka menghukum hamba-Nya dua kali. Hamba-Nya yang telah menjalani hukuman menurut syarak tidak perlu lagi dihukum di akhirat. Atas dasar inilah hukuman menurut syarak dipandang berat menurut nilai kemanusiaan sejagat.

 Syariat memberi penumpuan kepada penyucian akidah dan akhlak. Akidah yang bersih daripada syirik menjadi dasar syariat. Akhlak yang mulia menjadi pengapit kepada akidah yang benar. Apabila dua perkara ini sudah teguh baharulah perkara-perkara lain boleh berdiri dengan tegap. Selama tiga belas tahun berdakwah di Makkah Nabi Muhammad s.a.w menumpukan soal akidah dan akhlak. Bidang syariat yang lain banyak dipraktikkan setelah baginda s.a.w berhijrah ke Madinah.

 Bidang syariat yang paling penting adalah pengajaran tentang Tuhan dan pengabdian kepada-Nya. Syariat mengajarkan bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Esa. Dia adalah pergantungan sekalian makhluk, tidak ada makhluk yang merdeka daripada-Nya. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Tidak ada sesiapa boleh mendakwakan bahawa dirinya adalah sebahagian daripada Tuhan. Dia tidak serupa dengan sesuatu dan Dia Mendengar serta Melihat. Dia menguasai seluruh alam maya. Syariat memperkenalkan Tuhan dalam dua aspek penting. Dalam aspek pertama syariat menceritakan bahawa Tuhan adalah Maha Kaya dari seluruh alam. Tuhan tidak memerlukan apa-apa daripada sesiapa pun. Tuhan tidak bergantung kepada sesuatu. Tuhan tidak ditanya tentang apa yang Dia lakukan tetapi makhluk ditanya tentang apa yang mereka perbuat. Syariat juga mengajarkan bahawa jika manusia bersyukur maka kebaikan syukur itu pergi kepadanya, bukan kepada Tuhan. Jika manusia kufur ia memudaratkan diri manusia sendiri, tidak menjejaskan ketuhanan Allah s.w.t. Dalam aspek kedua syariat memperkenalkan Tuhan sebagai pergantungan sekalian makhluk, Dia melakukan apa yang Dia kehendaki kepada makhluk-Nya. Dia meletakkan ketentuan kepada setiap yang Dia ciptakan. Semua makhluk tidak berupaya mengubah ketentuan yang telah Tuhan tetapkan pada azali. Semua makhluk tunduk patuh kepada ketentuan-Nya. Gabungan dua aspek tersebut menceritakan bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Kaya dari segala sesuatu, tidak berkehendakkan apa-apa pun daripada sesiapa pun, tetapi sekalian makhluk bergantung, berhajat dan berkehendak kepada-Nya. Begitulah dasar akidah seorang Muslim yang disimpulkan dengan kalimah:Bagi menghuraikan dasar akidah tersebut diadakan pengajian sifat dua puluh. Sifat dua puluh dan apa jua sifat yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t, termasuklah nama-nama-Nya, tertakluk kepada dasar: Makrifat melalui syariat diperolehi dengan iman bukan dengan hujah dan dalil. Hujah dan dalil berguna bagi orang cenderung menggunakan akal fikiran. Akal fikiran mempunyai had kemampuannya. Apabila sampai kepada had kemampuannya akal terpaksa tunduk, menyerah sepenuhnya kepada perkhabaran yang dibawa oleh syariat. Baharulah akal itu menjadi Muslim. Makrifat secara syariat juga menjadi permulaan  setelah berakhirnya makrifat secara kasyaf dan pengalaman kerohanian. Kasyaf membawa seseorang kepada suasana kehairanan menemui kenyataan bahawa Tuhan melampaui segala perkenalan. Ahli kasyaf pun tunduk, menyerah kepada perkhabaran yang terdapat dalam syariat. Baharulah hati yang mengalami kasyaf benar-benar menjadi Muslim.

 Apa juga jalan yang diikuti, permulaan jalan adalah syariat dan penghujung jalan juga syariat, baharulah perjalanan itu menjadi bulatan yang lengkap. Syariat yang ditemui pada permulaan jalan adalah syariat secara umum, dipegang oleh orang awam. Syariat pada akhir perjalanan adalah syariat khusus dan lengkap, dipegang oleh orang arif. Apa juga tarekat yang dijalani sekiranya tidak ditemui syariat pada akhir perjalanannya, maka tarekat tersebut tidak mencapai Kebenaran Hakiki. Sekiranya sesuatu tarekat itu membawa seseorang kepada penafian terhadap syariat, sekiranya ahli tarekat itu mempunyai kesedaran, wajiblah dia berundur daripada jalan yang dilaluinya itu.

 Selain menyampaikan pengetahuan tentang Tuhan, syariat juga mengajarkan cara-cara melakukan ibadat dan pengabdian kepada Tuhan. Hanya ibadat yang dilakukan menurut peraturan syariat sahaja diterima oleh Tuhan sebagai ibadat. Misalnya, syariat menentukan syarat dan rukun sembahyang. Tidak menepati syarat dan tidak menyempurnakan rukun tidak dinamakan sembahyang. Akal dan kasyaf tidak akan menemui cara yang betul bagi menyembah Tuhan. Hanya syariat, semata-mata syariat mengajarkan cara pengabdian yang sebenarnya terhadap Allah s.w.t.

 Syariat juga menyampaikan perkhabaran tentang malaikat dan Nabi-nabi. Malaikat dikenali dengan mengetahui asal kejadiannya daripada nur yang murni yang berbeza daripada cahaya matahari atau sebarang cahaya yang diketahui oleh manusia. Perlu juga diketahui beberapa malaikat yang menjadi pemimpin kepada malaikat-malaikat sekaliannya. Mengenali Nabi pula adalah dengan mempelajari sejarah perjalanan mereka, tahu keturunan mereka dan tahu pula siapakah di antara mereka yang menerima kitab dan suhuf serta tahu kitab-kitab tersebut. Pengetahuan tentang perjalanan Nabi-nabi bagi meningkatkan kedudukan kerohanian dalam melaksanakan tuntutan syariat. Seterusnya syariat mengajarkan manusia tentang akhirat. Matlamat utama manusia adalah akhirat dan dunia menjadi jalan kepada akhirat. Di samping mencari kesejahteraan hidup di dunia manusia lebih dituntut mencari keselamatan di akhirat. Kehidupan dunia hanyalah sementara dan kehidupan akhirat berkekalan, tanpa kesudahan. syariat juga mengajar manusia supaya mengakui kelemahan mereka. Oleh yang demikian mereka dikehendaki beriman kepada Qadak dan Qadar. Keyakinan kepada akhirat menggerakkan manusia supaya rajin beramal. Keyakinan kepada Qadak dan Qadar memimpin manusia menjadi hamba yang tunduk kepada ketuhanan Allah s.w.t. Apa yang diajar oleh syariat membentuk sifat aslim iaitu berserah diri kepada Tuhan. Orang Islam yang bersifat aslim itulah yang benar-benar tunduk, patuh dan melaksanakan hukum Tuhan sebagaimana layaknya dibuat oleh seorang hamba yang merdeka.

 Orang yang melalui jalan syariat akan berjaya apabila sampai kepada makam mukmin. Allah s.w.t berfirman:Sesungguhnya Allah akan membeli orang-orang mukmin, dirinya dan hartanya dengan syurga, iaitu mereka yang berjihad pada jalan Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh, sebagai satu perjanjian yang benar di tentang itu (yang tersebut) dalam Taurat dan Injil dan Quran; kerana bukankah tidak ada yang sempurnakan janjinya lebih daripada Allah? Lantaran itu bergembiralah dengan perjanjian kamu yang kamu janjikan kepada-Nya, kerana yang demikian adalah kebahagiaan yang besar. ( Ayat 111 : Surah at-Taubah )

 Orang yang mencapai darjat mukmin ada harga pada sisi Allah s.w.t hinggakan Dia sanggup membeli mereka dengan harga syurga, harta yang paling tinggi nilainya dalam seluruh alam makhluk. Tidak ada keraguan lagi kedudukan mereka sebagai ahli syurga. Makam yang di bawah daripada makam mukmin ada dua. Pertama adalah mereka yang dijamin sebagai ahli neraka. Kedua adalah mereka yang mungkin ke syurga atau mungkin ke neraka, hanya belas kasihan Tuhan yang boleh menyelamatkan mereka. Ketika hayat masih ada ujilah diri sendiri apakah sudah mencapai taraf mukmin atau belum. Alat pengujinya adalah firman Allah s.w.t:Orang-orang mukmin apabila diperingatkan dengan Allah nescaya gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya menambahkan bagi mereka keimanan; dan kepada Tuhan mereka berserah diri. (Iaitu) orang yang mendirikan sembahyang dan membelanjakan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka. ( Ayat 2 & 3 : Surah al-Anfaal )

Jika tanda yang tersebut di atas tidak ada waspadalah! Mungkin neraka menunggu di akhir perjalanan hidup di dunia ini. Mulalah bekerja untuk menyelamatkan diri dengan berniaga dengan Allah s.w.t, menjualkan diri kepadanya dengan cara berjihad pada jalan-Nya. Mudah-mudahan Tuhan sudi membeli.

 Kejayaan bagi mereka yang berjihad pada jalan Allah s.w.t adalah mereka dikurniakan petunjuk dengan nur tawajjuh yang berperanan memalingkan hati kepada Allah s.w.t dan membentenginya daripada apa yang cuba memesungkannya. Orang yang dikurniakan nur tawajjuh dinamakan orang salih yang berpegang teguh dengan syariat Allah s.w.t. nur tawajjuh membuat mereka berasa damai dan tenang serta bertambah kehampiran dengan Allah s.w.t. Mereka tidak berasa berat untuk melakukan ibadat walau berapa banyak sekalipun kerana semakin banyak mereka beribadat semakin mereka memperolehi taqarrub (mendekat dan menghadap Allah s.w.t) dan semakin mereka berasa lazat beribadat. Orang salih adalah ahli syariat yang memakai pakaian warak dan berjalan dengan nur tawajjuh.

http://alhakiki.tripod.com/hakiki020.html

KAMI DATANG DARI ALLAH, KEPADA ALLAH KAMI KEMBALI

Apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan kepadanya daripada Roh-Ku ……
( Ayat 72 : Surah Saad )

 Roh diumpamakan sebagai tubuh. Keupayaan yang menghidupkan roh dipanggil nyawa. Apabila ia hidup ia mempunyai keupayaan untuk melahirkan berbagai-bagai bakat. Keupayaan yang melahirkan kehendak dinamakan nafsu. Keupayaan untuk melahirkan pengetahuan dinamakan akal. Roh yang satu boleh dilihat melalui empat aspek. Aspek roh yang melahirkan bakat-bakat seperti mendengar, melihat dan lain-lain dinamakan roh juga. Aspek roh yang melahirkan kehendak dinamakan nafsu. Aspek roh yang melahirkan pengetahuan dinamakan akal. Aspek roh yang melahirkan kehidupan dinamakan nyawa.

 Tuhan mengajar manusia mengenali-Nya melalui sifat atau nilai yang ada dengan manusia sendiri walaupun sifat manusia bukan sifat Tuhan. Dalam persoalan roh, aspek roh yang menghasilkan bakat-bakat dikaitkan dengan sifat Kudrat. Nafsu pula dikaitkan dengan sifat Iradat. Akal dikaitkan dengan sifat Ilmu. Nyawa dikaitkan dengan sifat Hayat.

 Kudrat Allah s.w.t yang memberikan keupayaan kepada roh. Roh berperanan membekalkan bakat-bakat, keupayaan serta tenaga. Kebolehan mendengar, melihat, berkata-kata, bergerak dan lain-lain adalah merupakan pekerjaan roh. Roh mempastikan setiap bakat itu pergi kepada alat atau pancaindera yang sesuai dengannya. Roh menghantarkan bakat melihat kepada mata, mendengar kepada telinga, berkata-kata kepada lidah dan bakat-bakat lain dihantar kepada pancaindera yang sesuai untuk masing-masingnya. Roh dikaitkan dengan urusan Allah s.w.t. Sebab itu  pekerjaan roh adalah tepat dan sempurna. Roh tidak membuat silap, seperti meletakkan bakat melihat kepada kaki atau bakat mendengar kepada lutut. Dalam syariat roh diistilahkan sebagai malaikat. Malaikat yang menjaga matahari, bulan, bintang dan planet-planet lainnya akan mengheret masing-masing itu pada falak yang telah ditentukan oleh Tuhan dan maklumatnya telah dibekalkan kepada malaikat atau roh masing-masing. Malaikat menjalankan perintah Tuhan dengan tepat, tanpa kegoncangan yang datang daripada nafsu dan akal. Roh atau malaikat secara semulajadinya mempunyai sifat hanya mentaati perintah Allah s.w.t tanpa berfikir atau memilih. Malaikat angin yang diperintahkan Allah s.w.t supaya membinasakan sesebuah negeri akan berbuat demikian tanpa kasihan belas walaupun anak dipisahkan daripada ibu bapa, isteri dipisahkan daripada suami dan banyak nyawa terkorban serta harta benda yang rosak. Malaikat atau roh yang menghantar bakat melihat kepada mata akan terus berbuat demikian walaupun mata itu digunakan untuk melihat sesuatu yang dimurkai Allah s.w.t, melainkan jika Allah s.w.t memerintahkannya memberhentikan penghantaran bakat tersebut. Jadi, roh pada aspek bakat-bakat adalah serupa dengan malaikat yang menjalankan tugas tanpa rangsangan nafsu dan pertimbangan akal.

 Pada roh yang ditentukan untuk manusia ada aspek yang dipanggil nafsu. Nafsu menjadi faktor yang membezakan manusia dengan malaikat. Nafsu melahirkan kemahuan, perasaan, timbang rasa dan seumpamanya. Nilai-nilai yang ada pada nafsu mempengaruhi haluan roh menggunakan bakat-bakatnya. Jika tidak ada pengaruh nafsu, roh akan hanya menggunakan bakat-bakatnya untuk perkara-perkara kebaikan yang diredai Allah s.w.t. Peranan nafsu menyebabkan bakat roh boleh digunakan untuk kebaikan atau kejahatan berdasarkan nilai-nilai yang menguasai nafsu. Tabiat nafsu yang berbagai-bagai menyebabkan ia dikenali dengan berbagai-bagai nama, berdasarkan kadar kebaikan atau kejahatan yang menjadi tabiat nafsu itu. Pada tahap nafsu bertabiat paling buruk ia dikenali sebagai nafsu ammarah. Pada tahap ia berkemampuan membezakan yang baik daripada yang buruk ia dinamakan nafsu lawwamah. Pada peringkat nafsu lawwamah, mengenali dan mengakui keburukan tidak menghilangkan sepenuhnya tabiat buruk itu daripada nafsu. Apabila tabiat buruk itu sudah hilang sepenuhnya daripada nafsu ia dinamakan nafsu mulhamah. Nafsu mulhamah, walaupun sudah tidak memiliki tabiat buruk tetapi ia masih belum menetap dan boleh kembali dipengaruhi oleh tabiat buruk. Jika ia sudah menetap, teguh dan tabiat buruk tidak sampai kepadanya lagi, ia dinamakan nafsu muthmainnah. Nafsu yang berada dalam suasana muthmainnah merupakan nafsu yang diredai Allah s.w.t dan dijamin syurga untuknya. Nafsu yang bertaraf ahli syurga ini akan mengarahkan bakat-bakat roh kepada perkara-perkara kebaikan sahaja.

 Aspek roh yang berkait rapat dengan keupayaan membuat pilihan, selain nafsu, adalah akal. Jika nafsu menjadi pembeza di antara manusia dengan malaikat, akal pula menjadi pembeza di antara manusia dengan haiwan. Akal memiliki keupayaan untuk berfikir, mengingat, menimbang, berangan-angan dan seumpamanya. Bakat akal yang demikian berpusat pada otak. Ia berguna bagi menguruskan perkara-perkara lahiriah seperti bidang sains dan teknologi, sosial dan lain-lain bidang kehidupan. Akal jenis ini mampu bergerak dalam sekop fitrah kemanusiaan tetapi tidak berupaya melonjak kepada fitrah Muslim kerana ia lemah dalam perkara yang berkaitan dengan ketuhanan. Akal yang berpusat pada otak disempadani oleh logik sedangkan Tuhan tidak ada sempadan.

 Bakat-bakat roh, nafsu dan akal boleh dibahagikan kepada dua kategori. Kategori pertama adalah kemanusiaan dan yang keduanya kehambaan kepada Tuhan. Bakat-bakat roh, nafsu dan akal yang berfungsi memenuhi keperluan hidup manusia secara lahiriah dinamakan kemanusiaan. Bakat yang digunakan untuk beribadat kepada Allah s.w.t dan berbuat bakti kepada makhluk Allah s.w.t kerana-Nya dinamakan kehambaan (ubudiah). Akal yang berpusat pada otak adalah akal kemanusiaan. Ia tidak mampu menghayati kebesaran, keagungan dan kebijaksanaan Allah s.w.t. Akal yang berguna bagi pengajian tentang ketuhanan adalah akal yang berhubung dengan hati nurani, yang bersuluhkan cahaya petunjuk Tuhan.Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau satu roh dari urusan Kami. Padahal (jika tidak demikian) tidaklah engkau tahu apa itu kitab dan apa itu iman. Kami jadikan ia nur yang Kami beri petunjuk kepada barangsiapa yang Kami kehendaki daripada hamba-hamba Kami.
( Ayat 52 & 53 : Surah asy-Syura )

 Aspek bakat-bakat roh, nafsu dan akal yang ada perkaitan dengan roh urusan Tuhan itulah yang mampu menyatakan kehambaan kepada Tuhan. Nur atau cahaya roh urusan Tuhan menjadikan alam ghaib terang benderang sehingga bakat-bakat roh boleh melakukan ibadat kepada Allah s.w.t, nafsu boleh mengasihi Allah s.w.t dan akal pula dapat merenungi bidang ghaib sehingga mendapat pengetahuan tentang Tuhan.

 Roh dengan bakat-bakatnya, nafsunya dan akalnya tidak boleh berfungsi jika tidak ada penghidupan atau nyawa. Allah Yang Maha Hidup mengurniakan penghidupan kepada roh urusan-Nya dan roh urusan Tuhan menggerakkan Roh Insan untuk hidup. Penghidupan atau nyawa roh itu, yang juga diistilah sebagai roh, bukanlah Hayat Allah s.w.t. Allah s.w.t memiliki Hayat yang Mutlak sebab itu Dia berkuasa menciptakan penghidupan atau nyawa yang tidak Mutlak untuk makhluk-Nya. Nyawa Insan (roh) hanyalah makhluk ciptaan Allah s.w.t bukan sifat Hayat Allah s.w.t. Walaupun begitu kejadian roh (nyawa) ini mengatasi segala kejadian yang lain kerana apa juga bentuk kewujudan hanya boleh berfungsi setelah digerakkan oleh nyawa. Nyawa (roh) yang istimewa ini adalah nyawa bagi roh, bukan nyawa bagi jasad. Ciptaan roh bernyawa (hidup) dikaitkan dengan tiupan Roh Allah s.w.t. Sebelum ada roh, tidak ada bakat-bakat, tidak ada malaikat. Sebelum ada nyawa tidak ada penghidupan. Dalam suasana tidak ada malaikat sebagai pemangkin atau penghijab dan tidak ada penghidupan sebagai penggerak, Tuhan menciptakan roh yang bernyawa. Roh itu menjadi bernyawa kerana tiupan Roh Allah s.w.t. Ciptaan roh bernyawa ini merupakan ciptaan secara langsung tanpa perantaraan malaikat. Pada ciptaan yang paling istimewa ini perantaraan hanyalah hijab ketuhanan atau sifat Tuhan. Roh bernyawa yang berhijabkan sifat Tuhan inilah yang diistilahkan sebagai tiupan Roh Allah s.w.t.

 Roh yang berhijabkan hijab ketuhanan itu merupakan ciptaan Tuhan yang paling murni, paling istimewa dan paling mulia. Setelah roh yang paling murni itu diciptakan ia berfungsi pula sebagai pemangkin atau penghijab kepada ciptaan-ciptaan Tuhan yang lain. Jadi, roh yang paling murni itu adalah ciptaan kelas pertama dan kejadian yang lain adalah ciptaan kelas kedua. Roh yang paling murni atau latif itu lebih murni daripada cahaya malaikat. Malaikat tidak berupaya menyaksikannya. Kedudukan roh yang paling latif itu satu tingkat lebih tinggi daripada tingkat terakhir yang dipijak oleh Jibrail pada malam Israk dan Mikraj. Walaupun Jibrail merupakan salah satu makhluk bangsa nur yang latif tetapi kelatifan nur Jibrail lebih rendah daripada kelatifan roh yang paling latif itu. Sebab itu Jibrail tidak dapat memasuki medan nur roh yang paling latif itu. Roh yang paling latif itu adalah roh Nabi Muhammad s.a.w atau biasanya di kalangan ahli tasauf dipanggil Roh Muhammad. Kelatifan roh baginda s.a.w itulah yang menjadi hijab melindungi baginda s.a.w melalui pergeseran alam ghaib, sehingga baginda s.a.w sampai kepada Arasy iaitu medan nur roh yang paling latif itu. Nabi Muhammad s.a.w kembali ke tempat asal roh baginda s.a.w, tempat yang tidak ada makhluk lain kecuali nur yang latif itu.

 Tuhan berkehendak mengadakan kenyataan kepada roh yang paling latif itu dan untuk itu Dia ciptakan jasad Adam a.s. Setelah jasad Adam a.s sempurna diciptakan, Tuhan ‘hubungkan’ roh yang paling latif itu dengan jasad tersebut. Hubungan itu menyebabkan Adam a.s menjadi hidup dengan mempunyai rohnya sendiri, yang ‘menumpang’ bakat kehidupan kepada roh yang latif. Walaupun jasad Adam a.s dijadikan daripada tanah tetapi rohnya berkait dengan roh yang paling latif, malah roh Adam a.s atau Roh Insan adalah bakat roh yang paling latif itu. Tidak putus hubungan roh individu dengan roh yang menjadi sumber kepada kewujudan roh-roh.

 Roh yang paling latif, roh Nabi Muhammad s.a.w, sumber kepada Roh-roh Insan, berkedudukan sebagai khalifah Allah s.w.t, utusan-Nya atau urusan-Nya yang melaksanakan perintah Allah s.w.t. Ia menyimpan segala maklumat mengenai segala yang Tuhan mahu ciptakan. Roh urusan Tuhan itulah yang bertugas dengan tepat memastikan apa yang Tuhan kehendaki itu terlaksana dengan tepat.Dan tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam.
( Ayat 107 : Surah al-Anbiyaa’ )

 Bakat kekhalifahan roh yang paling latif itu hanya menjadi kenyataan setelah Adam a.s diciptakan. Adam a.s dan keturunan beliau a.s menjadi bekas menterjemahkan bakat-bakat khalifah Allah s.w.t yang menjadi urusan Allah s.w.t. Roh Insan yang diterangi oleh roh yang paling latif, yang hanya dihijabkan oleh hijab ketuhanan, dibekalkan dengan kebolehan untuk mengalami suasana Hadrat Ilahi, merasai kehadiran Tuhan serta mengenali Tuhan dalam aspek yang ada hubungan dengan makhluk dan Tuhan dalam aspek yang melampaui segala bentuk perhubungan dengan makhluk. Roh Insan yang diterangi oleh roh yang paling latif mengenali Allah s.w.t secara tasybih dan tanzih. Hadrat Ilahi atau hakikat yang dialami oleh Roh Insan diistilahkan sebagai Rahsia-rahsia Allah s.w.t. Rahsia-rahsia Allah s.w.t yang dikurniakan kepada Roh Insan tidak diketahui oleh makhluk yang lain. Oleh yang demikian makhluk yang lain mesti akur dengan kedudukan insan sebagai khalifah Allah s.w.t. Oleh kerana Adam a.s yang menyatakan kekhalifahan itu maka sekalian makhluk mesti akur dengan kedudukan Adam a.s sebagai ciptaan Tuhan yang menanggung Rahsia Allah s.w.t yang paling mulia. Sekalian makhluk mesti tunjukkan bukti penerimaan tersebut dengan cara sujud menghormati Adam a.s.

 Intipati kepada roh adalah aspeknya yang melahirkan penghidupan, yang diistilahkan sebagai nyawa, seumpama air yang mengalir kepada seluruh tubuh, menggerakkan semua bakat-bakat. Atas dasar perkaitan roh dengan jasad, aspek nyawa itu dinamakan Nyawa Insan. Ada juga yang menamakannya Insan Batin. Ada juga yang memanggilnya Insan Rahsia Allah s.w.t, bagi menggambarkan hubungannya dengan Hadrat Ilahi (Rahsia Allah s.w.t). Selain itu ada pula yang memanggilnya diri yang sebenarnya. Oleh kerana kedudukan hubungannya dengan Hadrat Tuhan maka dialah yang benar-benar bertaraf hamba Tuhan, yang tahu melakukan kehambaan kepada Tuhan sebagaimana yang Tuhan kehendaki. Jika dia berhenti bekerja maka semua bakat-bakat akan berhenti berfungsi. Jika dia menyembah Allah s.w.t maka semua bakat-bakat menyembah Allah s.w.t.

 Roh mempunyai keupayaan untuk menghidupkan jasad dan menggerakkan bakat-bakat yang ada pada jasad. Kesan daripada tindakan roh, jasad menjadi hidup dan keupayaan yang menghidupkan jasad itu dinamakan nyawa bagi jasad. Nyawa yang menghidupkan jasad ini biasanya dipanggil Roh Haiwani. Roh yang menggerakkan Roh Haiwani itu dinamakan Roh Insani. Roh Haiwani menghidupkan jasad. Roh Insani pula memperolehi kehidupan daripada Insan Sirullah (Insan Rahsia Allah s.w.t). Apabila Roh Insani berhenti ‘membekalkan’ Roh Haiwani, jasad akan mengalami kematian, tetapi Roh Insan tidak mati walaupun jasad sudah mati. Oleh sebab itu kematian jasad tidak menyelamatkan manusia daripada soal-jawab di dalam alam kubur. Alam kubur merupakan salah satu daripada pintu syurga atau pun pintu neraka. Insan yang hidup di dalam kubur akan memandang kepada salah satu tempat kesudahannya, sama ada syurga atau neraka. Wap bahagia atau celaka sudah dapat dirasakan oleh ahli syurga sekalipun kiamat belum berlaku.
 Roh Haiwani atau nyawa kepada jasad bekerja melalui pernafasan, iaitu udara yang keluar masuk melalui hidung dan mulut dan juga aktiviti turun naik di dalam jantung yang mengalirkan darah ke seluruh tubuh. Roh Haiwani dan aktiviti jasad berkait rapat. Jika pengaliran udara ke dalam jasad ditahan atau aktiviti jantung diberhentikan, Roh Haiwani tidak berupaya lagi menghidupkan jasad. Jadi, nyawa jasad dan jasad saling bergantungan, saling perlu memerlukan. Tubuh yang sihat dengan jangka hayat nyawa jasad ada kaitan.

 Kesatuan bakat-bakat roh, nafsu, akal dan nyawa dinamakan rohani atau hati nurani yang bertaraf hamba Tuhan yang sebenarnya. Dalam keadaan yang asli, tanpa pengaruh alam jasad dan alam benda, rohani berkedudukan sebagai insan yang sempurna. Rohani dikuasai oleh sifat Wahdaniah, iaitu rohani menyaksikan keesaan Allah s.w.t, tidak menyengutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Kecenderungan rohani hanya satu iaitu melakukan ubudiah atau kehambaan kepada Allah s.w.t.Dan (ingatlah) tatkala Tuhan engkau mengambil dari anak-cucu Adam dari tulang-tulang punggung mereka, dan Dia jadikan mereka saksi atas diri mereka sendiri: “Bukankah Aku Tuhan engkau?” Semua menjawab: “Memang, kami menyaksikan”. Supaya jangan kamu berkata di hari kiamat: “Sesungguhnya kami lalai dari ini”. Atau supaya tidak kamu katakan: “Yang musyrik itu hanyalah bapa-bapa kami yang dahulu sedangkan kami ini hanyalah keturunan sesudah mereka. Maka apakah Engkau akan membinasakan kami lantaran apa yang dikerjakan oleh orang-orang yang berbuat salah?” Dan demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat itu supaya mereka kembali. ( Ayat 172 – 174 : Surah al-A’raaf )

 Sebelum bercantum dengan jasad semua keturunan Adam yang masih dalam keadaan rohani yang suci murni, yang menyaksikan keesaan Tuhan, telah dihadapkan oleh Tuhan dengan ikrar ubudiah (kehambaan). Sekalian mereka menyaksikan dan memperakui ketuhanan Allah s.w.t. Rohani menyaksikan yang demikian kerana mereka bermakrifat tentang keesaan Allah s.w.t dan ketuhanan-Nya. Rohani yang telah bermakrifat tentang Allah s.w.t itulah diri manusia yang sebenarnya, sementara jasad adalah alat baginya membuktikan kehambaannya kepada Tuhan. Oleh yang demikian mereka tidak ada alasan kelak untuk mengatakan bahawa mereka tidak diberi pengetahuan tentang Tuhan. Mereka juga tidak boleh memberi alasan menurut hukum lahiriah yang berhubung dengan pertalian jasad dengan mengatakan mereka menjadi musyrik kerana ibu bapa mereka musyrik. Sebelum ada kaitan dengan jasad menurut nasab keturunan, manusia yang sebenar (rohani) sudah mendapat keterangan yang jelas tentang Tuhan. Tuhan kurniakan jasad kepada manusia rohani supaya mereka membuktikan kebenaran ikrar kehambaan yang mereka telah buat dengan Tuhan.

 Manusia rohani berkewajipan mencari jalan kembali ketika mereka masih mengenderai jasad kerana jasad itu nanti yang akan menjadi saksi ke atas mereka. Manusia rohani ‘masuk’ ke alam jasad untuk melakukan pekerjaan yang diamanahkan oleh Tuhan. Pekerjaan itu adalah menjadi khalifah, mentadbir kehidupan berjasad menurut perintah dan peraturan Tuhan. Apabila dikeluarkan daripada alam jasad habislah tempuh yang dibenarkan untuk bekerja. Datanglah tempuh perkiraan dan pemberian ganjaran atau hukuman.

 Percantuman rohani dengan jasad menyebabkan manusia mempunyai dua jenis diri. Jasad dinamakan diri zahir dan rohani dinamakan Diri Batin. Diri zahir menjadi sarang atau bekas kepada Diri Batin. Jasad yang pada mulanya berkedudukan sebagai mayat bertukar menjadi hidup dan mempunyai nilai-nilai kehidupan setelah ia bercantum dengan diri rohani. Diri rohani pula yang pada mulanya tidak dapat mempamerkan bakat-bakat dan nilai-nilai yang ada padanya, telah boleh menjadi nyata dan mempamerkan apa yang ada dengannya. Percantuman dengan Diri Batin melahirkan pada diri zahir nyawanya, bakat-bakatnya, nafsunya dan akalnya. Alam diri zahir adalah jasadnya dan alam kebendaan yang nyata. Diri zahir berkehendakkan apa yang menggembirakan jasadnya daripada benda-benda dan perkara-perkara yang nyata. Diri zahir juga menggunakan akalnya pada perkara yang nyata. Nafsu dan akal diri zahir akan mengarahkan segala bakat dan kekuatannya kepada benda dan perkara yang zahir. Tidak ada keinginannya untuk melakukan ibadat kepada Allah s.w.t dan melakukan kebaktian kepada-Nya. Tidak lahir pengetahuannya tentang Tuhan. Tidak ada kasih sayangnya kepada Tuhan. Tidak ada renungannya kepada kebesaran dan kebijaksanaan Tuhan. Segala-gala yang pada diri zahir adalah yang zahir juga. Tidak ada urusan kehambaan kepada Tuhan pada diri zahir. Keadaan diri zahir adalah matanya tertutup daripada melihat kepada sesuatu tentang Tuhan, telinganya tuli daripada mendengar peringatan kepada Tuhan, mulutnya terkunci daripada bercakap tentang Tuhan dan bakat-bakat anggotanya terikat daripada melakukan kehambaan kepada Allah s.w.t.

 Diri Batin atau manusia rohani berkewajipan membuka tutupan daripada mata diri zahir agar ia boleh melihat sesuatu tentang Tuhan, membuka penyumbat telinganya agar ia boleh mendengar sesuatu tentang Tuhan, membuka kunci mulutnya agar ia boleh bercakap sesuatu tentang Tuhan dan membuka ikatan anggotanya agar ia boleh melakukan sesuatu kerana Tuhan. Pekerjaan manusia rohani sangat berat. Manusia zahir menjadi ujian bagi manusia rohani. Kebanyakan manusia rohani tertarik kepada keelokan manusia zahir dan ghairah dengan kepuasan yang dinikmati oleh manusia zahir. Manusia rohani yang sepatutnya menjadi khalifah kepada manusia zahir telah berubah menjadi alatnya.

 Adam a.s merupakan manusia zahir yang pertama ‘bersanding’ dengan manusia rohani. Tugas Adam a.s adalah meramaikan manusia-manusia zahir kerana ramai manusia-manusia rohani mahu menyatakan diri mereka. Adam a.s diciptakan daripada anasir tanah yang asli.
Sesungguhnya Aku hendak jadikan manusia daripada tanah. ( Ayat 71 : Surah Saad )

 Ciptaan pertama yang daripada tanah itu diberikan keupayaan untuk melahirkan keturunan. Keturunan Adam a.s membiak melalui percantuman unsur bapa dengan unsur ibu. Kedua-dua unsur tersebut bercantum di dalam perut ibu dalam suasana yang diuruskan oleh Tuhan yang dinamakan ‘rahim’. Rahim ini dinisbahkan kepada nama Tuhan ar-Rahim, Yang Pengasih dan Penyayang. Cantuman unsur ibu dengan unsur bapa, setelah melalui beberapa proses, akhirnya membentuk satu bentuk kewujudan yang bernama manusia zahir. Apabila manusia zahir sudah berumur di antara 120 hingga 145 hari, manusia zahir yang di dalam perut ibu itu ‘dikahwinkan’ dengan manusia rohani oleh urusan Tuhan yang bernama ar-Rahim itu. Apabila menjangkau usia sembilan bulan sepuluh hari, manusia yang sudah bercantum unsur zahir dengan unsur rohani dan telah dicelup di dalam kilang pencelupan ar-Rahim, melunsur keluar dari alam kandungan ibu kepada alam dunia. Manusia masuk ke dunia, setelah menerima pencelupan daripada ar-Rahim, membawa bekal sesuatu yang sangat murni, sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah”.

 Percantuman dengan manusia zahir, terikat dengan darah, daging dan tubuh seluruhnya, diselimuti pula oleh hijab yang tebal, iaitu dunia, menyebabkan manusia rohani lupa kepada asal usulnya dan lupa kepada ikrar yang telah dibuatnya dengan Tuhan. Pengetahuannya tentang Tuhan juga tertutup. Mereka lupa kepada jalan kembali ke tempat asal mereka. Walaupun lupa tetapi benih fitrah masih tersembunyi di dalam ‘bumi’nya. Tuhan Yang Maha Penyayang, Maha Pengampun menghantarkan Kitab-kitab Suci dan Rasul-rasul untuk ‘menyiramkan’ fitrah suci itu agar ia tumbuh dan keluar dari bumi yang gelap gelita untuk menyaksikan kebenaran yang sudah ada dengannya.Dan sesungguhnya telah Kami utuskan Musa dengan ayat-ayat Kami: “Bahawa engkau keluarkan kaum engkau dari gelap gelita kepada terang benderang, dan peringatkanlah mereka dengan hari-hari Allah”. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah tanda-tanda bagi tiap-tiap orang yang sabar dan bersyukur. ( Ayat 5 : Surah Ibrahim )

 Rasul-rasul memberi peringatan kepada manusia rohani tentang hari-hari Allah s.w.t, iaitu suasana asal mereka yang mengenal Tuhan dan mengabdikan diri kepada Tuhan, disaksikan oleh ikrar mereka sendiri.Katakanlah: “Inilah jalanku, yang aku dan orang-orang yang mengikuti daku seru (manusia) kepada Allah dengan basirah (pandangan yang jelas). Dan Maha Suci Allah! Dan bukanlah aku ini dari golongan orang musyrikin”. ( Ayat 108 : Surah Yusuf )

Rasul-rasul, Nabi-nabi dan orang yang mewarisi mereka melihat kebenaran dengan basirah, iaitu mata rohani mereka. Basirah menyaksikan yang benar sebagaimana yang telah disaksikan oleh rohani sebelum berkahwin dengan jasad. Basirah dapat menembusi benteng jasad dan dunia untuk melihat kepada jalan yang terbentang luas menuju Tuhan. Semua ilmu dalam dunia ini tidak berupaya mendatangkan basirah. Ilmu membuat kapal angkasa, ilmu membuat komputer, ilmu membina bangunan yang tinggi-tinggi, ilmu kedoktoran dan lain-lain ilmu dalam dunia tidak berupaya menghasilkan basirah, tidak mampu melihat kepada hakikat ketuhanan. Seseorang memerlukan ilmu yang datangnya dari alam ghaib yang tersembunyi, ilmu yang lahir daripada kesedaran terhadap Tuhan.Dia turunkan Roh dari urusan-Nya kepada siapa yang Dia kehendaki daripada hamba-hamba-Nya untuk memberi peringatan tentang hari pertemuan. ( Ayat 15 : Surah al-Mu’min )Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau satu Roh dari urusan Kami. Padahal (jika tidak demikian) tidaklah engkau tahu apa itu Kitab dan apa itu Iman. Kami jadikan ia nur yang Kami beri petunjuk kepada barangsiapa yang Kami kehendaki daripada hamba-hamba Kami.
( Ayat 52 & 53 : Surah asy-Syura )Maka mereka dapati seorang hamba di antara hamba-hamba Kami yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami dan telah Kami ajarkan kepadanya yang langsung dari Kami.
( Ayat 65 : Surah al-Kahfi )

 Orang yang mahu mencari jalan pulang perlu kepada bimbingan orang yang sudah ada basirah, iaitu orang yang hampir dengan Allah s.w.t dan berupaya menyaksikan kemutlakan atau mengalami suasana Hadrat Ilahi. Orang yang demikian berkedudukan sebagai khalifah kerohanian. Bergabung dan mendapat bimbingan khalifah kerohanian perlu bagi mencari jalan pulang. Pengembara pada jalan ini semakin berkurangan dan pembimbing pada jalan tersebut lebih berkurangan lagi. Pada satu masa nanti pemandu yang mahir sangat sukar didapati. Ketika itu orang yang terperangkap dalam dunia dan alam jasad mereka sendiri tidak dapat menemui jalan lagi.

 Manusia yang terperangkap dengan dunia putus hubungan kemanusiaanya dengan kemurnian rohaninya. Pengetahuannya tidak menghala kepada Ilmu Tuhan. Dia hanya boleh berfikir tentang kehidupan duniawi sahaja. Dia boleh menjadi saintis yang bijak atau pemimpin yang handal, tetapi akalnya tidak berupaya menyingkap Rahsia ketuhanan yang tersembunyi di sebalik yang nyata. Nafsunya tidak menghala kepada Iradat Tuhan. Dia tidak ada selera untuk mengingati Tuhan, tidak ada rasa kasih sayang kepada Tuhan dan tidak takut atau malu kepada Tuhan. Keinginannya semata-mata tertumpu kepada kesenangan dan keseronokan duniawi. Nafsu yang bertaraf begini menjadi istana iblis. Nyawanya pula hanyalah sedutan dan hembusan nafas serta peredaran darah yang hampa. Tidak ada kelazatan bermunajat kepada Allah s.w.t. Anggota tubuhnya tidak digunakan untuk berbakti kepada Allah s.w.t. Segala daya dan upayanya ditujukan untuk memperolehi kemewahan dan menikmati kesenangan hidup di dunia semata-mata. Setiap anasir alam mengenakan tarikan kepada orang yang seperti ini. Unsur zahirnya menjadi bertambah kuat sehingga keupayaan unsur rohaninya terkunci dan terpenjara. Orang yang seperti ini berkedudukan seperti haiwan yang pandai berfikir dan pandai berkata-kata. Tidak ada bezanya taraf haiwan cerdik ini dengan haiwan lain yang tidak berakal.

 Manusia rohani yang dapat membebaskan dirinya daripada fitnah yang datang daripada manusia zahir akan dapat menghadap kepada Tuhan, berbakti kepada-Nya dan menjalankan perintah-Nya dengan menggunakan manusia zahir dan lain-lain anasir zahir. Nafsunya menghadap kepada Iradat Tuhan. Lahirlah rasa kasih sayang kepada Tuhan. Keinginan untuk menghampiri Tuhan sangat kuat dalam jiwanya. Semangat untuk berbakti kepada Tuhan sentiasa berada pada tahap yang tinggi. Akalnya menghadap kepada Ilmu Tuhan. Kelihatanlah kepadanya kebesaran, keagungan dan kebijaksanaan Tuhan. Digunakannya akalnya untuk menguruskan kehidupan harian agar sesuai dengan kehendak Tuhan. Apabila nafsu dan akal sudah menjurus ke jalan Tuhan, maka semua bakat-bakat yang ada pada dirinya tidak lagi digunakan untuk berbuat sesuatu yang dimurkai Tuhan. Kebaktiannya kepada makhluk Tuhan merupakan kebaktiannya kepada Tuhan kerana dia berbuat demikian demi menjunjung perintah Tuhan.

 Manusia rohani yang nafsu, akal dan anggotanya berjalan pada jalan Tuhan, nyawanya atau Diri Batinnya yang paling seni akan merasakan kelazatan bermunajat kepada Tuhan dan dapat mengalami suasana Hadrat Tuhan. Mengalami suasana Hadrat Tuhan dikatakan mengenali Tuhan melalui jalan rahsia kerana pengalaman yang demikian tidak boleh disamakan dengan apa juga bentuk pengalaman yang lain. Diri Batin yang sampai kepada suasana tersebut digelarkan Insan Sirullah (Insan Rahsia Allah s.w.t).

Rahsia Allah s.w.t bukanlah Allah s.w.t. Tidak benar jika dikatakan Allah s.w.t yang menjadi batin kepada Insan Batin atau Allah s.w.t adalah nyawa kepada manusia rohani. Perkaitan Allah s.w.t dengan manusia bukanlah hubungan secara langsung dalam nyata atau ghaib. Ia bukan hubungan seperti kulit dengan daging atau roh dengan jasad. Ia juga tidak seperti hubungan roh dengan roh. Tuhan mengatakan roh adalah amr (urusan) Tuhan. Kedudukan Insan Batin, roh atau rohani hanyalah seperti kedudukan amr Tuhan, bukan tubuh kepada Tuhan, bukan bekas yang mengalir di dalamnya sifat atau bakat Tuhan. Apa sahaja yang selain Tuhan adalah ciptaan Tuhan bukan Tuhan.

Kelatifan Diri Batin, roh atau rohani menyebabkan mudah timbul sangkaan yang menyamakannya dengan Tuhan atau memperhubungkannya secara langsung dengan Tuhan. Bunyi seruling bukanlah bunyi suara orang yang meniup seruling. Seruling menjadi hijab yang menceritakan bahawa ada orang yang meniup seruling. Suara seruling membawa perutusan daripada peniupnya. Suara seruling membawa ‘kehadiran’ peniupnya. Kehadiran tersebut adalah rahsia peniup seruling dan rahsia seruling itu sendiri. Orang arif mengenali peniup seruling dengan mendengar suara seruling. Orang arif juga mengenali jenis seruling melalui bunyinya. Perkenalan itu menjadi mungkin kerana di antara peniup seruling dan seruling ada rahsia atau ‘kehadiran’ yang bercerita. Rahsia atau ‘kehadiran’ itulah hubungan di antara peniup seruling dengan seruling dan bunyi seruling. Hubungan Tuhan dengan Insan Batin, roh atau rohani lebih unik daripada hubungan peniup seruling, seruling dan bunyi seruling. Hadrat (kehadiran) Tuhan atau Rahsia Tuhan lebih unik daripada kehadiran peniup seruling. Hadrat Tuhan dirasai oleh batin manusia dalam suasana tiada berhuruf, tiada bersuara, tiada berupa dan tiada upaya untuk menceritakannya. Sebab itulah suasana tersebut menjadi rahsia di antara Tuhan dan Insan Batin. Insan batin itu dinamakan Insan Sirullah (Insan Rahsia Allah s.w.t). Ia bermaksud insan diberi keupayaan oleh Allah s.w.t untuk menanggung Hadrat-Nya, Rahsia-Nya, amanah-Nya dan nur-Nya. Apa juga istilah yang digunakan ia membawa maksud yang sama iaitu keadaan Tuhan dan yang berkaitan dengannya dinamakan urusan Tuhan. Roh sebagai ciptaan Tuhan yang paling unik, istimewa dan luar biasa, dalam keadaan keasliannya yang murni berfungsi sebagai perutusan yang membawa urusan Tuhan. Matlamat perjalanan manusia rohani adalah kembali kepada kedudukannya yang asal, yang bertaraf amr Tuhan. Manusia rohani yang kembali kepada taraf amr Tuhan itulah yang benar-benar mengenali Tuhan.

Dalam mencari jalan pulang manusia rohani mesti membawa bersama-samanya ‘rakan-kongsinya’ iaitu manusia zahir. Setelah manusia rohani dan manusia zahir bercantum bersama, maka segala urusan adalah bersama. Ketika manusia rohani belum bercantum dengan manusia zahir, ia adalah suci, murni dan tulin, tidak memikul sebarang beban. Setelah memikul beban ia berkewajipan membawa beban itu kepada jalan yang benar bersama-samanya. Jika manusia rohani berjaya memimpin manusia zahir kepada jalan yang lurus itu tandanya ia berada pada jalan yang benar, benar menanggung amanah Tuhan. Apabila sampai kepada satu peringkat manusia rohani dan manusia zahir akan menjadi bersesuaian di antara satu sama lain. Apa yang lahir kepada zahir itulah yang ada pada rohani. Lidah tidak mengeluarkan perkataan melainkan apa yang ada dalam hati yang suci bersih. Segala perbuatan dan kelakuan zahir adalah baik-baik belaka kerana aspek zahir telah tunduk kepada aspek rohani. Keadaan demikian dikatakan diri zahir dengan Diri Batin berkamil, zahirnya adalah batinnya dan batinnya adalah zahirnya. Tidak ada perbezaan lagi di antara zahir dengan batin.

Aspek zahir manusia mestilah tunduk kepada syariat zahir dan aspek batin tunduk kepada syariat batin. Rangsangan dan tarikan tubuh badan serta anasir alam mestilah diharmonikan di bawah payung syariat. Syariat memperakukan keperluan zahir seperti makan, minum, tempat tinggal, pakaian, pendidikan, kesejahteraan hidup dan lain-lain. Berjalan pada jalan kerohanian tidak mewajibkan meninggalkan pekerjaan, isteri-isteri, anak-anak, masyarakat, makanan, minuman, pakaian dan lain-lain yang diharuskan oleh syarak. Syariat meletakkan peraturan dalam segala aspek kehidupan. Peraturannya adalah jelas dan mudah diikuti.

Jika aspek zahir manusia tunduk kepada peraturan syariat zahir sehingga menjadi bersesuaian dengannya, aspek rohani akan memperolehi kecemerlangan dalam syariat batin. Baharulah benar seorang itu masuk ke jalan kerohanian. Orang yang boleh terbang ke dalam daerah kerohanian adalah orang yang memiliki dua sayap. Sayap pertama adalah syariat zahir dan sayap kedua adalah syariat batin. Kedua-dua sayap tersebut dinamakan syariat, tidak lagi digunakan istilah syariat zahir dan syariat batin. Bila zahir dan batin sudah berkamil, tidak ada lagi perbezaan di antara zahir dengan batin. Tiada lagi perpisahan di antara syariat zahir dengan syariat batin. Setiap amalan sentiasa ditemani oleh ‘kerana Allah Ta’ala’.

Bagi membawa syariat zahir berkamil dengan syariat batin, seseorang bukan sekadar melakukan kebaikan, malah kebaikan itu perlu dilakukan dengan cara yang betul. Perbuatan sembahyang mestilah menurut syarat dan rukunnya, bukan sekadar bersembahyang sahaja. Melakukan pekerjaan yang halal mestilah dengan cara yang betul agar kemanfaatannya maksima dan kemudaratan boleh dielakkan daripada pekerjaan tersebut. Begitu juga dalam urusan mendidik anak-anak dan lain-lain. Setiap ahli syariat (Muslim) berkewajipan mempelajari cara yang betul dalam melakukan apa juga pekerjaan dan amalan yang baik yang perlu dilakukannya.

Orang yang mahu kembali kepada jalan Tuhan perlulah faham bahawa dia tidak ada hak untuk mengubah apa yang telah dihukumkan oleh Tuhan. Apa yang Tuhan katakan benar mesti diterima sebagai benar. Apa yang Tuhan katakan salah mesti diterima sebagai salah. Tidak ada sesiapa yang berhak meminda apa yang Tuhan telah tentukan. Tidak ada sesiapa yang boleh mengubah waktu sembahyang lima waktu atau bulan yang difardukan berpuasa. Tidak ada sesiapa yang boleh menghalalkan zina, arak, judi dan riba, atas apa alasan sekalipun. Perbuatan yang Tuhan haramkan tetap haram walaupun dibuat sebagai lakunan atau main-main. Segala perbuatan manusia akan digantung di lehernya sendiri.Dan tiap-tiap manusia Kami gantungkan (catatan) amalannya pada tengkuknya, dan Kami akan keluarkan baginya pada hari kiamat satu kitab yang dia akan menemuinya dengan terbuka. ( Ayat 13 : Surah Bani Israil )

 Bila kehidupan dalam dunia ini diharmonikan menurut peraturan syariat, dunia ini tidak lagi menjadi dunia yang dibenci, malah ia menjadi taman untuk menanam tanaman akhirat. Ia menjadi medan untuk mempertajamkan kerohanian. Orang yang benar-benar mencari jalan kerohanian dalam dunia ini akan menemuinya. Tuhan sediakan dalam setiap kaum dan puak orang-orang pilihan yang berkemampuan membimbing orang ramai kepada-Nya. Manusia pilihan itu adalah para arifbillah, insan sejati yang menjadi khalifah-Nya.

 Orang arif, walaupun rohani mereka sangat elok, tetapi ia ditutupi oleh keadaan luar yang sangat sederhana dalam segala segi dan mereka terdiri daripada orang-orang yang tidak terkenal. Namun, orang yang demikian adalah umpama air wangi Tuhan di dalam dunia, boleh dicium keharumannya oleh orang-orang yang beriman, benar dan jujur sahaja. Orang yang mencium keharuman itu akan mengikuti baunya. Keharuman yang muncul dari orang arif melahirkan rasa rindu kepada Tuhan dalam hati orang yang beriman. Rasa rindu menarik kaki orang yang beriman untuk berjalan pada jalan Tuhan, kembali kepada kedudukannya yang asli. Orang yang boleh berjalan dengan mudah kepada Tuhan adalah orang yang lebih sempurna kedudukan syariatnya. Hakikat atau kebenaran sejati tidak muncul dengan baik sebelum syariat betul kedudukannya. Hakikat yang tidak sesuai dengan syariat adalah kebenaran bayangan semata-mata, bukan kebenaran sejati.

http://alhakiki.tripod.com/hakiki018.html