5 Cara nak kuat untuk berubah?

5 cara nak kuat untuk berubah?

Sejujurnya, nak berubah ni, semua orang mampu. Semua mampu berubah. Serius. Yang jadi masalah ialah, kita ni NAK berubah, atau kita ni NAK TAK NAK. Kalau kita NAK, Allah akan bukak jalan seluas-luasnya, Allah akan beri kemudahan dan kekuatan yang luar biasa pada kita. Tapi, kalau NAK TAK NAK, kita akan jadi kreatif untuk mencipta atau mencari pelbagai alasan untuk berubah.

“Susahla nak berubah…..”

“Saya dah cuba, TAPI……”

“Kau bolehla berubah. Aku, ada masalah family, family aku tak kuat agama macam kau….”

“Kau okayla boleh jadi baik. Kau sekolah agama. Aku? Sekolah aku teruk gila…..”

Macam-macam alasan yang kita boleh bagi sebenarnya. Saya tak kata alasan sesetengah dari kita bagi ni SALAH. Mungkin dari satu sudut, benda tu betul. Tapi, sampai bila kita nak beralasan? Sampai bila kita nak terus-menerus bagi pelbagai alasan? Sampai bila kita nak merungut?

Tu persoalannya.

Namun, takde siapa nafikan, berubah ni memang susah. Sangat susah. Sebab tulah syurga Allah tu untuk orang yang berubah. Syurga hanya untuk orang yang bersusah-payah kat dunia. Mustahil, orang masuk syurga dalam keadaan kat dunia dulu dia enjoy, tak bersusah-payah untuk agama, dan lain-lain. Mustahil. Saya rasa semua maklum.

Sebab tulah, dalam nak buat apa-apa perkara, kita kena ada KEKUATAN. Termasuklah dalam nak berubah. Nak berubah ni, kita kena ada ‘something’ yang menjadi KEKUATAN DALAMAN untuk kita tetap teguh, istiqomah dan berterusan melakukan perubahan. Tanpa kekuatan ni, kita takkan mampu untuk kekal lama dalam perubahan.

So, insyallah, saya akan bagi cara-cara untuk nak berubah, dan dapatkan kekuatan untuk berubah. Supaya, kita ni, tak lagi jadi orang yang asyik beri alasan.

Moga kita dapat amal!

****

1) MELAZIMI TAUBAT.

Bila nak berubah, kita kena lah mengaku salah, mintak maaf dengan kesalahan, dan USAHA untuk tak buat lagi. Mana ada orang yang buat salah, dia nak dapat redha kepada orang yang dia buat salah tanpa mintak maaf. Kita ni dah lama sangat kurang-ajar dengan Allah, buat Allah marah, gunakan segala nikmat yang Allah bagi untuk maksiat.

Sebab tu kena TAUBAT!

Tapi, masalah yang biasa terjadi(juga terjadi berkali-kali pada diri saya), kita dah taubat, tapi sampai satu tempoh, kita ULANG balik dosa yang kita dah taubat. So, nak buat macamana? Sebab tu saya cakap, kita bukan sekadar kena taubat, tapi, MELAZIMI taubat.

Saya ulang:

“Kita bukan sekadar kena taubat, tapi, MELAZIMI taubat…”

Bila buat salah, taubat. Kalau kita buat salah balik, taubat balik. Kalau buat lagi salah, taubat lagi. Sampai bila? Sampai mati! Jangan tangguh taubat. Kalau boleh, bila buat salah, terus taubat, mintak ampun sungguh-sungguh kat Allah.

Kalau kuali yang kita guna untuk masak, awal-awal kita masak, akan ada hitam kat bawah kuali tu. Kalau kita terus basuh, insyallah hilang. Tapi, kalau kita lambat basuh, lama-lama, hitam tu akan MELEKAT kat kuali tu, dan sangat susah untuk hilangkan!

Sekarang ni, kita rasa SUSAH untuk berubah dan tinggalkan maksiat, adalah kerana kita tak MELAZIMI TAUBAT. Kita tak habis-habis tangguh taubat. Sampai maksiat tu MELEKAT, dan sangat susah nak hilang.

“Jika kamu bertaubat sehingga taubat itu gugur dan kamu kembali melakukan dosa, maka, bersegeralah bertaubat kembali! Katakanlah pada dirimu:”Moga-moga aku mati sebelum sempat mengulangi dosa kali ini….”

(Imam Ghazali)

”Orang yang terbaik ialah orang yang banyak di uji dengan dosa dan banyak bertaubat!”

(Ali b Abi Talib)

“Kamu perlu bertaubat dari dua dosa. Satu, dosa kamu yang lalu. Kedua, kamu perlu taubat kerana kamu menangguhkan taubat kamu…”

(Ibn Qayyim)

Amacam? Bolehkan?

2) JAGA SOLAT 5 WAKTU

Dosa tinggalkan solat lagi besar dari dosa berzina, membunuh, minum arak dan sebagainya. Jangan ingat isu solat ni main-main. Pergi wayang jauh-jauh dengan member, keluar malam dengan bf/gf, pergi kelas, kerja semua boleh. Solat, sekejap je pun.

Serius, kalau orang tanya saya:

“Saya nak berubah jadi baik. Saya dah taubat. So sekarang, saya nak mula dari mana?”

Saya akan jawab:

“Kamu mulakan dengan menjaga solat 5 waktu!!”

Baca dan dengarlah kisah-kisah orang yang berubah. Allayarhamah Sharifah Aini, Neolofa dan lain-lain, bila mereka cerita, macamana mereka dapat kekuatan untuk berubah, mereka jawab:

“Jaga solat!!”

Serius. Solat ni tiang agama. Bila solat kita ‘runtuhkan’, mustahil kita dapat berubah. Mustahil. Yelah, tiang takde, macamana nak kukuh bangunan?? Solat tak buat, macamana kita nak buat amal yang lain? Hatta, kalau tak solat, Allah tak terima amal kita yang lain.

Saya dah tulis isu solat ni panjang lebar di SINI.

Baca jangan tak baca!

3) TINGGALKAN KAWAN JAHAT, DAN KAWAN DENGAN ORANG BAIK.

Orang yang nak berubah dan bertaubat, dia kena jauhkan diri dari kawan-kawan yang jahat, yang boleh menggoda/mengajaknya untuk melakukan maksiat, serta menarik kakinya kea rah maksiat sehingga dia terjatuh dan terjerumus ke dalam lembah dosa dan maksiat.

Benda ni bukan benda main-main. Benda ni benda serius!!

Kita kena ganti dan tukar kawan yang jahat dengan kawan yang baik. Kita kena berkawan, bergaul dan rapat dengan orang yang baik-baik! Kita tengok muka kawan kita, kita teringat Allah. Kata-kata mereka sentiasa memandu kita kea rah kebaikan.

Kata seorang penyair:

“Elakkan dari bersahabatkan si hina. Kelak, ia pasti berjangkit umpama kudis yang menjangkiti orang sihat..”

Sahabat ni terbahagi kepada dua.

a)Ada yang mengheret kita ke syurga.

b)Ada juga yang mengheret kita ke neraka!

Allah sendiri dah bagi amaran supaya jangan kawan dengan orang-orang yang jahat! Sometimes, kita sendiri tak sedar yang kita ni MANGSA, dan kat akhirat baru kita sedar. Allah berfirman:

“Dan ingatlah, hari di mana orang zalim menggigit kedua tangannya seraya berkata; “ Alangkah baiknta sekiranya duu aku mengambil jalan bersama-sama rasul. Kecelakaan yang besarlah ke atasku, sekiranya aku dahulu TIDAK MENJADIKAN si fulan itu sebagai TEMAN AKRABKU. Sesungguhnya, dia telah menyesatkanku dari Alquran!!”

(Alfurqan ayat 27-29)

Sebab tulah, ulama’-ulama’ amat menekankan kita untuk TUKAR KAWAN. Mereka berkata:

“Taubat itu adalah penyesalan. Penyesalan itu ialah penyesalan dengan hati, keazaman untuk meninggalkan perkara maksiat, beristighfar dengan lidah, meninggalkan dengan jasad dan MENJAUHKAN DIRI dari TEMAN YANG JAHAT…”

Inilah FORMULA untuk nak jadi baik. Bak kata Imam Alqushairi:

“Orang yang mahu bertaubat, mesti MULAKAN dengan menjauhkan diri dari kawan-kawan yang jahat, kerana merekalah yang akan mendorong kita agar membatalkan niar dan keinginan untuk bertaubat, serta meragu-ragukan kita tentang azam kita untuk berubah…”

So, saya saran, ikutlah USRAH. Kat sekolah, kat universiti. Nak ikut ISMA ke, IKRAM ke, HALUAN ke, TABLIGH ke, PAS ke, Hizbut Tahrir ke, PEMBINA ke, apa-apalah NGO/JEMAAH dakwah dan tarbiah. Baru kau akan jadi kuat! Baca tulisan saya tentang “Nak pilih jemaah ap?” di SINI.

Bila kau nak jadi baik, kau kena duduk bersama-sama orang yang sama-sama dengan kau nak jadi baik!

Lagi satu, jangan duduk sorang-sorang. Bahaya beb. Banyakkan bersama orang, pergi tolong mak ayah ke, duduk dengan adik beradik ke, atau pergi program tarbiah ke, duduk surau ke, riadhah ke. Jangan duduk sorang-sorang. Perangkap setan tuuu.

4) DENDA DAN HUKUM DIRI SENDIRI.

Bila kita buat satu kejahatan, kita kena BALAS dengan denda diri kita untuk buat kebaikan. Hatta, itulah yang nabi suruh! Nabi suruh kita susuli kejahatan dengan kebaikan. Kerana, kebaikan yang kita buat tu akan menghapuskan dosa kita.

Contoh, kalau kita ada mengumpat kawan kita. So, kita menyesal. Maka, kita kena balas dengan kebaikan, iaitu, kita CERITAKAN kebaikan kawan kita tu kepada ramai orang.

 Kalau kita ada ejek kawan kita, maka kita balas dengan memuji dan menghormatinya.

Kalau kita asyik baca novel-novel cinta atau cerita lucah, maka, balaslah dengan baca Alquran, baca hadis, baca sirah nabi dan lain-lain.

Kalau kita derhaka dan kurang ajar dengan mak ayah, maka, balaslah dengan buat baik pada mak ayah kita dengan bersungguh-sungguh.

Ini namanya “memanipulasikan syaitan”. Boleh baca tulisan saya berkenaan betapa BERHASILNYA cara ini di SINI.

5) BACA QURAN, DOA DAN ZIKIR.

Biasanya, kita akan rasa nak buat maksiat ni bila hati kita KOSONG, tengah boring, rasa tak tenang dan sebagainya. Di sebabkan tu, ada orang yang entah apa pasal, dia pergi buat maksiat untuk menenangkan hati dia. Apa daaa…

Ada ke patut, time stress, pergi tenangkan diri dengan lagu Justin bieber, one direction, kpop dan lain-lain? Bila bosan, pergi tengok movie…Jangan syeikh, jangan!

“Maksiat takkan membuatkan kau hilang dahaga. Maksiat akan membuatkan kau bertambah HAUS! Kepuasan, hanya apabila kau dapat puaskan Allah dengan amal!”

Sebab tu, ada hadis bagitahu, SEKURANG-KURANGNYA, kit abaca sehari 10 ayat quran. Kalau tak, kita akan di kategorikan sebagai orang yang LALAI! Isilah hati tu. Isilah dengan quran dan zikir.

Kalau kau tak hafal zikir-zikir yang complicated, simple-simple je.  Setiap hari:

Istighfar 100 kali.

Subhanallah Alhamdulillah Lailahaillah Allahu akbar 100 kali.

Allahumma solli ala Muhammad 100 kali.

Tak sampai 10 minit pun beb. Buat beb. Kau akan rasa puas beb. Serius. Takde maknanya nak tipu. So, bila hati kita dah DI ISI, bila hati kita TAK KOSONG, barulah kita ada kekuatan untuk tepis godaan!

Sungguh!

And, doalah hari-hari, sungguh-sungguh. Berapa kali kau doa untuk Allah bagi kau hidayah? Berapa banyak kali kau doa untuk Allah bagi kau kekuatan untuk berubah? Berapa kali kau doa supaya Allah beri kau kemanisan iman, kemanisan dan keghairahan dalam beribadah, doa agar di beri kekuatan dan perasaan benci dan geli serta tak selera dengan maksiat? Berapa kali?

Tulah, tak habis-habis time doa, asyik doa pasal jodoh bagai. Mana hati tak rosak? Sikit-sikit doa:

“Ya Allah, bagilah Farah suka aku..Satukanlah hati aku dengan dia..Andai jodoh bla bla bla…”

Apa daaa….Jangan macam tu beb. Time doa, ingatlah Allah. Bukan ingat crush kau.

***

So, inilah 5 tips macamana nak KUAT dan istiqomah dalam perubahan. Cubalah. Macam saya hurai kat atas tadi, sampai bila nak bagi alasan beb? Hendak 1000 daya, tak nak 1000 dalih. Nak skor exam, tapi tak belajar, ‘harapan’ la nak berjaya…

“Sesungguhnya, Allah takkan UBAH sesuatu kaum, andai dia tak UBAH apa yang ada padi DIRI MEREKA sendiri!”

(Arra’du ayat 13)

Sampai bila nak beralasan dan merungut beb?

Wallahua’lam.

-Adnin Roslan-

https://www.tarbiahsentap.com/2014/09/5-cara-nak-kuat-untuk-berubah.html

Cinta Di Jalan Dakwah ?

Cinta Di Jalan Dakwah ?

saya nak kongsikan pada korang salah satu cerita yang kita sama-sama muhasabah.

Pernah satu ketika dulu, masa berbual tentang isu semasa dengan seorang ikhwah, tiba-tiba dia cerita pengalamannya semasa daurah baitul muslim minggu sebelum tu.

Agak kelakar apa yang murabbi kami bentangkan tentang masalah segelintir pendakwah hatta ikhwah sendiri pada hari ini yang sangkut dengan mata kail CINTA manusia.

Hanyut Dengan Cinta

Ya, memang tidak di nafikan langsung bahawa cinta itu fitrah bagi manusia. Rasulullah sallahu alayhi wasallam sendiri pun pernah bercinta dengan Khadijah radiyallahu anha. Islam memang tidak menolak fitrah, apatah pula menentang fitrah. Tetapi Islam mengajar macam mana hendak menguruskan fitrah sesuai dengan kehendak syariat Islam.

Tetapi masalah timbul bila kita tak uruskan fitrah tu dengan sebaiknya. Hari ini kalau dapat lihat, ramai pemuda hari ni hanyut dengan cinta sebelum kahwin yang belum tentu nak kahwin atau dengan istilah bajet moden,

“COUPLE”.

Buktinya?

Tak payah pergi jauh-jauh, kita dapat tengok sendiri di Facebook atau twitter,  ada segelintir mungkin juga sebahagian besar kawan-kawan kita yang post tentang cintan cintun ni yang kadang-kadang sangat tak releven dengan umur.

“Papa, mama miss you co much.” Kata seorang budak sekolah tingkatan 2 kepada pakwenya tingkatan 3.

Lol.

Malah lagi teruk, dekat profile siap ada “In Relationship” atau “Married”. Itu tak cukup dahsyat, lagi dahsyat adalah siap bergambar bersama sambil berpeluk bagai.

Halamak.

Ini dah satu masalah yang membarah sampai ketumbuhan level 10. Tetapi ada lagi satu masalah yang lagi besar apabila pemuda atau belia yang FAHAM Islam atau pendakwah-pendakwah muda ni pun hanyut juga dengan cinta sebelum kahwin yang belum tentu nak kahwin.

Tetapi hubungan tu tak di gelar dengan gelaran “COUPLE”. Mungkin sebab dah terlalu common. Jadi nak rare sikit. Apa dia?

“Couple Islamik.”

Haiya….

Golongan ini pun tak terlepas juga dari post tentang cintan cintun ni, cumanya dalam versi bajet islamik. Post hari-hari sampai naik muntah pelangi.

Nak contoh? Haha, saya tak sempat taip je saya dah tergelak dan geleng kepala. Korang boleh nampak sendiri kot.

Saya tak kata salah dan berdosa besar post tentang cinta,

tentang calon suami soleh / isteri solehah la,

atau tentang alam perkahwinan la,

pesanan untuk bakal suami / isteri la,

kata-kata semangat untuk para mujahid / mujahidah impian la,

atau apa-apa la.

Tetapi kena dengan situasi sendiri la seperti dah nak kahwin, atau paling tidak pun jangan lah post perkara-perkara ni kerap sangat.

Ini tidak, penuh newsfeed dengan benda-benda ni. Hari-hari post benda yang sama, kahwin, cinta, bla bla bla. Boleh muntah pelangi kawan..

Sedangkan banyak lagi kerja dakwah tarbiah nak kena buat, sebab ummat hari ni makin melarat. Di tambah pula pendakwahnya buat hal.

Aiseh.

Ini baru dalam Facebook yang open, belum lagi yang personal inbox (PM) atau sms. Murabbi kami cerita (berdasarkan cerita ikhwah ni), ada yang sebelum pergi usrah tu, siap sms lagi.

Contoh (tiada kena mengena dengan sesiapa)

Muslimat : “Enta nak pergi usrah ye? Hati-hati ye. Nanti kalau sempat, enta sharing la pada ana apa yang enta dapat. Jaga diri. Ukhuwah fillah abadan abada.”

Muslimin : “Ye, ana nak pergi usrah. Enti pun jaga diri. Jangan lupa baca buku atau buat benda berfaedah ye. Nanti kalau sempat, ana cerita apa yang ana dapat. Minggu depan enti pergi mukhayyam (perkhemahan) kan? Jaga diri. Ukhuwah fillah abdan abada aidhon”

Itu satu contoh la yang murabbi kami tunjuk.

Ada lagi contoh lain yang saya jumpa daripada seorang sahabat saya di Universiti XYZ (dirahsiakan nama Universiti), ada segelintir muslimat ini siap buat flyers yang berbunyi lebih kurang macam ni ;

“Kami kaum hawa merindui derapan tapak kaki para mujahid soleh menuju solat berjemaah..”

Aduh…. Berat nanang.

Tepuk dahi.

Ada juga segelintir yang rajin sangat post tentang kata-kata Ustaz Azhar Idrus mengenai bab cinta ni. Padahal ada saja perkara lain yang UAI cakap perkara lain yang lebih penting, tetapi tak nak diambil peduli.

Dan macam-macam lagi la contoh yang korang nampak sendiri di sekeliling korang. Saya tak larat nak letak contoh banyak-banyak.

Geleng kepala.

Muhasabah diri

Mungkin ada yang tak puas hati bila baca bahagian atas ni, tetapi saya tulis ni adalah sebagai peringatan dan nota untuk diri sendiri, selain daripada Bedtimes Story Sentap. Nama pun BS Sentap, maka kena sentap sikit. Hehe.

Pesanan saya kepada sesiapa yang terasa atau tengah terlibat dalam dunia rekaan sendiri ni, terutama sekali kepada golongan yang “so called islamik” ataupun yang faham Islam, utamakan perkara yang utama. Atau bahasa mudahnya,

“priority is priority”.

Sekarang apabila berada di jalan dakwah tarbiah, Syaitan pun akan melipat gandakan usaha untuk hanyutkan kita. Maka akan di hantar tentera yang berpangkat tinggi untuk hasut kita. Macam-macam cara mereka cuba, dan antaranya adalah CINTA dan WANITA.

Kalau cinta untuk bertahajud, atau tenggelam dalam cinta dakwah ini takpe juga, malah saya respek sangat.

Ini sebaliknya pula.

Maka sesiapa yang merasakan dia di jalan dakwah  tarbiah ini, maka mereka kena ingat yang kita akan hadapi antara 4 tentangan besar,

1) Syaitan

2) Wanita

3) Hawa nafsu

4) Masa

Sebab tu ada murabbi pesan (lebih kurang);

“Ana takkan respek antum semua yang berada di jalan dakwah ini sehinggalah antum semua melepasi dua ujian besar, iaitu ujian kerjaya dan rumahtangga. Jika antum dah hadapi dua perkara ni, kemudian masih berada di jalan dakwah, bahkan lebih “aggresif” lagi, ana respek pada antum..”

Kemudian, saya teringat ada seorang ikhwah pernah nasihat pada saya (lebih kurang) ;

“Macam-macam ciri yang diperlukan untuk melantik seseorang dalam bahagian pimpinan meskipun hanya dalam peringkat kampus, antaranya adalah menjaga ikhtilat..”

Ye, ikhtilat atau pergaulan.

Memang kena jaga. Kalau nak mujahadah dengan ikhtilat pun dah tewas, macam mana nak tegakkan Islam yang Syumul (menyeluruh) yang memerlukan mujahadah lagi dahsyat?

Kena sentiasa ingat bahawa kerja dakwah ini takkan pernah terhenti, dan kerja ini sangat banyak hingga sepatutnya tak sempat nak bercinta bagai (baca pesanan Imam Hassan al Banna tentang dakwah).

Kalau orang yang betul-betul memahami dan menjiwai jalan dakwah tarbiah ini, tiada masa untuknya berfikir banyak kali siapa yang perlu jadi sayap kiri atau bakal isterinya. Apatah lagi nak berikhtilat bagai. Kalau hendak bernikah sekalipun, cukuplah bakal isterinya faham tugas dakwah tarbiah yang dia lakukan dan dapat membantu dia.

Dan saya juga tak kata yang tak boleh bercinta.

Kalau nak bercinta tu, kahwin la dulu.

Kalau tak mampu, tahan.

Kalau tak tahan, puasa.

Kalau puasa tak tak boleh juga?

Korang cari duit dan kahwin la cepat.

Lastly

Kenapa saya sibuk “tembak” golongan pendakwah yang tersasar dari dakwah? Tu yang belia-belia lain hanyut, siap buat maksiat lagi, tak nak pula saya tegur atau “hentam”?

Kena faham bahawa golongan pendakwah ini, mereka bawa “LOGO AGAMA”.

Kalau korang nak tahu, secara umumnya, semua orang melayu muslim sangat menghormati dan tsiqah (percaya) pada golongan asatizah/ustaz atau golongan yang faham Islam. Cumanya sebahagiannya ego dan tak mahu tunjukkan penghormatan mereka dengan tindakan.

Jadi, segala perbuatan atau tindak tanduk pendakwah ini akan sentiasa DIPERHATIKAN oleh orang sebegini yang ada di sekelilingnya. Kerana pendakwah ini ibarat “role model” dalam senyap untuk mereka. Mereka secara tidak langsung ingin serba sedikit meniru atau mengikut jejak langkah pendakwah ini secara senyap-senyap.

Serius!

Tetapi kalau pendakwah ini hanyut, maka hilanglah penghormatan mereka dan mereka pun dengan dunia mereka.

Saya sendiri akuinya. Dulu saya selalu perhatikan golongan yang faham Islam ini, saya tsiqah sangat pada mereka meskipun sebahagian mereka bukan dari aliran agama. Sehinggakan akhirnya sikit demi sikit saya ikut jejak langkah mereka.

Moga kita semua selamat dari fitnah dunia.

Moga Allah redha.

Dan moga korang dapat tidur dengan ‘tenang’. Hehe.

Wallahua’lam

– Ahmad Shukery –

p/s : 1. Ini artikel dari blog lama sejak beberapa tahun lepas. Tapi saya edit dan jadikan yang lebih sesuai dengan tema Tarbiah Sentap.

2. kredit kepada sahabat saya yang edit gambar troll face tu. Lama tak jumpa dia.

https://www.tarbiahsentap.com/2014/12/bss-44-cinta-di-jalan-dakwah.html

Berapa Lama Anta Nak Hidup?

Berapa Lama Anta Nak Hidup?

“Anta kira berapa umur anta, dan berapa lama anta nak hidup..”

Saya terkedu. Saya tak pernah terfikir pula berapa lama saya nak hidup. Dia sambung balik,

“Ana nak hidup sampai umur 90 tahun. Sekarang baru 22 tahun. Ada lagi 68 tahun. Sempat sangat ana nak ambil Syariah lepas Ph.D Fizik ni nanti. Perjalanan kita panjang.. Haha..”

Saya tersenyum sendirian di depan Tablet saya. Tersenyum memikirkan kata-katanya yang sangat mendalam. Walaupun umur dia lagi muda dari saya, tapi cara fikir dia lagi super power dari saya. Adoi.

Saya berbisik dalam hati,

“Betul juga..”

Saya nampak ‘Typing’ pada bawah namanya. Nampaknya ada lagi nasihat dia nak bagi.

“Syeikh.. Kita kena rancang umur kita. Berapa lama anta nak hidup? Sepanjang umur anta, apa anta nak buat? Ilmu apa yang anta nak miliki? Syariah saja tak memadai. Ilmu kimia anta di masa hadapan sangat penting.. 😀 “

Zup.

Sentap bak ang.

Saya rasa sentap gila gaban masa tu. Serius. Termenung panjang terus saya.

Apa Sumbangan Aku?

Perbualan kami tak panjang, lepas habis tu saya terus minta diri untuk tidur. Tetapi saya masih tak boleh tidur.

Terbayang-bayang nasihat ikhwah tadi.

“Berapa lama anta nak hidup?”

Saya tak pernah merancang saya nak hidup berapa lama. Mula-mula saya rasa soalan dia tak valid sebab kita bukan tahu kita boleh hidup sampai bila.

Kemudian saya terfikir semula,

Memang kita tak tahu kita boleh hidup sampai bila, tapi apa salahnya merancang daripada hidup takde hala tuju?

Ada betul juga.

Saya nak ke mana lepas ni?

Apa saya nak dalam hidup saya?

Berapa banyak ilmu saya nak ada dalam hidup ni?

Dan paling penting, apa sumbangan saya nak berikan pada Islam khususnya sepanjang saya hidup? Apa sumbangan saya boleh bagi pada umat Islam sekarang dan akan datang?

Apa amalan yang saya boleh persembahkan depan Allah nanti?

Soalan-soalan ni mula berlegar dalam medulla oblongata saya. Saya dapat rasa saya ni manusia paling noob gila. Seolah takde hala tuju.

Sedangkan Allah dah bagitahu matlamat hidup kita sebagai hamba Allah dan Khalifah. Tapi saya masih tak mampu hadam dan manfaatkan sepenuhnya matlamat hidup yang Allah dah bagitahu pada kita..

Kalau ditakdirkan Allah bagi saya hidup sampai umur 70 tahun, apa saya nak buat dalam sekitar 40 tahun lebih ni?

Adakah cukup sekadar saya makan, tidur, habis belajar, layan facebook, kerja, buat program, kahwin, dapat anak, jaga anak, pencen, duduk goyang kaki kat rumah, termenung fikir kubur?

Itu saja hidup saya?

Membazir gila Allah bagi nikmat masa, kesihatan dan kewarasan akal pada saya kalau saya tak boleh guna sebaiknya.

Saya dah membazir nikmat Allah kalau saya tak guna masa saya sebaiknya untuk Islam,

Saya tak guna kesihatan saya untuk Islam,

Dan saya tak guna kewarasan akal saya untuk Islam dan kebangkitan Islam.

Saya termenung panjang sampai setengah jam malam semalam.

“Apa sumbangan aku?” saya monolog pada diri saya sendiri.

Rancang Hidup

Pagi tadi lepas subuh saya tarik nafas panjang, saya terus mula merancang berapa lama saya nak hidup, apa saya nak buat, apa saya nak capai, ilmu apa saya nak kuasai dan paling penting..

Apa saya nak sumbangkan untuk Islam.

Dapat tak dapat tu, itu perkara kedua, yang penting saya rancang dulu.

At least kalau saya mati sebelum saya berjaya dapat semua yang saya rancang, ada waris saya yang boleh sambung apa saya nak buat. Dan sekurangnya ada perkara yang saya boleh ‘persembahkan’ depan Allah nanti apa yang saya rancang untuk Islam.

So..

Saya tanya balik soalan ikhwah tu pada korang supaya korang pun tak boleh tidur malam ni.. Hehe..

Berapa lama korang nak hidup?

Moga Allah redha.

– Ahmad Shukery –

https://www.tarbiahsentap.com/2014/12/bss-46-berapa-lama-anta-nak-hidup.html

Dakwah yang Allah tidak terima ?

Dakwah yang Allah tak terima?

 “Ramai orang bercakap dan menulis. Tapi, tak ramai orang boleh mengamalkannya….”

Itulah pesanan mak saya suatu ketika dahulu. Ya, ia amat berharga.

“Followers ramai, tak semestinya masuk syurga…”

Ayah saya menyentap saya. Ya, ia amat benar.

“Apa guna di sanjung, tapi hakikatnya, hubungan kau dengan Allah, kau tak jaga. Di depan orang, kau macam hebat. Tapi bila sorang-sorang, kau buat maksiat, hati berkarat…”

Teguran bermakna dari seorang kawan yang sayangkan saya. Ya, saya akan pegang ia sampai bila-bila.

***

Hari ni, dakwah yang suci murni ni dah jadi macam seakan-akan trend, sehingga muncul dengan laju ustaz-ustaz jadian. “Pendakwah” muda mula lahir dengan pantas dan laju di media-media sosial, FB, twitter, Instagram, blog dan sebagainya. Ya, sangat pantas.

Adakah ini satu gejala yang sihat atau tidak sihat?

Hmm…

Hakikatnya, ada baik dan buruknya.

Bagus bila ramai orang mula rasa bahawa dakwah tu wajib. Bagus bila ramai orang dah mula bersungguh-sungguh dalam dakwah. Bagus, bila ramai anak muda yang menganggap dakwah tu sunnah nabi yang agung. Bagus bila sekarang, anak muda dah tak post or twit benda-benda merapu keapda post dan twit dakwah. Bagus, sangat bagus.

TETAPI, kadang-kadang, hakikat yang berlaku amatlah mengecewakan. Sungguh. Lahirnya ramai pendakwah yang hipokrit, pendakwah yang cakap tak serupa bikin, pendakwah yang mengejar nama dan followers atas “nama” dakwah, pendakwah yang memberi hukum hakam yang salah lalu menimbulkan fitnah, dan sebagainya. Ya, benda ini amat bahaya!!

DAKWAH SEBAB TREND KE SEBAB ALLAH?

Semua orang wajib dakwah, itu semua maklum. Orang baik, orang jahat, orang baru, orang lama, orang muda, orang tua, semua wajib dakwah dan layak berdakwah.

Cuma, hari ni, ramai orang yang menggunakan “dakwah” untuk mencari keuntungan peribadi seperti nak like, nak followers, nak dapat banyak share, nak famous dan populariti, lantas, dakwah yang sifatnya “penuh pengorbanan” berubah menjadi hiburan dan trend dan langsung tak beban!

Akibatnya, lahirlah pendakwah yang menggunakan alasan “dakwah” untuk melakukan dosa!

“Apa salahnya aku ikhtilat? Aku nak dakwah perempuan tu bla bla bla…”

“Kami hanya berukhwah. Bukan ikhtilat bla bla bla….”

“Apa salahnya bercinta asalkan Allah dan rasul nombor 1 bla bla bla…”

Dan, pendakwah muda pulak, tak habis-habis twit dan post benda-benda pasal cinta cinta cinta cinta cinta. Macam seolah-olah, dakwah ni cinta je. Nak ajak orang kembali pada Allah atau nak ajak orang bercinta?

Dan, wujud pulak status-status “dakwah” kononnya yang tak habis-habis buat ayat gedik memuji wanita, ber”awak” “kita”, semata-mata nak dapat banyak retweet dan like. Maklumlah, kan ramai orang suka bab cintan cintun, bab cantik sweet ni.

“Awak…kalau awak pakai tudung labuh, awak akan jadi sangat cantik lebih cantik dari bidadari syurga tau awak;)”

“Awak jagalah diri awak. Kecantikan awak hanya untuk suami. Jangan tonjol-tonjolkan tau awak. Huhu…”

Dan sebagainya.

Memang, post-post macam tu komfem dapat banyak like. Tapi, ianya amat bahaya.

Saya dah jumpa ramai orang yang begini, yang mana mereka luarannya di alam maya penuh dengan status islamik yang banyak like, tetapi, di ruangan komen, berbalas smiley dengan berlainan jantina, kemudian di alam realiti juga ikhtilat tak di jaga, dan kecundang dengan fitnah cinta.

Licik tipu daya setan. Dakwah yang sepatutnya di penuhi dengan tangisan dan air mata, berubah menjadi trend oleh sebahagian orang.

Dakwah yang ikhlas, hanya empunya diri sahaja boleh tahu. Ia antara diri kita dan juga Allah. Persoalan bagi pendakwah yang jujur ingin selamatkan umat dengan dakwahnya:

1) Adakah kita pernah nangis memikirkan mad’u kita? Adakah kita pernah menangis melihat umat yang nazak dengan maksiat pada hari ini?

2) Apakah usaha kita untuk selamatkan umat? Adakah hanya sekadar post dan twit di alam maya? Atau kita korbankan masa, harta dan tenaga kita untuk umat? Kurang tidur malam, tarbiah dan membina manusia, memberi penerangan pada orang ramai, sumbangkan harta untuk dakwah, belanja mad’u, sabar dengan kutukan dan sebagainya?

3) Adakah kita berusaha menjaga tahajud yang sepatutnya di lazimi oleh para pendakwah, atau kita tinggalkan tahajud lebih 3 hari tanpa rasa bersalah?

4) Sejauh mana tilawah quran kita? Atau kita sibuk berdakwah sini sana di alam maya, tapi hakikatnya, kita dengan quran nak baca sehari 5 muka pun tak istiqomah dan rasa berat? Sedangkan, orang yang ikhlas, amat rapat dengan Alquran?

5) Sejauh mana kita usaha untuk tinggalkan maksiat? Atau kita hanya pandai menulis status islamik, tapi diri kita yang realiti amat jauh dari apa yang kita tuliskan?

Ingat.

Dakwah itu, kalau kita IKHLAS nak selamatkan umat, kita takkan ada masa nak berhibur dengan drama, lagu lagho, maksiat, dan sebagainya.

Cuba korang hayati kata-kata Umar Alkhattab:

“Yang paling aku takuti ialah orang yang fasih LIDAHNYA, tetapi kotor HATINYA…”

(Umar Alkhattab)

Ramai orang sekarang boleh cakap, boleh bagi ceramah, talk dan sebagainya.

Ramai juga orang yang boleh ber”dakwah” dengan penulisan, menulis status2 islamik dia insta, FB, Twitter, blog dan sebagainya.

Ramai juga yang boleh menjadi naqib usrah, merubah orang, di sanjung ramai, banyak followers, di pandang mulia dan tinggi, dan sebagainya.

TAPI….. Tak ramai yang mampu AMAL segala apa yg mereka dakwah kan, segala yg mereka cakap, segala yang mereka tulis, segala yang mereka twit, segala yang mereka laung-laungkan.

Akhirnya, golongan sebegini, cuba renung. Ya, renung..

“Selama ni aku dakwah sebab nak dapat followers, nak dapat byk like, nak popular, nak di sanjung, nak kena puji, ATAU nak redha ALLAH????”

Kerana, orang yang berdakwah kerana Allah, mereka amat menjaga hubungan mereka dengan Allah dan manusia. Menjaga tahajud, quran, zikir, menjaga akhlak, menjaga sifat malu, meninggalkan maksiat dan mengamalkan apa yang mereka dakwahkan.

Tetapi, orang yang berdakwah kerana nama, kerana nak followers, nak di sanjung, mereka hanya menjaga hubungan dengan manusia.Tetapi, hubungan dengan Allah, mereka abai. Solat zikir tahajud quran mereka tak kerap, maksiat mereka buat, ikhtilat tak jaga, couple islamik, dan sebagainya.

Wahai pendakwah, bertaubatlah.

Ingatlah, antara golongan yg masuk NERAKA tanpa hisab ialah golongan yg berjihad bukan kerana Allah, tetapi kerana nama dan mahu di sanjung dan di puji.

Cuba korang fahami hadis ni, dan, menangislah!!!

Nabi saw bersabda:

“Sesungguhnya manusia pertama yang di adili pada hari kiamat adalah orang yang MATI SYAHID di jalan Allah. Ia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatan (yang diberikan di dunia), lalu ia pun mengenalinya. Allah bertanya kepadanya : ‘Amal apakah yang engkau lakukan dengan nikmat-nikmat itu?’ Ia menjawab : ‘Aku berperang semata-mata karena Engkau sehingga aku mati syahid.’ Allah berfirman : ‘Engkau dusta! Engkau berperang supaya dikatakan seorang yang gagah berani. Memang demikianlah yang telah dikatakan (tentang dirimu).’ Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeret orang itu atas mukanya (tertelungkup), lalu dilemparkan ke dalam neraka…”

(HR Muslim)

Nauzubillah.

Cuba korang baca hadis tu berkali-kali.

Berkali-kali!

Orang yang paling awal masuk neraka ialah orang yang mati syahid, yang pergi perang, berjihad, tapi bukan kerana Allah, di sudut hati mereka, mereka nak di sanjung, nak nama, nak bangga. Akibatnya, Allah campakkan dirinya ke dalam neraka!

Nauzubillah… Saya pun cuak bila baca hadis ni.

Nak kata, cuba kita check balik diri kita. Sejauh mana kita ikhlas dalam dakwah ni??

KISAH BENAR

Saya mula risau bab dakwah trend ni bila saya nampak beberapa peristiwa dan kisah yang agak mengejutkan saya.

Saya pernah kenal secara dekat beberapa golongan “public figure” dan pendakwah yang banyak followers. Dan bila saya tahu benda ni, saya amat kecewa, dan saya tegur apa yang mampu.

Ada kes, seorang yang rajin buat status islamik, dapat ratus-ratus like, tapi kehidupannya, hanyut dengan ikhtilat, bercouple islamik dengan perempuan berpurdah, lepas tu jalan tengok wayang pegang tangan dan bukak purdah, tapi lepas tu pakai purdah semula.

Ada kes, seorang yang rajin dakwah di alam maya, instagram bagai, tapi, boleh bercouple islamik, duduk sebelah-sebelah dengan jarak yang sangat dekat dengan ajnabi, bermesej sampai dua tiga pagi dengan ajnabi, sampai ada kes dia tidur rumah lelaki, dan yang membuatkan saya sedih ialah, dia berpurdah.

Ada kes, seorang yang rajain dakwah alam maya, tapi bab hukum hakam fail, membuat hukum sendiri tanpa merujuk ulama, membenarkan couple, menghalalkan ikhtilat, melayan perempuan itu ini itu ini, dan sebagainya.

Saya tak nak cerita panjang-panjang sangat. Tapi, soalan dan luahan yang kami dapat di emel dan FB sangat membuatkan saya amat sedih dan terkejut.

Ada juga naqibah usrah dengan anak usrahnya, suka sama suka, kemudian lesbian.

Ada juga seorang pimpinan universiti, mengambil kos agama, bertunang dengan wanita yang turut mengambil kos agama,akhirnya, berzina di hotel di bulan ramadhan.

Saya kadang-kadang menggeletar bila nak handle isu ni dan berhadapan dengan masalah ni. Di sebabkan orang yang macam ni lah, akhirnya menimbulkan fitnah yang besar pada agama, ramai orang akan salah faham tentang agama, lantas menghalalkan yang haram, sebab apa? Kerana, “pendakwah-pendakwah” yang ramai followers ni langsung tak menunjukkan qudwah.

Saya kadang sedih tengok pendakwah yang asyik-asyik buat cerpen cinta islamik, couple islamik, bidadari bermata jeli, suka ini, suka itu, tulang rusuk bergetar dan sebagainya. Seolah-olah, memang itulah yang ada pada dirinya. Akhirnya, orang yang baca, seronok memang seronok, tapi tak dapat pengajaranpun. Yang dapat hanyalah seronok, sweet-sweet, nangis sikit sebab happy ending, dan yang sama waktu dengannya.

Ada satu lagi golongan, nak dapat followers punya pasal, dia pergi kutuk pendakwah lain, dengan harapan, orang ramai nampak keburukan pendakwah tersebut, dan nampak kebaikan dirinya, lalu orang follow dia. Apa benda daaa…

Ya Allah.

Ampunkanlah dosa kami!!

DAKWAH TIDAK DI TERIMA?

Wahai kawan, syaitan ni licik. Begitu mereka usaha untuk menghancurkan hati para pendakwah supaya tak ikhlas dalam dakwah, dan hipokrit dalam dakwah.

Cuba kita muhasabah semula wahai kawan.

“Adakah dakwah aku di terima??”

Hmm…

Tahukah korang, di dunia ni, ada golongan yang sangat berjasa pada agama, tapi, di akhirat nanti, Allah langsung tak terima amal dia. Tahukah korang?

Cuba hayati hadis ni sungguh-sungguh wahai kawah. Fahamilah dengan mata hati.

Ya, mata hati….

1) Daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam diriwayatkan bersabda;

لَيؤيِّدنَّ الله ُهَذَا الدِّينَ بِقَوْمٍ لا خَلاقَ لَهُمْ

“Allah akan menguatkan agama ini dengan suatu kaum yang tidak mendapat bahagian pahala di hari akhirat.”

(HR Nasaie dan Tabrani)

Dan maksud yang sama diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab jihad serta Imam Muslim di dalam kitab Iman dari jalan Abu Hurairah RA bahawa baginda bersabda ;

إِنَّ اللهَ يُؤَيِّدُ الدِّينَ بِالرَّجُلِ الْفَاجِرِ

“Sesungguhnya Allah akan menguatkan agama ini dengan lelaki fajir(yang berdosa)..”

(HR Bukhari dan Muslim)

Apa maksud hadith ni?

Nak kata, akan wujud satu kelompok, yang banyak berjasa pada agama, tapi hakikatnya, mereka adalah ahli maksiat, yang hipokrit dan tenggelam dengan nafsu, dan akhirnya, mereka langsung tak dapat pahala dari apa yang mereka dakwahkan.

Berhati-hatilah kita daripada menjadi golongan yang banyak berjasa kepada agama ini namun disisi Allah ianya langsung tiada nilaian pahala dan sia-sia.

Ramai orang hanya memandang kepada hasil, manfaat dan keuntungan duniawi atau ‘tangible result’ namun melupakan cara dan kaedah yang diajarkan oleh nabi yang menjadi syarat kepada penerimaan sesuatu ibadah dan kebaikan iaitu IKHLAS  dan mengikuti sunnah.

Huh…

Ampunkanlah kami yang banyak cakap tak serupa bikin ni ya Allah!

2) Cuba korang fahami pulak hadis ni.

لأعلمن أقواما من أمتي يأتون يوم القيامة بحسنات أمثال جبال تهامة بيضا. فيجعلها الله هباء منثورا. أما إنهم أخوانكم ومن جلدتكم ويأخذون من الليل كما تأخذون. ولكنهم أقوام، إذا خلو بمحارم الله، انتهكوها

“Ketahuilah tentang satu kaum dari umatku, mereka datang pada hari kiamat dengan kebaikan setinggi gunung tihamah yang putih. Lalu Allah jadikan semua itu debu yang berterbangan. Adapun mereka saudara kamu, dari keturunan kamu, dan mereka mengambil malam(qiamullail) seperti kamu ambil, tetapi mereka adalah kaum, bilamana mereka sendirian dengan perkara yang Allah haramkan, mereka mengingkariNya..”

(HR Ibn Majah)

Hadis ni bagitahu, ada golongan, yang kat akhirat nanti, dia datang dekat Allah bawak amalan kebaikan sebesar gunung, tapi semuanya jadi debu dan satu pun Allah tak terima.

Kenapa Allah tak terima?

Kerana golongan ni, di depan orang, hebat. Tapi bila berseorangan diri, bila takde orang nampak, dia buat maksiat, dia engkar suruhan Allah.

Isk isk…

Hadith ni sangat mencuakkan.

Ya Allah, kau terimalah amalan kami ya Allah!

KESIMPULAN

Bila saya tulis ni, bukan maksud saya untuk tinggalkan dakwah. Tidak. Dakwah tu wajib di lakukan, walaupun kita tak amalkan apa yang kita cakap. Seorang sahabat nabi iaitu Abu Darda’ pun pernah kata:

إني لآمركم بالخير، وما كل ما أمرتكم به فعلته؛ ولكني أرجو الأجر بأمركم

“’Sesungguhnya aku menyuruh kamu dengan perkara kebaikan. Namun itu tidaklah bermakna bahawa semua yang aku perintahkan kepada kamu telah aku lakukan, akan tetapi aku mengharapkan pahala dengan menyuruh kamu melakukannya.”    (Abu Darda’)

Benda ni saya dah ulas panjang dalam buku Tarbiah Sentap jilid 1, bab 4.

Tapi, apa yang saya nak sampaikan pada tajuk kali ini ialah, janganlah kita ni menganggap dakwah ni hanya trend semata-mata, sibuk menulis, memberi ceramah, hanyut dengan ramai followers, tapi kita lupa diri kita sendiri, kita tipu diri kita sendiri.

Akhir kata, saya nak pesan, bahawa:

“Dakwah ni bukan takat post kat media sosial je.  Dakwah ni ada FIQH yang perlu kita fahami…”

Dakwah ni bukan pakai cakap ikut kepala kita. Dakwah ni ada CARA dan FIQH yang telah di ajar oleh arrasul, sahabat dan ulama’. Kalau solat pun ada fiqh yang wajib di ikuti, dakwah pun ada FIQH.

Bila kita dakwah tak ikut FIQH, dakwah kita nampak macam berkembang, tapi sebenarnya dakwah kita “kosong”, dan menjadi fitnah untuk agama. Nak faham fiqh dakwah, kenala rajin membaca buku-buku fiqh dakwah juga. Boleh baca:

1) “Dakwah Fardhiah”, “Toriqud dakwah”, tulisan Mustafa Mahsyur.

2)” Majmuat rasail” imam hasan albanna.

3) “Almuntolaq” tulisan Ahmad Arrasyid.

4) “Isti’ab”, “Aids Haraki”, “Maza ya’ni intima lil islam”, “almutasaqitun ala toriq addakwah”, “qowarubunnajah” tulisan Fathi yakan.

Dan banyak lagi.

Bila dakwah tak ikut fiqh, maka lahirlah orang yang berdakwah kerana trend, nak like, dan famous, nak di sanjung, nak di puji, down bila di kutuk, ikhtilat tak jaga di alam maya dan realiti, cinta islamik, drama korea jepun menjadi hiburan, lagu lagho tak tinggal dan sebagainya.

“Dakwah ni suci murni. Jangan cemarkan jalan dakwah ni dengan dosa yang kita lakukan lantas menggunakan alasan “dakwah” untuk buat maksiat…”

Jika tidak, sampai bila pun kita takkan dapat merasakan cinta Allah, dan kita takkan mampu tenggelam dalam syurga cinta bersama Allah yang maha esa.

Wahai pendakwah!!

Jagalah hubungan dengan Allah sungguh-sungguh, insyallah, Allah akan menjaga kalian!

https://www.tarbiahsentap.com/2015/12/dakwah-yang-allah-tak-terima.html

Apa Pengorbanan Kita?

Apa Pengorbanan Kita?

 Saya masih ingat lagi perbualan dengan Ustaz Adnin tahun lepas dalam keretanya berhadapan dengan ofis kami. Masa tu dia nak hantar saya balik. Kemudian dia tanya saya,

“Shuk, anta buat korban tahun ni?”

Saya menggarukan kepala yang tak gatal sambil tersengih. Lalu saya gelengkan kepala.

“Tak buat kot. Mana ada duit..”

Adnin sengih.

“Anta nak tahu tak. Dulu ayah ana pernah tanya, ana buat korban ke tak tahun tu. Ana pun cakap la, tak buat. Lepas tu ayah ana tanya, Kenapa tak buat? Ana pun jawab la, sebab takde duit.”

Saya memberikan fokus 106% termasuk gst pada kata-katanya. Lepas tu dia menyambung,

“Anta nak tau tak apa ayah ana cakap?”

Saya mengangguk sambil berkelip memerhatikan matanya.

“Ayah ana kata, ‘Sebab kau takde duitlah, kau kena cari duit untuk buat korban. Baru betul. Itulah makna korban. Kita kena berkorban, bersusah payah untuk korbankan sesuatu. Kalau dah ada duit banyak baru nak korban, takde la rasa perasaan korban tu.’”

Reaksi saya masa tu,

“Gulp.”

Kemudian Adnin sambung,

“Jom shuk, kita usaha untuk buat korban tahun ni. Korek-korek je apa yang ada..”

Saya senyum.

“InsyaAllah..”

Saya naik je tingkat atas, terus buka laptop, dan cari tentang ibadah korban. Terjumpa pula iklan korban di Facebook. Tajdid niat, dan terus bismillah.

Korban Yang Agung

Mesti kau biasa dengar kisah Nabi Ibrahim alayhi salam kan? Kalau tak biasa dengar pun, sekurangnya mesti pernah tahu. Saya kongsi sikit kisah ringkas Nabi Ibrahim. Kalau nak tahu kisah detail, kena beli buku kisah para Nabi la. Buku yang kau tengah baca ni bukan bukunya.

Masa zaman remaja, ayah baginda jual patung berhala dan selalu menyuruhnya untuk menjual sekali. Tapi disebabkan Allah nak lindungi baginda, Allah beri dia tak bersemangat langsung untuk jual patung tu. Malah baginda siap ejek lagi patung-patung tu pada pembeli.

Kesungguhan baginda untuk cari kebenaran boleh kita nampak yang mana setiap kali waktu malam je, apabila ternampak bintang bersinar-sinar, baginda akan kata,

“Inikah Tuhanku?”

(Surah Al An’am 6:76)

Tetapi bila bintang tu hilang, baginda kata,

“Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”.

(Surah Al An’am 6:76)

Macam tu juga masa waktu siang. Apabila nampak matahari, baginda akan kata,

“Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”.

(Surah Al An’am 6:78)

Tetapi bila matahari tu hilang, baginda kata,

“Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sekutukan”.

(Surah Al An’am 6:78)

Nampak tak, taksub dan bersungguh baginda mencari tuhan. Kita ni walau dah tahu siapa tuhan, tapi masih lagi malas cari Allah. Dah nak exam baru terkial-kial cari Allah. Atau masa takda duit, baru pandai nak doa. Ataupun masa susah baru nak cari Allah. Waktu senang, yang kita tahu cari crush, pakwe makwe, bakal imam, bakal tulang rusuk, bakal menantu mak, dan macam-macam lagi. Lepas tu bajet macam hidup ni takkan mati.

Ouch..

Ok tamat iklan. Nabi Ibrahim berterusan mencari kebenaran sampailah Allah mewahyukan kepada baginda tentang Zat yang sebenar. Antaranya Allah beritahu,

“Tunduk patuhlah!”

(Surah Al Baqarah 2:131)

Kerana sangat suka dan gembira sebab dah jumpa Allah, maka baginda bertekad dan anggap Allah sebagai kekasihnya serta tunduk patuh kepadaNya.

“Aku tunduk patuh kepada Tuhan semesta alam”.

(Surah Al Baqarah 2:131)

Kita pendekkan cerita, kalau panjang sangat takut kau skip muka surat. Nampak tak permainan dia? Haha.

Nabi Ibrahim alayhi salam ditakdirkan takda anak sampai umur sekitar 80 tahun, kemudian barulah Allah kurniakan anak. Sebagai ayah, logiknya mestilah baginda gembira sangat sebab dia memang tak sangka akan dapat anak dalam usia yang sangat tua. Maklumlah, ibarat kau berhajat nak dapat sebiji motor, tetapi sampai semester akhir universiti masih lagi tak dapat. Tetapi tiba-tiba masa majlis konvo, ada orang bagi hadiah motor. Lagi best, yang bagi hadiah tu orang yang kau sayang. Mana tak melting weh.

Tetapi kegembiraan tu tak lama. Allah uji baginda dengan memerintahkan supaya meninggalkan anak dan isterinya, Hajar di padang pasir yang kering kontang selama 7 tahun. Semasa baginda bersedia untuk melangkah pergi meninggalkan mereka berdua bersama kantung berisi kurma dan air, tiba-tiba Hajar ikut belakang baginda dan berkata,

“Wahai Ibrahim, ke mana engkau akan pergi? Apakah engkau akan meninggalkan kami di lembah yang tidak ada manusia dan tidak ada sesuatu pun?”

Allah.. Cuba letak diri kita dalam situasi Nabi Ibrahim. Kau pejam mata, dan bayangkan. Hati suami mana yang tak retak dan hancur berderai bila mendengar rayuan seorang isteri yang terpaksa ditinggalkan. Bukan saja isteri, malah anak yang baginda tunggu sampai umur 80 tahun pun terpaksa kena tinggal.

Urghh..

Tetapi Nabi Ibrahim kuatkan hati juga untuk LANGSUNG TAK menjawab soalan Hajar bahkan tak menoleh pun. Perghh, ini baru betul-betul hati sado. Kita ada?

Sama juga macam situasi Hajar. Hati isteri mana yang tak takut dan risau apabila suami tersayang nak tinggalkannya bersama anak di tempat yang takda jaminan keselamatan langsung. Kalau kau perempuan yang dah kahwin, apa perasaan bila terpaksa ditinggalkan suami dalam tempoh waktu yang kau sendiri tak tahu? Sakit dan terseksa weh.

Apatah lagi Hajar. Dah la padang pasir kering kontang, dengan anak yang kecil lagi. Bukannya ada rumah atau aircond, ada kedai mamak untuk kerja part time, ada 7 eleven, ada laptop untuk skype dan sebagainya. Sayu dan pilu hati weh. Ini bukan drama Akasia pukul 7, ini kisah real. Huhu.

Dalam masa yang sama, Hajar masih lagi bertanya soalan yang sama lagi dan lagi. Sampailah tiba-tiba Hajar tanya,

“Adakah Allah yang memerintahkan untuk lakukan semua ini?”

Bila ditanya soalan ini, baru Nabi Ibrahim berhentikan langkah sekejap. Hatinya bertambah sayu. Kita kena faham bahawa Nabi Ibrahim tetap seorang manusia, yang ada segala fitrah kemanusiaan termasuklah perasaan sedih, rindu, sayang dan sebagainya. Bukannya malaikat. Tetapi kepatuhan dan keimanan yang mendalam, terpaksa DIKORBANKAN semua perasaan ni. Bila ditanya soalan ni, barulah baginda jawab,

“Ya”.

Hanya sepatah “Ya” itu, Hajar terus rasa lega dan tenang sambil berkata,

“Kalau begitu, Dia (Allah) tidak akan mengabaikan kami”.

            Padu weh. Sumpah padu jawapan Hajar. Tawakal dia memang tahap lejen. Dah la kena tinggal berdua dengan anak yang kecil, lepas tu Nabi Ibrahim hanya jawab “ya” saja, tetapi dia boleh redha dan tawakal tinggi tahap kritikal. Arghh. Taksub saya dengan Hajar. Padahal Nabi Ibrahim takda pun pujuk Hajar macam cakap,

            “Alaa cayang. Jangan cedih-cedih. Abam tinggalkan kejap je. Nanti abam datang lagi ea? Sabar sikit je. Ala mucuk-mucuk comel cikebum cak!”

            Takda pun. Nabi Ibrahim jawab gentle je walaupun dalam hati hanya Allah je yang tahu. Selepas Nabi Ibrahim dah jalan jauh meninggalkan mereka berdua sampai ke kawasan yang mereka tak nampak, Nabi Ibrahim berhenti sekejap. Kenapa?

Macam saya sebut, Nabi Ibrahim tetap seorang manusia yang masih risaukan anak dan isteri baginda. Hati ayah dan suami mana yang tak risau terpaksa tinggalkan anak isteri di tengah padang pasir. Kan?

Apa Nabi Ibrahim buat? Telefon polis? Telefon Jabatan Kebajikan Masyarakat? Mestilah tak. Nabi Ibrahim berdoa, dan doa ni dirakamkan dalam al Quran surah Ibrahim ayah 35 hingga 41. Dahsyat tu, siap dirakam dalam Al Quran, dan ia kekal sampai hari kiamat. Antara doa Nabi Ibrahim,

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya.

Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.”

(Surah Ibrahim 14:37)

            Ini antara doa baginda sungguh-sungguh. Cuba kau baca ke semua doa baginda. Mesti rasa syahdu. Baru kita rasa syok dan ‘feel’ baca al Quran kalau tahu sebab musabab ayat tu turun. Atau sekurangnya kita taddabur ayat Quran tu. Apa pun, kita tengok betapa tingginya tawakal antara Nabi Ibrahim dan Hajar. Hajar sanggup ditinggalkan, manakala Nabi Ibrahim terpaksa meninggalkan. Kalau situasi kita pula macam mana? Meninggal terus.

7 tahun kemudian..

Selepas lebih kurang 7 tahun, baginda pulang dengan hati yang penuh dengan taman bunga. Ye lah, dah nak dekat 7 tahun tak jumpa, mestilah anak dah besar. Siap boleh main kejar-kejar. Kalau zaman sekarang, anak dah masuk darjah 1.

Tetapi Allah masih nak uji baginda untuk membuktikan keimanan, cinta dan pengorbanannya pada Allah. Allah perintahkan lagi baginda untuk keluar lebih kurang 3 tahun.

3 tahun kemudian..

Baginda pulang lagi selepas 3 tahun dengan hati yang rindu sangat pada anaknya. Ayah mana yang tak rindu pada anak yang hampir 10 tahun tak jumpa. Kan? Ayah mana la tak gembira dapat jumpa anak sendiri. Tetapi Allah nak uji lagi nabi Ibrahim alayhi salam untuk membuktikan cintanya kepada Allah melebihi segala-galanya. Macam mana? Dengan cara mengorbankan anaknya iaitu sembelih Nabi Ismail hidup-hidup!

Allah..

Nabi Ibrahim alayhi salam diperintah bukan untuk sembelih seekor haiwan, tetapi diperintah untuk sembelih SEORANG MANUSIA. Lebih sadis lagi, manusia itu bukanlah individu yang tiada kaitan dengan baginda. Tetapi manusia itu adalah ANAK BAGINDA yang dia rindu dan teringin sangat nak jumpa.

Dan lagi dahsyat dari tu, baginda menyahut perintah tu dengan melakukannya. Perghh! Ini lebih dahsyat dan cool dari mission impossible.

Hati ayah mana yang tak rasa berat. Tetapi demi cinta pada Allah yang lebih tinggi dari segalanya, dia buat sungguh-sungguh. Lebih terharu dan kagum, Nabi Ismail alayhi salam BERSETUJU pula tu. Bayangkanlah, dah la lama tak jumpa. Sekali jumpa, nak kena sembelih pula tu. Ini betul-betul thriller. Dan lagi hebat, Nabi Ismail alayhi salam siap beritahu ayahnya,

“Wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepadamu; insya Allah engkau akan mendapati diriku termasuk orang-orang yang sabar”.

            Bukan itu je, malah Nabi Ismail sebut lagi,

“Wahai ayahku…”

sayu namun tenang nada Nabi Ismail terhadap ayahnya,

 “Kuatkanlah ikatanku supaya aku tidak banyak bergerak”.

Aduh.. Mana tak sayu bila kita baca kata-kata ini seperti direkodkan oleh Imam Qurtubi yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas dalam tafsir al Qurtubi juzuk 18. Dah la nak kena sembelih oleh ayah sendiri, tetapi Nabi Ismail siap minta kuatkan ikatan lagi. Huhu. Kemudian Nabi Ismail sebut lagi,

“Wahai ayahku, bukakanlah pakaianku supaya tidak terkena darah yang akan menyebabkan berkurang pahalaku dan (jika nanti) ibu nampak mesti akan sedih”.

Urgh.. Dah nak kena korban pun, Nabi Ismail masih lagi ingat pada orang lain dan fikir tentang berkurang pahala. Kita hari ni, dosa pahala pun dah tak sempat nak fikir, asal seronok je.

“Wahai ayahku..”

Tenang sungguh Nabi Ismail, sungguh tenang walaupun kematiannya di berada di depan mata.

“Tajamkanlah pisau ayah serta percepatkan gerakan pisau itu dileherku supaya terasa lebih ringan bagiku kerana sungguh kematian itu amat dahsyat.”

Kemudian Nabi Ismail menambah pesanan yang terakhir kepada ayahnya tercinta, dan pesanan inilah yang paling sayu sangat, membuatkan suasana menjadi semakin haru dan sedih,

“Wahai ayah, apabila engkau pulang nanti maka sampaikanlah salam (kasih)ku kepada ibu, dan apabila pakaianku ini ayah pandang baik untuk dibawa pulang, maka lakukanlah..”

Saya tak tahu sama ada Nabi Ibrahim alayhi salam menangis atau tak masa tu. Tetapi kalau saya yang berada di situ, pasti saya akan menangis sampai merah mata. Sebab bila saya yang terjemah dan tulis semula ni pun menangis! Allahu Rabbi..

Dan saat suasana yang sangat haru pilu serta sayu ini, Nabi Ibrahim pun kata,

“Wahai anakku, sungguh engkau adalah anak yang SANGAT MEMBANTU dalam menjalankan perintah Allah Taala..”

Allahu Akhbar. Sungguh, kata-kata Nabi Ibrahim ni membuatkan saya termenung jauh. Adakah saya ni membantu ibu dan keluarga saya dalam menjalankan perintah Allah? Atau saya yang menghalang mereka?

Saya timbulkan juga persoalan ini untuk kau. Adakah kau menjadi sebaik-baik pembantu suami, atau isteri, atau mak ayah, atau adik beradik hatta kawan kau dalam menjalankan perintah Allah? Atau kau cuma menghalang mereka saja? Contohnya, saat mereka nak pergi program tarbiah, kau ‘halang’ mereka dengan kata,

“Tak payah la pergi. Pergi lain kali la…”

“Alaa.. program tu nanti kan boleh ikut..”

“Eleh, tak payah jadi baik sangat la. Kau pun sama je..”

Aduh, pedih.

Sambung balik kisah tadi. Masa Nabi Ibrahim nak sembelih anaknya, tiba-tiba Allah menarik ‘sifat’ pemotong pada pisau yang membuatkan pisau tu jadi tumpul. Dicuba beberapa kali, tetapi masih tak berjaya untuk sembelih anaknya. Baginda mula risau. Kemudian baginda asah pisau tu semula, dan cuba sembelih lagi. Namun Nabi Ismail langsung tak cedera. Baginda buat ulang-ulang kali sampailah turun wahyu Allah,

‘Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim!”

“Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan’.

(Surah As Saffat 37:104-105)

            Maka sebagai hadiah, Allah menghadiahkan mereka seekor kibas dari langit dengan menggantikan posisi Nabi Ismail alayhi salam.

Dan Kita?

            Lagi satu, walaupun Nabi Ibrahim dah berkorban banyak perkara seperti yang kita tahu, daripada korban perasaan sampailah tahap nak korban anak sendiri, itupun baginda masih lagi sebut dalam doanya,

“Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami)”

(Surah al Baqarah 2:127)

            Baginda pun masih berdoa pada Allah minta supaya Allah terima semua pengorbanan baginda. Perghh.

Saya nak ajak kita semua berfikir sejenak. Pertamanya, apa yang telah kita korbankan sebagai tanda cinta kita kepada Allah? Korbankan masa? Korbankan harta? Korbankan perasaan? Tetapi kenapa kita ‘korbankan’ semua itu waktu kita senang je? Agaknya Allah terima ke korban kita?

            Kenapa kita korbankan harta saat dah banyak duit, bukannya saat tengah takda duit dan kesusahan? Kenapa kita korbankan masa saat tengah banyak masa lapang, bukannya saat sedang sibuk? Kenapa kita baru korbankan perasaan saat sedang bersemangat, bukannya saat hati sedang berat?

Kalau kita ‘berkorban’ waktu senang, itu bukan korban namanya. Pengorbanan adalah waktu tengah betul-betul desperate, tertekan, terpaksa dan rasa berat, lalu kita lapangkan dada untuk korbankan apa yang betul-betul diperlukan. Itulah korban.

Yang keduanya, pernah tak kita ‘sembelih’ perasaan cinta kita pada dunia demi untuk Allah? Ramai orang datang solat sunat aidiladha, sampai melimpah ruah ke jalan raya. Tetapi bila waktu solat fardhu, masjid atau surau lengang je. Siap boleh main polis and thief lagi.

Pesanan khusus untuk diri saya yang selalu ‘terkoban’ dengan dunia,

Korbankanlah masa ber ‘facebook’ sekejap dan datanglah pada Allah.

Korbankanlah masa bercouple dan datanglah pada Allah.

Korbankanlah masa cerita Korea Melayu Jepun dan datanglah pada Allah.

Korbankanlah masa rehat kerja atau gap antara kuliah dan datanglah pada Allah.

Korbankanlah masa cuti dan datanglah pada Allah.

Korbankanlah masa makan, tidur, tandas, movie, couple dan datanglah pada Allah.

Korbankanlah masa lapang dan datanglah pada Allah..

Datanglah pada Allah dalam keadaan mengesot, merangkak mahupun berlari. Dan datanglah pada Allah dalam keadaan menangis sungguh-sungguh waktu doa, solat tahajud, solat dhuha, baca al Quran, dan sebagainya.

Kalau malas juga, tanya pada diri sendiri,

‘Apa pengorbanan yang aku dah buat?’

p/s : Ini adalah matan penuh ucapan Nabi Ismail kepada Nabi Ibrahim masa nak sembelih. Kalau kau reti baca Bahasa Arab, bacalah. Kata-kata ni mungkin lebih feel. Kalau nak lagi feel, buka tafsir al Qurtubi juzuk 18.

يَا أَبَتِ اشْدُدْ رِبَاطِيْ حَتَّى لاَ أَضْطَرِبَ….

وَاكْفُفْ عَنِّي ثِيَابَكَ حَتَّى لاَ يَنْتَضِحَ عَلَيْهَا مِنْ دَمِّيْ شَيْءٌ فَيَنْقُصَ أَجْرِيْ وَتَرَاهُ أُمِّيْ فَتَحْزَنُ….

وَيَا أَبَتِ اسْتَحِدَّ شَفْرَتَكَ وَأَسْرِعْ مَرَّ السِّكِّيْنِ عَلَى حَلْقِيْ لِيَكُوْنَ أَهْوَنُ عَلَيَّ فَإِنَّ الْمَوْتَ شَدِيْدٌ….

وَإِذَا أَتَيْتَ أُمِّيْ فَاقْرَأْ عَلَيْهَا السَّلاَمَ مِنِّيْ. وَإِنْ رَأَيْتَ أَنْ تَرُدَّ قَمِيْصِيْ عَلَى أُمِّيْ فَافْعَلْ….

فَقَالَ لَهُ إِبْرَاهِيْمُ : نِعْمَ الْعَوْنُ أَنْتَ يَا بُنَيَّ عَلَى أَمْرِ اللهِ تَعَالَى….

Sumber : Dipetik dari Bab 1 buku Aku Bukan Malaikat 2 : Obligasi karya Shukery Azizan. Kongsikan pada kawan-kawan dan group sebelah jom. Moga manfaat !! 🙂

4 Sebab Kenapa Sambut Valentine Day Haram?

4 Sebab Kenapa Sambut Valentine Day Haram?

Bismillah.

InsyaAllah, kali ini kami nak kongsikan tentang isu VALENTINE DAY. Kami terpanggil untuk hurai isu ini adalah kerana, isu ini setiap tahun berlaku, dan, ramai umat islam yang tak tahu apakah hukum menyambut valentine day ni. Lantas, akibat tak tahu, maka, ramailah pemuda pemudi, remaja seawal form 1 yang meraikan valentine day ni tanpa rasa bersalah, malah rasa bangga, gembira dan happy. Apabila di tegur, marah, tak puas hati, mengamuk dan sebagainya.

Pernah sekali, masa kami sedang edarkan flyers tentang “Say No to Valentine” kepada pasangan couple, kami pernah di herdik dan di caci depan-depan.

“Babi la kau. Pergi la jauh-jauh!”

“Sial apa budak ni?!”

Banyak lagi ayat-ayat yang di berikan pada kami. Tapi, nak buat macam mana. Takpe. Insyallah, mungkin ramai yang tak tahu. Tapi jangan risau, kami akan beritahu, kenapa Valentine Day di HARAMKAN dalam Islam. Jom terjah satu-satu. Apa pun, pastikan anda buang ego, bukak hati luas-luas, pejam mata dan tarik nafas. Supaya anda boleh baca artikel ni dengan kaca mata Al Quran dan Sunnah, bukan kaca mata nafsu.

4 SEBAB KENAPA VALENTINE HARAM

PERTAMA: IA BUKAN DARIPADA ISLAM

Secara umum, kalau korang nak tahu, perayaan Valentine Day ni bukanlah daripada Islam. Ia berasal daripada agama kristian. Dan sejarah “Valentine” ni sangat panjang, dan ada pelbagai versi serta pendapat. Secara mudahnya, Tarikh 14 February adalah tarikh kematian seorang paderi kristian yang bernama St Valentine. Yang mana, dalam satu riwayat dikisahkan bahawa, sebelum St Valentine dibunuh, beliau telah dipenjarakan. Dan semasa dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan seorang anak pegawai penjara, dan, di akhir hayatnya, beliau sempat menulis seucuk surat cinta kepada perempuan tu, yang bertanda-tangan,

“From Your Valentine”.

Maka, sempena memperingati persitiwa itu, maka sebahagian orang Kristian pun mengambil tarikh kematian St Valentine ini untuk menyambut hari Valentine, iaitu pada 14 February setiap tahun. Bermakna, pada ASALnya, hari valentine sebenarnya adalah hari memperingati paderi mereka, dan ia merupakan perayaan AGAMA!

Persoalannya sekarang, kita sebagai umat islam, mengapa kita turut meraikan hari Valentine ini sedangkan kita orang islam. Ya, orang ISLAM! Kerana itulah, menyambut Valentine hakikatnya dah termasuk bab aqidah, kerana ia melibatkan perayaan keagamaan!

KEDUA: BUDAYA MAKSIAT DALAM VALENTINE

Bila sebut valentine, kita akan tahu, budaya di dalamnya ialah menggalakkan budaya cinta dan couple, berpegang-pegang tangan, keluar dating bersama-sama, mengutus surat cinta kat awek dan pakwe masing-masing, bermesej I love you you love me we are happy family dan macam-macam lagi. Dan, lebih teruk dari itu, ramai anak muda yang BERZINA masa Valentine Day. Kalau pun tak berzina, time Valentine Day kebanyakan dari anak muda sudah mula pandai BERJINAK-JINAK dengan zina.

Soalan kami,

“Adakah semua benda tu tak dosa? Adakah semua benda tu Allah redha? Adakah semua benda tu nabi suka?”

Fikir semula. Kalau ada iman, nescaya kita akan diam membisu, lalu turut menangis, dan mengangguk serta berkata:

“Ya… Ianya berdosa.. Ya Allah, maafkan aku!!”

KETIGA: BUAT DOSA TERANG-TERANGAN

Kebanyakan orang, masa valentine lah mereka akan gunakannya sebagai peluang untuk ajak awek dan pakwe masing-masing pergi wayang. Bukankah itu satu dosa yang di buat secara terang-terangan? Masa valentine la mereka mula acah pergi restoran untuk berdating. Bukankah itu dosa terang-terangan? Masa inilah dating sambil berpegangan tangan, lalu swafoto (selfie) bersama dengan pasangan masing-masing. Kemudian upload di FB, instagram dan twitter masing-masing. Bukankah itu dosa terang-terangan?

Dan, korang tahu tak, dosa yang di lakukan secara terang-terangan, ianya amat di murkai Allah dan termasuk dalam kategori golongan mujahirin! Hatta, walaupun satu dosa itu dosa kecil, tapi kalau ia di buat secara terang-terangan, maka, dosa itu akan berubah menjadi dosa besar! Rasulullah bersabda yang bermaksud,

“Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.

(Riwayat Al-Bukhari)

Tapi, nak buat macamana, ramai yang tak lagi rasa bersalah! Kemudian, ada juga orang yang mula tak puas hati lantas bersuara:

“Ala, couple-couple kebanyakannya perg dating tengok wayang semua bukan time valentine je. Tapi hari biasa pun depa pergi. So, tak payahla nak salahkan valentine! Apa ke pelik kau ni….”

Kami jawab:

“Kau tak baca surat khabar? Kau tak pernah jumpa dan sembang dengan mereka-mereka yang terlanjur di pusat perlindungan? Kau tak pernah kaunseling mahasiswa yang bermasalah? Kau tahu tak, tiap kali valentine, kadar perzinaan meningkat, kadar couple berjalan-jalan dan berdating, meningkat? Sehingga ia dah jadi macam satu budaya yang tak asing di kalangan orang Islam, bahkan valentine daya adalah satu hari yang amat di tunggu-tunggu oleh orang yang bercinta? Kau tahu tak?!”

Bukalah mata. Nescaya kau akan nampak apa masalah yang berlaku. Tunggu, jangan buka mata sahaja. Buka juga hati. Namun, hati hanya akan terbuka jika di dalamnya di hiasi dengan Al Quran dan Hadis. Jika kita selalu bermaksiat, susah untuk hati kita untuk terbuka, dan akhirnya takkan mampu bezakan mana baik dan mana buruk.

KEEMPAT: MENGIKUT-IKUT BUDAYA BARAT

Mungkin akan ada orang yang tak puas hati, lantas mengeluarkan kata-kata di bawah:

“Apa yang kau panas sangat? Sekarang ni, ramai gila orang yang sambut valentine. Rileks je? Yang kau tak keharuan tu apahal? Rileks, Kat TV, kat Radio, kat surat khabar, movie dan drama, youtube bagai, semua happy dan mempromote valentine. Tenang bro. Kalau kau nak bajet baik, bajet baik lah sorang-sorang..”

Mereka guna alasan “Ramai orang sambut valentine, apa salahnya?!”. Maka, bagi menjawab isu ini, kami akan buat beberapa poin supaya kamu semua jelas,

1) Pernah tak dengar ayat Quran ni? Cuba baca berulang-ulang kali, sampai masuk kat lubuk hati. Baca…

وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ َ

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah.”

(Surah Al-An’am : 116)

Kalau kamu perhati ayat ni, Allah sebut dengan jelas, kalau kita ikut apa yang orang ramai buat, nescaya kita akan sesat! Kalau kita nak tahu satu perkara itu baik atau buruk, jangan nilai melalui perkara tu ramai orang buat ataupun sedikit orang yang buat! Tetapi, nilailah dengan kaca mata Al Quran dan sunnah.

Jadi, alasan,

“Ramai orang sambut valentine, apa salahnya”

Adalah satu kesalahan yang amat sangat.

2) Kedua, bila mula meniru budaya barat dengan bercouple, sambut valentine, takut-takut, kita akan bersama mereka di akhirat nanti. Allahu Akhbar. Moga dijauhkan Allah. Cuba kamu baca hadis ni! Baca, dan istighfarlah!

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

“Barangsiapa yang meniru-niru sesuatu kaum, dia akan termasuk kaum (agama) tersebut..”

(Hadis riwayat Abu Daud)

Maknanya, kalau kita tiru-tiru orang kafir sambut valentine, ikut budaya mereka, maka, takut-takut, kita boleh jatuh kafir tanpa kita sedar. Dan, takut-takut kita akan bersama mereka di Neraka nanti masa di Akhirat. Nauzubillah… Serius risau. Moga dijauhkan Allah kepada kita. Sebab tu perkara ni serius. Jangan main-main.

Tapi, nak buat macam mana. Sekarang, semua yang orang kafir buat, kita sebagai umat islam, nak juga ikut. Sehingga, perkara yang pelik-pelik pun kita nak ikut orang kafir. Benarlah nabi cakap,

لَتَتَّبِعُنَّ سُنَنَ الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍوَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوْا فِي حُجْرِ ضَبٍّ لاَتَّبَعْتُمُوهُمْ

“Kamu semua akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal sehasta demi sehasta sehingga kalau mereka masuk ke lubang biawak sekali kamu tetap akan mengikut mereka…”

(Hadis Riwayat Muslim)

Namun, malangnya, hari ni, kita rasa bangga kalau dapat ikut orang kafir. Kita rasa malu dan rasa amat hina bila mengamalkan islam. Mungkin, mungkinkah kerana kita benci Allah dan Rasul, lantas langsung tak menghargai mereka?

KEKELIRUAN

Semenjak dua menjak ini, ada beberapa golongan yang kononnya nak menjaga perasaan orang kafir, namun, mereka langsung tak jaga hak Allah dan Rasul serta seluruh umat islam yang cintakan islam. Muncullah ayat begini:

“Kenapa korang kata SAY NO TO VALENTINE? Nanti orang Kristian akan kecil hati! Cuba bayangkan kalau mereka kata SAY NO TO RAMADHAN, SAY NO TO HAJJ, SAY NO TO EID FITRI, apa perasaan kita??”

Entah kenapa wujud orang yang berfikiran sebegini. Maka, kami nak jawab supaya mereka jelas dan dapat memahami isu ini dengan baik insyallah. Kami akan terangkan satu persatu.

(a) Valentine Day pada asalnya seperti yang kami sebut, ia adalah perayaan agama. Namun, berlalu masa, kini, ia bukan lagi di sambut atas kapasiti keagamaan. Namun, ia di sambut atas kapasiti nafsu. Lantas, bukan agama kristian je yang sambut valentine. Orang Buddha, orang hindu, orang atheist, dan orang islam sendiri pun ada yang menyambut valentine ni!

Maka, disebabkan itu, sila jangan kaitkan ayat SAY NO TO VALENTINE dengan ayat SAY NO TO RAMDAHAN. Sebab, valentine, bukan orang kristian je yang sambut dan ia bukan lagi perayaan keagamaan, namun ia telah diselewengkan. Manakala, ramadhan, haji, eidul fitri semua tu adalah perayaan AGAMA ISLAM. Dan, hanya orang Islam yang amalkan benda tu. Tak kacau pun agama lain. Jadi, kenapa nak kaitkan dengan valentine?

(b) CEGAH MUNGKAR TU WAJIB. Hatta, kalau kita tak cegah mungkar, kita takkkan di iktiraf sebagai orang beriman, dan keislaman kita ada kecacatan. Bagaimana mungkin seorang yang mengaku Islam dan beriman langsung tak MENCEGAH KEMUNGKARAN VALENTINE?

Lagi pelik, bila ada orang kata:

“Apa salahnya orang kafir sambut valentine? Diorang kan kafir? Biasala tu…”

Kami jawab:

Masalahnya, bukan orang kafir je yang sambut valentine, orang islam pun sambut. Lagi satu, walaupun satu maksiat tu hanya di lakukan oleh orang kafir, kita masih WAJIB UNTUK TEGUR! Habis tu, takkanlah:

“Ala…biarlah orang kafir minum arak. Diorang kan kafir….”

“Ala, biasalah tu video lucah. Apa salahnya diorang zina. Kan diorang kafir…”

Ketahuilah, jika kamu langsung tak rasa sensitif apabila tengok maksiat atas alasan “mereka kafir”, bermakna hati kita ada masalah. Serius. Kalau macam tu, apa gunanya dakwah? Apa guna kita bertungkus lumus usaha untuk islam kan mereka? Maknanya, usaha nabi untuk islamkan kaum musyrikin tu tak betul lah? Ia seolah mempertikaikan dakwah Nabi dengan menyatakan,

“Alaa..Apa salahnya diorang sembah berhala, diorang kan kafir….”

Apakah? Muhasabahlah diri wahai kawan. Maksiat itu tetap maksiat. Dan, ianya wajib di cegah, tak kisah siapa pun pelakunya. Jika orang kafir buat maksiat, kita wajib tegur. Jika ulama’ buat maksiat pun, kita wajib tegur.

KESIMPULAN

Bagi kami, semua perkara, kalau kita lihat ia daripada kaca mata Al Quran dan Sunnah, nescaya kita akan nampak yang benar itu benar, dan yang salah itu salah. Tetapi, kalau kita lihat satu perkara dengan kaca-mata nafsu, nescaya, kita akan nampak yang benar itu salah, dan yang salah itu benar. False image.

Cukup-cukuplah bertuhankan nafsu. Kerana, tuhan kita adalah Allah, dan kita ada rujukan yang bersumberkan wahyu, iaitu al-Quran dan Sunnah. Kembalilah pada Islam yang sebenar, walaupun ia agak berat pada awalnya, namun kita akan rasa MANIS di akhirnya. Percayalah.

Dengan kembali pada islam, kita akan rasa nikmat yang tak terkata. Mungkin ada yang kata:

“Aku tak tahu benda ni salah…”

Takpe, Allah maha baik. Allah akan ampunkan dosa yang kita lakukan sebab kita tak tahu itu dosa ataupun kita tak sengaja. Allah cukup baik dengan kita, maka, kita jadilah baik pada agama Allah. Dan, kalau tak tahu satu perkara itu boleh ke tak boleh (mus, jangan buat. Allah ada sebut:

“Dan janglah kamu megikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggung jawabnya”.

(Surah Al-Isra : 36)

Say No To Valentine.

Wallahua’lam.

https://www.tarbiahsentap.com/2019/02/4-sebab-kenapa-sambut-valentine-day.html

Allah Hanya Menguji Apa Yang Kita Mampu Sahaja

Allah Hanya Menguji Apa Yang Kita Mampu Sahaja

Juzuk ke-3 merupakan bahagian terakhir untuk surah al-Baqarah dan ia terus bersambung dengan surah Ali-Imran hingga ayat ke 91. Untuk bahagian terakhir ini, saya akan pilih satu ayat yang mungkin sebahagian besar daripada kita pernah amalkan di dalam bacaan al-Mathurat. Iaitu ayat yang ke 286. Allah berfirman,

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَا‌ۚ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَيۡہَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡ‌ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَآ إِن نَّسِينَآ أَوۡ أَخۡطَأۡنَا‌ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحۡمِلۡ عَلَيۡنَآ إِصۡرً۬ا كَمَا حَمَلۡتَهُ ۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِنَا‌ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦ‌ۖ وَٱعۡفُ عَنَّا وَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَآ‌ۚ أَنتَ مَوۡلَٮٰنَا فَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡڪَـٰفِرِينَ

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

( Surah al Baqarah 2 : 286 )

Kalau jarang atau mungkin tidak pernah amalkan bacaan al-Mathurat, sekurangnya kita mungkin pernah terdengar ayat ini. Kadang kala di dalam tazkirah, kuliah, bahkan di dalam banyak buku motivasi ataupun di media sosial. Dan betapa cantiknya ayat ini, ia kerap kali menjadi penawar untuk kebanyakkan manusia terutama sekali dalam keadaan tertekan dengan ujian yang dihadapi.

Ia adalah satu pujukan direct daripada Tuhan. Pengalaman saya secara peribadi, memang ayat ini betul-betul penguat semangat agar tidak berputus asa. Ayat ini membetulkan mindset saya supaya sentiasa berfikir bahawa segala masalah dan ujian yang saya hadapi, mesti dan pasti saya boleh hadapi. Apa pun, untuk tadabbur ayat ini, saya nak berkongsi pada sebahagian kecil permulaan ayat, yakni,

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَا‌ۚ

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya..”

Daripada ayat ini, jelas dan nyata lagi terang bersuluh bahawa Allah TIDAK AKAN SEKALI-KALI membebankan, menguji, atau memberati seseorang itu,

إِلَّا وُسۡعَهَا‌ۚ

KECUALI apa yang dia terdaya dan termampu. Ya teman, Allah tidak akan menguji saya, awak dan kita semua kecuali apa yang paling kita termampu. Maknanya, segala masalah, ujian, bencana, kesakitan, kesedihan, dan semua yang kita rasakan negatif menimpa diri sendiri, sebenarnya kita MAMPU untuk hadapi. Cuma bezanya lambat atau cepat saja. Kemudian Allah tambah lagi,

لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَيۡہَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡ‌ۗ

“..Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya..”

Subhanallah. Cantik sangat formula Allah yang maha Adil pasakkan di atas dunia ini. Ayat ini pula secara terus terang memberitahu, setiap perbuatan baik yang kita lakukan, di sana ada nikmat pahala dan Syurga. Begitu juga setiap perbuatan buruk yang kita lakukan, di sana juga ada balasan dosa dan Neraka. A person will benefit whatever they earn, and whatever they earns (in term of sins), will go against them.

Daripada ayat ringkas di atas, pengajaran yang kita boleh pelajari,

1.         Dalam hidup ini, Allah akan berikan setiap ujian berdasarkan kapasiti kemampuan kita. Ujian demi ujian yang kita terpaksa lalui, sebenarnya PASTI dan PASTI kita kuat dan mampu sangat untuk hadapi. Percayalah, you never know how strong you are, until being strong is the ONLY choice you have. Mungkin ada yang tertanya, apakah tips yang boleh dibuat dalam menghadapi ujian supaya terus kuat dan tidak putus asa? Saya boleh kongsikan beberapa perkara, antaranya,

a) Yakin dalam hati, bahawa setiap ujian daripada Allah adalah untuk menguatkan lagi iman dan nak menghapuskan segala dosa-dosa kita. Dan Allah hanya menguji bergantung pada sekuat mana iman kita. Tidak lebih, dan tidak kurang. Satu ketika, Rasulullah ﷺ pernah ditanya oleh seorang sahabat, “Siapakah orang yang paling berat ujiannya?” Baginda menjawab,

“Para Nabi, kemudian orang yang seperti mereka sesudahnya, dan orang yang seperti mereka berikutnya lagi. Seseorang akan diuji sesuai kadar (kekuatan) agamanya. Jika (pegangan) agamanya kuat, maka ujiannya akan bertambah berat. Jika agamanya lemah, maka akan diuji sesuai kadar kekuatan agamanya. Maka senantiasa seorang hamba diuji oleh Allah sehingga dia dibiarkan berjalan di atas permukaan bumi tanpa memiliki dosa.”

(Riwayat Tirmidzi)

Dalam hadis lain, Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud,

“Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, gundah-gulana hingga duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian daripada dosa-dosanya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Dan banyak lagi hadis yang beritahu kita bahawa setiap ujian adalah bergantung sejauh mana keimanan kita, dan ia juga sebagai satu proses penghapusan dosa.

b) Jangan cuba membanding-bandingkan ujian kita dengan orang lain. Ketahuilah, Allah menguji setiap orang BERBEZA-BEZA. Sebab apa? Sebab kemampuan setiap orang berlainan. Ujian yang dilalui adalah sesuai dengan kemampuan orang itu. Allah tidak akan beri ujian secara ‘pukul rata’. Ujian yang saya lalui, tak semestinya awak boleh lalui. Begitu juga ujian yang awak lalui, tidak semestinya saya boleh lalui.

            Ada orang diuji dengan perceraian ibu bapa, hidup dalam kemiskinan sehingga merempat, hidup dalam keluarga yang jauh daripada agama, susah belajar, cacat anggota, dan sebagainya. Tetapi ada orang lain diuji dengan hidup kaya raya sampai harta melimpah ke jalan raya, hidup dalam keluarga yang sangat kuat amalkan agama, terlalu genius dengan kadar IQ 999, terlalu sempurna anggota, dan sebagainya. Itu semua ujian walaupun nikmat yang diberi keliling pinggang.

             Ada orang diberi ujian kemiskinan, tetapi dia bersabar, akhirnya dia berjaya keluar daripada garis kemiskinan dalam tempoh beberapa tahun. Tetapi ada orang lain diberi ujian kekayaan, namun dia terlalu tamak, akhirnya muflis dan merempat di tepi jalan sampai bertahun-tahun lamanya. Begitulah seterusnya. Jadi teman, jangan bandingkan diri kita dengan orang lain.

c) Jangan cuba melarikan diri daripada masalah. Hadapi, dan berusaha untuk selesaikan walaupun mengambil masa bertahun-tahun lamanya. Bahkan mungkin mengambil masa seumur hidup. Yang penting, hadapinya, jangan putus asa. Putus asa bukan satu pilihan. Semakin kita lari daripada masalah, semakin besar masalah itu mengejar kita. Ada orang cuba lari daripada masalah dengan harapan hati akan tenang. Ketahuilah, kalau tenang pun, ia cuma sementara saja. Hakikatnya, kita tak boleh menipu diri sendiri.

2.         Apabila kita baca ayat,

لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَيۡہَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡ‌ۗ

“..Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya..”

Ada satu rahsia menarik di sebalik ayat ini. Apa dia? Iaitu bila mana kita mula lakukan dosa, kadang-kadang kita akan rasa MUDAH sangat. Tetapi apabila nak buat pahala, kita akan rasa SUSAH dan berat sangat. Eh, kenapa macam itu? Buat dosa memang MUDAH untuk jangka PENDEK, tetapi KESANNYA akan kekal dalam tempoh yang sangat PANJANG. Manakala nak mencari pahala memang SUSAH untuk jangka PENDEK, tetapi KESANNYA akan datang dalam tempoh jangka PANJANG.

Saya beri contoh merokok. Awal-awal merokok memang mudah dan seronok. Boleh main asap, bahkan rasa macam berlagak dewasa lagi-lagi yang masih sekolah. Ditambah pula dapat kawan belanja. Tetapi kesannya, akan ketagih sampai ke tua. Bahkan, dapat pakej penyakit seperti sakit jantung, kanser paru-paru dan hati, gigi kuning, bibir hitam, nafas berbau, bahkan sampai mandul pun ada. Saat itu, awak akan rasa terseksa terlalu lama. Sama juga seperti berzina. Awalnya rasa seronok, tetapi apabila dah mengandung anak luar nikah, masa itu rasa menyesal, terseksa, tertekan, dan sebagainya.

Atau contoh lain, nak bangun solat tahajud. Awal-awal memang rasa susah. Nak kena tidur seketika, kemudian bangun dua pertiga malam. Dengan mata mengantuk lagi. Memang susah. Tetapi apabila jadi kebiasaan, bukan setakat hati akan tenang, malah keberkatan dari langit turun melimpah ruah. Ataupun contoh lain semasa zaman belajar. Masa nak ulang kaji, memang susah sangat nak faham. Bahkan terpaksa tidur lewat, menghadap buku sampai bengkak mata, ikat perut, dan sebagainya. Tetapi apabila dah berjaya, dapat keputusan cemerlang, masuk alam pekerjaan, kita akan rasa zaman belajar ini mudah saja rupanya. Apatah lagi kalau kita merenung subjek SPM yang adik kita ambil pula. Cuba ingat balik saat kita nak SPM dulu, berbuih mulut nak belajar. Kesimpulannya, setiap dosa dan pahala yang kita buat akan ada “HARGA” yang kita kena bayar.

3.         Yang terakhir, cuba kita usaha untuk biasanya membaca doa pada bahagian terakhir ayat ini. Bukan setakat baca, bahkan fahami dan hayati maknanya. Iaitu pada bahagian,

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَآ إِن نَّسِينَآ أَوۡ أَخۡطَأۡنَا‌ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحۡمِلۡ عَلَيۡنَآ إِصۡرً۬ا كَمَا حَمَلۡتَهُ ۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِنَا‌ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦ‌ۖ وَٱعۡفُ عَنَّا وَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَآ‌ۚ أَنتَ مَوۡلَٮٰنَا فَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡڪَـٰفِرِينَ

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

Doa ini terlalu unik, sebab ada beberapa poin yang sangat penting, sesuai dengan tajuk ini. Iaitu, doa ini kita meminta Allah supaya maafkan kesilapan kita, jangan beri bebanan yang kita sendiri tidak mampu, dan penutup doa ini disudahi dengan minta keampunan, rahmat dan kekuatan. Sebagai penutup, saya nak kongsikan satu hadis untuk kita hayatinya. Rasulullah ﷺ sallahu alayhi wasallam bersabda yang bermaksud,

“Sungguh mengkagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik. Dan hal itu tidak akan diperoleh kecuali oleh seorang mukmin. Apabila dia mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Maka hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila dia ditimpa kesusahan maka dia bersabar. Maka itu juga merupakan kebaikan baginya.”

(Riwayat Muslim).

Moga kita terpilih menjadi seorang yang memiliki dua sayap agung, iaitu sayap syukur dan sayap sabar. Ameen.

Wallahua’lam.

– Shukery Azizan –

Jangan Kecewa Apabila Dakwah Ditolak

Jangan Kecewa Apabila Dakwah Ditolak

Alhamdulillah. kita dah masuk juzuk yang ke-4, dan surah kali ini adalah surah Ali-Imran. Nama surah ini sempena dengan ali-Imran iaitu keluarga Imran sebab terdapat banyak kisah mereka dalam ayat 33 hingga beberapa ayat selepas itu. Surah ini dalam kategori Madaniyyah. Imam Ibnu Kathir kata, “Surah ini mempunyai kelebihan yang disekalikan dengan surah al-Baqarah seperti sabda Rasulullah ﷺ; ‘Hendaklah kamu mempelajari surah al-Baqarah dan ali-Imran kerana kedua-duanya ibarat dua zahrawani yang memayungi pembacanya pada Hari Kiamat atau kedua-duanya seolah-olah awan yang memayunginya.’” Sebahagian ulama menafsirkan maksud al-Zahrawani dengan dua cahaya.

Surah ini ada beberapa nama lain yang agak terkenal di antaranya seperti al-Aman (keamanan), al-Kanz (simpanan dan khazanah), al-Muinah (yang menolong), al-Mujadilah (yang berdebat) dan juga digelar sebagai surah al-Istighfar. Antara kaitan surah Ali-Imran dengan surah al-Baqarah adalah, dalam surah al-Baqarah ada ceritakan tentang patung lembu yang dibuat oleh Samiri, kemudian disembah oleh orang Yahudi. Jadi, kalau Yahudi puja Baqarah (patung lembu) dalam surah al-Baqarah, maka dalam surah Ali-Imran pula cerita orang Nasara (Kristian) memuja Ali Imran dan keluarganya. Ali Imran adalah keluarga kenabian. Mereka puja ahli keluarga Imran seperti Maryam dan Nabi Isa alaihissalam. Kalau Yahudi puja lembu kerana nampak lembu itu pelik, Kristian pula memuja Ali Imran dan keluarganya sebab mereka ada karamah dan mukjizat. Selain daripada mereka berdua, orang Kristian juga memuja Ruhul Qudus, iaitu Malaikat Jibrail.

            Sebelum kita teruskan tadabbur, saya nak kongsikan satu kisah menarik tentang peristiwa sebelum surah Ali Imran ini diturunkan. Sebelum surah ini turun, ada beberapa wakil Kristian daripada Najran datang untuk berdebat dengan Nabi Muhammad ﷺ. Kejadian ini berlaku pada sekitar tahun 9 Hijrah di Madinah iaitu setelah pembukaan kota Makkah. Najran adalah daerah penganut Kristian. Mereka ada mendengar tentang Nabi Muhammad ﷺ dan Islam. Apa yang buat mereka marah apabila dikatakan yang penganut Kristian adalah sesat.

Jadi, ada sekitar 60 orang Kristian datang nak jumpa Rasulullah ﷺ di mana 14 daripadanya adalah ketua agama. Mereka menjadi tetamu umat Islam waktu itu dan ditempatkan di Masjid Nabawi. Sahabat melayan mereka dengan baik. Walaupun kafir, dan nak berdebat pasal Islam pun, tetapi dilayani dengan baik. Mereka marah apabila dikatakan yang Nabi Isa alaihissalam itu hanya manusia biasa dan tidak boleh dipuja dan disembah.

Apabila mereka hendak berhujah dengan Rasulullah ﷺ, baginda suruh tunggu sahaja. Maka kemudian, Allah turunkan surah ini. Dan pada akhir surah ini, ada ajakan untuk mubahalah dengan mereka. Mubahalah adalah sumpah laknat antara kita dengan orang musyrik untuk minta Allah tunjukkan siapa yang benar. Kalau selepas dah beritahu juga ayat-ayat daripada surah Ali Imran ini, masih degil juga, mubahalah adalah jalan terakhir. Tetapi nak diringkaskan cerita, orang Kristian pun terpaksa mengalah sebab dah nampak azab di depan mata. Nak tahu cerita lebih terperinci, boleh baca tafsir atau tanya ustaz. Hehe. Untuk tadabbur kali ini, saya memilih ayat yang ke 184, Bismillah,

فَإِنْ كَذَّبُوكَ فَقَدْ كُذِّبَ رُسُلٌ مِنْ قَبْلِكَ جَاءُوا بِالْبَيِّنَاتِ وَالزُّبُرِ وَالْكِتَابِ الْمُنِيرِ

“Oleh itu, jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad, maka janganlah engkau berdukacita), kerana sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu telah didustakan juga; mereka telah membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab (nasihat pengajaran), serta Kitab (Syariat) yang terang jelas.”

(Surah Ali-Imran 3:184)

            Dalam ayat 183, orang-orang Yahudi menentang dakwah Rasulullah ﷺ, kemudian baginda berhujah dengan mereka tentang hal korban dan mukjizat. Tetapi orang Yahudi tentang tak nak beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ. Jadi ayat ini diturunkan untuk Allah memujuk baginda supaya jangan bersedih dengan hal itu. Orang menolak dakwah ini memang perkara biasa. Allah menyebut,

فَإِنْ كَذَّبُوكَ فَقَدْ كُذِّبَ رُسُلٌ مِنْ قَبْلِكَ

“Oleh itu, jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad, maka janganlah engkau berdukacita), kerana sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu telah didustakan juga;..”

            Dalam ayat ini jelas Allah memujuk dan menasihati baginda supaya jangan berdukacita dan berputus asa. Sebab ini bukan perkara baru. Nabi yang sebelum baginda sejak zaman berzaman pun sudah lalui perkara yang sama. Tujuan Allah ceritakan hal ini kepada Rasulullah ﷺ dan para sahabat supaya hati mereka terasa tenang dan sejuk sikit. Sebab mereka tahu orang lain sebelum mereka pun sudah kena juga. Secara psikologinya, bila ditimpa masalah, biasanya kita akan rasa gelisah sebab merasakan diri kita seorang saja yang kena. Tetapi, bila tahu ada orang lain pun sama, secara tak sedar kita akan sedikit lega. Kemudian Allah sambung lagi,

جَاءُوا بِالْبَيِّنَاتِ وَالزُّبُرِ وَالْكِتَابِ الْمُنِيرِ

“..mereka telah membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab (nasihat pengajaran), serta Kitab (Syariat) yang terang jelas.”

            Rasul yang terdahulu pun dah bawa segala macam tanda dan mukjizat untuk ditunjukkan kepada umat mereka sebagai bukti. Bahkan bawa kitab-kitab yang merupakan wahyu daripada Allah sebagai penunjuk dan syariat untuk mereka. Tetapi sayangnya, umat mereka tetap menolak para Rasul.

Pengajaran untuk juzuk kali ini mudah saja,

1.         Kepada pendakwah, janganlah cepat merasakan putus asa dan terlalu sedih sekiranya dakwah awak ditolak sama ada keluarga, kawan-kawan ataupun masyarakat. Sebab dakwah para Nabi dan Rasul pun selalu kena tolak, bahkan ada Rasul yang kena bunuh. Sebab itu, terus sampaikan dakwah walaupun banyak kali ditolak.

2.         Dan satu lagi, dakwah ini ada macam-macam cara dan kaedah selagi mana mengikut syarak. Kalau tak berjaya pelan A, buat pelan B dan sampailah Z. Contoh kalau nak dakwah kawan baik awak yang tak pakai tudung. Kalau awak ajak dia tutup aurat tetapi dia tak nak ikut, janganlah terus putus asa. Cuba kaedah lain pula, contohnya hadiahkan dia tudung pula. Sama juga kalau kawan awak tak solat. Kalau kita ajak dia tak nak ikut, ajak lagi esoknya. Poinnya, jangan putus asa, dan pelbagaikan kaedah dan teknik. Dan paling penting, doa sungguh-sungguh moga Allah kurniakan mereka taufiq dan hidayah untuk berubah, bertaubat dan kembali kepada Allah.

Wallahua’lam.

– Shukery Azizan –

Kenapa Nak Putus Asa Dengan Allah?

Kenapa Nak Putus Asa Dengan Allah?

Alhamdulillah, kali ini kita masuk pula ke surah yang baru lagi, iaitu surah ketiga terbesar yang diturunkan dalam fasa Madinah, iaitu surah Madaniyyah, selepas surah al-Baqarah dan ali-Imran. Surah ini dinamakan an-Nisa’ yang bermaksud wanita. Salah satu sebab dinamakan an-Nisa’ kerana surah ini banyak membicarakan tentang hal yang berkaitan dengan wanita berbanding surah lain. Contohnya seperti hak wanita, tanda-tanda wanita solehah, pembahagian harta pusaka, pemberian mahar kepada wanita dalam munakahat, nasab, susuan dan lain-lain. Oh ya, ada satu lagi surah yang banyak cerita tentang wanita adalah surah at-Talaq.

            Apa pun, kalau kita renungkan, surah an-Nisa’ ini juga sekaligus mengangkat martabat dan maruah perempuan ke tahap yang tertinggi. Sebab kalau kita perhatikan zaman jahiliah, wanita hidup dalam keadaan terhina. Jadi hamba seks, bayi perempuan dibunuh hidup-hidup, hak wanita diabaikan, dan sebagainya. Dengan kedatangan Islam, maruah wanita diangkat setinggi-tingginya. Dan kalau awak nak tahu, harga bagi sebuah maruah seorang wanita (dan juga seorang lelaki) adalah SYURGA. Bukannya harta, takhta ataupun kuasa.

Tetapi sayangnya, zaman hari ini maruah perempuan dihina sekali lagi. Contohnya, berapa banyak wanita yang dieksploitasi untuk tujuan pemasaran dan pengiklanan. Daripada produk kosmetik, sehinggalah jual tayar kereta pun ada model wanita! Apa kaitan? Itu belum lagi yang jadi paddock atau umbrella girls dalam perlumbaan motor atau kereta, dan sebagainya. Allah.. Betapa sedihnya maruah wanita yang diperlakukan sebegitu. Itu belum lagi kalau dalam kalangan remaja, dengan istilah bohsia, cikaro, dan lain-lain. Moga Allah pelihara zuriat keturunan kita daripada terhancurnya maruah. Ameen.

            Apa pun, untuk juzuk 5 ini, sebenarnya saya nak pilih beberapa ayat. Antaranya ayat ke 40, 110 dan 147. Tetapi lepas fikir panjang, saya pilih yang ayat yang ke 147. Sebab ayat yang ke 40 dan 110 boleh diambil pengajaran bersama dengan ayat ke 147 ini. Saya akan hurai dalam bahagian pengajaran. Moga bermanfaat. Bismillah.

مَّا يَفْعَلُ اللّهُ بِعَذَابِكُمْ إِن شَكَرْتُمْ وَآمَنتُمْ وَكَانَ اللّهُ شَاكِراً عَلِيماً

“Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).”

(Surah An Nisa’ 4 : 147)

Ayat yang ke 147 ini serius sangat menarik dan menyentuh perasaan. Tetapi kalau nak lebih menyentuh perasaan, cuba kita perhatikan 2 ayat sebelum itu, iaitu ayat yang ke 145 dan 146. Dalam ayat ke 145, Allah menceritakan tentang azab kepada orang-orang munafik. Siapa orang munafik ini? Orang munafik adalah orang kafir yang berpura-pura masuk Islam, dan bertujuan untuk menghancurkan Islam daripada dalam.

Dan tiada siapa pun tahu siapakah yang munafik, kecuali Allah, Rasulullah ﷺ dan Huzaifah al Yamani, seorang sahabat yang menyimpan rahsia Rasulullah ﷺ. Rasulullah ﷺ pernah memberitahu senarai orang munafik, dan meminta beliau merahsiakan sebelum baginda wafat. Selepas kewafatan Huzaifah pula, tiada siapa tahu siapakah yang munafik. Sebab munafik adalah penyakit hati, tidak diketahui kecuali Allah sahaja. Kita tidak disuruh untuk cari siapakah munafik walaupun diberitahu tentang hadis ciri-ciri nifaq. Ciri-ciri itu adalah untuk muhasabah diri sendiri, bukan melabel sesama Muslim.

Dan munafik ini lebih bahaya daripada orang kafir yang jelas nyata memerangi Islam. Mungkin itu salah satu sebab kenapa Allah campakkan golongan munafik ke dalam Neraka yang paling BAWAH ! Allah berfirman yang bermaksud,

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) Neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.”

(Surah an-Nisa 4 : 145)

Serius seram! Tetapi….. Allah sambung lagi pada ayat seterusnya, yang mana Allah memberi pengecualian kepada orang yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Allahu Rabbi. Maha pemurahnya dan baiknya Allah. Bukan setakat Allah ampunkan dan menerima taubat mereka, bahkan Allah kumpulkan mereka dengan orang yang beriman pula sekaligus menganggap mereka ini sebagai orang yang beriman! Dan Allah berikan satu lagi nikmat agung. Apa dia? Iaitu masuk ke dalam Syurga Allah. Allahu Akhbar. Allah sebut dalam al-Quran yang bermaksud,

“Kecuali orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (agama) Allah, serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana Allah, maka mereka yang demikian itu ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman (di dalam Syurga); dan Allah akan memberikan orang-orang yang beriman itu pahala yang amat besar.”

(Surah an-Nisa’ 4 : 146)

Kenapa saya terangkan ayat ke 145 dan 146 terlebih dahulu? Sebab saya nak beritahu kepada awak, ini adalah bukti betapa sayangnya Allah kepada kita dengan sentiasa memberi pengharapan supaya manusia terus kembali kepadaNya. Manusia yang macam mana? Manusia (terutama orang Islam) seperti kita semua yang kadang-kadang merasakan diri sendiri sebagai HIPOKRIT. Malah, banyak kali melakukan ciri-ciri nifaq seperti berbohong, tidak amanah, khianat, dan sebagainya. Bahkan, kadang-kadang, ada orang yang terlajak hingga jauh atau meninggalkan terus agama.

Sampai satu saat, mereka sangka bahawa Allah dah tidak mahu ampunkan mereka. Mereka sangka Allah dah BENCI mereka. Mereka sangka Allah tidak akan maafkan mereka. Mereka sangka dah tiada jalan balik lagi untuk masuk Syurga. Dan mereka sangka bahawa mereka dah tidak boleh bertaubat lagi. Bila datang perasaan ini, Syaitan pun semakin galak menghasut lagi,

“Haa! Memang Allah benci kau. Dia akan masukkan kau ke dalam Neraka. Kau tak ada peluang untuk taubat. Masak la kau Neraka.”

“Kita kan ahli Neraka berdaftar, tak payah nak bergaul sangat dengan orang alim yang kononnya ahli Syurga tu.”

Hingga akhirnya kadang sampai terfikir,

“Kenapa Allah hidupkan manusia? Kenapa beri ujian pada manusia? Kenapa Allah cipta Neraka? Kenapa mesti kena seksa? Kenapa dan kenapa?”

Apabila timbul persoalan demi persoalan sebegini, sebenarnya Allah dah sediakan jawapan di dalam al Quran,

مَّا يَفْعَلُ اللّهُ بِعَذَابِكُمْ

“Apa gunanya Allah menyeksa kamu…”

Inilah bahagian yang paling menyentuh perasaan saya secara peribadi. Kenapa Allah perlu seksa kita? Kenapa Allah perlu hukum kita? Sekiranya kita..

إِن شَكَرْتُمْ وَآمَنتُمْ

“…sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)?..”

Allahu Rabbi. Apa gunanya Allah menyeksa sekiranya dalam hati kita ada sekelumit rasa syukur dan beriman pada Allah. Walaupun mungkin perasaan syukur dan keimanan itu lebih kecil saiznya daripada skala Planck. Kenapa perlu Allah seksa kalau macam itu? Bahkan lebih daripada itu, Allah sambung lagi,

وَكَانَ اللّهُ شَاكِراً عَلِيماً

“Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).”

Untuk pengetahuan, kalimah شَاكِر (syaakir) dalam kaedah bahasa Arab sepatutnya digunakan untuk HAMBA. Tetapi untuk ayat ini, Allah menggunakan untuk diriNya sendiri. Analoginya seperti, Yang Dipertuan Agong Malaysia (YDPA) datang ke rumah kita, dan berbual dengan menggunakan kata ganti diri “saya”, bukannya “beta”. Allahu. Betapa Allah nak tunjukkan kepada kita semua bahawa Allah sungguh-sungguh menghargai keimanan dan syukur kita yang sebenar-benar ikhlas itu, walaupun hanya sedikit.

Pengajaran yang paling berharga untuk kali ini adalah,

1.         Duhai teman, sungguh bahawa Allah sayang sangat pada kita. Sungguh saya tidak tipu. Allah sayang kita semua. Ini adalah bukti dan harapan yang Allah berikan kepada kita. Harapan yang TIDAK pernah mengecewakan. Harapan yang TIDAK pernah mati. Harapan yang sentiasa hidup. Harapan yang sentiasa memberi semangat dan motivasi. Allah hanya mahukan kita BERSYUKUR walaupun sedikit dan BERIMAN kepada Allah dengan keimanan yang sungguh-sungguh. Pernah satu hari anak Imam Hasan al-Basri terluka di tangannya. Lalu Hasan al-Basri bertanya kepada anaknya lebih kurang, “Adakah tangan kamu cedera? Nampak seperti berdarah..” Anaknya menjawab,

“Wahai ayahku.. Syukur alhamdulillah. Syukur kepada Allah kerana hanya membenarkan tangan aku sahaja yang terluka berdarah sedangkan BADAN aku masih selamat…”

Allah.. Ibnu Athaillah al-Sakandari juga pernah menyebut, “Siapa yang tidak mensyukuri nikmat Tuhan, maka bererti dia berusaha untuk menghilangkan nikmat itu. Dan siapa yang bersyukur atas nikmat bererti telah mengikat nikmat itu dengan ikatan yang sangat kuat.”

Jadi apa saya nak sampaikan adalah, bersyukur dan berimanlah pada Allah dengan sungguh-sungguh. Nescaya Allah akan ampunkan dosa, hargai dan muliakan kita. Allah sayang pada kita semua. Ketahuilah, Allah TIDAK mahupun untuk menyeksa atau menghukum kita. Sekiranya kita bersyukur dan beriman pada Allah.

2.         Macam saya sebut, pada ayat yang ke 40 dan 110 surah An-Nisa’ ini seakan memberi signal kuat kepada kita bahawa Allah sungguh-sungguh cintakan kita! Saksikan, pada ayat yang ke-40, Allah berfirman yang bermaksud,

“Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.”

Dan pada ayat yang ke 110, Allah juga berfirman yang bermaksud,

“Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Allahu Akhbar! Maha baik dan Maha penyayang Allah melebihi daripada kemurkaanNya. Walaupun kita buat amalan hanya sebesar zarah sekalipun, Allah tetap akan MENGGANDAKAN pahala itu. Bahkan, sekiranya kita buat jahat dan menganiaya diri sendiri (melakukan kezaliman seperti berzina, menipu, jadi gay dan lesbian, atau apa-apa dosa pun), maka kalau bertaubat, Allah akan AMPUNKAN. Allah ampunkan tanpa syarat. Tanpa syarat wahai teman. Baiknya Allah. Maka, persoalan saya nak timbulkan untuk kita sama-sama fikir.

Kenapa perlu putus asa dengan Allah? Sedangkan Allah berkali-kali TIDAK PERNAH putus asa untuk memujuk kita bertaubat?

Wallahua’lam.

– Shukery Azizan –

Create your website with WordPress.com
Get started