PERKEMBANGAN ISLAM DI ANDALUSIA (samb) (Siri 23)

CABARAN PEMERINTAHAN ANDALUSIA

PERKEMBANGAN ISLAM DI ANDALUSIA (samb) (Siri 23)

Islam sebagai agama yang meletakkan kedudukan manusia sama sahaja tanpa batas kaum dan keturunan. Ianya telah menyemarakkan perkahwinan tanpa mengira keturunan. Penduduk Andalusia berkahwin dengan kaum Muslimin yang berasal keturunan Arab dan juga Barbar atau juga disebut Amazig. Hasil perkahwinan ini lahirlah zuriat keturunan Muslim Andalusia.

Manakala sistem ekonomi, pentadbiran dan peradaban semakin berkembang di Andalusia. Sebelum ini Andalusia adalah sebuah wilayah yang kurang berkembangnya sistem-sistem ini kerana hanya dikawal oleh penguasa sahaja. Antara kemajuan yang besar yang dicapai adalah pembinaan jambatan Cordova yang masyhur dan terkenal. Ianya menjadi jambatan pertama yang hebat di Eropah.

Seterusnya pembinaan kapal-kapal yang besar dan armada laut yang kuat terdiri dari para tentera kaum Muslimin. Gudang persenjataan turut didirikan bagi membuat persediaan serangan musuh. Sistem pendidikan Arab turut terkenal di Andalusia, penduduk mula minat mempelajari bahasa Arab dan diajarkan di sekolah-sekolah yang dimiliki oleh Yahudi dan Nasrani.

Cordova telah dipilih sebagai ibu kota pantadbiran kerajaan Andalusia. Sebelum ini Toledo merupakan ibu kota semasa pemerintahan Raja Roderic. Pemilihan Cordova mengambil kira beberapa faktor antaranya kedudukan Toledo terlalu hampir dengan kota As-Shakrah yang masih dalam keadaan bahaya dan terlalu dekat dengan Perancis. Selain itu kota Toledo masih belum aman maka tidak sesuai pusat pentadbiran dijalankan di sana. Dengan memilih Cordova sebagai ibu kota maka lebih mudah untuk mendapatkan bantuan ketenteraan dari Maghribi sekiranya berlaku serangan dari musuh.

Pada zaman ini juga telah dirangka strategi bagi menguasai Perancis. Beberapa orang gabenor Andalusia berusaha menyusun perancangan untuk menyebarkan dakwah Islam ke Perancis. Insya Allah tajuk ini akan dikongsi esok.

PERKEMBANGAN ISLAM DI ANDALUSIA (samb) (Siri 22)

CABARAN PEMERINTAHAN ANDALUSIA

PERKEMBANGAN ISLAM DI ANDALUSIA (samb) (Siri 22)

Islam adalah agama yang tidak membezakan manusia dengan darjat, keturunan, warna kulit atau kasta. Inilah ajaran yang dibawa oleh para Rasul. Manusia sama sahaja di sisi Allah sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran,

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Masudnya : Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah Al-Hujurat 49:13)

Apabila Andalusia telah berada dalam kekuasaan Islam, maka kaum Muslimin mengajar dan menyatakan bahawa tiada siapa yang lebih mulia melainkan mereka yang paling bertaqwa. Pemimpin dan rakyat sama sahaja akan bertanggungjawab atas segala yang dilakukan di sisi Allah. Tiada manusia yang hina atau diperhambakan semuanya merdeka dan bebas untuk hidup.

Hasil seruan ini makin ramai penduduk Andalusia yang tertarik dan menganut agama Islam. Malah mereka melihat sendiri bagaimana pemimpin Islam hidup sederhana, tidak megah dan bermewah dengan harta rakyat. Keadaan ini sangat berbeza ketika Andalusia dikuasai oleh pemerintah Nasrani yang mewah, rakus, zalim dan tidak memandang kepada golongan yang dianggap berketurunan rendah.

Seruan Islam terus berjalan, masjid-masjid didirikan dengan laungan azan berkumandang menusuk ke dalam jiwa. Panggilan yang penuh makna dari kalimah azan iaitu,

Allah Maha Besar

Tiada Tuhan Selain Allah

Muhammad Rasulullah

Marilah Solat

Marilah Menuju Kejayaan

Sedangkan panggillan dalam agama Nasrani hanyalah bunyi loceng yang tiada istilah dan erti kepada jiwa. Lama-kelamaan panggilan azan ini menarik minat penduduk Andalusia ingin mengetahui tentang Islam.

Selain itu gereja-gereja tidak di ganggu oleh pemimpin Islam serta anutan agama selain Islam tidak dicerobohi. Ini juga satu kekaguman yang menjadi faktor penduduk Andalusia yang asalnya Nasrani tertarik untuk mendekati Islam. Lama-kelamaan gereja semakin kurang didatangi oleh penganutnya, mereka menawarkan untuk menjual gereja kepada kaum Muslimin bagi dijadikan masjid. Bayangkan apabila orang Islam memimpin dengan cara yang betul maka orang-orang non-Muslim tertarik kepada agama Islam. Sebaliknya jika dipimpin dengan cara yang salah, sukar untuk menarik non-Muslim kepada agama Islam.

Pemimpin yang soleh akan menjadi cahaya kepada orang ramai. Pemimpin yang songlap akan menjauhkan orang ramai kepada kebenaran.

PERKEMBANGAN ISLAM DI ANDALUSIA (Siri 21)

CABARAN PEMERINTAHAN ANDALUSIA

PERKEMBANGAN ISLAM DI ANDALUSIA (Siri 21)

Kaum Muslimin yang telah menguasai Andalusia mula menyebarkan agama Islam kepada penduduk Andalusia. Mereka menerangkan tentang Islam yang merangkumi ilmu Tauhid, ekonomi, syariat, peribadatan, sistem kehidupan tanpa membezakan sesama manusia, kekuasaan dan pemerintahan, kebebasan beragama, persaudaraan sesama Islam, sistem kekeluargaan dan pelbagai lagi. Ajaran Islam dilihat sebagai agama yang lengkap sesuai dengan kehidupan fitrah manusia.

Penerangan ini telah menarik penduduk Andalusia untuk memeluk agama Islam. Mereka mendapati agama yang dianuti ini sangat berbeza dengan ajaran agama Nasrani yang mereka anuti sebelum ini. Pemisahan agama dan pemerintahan, pemahaman agama yang bersifat ideologi yang sukar difahami dan hanya perlu dituruti sahaja apabila disampaikan oleh para Rahib.

Sistem kekuasaan dan pemerintahan pula mutlak milik Raja yang membuat keputusan. Malah para Rahib tidak campur tangan walau pun keputusan Raja bercanggah dengan kemanusiaan. Para penganut tidak mendapat pembelaan, mereka hanya diminta untuk menerima takdir Tuhan sahaja. Justeru itu apabila Islam disampaikan, mereka melihat ianya agama yang adil dan sesuai untuk dijadikan panduan kehidupan.

Jumlah penduduk Andalusia yang menerima Islam semakin bertambah sehingga melebihi jumlah tentera kaum Muslimin yang memasuki Andalusia. As-Samh bin Malik pernah mengutus surat kepada khalifah Umar bin Abdul Aziz ketika dia hendak meninggalkan Andalusia, dicatatkan oleh Ibnu Adzari dalam Al-Bayan Al-Mughrib;

“Sesungguhnya orang-orang (kaum Muslimin) di sana telah ramai tersebar di pelbagai penjuru, maka biarkanlah mereka.”

Islam yang telah disebarkan ini telah menyebabkan kaum Muslim Arab dan Barbar menjadi golongan minoriti di Andalusia. Kaum Muslimin Andalusia pula yang bergerak menyebarkan Islam ke wilayah Perancis. Peristiwa ini mengingatkan kita kepada Musa bin Nusyair yang telah mendidik orang-orang Barbar kembali kepada Islam dan akhirnya mereka menjadi Muslim yang hebat. Malah mereka menjadi pejuang di medan jihad sehingga berjaya menguasai Andalusia.

Kejayaan Islam mestilah dengan dakwah yang penuh hikmah, keikhlasan, mengharap perhatian Allah dan balasan syurga. Sanggup berkorban masa, harta dan jiwa pada jalan Allah, itulah yang telah dilakukan oleh generasi awal Islam. Sanggupkah kita memperuntukkan masa, harta dan jiwa pada perjuangan dakwah?

PERMULAAN PEMERINTAHAN GABENOR (Siri 20)

CABARAN PEMERINTAHAN ANDALUSIA

PERMULAAN PEMERINTAHAN GABENOR (Siri 20)

Andalusia secara rasminya pada tahun 95 Hijrah atau 714 Masihi telah berada dalam penguasaan kerajaan Bani Umayyah. Pemerintahan Bani Umayyah pada ketika itu berpusat di Damsyik. Sebagaimana lazimnya wilayah-wilayah yang dikuasai akan dipimpin oleh seorang gabenor.

Kuasa gabenor di Andalusia hanya bertahan selama hampir 42 tahun sahaja iaitu bermula tahun 95-138 Hijrah atau 714-755 Masihi. Fasa pemerintahan gabenor pula dibahagikan kepada dua fasa. Fasa pertama iaitu jihad, penguasaan wilayah dan memperkenalkan Islam. Ianya bermula pada tahun 95-123 Hijrah atau 714-741 Masihi. Fasa ini telah berlangsung selama 27 tahun. Manakala fasa kedua iaitu zaman kelemahan, konspirasi, tipu muslihat dan sebagainya berlangsung pada tahun 123–138 Hijrah atau 741-755 Masihi. Tempohnya adalah sekitar 15 tahun.

Gabenor pertama yang memimpin wilayah Andalusia adalah Abdul Aziz bin Musa bin Nushair. Dia adalah putera kepada Musa bin Nusyair yang mempunyai karakter yang sangat mirip bapanya. Semangat jihadnya, ketaqwaan kewarakan hasil asuhan bapanya sentiasa diamalkan dalam kehidupannya. Al-Muqri dalam bukunya Nafh Ath-Thin mencatatkan bahawa Musa bin Nusyair pernah berkata,

“Aku mengenalinya sebagai orang yang senang berpuasa dan melakukan qiamulail.”

Setelah Musa bin Nusyair dan Tariq bin Ziyad kembali ke Damsyik atas perintah khalifah. Maka Abdul Aziz bin Musa telah mengendalikan urusan di Andalusia. Dia dilantik menjadi gabenor oleh bapanya untuk meneruskan kerja pentadbiran dan pendidikan Islam.

Gabenor yang pertama ini mempunyai tugas yang sangat mencabar untuk mentadbir, menyusun semula kepimpinan dan mengatur penyebaran Islam kepada masyarakat Andalusia. Memperkenalkan Tauhid kepada penduduk memerlukan pendakwah yang ramai kerana wilayah yang ditadbir sangat luas. Malah penguasaan terhadap Andalusia berlaku terlalu pantas maka tugas-tugas utama ini memerlukan tenaga yang ramai. Abdul Aziz bin Musa perlu bertindak sendiri tanpa pertolongan dan bantuan dari bapanya lagi iaitu Musa bin Nusyair.

MUSA BIN NUSHAIR MEMASUKI ANDALUSIA (samb) (Siri 16)

CABARAN PEMERINTAHAN ANDALUSIA

MUSA BIN NUSHAIR MEMASUKI ANDALUSIA (samb) (Siri 16)

Setelah kedua pahlawan hebat ini bertemu mereka terus melaksana misi ke utara Andalusia. Banyak kota yang berjaya dikuasai antaranya ialah kota Barcelona. Kota ini telah sampai sinar dan syariat Islam telah dilaksanakan semasa pengusaan Islam. Malangnya umat Islam kini hanya mengenali Barcelona dengan kelab bola sepak dunia sahaja. Sejarah gemilang Islam telah dilupakan.

Kemudian kota lain yang berjaya dikuasai ialah Zaragosa iaitu kota yang terbesar di bahagian timur laut. Musa bin Nushair kemudiannya menyediakan satu pasukan kecil tenteranya menuju ke Pergunungan Pirenia, pasukan ini menguasai kota Arbunah yang terletak di tepi Laut Putih. Kota yang terbesar ini menerima sinar Islam hasil dakwah Musa bin Nushair.

Perjalanan pasukan tentera ini juga telah berjaya menguasai kota demi kota sehingga barat daya Perancis. Akhirnya semua kota di Andalusia dikuasai kecuali satu kota yang terletak di barat laut kota Shakhrah. Kota ini kedudukannya berada di Selat Biscae bertemu di Laut Atlantik.

Tariq bin Ziyad pernah berkata kepada Musa bin Nushair ketika menang dalam peperangan pertama pada tahun 92 Hijrah seperti yang dicatat oleh Al-Muqri dalam bukunya Naft Ath-Thib,

“Wahai Gabenor! Demi Allah! Aku tidak akan menghentikan tujuanku ini selama aku belum sampai ke Laut Atlantik, aku akan menyeberanginya dengan kudaku.”

Cita-cita Tariq bin Ziyad ini akhirnya tercapai apabila seluruh Andalusia berjaya dikuasai pada penghujung tahun 95 Hijrah. Bayangkan seluruh Andalusia yang luas ini berjaya dikuasai dalam tempoh yang singkat bermula tahun 92 Hijrah hingga tahun 95 Hijrah. Gabungan tentera Arab dan Barbar dengan semangat jihad demi Islam di bawah kepimpinan tiga orang pahlawan iaitu Musa bin Nusyair, Tariq bin Ziyad dan putera Musa bin Nusyair iaitu Abdul Aziz telah mencatat sejarah gemilang perkembangan Islam di Andalusia.

Ketika Musa bin Nusyair dan Tariq bin Ziyad giat memasuki kota-kota demi dakwah Islam, tiba-tiba datanglah sepucuk surat yang diutuskan khas kepadanya. Surat ini telah menyebabkan Musa bin Nusair sangat sedih. Apakah isi kandungan surat ini?

MUSA BIN NUSHAIR MEMASUKI ANDALUSIA (samb) (Siri 16)

CABARAN PEMERINTAHAN ANDALUSIA

MUSA BIN NUSHAIR MEMASUKI ANDALUSIA (samb) (Siri 16)

Setelah kedua pahlawan hebat ini bertemu mereka terus melaksana misi ke utara Andalusia. Banyak kota yang berjaya dikuasai antaranya ialah kota Barcelona. Kota ini telah sampai sinar dan syariat Islam telah dilaksanakan semasa pengusaan Islam. Malangnya umat Islam kini hanya mengenali Barcelona dengan kelab bola sepak dunia sahaja. Sejarah gemilang Islam telah dilupakan.

Kemudian kota lain yang berjaya dikuasai ialah Zaragosa iaitu kota yang terbesar di bahagian timur laut. Musa bin Nushair kemudiannya menyediakan satu pasukan kecil tenteranya menuju ke Pergunungan Pirenia, pasukan ini menguasai kota Arbunah yang terletak di tepi Laut Putih. Kota yang terbesar ini menerima sinar Islam hasil dakwah Musa bin Nushair.

Perjalanan pasukan tentera ini juga telah berjaya menguasai kota demi kota sehingga barat daya Perancis. Akhirnya semua kota di Andalusia dikuasai kecuali satu kota yang terletak di barat laut kota Shakhrah. Kota ini kedudukannya berada di Selat Biscae bertemu di Laut Atlantik.

Tariq bin Ziyad pernah berkata kepada Musa bin Nushair ketika menang dalam peperangan pertama pada tahun 92 Hijrah seperti yang dicatat oleh Al-Muqri dalam bukunya Naft Ath-Thib,

“Wahai Gabenor! Demi Allah! Aku tidak akan menghentikan tujuanku ini selama aku belum sampai ke Laut Atlantik, aku akan menyeberanginya dengan kudaku.”

Cita-cita Tariq bin Ziyad ini akhirnya tercapai apabila seluruh Andalusia berjaya dikuasai pada penghujung tahun 95 Hijrah. Bayangkan seluruh Andalusia yang luas ini berjaya dikuasai dalam tempoh yang singkat bermula tahun 92 Hijrah hingga tahun 95 Hijrah. Gabungan tentera Arab dan Barbar dengan semangat jihad demi Islam di bawah kepimpinan tiga orang pahlawan iaitu Musa bin Nusyair, Tariq bin Ziyad dan putera Musa bin Nusyair iaitu Abdul Aziz telah mencatat sejarah gemilang perkembangan Islam di Andalusia.

Ketika Musa bin Nusyair dan Tariq bin Ziyad giat memasuki kota-kota demi dakwah Islam, tiba-tiba datanglah sepucuk surat yang diutuskan khas kepadanya. Surat ini telah menyebabkan Musa bin Nusair sangat sedih. Apakah isi kandungan surat ini?

KEMBALI KE DAMSYIK (Siri 17)

CABARAN PEMERINTAHAN ANDALUSIA

KEMBALI KE DAMSYIK (Siri 17)

Musa bin Nushair menerima satu warkah dari Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik yang mengarahkannya dan Tariq bin Ziyad menghentikan perjalanan memasuki pendalaman Andalusia.  Malah mereka berdua diperintahkan kembali semula ke Damsyik. Apabila menerima warkah ini, Musa bin Nushair merasa sangat sedih tetapi dia dan Tariq bin Ziyad tetap mentaati perintah khalifah.

Punca kesedihan Musa bin Nusyair adalah kerana beberapa faktor. Antaranya dia mahu terus berjihad dan bercita-cita untuk mati syahid. Kota Syahkrah masih belum dapat dikuasai lagi olehnya. Dia juga mempunyai cita-cita untuk terus menyebar dakwah memasuki benua Eropah sehingga berjaya menguasai kota Konstantinopel dari sebelah barat.

Apabila menerima warkah khalifah ini tentu sekali apa yang diharap olehnya ini tidak kesampaian. Pada ketika itu usia Musa bin Nusyair sudah mencapai 75 tahun. Bayangkan seorang lelaki tua yang sudah putih rambutnya masih mempunyai cita-cita yang sangat besar demi agama. Dalam fikiran dan semangatnya tiada erti rehat dalam perjuangan dakwah. Sedangkan pada adatnya kekuatan fizikal pada usia begini pastinya semakin berkurangan. Namun Musa bin Nusyair tetap teguh berjuang di medan perang.

Bukankah ianya satu tamparan buat kita yang sering mengeluh penat dan letih dalam perjuangan ini? Apakah yang kita perjuangkan? Dunia sahaja atau akhirat sama? Perjuangan untuk kepuasan peribadi atau Ummah? Perjuangan harta dan pangkat? Perjuangan untuk kuasa dan kemegahan? Mencari perhatian manusia atau Allah?

Sirah banyak mengajar kita agar berhenti dan menoleh ke belakang untuk mengenali para pejuang di jalan Allah. Sirah mengajak kita berfikir apa sumbangan yang telah diinfakkan untuk ummah ketika kita mengharap mendapat syurga sama seperti para pejuang di jalan Allah. Wajar sekali kita malu kepada Allah.

Ketika usianya menjejak 60 tahun, Musa bin Nushair berjaya menguasai Afrika Utara dan seterusnya berada di Andalusia ketika umurnya sudah memasuki 70 tahun lebih. Dia masih gagah menunggang kuda sendirian, memasuki satu kota ke kota yang lain di Andalusia. Menuruni lembah dan mendaki gunung. Berbulan-bulan mengepung kota Sevilla dan mengepung kota Maridah berbulan-bulan sehingga berjaya menguasainya. Dia turut berjaya menguasai Barcelona dan Zargosa. Usianya bukanlah penghalang untuk berjihad.

Rahsia kekuatan dirinya adalah iman dan keyakinan kepada Allah. Bukan pangkat, harta dan kemewahan yang dicari melainkan perhatian dari Allah semata-mata. Tidak mustahil jika dibuat satu kesimpulan, inilah manusia yang dihormati oleh Tariq bin Ziyad kerana menyaksikan kesungguhan Musa bin Nusyhair.

Apakah punca yang mendorong Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik memanggil pulang kedua panglimanya ini?

KEMBALI KE DAMSYIK (samb) (Siri 18)

CABARAN PEMERINTAHAN ANDALUSIA

KEMBALI KE DAMSYIK (samb) (Siri 18)

Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik memanggil Musa bin Nusyair dan Tariq bin Ziyad kembali ke Damsyik atas beberapa faktor antaranya;

1. Khalifah khuatir keselamatan kedua-dua panglima ini beserta pasukan tentera mereka yang sudah masuk jauh ke pendalaman Andalusia  dalam waktu yang singkat. Kerisauan khalifah adalah kemungkinan pasukan mereka akan di serang kembali oleh tentera Nasrani.

2. Jumlah tentera yang berada di Andalusia masih kecil jika dibandingkan dengan tentera musuh yang berjumlah 100,000 orang sebelum ini. Ketika kedua panglima ini menguasai kota-kota sepanjang perjalanan, mereka perlu meletakkan sekumpulan tentera di kota-kota tersebut. Jadi semakin jauh Musa bin Nusyair bergerak ke pendalaman semakin kecil bilangan tentera yang bersamanya. Khalifah khuatir akan keselamatan para tentera kaum Muslimin ini.

3. Selain itu khalifah mendapat khabar hasrat Musa bin Nusyair yang mahu meneruskan penguasaan semua wilayah di Eropah iaitu Itali, Yogoslavia, Rumania, Bulgaria, Turki hingga memasuki Konstantinople dari arah Barat. Sedangkan untuk menguasai Konstantinople bukanlah satu misi yang mudah. Sekiranya Musa bin Nusyair tidak di panggil pulang ke Damsyik, pastinya misi ini akan diteruskan olehnya sedangkan pasukan tentera semakin berkurangan. Manakala pasukan bantuan pula sangat jauh untuk bergabung dengan pasukan Musa bin Nusyair. Penduduk Andalusia pula belum benar-benar memahami Islam lagi ketika itu.

4. Keutamaan khalifah adalah memastikan tentera kaum Muslimin selamat dari bahaya. Tujuan untuk menyampaikan Islam wajar dibuat dengan sabar dan tidak tergesa-gesa dengan memasuki wilayah lain. Pertimbangan ini sememangnya wajar diambil perhatian oleh khalifah.

Setelah kembali ke Damsyik, Musa bin Nusyair mendapati khalifah Al-Walid bin Abdul Malik sedang tenat. Tidak lama kemudian khalifah Al-Walid bin Abdul Malik mangkat. Pengganti khalifah adalah Sulaiman bin Abdul Malik mempunyai pandangan yang sama dengan saudaranya iaitu panglima Islam ini hendaklah tinggal di Damsyik.

MUSA BIN NUSYAIR WAFAT (Siri 19)

CABARAN PEMERINTAHAN ANDALUSIA

MUSA BIN NUSYAIR WAFAT (Siri 19)

Setelah setahun kembali ke Damsyik iaitu pada tahun 97 Hijrah, khalifah Sulaiman bin Abdul Malik mahu menunaikan ibadat haji ke Makkah. Khalifah telah meminta Musa bin Nusyair untuk turut serta dalam rombongan ini. Musa bin Nusyair telah hidup di Afrika Utara dan Andalusia selama 10 tahun dan inilah masanya khalifah mengajaknya untuk turut serta menunaikan ibadah Haji.

Musa bin Nusyair seorang yang taat kepada khalifah, dia mengikuti pelawaan ini tanpa apa-apa bantahan. Seperti yang diketahui  Musa bin Nusyair seorang yang sangat bergantung harap kepada Allah, dia telah berdoa kepada Allah ketika dalam perjalanan ke Makkah,

“Ya Allah! Jika Engkau berkehendak kehidupan untuk ku maka kembalikanlah aku ke bumi jihad dan matikanlah aku sebagai syahid. Jika Engkau menghendaki yang lain, maka matikanlah aku di Kota Rasulullah.”

Musa bin Nusyair yang sudah berusia 76 tahun masih mengharap agar dia mati syahid di medan jihad. Semangat seorang lelaki tua yang hebat. Malah jika Allah tidak menghantarnya ke medan jihad lagi dia amat berharap akan mati di Madinah ketika ziarah setelah menunaikan ibadah Haji.

Setelah selesai menunaikan Haji dan dalam perjalanan menuju ke Madinah, doa Musa bin Nusyair telah dimakbulkan Allah. Dia wafat dan seterusnya dikebumikan di tanah perkuburan para Sahabat. Begitulah doa orang yang soleh ini akhirnya dimakbulkan oleh Allah. Seluruh hidupnya hanya memikirkan perjuangan dakwah untuk menyebarkan kalimah tauhid. Perjuangannya sampai ke penghujung kehidupan.

Kecintaannya kepada Allah sangat luar biasa. Dia bermusafir ke bumi yang asing demi Islam. Mendidik kembali golongan Barbar yang murtad sehingga mereka menjadi tentera Muslim yang sanggup berjihad. Membentuk tokoh panglima yang hebat iaitu Tariq bin Ziyad yang bukannya berketurunan Arab sehingga berjaya menguasai Andalusia.

Sejarah hidupnya pasti bukan sahaja dikenang oleh generasi demi generasi bahkan mendapat perhatian penghuni langit. Seorang manusia biasa yang tiada cita-cita untuk memiliki kuasa dan kedudukan. Dakwah dan sebaran kalimah tauhid sahaja yang menjadi cita-citanya agar manusia kenal Pencipta dan mengabdikan diri pada-Nya.

MUSA BIN NUSHAIR MEMASUKI ANDALUSIA (samb) (Siri 15)

CABARAN PEMERINTAHAN ANDALUSIA

MUSA BIN NUSHAIR MEMASUKI ANDALUSIA (samb) (Siri 15)

Tariq bin Ziyad yang berada di Toledo menanti kedatangan Musa bin Nushair yang dalam perjalanan untuk menemuinya. Dalam perjalanan ini pasukan Musa bin Nushair memasuki kota-kota sepanjang laluan ini dan menguasainya. Namun terdapat sebuah kota yang kuat dikuasai oleh golongan Nasrani. Mereka tidak mahu menyerah kalah dan menutup pintu kota ini. Kota ini dikenali dengan nama kota Maridah.

Pasukan Musa bin Nushair telah mengepung kota ini untuk beberapa bulan. Pada penghujung bulan Ramadan akhirnya mereka membuka pintu kota dan membuat persetujuan untuk berdamai dan membayar jizyah. Pada bulan Syawal satu lagi kemenangan dikecapi oleh kaum Muslimin setelah kemenangan setahun yang lalu memenangi pertempuran dan menguasai Andalusia juga berlaku pada bulan Syawal.

Andalusia adalah sebuah wilayah yang luas, kaum Muslimin tidak berhenti untuk terus memasuki kawasan pendalaman bagi seruan dakwah. Musa bin Nushair telah melantik puteranya Abdul Aziz bin Musa yang mempunyai semangat jihad sepertinya untuk memasuki wilayah yang jauh ke barat Andalusia. Abdul Aziz bin Musa telah berjaya sampai ke Lisbon dan menguasainya. Lisbon kini berada dalam negara Portugal.

Para ahli sirah ada yang mencatatkan bahawa Abdul Aziz bin Musa adalah orang yang berjaya membawa sinar Islam ke Portugal. Malah ada pendapat mengatakan dialah pemimpin yang menguasai Portugal. Musa bin Nushair seorang yang hebat kerana berjaya mendidik puteranya  menjadi seorang pemimpin, pendakwah dan pahlawan yang berjuang pada jalan Allah.

Setelah setahun Musa bin Nushair memasuki Andalusia akhirnya dia tiba di Toledo pada tahun 94 Hijrah. Dia bertemu dengan Tariq bin Ziyad, sudah dua tahun mereka tidak bertemu. Musa bin Nushair dengan tegas menegur tindakan Tariq bin Ziyad yang melanggar arahannya supaya berhenti di Cordova dan tidak meneruskan penguasaan ke Taledo. Tindakan Tariq bin Ziyad melanggar arahan wajar mendapat teguran dari Musa bin Nushair kerana faktor keselamatan para tentera kaum Muslimin menjadi keutamaan.

Namun teguran keras Musa bin Nushair diterima dengan terbuka oleh Tariq bin Ziyad. Manakala Tariq bin Ziyad pula bukanlah orang yang menginginkan pengaruh dan kekuasaan. Sebaliknya dia amat teruja dengan semangat jihad dan dakwah itulah cita-citanya semenjak dahulu lagi. Semangat Tariq bin Ziyad sememangnya disedari oleh Musa bin Nushair namun sebagai seorang pemimpin menjadi tanggungjawabnya menegur keghairahan anak didiknya ini. Jika arahan diabaikan banyak kemungkinan boleh berlaku walau pun mempunyai niat yang baik.

Create your website with WordPress.com
Get started