Category: BAHAYA RASUAH ( II )

BAHAYA RASUAH (II)

SAMBUNGAN DARI SIRI (I)

4.Konsep Mu‟aqabah, iaitu memberi hukuman terhadap diri sendiri.

Seorang insan yang baik dan terpuji ialah yang berani mengaku kesalahannya. Justeru jalan untuk kembali ialah dengan bertaubat untuk tidak melakukannya lagi. Selain itu bertindak memulangkan kembali hak sekiranya ia membabitkan hak sesama manusia. Sebagai hamba yang lemah, manusia tidak dapat lari dari melakukan kesilapan. Namun demikian Allah SWT memberi peluang menebus kembali kesilapan tersebut. Setiap  manusia mempunyai kesalahan samada kecil atau besar kecuali para nabi yang bersifat maksum(bebas daripada dosa kecil dan besar). Oleh itu, amalan  bertaubat perlu di amalkan oleh setiap manusia kerana setiap hari kita melakukan dosa. Antara seringan-ringan taubat ialah selalu beristighfar kepada Allah SWT. Semoga diampunkan dosa yang dilakukan dan dihindari dari dosa-dosa mendatang. Bagi individu yang     pernah terlibat rasuah, konsep muaqabah dapat menebus dan menjadi benteng dari melakukan rasuah sekali lagi. Pelaku rasuah akan terdorong untuk melakukannya berulang kali. Ini kerana habuan atau ganjaran yang diterima adalah berbaloi untuk memenuhi kehendak nafsu. Melalui konsep ini pelaku rasuah akan menginsafi diri dan seterusnya bertaubat dengan taubat nasuha iaitu tidak akan mengulanginya lagi.

Ini secara tidak langsung dapat mengekang daripada berleluasanya                gejala rasuah di dalam masyarakat.             

5.Konsep Mujahadah. Iaitu bersungguh-sungguh dalam kehidupan, optimis dalam bekerja dan berjuang.

Umat Islam disaran berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan kebaikan.  Sesungguhnya kehendak manusia tidak terbatas tetapi ianya dapat diatasi melalui keyakinan dan ketekunan. Jika setiap individu optimis dalam kerjaya atau usaha, kejayaan pasti menjadi miliknya. Ini dapat mengelakkan individu daripada mengharapkan sesuatu habuan secara mudah seperti rasuah. Jika konsep mujahadah tertanam dalam diri setiap  manusia maka rasuah tidak akan berlaku. Ini kerana setiap pekerjaan sudah ditetapkan ganjaran atau upahnya. Jadi apa-apa habuan selain yang sepatutnya tidak wajar diterima apatah lagi ianya rasuah yang nyata haram dalam Islam.

Manusia sebenarnya amat menghargai  dirinya dan seboleh-bolehnya mengharapkan dirinya agar dihargai oleh orang lain juga. Walaupun begitu, manusia seringkali melakukan kesilapan. Oleh itu, hanya niat yang baik dan fikiran yang bijaksana sahaja yang mampu mengawal manusia daripada melakukan atau mengulangai perkara yang sama. Kehidupan kita seringkali dianggap tidak lengkap apabila dibandingkan dengan orang lain. Tetapi, seandainya, kita merasa cukup senang dangan diri kita sekarang, maka kita akan menghargai setakat mana kemampuan yang kita ada,

dan hati kita tidak akan terbuka untuk mendapatkan sesuatu ganjaran melalui jalan yang salah.

aspek yang sering dilupakan ialah  mengenai pemakanan seharian bagi sekeluarga. Mencari nafkah keluarga adalah tanggungjawab bapa, dan kini kaum ibu turut terlibat dalam menambah nafkah keluarga. Justeru Islam menekankan ibu bapa mencari rezeki yang halal lagi suci. Suruhan ini sering dianggap mudah oleh umat Islam hari ini. Buktinya adalah             berleluasanya amalan rasuah di dalam negara khususnya di kalangan umat Islam. Hukum pengharaman rasuah telah jelas dalam al Quran dan Hadis. Namun demikian masih ramai ibu bapa yang sanggup menyuap makanan haram kepada anak-anak mereka. Ini bertentangan dengan saranan Islam yang bermaksud:

 Wahai orang yang beriman, makanlah rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya sahaja kamu sembah

(al Baqarah 172)

Dalam ayat yang lain pula Allah  berfirman;

Wahai sekelian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang  terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikut langkah syaitan kerana  sesungguhnya syaitan musuh yang nyata bagimu. (al Baqarah 168)

Dalam mencari rezeki seharian, ibu bapa perlu sedar bahawa makanan yang dimakan seharian akan menjadi darah daging dan membina tubuh badan.  Sebab itulah, antara didikan awal dalam Islam ialah memberi makan yang halal dan baik-baik kepada anak-anak.  Ini kerana melalui makan jua ia akan membentuk peribadi dan akhlak anak-anak. Ia bertepatan dengan mafhum sebuah hadis Rasulullah SAW bahawa dalam tubuh manusia ada segumpal darah, jika baik ia baiklah seluruhnya (tubuh), jika rosak ia maka rosaklah seluruhnya (tubuh), ia adalah hati. Maka sebab itulah, ibu bapa mesti waspada dan prihatin terhadap sumber rezeki yang diterima. Amalan rasuah umpamanya, adalah salah satu sumber rezeki yang haram dalam Islam bahkan disisi undang-undang negara.

Sehubungan itu, kesedaran ibu bapa adalah perlu dalam menghakis amalan rasuah dalam masyarakat. Salah satu yang boleh dilakukan ialah:

i. Berusaha mencari rezeki dari sumber halal untuk keluarga dan mengelakkan daripada amalan rasuah.

ii. Makanan dari sumber haram yang  dimakan anak-anak akan menjadi darah daging (hati).

Akhirnya melahirkan anak-anak dan keturunan yang rendah akhlak, peribadi dan sebagainya. Amalan rasuah meninggalkan kesan yang   buruk terhadap individu yang terlibat dan pihak-pihak berkuasa, kesan terhadap masyarakat dan negara, jabatan dan organisasi dan sebagainya.

Contohnya seperti berikut:

1. Kesan terhadap individu, ialah menyebabkan seseorang itu akan kehilangan pekerjaan, hilang integriti dan maruah diri, hancur keharmonian rumah tangga, serta pendidikan anak-anak akan terabai.

2. Kesan buruk terhadap sesebuah Jabatan dan organisasi pula seperti pemusatan kuasa hanya kepada individu sahaja, kuasa budi  bicara melebihi peraturan dan prosedur, kehidupan pegawai dan staf amat mewah sehingga terdapat pegawai berani meminta upah secara terang-terangan bagi mempercepatkan proses permohonan.

3. Kesan buruk terhadap masyarakat dan negara seperti mengakibatkan ketidakadilan disebabkan mengetepikan hak-hak orang lain. Ia boleh menjejaskan sosial serta kestabilan politik dan keselamatan serta         menjejaskan kecekapan, kelicinan dan kelicikan sesuatu pentadbiran. Rasuah juga boleh meningkatkan kadar inflasi dan jenayah kezaliman dalam masyarakat.

Demikianlah kesan buruk akibat daripada amalan rasuah yang berlaku sekiranya gejala ini tidak dibanteras. Mereka yang melakukan rasuah sama ada pemberi atau penerima atau bersubahat menjadi orang tengah,          boleh dianggap sebagai perompak harta rakyat.

Sekian, Terima Kasih. Semoga Bermanfaat Dan Selamat Beribadat Tanpa Amalan Rasuah.