Category: BAHAYA RASUAH (1)

BAHAYA RASUAH (1)

BAHAYA RASUAH (1)

Rasuah merupakan isu yang hangat diperkatakan dewasa ini samada dalam bidang politik, perniagaan, personel awam, penguatkuasaan dan        sebagainya. Pihak kerajaan memandang serius permasalahan ini. Justeru itu, Pelan Integrasi Nasional dilancarkan oleh Perdana Menteri antara lain sebagai usaha untuk menangani rasuah. Rasuah antara gejala sosial atau jenayah yang sukar di atasi selain daripada gejala dadah di negara kita. Malaysia telah mempunyai undang-undang yang tegas iaitu Akta Pencegahan Rasuah 1997 dalam usaha menanganinya. Begitu juga dari segi penguatkuasaan melalui Suruhanjaya  Pencegah Rasuah Malaysia atau SPRM. Persoalannya, kenapa dan mengapa gejala ini masih lagi berleluasa? Ia bukan sahaja melibatkan pegawai rendah sebaliknya melibatkan orang-orang kenamaan yang berstatus dalam masyarakat.

Faktor rasuah sering dikaitkan dengan gaji, peluang dan dasar. Seseorang   individu cuba melindungi dirinya daripada terlibat dengan gejala rasuah adalah satu tindakan terbaik untuk mengatakan tidak terhadap rasuah.        Rasuah adalah sinonim dengan hadiah. Bezanya, hadiah mungkin diberikan kepada seseorang atas rasa keikhlasan yang sebenarnya.

Rasuah dilihat sebagai ganjaran sesuatu ataupun mengharapkan ganjaran  tertentu daripada sesuatu pemberian.

Ada juga yang beranggapan rasuah ialah wang sogokan atau duit kopi. Ada juga  rasuah yang berbentuk material atau lebih mudah disebut sebagai hadiah, tetapi hadiah yang bermaksud ada hasil pulangannya.

Justeru itu setiap individu perlu menanamkan dalam diri beberapa konsep yang dapat menghindari perbuatan rasuah. Terdapat lima konsep yang diperkenalkan oleh Abdullah Nasih Ulwan yang boleh membentuk budaya katakan tidak di dalam diri individu terhadap rasuah.

1.Konsep Muahadah,

 Iaitu mengingati  perjanjian dengan Allah SWT sebagai seorang hamba kepada Allah SWT, manusia telah terikat   perjanjian dengan Allah SWT di alam roh iaitu disaat  Allah SWT  yang menciptakannya.

Diantara contoh perjanjian manusia dengan Allah SWT di alam roh adalah Ibadat solat umpamanya mampu menegah manusia dari melakukan maksiat. Ia  bertepatan dengan maksud ayat al Quran yang  bermaksud ; “Sesungguhnya solat itu mencegah manusia daripada dosa dan kemunkaran” (al-Ankabut 45). Untuk itu setiap individu mestilah mengamalkan ibadah yang dituntut oleh agama.

Ayat 5 daripada surah al-Fatihah yang  berbunyi „bahawa engkaulah sahaja yang kami sembah dan daripada engkaulah sahaja kami memohon pertolongan”  membebaskan manusia daripada menyembah selain Allah, mencintai  esuatu secara berlebihan dan menjadi hamba  kebendaan. Konsep ini amat bertepatan jika dikaitkan pelakuan rasuah.

Ini kerana konsep mu‟ahadah dapat mengingatkan diri manusia bahawa    tempat meminta pertolongan jika menghadapi suatu masalah kewangan    umpamanya adalah Allah SWT semata-mata dan bukannya menyelesaikannya melalui jalan rasuah. Begitu juga  keinginan terhadap kehidupan mewah atau menjadi hamba kebendaan mendorong perbuatan rasuah. Justeru, keinginan tersebut perlulah disusuli dengan usaha gigih disamping memohon pertolongan dari Allah SWT melalui doa contohnya. Sekiranya  manusia mengingati perjanjian dengan pencipta nescaya mereka tidak melakukan rasuah. Ini kerana kehidupan dunia ini hanyalah  kehidupan sementara sahaja manakala kehidupan akhirat kekal abadi. Sehubungan itu, konsep mu‟ahadah mestilah diamalkan oleh setiap individu khususnya umat Islam agar tidak mencari jalan singkat untuk hidup  mewah.

2.Konsep Muraqabah,

Iaitu berasa  selalu di awasi dan disertai oleh Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa melihat dan mengetahui apa jua yang dilakukan oleh hambanya.  Semua amalan dan perbuatan manusia samada baik atau buruk diperlihatkan oleh Allah SWT dan akan dipersaksikan di hari akhirat  kelak. Dalil al Quran yang  bermaksud “Barangsiapa mengerjakan kebaikan, meskipun seberat zarah, akan dilihatnya (balasan) kebaikan itu. Barangsiapa yang mengerjakan kejahatan, meskipun seberat zarah, akan dilihatnya (balasan) kejahatan itu” (az Zilzaal 7-8).

Justeru melalui konsep ini manusia akan terdorong untuk mengerjakan kebaikan dan meninggalkan kejahatan Ini kerana setiap perbuatan walau sekecil zarah sekalipun tidak akan terlepas dari pandangan dan pengawasan Allah SWT.

Ini kerana pada setiap diri manusia Allah telah meletakkan dua malaikat untuk  mengawas dan mencatat apa jua yang dilakukannya. Firman Allah swt ; Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang  dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya”            

(al Qaaf: 18)

Sehubungan itu, konsep ini boleh dipraktikkan oleh setiap pekerja sebagai benteng dari terlibat dengan amalan rasuah. Ini kerana jika individu merasakan bahawa tingkah lakunya diperhatikan maka beliau tidak akan berani memberi atau menerima rasuah. Sesungguhnya benteng ini suatu yang amat praktikal jika dapat disemai dalam setiap diri kerana ia terhasil dari sanubari setiap individu. Sebagai contoh, seseorang yang mengerjakan ibadat puasa tidak akan berbohong (makan secara senyap) kerana dia tahu Allah melihat apa yang dilakukannya. Begitulah juga amalan rasuah tidak akan berlaku jika mereka sedar perbuatan mereka adalah suatu dosa dan sedang dilihat oleh Allah SWT. Seandainya setiap individu dapat mengimplimentasikan konsep ini dalam hidup nescaya jenayah rasuah dapat dikurangkan dalam masyarakat.

3. Konsep Muhasabah,

Iaitu setiap amalan akan dihisab oleh Allah SWT. Manusia diciptakan Allah SWT  sesuai dengan kemampuannya. Inilah yang perlu disedari oleh setiap individu melalui muhasabah diri. Firman Allah swt yang bermaksud “Allah tidak membebankan manusia melainkan sekadar kemampuannya” (al-Baqarah 286).

Setiap manusia ada tahap dan kemampuan masing-masing samada dari segi ilmu,  kepandaian, kekayaan, fizikal dan  sebagainya. Hakikat ini perlu diterima  bersesuai dengan qada dan qadar yang ditentukan sejak azali lagi. Meskipun manusia digesa berusaha dan boleh merubah kepada suatu yang lebih baik.  Namun demikian ia mestilah dengan jalan dan saluran yang diredhai oleh Allah SWT. Justeru melalui  muhasabah diri, individu akan menyedari hakikat diri dan mengelakkan  daripada mengubah dengan cara yang menyalahi agama dan undang-undang.

Amalan rasuah berlaku apabila individu tidak kenal dirinya, tetapi ingin menjadi seperti orang lain. Justeru apabila melihat orang lain hidup mewah maka dia juga ingin hidup mewah walaupun pada dasarnya ia di luar kemampuan dirinya. Sehubungan itu, ia mendorong kepada perbuatan rasuah bagi memenuhi keinginan yang ingin dicapai . Selain itu tindakan yang dilakukan untuk mengubah kepada kehidupan yang lebih baik adalah suatu yang dituntut. Namun demikian cara tindakan yang diambil menyalahi syariat. Justeru itu tiada jalan pantas yang dapat memenuhi kehendak setiap manusia. Muhasabah diri juga dapat membantu individu jika segala usaha baik yang dilakukan tidak berjaya.  ( BERSAMBUNG PADA SIRI II )