Category: ANAK ADALAH PEMBAWA HIDAYAH DAN SAHAM KITA KE SYURGA ALLAH SWT.

ANAK ADALAH PEMBAWA HIDAYAH DAN SAHAM KITA KE SYURGA ALLAH SWT.

ANAK ADALAH PEMBAWA HIDAYAH DAN SAHAM KITA KE SYURGA ALLAH SWT.

KEHADIRAN beberapa orang cahaya mata di tengah sebuah keluarga yang beriman, kehidupan keluarga itu tiba-tiba berubah. Bagaikan malam disimbah cahaya bulan, berbintang pula menambah cantik lukisan alam yang memukau perasaan.

Ayah umpama malam, ibu pula purnamanya dan berbintangnya ialah anak. Anak hanya tahu erti bahagia dan gembira, senyum dan tawa. Begitulah hakikat makhluk Tuhan yang dicipta dan tidak menanggung dosa ini.

Anak yang suci dan bersih, belum memahami makna kejamnya dunia. Mereka berada di sisi ibu bapa, menjadi punca turunnya rahmat Allah dalam sebuah rumah, melimpah rezeki dan keberkatan.

Seperti mana sabda Baginda Rasulullah kepada sahabat yang tidak pernah mencium sepuluh anaknya yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak merahmati maka dia tidak dirahmati (Allah).”

Disebabkan anak, Allah terus menerus mencurahkan pahala dan melipatgandakan ganjaran, kerana mereka juga banyak dosa yang diampunkan Allah.

Atas nama cinta yang tulus kepada mereka, ibu bapa menjadi begitu kuat melawan keperitan hidup kerana wajah ibu bapa menjadi matang dan belajar bertanggungjawab menjadi manusia dewasa.

Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Satu dinar yang kamu belanjakan kerana memerdekakan seorang hamba dan satu dinar yang kamu sedekahkan kepada seorang miskin dan satu dinar yang kamu nafkahkan kepada keluarga kamu, yang paling besar pahalanya ialah yang kamu nafkahkan kepada keluarga kamu.” – (Hadis riwayat Muslim)

Barang siapa yang sabar menjaga anak mereka dalam kemiskinan sesungguhnya Rasulullah berjanji akan mendekatkan kedudukan mereka di syurga bersama Baginda, sesuai dengan sabdanya yang bermaksud:

“Seorang perempuan yang telah menjadi janda kerana kematian suaminya tetapi dia bersabar menanggung anaknya, maka aku akan bersama dia di dalam syurga dalam keadaan seperti ini.” – (Hadis riwayat Abu Daud)

Oh anak, jika mereka hadir membawa seribu satu berkat, boleh jadi mereka juga membawa fitnah yang paling berbahaya ke atas diri ibu bapa. Untuk itu, al-Quran menyatakan yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” – (Surah al-Tahrim ayat: 6)

Ujian berkeluarga bukan hanya ditanggung oleh suami seorang diri, malah isteri bersama-sama memikul beban sama demi kebahagiaan dunia dan akhirat. Mereka saling berkongsi tanggungjawab mendidik anak supaya menjadi insan beriman.

Di tangan ibu dan bapalah masa depan mereka terbina, jiwa mereka dicorakkan. Yahudi, Majusi atau Nasrani atau mungkin Islam yang menjadi pilihan. Gaya Barat atau Timur, kapitalis atau sosialis, sekularis atau Islam tulen, semuanya akibat didikan kedua ibu bapa. Ramai yang beranggapan bahawa anak kita sudah dirosakkan oleh persekitaran yang mempengaruhinya.

Bukan kerana tangan ibu bapa, bahkan ibu bapa memberi didikan sempurna di rumah tetapi di luar rumah dia terpaksa berdepan dengan hawa nafsunya sendiri untuk memilih, manakah yang buruk dan baik?

Persoalan ini tidak berbangkit dan memberi pembelaan kepada ibu bapa yang berasa tidak bersalah, masalahnya selagi mana ibu bapa masih hidup mereka wajib mempengaruhi anak ke jalan Allah dan menjaga pergaulan anak mereka.

Jika iman kukuh dan sebati dalam jiwa raganya hasil didikan ibu bapa, terlepas ke mana saja dia pergi, Insya-Allah didikan iman itu masih mempengaruhi keperibadiannya, sedikit atau banyak itu bergantung kepada pilihannya sendiri.

Ramai orang tua yang hanya mengingat keburukan anaknya tetapi lupa dosa mereka kepada anak. Bukankah mereka berdosa kepada anak jika memberi nafkah daripada sumber haram, walaupun kemewahan boleh diberi tetapi ia hanya untuk kehidupan yang singkat, di akhirat nanti kedua ibu bapa seolah-olah memberi makan bara api kepada anaknya.

Sesungguhnya jika kejahatan yang dilakukan itu diniatkan kerana anak, ia tetap haram di sisi Allah Taala. Rupanya anak boleh menyebabkan seorang hamba bermaksiat kepada Allah. Hal ini jelas diterangkan dalam surah al-Taghabun, ayat 14 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang mukmin, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu.

Musuh bermaksud menjadi punca kamu mengikut kehendak mereka, yang mahukan kamu melakukan pekerjaan haram.

Musim cuti sekolah ini, anak mempunyai bermacam-macam perancangan. Hendak pergi ke luar negara, umrah atau menghabiskan masa di rumah saja. Ibu bapa perlu bersedia dari segi kewangan, masa dan emosi. Jika semuanya sudah sedia dicurahkan, ada satu lagi yang tidak kurang pentingnya iaitu soalan yang mesti ibu bapa jawab: “Pengisian apakah yang paling baik untuk meningkatkan iman anak?

Selagi Allah memberi masa yang panjang untuk bermesra dengan anak selagi itulah iman harus ditanam. Kadang-kala yang diingat hanya mahu menyeronokkan hati mereka saja. Maka melimpahlah kasih sayang itu dalam bentuk hadiah yang mahal, percutian melalaikan dan kenikmatan berlebihan mengejar kepuasan hati.

Bukan bermakna tidak boleh menyediakan kemudahan kelas terbaik kepada mereka, apa salahnya jika mampu selagi mana tidak menjejaskan perhatian kepada anak yatim dan fakir miskin di sekeliling kita.

Seelok-eloknya anak diajar prihatin, disuruh melihat anak yang kurang bernasib baik, keluarga miskin dan pesakit kanak-kanak yang terlantar di hospital. Supaya mereka memiliki jiwa pengasih kepada sesama dan tahu menilai erti hidup agar jangan disia-sia.

Kita mahu mendengar anak kita berkata: “Terima kasih ayah atas segala pemberian yang tak sanggup kami membalasnya.” Dan kita tidak mahu mendengar makian dan rungutan daripada mulut yang tidak pernah diajar cara beradab: “Aku mahu yang terbaik, ayah mesti sediakan dan usahakan juga.”

Mereka meminta apa yang tidak mampu kita miliki kerana terbiasa hidup senang. Padahal masih ramai insan lain menderita. Marilah bukakan mata hati anak kita untuk melihat kehidupan ini dengan pandangan iman bukan mata syahwat saja.

– Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui

ASUHAN SECARA ISLAM

KANAK-KANAK boleh mengalami tekanan perasaan jika orang tua bersikap terlalu meletakkan harapan yang tinggi kepada anak melebihi kemampuan mereka. Harapan setiap ibu bapa adalah supaya anak menjadi genius, tinggi kemahiran dalam menyerap ilmu, sempurna akhlak dan kuat ibadat. Walaupun didikan yang diterapkan itu keras dan kejam, mereka tidak peduli, asalkan minda anak tumbuh dan berkembang dengan hebat hingga boleh dibanggakan di hadapan sanak saudara dan kawan-kawan. Bukankah membanggakan keturunan itu juga termasuk dalam kategori riak dan sum’ah? Lagi pula cara dan kaedah yang dilakukan dalam mentarbiah itu bertentangan dengan al-Quran dan sunnah Rasul-Nya.

Jadi, bagaimanakah kaedah yang sesuai untuk membentuk keperibadian anak mengikut acuan Islam?

  • Seimbang antara memberi khabar gembira dan ancaman.

Pendekatan yang paling sesuai untuk mengajarkan Islam kepada anak adalah dengan kaedah targhib wa tarhib (memberi khabar gembira dan ancaman). Di samping memberi khabar gembira mengenai syurga, harapan mendapat ganjaran pahala dan penjelasan secara mendalam mengenai rahmah dan sifat lemah lembut Allah. Seorang anak juga harus didedahkan khabar yang menakutkan dan ancaman kerasnya seksa Allah bagi menumbuhkan jati diri yang berdisiplin seiring dengan meningkatnya kematangan usia mereka.

Seorang anak yang tidak diperkenalkan dengan sifat Allah Yang Maha Tinggi dan rahmat-Nya tetapi terus diancam dengan seksaan kubur, azab neraka dan ajaran yang berunsur menakutkan, tidak akan berjaya membentuk bingkai pemikiran benar mengenai Islam? Belum mengenal kasih sayang Allah tetapi dipaksa mempercayai bahawa Allah suka menyeksa. Belum mengenal Allah Yang Maha Pengampun tetapi dipaksa meyakini siapa yang berdosa pasti masuk neraka.

Akhirnya anak akan memahami Islam sebagai agama susah, kejam, paksaan dan mengongkong, padahal sistem tarbiah yang diterapkan Rasulullah SAW kepada anak sahabat amat menekankan mengenai sentuhan hati, pujukan dan kelembutan, sesuai dengan fitrah semula jadi kanak-kanak.

Alangkah eloknya kita menelusuri kehidupan anak generasi salaf yang menjadi ikutan dan teladan umat sepanjang zaman. Keagungan sejarah generasi pertama yang dididik oleh baginda ini hendaklah menjadi kamus hidup yang dihafal oleh ibu bapa zaman moden kini, supaya tidaklah dunia yang menyilaukan mata ini juga akan membutakan hati. Akhirnya meranapkan impian membina empayar Islam yang gemilang. Sudahkah anda membaca kisah anak-anak kecil pada zaman turunnya wahyu?

Bolehkah kita bandingkan keelokan budi pekerti mereka dengan anak kita? Bagaimana pula dengan keluasan ilmu dan kekuatan ibadah mereka? Apakah itu semua tidak menggetarkan hati seorang ibu dan bapa seperti kita? Bagaimana mungkin anak Umar al-Khattab, anak Abu Bakar al-Shiddiq, anak al-Zubair al-Awwam hendak disamakan dengan anak kita? Betapa terhirisnya hati apabila memikirkan hakikat kelalaian kita sebagai ibu bapa yang beriman. Inikan hendak mendidik anak, sedangkan diri sendiri masih memerlukan perubahan.

Akhirnya, kita yang kurang iman, ilmu dan amal ini menjadi tidak sabar menghadapi kerenah anak sehingga menimbulkan kesilapan di dalam memahami kaedah tarbiah mengikut al-Quran dan sunnah. Ibu bapa yang mendidik anak dengan cara mengancam, menakutkan, mencederakan emosi anak dengan menengking dan menjerit, memaksakan kehendak tanpa memberi pemahaman ketika menyuruh, bukanlah ibu bapa yang mengamalkan Islam sebagai asas tarbiah.

Tak hairan anak hanya sembahyang jika disuruh dan melalaikannya jika ibu bapa tidak berada di depan mata. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW mendidik Abdullah Umar yang masih kecil bagi melakukan sembahyang malam.

Abdullah Umar berkata: “Ada seorang lelaki apabila bermimpi nescaya dia menceritakan mimpinya kepada Rasulullah SAW, maka aku pun berharap melihat suatu mimpi dan menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Aku adalah seorang kanak-kanak yang masih kecil, aku pernah tidur di masjid kemudian dalam tidurku aku melihat dua malaikat memegang dan membawaku menuju api, tempat itu melingkari seperti sumur yang mempunyai dua tanduk. Di dalamnya terdapat orang yang aku kenal sehingga aku berkata: Aku berlindung kepada Allah daripada api neraka. Lalu datang kepadaku malaikat yang lain seraya berkata: Janganlah kamu takut. Kemudian aku menceritakan mimpi ini kepada saudaranya Hafsah, isteri Rasulullah SAW dan dia menceritakannya kepada Rasulullah SAW sehingga Baginda SAW bersabda: Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah, jika dia mengerjakan solat malam.” Maka sejak saat itu dia tidak tidur malam kecuali sedikit. – (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW adalah seorang pendidik jiwa terulung. Baginda tidak pernah memaksakan suatu perintah agama tanpa bimbingan, pujukan dan janji serta khabar gembira mengenai ganjaran yang baik. Walaupun Ibnu Umar bermimpi melihat neraka tetapi dia tidak pernah diancam jika tinggal sembahyang malam boleh menyebabkan manusia lalai dan akhirnya masuk neraka. Bahkan Rasulullah SAW memuji dan memberi dorongan bahawa dia akan menjadi pemuda terbaik jika mengamalkan qiamullail.

Rasulullah SAW tidak sama sekali menyebut mengenai neraka dalam sabda baginda itu. Yang ada hanya pujian kepada seorang remaja yang sememangnya hanya bersedia untuk dipuji dan dipujuk, bukan ditakuti dan diancam.

  • Mendidik dengan mendedahkan ilmu bukan sekadar mengancam.

Ibnu Abbas menjadi teladan yang baik sebagai seorang anak yang gemar mengikuti cara ibadat Rasulullah SAW sehingga beliau sengaja tidur di rumah ibu saudaranya, Maimunah, isteri Rasulullah SAW, supaya dapat bersama Rasulullah SAW melakukan qiamullail. Beliau berkata: “Nabi mengusap kepalaku dan mendoakanku agar diberi ilmu takwil (kefahaman dalam mentafsir al-Quran)”. – (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ibnu Abbas berusia 13 tahun ketika Rasulullah SAW wafat. Maknanya beliau belajar daripada lisan Nabi SAW. Menghafal al-Quran dan hadis di bawah usia itu. Hafalan itu bukan bermatlamat untuk sekadar menghafal dan terkenal bijak tetapi terbukti hafalan itu boleh membentuk iman yang berakar kuat, kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya yang tidak berbelah bagi dan kerinduan berdekatan dengan ilmu. Alangkah jauh berbeza dengan anak kita yang belajar al-Quran untuk khatam saja bukan difahamkan hingga menjunam ke hati. Ramai juga yang menghafal saja tanpa memahami maksud apatah lagi hendak mengamalkannya.

Walaupun kita belum mampu mengajar dengan sempurna seperti Nabi SAW mengajar Ibnu Abbas, tetapi sekurang-kurangnya jelaskan maksud ayat Al-Quran itu dengan bahasa yang boleh difahami seorang anak kecil supaya dia mudah mengenal Allah dan Rasul serta bangga menjadi seorang Muslim. Tentu dengan pendedahan ilmu yang sederhana sesuai dengan kapasitinya sebagai hamba Allah yang kecil. Maka dia akan berasa seronok dan gembira mengamalkan Islam tanpa rasa tertekan dan terpaksa.

  • Menghormati anak dan mengiktiraf kredibilitinya.

Khalifah Umar Abdul Aziz pernah didatangi utusan dari kalangan ulama di seluruh negeri yang diperintahnya. Pada suatu hari orang Hijaz datang menghadap Khalifah, maka berdirilah seorang anak muda dari kalangan mereka. Khalifah berkata: “Hendaklah yang bercakap adalah orang yang lebih tua darimu.” Anak muda itu menjawab: Semoga Allah memberi kebaikan kepada Amirul Mukminin, sesungguhnya seseorang itu dinilai dengan dua perkara yang kecil iaitu hati dan lisannya. Apabila Allah menganugerahkan seseorang dengan lisan yang fasih dan hati yang bersih, maka dia berhak untuk berbicara sehingga orang yang mendengar mengetahui keutamaannya.

Wahai Amirul Mukminin, kalaulah setiap urusan itu dinilai berdasarkan usia, nescaya pada umat ini ada orang yang lebih berhak duduk di kerusimu ini.” Khalifah berkata: “Engkau benar, berilah aku nasihat!” Anak muda itu berkata: “Semoga Allah menganugerahkan kebaikan kepada Amirul Mukminin, sesungguhnya seseorang di antara manusia terpedaya dengan kemurahan Allah yang diberikan kepadanya sehingga membuat kakinya tergelincir dan terjatuh ke dalam neraka, maka janganlah engkau terpedaya dengan kemurahan Allah yang diberikan kepadamu dan jangan pula terpedaya dengan panjangnya angan-anganmu serta banyaknya pujian manusia kepadamu sehingga kakimu tergelincir bersama dengan suatu kaum. Mudah-mudahan Allah mengumpulkan engkau dengan orang beriman dari umat ini.”

Khalifah bertanya kepada orang-orang yang datang: “Berapakah umur anak ini? Seseorang mengatakan: Dia masih berumur sebelas tahun. Dia salah seorang anak al-Husain Radhiyallahu Anhum, kemudian Umar Abdul Aziz memuji dan mendoakannya”. – (Ibnu Abdul Bar; al-Tamhid 23/204, al-Sindi; Al-Hasyiyah 8/10 dan Syarah Al-Zarqani 4/257).

Lihatlah, seorang ketua negara mendengar nasihat anak kecil berumur sebelas tahun. Mengapa pula kita tidak mahu mendengar isi hati anak kita? Pendapat dan idea yang boleh dibincangkan bersama sebagai satu didikan kepada anak supaya mereka berasa dihargai, dihormati dan diperakui sebagai insan yang mempunyai hak untuk diperdengarkan pendapatnya, difahami isi hatinya dan diajak bermusyawarah dalam memilih keputusan. Alangkah ramai ibu bapa yang suka memaksa kehendak mereka yang akhirnya merosakkan masa depan anak.

Melahirkan anak yang baik dan sempurna dalam setiap sisi keperibadiannya amatlah rumit dan mencabar, apatah lagi jika kita tidak cukup bersedia disebabkan kurangnya iman, ilmu dan ibadah. Anak bagai kertas putih. Kitalah yang bertanggungjawab mewarnakan mereka sama ada menjadi Yahudi, Majusi, Nasrani atau Muslim hakiki.

KEAKRABAN MENGHALANG  PENDURHAKAAN

SABDA Rasulullah s.a.w bermaksud: “Berguraulah dengan anak kamu apabila usianya satu hingga tujuh tahun.”

Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tidak mengapa.

Kepada yang lebih gemar menggeletek, kejar mengejar atau mengusik anak, bolehlah teruskan asalkan ia dapat me rapatkan hubungan anak dan ibu bapa.

Dari usia mereka tujuh hingga 14 tahun, kita terus memberikan pendidikan dan tunjuk ajar, tetapi jika ada kesalahan dilakukan mereka, pukullah mereka sebagai pengajaran.

Pukul bukan sebarangan, hanya di bahagian yang tidak memudaratkan seperti di tapak kaki, bukan pada muka, punggung, telinga dan di tempat yang sensitif, kerana ia boleh menyebabkan kecederaan.

Jika anak itu bijak dan menang dalam sebarang pertandingan di sekolah, ucaplah tahniah.

Malah, tidaklah salah jika kita memberikan ciuman atau memeluk mereka sebagai tanda penghargaan.

Apabila usia mereka meningkat dari 14 hingga 21 tahun, jadikan mereka kawan. Tetapi selalunya pada usia beginilah ibu bapa mula merenggangkan hubungan dan ini menyebabkan anak menjadi derhaka.

Cuma yang penting anak perlu dilatih mengerjakan solat berjemaah, dilatih supaya mencium tangan orang tua serta peluk penuh kasih dan sayang. Jadi, mereka tidak akan tergamak untuk menderhaka.

Saya pernah melakukan tinjauan terhadap kes anak yang lari dari rumah, puncanya perasaan bosan. Belum sempat di letaknya beg sekolah, ibu sudah menyuruhnya macam-macam.

Perkara sebegini membuatkan si anak berasa tertekan, malah menyampah dengan persekitaran dan rumahnya.

Memang, boleh disuruh tetapi berikanlah hak mereka di rumah. Yang penting si anak dapat pulang ke rumah dengan suka hati dan pergi ke sekolah pun berasa seronok.

Mungkin ibu bapa mempunyai alasan tidak rapat dengan anak kerana sibuk. Jika begitu, kita boleh cuba cara lain. Pulang di tengah malam, anak sudah tidur, pergi ke bilik dan cium dahi mereka.

Hubungan rohani tetap subur, walaupun anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup. Jangan kita tunjuk sikap kita yang panas baran, pemarah dan ada kuasa mutlak kepada mereka dan jangan suka mengherdik mereka dengan perkataan bodoh, kurang ajar, sumpah seranah dan sebagainya yang menjadi doa kepada mereka. Inilah yang menyebabkan mereka derhaka kepada kita.

Lazimnya orang tua, pantang anak menegur, walaupun mereka tahu bersalah. Jangan berasa tercabar dengan teguran kerana pesan orang tua-tua, bisa ular tidak hilang walaupun menyusur di bawah akar.

Saidina Umar r.a berkata, kanak-kanak tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima.

Begitu juga dengan Rasulullah s.a.w, jika berjumpa dengan anak kecil, baginda cukup hormat dan sayang sebab kanak-kanak tidak berdosa.

Lagipun kanak-kanak jika menegur orang memang ikhlas dan jarang bersikap tidak endah.

Perasaan anak juga mesti dihargai. Sesetengah orang tua kurang bercakap dengan anak, malah jika menegur pun dengan ekor mata dan herdikan.

Sikap dan tindakan begini akan membuatkan si anak berasa tersisih dan tidak dihargai.

Justeru, mereka akan mengadu kepada kawan sebaya. Jika jumpa kawan baik tidaklah mengapa, tetapi bagaimana sekiranya mereka jumpa yang samseng? Sudah tentu akan membawa padah. Awasilah anak kita!