Category: 8 KEBERKATAN DALAM KEHIDUPAN

8 KEBERKATAN DALAM KEHIDUPAN

8 KEBERKATAN DALAM KEHIDUPAN

Apabila kita beriman dan bertakwa kepada Allah SWT, Dia akan      mengurniakan lapan (8) keberkatan yang akan menghiasi hidup kita.      Keberkatan tersebut adalah seperti berikut :

1-KEBERKATAN DALAM KEHIDUPAN BERKELUARGA

Rumahtangga kita didamaikan oleh Allah SWT dari sebarang pergaduhan besar yang meruntuh kepercayaan dan  kebahagian si suami, isteri dan anak-anak. Hati dan fikiran dikurniakan ketenangan yang akhirnya memberikan kesan positif kepada produktiviti kita di tempat kerja dan tugas, Hidup bertambah bahagia dan terhindar daripada masaalah hutang yang membebankan kehidupan. Jika berhutang pun akan ada cara dan jalan untuk menyelesaikannya.

2-KEBERKATAN PADA KESIHATAN

Allah SWT selamatkan kita dan keluarga dari penyakit.  Nabi SAW bersabda : “Perlakuan perkara kebaikan mampu menghalang dari terjerumus dalam keburukan, kecatatan dan kebinasaan.” (Hadis Riwayat at-Tabrani, al-Haitahami : sanadnya Hasan)

3-KEBERKATAN PADA HARTA, REZEKI, MAKAN DAN MINUM.

~ Rezeki itu daripada sumber yang tidak haram dan tidak syubhat.
~ Rezeki dirasa sedikit, tetapi mencukupi untuk keperluan.
~ Rezeki itu dengannya kita mampu membiayai keluarga dan menjaga kebajikan mereka  menurut neraca syariat.
~ Rezeki yangtidak menggelapkan hati daripada cahaya Allah SWT.
~ Rezeki itu tidak menyebabkan kita jauh daripada hidayah Allah SWT.
~ Rezeki itu menyemarakkan lagi semangat untuk beribadat.

Nabi SAW  telah bersabda yang membawa maksud “Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan dan tidak akan  ditolak qadar Allah (iaitu qadar  al-Mu’allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu ditahan rezekinya disebabkan dosa-dosa yang sentiasa  dilakukannya” ( Hadis Riwayat Ibn Majah, Ahmad – Hadis Hasan)

Harta yang tidak berkat adalah bila seseorang melakukan maksiat dan dosa dan mendapat rezeki daripada sumber yang haram.

4-KEBERKATAN SEKELILING YANG BAIK.

Dipermudah oleh Allah SWT untuk  berada di tempat dan persekitaran yang baik dan tidak merbahaya untuk diri dan keluarga.
Kewujudannya menjadi pendorong kepada

kebaikan mereka yang disekitarnya, penyekat kepada kemaksiatan. Ia bertepatan dengan sebuah hadis daripada Nabi SAW Yang beraksudnya : “Dari kalangan manusia ada yang menjadi kunci kebaikan dan penutup serta penghalang kepada kejahatan. Dan ada pula yang menjadi kunci kejahatan dan penutup kebaikan, bergembiralah bagi sesiapa yang dijadikan oleh  Allah sebagai kunci kebaikan di tangannya, dan celakalah mereka yang kunci kejahatan di tangannya ( Hadis Riwayat Ibn Majah , hadis sahih )

5-KEBERKATAN DALAM AMAL IBADAT

~ Amalan yang diamalkan itu sesuai dengan kehendak Allah  dan Rasul-Nya.
~ Amalan itu ikhlas kerana Allah SWT.
~ Amalan itu membuahkan hasil yang selari dengan kehendak Islam.
~ Terasa manisnya beribadat.
~ Lahirnya ibadat itu setelah mempelajari  Sunah Nabi SAW.

6-KEBERKATAN PADA MASA

Terdapat banyak hadis-hadis Nabi SAW yang menceritakan keberkatan masa dan saat untuk berdoa yang mustajab di sisi Allah SWT. Mukmin yang diberkati Allah SWT akan mampu menfaatkan saat yang mustajab berdoa untuk dia berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT.
~ Berdoa di saat menjelangnya Subuh ( 1/3 daripada malam ).
~ Makbulnya doa di antara Azan dengan Iqamah.
~ Makbulnya doa di antara Azan Jumaat dengan selesainya khutbahnya.
~ Makbulnya doa khasnya di bulan Ramadan dan terutamanya di 10 hari-hari terakhirnya ~ Makbulnya doa ketika melakukan  Ibadah Haji khasnya ketika melakukan Wuquf di Arafah.

7-KEBERKATAN PADA USIA

Keberkatan usia atau umur seseorang adalah apabila hidupnya sentiasa buat kebaikan, menyambungkan silaturahim dan beramal soleh.
~ Usia yang ada dimanfaatkan untuk menegakkan perjuangan Islam.
~ Usia sedikit, tetapi mendatangkan manfaat yang besar – contohnya ulama silam, mereka mampu menghasilkan kitab-kitab yang  berjumlah beratus-ratus jilid dan judul walaupun mereka tidak mampu hidup lama.
~ Usia itu memenuhi persoalan : “ Untuk apa kita datang, apakah tujuan kita dilahirkan ke dunia ini dan kemana akan kita pergi selepas kematian? “.

8-KEBERKATAN MENUNTUT ILMU

~ Sedikit yang dipelajari dengan ikhlas kerana Allah SWT, membuahkan lagi ilmu-  ilmu lain.
~ Sesuai dengan ajaran Allah SWT dan Rasul-Nya
~ Ianya membuahkan amal seterusnya  iman.