Design a site like this with WordPress.com
Mulakan

ORANG ISLAM GANAS SEBAB MAKAN DAGING HAIWAN ?

ORANG ISLAM GANAS SEBAB MAKAN DAGING HAIWAN ?

Dakwaan Ini Tidak Berasas Kerana Ini Sebabnya

Sains ada menyatakan mengenai apa yang dimakan seseorang akan mempengaruhi tingkah lakunya. Oleh itu, mengapa agama Islam membenarkan penganutnya makan daging haiwan?

Bukankah dengan memakan daging haiwan itu boleh menyebabkan seseorang itu menjadi ganas?

Islam hanya benarkan makan daging haiwan herbivor

makan daging

Kita bersetuju dengan kajian sains yang menyatakan bahawa makanan boleh mempengaruhi seseorang individu tersebut.

Oleh sebab itu, orang Islam dilarang daripada memakan haiwan karnivor yang makan daging seperti harimau, singa, atau kucing.

Islam melarang umatnya daripada memakan haiwan liar ataupun buas, atau haiwan yang mempunyai gigi taring.

Penganut agama Islam hanya dibenarkan untuk memakan haiwan herbivor seperti lembu, kambing, kerbau, biri-biri atau mana-mana haiwan lain yang jinak.

Al-Quran menyebut Nabi Muhammad melarang segala apa yang tidak elok

Dalam Al-Quran, ada menyebut mengenai larangan mengambil perkara-perkara yang buruk. Mafhumnya:

“…Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk…”

(Surah Al-A’raaf, ayat 157)

“…Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk…”

(Surah Al-Hasyr, ayat 5)

Bagi orang-orang Islam, sabda Nabi Muhammad sudah mencukupi untuk meyakinkan mereka bahawa Allah melarang orang Islam daripada memakan beberapa jenis daging haiwan.

Tetapi dalam masa yang sama membenarkan makan daging beberapa jenis haiwan yang lain.

Hadis Nabi Muhammad melarang makan daging haiwan karnivor

makan daging

Larangan untuk memakan daging haiwan karnivor ini turut dijelaskan melalui beberapa hadis nabi seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas dalam Sahih Muslim, iaitu Kitab Perburuan dan Penyembelihan, hadis bernombor 4752.

Ia juga ada diterangkan dalam Sunan Ibnu Majah, Bab 13, hadis bernombor 3232 hingga 3234.

Menurut hadis-hadis tersebut, terdapat beberapa ciri binatang yang haram untuk dimakan seperti:

Haiwan liar yang mempunyai taring iaitu haiwan karnivor yang memakan daging. Ini termasuklah binatang-binatang yang termasuk dalam spesis kucing seperti harimau, singa, kucing, harimau kumbang, jaguar, serigala dan juga dubuk.

Beberapa jenis haiwan rodensia. Haiwan rodensia ialah haiwan mamalia bersaiz kecil yang mempunyai gigi hadapan yang tajam. Antara haiwan rodensia yang diharamkan untuk dimakan ialah seperti tikus, hamster, tikus belanda dan beaver.

Reptilia seperti buaya, ular, biawak, sesumpah, bengkarung dan juga kura-kura

Burung jenis pemangsa yang mempunyai kuku yang tajam seperti burung helang, burung gagak, burung hantu dan burung-burung pemangsa yang lain

Kesimpulan

Jika ingin mengandaikan orang Islam itu ganas kerana makan daging haiwan, perlu diketahui bahawa orang Islam hanya memakan daging haiwan yang jinak atau herbivor sahaja.

Tidak seperti di lokasi lain di dunia, ada sesetengah kelompok manusia yang memakan ular, buaya, kura-kura dan juga biawak.

Di beberapa negara Barat, ada masyarakatnya yang memakan tikus dan juga ular.

Jika ingin mengatakan orang Islam adalah orang yang ganas kerana memakan daging haiwan, kami percaya ada yang lebih ganas daripada orang Islam jika menggunakan logik seperti itu.

AL-QURAN MENDAHULUI ZAMAN

AL-QURAN MENDAHULUI ZAMAN

Perjelas Proses Pembentukan Awan Lebih Awal Daripada Kajian Manusia

Setiap perkara atau ciptaan Allah yang ada di bumi ini mempunyai aturannya yang tersendiri. Ini termasuklah dengan penciptaan awan yang berada di langit. Proses terjadinya awan mungkin tidak dapat difahami dengan sebaiknya oleh manusia jika tidak dinukilkan dalam Al-Quran. 

Ini kerana, pada zaman dahulu, manusia pernah mempercayai bahawa air hujan turun hasil daripada tiupan air laut oleh angin ke daratan. Dalam Surah An-Nuur, ayat ke-43, Allah ada menyebut secara terperinci bagaimana proses terjadinya awan dan penurunan hujan:

“Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya. Dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya; lalu Ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendakiNya. Sinaran kilat yang terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan.”

Dalam ayat ke-43, Surah An-Nuur ini, Allah ada menceritakan berkenaan pembentukan atau proses terjadinya awan. Penceritaan berkenaan pembentukan awan ini lebih terarah kepada awan jenis Nimbus atau Kumulonimbus.

Proses terjadinya awan: awan Nimbus dan Kumulonimbus

Awan Nimbus adalah jenis awan yang sedia ada menurunkan hujan atau salji daripadanya. Warna awan Nimbus adalah gelap dan boleh dilihat ketika berlakunya ribut, bersama-sama dengan kehadiran kilat atau petir. 

Awan Kumulonimbus pula adalah sejenis kepulan awan yang berada secara berselerak di kaki langit. Awan jenis ini terbentuk apabila udara panas naik ke langit dan membawa bersama wap air melalui proses penyejatan. 

Awan Kumulonimbus mempunyai dua warna, sama ada berwarna putih atau kelabu. Sekiranya awan tersebut berwarna putih, ia bermaksud tiada hujan yang akan turun. Namun jika awan tersebut berwarna kelabu, maka hujan akan turun tidak lama lagi. 

3 peringkat pembentukan awan dan hujan

Melalui penerangan ayat daripada Surah An-Nur ini, ia telah menerangkan dengan lebih terperinci kepada kita berkenaan bagaimana awan Kumulonimbus ini terbentuk. Awan Kumulonimbus ini terbentuk apabila awan-awan kecil berkumpul atau dikumpulkan melalui tiupan angin pada peringkat pertama. 

Peringkat kedua pula adalah peringkat dimana awan-awan ini bergabung. Apabila awan-awan kecil ini telah berada berdekatan antara satu sama lain, maka ia bergabung dan seterusnya membentuk awan yang lebih besar. 

Pada peringkat ketiga pula, adalah peringkat di mana awan ini membentuk lapisan secara berlapis-lapis. Pada ketika ini, satu keadaan berlaku di mana terdapatnya peningkatan kandungan udara dalam awan tersebut. Ia dikenali sebagai updraft vertical. Keadaan updraft yang berlaku dalam awan di bahagian tengah adalah lebih kuat berbanding awan di hujung. 

Updraft ini kemudiannya menyebabkan awan berkembang secara menegak atau vertical dan menjadikan awan tersebut bersusun secara berlapis-lapis. Perkembangan awan yang menegak ini kemudiannya menyebabkan awan meregang ke atmosfera yang lebih sejuk lalu menjadikan titisan air menjadi lebih berat atau besar. 

Apabila titisan air ini menjadi semakin berat dan updraft awan tidak dapat menampungnya lagi, maka hujan pun akan turun daripada awan tersebut. 

Bukti Al-Quran bukan karangan manusia

Proses terjadinya awan dan hujan ini telah dijelaskan dalam Al-Quran secara terperinci dan mengikut turutan. Sebelum ini, manusia pernah mempunyai kefahaman yang silap berkenaan pembentukan awan dan bagaimana hujan terbentuk. 

Disebabkan penggunaan peralatan kajian yang lebih canggih seperti satelit dan komputer dalam kajian ilmu meteorologi, barulah manusia dapat memahami dengan lebih tepat bagaimana proses ini berlaku. 

Tetapi, Al-Quran telah menjelaskannya jauh lebih awal iaitu kira-kira 1400 tahun dahulu sebelum manusia dapat memahaminya dengan baik hasil daripada penggunaan teknologi canggih. 

Bagaimana mungkin jika Al-Quran itu dicipta oleh manusia, mereka dapat mengetahui sesuatu proses atau kejadian yang berada di langit yang jauh daripada capaian penglihatan manusia. Ini membuktikan bahawa Al-Quran sememangnya kalam Allah kerana Pencipta semestinya mengetahui secara terperinci mengenai ciptaannya sendiri. 

Rujukan: 

Al-Quran Al-Karim

http://www.surah.my/24#43

https://sciencing.com/interesting-stratus-clouds-8387559.html

https://scienceislam.com/quran_clouds.php

5 TIP UNTUK BANTU MUALAF YANG PERTAMA KALI BERPUASA RAMADAN

5 TIP UNTUK BANTU MUALAF YANG PERTAMA KALI BERPUASA RAMADAN

Bagi mualaf yang pertama kali berpuasa Ramadan, pastinya terdapat sedikit kesukaran untuk membiasakan diri pada permulaannya. Jika anda mengenali mana-mana individu mualaf yang akan atau sedang berpuasa pada tahun ini, kongsikan tips puasa ini kepada mereka.

Tips puasa 1: tidur awal dan kunci jam sebelum Subuh

Sahur merupakan satu sunnah bagi orang berpuasa. Sahur bertindak membekalkan tenaga kepada tubuh badan sebelum bermulanya ibadah puasa yang akan mengambil masa berjam-jam lamanya.

Untuk membiasakan anda bangun bersahur pada awal pagi, cuba tidur lebih awal dan kunci jam sebelum waktu Subuh.

Sebagai contoh, jika waktu Subuh bermula pada jam 5.45 pagi, tetapkan penggera jam anda pada jam 5 pagi.

Jika anda agak berasa malas untuk makan di dapur, bawa makanan yang agak ringan ke bilik tidur anda dan letakkan di sebelah katil.

Ini untuk memudahkan anda bersahur jika anda tidak begitu rajin untuk ke dapur.

Tips puasa 2: puasa sekadar yang termampu

tips puasa

Walaupun anda kini sudah bergelar Muslim, namun kemampuan anda untuk berpuasa penuh mungkin tidak sama dengan mereka yang sudah biasa berpuasa.

Oleh itu, jangan khuatir kerana anda boleh berpuasa setakat mana kemampuan anda pada hari tersebut. Jika anda hanya mampu berpuasa sehingga jam 3 petang, ia tidak mengapa.

Anggaplah ia sebagai satu latihan untuk anda berpuasa dengan lebih baik pada masa akan datang.

Apa yang paling penting adalah niat dan usaha anda untuk berpuasa kerana Allah melihat kepada kedua-dua faktor ini dalam memberikan ganjaran atas amalan puasa anda.

Tips puasa 3: lakukan aktiviti harian seperti biasa

Jangan terlalu memikirkan bahawa anda sedang berpuasa pada hari tersebut.

Jalani hari-hari anda seperti biasa seperti sebelum ini. Sibukkan diri anda dengan melakukan pelbagai perkara yang bermanfaat.

Dengan itu, anda akan kurang memikirkan soal makanan atau rasa lapar ketika berpuasa.

Tip puasa 4: berbuka dengan cara anda sendiri

tips puasa

Sekiranya anda belum biasa untuk berbuka dengan makan buah kurma, ia tidak mengapa.

Makan buah kurma ketika berbuka adalah satu sunnah sahaja, dan ia bukanlah satu kewajipan.

Begitu juga dengan bersahur, jika anda tidak biasa makan nasi pada waktu awal pagi, makanlah apa sahaja yang anda gemari.

Selagi mana ia makanan yang halal, maka makanlah sebagai hidangan berbuka puasa atau bersahur.

Tip puasa 5: beribadat sekadar kemampuan anda

Bulan puasa juga adalah bulan ibadat, dimana umat Islam berlumba-lumba melakukan pelbagai amal kebajikan dan juga ibadat.

Namun, jika anda tidak terbiasa melakukan banyak ibadat setiap hari, ia juga tidak mengapa.

Anda tidak perlu mengikuti gaya orang lain dengan bersolat Tarawih 20 rakaat sekiranya anda benar-benar tidak mampu untuk melakukannya.

Tetapkan satu matlamat yang realistik setiap hari sesuai dengan kemampuan anda.

Ini untuk mengelakkan anda menjadi kecewa yang akhirnya berputus asa untuk melakukan ibadat sepanjang Ramadan.

Kesimpulan

Golongan mualaf tidak sama dengan golongan mukallaf. Kemampuan mualaf agak berbeza dengan individu yang sedia beragama Islam dan kita tidak boleh menyamakan segala amalan mereka dengan kita.

Mereka memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan amalan berpuasa.

Oleh itu, berikan banyak galakan serta sokongan untuk mereka terus kuat melakukan ibadat puasa dan mendekatkan diri dengan Allah Taala.

ADAKAH MUALAF PERLU QADA’ PUASA MEREKA SEBELUM MEMELUK ISLAM ?

ADAKAH MUALAF PERLU QADA’ PUASA MEREKA SEBELUM MEMELUK ISLAM?

Berpuasa menjadi satu amalan yang wajib bagi semua umat Islam. Begitu juga dengan golongan mualaf yang telah memeluk Islam. Namun, adakah sama hukum puasa bagi golongan mualaf dengan individu mukallaf yang sudah lama menganut agama Islam?

Hukum puasa: mualaf boleh berlatih terlebih dahulu

hukum puasa

Seperti yang kita maklum, berpuasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum daripada terbit fajar matahari sehinggalah terbenamnya matahari.

Di Malaysia, tempoh berpuasa ini boleh mencapai antara 12 hingga 13 jam setiap hari, selama 30 hari lamanya.

Tidak dinafikan bahawa amalan berpuasa ini adalah satu amalan yang agak memenatkan. Apatah lagi jika kita terpaksa bekerja seperti biasa ketika berpuasa.

Namun, bagi golongan mualaf yang baru menemui Ramadan buat kali pertama, kewajipannya adalah tidak sama seperti mereka yang sudah lama berada dalam agama Islam.

Ia boleh dikatakan sesuatu yang drastik jika mualaf terpaksa berpuasa penuh dalam keadaan dirinya yang masih belum bersedia sepenuhnya.

Bagi golongan mualaf, mereka dibolehkan untuk berpuasa setakat yang mereka mampu. Golongan mualaf boleh berlatih untuk berpuasa setiap hari, bermula daripada bangun awal pagi untuk bersahur.

Selepas itu, disarankan untuk berpuasa selama beberapa jam pada minggu pertama seperti 6 jam sahaja.

Jika sudah berkemampuan untuk melakukannya, teruskan berpuasa dengan menambah bilangan jam pada minggu berikutnya.

Begitulah seterusnya sehingga mualaf ini dapat membiasakan untuk berpuasa penuh pada Ramadan yang akan datang.

Ini adalah satu bentuk latihan kepada mualaf agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan amalan berpuasa yang tidak pernah mereka lalui sebelum ini.

Adakah mualaf perlu menggantikan puasa sebelum menjadi seorang Islam?

Kewajipan untuk berpuasa pada bulan Ramadan hanya dilakukan oleh umat Islam sahaja. Mereka yang bukan Islam atau yang belum memeluk Islam tidak diwajibkan dengan ibadah ini.

Setelah mereka menjadi Muslim, barulah kewajipan berpuasa Ramadan ini perlu dilaksanakan.

Begitu juga dengan persoalan sama ada puasa sebelum Muslim perlu diganti atau diqada’ setelah memeluk Islam.

Kewajipan untuk berpuasa Ramadan sebelum memeluk Islam adalah digugurkan dan ia tidak perlu digantikan.

Allah Taala telah berfirman dalam Surah Al-Anfal, ayat ke-38 yang bermaksud:

“Katakanlah wahai Muhammad kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti daripada kekufurannya, nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi ingkar maka Kami akan menyeksa mereka, kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang yang kufur ingkar dahulu kala.”

Selain itu, tiada sebarang dalil yang menunjukkan Rasulullah menyuruh sahabat-sahabatnya untuk menggantikan ibadah puasa selepas mereka memeluk Islam, walaupun pada ketika itu kewajipan berpuasa Ramadan sudah disyariatkan oleh Allah Taala.

Adakah mualaf akan mendapat pahala jika tidak berpuasa penuh?

hukum puasa

Salah satu syarat sahnya puasa seseorang itu ialah berpuasa penuh seperti yang telah ditetapkan. Namun, ada yang bertanya, adakah golongan mualaf akan mendapat pahala jika mereka tidak berpuasa penuh?

Sebenarnya, soal pahala ini hanya boleh ditentukan oleh Allah Taala memandangkan hanya Allah yang mengetahui keadaan diri mualaf yang sebenar.

Daripada segi syarat sahnya, sememangnya puasa seorang mualaf yang tidak penuh itu dianggap sebagai tidak sah.

Namun, Allah pasti akan memberikan ganjaran pahala atas niat dan usahanya untuk berpuasa Ramadan.

Dalam Islam, niat untuk melakukan amal soleh itu lebih diutamakan berbanding hasil amalan tersebut.

Niat menentukan sama ada sesuatu amalan itu mendapat pahala ataupun tidak.

Manusia biasa tidak boleh menjatuhkan hukum puasa bagi seorang mualaf memandangkan hanya Allah sahaja yang layak menilai usaha puasa seseorang individu tersebut.

Rujukan:

Fiqh Muallaf, Antara Tuntutan Dan Keutamaan. Mohammad Nidzam Abd. Kadir

PERBEZAAN PUASA AGAMA HINDU, BUDDHA, KRISTIAN DAN YAHUDI

PERBEZAAN BERPUASA ANTARA AGAMA HINDU, BUDDHA, KRISTIAN DAN JUGA YAHUD

Selain daripada amalan berpuasa yang diamalkan oleh orang Islam, ada juga beberapa agama lain di dunia ini yang mengamalkan amalan berpuasa. Namun setiap agama ini mempunyai cara berpuasa mereka yang tersendiri.

Ini perbezaan cara berpuasa antara agama di dunia.

Cara berpuasa bagi agama Hindu

Amalan berpuasa adalah antara amalan yang sangat digalakkan dalam ajaran agama Hindu.

Namun, ajaran Hindu tidak menetapkan satu cara yang khusus untuk penganutnya berpuasa dan mereka diberikan kebebasan untuk berpuasa pada bila-bila masa.

Amalan berpuasa dalam agama Hindu dikenali sebagai Upavasa.

Perkataan ‘Upa’ membawa maksud dekat manakala perkataan ‘Vasa’ pula membawa makna dewa.

Jadi, secara umumnya, amalan berpuasa memberi makna satu amalan yang bertujuan mendekatkan diri mereka kepada dewa yang mereka sembah.

Kaedah berpuasa dalam ajaran Hindu berbeza mengikut hari tertentu.

Biasanya, mereka akan berpuasa penuh pada hari perayaan agama.

Adakalanya, mereka yang berpuasa makanan tetapi masih boleh meminum air.

CARA BERPUASA BAGI AGAMA BUDDHA

Bagi penganut Buddha, puasa adalah salah satu cara yang berkesan untuk mengawal diri manusia daripada tuntutan nafsu.

Amalan puasa dalam ajaran Buddha juga mempunyai sedikit persamaan dengan ajaran Hindu, di mana mereka akan berpuasa pada hari bulan penuh yang dikenali sebagai Uposatha.

Cara berpuasa bagi cabang Thevarada dan Mahayana dalam ajaran Buddha juga berbeza antara satu sama lain.

Di Asia Tenggara, majoriti penganut ajaran Buddha berpegang kepada aliran Thevarada.

Mereka mengamalkan satu latihan yang disebut sebagai Dhutanga yang bermaksud melepaskan segala tuntutan dunia ke atas diri mereka termasuklah makanan.

Bagi pengikut aliran Mahayana pula, mereka masih boleh memakan sayur-sayuran ketika berpuasa kecuali jenis tumbuhan yang mempunyai bau yang kuat seperti bawang putih.

Selain itu, terdapat juga satu amalan berpuasa yang diamalkan oleh para sami Budhha di Tibet yang dikenali sebagai ‘Nyoong-Nay’. Bagi cara berpuasa ini, ia akan dilakukan selama dua hari.

Pada hari pertama, mereka masih makan dan minum tetapi perlu bertafakur. Manakala pada hari kedua, seseorang itu akan berpuasa sepanjang hari tanpa makan dan minum.

Kaedah berpuasa bagi agama Kristian

Dalam agama Kristian, salah satu kaedah berpuasa yang paling terkenal ialah kaedah puasa 40 hari sempena musim Lent.

Puasa musim Lent ini dilakukan bagi memperingati kesusahan Jesus Christ semasa perjalanannya di padang pasir.

Namun, seiring dengan peredaran zaman, puasa musim Lent yang diamalkan kini sudah mempunyai banyak kelonggaran dan kemudahan.

Mereka tidak lagi perlu berpuasa sepanjang hari tanpa makan dan minum.

Ada sesetengah gereja membenarkan pengikutnya untuk makan dan minum seperti biasa dan perlu mengelakkan pengambilan daging sahaja.

Kelonggaran ini ditetapkan bagi menggalakkan lebih ramai umat Kristian mengamalkan kaedah puasa 40 hari.

Namun, ada juga beberapa golongan dalam ajaran Kristian yang masih mengamalkan puasa sepanjang hari dengan tidak makan dan minum, merokok dan juga minum arak.

Kaedah berpuasa seperti ini dikenali sebagai ‘Black Fasting’.

KAEDAH BERPUASA BAGI AGAMA YAHUDI

Bagi penganut agama Yahudi, mereka percaya bahawa amalan berpuasa dapat mengurangkan kemurkaan tuhan ke atas mereka.

Mereka juga berpuasa dengan tujuan mengenang peristiwa kemusnahan bandar Jerusalem yang diserang oleh Nebuchadnezar II.

Dalam kitab Taurat pula, ada dinyatakan kewajipan puasa keatas penganut agama Yahudi pada hari kesepuluh di bulan yang ketujuh yang disebut sebagai Asyura.

Pada hari tersebut, penganut Yahudi akan berpuasa daripada waktu siang sehingga malam.

Bagi golongan Yahudi Ortodoks, mereka mengamalkan puasa wajib satu hari pada hari Yom Kippur.

Ada juga sebilangan penganut Yahudi yang mengamalkan puasa mengikut Nabi Yahya, 40 hari berpuasa seperti amalan Nabi Musa dan 40 hari puasa mengikut Nabi Ilyas.

Selain itu, mereka juga berpuasa secara sukarela pada hari Isnin dan juga Khamis.

Tanda-tanda budi pekerti baik

Tanda-tanda budi pekerti baik

Kitab Bimbingan Mukminin

Ketahuilah bahawa setiap manusia itu memang tidak mengetahui keaiban-keaiban diri sendiri.

Andaikata dia sudah boleh menahan nafsunya sedikit saja, misalnya dengan meninggalkan beberapa dosa yang terkeji, mungkin dia mengira bahawa dia telah dapat mendidik dirinya, dia telah mampu memperelokkan kelakuannya, sehingga pada sangkaannya dia tidak perlu lagi meneruskan perjuangan untuk menahan hawa nafsu.

Maka terhadap orang ini, haruslah diberikan penjelasan, apa dia tanda-tanda budi pekerti yang baik. Budi pekerti yang baik itu ialah iman, manakala budi pekerti yang buruk pula ialah nifaq.

Allah s.w.t. telah pun menggambarkan kepada kita tentang sifat kaum Mu’minin dan kaum munafikin di dalam kitabNya al-Quran, menampakkan kepada kita teras budi pekerti baik dan budi pekerti jahat.

Dalam kiriman berikut akan sebutkan sejumlah ayat Al-Quran mengenai kedua-dua sifat tadi.

View original post

Beberapa Kisah Budi Pekerti Baik

Beberapa Kisah Budi Pekerti Baik

Kitab Bimbingan Mukminin

Diceritakan bahawa al-Ahnaf bin Qais pernah ditanya oleh orang, katanya: Dari siapa engkau belajar menjadi penyantun? Jawabnya: dari Qais bin ‘Ashim. Orang itu bertanya lagi: Sampai ke darjat manakah penyantunannya? Jawab al-Ahnaf: Pada suatu ketika, sedang ia duduk di rumahnya, maka datanglah jariahnya membawa pacak pemanggang besi yang ada daging panggangnya. Tiba-tiba pacak itu terlepas dari tangan jariah dan jatuh mengenai anak kecil Qais hingga menyebabkan anak itu mati. Jariah terperanjat dan bingung. Kata Qais: Engkau tak usah takut, tetapi kini aku merdekakan engkau kerana Allah Ta’ala.

Diriwayatkan lagi bahawa Saiyidina Ali bin Abu Talib karamallahuwajhah pernah memanggil hamba sahayanya, tetapi hamba itu tidak datang. Dipanggilnya kedua kali dan ketiga kali, ia masih tidak juga datang. Maka Ali pun mendatanginya. Dilihatnya hamba itu sedang baring bersenang-senang. Ali bertanya: Hai, apakah engkau tidak dengar panggilan aku? Hamba itu berkata: Bahkan saya dengar. Ali bertanya lagi: Tapi apa sebabnya engkau tidak menjawab…

View original post 194 more words

Melengkapkan anak dengan budi pekerti yang baik sejak kecil

Melengkapkan anak dengan budi pekerti yang baik sejak kecil

Kitab Bimbingan Mukminin

Ketahuilah bahawa jalan untuk mendidik anak-anak kecil dan melatih mereka dengan budi pekerti yang terpuji adalah di antara perkara-perkara yang terpenting dan amat perlu.

Anak-anak itu adalah amanat di tangan kedua ibu bapa. Hatinya yang suci laksana mutiara yang berharga, indah, bersih dari segala gurisan dan bentuk.

Anak-anak kecil akan menerima apa saja yang dibuat kepadanya dan condong kepada apa yang ditarik kepadanya. Tegasnya jika dibiasakan anak-anak itu dengan perbuatan-perbuatan baik yang diajarkan kepadanya, ia akan besar dalam keadaan itu, sehingga berbahagialah kehidupannya dunia akhirat. Kedua ibu bapa, guru, pendidik dan semua orang yang turut mengasuhnya akan bersyarikat dalam mendapat pahala dari Allah Ta’ala.

Sebaliknya, jika anak-anak itu dibiasakan dengan perbuatan-perbuatan yang jahat dan dicuaikan pendidikannya seperti kehidupan binatang yang terbiar, tentu sekali ia akan menjadi celaka dan binasa, dan dosanya juga turut terpikul ke atas punak walinya atau penanggungjawabnya.

Dalam hal ini, Allah Ta’ala telah berfirman:

Wahai orang…

View original post 31 more words

Memberi Pendidikan Positif Untuk Anak-anak

Memberi Pendidikan Positif Untuk Anak-anak

Kitab Bimbingan Mukminin

Kemudian anak itu hendaklah di hantar ke sekolah, supaya ia belajar al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w., mendengar cerita-cerita para salihin dan sejarah kehidupan mereka, agar tertanam di dalam hatinya kecintaan terhadap orang-orang yang mulia itu.

Hendaklah ia dijaga supaya tidak membaca atau mendengar syair-syair yang melukiskan gambaran asyik-ma’syuk dan orang-orang bercinta-cintaan, kerana yang demikian itu akan menumbuhkan benih-benih kerosakan di dalam dirinya.

Seterusnya bila terlihat pada anak itu semacam budi pekerti yang indah dan kelakuan yang terpuji, maka hendaklah anak itu dimuliakan dan dibalas dengan sesuatu yang boleh menggembirakan hatinya dan dipuji kelakuannya yang baik itu di hadapan orang ramai.

Tetapi jika ia terlanjur sesekali dalam setengah-setengah perkara, maka hendaklah berpura-pura terlupa atau tidak ternampak akan kelakuannya yang salah itu.

Dan jangan sekali-kali memalukan anak itu atau membuka rahsianya, dan janganlah menampakkan keadaannya bahawa orang lain ada yang berani melakukan sepertinya. Terutama sekali bila anak itu telah mencuba untuk menutup…

View original post 91 more words

Hasil Dari Didikan Baik Sejak Kecil

Hasil Dari Didikan Baik Sejak Kecil

Kitab Bimbingan Mukminin

Sewajarnyalah juga diajarkan kepada anak-anak itu, supaya selalu mentaati kedua ibu bapa dan mematuhi perintah guru atau pendidik dan seterusnya terhadap semua orang yang lebih tua daripada mereka, sama ada dari golongan kaum kerabat sendiri mahupun orang luar.

Hendaklah ia memandang kepada mereka dengan pandangan penuh penghormatan dan ta’zim, dan meninggalkan permainan di hadapan mereka sekalian.

Apabila sampai saja kepada umur mumaiyiz (pandai), maka sudah wajib mereka dijaga tentang soal taharah (kesucian) dan sembahyang, supaya tidak dicuaikan. Diperintahkan mereka berpuasa pada sebahagian Ramadhan. Diajarkan mana-mana yang perlu dari batasan-batasan syara’. Diingatkan juga supaya jangan berani, mencuri memakan yang haram, berbuat khianat, berdusta, melakukan perkara-perkara keji dan sebagainya.

Apabila pendidikan anak yang kecil diusahakan seperti yang disebutkan di atas tadi, nescaya apabila ia menjadi dewasa, ia akan kenal akan mengetahui semua rahsia-rahsia kelakuan yang diajarkan kepadanya sewaktu kecil itu.

View original post