Design a site like this with WordPress.com
Mulakan

Korban Dan Hikmah

Korban Dan Hikmah

Bersyukurlah di atas nikmat Allah keatas kita. Antara tanda bersyukur ialah dengan melaksanakan ibadat  fardhu dan ibadat sunat.

Ibadat korban merupakan ibadat sunat yang paling disukai Allah pada hari raya Edul Adha. Rasulullah SAW bersabda:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ

Tidak ada amal keturunan Adam yang lebih disukai Allah pada Hari Edul Adha selain menyembelih korban. (Tirmizi No:1413)

Orang yang berkemampuan tetapi tidak melaksanakan korban seolah-olahnya tidak layak mendatangi masjid untuk melaksanakan ibadat solat. Rasulullah SAW  bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ وَجَدَ سَعَةً فَلَمْ يُضَحِّ فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا

Daripada Abu Hurairah RA, telah bersabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang ada kelapangan belanja tetapi tidak melakukan korban, maka janganlah dia menghampiri masjid kami. (Musnad Ahmad No: 7924) Status: Isnad Hasan

Beruntunglah mereka yang berusaha melaksanakan ibadat korban yang merupakan satu daripada amalan yang amat digalakkan setiap kali kedatangan hari raya korban.

Antara hikmah disyariatkan ibadah korban adalah:

1. Sebagai tanda ketaatan seorang hamba kepada Allah SWT. Ibadah korban mengingatkan kita tentang peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang telah diperintahkan Allah SWT untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail AS. Ia merupakan pengorbanan yang benar-benar menguji keimanan dan kesabaran mereka berdua. Perintah yang amat berat itu telah dilaksanakan atas dasar iman dan taqwa yang dilakukan tanpa ragu-ragu. Atas dasar ketaatan dan keikhlasan mereka, maka Allah SWT akhirnya telah memerintahkan agar Nabi Ismail AS digantikan dengan seekor kibash untuk disembelih.

2. Memupuk sikap prihatin dan peduli terhadap orang lain. Hal ini dapat dilihat melalui pengagihan daging korban kepada orang yang berhak menerimanya iaitu fakir miskin, jiran tetangga serta orang yang memerlukan.

3. Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dapat mendidik diri untuk bersikap sabar terhadap apa jua ujian yang diberikan oleh Allah SWT. Belajarlah agar tidak mudah mengeluh dan tetap redha dan bertawakal kepada-Nya.

Ketahuilah, apa pun ujian dan musibah yang berlaku, semuanya itu adalah ketentuan dan ketetapan daripada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 156:

ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتۡهُم مُّصِيبَةٌ۬ قَالُوٓاْ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَاجِعُونَ

 “Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa oleh sesuatu musibah, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah kami kembali”

4. Mengikis sifat tamak dan mewujudkan sifat pemurah  dalam membelanjakan harta ke jalan Allah. Ingatlah, harta yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada kita, bukan hak milik mutlak kita malah di dalamnya ada hak orang lain seperti golongan fakir miskin. Harta itu hendaklah disalurkan melalui sedekah, infaq, zakat juga melalui ibadah korban.

5. Ibadah korban melahirkan tanda kesyukuran kepada Allah SWT terhadap nikmat rezeki yang telah dikurniakan. Firman Allah SWT dalam surah Al-Hajj ayat 34:

 وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا ٱسْمَ ٱللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلْأَنْعَٰمِ ۗ فَإِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَٰحِدٌ فَلَهُۥٓ أَسْلِمُوا ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُخْبِتِينَ

Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (kurban), supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka, maka Tuhanmu ialah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu berserah dirilah kamu kepada-Nya. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh (kepada Allah),

Marilah kita melaksanakan ibadat korban dengan kelebihan rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepada kita. Semoga ibadah korban dan amal kebajikan yang kita lakukan atas dasar keikhlasan dan ketakwaan kepada Allah SWT diterima dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: