Design a site like this with WordPress.com
Mulakan

Menjaga Keaslian Doa.

Menjaga Keaslian Doa.

Sepanjang saya tawaf dan sa‘i, ada beberapa perkara yang sangat menyayatkan hati saya. Saya mengalami kesulitan untuk berkongsi di ruangan ini buat masa sekarang.

Yang boleh saya kongsi antaranya ialah, beberapa kumpulan jamaah yang bergerak sama-sama semasa tawaf dan sa‘i sambil menjerit-jerit ketika berdoa dan berzikir.

Hal ini bercanggah sama sekali dengan ajaran al-Quran dan ajaran Nabi s.a.w., agar kita beradab dan merendahkan suara ketika berdoa.

“Tuhan kita bukannya pekak.”

Sepatutnya kita melafazkan zikir dan doa dengan penuh kerendahan hati dan penghayatan. Lainlah jika ada zikir khas seperti talbiah yang memang disarankan untuk dikuatkan.

Baik, kita tinggalkan dahulu isu tersebut.

Saya ingin kongsikan satu kesilapan yang biasa dilakukan oleh ramai kalangan kita, bukan hanya jamaah Malaysia dalam berdoa. Kesilapan ini sebenarnya bukanlah untuk diperbesarkan; sekadar saya ingin berkongsi ajaran ulama dan jika apa yang saya kongsikan betul, kita usaha lakukan penambah baikan.

Kita disarankan untuk berzikir dan berdoa sepanjang tawaf. Terpulanglah apa yang ingin kita baca, Nabi s.a.w. tidak menentukannya. Yang penting, jauhi percakapan dan usah bergambar (selfie).

Apabila sampai di Rukun al-Yamani, menuju ke Rukun Hajar al-Aswad, kita biasanya akan berdoa,

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،

وَأَدْخِلْنَا الجَنَّةَ مَعَ الأَبْرَارِ، يَا عَزِيز، يَا غَفَّار.

Berikut ialah ulasan saya.

1- Doa penuh sebegini tidak warid (tidak bersumberkan) daripada Nabi s.a.w. Wallah a‘lam daripada mana doa ini muncul sebenarnya.

2- Menurut beberapa catatan hadith s.a.w., antaranya riwayat sahabat Nabi s.a.w. yang bernama Abdullah bin al-Sa’ib r.a., doa yang betul hanyalah sebahagian. Berikut hadith yang saya maksudkan.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ السَّائِبِ ، قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : ” مَا بَيْنَ الرُّكْنَيْنِ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“Abdullah bin al-Sa’ib r.a. berkata: Saya mendengar Rasulallah s.a.w. berdoa antara dua rukun, رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.” (Sunan Abi Dawud)

3- Bererti, terdapat sedikit tambahan daripada doa asal Nabi s.a.w. Tambahan yang dimaksudkan ialah وَأَدْخِلْنَا الجَنَّةَ مَعَ الأَبْرَارِ، يَا عَزِيز، يَا غَفَّار.

4- Tambahan ini meskipun membawa maksud yang baik iaitu agar Allah Taala memasukkan kita ke dalam Syurga bersama orang-orang baik, namun ia tidak selaras dengan doa yang diamalkan oleh Nabi s.a.w. Kita boleh membaca doa ini pada masa lain, bukannya antara Rukun al-Yamani menuju Rukun al-Hajar al-Aswad.

5- Usah salah faham, saya bukan menghalang anda berdoa. Tidak. Saya hanya ingin berkongsi doa yang sememangnya diajari oleh kekasih kita semua, Nabi s.a.w. Bukankah indah kita mengamalkan doa dan zikir Nabi s.a.w. tanpa ada tambahan?

Apa lagi kalau tambah-tambah itu tidak diketahui asal-usulnya. Maka, wajarlah kita elakkan.

6- Apabila kita perhatikan kepada al-Quran, al-Quran juga ada menyarankan doa untuk dibaca oleh para tetamu Allah al-Rahman secara khusus. Doa tersebut ialah,

وَمِنۡهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةً وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ (201)

“Dan ada sebahagian mereka berdoa: Tuhan kami, kurniakan kami di dunia ini kebaikan, di akhirat juga kebaikan, dan peliharalah kami daripada azab neraka.” (Al-Baqarah:201)

Rumusan:

Doa yang perlu dibaca ketika sampai di Rukun al-Yamani menuju Rukun al-Hajar al-Aswad ialah رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

Dalam masa yang sama, kita elakkan sebarang pertelingkahan sesama kita. Yang penting, kita saling memberikan nasihat antara satu sama lain dan kita berusaha luruskan amalan kita agar selari dengan sunnah Nabi kita s.a.w.

Barakallahu fikum.

Yang mengasihi anda,

Ustaz Dzulkairi Khairi

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: