Design a site like this with WordPress.com
Mulakan

KISAH POKOK DI ZAMAN RASŪL ALLĀH YANG DIGANTUNGKAN SENJATA PADANYA (يعلِّقونَ عليْها أسلحتَهم)

HADĪTH ذَاتُ أَنْوَاطٍ : KISAH POKOK DI ZAMAN RASŪL ALLĀH YANG DIGANTUNGKAN SENJATA PADANYA (يعلِّقونَ عليْها أسلحتَهم)

Saya menulis ini kerana teringat akan kisah sebatang #pokok dalam as-Sīrah an-Nabawiyah.

1. Selepas seminggu pembukaan kota Mekah (Fathul Makkah), Rasūl Allāh صلى الله عليه و سلم mengarahkan umat Islām yang berada di Mekah sama ada yang baru atau yang sudah memeluk Islām untuk bersiap sedia menuju ke Hunain, sebuah lokasi yang hampir dengan Mekah, mempunyai penduduk yang ramai serta berpotensi memberi ancaman. Dalam perjalanan menuju di Hunain, tentera Islām melewati sebuah pokok yang dinamakan sebagai Dhāt Anwāt (ذَاتُ أَنْوَاطٍ) pada zaman jahiliyah yang lampau.

2. Abu Waqid Al-Laithi رضِيَ اللهُ عَنه merupakan Muslim yang baru memeluk Islām (seminggu yang lalu), meriwayatkan hadīth ini, katanya bahawa apabila Rasulullah صلى الله عليه و سلم keluar ke Hunain, baginda melewati sebatang pokok yang disebut oleh orang-orang musyrik “Dhāt Anwāt” (pokok) yang padanya mereka menggantungkan senjata mereka. (أنَّ رسولَ اللهِ صلَّى اللَّهُ عليْهِ وسلَّمَ لمَّا خرجَ إلى [حنين] مرَّ بشجرةٍ للمُشرِكينَ يقالُ لَها ذاتُ أنواط يعلِّقونَ عليْها أسلحتَهم)

3. Berkenaan pokok ini, telah menjadi tradisi kaum Quraisy di zaman jahiliyah untuk mendatangi pokok Dhāt Anwāt ini. Pokok ini dikatakan pokok yang subur kehijauan dan besar. Setiap tahun, kaum Quraisy akan mendatangi pokok ini lalu berpesta di sekelilingnya dan menyembelih korban pada pokok ini seperti mana yang dilakukan terhadap berhala di Mekah. Fungsi utama pokok ini adalah sebagai tangkal atau azimat yang memberi tuah (good luck charm) dengan menggantungkan senjata-senjata pada pokok ini agar diberi kemenangan dalam peperangan yang akan datang.

4. Abu Waqid Al-Laithi menyambung, Mereka (Penduduk Mekah yang baru memeluk Islām) berkata: “Wahai Rasūl Allāh! Buatlah Dhāt Anwāt untuk kami sebagaimana mereka (pada waktu yang lampau) mempunyai Dhāt Anwāt.’ (فقالوا يا رسولَ اللهِ اجعَل لنا ذاتَ أنواطٍ كما لَهم ذاتُ أنواطٍ)

5. Nabi صلى الله عليه و سلم bersabda: “Maha suci Allāh! Ini seperti yang dikatakan oleh kaum Musa: “Jadikan untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan”.” Demi Dzat yang memiliki jiwaku! Kamu akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kamu.” (فقالَ النَّبيُّ صلَّى اللَّهُ عليْهِ وسلَّمَ سبحانَ اللهِ هذا كما قالَ قومُ موسى اجْعَلْ لَنَا إِلَهًا كَمَا لَهُمْ آلِهَةٌ والَّذي نفسي بيدِهِ لترْكبُنَّ سنَّةَ مَن كانَ قبلَكم . )

Jami` at-Tirmidhi 2180 (Telah berkata Abu ‘Isa hadīth ini hasan sahīh. Dan nama Abu Waqid Al-Laithi ialah Al-Harith bin ‘Auf. وَفِي الْبَابِ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ وَأَبِي هُرَيْرَةَ.) Hadith ini juga terdapat dalam Musnad Imam Ahmad dan Ibn Ishak.

6. Ayat al-Qur’ān pada poin 5 di atas iaitu “Jadikan untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan”.” merupakan ayat 138 sūrah al-A’rāf. Terjemahan penuh : “Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: “Wahai Musa jadikan untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan”. Nabi Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.” (وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتَوْا عَلَىٰ قَوْمٍ يَعْكُفُونَ عَلَىٰ أَصْنَامٍ لَّهُمْ ۚ قَالُوا يَا مُوسَى اجْعَل لَّنَا إِلَٰهًا كَمَا لَهُمْ آلِهَةٌ ۚ قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ)

7. Hadīth ini secara ringkasnya mempunyai beberapa faedah. Ringkasnya, faedah yang paling penting daripada hadīth ini ialah berkaitan isu ‘aqidah iaitu mempercayai selain Allāh سبحانه و تعالى dalam hal ini sebatang pokok Dhāt Anwāt yang dipercayai kaum Quraisy mempunyai kuasa untuk memberi manfaat atau memberi mudarat kepada hidup insān.

8. Dalam sharah hadīth ada menyebut bahawasanya hal ini juga pernah berlaku ketika tentera Muslim berangkat menuju Khaibar. Hal yang sama berlaku, mereka melewati sebatang pokok yang dikenali sebagai Dhāt Anwāt. Apabila permintaan ini (seperti poin 5) diajukan kepada Nabi صلى الله عليه و سلم, maka permohonan itu diingkari Nabi صلى الله عليه و سلم. (ويُنكِرُ عليهم أن يَطلُبوا مِثلَ هذا الطَّلبِ،). Ini kerana mereka telah dimuliakan dengan Islām serta tidak terima adat jahiliyah yang bercanggah dengan syara’ (وقد كرَّمَهم اللهُ بالإسلامِ ونبْذِ عاداتِ الجاهليَّةِ).

9. Maksud daripada sabda Nabi صلى الله عليه و سلم, “Kamu akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kamu.” (لترْكبُنَّ سنَّةَ مَن كانَ قبلَكم) ialah meruju’ kepada perbuatan syirik, kesinambungan daripada kisah kaum Nabi Musa, Bani Isra’il yang mana Sāmiriy mengadakan berhala daripada cairan emas, kemudian disembah ketika Nabi Musa عليه السلام bermunajat kepada Allāh سبحانه و تعالى.  (ثمَّ ما لَبِثوا أنْ جعَل لهم السَّامريُّ عِجلًا مِن ذهَبٍ فعَبَدوه) Sabdaan Nabi seolah-olah isyarat bahawa perkara ini pasti berlaku dalam urusan umat Islam. (فكأنَّ هذا إشارةٌ إلى أنَّ سُنَّةَ اللهِ ماضيةٌ في الأمَّةِ) Untuk lebih lanjut sila ruju’ sharah hadith ini.

10. Menjadi tanggungjawab pihak berautoriti dalam agama (JAKIM dll) untuk menutup segala ruang, ‘amalan yang dikhuatiri membuka jalan ke arah perbuatan yang bercanggah dengan syara’ serta mendatangkan mafsadah yang mana dalam usūl fiqh dikenali sebagai سد الذرائع.

Wa Allāhu a’lam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: