Design a site like this with WordPress.com
Mulakan

PENGENALAN DEMOKRASI BERPARLIMEN

PENGENALAN DEMOKRASI BERPARLIMEN

Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Perlembagaan negara telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat untuk pengalaman sistem ini. Salah satu syarat sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan, iaitu Perundangan, Kehakiman dan Pentadbiran atau Eksekutif.

Malaysia juga merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi berasaskan kepada sistem Persekutuan. Sehubungan dengan itu, ia bermakna negeri-negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak , Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah telah bersetuju dengan konsep penubuhan Negara Malaysia.

Setiap negeri yang terbabit telah menyerahkan sebahagian kuasa masing-masing, seperti kewangan, pertahanan, pelajaran, luar negara dan lain-lain lagi seperti mana yang telah tercatat di dalam Perlembagaan Malaysia yang di tadbir oleh Kerajaan Pusat. Ada perkara-perkara yang dijadikan kuasa negeri dan negeri akan mentadbirkan kuasa.

Sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan, maka diperuntukan oleh Perlembagaan institusi Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu di sembilan buah negeri dan Majlis Raja-raja. Baginda adalah diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan Pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, dan Wilayah-wilayah Persekutuan.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga menjadi Ketua Utama Negara dan Baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara. Baginda akan menjalankan tugas-tugas dibawah Perlembagaan mengikut nasihat Perdana Menteri atau Jemaah menteri . Raja-raja pula menjadi Ketua Negeri masing-masing dan menjalankan tugas mengikut nasihat Menteri-menteri Besar atau Ketua-ketua Menteri.

DEMOKRASI DALAM KERANGKA ISLAM

1. Demokrasi ialah suatu bentuk pemerintahan dengan kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan ditentukan oleh rakyat. Dalam sistem demokrasi, undang-undang digubal sama ada oleh rakyat atau wakil yang dipilih oleh rakyat.

2. Demokrasi boleh dimanfaatkan dan diharmonikan dengan Islam. Asas pada demokrasi ialah memberi hak kepada rakyat untuk bersuara dan memberikan pandangan serta menentukan bagaimana sebuah negara diurus tadbir. Ia adalah sebahagian daripada proses “Syura” perbincangan dalam Islam.

Dalam Surah al-Syura ayat 38 Allah menjelaskan sifat orang-orang beriman selain menyahut seruan Tuhan dan menegakkan solat ialah mengadakan “syura” perbincangan dalam urusan hidup. Allah berfirman

وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ (38)

“Dan (orang beriman itu ialah) orang yang menyahut kepada Tuhan mereka dan menegakkan solat dan urusan mereka adalah Syura perbincangan sesama mereka..”

3. Syura demokrasi adalah Syura besar di kalangan rakyat untuk menentukan pemerintah dan cara urus tadbir negara. Syura demokrasi ini boleh diharmonikan dengan meletakkan Syura itu pada batasan dan kerangka Islam Berasaskan kerangka ini, suara dan pandangan rakyat yang bercanggah dengan prinsip Islam tertolak secara sendirinya. Mana-mana suara rakyat yang selaras dengan prinsip dan dasar Islam perlu diterima untuk dilaksanakan.

Allah berfirman dalam Surah al-Hasyr ayat 7

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ

“Dan apa yang didatangkan oleh Rasul maka ambillah dan apa yang dilarang kepada kamu maka berhentilah dan bertaqwalah kepada Allah”

4. Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama boleh menjadi kerangka dan acuan untuk memagari demokrasi dan suara rakyat agar sentiasa dibataskan dengan Islam. Dalam konteks Malaysia, Islam yang telah diperuntukkan dalam Perlembagan Malaysia pada Perkara 3(1) boleh menjadi rujukan kepada demokrasi rakyat yang menjadi sebahagian daripada kerangka bernegara. Islam pula perlu ditafsirkan sebagai aturan beragama untuk memakmurkan kehidupan dalam segenap lapangan sama ada politik, pentadbiran, sosial, ekonomi dan kehidupan individu serta berkeluarga. Apabila begitulah tafsirannya untuk maksud Islam dalam perlembagaan maka demokrasi rakyat dilaksanakan dalam kerangka dasar dan prinsip Islam.

5. Demokrasi yang dipagari oleh Islam adalah satu proses penghargaan kepada rakyat untuk memberikan pandangan. Di kalangan rakyat terdapat cerdik pandai yang tidak sedikit malah cerdik pandai juga tidak dinilai berdasarkan sijil pengajian. Seorang pengayuh beca jangan dianggap bodoh berpolitik dan membuat penilaian hanya kerana ketiadaan sijil. Kecerdikan adalah milik manusia yang diberikan akal untuk berfikir oleh Allah.

6. Para pendokong awal Islam yang bersama Nabi saw malah para pendokong para nabi sepanjang zaman adalah golongan marhaen yang dianggap lemah akal sedangkan hakikatnya mereka cerdik dan berakal. Lantaran kecerdikan merekalah maka mereka memilih Islam berbanding kekufuran yang melingkari golongan bangsawan dan cendekiawan.

7. Allah menceritakan tentang keimanan golongan yang dianggap lemah akalnya dalam kisah dakwah Nabi Soleh dalam Surah al-A’raf ayat 75

 قَالَ ٱلْمَلَأُ ٱلَّذِينَ ٱسْتَكْبَرُواْ مِن قَوْمِهِۦ لِلَّذِينَ ٱسْتُضْعِفُواْ لِمَنْ ءَامَنَ مِنْهُمْ أَتَعْلَمُونَ أَنَّ صَٰلِحًا مُّرْسَلٌ مِّن رَّبِّهِۦ ۚ قَالُوٓاْ إِنَّا بِمَآ أُرْسِلَ بِهِۦ مُؤْمِنُونَ

“Berkata golongan bangsawan yang menganggap mereka besar diri di kalangan kaumnya kepada golongan yang dianggap lemah di kalangan orang yang beriman di kalangan mereka; tahukah kamu bahawa Soleh itu diutuskan daripada Tuhannya? Kata golongan yang lemah; sesungguhnya kami dengan apa dengan apa yang diutuskan kepada Soleh itu menjadi orang yang beriman”

8. Golongan yang lemah di kalangan pengikut Nabi sentiasa dianggap sebagai bodoh tidak berilmu. Allah berfirman dalam kisah Hud dalam Surah Hud ayat 27

فَقَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن قَوْمِهِ مَا نَرَاكَ إِلَّا بَشَرًا مِّثْلَنَا وَمَا نَرَاكَ اتَّبَعَكَ إِلَّا الَّذِينَ هُمْ أَرَاذِلُنَا بَادِيَ الرَّأْيِ

“Maka berkata bangsawan yang kufur di kalangan kaumnya; kami tidak melihat kamu melainkan manusia seperti kami dan kami tidak melihat yang mengikut kamu melainkan orang-orang yang rendah dikalangan kami lagi rendah akalnya”

9. Maka tidak wajar memperbodohkan rakyat yang menggunakan suara demokrasi atau menganggap rakyat bodoh tidak tahu menilai dan ketiadaan akal. Sesungguhnya demokrasi adalah ruang memberikan pandangan oleh rakyat dan hak membuat pilihan oleh rakyat namun ia perlu dipagari oleh dasar-dasar Islam. Cukuplah apabila sebuah negara menjadikan Islam sebagai rujukan maka demokrasi akan diamalkan oleh rakyat dalam kerangka prinsip Islam dan dibatasi oleh halal dan haram dalam Islam.