PENENTUAN AIDILADHA WAJIB BERDASARKAN RUKYATUL HILAL PENDUDUK MEKAH

PENENTUAN AIDILADHA WAJIB BERDASARKAN RUKYATUL HILAL PENDUDUK MEKAH

“Para ulama mujtahidin telah berbeza pendapat dalam hal mengamalkan satu rukyat (melihat tempat terbitnya Hilal) yang sama untuk Aidilfitri. Mazhab Syafie menganut rukyat lokal, iaitu mereka mengamalkan rukyat masing-masing negeri. Sementara mazhab Hanafi, Maliki, dan Hanbali menganut rukyat global, iaitu mengamalkan rukyat yang sama untuk seluruh kaum Muslim. Ini bermaksud, jika rukyat (Hilal kelihatan) telah terjadi di suatu bahagian bumi, maka rukyat itu berlaku untuk seluruh kaum Muslim sedunia, meskipun mereka sendiri tidak dapat merukyat.

Namun, khilafiyah seumpama itu tidak ada dalam penentuan Aidiladha. Sesungguhnya ulama seluruh mazhab (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali) telah sepakat mengamalkan rukyat yang sama untuk Aidiladha. Rukyat yang dimaksud, adalah rukyatul hilal (pengamatan bulan sabit) untuk menetapkan awal bulan Zulhijjah, yang dilakukan oleh penduduk Mekah. Rukyat ini berlaku untuk seluruh dunia. Oleh kerana itu, kaum Muslim dalam sejarahnya senantiasa ber-Aidiladha pada hari yang sama. Fakta ini diriwayatkan secara mutawatir (oleh orang banyak pihak yang mustahil sepakat bohong) bahkan sejak masa kenabian, dilanjutkan pula pada masa Khulafa’ ar-Rasyidin, Umawiyin, Abbasiyin, Uthmaniyin, hinggalah masa kita sekarang.

Hadis Husain Ibn Al-Harits Al-Jadali RA, dia berkata: “Sesungguhnya Amir (Wali) Mekah pernah berkhutbah dan berkata :

“Rasulullah SAW mengamanahkan kepada kami untuk melaksanakan manasik haji berdasarkan rukyat. Jika kami tidak berjaya merukyat tetapi ada dua saksi adil yang berjaya merukyat, maka kami melaksanakan manasik haji berdasarkan kesaksian keduanya.” (HR Abu Dawud [hadis no 2338] dan Ad-Daruquthni [Juz II/167]. Imam Ad-Daruquthni berkata,’Ini isnadnya bersambung [muttashil] dan sahih.’ Lihat Imam Syaukani, Nailul Authar, [Beirut : Dar Ibn Hazm, 2000], hal. 841, hadis no 1629)

Hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa penentuan hari Arafah dan hari-hari pelaksanaan manasik haji, telah dilaksanakan pada saat adanya Daulah Islamiyah oleh pihak Wali Mekah. Hal ini berlandaskan perintah Nabi SAW kepada Amir (Wali) Mekah untuk menetapkan hari dimulakan manasik haji berdasarkan rukyat.

Di samping itu, Rasulullah SAW juga telah menetapkan bahawa pelaksanaan manasik haji (seperti wukuf di Arafah, thawaf ifadhah, bermalam di Muzdalifah, melempar jumrah), perlu ditetapkan berdasarkan rukyat penduduk Mekah sendiri, bukan berdasarkan rukyat penduduk Madinah, penduduk Najd, atau penduduk negeri-negeri Islam lainnya. Dalam keadaan tiadanya Daulah Islamiyah (Khilafah), penentuan waktu manasik haji tetap menjadi tanggungjawab dan kekuasaan pihak yang memerintah Hijaz dari kalangan kaum Muslim, meskipun kekuasaannya sendiri tidak sah menurut syarak. Dalam keadaan demikian, kaum Muslim seluruhnya di dunia wajib ber-Aidiladha pada Yaumun nahr (hari penyembelihan korban), iaitu tatkala para jemaah haji di Mekah sedang menyembelih korban mereka pada tanggal 10 Zulhijjah. Dan bukan keesokan harinya (hari pertama dari Hari Tasyriq).

Hadis Abu Hurairah RA, dia berkata : “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melarang puasa pada Hari Arafah, di Arafah” (HR. Abu Dawud, An Nasa’i dan Ibnu Khuzaimah dalam Sahihnya, Lihat Imam Syaukani, Nailul Authar, [Beirut : Dar Ibn Hazm, 2000], hal. 875, hadis no 1709).

Berdasarkan hadis itu, Imam Asy-Syafie berkata, “Disunnahkan berpuasa pada Hari Arafah (tanggal 9 Zulhijjah) bagi mereka yang bukan jemaah haji.”

Hadis di atas merupakan dalil yang jelas dan terang mengenai kewajipan penyatuan Aidiladha pada hari yang sama secara wajib ‘ain atas seluruh kaum Muslim. Sebab, jika disyariatkan puasa bagi selain jemaah haji pada Hari Arafah (hari tatkala jemaah haji wukuf di Padang Arafah), maka ini bererti, Hari Arafah itu adalah satu, tidak lebih dari satu dan tidak boleh lebih dari satu.

Hal ini juga tersirat dalam al-Quran Surah Al-Baqarah ayat 189:

“Mereka bertanya kepadamu tentang bulan sabit. Katakanlah: “Bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan (bagi ibadah) haji”

Dalam ayat di atas, Allah seakan sengaja menampakkan bahawa munculnya hilal (bulan sabit) adalah tanda permulaan dimulainya ibadah haji. Ibadah haji berada di mana? Ibadah haji berpusat di Kaabah, Mekah. Jadi, dalam melihat hilal untuk penentuan awal bulan Zulhijjah, maka kita mestilah berpedoman terhadap hilal yang berada di Mekah, tempat Kaabah berada; sebab pelaksanaan Puasa Arafah (tanggal 9 Zulhijjah) serta Hari Raya Korban (tanggal 10 Zulhijjah) berkaitan erat dengan ritual ibadah haji. Lagi pula, saya belum melihat satu hadis pun yang mengatakan bahawa jika kita melihat hilal pada akhir bulan Zulkaedah di manapun kita berada, maka keesokan harinya kita boleh mula berhaji. Ini berbeza dengan penentuan awal dan akhir Ramadhan, yang mana hadis yang menyiratkan tentang hal itu ada.

Berkiblat ke Kaabah dalam beribadah dan suatu urusan sebenarnya juga merupakan anjuran dari Allah swt. Firman Allah: `Orang-orang yang kurang akalnya diantara manusia akan berkata: “Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblatnya (Baitul Maqdis) yang dahulu mereka telah berkiblat kepadanya?” Katakanlah: “Kepunyaan Allah-lah timur dan barat; Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus”. [TMQ al-Baqarah (2):142]

“Allah telah menjadikan Kaabah, rumah suci itu sebagai pusat (peribadahan dan urusan dunia) bagi manusia, dan (demikian pula) bulan Haram, had-ya, qalaid. (Allah menjadikan yang) demikian itu agar kamu tahu, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi dan bahawa sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”. [TMQ al-Maidah (5):97]

“Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk (tempat beribadah) manusia, ialah Baitullah yang di Bakkah (Mekah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia. Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) maqam Ibrahim; barangsiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam”. [TMQ ali-Imran (3):96-97]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Create your website with WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: