MENONGKAH KECICIRAN DALAM PERJUANGAN

MENONGKAH KECICIRAN DALAM PERJUANGAN

SEMUA orang telah sama-sama menyaksikan, semenjak pandemik aktiviti masjid-masjid telah dikurangkan bahkan ada yang ditutup dan ditangguhkan semua aktiviti kuliah-kuliah dan ceramahnya malah solat berjemaah pun tidak dibenarkan. Hal ini telah memberi impak besar kepada keimanan sebahagian masyarakat Islam. Ada di kalangan masyarakat Islam, imannya menjadi semakin pudar, menjadi lemah, luntur bahkan sebahagiannya telah ada kecenderungan kepada berbuat perkara dosa dan maksiat.

Apa yang berlaku ini, mungkin tidak terkesan kepada semua orang, tetapi kesannya jangan dipandang remeh. Aktiviti-aktiviti secara online telah dijadikan alternatif atau pilihan kedua kepada program yang selalunya dibuat secara bersemuka. Walaupun di awalnya tidak terlalu membantu tetapi sedikit sebanyak pencinta ilmu mulai terbiasa dan membiasakan diri memahirkan suasana baru ini, daripada tiada sama sekali.

Situasinya sudah pastinya berbeza antara kuliah di maya daripada kuliah secara bersemuka. Secara bersemuka, pencinta ilmu dapat berhadapan dengan guru-guru, dapat bersama kawan-kawan lain belajar bersama-sama, dapat melihat mereka menulis nota, ada yang fokus mendengar, ada yang tercari-cari rujukan al-Quran, bertanya di mana-mana yang tidak faham dan lain-lainnya dalam roh cintakan ilmu. Suasana begini dapat memotivasikan diri masing-masing yang hadir bersemangat untuk belajar. Tetapi suasana ini sangat jauh berbeza dengan belajar secara maya. Inilah realiti yang terpaksa dilalui oleh pencinta-pencinta Ilmu.

Dahulu di awal hijrah, di awal meniti jalan istiqamah, setiap orang yang melaluinya akan melalui jalan ini dengan penuh semangat. Di mana sahaja ada kuliah-kuliah atau ceramah-ceramah atau di mana-mana sahaja ada kitab, kita akan mujahadah atau berusaha bersungguh-sunguh untuk menghadiri majlis-majlis ilmu sama ada dekat atau jauh dan bersemangat membaca kitab-kitab. Ada yang mengajak pasangan hidup, keluarga dan kawan-kawan untuk sama-sama mendengar kuliah-kuliah walaupun tempatnya jauh. Tetapi sekarang, ada di kalangan orang ramai sudah mulai malas, mulai memilih santai, mulai sibuk dengan dunia sendiri. Kebiasaan yang biasanya dilakukan dahulu setiap hari, seolah-olah semakin kurang meluangkan masa untuk belajar walaupun mungkin ianya tidak berdosa.

Keadaan yang berlaku ini, fenomena biasa sebenarnya seperti yang pernah di sebut Rasulullah S.A.W di dalam Hadisnya yang bermaksud:

“… Sesungguhnya setiap amalan itu ada masa semangatnya membara dan ada masa malasnya (yang disebut futur). Barang siapa yang futurnya menjerumuskan kepada perbuatan bid’ah maka dia telah tersesat. Tapi barang siapa yang futurnya (rasa malasnya) itu masih tetap di atas ajaran Nabi S.A.W, maka dia sudah mendapatkan petunjuk.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Syaitan itu tidak pernah putus asa dan pencen. Syaitan akan sentiasa mengintai-ngintai dan mencari peluang untuk menjauhkan manusia dari tuhannya. Syaitan akan setia menunggu masa futurnya manusia. Di saat itu dia akan bekerja keras, walau masa futurnya tidak lama tetapi syaitan sentiasa membisik dan menggoda agar semua amalan solatnya, ibadahnya, tutup auratnya, tidak sempurna dan diterima Allah S.W.T.

Lihat apa kata Allah S.W.T mengenai pekerjaan syaitan. Apa yang dilakukannya sebenarnya?

“Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).

“Sedang saudara (pengikut) syaitan-syaitan, dibantu oleh syaitan-syaitan itu dalam melakukan kesesatan, kemudian mereka tidak berhenti-henti (melakukan perbuatan yang sesat lagi menyesatkan itu).

(Al-‘araf: 200 – 202)

Syaitan akan sentiasa bekerja keras tetapi orang-orang beriman, ketika tergoda dengan bisikan syaitan dan dia terjebak, terjerumus dan terbelit dengan hasutan syaitan itu, dia akan cepat-cepat ingat kepada Allah S.W.T, dia akan kembali kepada Allah S.W.T.

Jadi di sini Allah S.W.T mengingatkan manusia di saat digoda syaitan, manusia hendaklah baca doa pelindung:

  أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

(Ta’awudz atau isti’adzah) untuk memohon perlindungan dan penjagaan Allah S.W.T dari bisikan dan godaan syaitan yang terkutuk. Ianya bukan sahaja dibaca ketika ingin membaca Quran tetapi pada bila-bila masa sahaja terutama di saat syaitan membisik dalam fikiran.

Imam al-Hakim dan Ath-Thabarani meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya iman itu boleh menjadi usang di dalam tubuh seseorang sebagaimana usangnya pakaian, maka mohonlah kepada Allah S.W.T supaya memperbaharui iman di dalam hati kalian.”

(Hadis Riwayat Ath-Thabarani dan sanadnya Hasan)

Ingatlah! Bahawa setiap amalan itu bergantung kepada pengakhirannya iaitu bergantung kepada bagaimana akhir hidup seseorang itu. Biasa dilihat, ada orang-orang yang berada di atas jalan istiqamah ini, yang dahulunya bersemangat belajar, sangat aktif dalam gerak kerja jemaah dengan melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sama ada dalam tarbiyah, dakwah dan siyasah.

Akhirnya disedari, ada di kalangan mereka ini hilang dan di mana mereka sekarang menjadi persoalan. Sebab itu sebelum kematian datang, laksanakan semua amalan dengan penuh keikhlasan dan ilmu agar terus istiqamah berjuang dan istiqamah di atas jalan iman dan kebenaran.

Teruskanlah beribadah kepada Tuhanmu dan abdikanlah diri kepada Tuhanmu sampai datang kepadamu kematian seperti seruan Allah S.W.T dalam surah Al-Hijr ayat 99 yang bermaksud:

“Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin.”

(al-Hijr: 99)

Dan Allah S.W.T menyebutkan balasan bagi orang-orang yang istiqamah dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

“Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh – pada hari akhirat – apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh – pada hari itu – apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.

“(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!”

(Fussilat: 30-32)

Setiap usaha dan apa sahaja yang kita lakukan semasa hidup di muka bumi ini, akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah S.W.T nanti. Allah S.W.T telah menyempurnakan penciptaan manusia sebagai persediaan untuk menggalas amanah berat Allah S.W.T di sepanjang kehidupan ini. Dan Allah S.W.T akan anugerahkan sesuatu yang tidak terbayangkan oleh kalian. Tetapi sekarang kita harus berjuang untuk mendapatkan semua yang Allah S.W.T hendak anugerahkan nanti:

“Dari Abdurrahman bin Sa’idah R.A berkata: Aku sangat menyukai kuda, Wahai Rasulullah, ‘Apakah di syurga ada binatang kuda?’

“Maka Nabi S.A.W menjawab, “Wahai Abddurrahman, jika Allah S.W.T memasukkan engkau ke dalam syurga, maka engkau akan menungganginya dari yakut (Mutiara), memiliki dua sayap. Ia akan terbang membawa engkau ke mana sahaja engkau suka.”

(Hadis Riwayat Ath-Thabarani dan dihasankan oleh Al-Albani)

Tetapi kalau futur itu sudah menghampiri, dan ianya tidak diubati segera, maka takut akhirnya, diakhiri dengan pengakhiran hidup yang tidak baik.

Apa fenomena futur yang dengan jelas dan terang-terangan yang boleh dilihat di mana-mana sahaja sekarang?

Di antaranya: malas melaksanakan solat atau ibadah-ibadah yang lainnya, sudah mula meninggalkan membaca al-Quran (Dulu rajin baca Quran ‘One day one juz’, tiap-tiap hari satu muka surat, tetapi sekarang tidak lagi), malas menghafal al-Quran, tidak bersemangat menghadiri majlis-majlis ilmu, tidak lagi suka mengikuti kegiatan-kegiatan dakwah, kebajikan dan mendekati masyarakat. Terasa sesak dadanya, berserabut fikirannya, bermacam-macam kerisauannya, dan terkadang mulai berani berbuat dosa dan merindui masa lalu yang penuh dengan kemaksiatan. Sudah mula rasa tidak selesa berkumpul dengan alim ulamak, pencinta-pencinta ilmu atau orang baik-baik, mulai berubah mendekati kawan-kawan yang tidak mengajak kepada Allah S.W.T dan Sunnah Rasulullah S.A.W dan lain-lain lagi.

Situasi futur ini ada dua macam:

1. Ketika futur datang, orang Islam akan terdedah dengan rasa malas menyelubungi diri untuk melaksanakan ibadah wajib (yang dulu amat ringan dan mudah untuk dilaksanakan) dan terasa sangat berat untuk melaksanakan amalan Sunnah seberat-beratnya. Bosan menuntut ilmu, memilih santai dari terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang serius seperti belajar. Cuba mengelakkan diri dari terlibat dengan bebanan tanggungjawab yang diberikan walaupun hal ini sebenarnya semua manusia tidak menginginkannya. Tetapi seorang Muslim dalam kondisi seperti ini, dia hanya malas tetapi tidak sampai terjerumus di dalam perbuatan dosa.

Apa yang harus dilakukan? Jadi sekarang kena tekad atau berazam semula untuk perlahan-lahan memulakan semula melaksanakan amalan-amalan Sunnah yang dahulu sudah mula ditinggalkan. Dalam rangka untuk mengajak jiwa yang sudah malas ini, yang sedang futur ini dan yang semakin pudar ini untuk kembali melaksanakan ketaatan, mestilah dimulakan perlahan-lahan tanpa paksaan dan dilaksanakan dalam suasana rasa suka dan ikhlas.

Futur merupakan sebuah keharusan dalam amalan. Menurut Al-Imam Ibnul Qayyim R.A:

“Terjadinya futur dalam beramal, merupakan perkara yang harus (biasa) dan mesti terjadi. Maka barangsiapa yang masa futurnya tetap istiqamah dan berusaha untuk berada di atas kebenaran (Tidak berlebihan dan tidak meninggalkan) serta berada di atas jalan yang lurus dan tidak menyebabkan meninggalkan kewajiban dan tidak pula terjatuh pada perkara yang diharamkan, maka di harapkan boleh kembali kepada keadaan yang lebih baik dari sebelumnya (sebelum masa futur).”

Dalam menghadapi situasi futur ini, Saidina Ali pernah berpesan, “Sesungguhnya jiwa manusia itu bersifat bolak balik (sekejap menghadap ke hadapan, seketika menghadap ke belakang). Maka Ketika jiwa menghadap ke hadapan (iaitu sedang bertenaga) maka ambillah peluang ini dengan penuh kesungguhan dan beribadahlah (taatlah kepada Allah S.W.T). Namun sekiranya jiwa mula lesu (futur), maka kekallah dan kukuhlah atas amalan yang fardu dan wajib (jangan sampai tinggal perkara yang wajib).”

Jadi jangan dipaksakannya kerana jiwanya masih dalam futur.

2. Apabila futurnya sudah sampai ke tingkat atau peringkat meninggalkan yang wajib dan melakukan dosa-dosa besar, bahkan dia sudah berkawan dengan pelaku dosa, hatinya mulai keras dan suka mendengarkan ucapan ahli syubhat (ragu-ragu), mulai mencari berbagai-bagai rukhsah (kelonggaran) dalam berbagai masalah. Dia mencari-cari pendapat yang lebih mudah. Inilah situasi futur yang awalnya bersemangat dan akhirnya mencari pelbagai alasan untuk tidak melakukan kebaikan dan sesungguhnya dia sedang berada di pinggir jurang.

Dalam situasi begini, dia kena berusaha keras untuk menyelamatkan dirinya dari pengaruh futur ini sebelum dia jatuh ke jurang futur itu sendiri.

Kenapa orang futur?

1. Faktor agama.

Bagaimana boleh terjadi demikian? Dunia di akhir zaman ini, bermacam-macam hal berlaku di sekeliling kita, ramai sudah mula ingin berubah dan berhijrah. Kekadang sekadar ada kesedaran untuk menjadi baik tetapi tidak mendapat pendidikan yang sempurna dalam ilmu, dalam amal dan dalam keyakinan. Situasi begini penyumbang kepada futur seandainya tidak benar-benar ada kesungguhan dalam memahami hidup beragama:

“Sebagaimana perintah Nabi S.A.W kepada para Sahabat (mengenai seorang yang masuk Islam dan berhijrah ke Madinah), “Fahamkan dia (yang baru masuk Islam) mengenai agamanya.”

Ada orang ketika hijrah tak dapat pengisian ilmu seperti yang dikehendaki oleh Rasulullah S.A.W, bagi sesiapa yang baru mula kembali kepada fitrah. Hijrahnya hanya sekadar trend, tetapi tidak memahami nilaian hijrah dan hidup beragama yang sebenarnya. Kurang mendalami ilmu, atau di awal hijrahnya, terlalu bersemangat sehingga berlebih-lebihan dalam beribadah bahkan ia memandang kepada masyarakat sekelilingnya, semuanya jahil, dia sahaja yang benar dan begitu juga pandangannya terhadap orang tuanya. Sedangkan sepatutnya dia mesti menghormati orang tuanya dan melayani mereka dengan terbaik dan beradab sebagai seorang anak yang soleh atau solehah, walaupun orang tuanya seorang pengukir berhala atau seorang kafir.

Tetapi di saat semangatnya mulai layu atau pudar, dia terus menjadi lemah untuk meneruskan hidupnya sebagai seorang yang beriman. Dia seperti orang yang mendaki gunung dengan berlari sedangkan telah diberitahu jarak ke puncak masih jauh. Akhirnya di tengah pendakian tenaganya mulai habis, dan di saat itu, dia rasa kelelahan dan tidak berdaya untuk terus mendaki. Begitu juga dalam hijrahnya, dia tergugat oleh goncangan ujian hati yang dahsyat, lalu dia terkesan dan terjatuh tersungkur dari terus istiqamah.

Kenapa terjadi begini? Kerana dia tidak membina agamanya di atas landasan-landasan yang kukuh. Banyak berlaku, hal seperti ini ada yang mengakibatkan orang boleh menjadi murtad atau menjauhkan diri terus dari cara hidup Islam atau perjuangan. Na’uzubillah.

Jadi bagaimana sepatutnya seseorang itu beragama?

Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya agama itu mudah dan selamanya agama tidak akan memberatkan seseorang melainkan memudahkannya. Oleh kerana itu, luruskanlah, dekatilah, dan berilah khabar gembira! Minta tolonglah kalian pada waktu pagi-pagi, siang hari dan awal malam.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam Hadis lain, beliau S.A.W menegaskan yang bermaksud:

 “Apabila Aku perintahkan kepada kalian untuk mengerjakan sesuatu perkara, maka laksanakanlah itu semampu kalian.”

(Hadis Riwayat Bukhari-Musllim)

Dua Hadis Sahih di atas, menekankan syariat yang Allah S.W.T turunkan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W ini tidak untuk menyusahkan sebaliknya Allah S.W.T menetapkan setiap ketetapan-Nya ini sesuai dengan kemampuan setiap orang. Seperti firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:

“…Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran…”

(al-Baqarah: 185)

2. Faktor kejiwaan.

Ada orang yang terkena penyakit was-was dan ini mempengaruhi agamanya. Dan ada ketikanya pemikiran was-was seperti ini menjadikan dia meninggalkan agama dan meninggalkan kawan-kawan yang sebelum ini bersama-samanya dalam meniti jalan kebenaran ini.

Tatkala membicarakan mengenai agama, contohnya solat, dia selalu diganggu was-was seperti: sah ke solat saya tadi, saya sudah ambil wuduk ke belum, saya baca tak tadi bacaan dalam solat, saya sudah solat berapa rakaat. Akhirnya perasaan was-was ini akan menjadikan dia penat dan kadangkala ada yang sampai ingin bunuh diri, na’uzubillah.

Maka berusahalah untuk menghilangkan perasaan itu. Ketika datang rasa was-was itu, terus bertanya kepada yang berilmu dan bertanya kepada yang tahu, kenapa saya berfikiran begini dan begini.

3. Faktor sosial.

Mungkin dia seorang bujang yang perlu bernikah kerana sangat berat baginya untuk menahan syahwatnya. Atau dia seorang yang pernah bernikah dan bercerai tetapi masih mengingati pasangannya. Atau seorang perempuan yang kematian suaminya, yang selama ini dengan keberadaan suaminya itulah yang melindungi agamanya. Jadi ada perempuan yang semasa bersama suaminya, dia sangat istiqamah dengan agama atas bimbingan, nasihat dan sokongan suaminya untuk belajar dan beramal. Sebaliknya, ada pula isteri yang sentiasa menyokong, memotivasi dan mengingatkan suaminya dalam ketaatan.

Apabila pasangannya meninggal dunia atau bercerai, dia mula rasa kehilangan dan mulai futur. Contohnya, kebiasaan bagi seorang perempuan, dari bertudung, sudah mula goncang dan menanggalkan tudung. Bagi lelaki pula, sudah mulai perlahan-perlahan menjauhi masjid dan majlis ilmu.

Permasalahan-permasalahan seperti ini dan ditambah lagi dengan godaan nafsu dan syahwat, kadang-kadang membuat mereka harus menikah, agar dia terus ada kekuatan untuk istiqamah dalam melaksanakan ketaatan kepada perintah Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W.

4. Faktor keadaan sekeliling.

Dulu di awal hijrah dia mempunyai kawan-kawan yang baik, mungkin kawan-kawan di tempat kerja atau tempat belajar atau kejiranan, yang mengajak dia untuk berubah, bertaubat, untuk menjadi lebih baik dan sama-sama melaksanakan ketaatan. Dia benar-benar istiqamah. Masa terus berlalu, dia berpindah tempat lain dan terpaksa berpisah dengan orang-orang sekelilingnya yang baik-baik, suasana baru pula tidak sama dengan yang dahulu, akhirnya hijrah yang dahulu kerana kawan-kawannya yang baik-baik, sekarang dia sendirian, dirinya mulai futur, dia mula hilang semangat dan mula menjauhkan diri dari tempat-tempat pengajian.

5. Faktor masalah ekonomi.

Boleh jadi, dulu dia miskin, kemudian Allah S.W.T limpahkan rezeki-Nya melimpah ruah, dan dia menjadi orang yang kaya raya. Tetapi kekayaannya itu membuatkan dia menjadi futur. Dia mula tidak datang ke masjid, dulu solat di saf depan, tetapi sekarang di saf akhir. Kadangkala kerana kesibukannya dengan urusan pekerjaan, dia sudah tidak sempat untuk ke masjid.

Ada juga yang sebaliknya, dulu kaya raya, tetapi akhirnya jatuh miskin, sehingga dia perlu bekerja keras untuk mencari rezeki untuk kaya semula. Kesibukkannya menjadikan dia kepenatan untuk belajar, tidak sempat lagi untuk berjemaah di masjid dan bertemu kawan-kawan baiknya. Hari-harinya dihabiskan dengan mencari duit dan ditambah syaitan membisik di hatinya bahawa, “Engkau jadi miskin sebab engkau terlalu sibuk dengan belajar, engkau sibuk hijrah dan berjuang.” Di saat dia jatuh miskin, dia tidak mampu menghadapinya dan jiwanya semakin futur. Hal ini memberi kesan dalam pemikirannya, imannya semakin menurun dan malas mula menyapa kehidupannya.

Jadi dia perlu mencari kekuatan untuk terus kuat dan istiqamah berhadapan dengan bisikan-bisikan syaitan dan nafsunya sendiri.

Jadi apa solusinya di saat futur itu datang?

Ada solusi secara umum:

1. Berdoa.

Memohon kepada Allah S.W.T dengan penuh ketulusan, dengan keikhlasan, berdoa di waktu-waktu dan di tempat-tempat yang mustajab berdoa supaya Allah S.W.T tetapkan hatinya di atas jalan Islam yang sebenarnya.

Pelajarilah doa-doa yang diajarkan oleh Nabi S.A.W dan fahami maknanya. Jangan sekadar berdoa agar dimurahkan rezeki, berdoa minta sihat, berdoa diselamatkan dari penyakit, tetapi berdoalah, minta Allah S.W.T kuatkan iman dan istiqamah dengannya.

Antara doa Nabi S.A.W yang bermaksud:

“Dari Abdullah bin Mas’ud RA, dari Rasulullah S.A.W, beliau biasa berdoa:

“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu petunjuk (Al-Huda), ketakwaan (At-Tuqaa), keterjagaan (Al-‘Afaal) dan kekayaan (Al-Ghina).”

(Hadis Riwayat Muslim, At-Tirmizi, Ibnu Majah Ibnu Hibban)

Doa yang diajarkan Rasulullah S.A.W kepada Muadz bin Jabal untuk dibaca di penghujung setiap solat yang bermaksud:

“Diriwayatkan oleh Muadz bin Jabal bahawa Rasulullah S.A.W pernah memberikan pesan wasiat kepadanya, “Aku memberikanmu nasihat wahai Muadz. Jangan engkau tinggalkan saat di penghujung solat, Allahumma a’inni ‘ala zikrika wa syukrika wa husni ‘ibadatik,” ertinya Ya Allah, tolonglah aku dalam mengingati-Mu, mensyukuri-Mu dan beribadah yang baik kepada-Mu.”

 (Hadis Riwayat Abu-Daus, Al-Nasai, Ahmad)

Tetapi hal inilah selalu diremehkan, padahal inilah solusi utama. Bukan kerana ianya mudah dilakukan, tetapi Allah S.W.T telah berjanji dalam surah Al-gafir ayat 60 yang bermaksud:

“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

(Al-Gafir : 60)

Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Tiada sesuatu yang paling indah di sisi Allah S.W.T melainkan doa.”

(Sunan At-Tirmizi, Sunan Ibnu Majah, Musnad Ahmad)

Berdoa, menunjukkan ketidakmampuan manusia, betapa perlunya manusia kepada Tuhan, kefakiran kita di hadapan Allah S.W.T. Dan kita dapat lihat kalau orang itu semakin tinggi ilmunya, maka semakin kenal dia dengan Allah S.W.T. Dan inilah doa yang selalu mereka pohonkan, doa dalam surah Ali-Imran ayat 8:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْوَهَّابُ

“(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.”

(Ali Imran: 8)

Jadi kita perlu berdoa, Kalau datang bisikan syaitan berdoa lagi, doa pelindung:

 أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

2. Belajar agama dengan keikhlasan.

Ertinya mahu tidak mahu, seorang Muslim itu harus ada pegangan agama yang kukuh agar dengannya dia akan tahu mana yang halal, makruh, sunnah, harus dan mana yang haram. Dengan ilmu juga dia akan tahu mana yang syubhah, dan dengan ilmu juga dia dapat menepis was-was syaitan dan fikiran-fikiran jahat yang menyerangnya.

Ibnu al-Jauzi menceritakan di dalam kitabnya, lebih mudah syaitan, menggoda orang yang ahli ibadah dari menggoda ahli ilmu. Orang yang ahli ilmu ada senjata (Ilmu) yang dia boleh jawab.

Diriwayatkan dari Syaikh Abdul Qadir Al-Jailani R.A bahawa pada suatu hari beliau sedang berjalan di tempat lapang, tiba-tiba muncul cahaya terang di ufuk, kemudian dia mendengar suara memanggil, “Wahai Abdul Qadir saya adalah Rabbmu. Sungguh sudah aku halalkan untukmu segala hal-hal yang haram.”

Lantas Abdul Qadir berkata, “Pergilah engkau wahai makhluk terkutuk!”. Seketika itu cahaya itu bertukar menjadi gelap. Tiba-tiba muncul suara mengatakan, “Wahai Abdul Qadir! sungguh engkau telah selamat dari aku lantaran pengetahuanmu mengenai Rabbmu dan ilmu fiqihmu. Sesungguhnya aku telah menyesatkan 70 orang dari kalangan ahli ibadah senior dengan cara begini. Seandainya tidak kerana ilmu, pasti aku dapat menyesatkan mu seperti mereka.”

Jadi kena belajar, bukan untuk menjadi ustaz atau ustazah tetapi sebagai bekal agar tidak bodoh dan mampu mengenali tipudaya dan belitan Iblis.

3. Perlu mencari kawan yang baik.

Dengan menghadiri kegiatan-kegiatan kemasyarakatan, kuliah-kuliah, akan berpeluang berkenalan dengan lebih ramai kawan-kawan. Dan dengan adanya kawan-kawan, akan saling mengenali, saling menguatkan dan menjadi semangat untuk berbuat baik seperti apa yang mereka buat. Dan kalau berkawan dengan kawan-kawan di masjid pula, akan memberi satu suntikan semangat untuk rajin solat sunat, membaca al-Quran dan berzikir bila melihat orang sekeliling melakukan hal demikian.

4. Menjauhi dari suasana sekeliling yang buruk.

Ini khususnya untuk orang yang bekerja. Sekiranya tempat dia bekerja itu, membahayakan agamanya, maka dia boleh memohon pekerjaan yang lain. Lebih baik dia menyelamatkan imannya dari dia menyelamatkan pekerjaannya. Dia kena memilih suasana sekeliling yang bagus. Kenapa? Berhijrah dari lingkungan yang tidak menyokong kepada ketaatan atau beribadah berpindah kepada lingkungan yang mendukung demi untuk menyelamatkan iman.

Lihat para Sahabat, berhijrah dari Makkah ke Habasah dengan menyeberangi lautan, meninggalkan rumah, keluarga, pekerjaan dan semua dengan tujuan untuk menyelamatkan iman.

Ada seorang perempuan yang suaminya terjebak dengan dosa disebabkan terpengaruh dengan suasana sekeliling. Dia mempunyai pekerjaan yang bagus tetapi isterinya merayu meninggalkan pekerjaannya kerana takut terjebak lagi dengan dosa. Suaminya berhenti dan dia berkorban demi menyelamatkan imannya walaupun pekerjaan yang sebelumnya ekonominya lebih selesa. Sebab yang dibawa mati adalah iman dan amal sedangkan semua harta dan kekayaan akan ditinggalkan.

Nanti akan sampai saatnya harta dan anak-anak tidak dapat membantu seperti firman Allah dalam surah Asy-Syu’ara ayat 88-89 yang bermaksud:

“Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun,

“Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik).”

(Asy-Syu’ara: 88-89)

Ketika seseorang meninggal dunia yang menghantarnya ke kubur cuma tiga perkara: Keluarganya, hartanya dan amalnya. Cuma yang tinggal bersamanya nanti di dalam kubur, amalnya. Jadi kekadang kita terpaksa mengorbankan sesuatu yang kita sayangi demi untuk menyelamatkan iman kita dan agama kita.

5. Ketika kita mempunyai masalah, hendaklah segera diselesaikan.

Di antara penyebab futur itu seperti yang telah dinyatakan di atas, antaranya disebabkan faktor sosial, iaitu berstatus bujang jadi bersegeralah bernikah.

Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Wahai para pemuda, barang siapa di antara kalian yang mampu bernikah, maka menikahlah. Kerana menikah lebih dapat menahan pandangan dan lebih memelihara kemaluan. Dan barang siapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa dapat menahan syahwatnya.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

6. Perlu mendatangi orang-orang berilmu.

Orang-orang yang mempunyai masalah kejiwaan kena berjumpa orang-orang yang pakar dalam hal kejiwaan, sehingga tidak terjerat lagi dengan masalah was-was yang menimpa sebahagian orang.

7. Melakukan segala hal yang dapat menambahkan keimanan, memperbaiki hati dan melembutkan hati.

Memperbanyakkan zikir, bangun malam, perbanyakkan istighfar, bersedekah, belajar, memperbanyakkan membaca al-Quran dan memahami maknanya, ziarah kubur, membaca Sirah hidup Nabi S.A.W dan berdoa.

8. Minta tolong kepada Allah S.W.T dan bertawakal kepada-Nya.

Meminta perlindungan kepada Allah S.W.T dari bisikan dan tipu daya syaitan dengan yakin bahawa Allah S.W.T akan menyelamatkan iman dan mengukuhkan pendirian hamba-Nya. Jadi jangan pernah berhenti, rasa penat dan putus asa dari meminta pertolongan dari Allah S.W.T dan bertawakal kepada-Nya.

Penutup

Nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia, lakukanlah amalan yang sesuai dengan kemampuan kalian kerana Allah S.W.T tidak pernah bosan sampai kalian merasa bosan. Ketahuilah bahawa amalan yang paling dicintai oleh Allah S.W.T adalah amalan yang istiqamah walaupun sedikit.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Jadi untuk terjauh dari futur iaitu rasa malas, suka bertangguh-tangguh, hilang semangat, hilang rasa suka untuk melakukan kebaikan, maka kita hendaklah berusaha tetap berada di atas jalan keimanan. Di saat semangat berbuat baik meningkat, tetaplah berada dalam batasan yang sudah ditetapkan oleh Rasulullah S.A.W. Demikian pula sebaliknya, Ketika sedang futur, tetaplah bertahan di atas Sunnah Rasulullah S.A.W dengan tidak meninggalkan yang wajib dan tidak melakukan yang haram.

Wallahu’lam

FARIDAH KAMARUDDIN

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Create your website with WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: