Design a site like this with WordPress.com
Mulakan

PENGAJARAN DAN PETUNJUK MENGHADAPI FITNAH SEMASA

PENGAJARAN DAN PETUNJUK MENGHADAPI FITNAH SEMASA

Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Akhir zaman menyaksikan begitu banyak fitnah dan penipuan berleluasa. Ada pihak yang tuduh menuduh tanpa bukti yang kukuh dan ada pihak yang begitu dangkal mempercayai berita yang tiada pucuk pangkalnya. Nabi SAW pernah memberikan amaran kepada sesiapa yang suka bercakap tentang perkara yang tidak diketahui kebenarannya. Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda :

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا يَزِلُّ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِق

Maksudnya :” Seorang hamba apabila dia bercakap tentang satu perkataan yang dia sendiri tidak selidiki (akan kebenarannya), maka dia akan tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur.”

Riwayat Al-Bukhari (6477)

Di dalam riwayat yang lain menyebut bahawa Nabi SAW bersabda :

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ رِضْوَانِ اللَّهِ لاَ يُلْقِي لَهَا بَالًا يَرْفَعُهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَاتٍ وَإِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ لاَ يُلْقِي لَهَا بَالًا يَهْوِي بِهَا فِي جَهَنَّمَ

Maksudnya :”Seorang hamba yang bercakap tentang satu perkataan yang diredhai Allah yang mana dia tidak terlintas (untuk bercakap tentangnya) maka Allah akan mengangkat darjatnya. Manakala seorang hamba yang bercakap tentang satu perkataan yang dimurkai Allah yang dia sendiri tidak terlintas (untuk bercakap tentangnya dan tidak dipastikan kebenarannya) maka dia akan terjatuh ke dalam neraka Jahannam.”

Riwayat Al-Bukhari (6478)

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani menukilkan pandangan Ibnu Battal ketika mensyarahkan hadis ini.Ibnu Battal menyatakan hadis ini memberikan isyarat bahawa di antara ujian yang paling besar ke atas manusia adalah lidah dan kemaluannya. Sesiapa yang menjaga dari dua perkara tersebut maka dia telah menjaga dirinya daripada ditimpa kejahatan yang paling besar. (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 11/308)

Oleh itu, amat penting untuk mendepani fitnah-fitnah yang berlaku sesuai dengan cara yang telah ditunjukkan dan diajarkan oleh Nabi SAW. Ini supaya fitnah-fitnah tersebut dapat dihadapi dengan penuh tertib, berhati-hati serta tidak melampaui batas sehingga tidak membelakangi panduan yang telah digariskan di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah.

Justeru itu, Bayan Linnas pada kali ini akan mengupas tentang satu peristiwa besar yang pernah berlaku pada zaman Nabi SAW iaitu peristiwa Al-Ifki (tuduhan dusta terhadap Aisyah). Kita dapat melihat bagaimana Nabi SAW menguruskan dan mendepani konflik fitnah yang berlaku pada ketika itu. Semoga Bayan Linnas pada kali ini mampu memberikan pencerahan kepada umat Islam keseluruhannya seterusnya menjadikannya pedoman dalam menghadapi tribulasi dan mehnah kehidupan.

Latar belakang peristiwa al-ifki.

Dari segi bahasa, Al-Ifki merupakan perkataan bahasa arab yang berasal dari perkataan أَفِكَ. Ianya mempunyai beberapa makna. Di antaranya adalah apa yang disebutkan oleh Al-Raghib Al-Asfahani[1]. Beliau menyebut perkataan أَفِكَ bermaksud memalingkan iktikad yang betul kepada iktikad yang batil. Dipalingkan daripada bercakap benar kepada bercakap bohong.Ia juga membawa makna dipalingkan daripada perbuatan yang baik kepada perbuatan yang keji. Penggunaan perkataan أَفِكَ dengan makna yang disebutkan oleh Al-Raghib Al-Asfahani banyak digunakan di dalam Al-Quran. Di antaranya adalah di dalam Surah Al-Zariyat ayat 9. Firman Allah :

يُؤْفَكُ عَنْهُ مَنْ أُفِكَ

Maksudnya :”Dipalingkan daripada (perselisihan) itu orang-orang yang telah dipalingkan Allah (dengan sebab keikhlasannya mencari kebenaran).

Begitu juga firman Allah di dalam Surah Al-Ahqaf ayat 22 :

قَالُوٓا۟ أَجِئْتَنَا لِتَأْفِكَنَا عَنْ ءَالِهَتِنَا فَأْتِنَا بِمَا تَعِدُنَآ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ

Maksudnya :”Mereka menjawab: “Adakah engkau datang kepada kami untuk memesongkan kami dari menyembah tuhan-tuhan kami? Maka bawalah azab seksa yang engkau janjikan kepada kami itu jika betul engkau dari orang-orang yang benar!”

Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Jathiyah ayat 7 :

وَيْلٌ لِّكُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٍ

Maksudnya :” Kecelakaanlah bagi tiap-tiap pendusta yang berdosa.”

Perkataan ini juga digunakan untuk menyifatkan berita yang dibawa oleh kaum munafik ketika mana mereka menyebarkan fitnah tentang Aisyah. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Nur ayat 11 :

إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُو بِٱلْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ

Maksudnya :” Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu.”

Secara ringkasnya perkataan الإِفْك membawa maksud dusta, bohong, sifat yang keji dan memalingkan orang ramai dari kebenaran kepada penipuan nista.

Peristiwa Al-Ifki ini berlaku pada tahun keenam hijrah setelah tamatnya perang Bani Mustoliq. Ianya merupakan satu peristiwa di mana orang-orang munafik menuduh Aisyah R.Anha melakukan zina dengan seorang sahabat yang bernama Sofwan Bin Mu’attol R.A. Perkara ini pada asasnya menimbulkan kacau bilau dalam masyarakat di Madinah pada ketika itu. Ada di antara sahabat yang tidak mempercayai berita tersebut. Ada juga yang tidak mengeluarkan apa-apa pendirian dan ada juga yang mempercayai bahawa Aisyah R.Anha benar-benar berzina dengan Safwan Bin Mu’attol.Di antara sahabat yang mempercayai berita ini dan terlibat dalam penyebaran ialah Mistoh Bin Uthathah,Hammanah Binti Jahsyi dan Hasan Bin Thabit. Keadaan ini berlarutan sehingga sebulan lamanya dan wahyu tertahan tidak turun. Sehinggalah kemudiannya Allah menurunkan ayat ke 11 daripada Surah Al-Nur membebaskan Aisyah daripada tuduhan jahat kaum munafik. Firman Allah SWT :

إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُو بِٱلْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ ۚ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ لِكُلِّ ٱمْرِئٍ مِّنْهُم مَّا ٱكْتَسَبَ مِنَ ٱلْإِثْمِ ۚ وَٱلَّذِى تَوَلَّىٰ كِبْرَهُۥ مِنْهُمْ لَهُۥ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: ” Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).”

Aisyah menceritakan secara terperinci peristiwa yang berlaku

Sedia maklum bahawa ayat ke 11 daripada Surah al-Nur diturunkan untuk membebaskan Aisyah R.Anha daripada tuduhan keji dan jahat kaum munafik. Peristiwa ini telah pun diceritakan oleh Aisyah R.Anha sendiri secara terperinci dan panjang.Kisah ini terlalu masyhur dan ianya diceritakan di dalam kebanyakan kitab hadis yang muktabar. Antaranya Sahih Al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Al-Nasaie, Al-Sunan Al-Kubra oleh Imam Al-Baihaqi dan lain-lain lagi. Pada asasnya kisah ini diriwayatkan oleh empat orang daripada Aisyah R.Anha. Mereka ialah Ubaidullah Bin Abdullah Bin Utbah Bin Mas’ud, Urwah Bin Zubair, Sa’id Bin Musayyib dan Alqamah Bin Waqqas. Walaupun mereka meriwayatkan daripada Aisyah R.Anha dengan lafaz yang berbeza namun ianya mengandungi makna yang sama.

Di antara yang masyhur adalah lafaz yang dinukilkan oleh Imam Al-Bukhari dengan sanadnya sendiri di dalam kitab sahihnya. Imam Al-Bukhari[2] menyebut :

Abu Rabi’ Sulaiman Bin Daud menceritakan kepada kami : Sebahagian cerita ini dijelaskan lagi oleh Ahmad : Fulaih Bin Sulaiman menceritakan kepada kami daripada Ibnu Syihab Al-Zuhri daripada Urwah Bin Zubair,Sa’id Bin Musayyib, Ubaidullah Bin Abdullah Bin Utbah dan Alqamah Bin Waqqas Al-Laithi daripada Aisyah R.Anha yang merupakan isteri kepada Baginda Nabi SAW ketika mana beliau ditanya oleh orang ramai tentang apa yang diperkatakan pada ketika yang mana kemudiannya Aisyah R.Anha dibebaskan daripada tuduhan tersebut. Kata Aisyah R.Anha :

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَخْرُجَ سَفَرًا أَقْرَعَ بَيْنَ أَزْوَاجِهِ فَأَيَّتُهُنَّ خَرَجَ سَهْمُهَا خَرَجَ بِهَا مَعَهُ فَأَقْرَعَ بَيْنَنَا فِي غَزَاةٍ غَزَاهَا فَخَرَجَ سَهْمِي فَخَرَجْتُ مَعَهُ بَعْدَ مَا أُنْزِلَ الْحِجَابُ فَأَنَا أُحْمَلُ فِي هَوْدَجٍ وَأُنْزَلُ فِيهِ فَسِرْنَا حَتَّى إِذَا فَرَغَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ غَزْوَتِهِ تِلْكَ وَقَفَلَ وَدَنَوْنَا مِنْ الْمَدِينَةِ آذَنَ لَيْلَةً بِالرَّحِيلِ فَقُمْتُ حِينَ آذَنُوا بِالرَّحِيلِ فَمَشَيْتُ حَتَّى جَاوَزْتُ الْجَيْشَ فَلَمَّا قَضَيْتُ شَأْنِي أَقْبَلْتُ إِلَى الرَّحْلِ فَلَمَسْتُ صَدْرِي فَإِذَا عِقْدٌ لِي مِنْ جَزْعِ أَظْفَارٍ قَدْ انْقَطَعَ فَرَجَعْتُ فَالْتَمَسْتُ عِقْدِي فَحَبَسَنِي ابْتِغَاؤُهُ فَأَقْبَلَ الَّذِينَ يَرْحَلُونَ لِي فَاحْتَمَلُوا هَوْدَجِي فَرَحَلُوهُ عَلَى بَعِيرِي الَّذِي كُنْتُ أَرْكَبُ وَهُمْ يَحْسِبُونَ أَنِّي فِيهِ وَكَانَ النِّسَاءُ إِذْ ذَاكَ خِفَافًا لَمْ يَثْقُلْنَ وَلَمْ يَغْشَهُنَّ اللَّحْمُ وَإِنَّمَا يَأْكُلْنَ الْعُلْقَةَ مِنْ الطَّعَامِ فَلَمْ يَسْتَنْكِرْ الْقَوْمُ حِينَ رَفَعُوهُ ثِقَلَ الْهَوْدَجِ فَاحْتَمَلُوهُ وَكُنْتُ جَارِيَةً حَدِيثَةَ السِّنِّ فَبَعَثُوا الْجَمَلَ وَسَارُوا فَوَجَدْتُ عِقْدِي بَعْدَ مَا اسْتَمَرَّ الْجَيْشُ فَجِئْتُ مَنْزِلَهُمْ وَلَيْسَ فِيهِ أَحَدٌ فَأَمَمْتُ مَنْزِلِي الَّذِي كُنْتُ بِهِ فَظَنَنْتُ أَنَّهُمْ سَيَفْقِدُونَنِي فَيَرْجِعُونَ إِلَيَّ فَبَيْنَا أَنَا جَالِسَةٌ غَلَبَتْنِي عَيْنَايَ فَنِمْتُ وَكَانَ صَفْوَانُ بْنُ الْمُعَطَّلِ السُّلَمِيُّ ثُمَّ الذَّكْوَانِيُّ مِنْ وَرَاءِ الْجَيْشِ فَأَصْبَحَ عِنْدَ مَنْزِلِي فَرَأَى سَوَادَ إِنْسَانٍ نَائِمٍ فَأَتَانِي وَكَانَ يَرَانِي قَبْلَ الْحِجَابِ فَاسْتَيْقَظْتُ بِاسْتِرْجَاعِهِ حِينَ أَنَاخَ رَاحِلَتَهُ فَوَطِئَ يَدَهَا فَرَكِبْتُهَا فَانْطَلَقَ يَقُودُ بِي الرَّاحِلَةَ حَتَّى أَتَيْنَا الْجَيْشَ بَعْدَ مَا نَزَلُوا مُعَرِّسِينَ فِي نَحْرِ الظَّهِيرَةِ فَهَلَكَ مَنْ هَلَكَ وَكَانَ الَّذِي تَوَلَّى الْإِفْكَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أُبَيٍّ ابْنُ سَلُولَ فَقَدِمْنَا الْمَدِينَةَ فَاشْتَكَيْتُ بِهَا شَهْرًا وَالنَّاسُ يُفِيضُونَ مِنْ قَوْلِ أَصْحَابِ الْإِفْكِ وَيَرِيبُنِي فِي وَجَعِي أَنِّي لَا أَرَى مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللُّطْفَ الَّذِي كُنْتُ أَرَى مِنْهُ حِينَ أَمْرَضُ إِنَّمَا يَدْخُلُ فَيُسَلِّمُ ثُمَّ يَقُولُ كَيْفَ تِيكُمْ لَا أَشْعُرُ بِشَيْءٍ مِنْ ذَلِكَ حَتَّى نَقَهْتُ فَخَرَجْتُ أَنَا وَأُمُّ مِسْطَحٍ قِبَلَ الْمَنَاصِعِ مُتَبَرَّزُنَا لَا نَخْرُجُ إِلَّا لَيْلًا إِلَى لَيْلٍ وَذَلِكَ قَبْلَ أَنْ نَتَّخِذَ الْكُنُفَ قَرِيبًا مِنْ بُيُوتِنَا وَأَمْرُنَا أَمْرُ الْعَرَبِ الْأُوَلِ فِي الْبَرِّيَّةِ أَوْ فِي التَّنَزُّهِ فَأَقْبَلْتُ أَنَا وَأُمُّ مِسْطَحٍ بِنْتُ أَبِي رُهْمٍ نَمْشِي فَعَثَرَتْ فِي مِرْطِهَا فَقَالَتْ تَعِسَ مِسْطَحٌ فَقُلْتُ لَهَا بِئْسَ مَا قُلْتِ أَتَسُبِّينَ رَجُلًا شَهِدَ بَدْرًا فَقَالَتْ يَا هَنْتَاهْ أَلَمْ تَسْمَعِي مَا قَالُوا فَأَخْبَرَتْنِي بِقَوْلِ أَهْلِ الْإِفْكِ فَازْدَدْتُ مَرَضًا عَلَى مَرَضِي فَلَمَّا رَجَعْتُ إِلَى بَيْتِي دَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَلَّمَ فَقَالَ كَيْفَ تِيكُمْ فَقُلْتُ ائْذَنْ لِي إِلَى أَبَوَيَّ قَالَتْ وَأَنَا حِينَئِذٍ أُرِيدُ أَنْ أَسْتَيْقِنَ الْخَبَرَ مِنْ قِبَلِهِمَا فَأَذِنَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَتَيْتُ أَبَوَيَّ فَقُلْتُ لِأُمِّي مَا يَتَحَدَّثُ بِهِ النَّاسُ فَقَالَتْ يَا بُنَيَّةُ هَوِّنِي عَلَى نَفْسِكِ الشَّأْنَ فَوَاللَّهِ لَقَلَّمَا كَانَتْ امْرَأَةٌ قَطُّ وَضِيئَةٌ عِنْدَ رَجُلٍ يُحِبُّهَا وَلَهَا ضَرَائِرُ إِلَّا أَكْثَرْنَ عَلَيْهَا فَقُلْتُ سُبْحَانَ اللَّهِ وَلَقَدْ يَتَحَدَّثُ النَّاسُ بِهَذَا قَالَتْ فَبِتُّ تِلْكَ اللَّيْلَةَ حَتَّى أَصْبَحْتُ لَا يَرْقَأُ لِي دَمْعٌ وَلَا أَكْتَحِلُ بِنَوْمٍ ثُمَّ أَصْبَحْتُ فَدَعَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ وَأُسَامَةَ بْنَ زَيْدٍ حِينَ اسْتَلْبَثَ الْوَحْيُ يَسْتَشِيرُهُمَا فِي فِرَاقِ أَهْلِهِ فَأَمَّا أُسَامَةُ فَأَشَارَ عَلَيْهِ بِالَّذِي يَعْلَمُ فِي نَفْسِهِ مِنْ الْوُدِّ لَهُمْ فَقَالَ أُسَامَةُ أَهْلُكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا نَعْلَمُ وَاللَّهِ إِلَّا خَيْرًا وَأَمَّا عَلِيُّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ يُضَيِّقْ اللَّهُ عَلَيْكَ وَالنِّسَاءُ سِوَاهَا كَثِيرٌ وَسَلْ الْجَارِيَةَ تَصْدُقْكَ فَدَعَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَرِيرَةَ فَقَالَ يَا بَرِيرَةُ هَلْ رَأَيْتِ فِيهَا شَيْئًا يَرِيبُكِ فَقَالَتْ بَرِيرَةُ لَا وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ إِنْ رَأَيْتُ مِنْهَا أَمْرًا أَغْمِصُهُ عَلَيْهَا قَطُّ أَكْثَرَ مِنْ أَنَّهَا جَارِيَةٌ حَدِيثَةُ السِّنِّ تَنَامُ عَنْ الْعَجِينِ فَتَأْتِي الدَّاجِنُ فَتَأْكُلُهُ فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ يَوْمِهِ فَاسْتَعْذَرَ مِنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أُبَيٍّ ابْنِ سَلُولَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ يَعْذُرُنِي مِنْ رَجُلٍ بَلَغَنِي أَذَاهُ فِي أَهْلِي فَوَاللَّهِ مَا عَلِمْتُ عَلَى أَهْلِي إِلَّا خَيْرًا وَقَدْ ذَكَرُوا رَجُلًا مَا عَلِمْتُ عَلَيْهِ إِلَّا خَيْرًا وَمَا كَانَ يَدْخُلُ عَلَى أَهْلِي إِلَّا مَعِي فَقَامَ سَعْدُ بْنُ مُعَاذٍ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَا وَاللَّهِ أَعْذُرُكَ مِنْهُ إِنْ كَانَ مِنْ الْأَوْسِ ضَرَبْنَا عُنُقَهُ وَإِنْ كَانَ مِنْ إِخْوَانِنَا مِنْ الْخَزْرَجِ أَمَرْتَنَا فَفَعَلْنَا فِيهِ أَمْرَكَ فَقَامَ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ وَهُوَ سَيِّدُ الْخَزْرَجِ وَكَانَ قَبْلَ ذَلِكَ رَجُلًا صَالِحًا وَلَكِنْ احْتَمَلَتْهُ الْحَمِيَّةُ فَقَالَ كَذَبْتَ لَعَمْرُ اللَّهِ لَا تَقْتُلُهُ وَلَا تَقْدِرُ عَلَى ذَلِكَ فَقَامَ أُسَيْدُ بْنُ حُضَيْرٍ فَقَالَ كَذَبْتَ لَعَمْرُ اللَّهِ وَاللَّهِ لَنَقْتُلَنَّهُ فَإِنَّكَ مُنَافِقٌ تُجَادِلُ عَنْ الْمُنَافِقِينَ فَثَارَ الْحَيَّانِ الْأَوْسُ وَالْخَزْرَجُ حَتَّى هَمُّوا وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمِنْبَرِ فَنَزَلَ فَخَفَّضَهُمْ حَتَّى سَكَتُوا وَسَكَتَ وَبَكَيْتُ يَوْمِي لَا يَرْقَأُ لِي دَمْعٌ وَلَا أَكْتَحِلُ بِنَوْمٍ فَأَصْبَحَ عِنْدِي أَبَوَايَ وَقَدْ بَكَيْتُ لَيْلَتَيْنِ وَيَوْمًا حَتَّى أَظُنُّ أَنَّ الْبُكَاءَ فَالِقٌ كَبِدِي قَالَتْ فَبَيْنَا هُمَا جَالِسَانِ عِنْدِي وَأَنَا أَبْكِي إِذْ اسْتَأْذَنَتْ امْرَأَةٌ مِنْ الْأَنْصَارِ فَأَذِنْتُ لَهَا فَجَلَسَتْ تَبْكِي مَعِي فَبَيْنَا نَحْنُ كَذَلِكَ إِذْ دَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَلَسَ وَلَمْ يَجْلِسْ عِنْدِي مِنْ يَوْمِ قِيلَ فِيَّ مَا قِيلَ قَبْلَهَا وَقَدْ مَكَثَ شَهْرًا لَا يُوحَى إِلَيْهِ فِي شَأْنِي شَيْءٌ قَالَتْ فَتَشَهَّدَ ثُمَّ قَالَ يَا عَائِشَةُ فَإِنَّهُ بَلَغَنِي عَنْكِ كَذَا وَكَذَا فَإِنْ كُنْتِ بَرِيئَةً فَسَيُبَرِّئُكِ اللَّهُ وَإِنْ كُنْتِ أَلْمَمْتِ بِذَنْبٍ فَاسْتَغْفِرِي اللَّهَ وَتُوبِي إِلَيْهِ فَإِنَّ الْعَبْدَ إِذَا اعْتَرَفَ بِذَنْبِهِ ثُمَّ تَابَ تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ فَلَمَّا قَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَقَالَتَهُ قَلَصَ دَمْعِي حَتَّى مَا أُحِسُّ مِنْهُ قَطْرَةً وَقُلْتُ لِأَبِي أَجِبْ عَنِّي رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَاللَّهِ مَا أَدْرِي مَا أَقُولُ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ لِأُمِّي أَجِيبِي عَنِّي رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا قَالَ قَالَتْ وَاللَّهِ مَا أَدْرِي مَا أَقُولُ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ وَأَنَا جَارِيَةٌ حَدِيثَةُ السِّنِّ لَا أَقْرَأُ كَثِيرًا مِنْ الْقُرْآنِ فَقُلْتُ إِنِّي وَاللَّهِ لَقَدْ عَلِمْتُ أَنَّكُمْ سَمِعْتُمْ مَا يَتَحَدَّثُ بِهِ النَّاسُ وَوَقَرَ فِي أَنْفُسِكُمْ وَصَدَّقْتُمْ بِهِ وَلَئِنْ قُلْتُ لَكُمْ إِنِّي بَرِيئَةٌ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنِّي لَبَرِيئَةٌ لَا تُصَدِّقُونِي بِذَلِكَ وَلَئِنْ اعْتَرَفْتُ لَكُمْ بِأَمْرٍ وَاللَّهُ يَعْلَمُ أَنِّي بَرِيئَةٌ لَتُصَدِّقُنِّي وَاللَّهِ مَا أَجِدُ لِي وَلَكُمْ مَثَلًا إِلَّا أَبَا يُوسُفَ إِذْ قَالَ {فَصَبْرٌ جَمِيلٌ وَاللَّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَى مَا تَصِفُونَ} ثُمَّ تَحَوَّلْتُ عَلَى فِرَاشِي وَأَنَا أَرْجُو أَنْ يُبَرِّئَنِي اللَّهُ وَلَكِنْ وَاللَّهِ مَا ظَنَنْتُ أَنْ يُنْزِلَ فِي شَأْنِي وَحْيًا وَلَأَنَا أَحْقَرُ فِي نَفْسِي مِنْ أَنْ يُتَكَلَّمَ بِالْقُرْآنِ فِي أَمْرِي وَلَكِنِّي كُنْتُ أَرْجُو أَنْ يَرَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي النَّوْمِ رُؤْيَا يُبَرِّئُنِي اللَّهُ فَوَاللَّهِ مَا رَامَ مَجْلِسَهُ وَلَا خَرَجَ أَحَدٌ مِنْ أَهْلِ الْبَيْتِ حَتَّى أُنْزِلَ عَلَيْهِ الْوَحْيُ فَأَخَذَهُ مَا كَانَ يَأْخُذُهُ مِنْ الْبُرَحَاءِ حَتَّى إِنَّهُ لَيَتَحَدَّرُ مِنْهُ مِثْلُ الْجُمَانِ مِنْ الْعَرَقِ فِي يَوْمٍ شَاتٍ فَلَمَّا سُرِّيَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَضْحَكُ فَكَانَ أَوَّلَ كَلِمَةٍ تَكَلَّمَ بِهَا أَنْ قَالَ لِي يَا عَائِشَةُ احْمَدِي اللَّهَ فَقَدْ بَرَّأَكِ اللَّهُ فَقَالَتْ لِي أُمِّي قُومِي إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ لَا وَاللَّهِ لَا أَقُومُ إِلَيْهِ وَلَا أَحْمَدُ إِلَّا اللَّهَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى {إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ} الْآيَاتِ فَلَمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ هَذَا فِي بَرَاءَتِي قَالَ أَبُو بَكْرٍ الصِّدِّيقُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ وَكَانَ يُنْفِقُ عَلَى مِسْطَحِ بْنِ أُثَاثَةَ لِقَرَابَتِهِ مِنْهُ وَاللَّهِ لَا أُنْفِقُ عَلَى مِسْطَحٍ شَيْئًا أَبَدًا بَعْدَ مَا قَالَ لِعَائِشَةَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى {وَلَا يَأْتَلِ أُولُو الْفَضْلِ مِنْكُمْ وَالسَّعَةِ أَنْ يُؤْتُوا إِلَى قَوْلِهِ غَفُورٌ رَحِيمٌ} فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ بَلَى وَاللَّهِ إِنِّي لَأُحِبُّ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لِي فَرَجَعَ إِلَى مِسْطَحٍ الَّذِي كَانَ يُجْرِي عَلَيْهِ وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْأَلُ زَيْنَبَ بِنْتَ جَحْشٍ عَنْ أَمْرِي فَقَالَ يَا زَيْنَبُ مَا عَلِمْتِ مَا رَأَيْتِ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَحْمِي سَمْعِي وَبَصَرِي وَاللَّهِ مَا عَلِمْتُ عَلَيْهَا إِلَّا خَيْرًا قَالَتْ وَهِيَ الَّتِي كَانَتْ تُسَامِينِي فَعَصَمَهَا اللَّهُ بِالْوَرَعِ

Sekilas berkaitan peristiwa al-ifki

Pada kebiasaaannya, apabila Rasulullah SAW pergi keluar untuk berperang atau bermusafir, Baginda SAW akan membuat undian bagi isteri-isteri Baginda SAW bagi memilih siapa dalam kalangan mereka yang akan menemani Baginda SAW dalam permusafiran tersebut. Pada ketika permusafiran Baginda SAW ke peperangan Bani Mustaliq tersebut, undian tersebut memihak kepada Saidatina Aisyah R.Anha dan beliau terpilih untuk menemani Baginda SAW.

Dalam perjalanan pulang daripada peperangan tersebut, Baginda SAW dan tentera Islam berhenti seketika di satu tempat yang tidak jauh daripada Madinah al-Munawwarah dan bermalam di situ. Apabila rombongan berhenti di situ, maka Saidatina Aisyah R.Anha keluar bagi menunaikan hajatnya dengan memakai rantai di lehernya. Setelah dia pulang daripada menunaikan hajat, dia mendapati rantai di lehernya hilang tanpa disedari olehnya. Oleh itu, dia kembali ke tempat itu semula untuk mencari rantai yang hilang tersebut.

Dalam ketika dia mencari rantainya yang hilang, rombongan yang dipimpin oleh Rasulullah SAW tersebut telah bersiap untuk bertolak pulang ke Madinah al-Munawwarah. Haudaj iaitu yang dibina untuk membawa Saidatina Aisyah di atas unta tersebut diangkat oleh para Sahabat tanpa menyedari bahawa Saidatina Aisyah tiada di dalamnya. Ini kerana keadaan fizikal Saidatina Aisyah yang kecil dan ringan menyebabkan para Sahabat tidak dapat membezakan bahawa Saidatina Aisyah ada di dalamnya ataupun tidak. Lantas, apabila rombongan tersebut mendengar sahaja panggilan untuk bergerak, mereka terus berangkat tanpa memeriksa haudaj tersebut.

Apabila Saidatina Aisyah kembali ke tempat rombongan tadi berada, dia mendapati bahawa rombongan tersebut telah pun beredar menuju ke Madinah. Lalu dia duduk dan terbaring di situ dengan membungkuskan dirinya dengan kain jilbabnya. Ini kerana apabila rombongan tersebut menyedari ketiadaan Saidatina Aisyah R.Anha, mereka akan kembali mencarinya di tempat tersebut.

Dalam keadaan Saidatina Aisyah seperti itu, maka selepas itu datang Saidina Safwan Ibn al-Mu’atthil al-Sulami RA yang ketinggalan di belakang kerana melaksanakan tugasannya. Apabila beliau sampai di tempat rombongan Rasulullah SAW tadi berada, beliau mendapati ada sebuah benda yang disangkanya barang yang tertinggal daripada rombongan Rasulullah SAW. Lalu beliau datang mendekati benda tersebut dan mendapati bahawa itu ialah isteri Baginda SAW, Saidatina Aisyah R.Anha. Beliau bertanya, apakah yang menyebabkan dia tertinggal, namun Saidatina Aisyah tidak menjawabnya. Beliau pun mendekatkan kuda kepada Saidatina Aisyah R.Anha untuk dia naik menunggangi kuda. Kemudian dia naik ke atas kuda tersebut dan Saidina Safwan menarik kepala kuda tersebut dan bertolak dengan segera menuju kepada rombongan yang telah beredar tersebut.

Fitnah ini merupakan satu peristiwa yang sangat pahit untuk dihadapi oleh Ummu al-Mukminin Aisyah R.Anha. Ia menimpa rumah tangga dan keluarga manusia yang paling mulia, iaitu Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarga sahabat terdekat baginda SAW iaitu Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA. Fitnah ini berlarutan selama sebulan.

Walaubagaimanapun, Aisyah R.Anha tidak tahu-menahu walaupun sedikit berkaitan fitnah yang telah tersebar mengenai kesucian maruahnya tersebut. Dia hanya merasai perubahan sikap dan suasana disekelilingnya dan juga perubahan yang ada pada Rasulullah SAW setelah kepulangannya daripada peperangan Bani Mustaliq.

Saidatina Aisyah R.Anha pada satu ketika keluar bersama-sama Ummu Misthah menuju ke tempat menunaikan hajat di malam hari. Pada ketika itu, Ummu Misthah tergelincir disebabkan pakaiannya sendiri dan beliau melatah, “Celakalah Misthah!”. Apabila Saidatina Aisyah mendengarkan perkataan itu, Saidatina Aisyah R.Anha menegurnya dengan tegas kerana Misthah merupakan ahli Badar. Lantas, Ummu Misthah menyedari bahawa Aisyah masih tidak mengetahui mengenai berita tersebut, lalu menerangkan dan menceritakan segala perkara yang berlaku dan tuduhan kaum munafiq padanya.

Lalu setelah Saidatina Aisyah mendengar cerita itu, dia segera pulang dan menemui ibunya dan meminta penjelasan. Seorang wanita Ansar pun datang menemui mereka dan menceritakan segala-galanya dengan terperinci sehinggakan kejutan yang diterima ini menyebabkan Saidatina Aisyah R.Anha jatuh pengsan. Ketika beliau sedar dari pengsan, Rasulullah SAW datang menjenguknya, namun beliau meihat perubahan pada baginda kerana bagida hanya memberi salam dan bertanyakan keadaan Aisyah lalu lantas keluar. Disebabkan melihat kepada perubahan tersebut, beliau meminta izin kepada Rasulullah SAW untuk menetap sementara waktu di rumah orang tuanya dan Rasulullah SAW membenarkan.

Apabila fitnah masih lagi berterusan yang tidak menunjukkan hentinya, Baginda SAW mengambil keputusan untuk meminta pendapat sahabatnya. Baginda SAW memanggil Saidina Ali bin Abi Thalib RA dan Usamah bin Zaid RA. Usamah bin Zaid RA menegaskan bahawa beliau tidak dapat membenarkan tuduhan tersebut terhadap Saidatina Aisyah R.Anha kerana tuduhan berat itu dianggap sebagai satu perkara yang pembohongan dan rekaan semata-mata. Tambahan pula, kesemua sahabat dan Rasulullah SAW sendiri mengenali Saidatina Aisyah sebagai seorang wanita yang solehah, taat dan bertaqwa.

Berbeza pula keadaannya dengan Saidina Ali Ibn Abi Talib disebabkan oleh rasa simpatinya dan kecintaannya kepada Rasulullah SAW, beliau menjawab: “Ya Rasulullah, masih banyak lagi wanita lain.” Lalu beliau menyarankan kepada Nabi agar bertanyakan tentang Aisyah kepada pembantu Aisyah sendiri iaitu Barirah kalau-kalau ia mengetahui tentang apa yang sebenarnya terjadi. Lalu Barirah dibawa untuk menemui Baginda SAW. Maka Baginda SAW pun bertanyakan tentang hal Saidatina Aisyah R.Anha kepada Barirah. Lalu dia berkata: “ Aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Demi Allah, Aisyah sungguh lebih baik daripada emas yang baik.”

Setelah mendengar penjelasan Barirah, Rasulullah bertanya pula kepada isteri Baginda SAW iaitu Zainab binti Jahsy RA mengenai peribadi Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah. Sebagaimana yang telah diketahui, Zainab Bint Jahys RA sering bersaing dengan Aisyah R.Anha memenangi hati Rasulullah SAW. Namun begitu, ketika Rasulullah SAW bertanyakan mengenai Aisyah berhubung peristiwa fitnah ini, Zainab RA menjawab dengan baik, “Wahai Rasulullah, aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Aku tidak ketahui daripada diri Aisyah ini melainkan kebaikan semata.”

Setelah mendengar pelbagai pandangan, Rasulullah SAW mengambil keputusan untuk bertemu dengan Saidatina Aisyah R.Anha sendiri di rumah mertuanya dan bertanyakan kepadanya secara langsung. Bagi Rasulullah SAW, kaedah ini dilihat sebagai satu kaedah yang terbaik untuk memperolehi kebenaran. Di rumah Abu Bakar RA Rasulullah SAW telah berkata kepada Saidatina Aisyah R.Anha, jika dia benar melakukannya maka hendaklah dia bertaubat kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT menerima taubat yang dilakukan oleh hamba-hambaNya.

Kata-kata Rasulullah SAW tersebut membuatkan Saidatina Aisyah terluka dan berkecil hati kerana seolah-olah Baginda SAW mempercayai tuduhan tersebut. Saidatina Aisyah kemudiannya memandang kepada kedua orang tuanya,untuk melihat reaksi mereka terhadap apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW. Akan tetapi keduanya berdiam diri tanpa sepatah kata. Aisyah mengerti mengapa keduanya berdiam diri kerana hanya dirinya sahaja yang mampu menjawab kata-kata Rasulullah SAW tadi.

Aisyah menjawab kepada Rasulullah SAW dalam keadaan menangis dengan menafikan tuduhan tersebut dan enggan bertaubat kerana dia tidak melakukan maksiat tersebut. Dia berkata bahawa bersabar lebih baik dan hanya kepada Allah sahajalah dia memohon pertolongan atas apa yang dituduhkan kepadanya.

Ketika Rasulullah SAW ingin pulang, wajah Baginda SAW mula berubah dan keadaan Baginda SAW pada ketika itu nampak begitu berat dan berpeluh, sedangkan ketika itu adalah musim sejuk. Selepas daripada itu, lahir kegembiraan daripada wajah Rasulullah SAW, Baginda SAW tersenyum gembira dengan berkata: “Wahai Aisyah, bergembiralah kerana Allah ‘Azza wa Jalla telah membebaskan dirimu.” Lalu Saidatina Aisyah mengucapkan tahmid kepada Allah SWT.

Sesungguhnya Allah SWT telah membersihkan nama Saidatina Aisyah R.Anha daripada fitnah itu dengan turunnya wahyu iaitu ayat 11-19, Surah al-Nur bagi menjelaskan hakikat sebenar yang berlaku. Ayat selepas itu menerangkan tentang hukuman terhadap orang yang melemparkan tuduhan (qazaf) terhadap wanita yang suci dengan menghukumnya dengan hukuman sebatan. Hukuman qazaf dilaksanakan ke atas sahabat yang membicarakan dan mempercayai fitnah tersebut seperti Saidina Hasan Ibn Thabit RA, Masthath RA dan Hammanah RA. [3]

Pengajaran daripada kisah

Banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada kisah yang telah diceritakan oleh Aisyah. Ianya sangat berkait rapat dengan apa berlaku di zaman kita ini. Apatah lagi pada zaman kita berkembangnya teknologi dan ianya boleh dimanipulasi sesuka hati oleh sesiapa pun.

Al-Qadhi Iyadh menyatakan bahawa di dalam kisah ini banyak faedah dan pengajaran yang boleh kita ambil. Antaranya ialah:

berhukum dengan yang zahir,

sentiasa bersangka baik dengan orang mukmin khususnya mereka yang terkenal dengan kebaikan dan soleh seperti Aisyah dan Sofwan Bin Mu’attal.

Begitu juga, jangan pedulikan pembohongan yang secara terang-terangan dibuat seperti mana yang ditunjukkan oleh kebanyakan kaum muslimin ketika mana Aisyah R.Anhanha dituduh.

Beliau juga menyebut bahawa di dalam kisah ada isyarat agar segala apa yang diuji dan dituduh serahkan sepenuhnya pada Allah SWT,

Banyakkan berdoa dan bertaubat kepada-Nya. (Rujuk Kamal Al-Mu’lim Syarh Sahih Muslim, 8/142)

Imam Al-Bukhari meletakkan kisah ini juga di dalam bab ‘ Jika seseorang membuat pengakuan dengan mengatakan : tidak kami tahu tentang orang ini melainkan yang baik-baik sahaja’ (باب: إِذَا عَدَّلَ رَجُلٌ أَحَدًا فَقَالَ لاَ نَعْلَمُ إِلاَّ خَيْرًا، أَوْ قَالَ مَا عَلِمْتُ إِلاَّ خَيْرًا) yang dimuatkan di dalam Kitab Penyaksian (الشهادات). Yang menariknya Maulana Zakariya Al-Kandahlawi menyatakan bahawa jika orang ramai sudah mengaku bahawa seorang individu sememangnya terkenal dengan kebaikan maka pengakuan itu boleh diambil. (Rujuk Al-Abwab Wa Al-Tarajim Li Sahih Al-Bukhari, 4/142).

Kita juga boleh belajar daripada sikap Ummu al-Mukminin Zainab Binti Jahsyi ketika mana Aisyah R.Anha dituduh berzina. Ketika Rasulullah SAW bertanya kepada beliau tentang apa yang berlaku pada ketika itu beliau menyebut :

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَحْمِي سَمْعِي وَبَصَرِي وَاللَّهِ مَا عَلِمْتُ عَلَيْهَا إِلَّا خَيْرًا قَالَتْ وَهِيَ الَّتِي كَانَتْ تُسَامِينِي فَعَصَمَهَا اللَّهُ بِالْوَرَعِ

Maksudnya : Wahai Rasulullah aku menjaga telinga dan mataku. Tidak aku tahu berkenaan Aisyah melainkan yang baik-baik sahaja. Dia memang sentiasa menyaingi aku akan tetapi Allah menjaganya dengan kewarakan yang ada padanya.”

Riwayat Al-Bukhari (4381)

Melihat sikap Zainab sudah cukup menginsafi kita. Walaupun Aisyah merupakan pesaing Zainab namun Zainab tidak langsung bercakap buruk tentang Aisyah. Boleh sahaja beliau memburuk-burukkan Aisyah agar Rasulullah SAW tidak lagi melebihkan Aisyah seperti sebelum-sebelum ini, namun iman dan akal yang sihat mendahului nafsu. Beliau sentiasa mengatakan yang baik tentang Aisyah tatkala keadaan pada ketika itu menjadi kacau bilau dek kerana fitnah yang sedang melanda.

Sheikh Abu Hasan Ali Al-Nadwi menyatakan lagi beberapa pengajaran yang boleh diambil daripada kisah ini. Antaranya :

Pertama : Fitnah yang tersebar luas dan tidak dapat dibendung akan menimbulkan implikasi yang buruk dengan menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan hidup dalam kalangan masyarakat. Ini kerana masyarakat akan saling berprasangka dan menuduh di antara satu sama lain pada perkara yang belum pasti samada ia benar ataupun tidak. Lalu menimbulkan perasaan yang kurang senang antara satu sama lain.

Kedua : Tuduhan jahat dan fitnah walaupun ia merupakan sesuatu yang sukar dipercayai, namun masih sahaja terdapat golongan yang terpengaruh dan mempercayai bahawa fitnah tersebut benar-benar berlaku. Ini seperti yang terjadi kepada beberapa orang sahabat yang mempercayai fitnah Hadith al-Ifk tersebut seperti Misthah RA, Zaid Ibn Thabit RA, Hammanah Binti Jahsy RA dan lain-lain.

Ketiga : Tipu-daya dan komplot daripada golongan kafir dan munafiq untuk memecah-belahkan umat Islam daripada dalam, selepas mereka terhina dengan kekalahan peperangan Al-Ahzab. Apabila mereka mendapati bahawa mereka tidak dapat mengalahkan Nabi Muhammad SAW dengan kekuatan ketenteraan dan persenjataan, maka mereka menggunakan serangan saraf yang melemahkan umat Islam daripada dalam dengan menimbulkan fitnah. Ini menyebabkan umat Islam tidak lagi bersatu hati dan timbul perasaan tidak senang dalam kalangan mereka.

Keempat : Tujuan golongan munafiq menyebarkan fitnah ini dalam kalangan masyarakat adalah untuk menyakiti Nabi SAW dengan menuduh orang yang paling disayangi oleh Nabi SAW iaitu isterinya, Saidatina Aisyah R.Anha. Sekaligus, ia menimbulkan ketidakpercayaan masyarakat terhadap ahli keluarga yang rapat dengan Baginda SAW, yang pada akhirnya akan menggugat kepercayaan kepada Baginda SAW sendiri.

Kelima : Tindakan para Sahabat yang membela Saidatina Aisyah R.Anha untuk menjaga maruah dirinya daripada dipermainkan oleh golongan munafiq merupakan sesuatu yang wajar dipuji kerana ia memberi kekuatan kepada orang yang dituduh oleh fitnah yang besar tersebut. Ini seperti yang ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA yang membela anaknya tersebut daripada tuduhan tersebut.

(Rujuk Sirah Al-Nabawiyah Li Al-Nadwi, hlm 273)

Kami melihat suasana yang berlaku pada hari ini hampir membetuli apa yang diutarakan oleh Abu Hasan Ali Al-Nadwi

Saranan al-quran dalam menghadapi fitnah

Apabila kita selusuri satu persatu ayat daripada Surah Al-Nur kita akan dapati bahawa Al-Quran memberikan saranan dan cara bagaimana menghadapi fitnah yang sedang melanda. Saranan-saranan ini datang sejurus selepas Allah membebaskan Saidatina Aisyah daripada tuduhan zina bersama Sofwan Bin Mu’attol pada ayat yang ke 11. Antara saranan tersebut ialah :

Pertama : Sentiasa bersangka baik dengan orang mukmin. Ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT :

لَّوْلَآ إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا۟ هَـٰذَآ إِفْكٌ مُّبِينٌ

Maksudnya :” Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata”.

(Surah Al-Nur : 12)

Inilah yang dilakukan oleh sebahagian sahabat Nabi ketika mereka mendengar berita tentang Aisyah dan Sofwan Bin Mu’attol. Di antaranya ialah Abu Ayub Al-Ansari dan keluarganya. Mereka tidak langsung terlibat dalam komplot penyebaran mahupun mempercayainya. (Rujuk Al-Kasyaf ‘An Haqaiq Ghawamid Al-Tanzil, 3/212)

Kedua : Datangkan bukti atas setiap berita yang datang. Firman Allah SWT :

لَّوْلَا جَآءُو عَلَيْهِ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَآءَ ۚ فَإِذْ لَمْ يَأْتُوا۟ بِٱلشُّهَدَآءِ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ عِندَ ٱللَّـهِ هُمُ ٱلْكَـٰذِبُونَ

Maksudnya :” Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.”

(Surah Al-Nur : 13)

Ketiga :Jangan sesekali memperkecilkan dan meremehkan fitnah yang berlaku. Ini adalah perkara yang amat penting untuk diamati. Sikap orang Islam sepatutnya tidak melibatkan diri dalam apa-apa komplot untuk memburukkan orang lain dengan melemparkan tuduhan yang tidak berasas. Ini dapat dilihat melalui firman Allah :

إِذْ تَلَقَّوْنَهُۥ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُم مَّا لَيْسَ لَكُم بِهِۦ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُۥ هَيِّنًا وَهُوَ عِندَ ٱللَّـهِ عَظِيمٌ

Maksudnya :” Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.”

(Surah Al-Nur : 15)

Keempat : Nasihat orang ramai agar jangan bercakap dan menyebarkan fitnah. Ini juga adalah sikap yang paling penting dalam menghadapi fitnah yang sedang melanda. Orang beriman lidahnya penuh dengan tanggungjawab. Dia tidak akan sewenangnya percaya dan menyebarkan berita fitnah yang datang. Dia juga menasihati orang lain agar jangan terlibat dalam penyebaran fitnah yang tidak diketahui kebenarannya. Firman Allah SWT :

وَلَوْلَآ إِذْ سَمِعْتُمُوهُ قُلْتُم مَّا يَكُونُ لَنَآ أَن نَّتَكَلَّمَ بِهَـٰذَا سُبْحَـٰنَكَ هَـٰذَا بُهْتَـٰنٌ عَظِيمٌ

Maksudnya :” Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: “Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan”.

(Surah Al-Nur : 16)

Dan termasuklah menyebarkan berita melalui media massa tanpa usul periksa di samping masing-masing mengutarakan pendapat tanpa pengetahuan yang sebenar.

Semoga Allah tunjukkan kita perkara yang sebenar. Banyakkan berdoa :

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya :” Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Bolehkah isteri tidak bekerja tuntut harta sepencarian?

Bolehkah isteri tidak bekerja tuntut harta sepencarian?

NURULFATIHA MUAH

SEBUT sahaja penceraian, tiada siapa yang menyukai perkara itu. Ya, ia barangkali menjadi peristiwa yang amat menyakitkan bagi sesiapa yang pernah mengalaminya.

Perasaan itulah yang dialami oleh Maizura (bukan nama sebenar) selepas bercerai dengan Ariffin (bukan nama sebenar).

Mereka sudah lama menyulam cinta sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin pada tahun 1990. Namun, entah di mana silapnya, selepas 13 tahun hidup bersama, ikatan suci itu terlerai akhirnya dengan jatuhnya talak satu.

Perceraian tersebut dibuat di sebuah Mahkamah Syariah di pantai timur pada tahun 2003. Hasil perkahwinan itu, Maizura dan Ariffin dikurniakan dua orang anak.

Sepanjang tempoh perkahwinan, Maizura hanyalah suri rumah dan tidak pernah bekerja. Namun, suaminya mempunyai pekerjaan tetap yang bagus dan bergaji agak tinggi.

Hati mana yang tidak tersentuh apabila melihat anak-anaknya membesar tanpa seorang ayah. Selama ini, bekas suaminya menjadi tempat mereka bergantung harap.

Atas nasihat orang di sekelilingnya, Maizura membuat tuntutan harta sepencarian terhadap bekas suaminya antaranya harta tidak alih seperti rumah yang terletak di ibu kota dan harta alih seperti kereta, wang simpanan dan sewa rumah.

Wanita berusia 40 tahun itu kemudiannya memfailkan tuntutan harta sepencarian di sebuah Mahkamah Syariah di pantai timur. Mahkamah Tinggi Syariah kemudian memutuskan Maizura layak mendapat satu perempat bahagian rumah berkenaan. Begitu juga bahagian untuk harta alih yang lain.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Maizura membuat rayuan dan memohon untuk mendapatkan separuh daripada keseluruhan nilaian rumah berkenaan. Menurut pandangannya, jumlah itu memadai untuk mendapatkan hak yang sama dengan bekas suaminya.

Akhirnya, Mahkamah Rayuan Syariah memberikan nilaian rumah tersebut pada kadar satu pertiga kepada Maizura. Ini kerana Maizura mengakui, beliau tidak memberikan sumbangan langsung kepada rumah berkenaan.

LAZIMNYA, Mahkamah Syariah akan memberikan paling kurang satu pertiga bahagian harta sepencarian kepada bekas isteri sekiranya mereka tidak menyumbang secara langsung kepada harta tersebut. -Gambar hiasan

Wanita itu akur dengan keputusan itu dan menerimanya dengan berlapang dada. Sejujurnya, beliau sangat berterima kasih kepada insan di sekelilingnya yang menyedarkannya untuk menuntut harta sepencarian meskipun beliau hanyalah suri rumah sepanjang perkahwinannya dengan bekas suaminya.

Fahami tuntutan harta sepencarian

Bagi mengulas tentang harta sepencarian, Sinar Islam mengemukakan kes berkenaan kepada peguam syarie, Raihan Mustafa Kamal.

Ujar beliau, isteri sebenarnya berhak menuntut harta sepencarian walaupun mereka tidak pernah bekerja atau memberikan sumbangan langsung sepanjang tempoh perkahwinan bersama suami.

Menurutnya, ia bagaimanapun tertakluk kepada terma-terma yang telah diperuntukkan oleh undang-undang dan hukum syarak.

“Perlu difahami bahawa harta sepencarian ialah apa-apa harta sama ada harta alih atau tidak alih yang diperoleh semasa tempoh perkahwinan. Ia sama ada secara sumbangan langsung daripada pihak suami atau sumbangan langsung dari kedua-dua suami isteri dalam tempoh perkahwinan.

“Ia juga termasuk harta yang dimiliki oleh mana-mana pasangan sebelum berkahwin dan semasa tempoh perkahwinan, yang mana harta tersebut telah dinaik nilaikan melalui sumbangan pihak yang satu lagi,” katanya kepada Sinar Islam.

RAIHAN

Dalam hal itu, Raihan turut mengingatkan bahawa harta sepencarian bukan hanya boleh dituntut sekiranya berlaku perceraian sahaja, bahkan ia boleh dituntut apabila suami berpoligami dan ketika berlaku kematian suami atau pasangan sebelum pembahagian harta pusaka kepada waris diagihkan.

“Meskipun tiada apa-apa peruntukan berkaitan harta sepencarian secara khusus dalam hukum syarak, namun konsep harta sepencarian ini lebih kepada ‘uruf atau adat di negara kita yang mana datang dari adat temenggung mahupun adat perpatih.

“Bagaimanapun, selagi ‘uruf tersebut tidak bertentangan dengan hukum syarak, ia diiktiraf. Dalam Enakmen Negeri Selangor misalnya, Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 mengiktiraf mengenai harta sepencarian sama ada sumbangan tunggal salah seorang pihak mahupun sumbangan bersama,” katanya.

Pun demikian, ujar beliau, dalam kes harta sepencarian, lazimnya Mahkamah Syariah akan memberikan paling kurang satu pertiga bahagian harta sepencarian kepada bekas isteri sekiranya mereka tidak menyumbang secara langsung kepada harta tersebut.

“Ia termasuklah sama ada isteri tersebut bekerja ataupun suri rumah. Sekiranya ada sumbangan isteri semasa tempoh perkahwinan, bahagian itu boleh jadi lebih lagi,” katanya.

Kepada satu soalan, Raihan berkata: “Harta sepencarian ialah salah satu bentuk penghargaan atau hadiah kepada bekas isteri kerana telah bersama-sama membantu si suami sepanjang tempoh perkahwinan.

“Walaupun sumbangan secara langsung tiada, tanggungjawab si isteri terhadap keluarga, memberikan sokongan kepada si suami sehingga mampu untuk membayar dan memiliki harta tersebut juga dianggap satu sumbangan tidak langsung daripada si isteri.

“Cuba bayangkan, kalau tempoh perkahwinan sudah 30 tahun dan pasangan tersebut bercerai, tidakkah ada bahagian si isteri sepanjang tempoh perkahwinan dalam membantu si suami dalam memiliki harta-harta sepanjang tempoh perkahwinan? Adil ataupun tidak? Begitu cantiknya adat tersebut untuk memelihara dan melindungi wanita-wanita selepas daripada perceraian.”

APA NERACA UKURAN KEBENARAN?

APA NERACA UKURAN KEBENARAN?

BETULKAN fikrah anda:

●     Kalau kemenangan itu ukuran sebuah kebenaran. Maka Firaun lebih benar dari Nabi Musa. Kerana Nabi Musa terpaksa berundur dari bumi Mesir lantaran Firaun.

●     Kalau kuasa itu ukuran kebenaran, maka Abu Jahal dan Abu Lahab lebih benar dari Nabi Muhammad. Kerana Nabi Muhammad terpaksa berhijrah ke Madinah lantaran perbuatan mereka menyekat dakwah di Makkah.

●     Kalau ramai penyokong itu ukuran sebuah kebenaran maka Namrud lebih benar dari Nabi Ibrahim. Kerana Nabi Ibrahim terpaksa mengundurkan diri ke Palestin lantaran pengaruh Namrud begitu besar menyekat seruan Islam.

●     Jika harta itu ukuran sebuah kebenaran, maka Yahudi Madinah lebih benar dari para Sahabat Rasulullah.

Sesungguhnya kebenaran itu diukur sejauhmana ianya sejajar dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya. Moga kita semua istiqamah dengan kebenaran.

HIJRAH DENGAN ILMU BUKAN HANYA IKUTAN

HIJRAH DENGAN ILMU BUKAN HANYA IKUTAN

Berubah mesti dengan kefahaman ilmu yang betul. Tidak di atas dasar sangkaan atau ikut-ikutan. Orang lain buat, kita buat. Kalau majoriti tolak, kita pun tolak. Itu tidak benar sama sekali. Kelak akibatnya hanya akan membawa kepada masalah yang lebih besar atau lebih buruk daripada itu, ia mengundang fitnah kepada masyarakat, apatah lagi kepada agama Islam yang murni.

Pastinya ramai kalangan umat Islam yang merasakan bahawa masa begitu pantas berlalu. Belum selesai segala azam tahun ini, dah sampai pula tahun yang baharu.

Amat sinonim awal tahun hijrah ini dengan sambutan Maal Hijrah. Memperingati peristiwa hijrah junjungan besar Rasulullah SAW bersama sahabat karibnya Saidina Abu Bakar al-Siddiq. Dengan rangka strategi perjalanan yang tepat, dibantu dengan modus operandi yang disokong oleh sebahagian sahabat baginda menatijahkan hasil transformasi gemilang dalam perkembangan Islam.

Rasulullah tidak meneka-neka keadaan Yathrib atau Madinah. Main rasa-rasa ikut logik. Tidak sama sekali. Dengan sifat realistik dan fatonah baginda terhadap bumi Madinah yang agak berlainan dari segi geografi, komposisi kaum khasnya golongan Yahudi serta tradisi budayanya berbanding dengan kota Makkah, baginda membuat ‘groundwork’ terlebih dulu.

Dihantar utusan, dicari maklumat tepat berhubung penduduk dan sebagainya. Semuanya itu menjadikan hijrah baginda berjaya sehingga dijadikan sebagai asas takwim Islam oleh Saidina Umar al-Khattab pada zaman khilafahnya hingga kekal ke hari ini.

Perubahan satu fitrah

Apa mesej utama daripada peristiwa agung ini? Mesejnya ialah berubah dan melakukan perubahan itu satu fitrah dan ketetapan azali yang pasti berlaku dan mesti dilakukan oleh manusia. Dan kepentingan bertransformasi ke arah kebaikan inilah yang akan hidup sifatnya hingga kiamat.

Malah, dengan kebijaksanaan Allah SWT, Dia jalankan perubahan pada kitaran hidup manusia sedari awal kejadian sebagai bayi hinggalah kita dewasa dan tua. Sedar atau tidak, itu adalah hakikat sifat hijrah. Iaitu berubah dan mengalami perubahan .

Lebih penting daripada itu sebenarnya adalah dalam kita berubah dan mengubah kehidupan, sewajibnya kita bergerak kepada suasana yang lebih baik berasaskan kepada ilmu pengetahuan dan kefahaman yang jelas atas apa yang hendak kita lakukan. Tahu pada kepentingan dan keperluannya. Rangka strategi pelaksanaannya. Jelas dengan batas dan had yang digariskan.

Antara objektif program ‘I Want To Touch A Dog’ ialah agar hilang rasa takut padanya. Ditambah pula dengan objektif untuk mengajar perbezaan di antara proses sertu dan samak. Persoalannya, perlukah kita pada program seumpama itu? Adakah kita dalam keadaan terdesak hingga perlu pada acara sentuhan ini? Tidak berlaku pula sebarang demo atau proses samak dalam menjelaskan perbezaan antara keduanya.

Islam sanjung sifat berani

Penulis yakin dengan demo secara praktikal bagaimana proses sertu itu dilakukan tanpa wajib menyentuh anjing juga ia sudah memadai. Adat tradisi ketimuran tidak tergugat. Malah, rasa hormat pada pegangan hukum agama juga akan terpelihara. Kewajaran berhijrah daripada rasa takut yang tidak berasas kepada sifat berani yang hak adalah sesuatu yang wajar. Cuma kewajaran program dalam merasionalisasikan transformasi itu kita persoal.

Islam sanjung sifat berani untuk pertahan kesucian agama. Malah, dijanjikan syurga sebagai galang gantinya. Namun dalam melaksanakan perubahan dan tranformasi ini kita dapati sebahagian daripada mereka lari daripada landasan Islam sebenar.

Penyelewengan atas nama agama sebagaimana yang berlaku pada Islamic State (IS) antara contoh yang jelas. Prinsip Islam yang murni jelas disalahertikan demi mencapai apa yang diperjuangkan. Apa kesannya? Islam dan umat Islam dilihat sebagai kelompok yang zalim dan juga menindas. Fitnah terhadap agama berlaku yang berpunca daripada umat Islam sendiri.

Atas dasar inilah kita tegaskan kepada semua individu Muslim dan umat Islam dunia agar merenungi dan memahami dengan sedalam-dalamnya apa yang tersirat daripada wahyu pertama Allah kepada Nabi Muhammad dalam surah al-‘Alaq ayat 1-5 itu. Dua kali Allah menyebut perkataan ‘iqrak’. Pasti ada sesuatu yang hendak Allah sampaikan pada manusia.

Dilihat pada ayat kelima pada surah berkenaan, Allah dengan jelas membayangkan persoalan perubahan atau sifat hijrah yang berlaku mesti di atas landasan ilmu yang pasti dan mapan. Allah ajar manusia daripada peringkat tidak tahu kepada satu peringkat mengetahui sesuatu.

Dilihat pada mata kasar masyarakat moden hari ini, perubahan yang bersifat lahiriah amat-amat diambil kira sebagai satu asas ukuran transformasi diri. Jenama pakaian yang dipakai, kereta mewah yang dimiliki, saham pelaburan serta aset hartanah yang meningkat. Inilah antara kelaziman yang dijadikan ukuran. Tidak salah pada asasnya. Namun, matlamat dan tujuan dalam mendapatkannya perlu diperhalusi agar sejajar dengan kehendak agama serta tidak mencarik adat budaya setempat.

Pujangga Arab menyebutkan, “Tidaklah kemuliaan itu diukur pada umur yang panjang dan harta yang banyak. Tetapi kemuliaan itu diukur pada kefahaman ilmu dan tutur kata yang baik.”

Sewajarnya sambutan Awal Muharam esok ditambah semangat Maal Hijrah, kita mesti berubah pada tahap yang lebih mulia pada pandangan agama. Kita tidak mahu lahiriahnya moden dengan teknologi tetapi nilai kemanusiaan makin pudar.

Rasulullah mengingatkan kita dengan sabdanya, “Sesungguhnya Allah SWT amat cintakan seseorang daripada kamu yang apabila mengerjakan sesuatu, dikerjakannya dengan teliti (bersungguh-sungguh).”

Persoalannya apakah kesungguhan yang sudah kita sumbangkan untuk perkembangan dan kemajuan agama Islam kita selama ini? Timbang-timbangkanlah.

MANUSIA SENTIASA BERHIJRAH

MANUSIA SENTIASA BERHIJRAH

Fadly Samsudin

Apabila masuk tahun baharu, kita mesti bina kekuatan dan semangat untuk berubah menjadi semakin baik.

Kehadiran tahun baharu juga menjadikan usia seseorang semakin meningkat dan masa yang ada untuk kembali kepada Allah SWT semakin singkat.

Mati itu juga sebenarnya adalah satu proses hijrah yang berlaku dalam kehidupan manusia.

Ia bermula sejak diri kita berada dalam kandungan ibu. Apabila cukup empat bulan 10 hari, malaikat datang untuk meniupkan roh.

Selepas ditiupkan roh, malaikat diarahkan untuk menulis empat perkara terhadap kandungan yang bakal dilahirkan ke dunia iaitu rezeki, ajal, amalan (baik dan buruk) dan nasibnya sama ada mulia atau celaka.

Sememangnya, bayi ketika berada dalam kandungan ibu dilihat cukup bertuah kerana dia akan sentiasa dibawa ibunya ke mana-mana saja.

Namun, ia tidak kekal lama kerana Allah SWT tetap paksa bayi itu berhijrah dari alam kandungan ke alam dunia.

Sheikh Abdullah al-Haddad dalam kitabnya menyatakan, Allah SWT sediakan lima keadaan yang perlu manusia lalui (hijrah).

Ia bermula sejak bayi. Bagaimanapun, masa itu tidak akan kekal selama-lamanya.

Selepas berlalu sesuatu tempoh, Allah SWT akan hijrahkan bayi itu menjadi seorang kanak-kanak.

Alam kanak-kanak juga antara masa yang sangat seronok dilalui kerana kita tidak perlu memikirkan banyak perkara.

Masa banyak dihabiskan dengan bermain serta bebas melakukan apa saja. Sehinggalah mencapai usia 9 tahun, maka berakhirlah ‘perjalanan’ sebagai kanak-kanak.

Kemudian, kita mula berhijrah menjadi seorang remaja. Ketika berada di zaman remaja, golongan lelaki contohnya akan mula menunjukkan tanda-tanda perubahan dari segi fizikal dan dia sudah memasuki usia akil baligh.

Allah SWT akan menjadikan golongan itu ‘kebingungan’ kerana pada waktu itu, mereka cuba menyesuaikan diri disebabkan peralihan dari zaman kanak-kanak kepada alam kematangan sebagai seorang remaja.

Allah SWT nyatakan dalam Surah as-Syams, ayat 7 hingga 8, yang bermaksud: “Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa.”

Ketika usia remaja juga, Allah SWT akan mengilhamkan manusia kematangan dalam berfikir sama ada untuk melakukan kebaikan atau kejahatan.

Alam remaja juga tidak akan kekal kerana Allah SWT akan hijrahkan kita ke alam dewasa.

Pada usia dewasa, seseorang akan menempuh kehidupan sebagai pekerja, suami atau isteri serta dikurniakan zuriat sehinggalah mereka mencapai usia tua.

Seterusnya, manusia akan berhijrah lagi dan bersedia pula untuk menanti proses kematian.

Mati adalah sempadan perjalanan sama ada kita beroleh syurga atau neraka Allah SWT di akhirat kelak.

Sehubungan itu, dengan kehadiran tahun baru 1440 hijrah ini, setiap umat Islam perlu kekalkan matlamat serta iltizam bagi memperbaiki kelemahan diri.

Untuk melakukan perubahan juga tidak perlu kepada perkara yang besar. Cukup mulakan dengan memperbaiki kelemahan kecil yang sering dilakukan pada setiap hari.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisaa’, ayat 100)

Saidina Umar ada mengungkapkan kata-kata yang bermaksud: “Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk daripada hari semalam dan hari esoknya lebih buruk daripada hari ini.”

Muharam adalah bulan pertama yang wajar dijadikan titik tolak untuk melakukan penghijrahan hidup yang diredai Allah.

Peristiwa hijrah dilalui Nabi Muhammad SAW adalah lambang pengorbanan dan kejayaan.

Ketika itu mereka sanggup berkorban nyawa dan harta benda demi mencari keredaan Allah SWT. Rasulullah SAW bermula dengan membangunkan masyarakat berakhlak mulia.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Surah Muhammad, ayat 7)

Penghijrahan Rasulullah SAW akhirnya membuahkan hasil. Tugas pertama Baginda ketika di Madinah adalah menyatukan persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar.

Kejayaan itu cukup besar apabila sikap bermusuhan sebelum itu berjaya diubah dengan semangat persaudaraan.

Yathrib kemudian ditukar kepada nama Madinah al-Munawwarah yang bermakna bandar bercahaya.

Baginda juga mengasaskan masjid pertama sebagai tempat ibadat, penyebaran ilmu dan tempat penyatuan umat Islam.

18 SEBAB MANUSIA BERANI MENENTANG ALLAH SWT

18 SEBAB MANUSIA BERANI MENENTANG ALLAH SWT

Zainudin Hashim

Sejak akhir-akhir ini, para ulama’ sering menekankan keprihatinan dan kepekaan mereka mengenai telatah serta gelagat umat Islam, khususnya yang melibatkan gaya hidup masyarakat umat Islam yang semakin tersasar daripada landasan Islam sebenar.Ia dapat disingkap dalam aspek hiburan dan sukan yang keterlaluan yang disuburkan oleh pihak tertentu yang bertopengkan Islam, sedangkan realiti hidup mereka (pihak penganjur sesuatu program hiburan atau sukan tertentu) tidak mencerminkan minat mendalam kepada gaya hidup Islam.Benarlah kenyataan ayat 7-9 daripada surah as-Syams (91), Allah berfirman yang bermaksud : 7. Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); 8. serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; – 9. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan).

Kecenderungan jiwa atau hati manusia kepada perkara jahat merupakan naluri dan lumrah biasa, sebab itu al-Quran mendedahkan bahawa penghuni Neraka lebih ramai daripada penghuni Syurga.

Kejahatan manusia menjangkau apa yang tidak dapat dicapai oleh pemikiran, kerana penentangan bukan sekadar menolak kerasulan baginda Nabi Muhammad s.a.w, menolak al-Quran, terlibat dalam rasuah, judi, meninggalkan solat, tidak berpuasa, merosakkan alam sekitar dan yang lebih parah lagi ialah menentang Allah dengan menghina hukum-hukum-Nya.

Sebab Penentangan Manusia terhadap Allah

Justeru, mari kita menyingkap pandangan ulama� berhubung faktor yang menyebabkan penentangan manusia terhadap Allah SWT selaku Pencipta mereka.

1- Alpa terhadap matlamat sebenar penciptaan manusia di muka bumi ini.

2- Iman yang amat lemah terhadap rukun-rukun iman yang enam.

3- Jahil mengenai Allah, suruhan dan larangan-Nya, pahala dan dosa serta Syurga dan Neraka.

4- Tidak waspada terhadap bisikan syaitan yang sentiasa mengajak untuk melakukan kejahatan.

5- Tertipu dengan habuan dunia hingga tidak mahu memohon ampun dan bertaubat kepada Allah.

6- Berputus asa dari rahmat Allah (kasih sayang-Nya).

7- Tidak mempercayai qada� dan qadar Allah malah mempertikainya.

8- Berbangga dengan maksiat dan tidak memperakui dosa besar yang dilakukannya.

9- Panjang cita-cita (banyak berangan-angan dalam perkara dunia).

10- Berlebihan cinta kepada dunia hingga tidak menjalankan tugas utama sebagai manusia bernama Islam.

11- Tersungkur dengan mengikut hawa nafsu yang rosak.

12- Terlibat dalam perkara-perkara syubhat yang menjurus kepada kemurkaan Allah SWT.

13- Ego dan sombong diri terhadap Allah, Rasul dan manusia seluruhnya.

14- Suka bergaul (bercampur) dengan ahli maksiat dan menolak untuk bersama golongan yang soleh.

15- Suka melakukan fitnah dalam masyarakat hingga memporak-perandakan hubungan sesama mereka.

16- Merosakkan gambaran Islam dengan penggunaan istilah yang menyalahi konsep sebenar seperti melabelkan orang Islam yang berjanggut dengan pengganas dan lain-lain.

17- Bergelumang dengan ada-adat yang menyalahi hukum Syariat Islam.

18- Meninggalkan tugas utama Amar Ma’ruf dan Nahi Munkar.

Bagaimana boleh jadi seorang muslim yang baik?

Setiap insan bernama Islam, sama ada lelaki ataupun perempuan, berusaha meningkatkan diri dengan pelbagai amal ibadat yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ini kerana masing-masing mahukan diri mereka mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang taat dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya dengan penuh rasa rendah diri dan berserah diri kepada-Nya.

Justeru, mengetahui kaedah terbaik bagi tujuan di atas, adalah sesuatu yang amat digalakkan, agar setiap muslim/muslimah mencapai status hamba Allah yang diterima di sisi-Nya, antara kaedah berkenaan yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut :

� Melakukan solat lima waktu dengan baik (sama ada dari sudut pada awal waktu pelaksanaannya, kaifiat serta tata-cara bagi menjamin penerimaannya).

� Mengetahui sedalam-dalamnya bahawa meninggalkan solat dengan sengaja boleh membawa kepada kekufuran, kerana ia adalah tiang agama dan perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak.

� Melaksanakan seluruh hukum-hukum syariat Islam, bagi kaum muslimah, memakai hijab, kerana ia adalah arahan Allah dalam al-Quran, membaca al-Quran dengan memahami isi kandungannya.

� Mengkaji secara mendalam serta mentelaah sirah Nabi Muhammad s.a.w, sirah para sahabat Nabi, bagi muslimah, perlu memilih serta bercampur wanita-wanita solehah bagi menjamin pegangan dan akidah mereka.

� Sentiasa melakukan muhasabah diri, khususnya memerhatikan persiapan buat hari esok di akhirat dengan amalan, sumbangan kepada agama, perkara-perkara kebajikan buat umat Islam, menjauhi perkara yang menjadi kemurkaan Allah dan sebagainya.

� Perbanyakkan program kebaikan yang membawa ketaatan kepada Allah dan banyak berdoa kepada Allah agar diri diberi petunjuk ke jalan kebenaran dengan tetap dan cekal terhadapnya.

Mudah-mudahan kita sentiasa mendapat rahmat dan naungan daripada Allah agar boleh mati pada jalan yang diredai-Nya. Amin.- Az_

YAHUDI, NASRANI SEMBUNYI KENABIAN RASULULLAH

YAHUDI, NASRANI SEMBUNYI KENABIAN RASULULLAH

Oleh Ahmad Shukri Yusoff

PENDETA Yahudi yang menganut Islam, Abdullah Ibn Salam berkata, “Aku lebih lama mengenali Baginda Nabi SAW daripada mengenali anakku sendiri. Lalu Umar bertanya kepadanya: Mengapa Abdullah menjawab: Aku tidak ragu Nabi Muhammad SAW seorang nabi, tetapi anakku, boleh menyebabkan ibunya menyeleweng.” Secara spontan Umar menciumnya.

Demikianlah pengakuan seorang pendeta Yahudi yang mendapat hidayah Allah SWT dan pengakuan sama daripada Tamim Al-Darriy, bekas pendeta Kristian.

Sebenarnya orang Yahudi dan Nasrani mengenali Rasulullah SAW dan kebenaran dibawa Baginda seperti mana tertulis dalam kitab Taurat dan Injil. Mereka sengaja menyembunyikan kebenaran ayat yang menceritakan mengenai kemunculan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang menggembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah Ali-Imran, ayat 21)

Perbuatan melampau

Abu Al-Abbas bin Al-Mubarrad berkata, ayat ini mengisahkan mengenai sekumpulan Bani Israel yang membunuh nabi mereka yang menyeru supaya beriman kepada Allah SWT. Begitu juga apabila datang sekumpulan orang beriman yang membela kebenaran, mereka turut dibunuh.

Ilmu yang diketahui perlu disebarkan kepada masyarakat umum apatah lagi ilmu berkaitan kebenaran, tidak boleh disembunyikan. Sikap Yahudi dan Nasrani menyembunyikan kebenaran berita kemunculan Nabi Muhammad SAW dan perkara lain yang mereka tahu kebenarannya adalah perbuatan melampaui batas.

Sebenarnya golongan Yahudi dan Nasrani mengenali Nabi Muhammad SAW sebelum kehadiran baginda lagi. Allah SWT telah mengkhabarkan berita kemunculan Nabi Muhammad SAW menerusi wahyu yang disampaikan kepada Nabi Musa dan Nabi Isa.

Nafikan kebenaran

Golongan itu sengaja menyembunyikan kebenaran dan akan menafikan kemunculan Nabi Muhammad SAW. Jika ditanya, mereka mengakui nabi disebutkan dalam kitab mereka, tetapi menyembunyikan hakikat kebenarannya malah orang Nasrani mengatakan nabi dijanjikan adalah Isa al-Masih bukan Nabi Muhammad SAW.

Mereka turut membunuh golongan yang membimbing manusia ke arah kebaikan dan berlaku adil seperti diajarkan nabi. Orang yang berusaha melaksanakan petunjuk nabi berada di bawah pengaruh nabi dan mereka turut dibenci golongan Yahudi serta Nasrani.

Kedua-dua golongan itu juga melancarkan serangan terhadap Nabi Muhammad SAW dan keinginan membunuh Baginda turut dirasakan kaum musyrik Arab. Perbincangan membunuh Baginda dilakukan golongan Yahudi yang hidup ketika ayat ini diturunkan.

Berpaling kepada kebenaran dalam hakikat kehidupan hari ini mungkin berbeza dengan keadaan berlaku pada zaman nabi tetapi memang ada dalam kalangan umat Islam yang sudah mengetahui kebenaran dan tetap ingin menyembunyikannya.

Mereka sedar terhadap tuntutan agama dan hukum ditetapkan syarak namun disebabkan enggan melaksanakan tanggungjawab sebagai umat Islam atas sebab tertentu, mereka cuba menafikan kebenaran yang diketahui.

4 MASALAH JIKA TERLALU CINTAKAN DUNIA

4 MASALAH JIKA TERLALU CINTAKAN DUNIA

Oleh Zamanuddin Jusoh

Dunia yang sementara ini tidak boleh diagungkan sehingga melupai negeri akhirat. Mengutamakan dunia semata-mata, seolah kita memberi ruang kepada banyak penyakit berbahaya yang akan memudaratkan kita di akhirat.

Sifat kasih serta cinta kepada dunia boleh melemahkan jiwa dan fizikal serta mempunyai kesan mendalam kepada kehidupan. Mereka juga terancam di akhirat seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Barang siapa menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia ini tidak akan dirugikan. Itulah orang yang tidak akan memperoleh apa-apa di akhirat kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah yang telah mereka kerjakan.” (Surah Hud, ayat 15-16)

Kebenaran perkara itu juga pernah diungkapkan dengan kata-kata yang sangat masyhur daripada sahabat Baginda SAW bahawa kasih kepada dunia adalah punca segala kejahatan.

Cinta dunia wujudkan sifat bangga, angkuh

Imam Ahmad menceritakan daripada Imam Sufyan, Nabi Isa bin Maryam berkata: ‘Cinta dunia itu sumber segala kesalahan dan di dalam harta benda terdapat banyak penyakit. Sahabat bertanya: Apa penyakitnya? Baginda menjawab: Orang yang cinta dunia tidak dapat meninggalkan sifat bangga dan angkuh. Sahabat bertanya lagi: Jika dia mampu menghindari sifat itu? Isa menjawab: Dia akan sibuk mengurus dan meningkatkannya hingga lalai daripada berzikir kepada Allah SWT. Maka lalai daripada zikrullah adalah bahaya yang paling minimum akibat cinta dunia.’

Boleh juga diertikan maksud sebenar kecintaan kepada dunia adalah kecenderungan terhadap perkara membabitkan hal keduniaan sehingga menjejaskan hubungan dengan Allah SWT di mana segala pergerakan dan usahanya akan dipandang dari sudut keuntungan material semata-mata.

Kesannya adalah penyimpangan terhadap segala hukum agama di mana halal dan haram tidak dipersoalkan lagi sehinggalah perkara dilarang menjadi kebiasaan dalam kehidupan. Ia juga seolah-olah menanam bibit permusuhan sesama insan akibat penipuan, penindasan dan penganiayaan terhadap insan lain.

Ini amat dilarang agama dan Baginda SAW mengingatkan kita melalui sabdanya: ‘Wahai manusia, bertakwalah kepada Allah SWT. Janganlah kamu menganiaya sesama kamu. Setiap penganiayaan antara kamu akan diadili pada Hari Kiamat.’ (Petikan Kitab Hayatul Qulub)

Menunjukkan sikap demikian akan menghalang manusia daripada rahmat Allah SWT pada Hari Kiamat. Ia juga boleh merenggangkan hubungan kekeluargaan akibat tiada kesefahaman dan keikhlasan, tiada tolak ansur dalam sesuatu keputusan.

Ketika turunnya ayat 214, surah as-Syua’ra yang bermaksud: “Nasihatilah keluargamu yang terdekat.”

Baginda SAW mengumpulkan keluarganya dari Bani Hasyim dalam satu jamuan. Pada penghujung jamuan itu, Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya seseorang tidak akan menipu keluarganya, demi Allah, jika semua orang menipu sekalipun, namun aku tidak sekali-kali akan menipu. Begitu juga, jika semua menganiaya, aku tidak akan berbuat demikian. Ingatlah bahawa kamu akan mati seperti mana kamu sedang tidur. Kamu akan dibangkitkan seperti kamu bangun daripada tidur. Setiap kamu akan diberi ganjaran mengikut apa yang diusahakan. Akhirnya dua tempat yang menjadi kediaman yang kekal. Sama ada syurga atau neraka.” (Kitab Ibnul Athir)

Kehidupan yang stabil akan menjadi goyah kerana pencinta dunia sentiasa memikirkan bagaimana caranya untuk memperbanyak dan mengumpul harta sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap agama, keluarga serta masyarakat.

Mereka akan menghadapi masalah sampingan yang sentiasa menghantui kehidupan. Sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang cenderung kepada dunia, akan menghadapi empat masalah. Masalah kegusaran yang berpanjangan, kesibukan yang tiada sempadan, kekayaan yang tidak dapat dicapai dan dinikmati serta angan-angan yang panjang tanpa kesudahan.” (Kitab Zabdah Al-Wai’zin

Hasad dengki hancurkan umat

Kesatuan umat akan hancur lantaran kecenderungan manusia kepada dunia. Penyakit hasad dengki dan permusuhan timbul kerana masing-masing mengambil sikap mementingkan diri tanpa memikirkan orang lain. Baginda SAW menyenaraikan perpecahan sebagai kesan daripada cinta dunia.

Sabda Baginda SAW: “Berhati-hatilah kamu dengan penyakit umat yang datang kepada umat sebelum kamu iaitu hasad dengki dan permusuhan. Kedua-duanya akan merosak dan memusnahkan agama.” (Riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Kerosakan akan terus berlaku apabila hati manusia sudah tidak dapat dikawal lagi. Kancah peperangan saudara di bumi umat Islam dapat dilihat sehingga mengorbankan banyak jiwa saudara seagama. Inilah faktor mengundang kehinaan terhadap umat Islam hingga dianggap pencetus kepada kekacauan serantau.

Ulama menyebut: “Terkadang sifat buruk ini tercetus daripada perasaan tidak puas hati yang sering bertapak pada diri seseorang dan terkadang ia wujud tanpa disedari. Ia melahirkan sikap benci dan tidak senang terhadap apa sahaja kebaikan terhadap orang yang tidak disukainya.”

Penyakit ini adalah antara penyakit paling lama wujud dalam sejarah kehidupan manusia. Iblis mendapat laknat dan kemurkaan daripada Allah SWT disebabkannya dan akhirnya penyakit itu diwarisi kaum Muslimin sehingga hari ini.

Fakta itu dikuatkan oleh firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan berkatalah Iblis, Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia yang diciptakan dari tanah lumpur yang hitam. Keluarlah kamu dari syurga kerana kamu terkutuk. Kutukan yang berpanjangan sehingga Hari Kiamat.” (Surah al-Hijr, ayat 33-35)

Allah SWT juga merakamkan mengenai peperangan yang tercetus antara kumpulan Aus dan Khazraj sebelum kedatangan Islam. Apabila datangnya Islam, mereka bersatu dan berkasih sayang sehingga mengundang perasaan dengki golongan Yahudi.

Akhirnya Yahudi kembali berusaha melalui Syas Bin Qais untuk mencetuskan kembali permusuhan dengan mengungkit sejarah silam. Namun Baginda SAW berjaya memulihkan keadaan dengan sabda Baginda: “Apakah isu lama telah kembali sedangkan aku berada di sini? Tinggalkan perkauman. Sekarang kamu semua telah disatukan oleh Islam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di sinilah letaknya kunci kesatuan umat di mana agama adalah panduan dan formula yang berkesan bagi merealisasikan kecemerlangan masa lampau. Oleh itu, hendaklah berhati-hati dengan dunia dan tipu dayanya kerana ia akan membawa penyesalan pada hari kemudian.

KETUA ADIL ASAS KEKUATAN UMMAH

KETUA ADIL ASAS KEKUATAN UMMAH

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

Kekuatan ummah boleh dicapai menerusi kepemimpinan adil yang bertunjangkan agama Islam tanpa rasuah dan tanpa pintu belakang.

Antara dasar digariskan Imam Al-Ghazali mengenai keadilan bagi seseorang pemimpin adalah mengenali nilai kuasa kerana ia boleh membawa kebahagiaan dunia dan akhirat.

Menurut Imam al-Ghazali, seseorang pemimpin Islam itu tidak memimpin sesuka hati sebaliknya perlu mendapatkan nasihat dan pandangan ulama dalam memikul tanggungjawab digalas.

Malah pemimpin itu semestinya tidak membiarkan kejahatan berlalu begitu sahaja, tanpa sebarang langkah penyelesaian, pada masa sama perlu menjauhkan sifat takbur dan sombong serta menjatuhkan hukuman setimpal kesalahan.

Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi, berkata kepemimpinan yang digariskan dalam Islam memiliki hikmah merapatkan hubungan sesama Islam dan tidak berpecah-belah kerana kesepaduan ummah adalah tunjang kekuatan.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Muslim adalah bersaudara sesama mereka, tidak seharusnya mereka menzalimi mereka atau menyerahkan mereka kepada kezaliman.” (HR Bukhari)

“Rasulullah SAW banyak kali menyatakan umat Islam perlu bersatu hati atas nama Islam kerana kekuatan, sokongan dan dorongan itu hanya diperoleh menerusi umat Islam yang bersatu padu. Tanpa elemen itu umat Islam akan menjadi lemah dan inilah peranan yang perlu dimainkan oleh pemimpin,” katanya.

Ahmad Sanusi berkata, apa yang membinasakan ummah apabila pemimpin mengutamakan kelompok mereka hingga bukan saja menyebabkan tidak berlaku adil, apatah lagi hingga membelakangi agama,” katanya.

Perkara ini dijelaskan Rasulullah yang bersabda: “Sesungguhnya umat sebelum kamu binasa kerana apabila pencuri dalam kalangan orang mulia (berkedudukan), kamu tidak mengenakan hukuman ke atas mereka, tetapi apabila rakyat lemah melakukan kesalahan, kamu hukum mereka.”

Pemimpin beriman tidak boleh membelakangkan keadilan semata-mata kerana kebencian terhadap individu, kaum ataupun bangsa sebaliknya berurusan dengan orang ramai atau rakyat secara adil dan saksama tanpa mengira bangsa, warna kulit, keturunan atau agama.

Ahmad Sanusi berkata, sifat pemimpin zalim dan tamak boleh merosakkan diri Muslim ibarat api dalam sekam, sekali gus membinasakan rakyat pada jangka masa panjang.

Sabda Rasulullah SAW: “Jauhilah sifat kedekut, kerana sesungguhnya umat terdahulu binasa kerana sifat ini menghasut mereka untuk menipu, lalu mereka menipu. Sifat ini mendorong mereka melakukan kezaliman, lalu mereka bersifat zalim.” (HR Muslim)

Ahmad Sanusi berkata, pemimpin jujur akan berusaha sedaya upaya untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan sentiasa berusaha menggemblengkan tenaga dan fikiran untuk kesejahteraan rakyat.

Realitinya pemimpin berperanan besar dalam memupuk perpaduan rakyat atas nama Islam. Tanpanya, umat Islam akan menjadi seperti buih di lautan yang mudah diperkotak-katikkan dan tidak dihargai oleh orang kafir yang akan menguasai mereka atas nama kuasa dunia.

Thauban RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Akan tiba masanya bangsa-bangsa mengerumuni kalian seperti orang yang mengerumuni hidangan makanan.” Lalu, seseorang bertanya: “Apakah kita ketika itu dalam kalangan golongan sedikit?” Baginda menjawab: “Bahkan kalian ramai tetapi lemah seperti buih di lautan. Sungguh Allah mencabut rasa takut daripada dada musuh kalian dan Allah menanam al-wahn dalam jiwa kalian.” Lalu seseorang bertanya: “Apakah itu al-wahn?” Baginda menjawab: “Cinta akan dunia dan takut kepada kematian.” (HR Ahmad, Baihaqi dan Abu Daud).

GILA DUNIA, KUASA UNDANG PERPECAHAN UMMAH

GILA DUNIA, KUASA UNDANG PERPECAHAN UMMAH

Oleh Dr Ahmad Sanusi Azmi

Kemelut politik melanda seharusnya menjadi titik muhasabah buat umat Islam. Benarlah sabda Rasulullah SAW bahawa perebutan kuasa, cintakan dunia dan pertelagahan dengan pemimpin akan menjadi faktor yang merosakkan umat Islam.

Nasihat ini pernah disampaikan Rasulullah SAW kepada sahabat. Baginda menjelaskan umat Islam suatu hari nanti akan menjadi seperti buih di lautan. Mereka akan diratah oleh umat lain.

Sahabat bertanya: “Apakah umat Islam ketika itu sedikit?” Rasulullah menjawab: “Tidak.” Bahkan menurut hadis itu, umat Islam ketika itu ramai, cuma mereka seperti buih di lautan. Mereka dihanyutkan ke sana dan ke mari kerana jiwa lemah. Baginda menjelaskan apa yang menjadikan umat Islam lemah adalah kerana terlalu mencintai dunia dan takut mati.

Perhatikan di sini bagaimana Rasulullah SAW mendidik kita bahawa gilakan dunia dan kuasa pemerintahan, umat Islam boleh menjadi lemah serta binasa.

Melalui hadis itu, Rasulullah SAW memberikan amaran apabila umat Islam lemah, Allah SWT akan mencabut rasa takut musuh kepada umat Islam. Ini bererti, ummah akan dipandang rendah dan tidak dihormati.

Jika ditelusuri sejarah umat Islam, kita dapati perebutan kuasa menjadikan mereka sebagai umat berpecah dan lemah. Mereka lupa kuasa pemerintahan ialah amanah seperti diingatkan oleh Rasulullah SAW kepada Saidina Abu Zar.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW menjelaskan umat terdahulu pernah menjadi binasa disebabkan pertelagahan dengan pemimpin mereka.

Mereka terlalu banyak mempersoalkan tindakan pemimpin dan bertelagah dengan pemimpin. Bagi memastikan perkara ini tidak berlaku dalam kalangan umat Islam, Rasulullah SAW berpesan kepada kita bahawa: “Sesungguhnya umat terdahulu daripada kamu binasa atas perbuatan mereka yang banyak mempersoal serta bertelagah dengan pemimpin mereka.” (HR Muslim)

Menghayati hadis di atas, sebahagian sarjana Muslim amat bimbang untuk memegang apatah lagi berebut untuk menjadi pemimpin. Mereka sedar kuasa pemerintahan adalah amanah besar yang akan menyebabkan ummah terjerumus ke dalam kebinasaan, jika tidak ditangani dengan baik.

Atas dasar itu seorang tokoh sufi terkenal pernah berpesan, bahawa sifat gilakan kuasa ini akan merosakkan peribadi seseorang. Sifat gilakan kuasa menyebabkan seseorang itu menjadi hasad dengki, bahkan suka mencari keaiban manusia lain.

Fudail Iyyad mengingatkan: “Tiada seorang lelaki yang gilakan kuasa kepemimpinan melainkan dia akan terjebak dengan hasad dan kejahatan, suka mencari keaiban manusia dan benci untuk menyebut kebaikan orang lain.”

Malah Imam Abu Daud al-Sijistani, tokoh hadis terkenal, melihat sifat ini sebagai antara penyakit atau menggelarnya sebagai syahwat tersembunyi.

Beliau pernah ditanya mengenai apakah yang dimaksudkan dengan nafsu syahwat yang tersembunyi. Lalu dia berkata: “(Mereka yang) cintakan kuasa.”

Atas dasar itu. Imam Abu Ayyub al-Sakhtiyani berpesan mereka yang cintakan kemasyhuran dan kepemimpinan adalah mereka yang sukar dipercayai.

Beliau berkata, “Tiada yang benar langsung buat si hamba yang mencintai kemasyhuran.”

Dalam situasi tidak menentu hari ini, pemimpin Muslim perlu mementingkan perdamaian dan kesatuan. Kesatuan umat Islam memberikan mereka kelebihan.

Bersepakat atas perkara yang memberikan kebaikan buat umat Islam adalah asas paling utama. Janganlah kita hanya mementingkan posisi dan kedudukan sendiri sehingga mengabaikan tanggungjawab yang paling utama bagi seorang pemimpin iaitu memelihara Islam dan Muslim.