MERANCANG – TAHUKAH ANDA

MERANCANG – TAHUKAH ANDA

Al-Quran melalui surah Yusuf, ayat 69 mencatat bagaimana Nabi Ya’akub, ayahanda Nabi Yusuf telah membuat perancangan untuk mengurangkan risiko dengan memberi pesanan kepada anak-anaknya yang akan memasuki Mesir,

“Dan Ya’qub berkata: Hai anak-anakku janganlah kamu (bersama-sama) masuk dari satu pintu gerbang, tetapi masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlainan; namun demikian aku tiada dapat melepaskan kamu barang sedikitpun dari pada (takdir) Allah. Keputusan menetapkan (sesuatu) hanyalah hak Allah; kepadanyalah aku bertawakkal dan hendaklah kepadanya saja orang-orang yang bertawakkal berserah diri”

Merancang merupakan salah satu usaha manusia. Malah dalam ilmu pengurusan, perniagaan atau pengorganisasian, perancangan atau planning merupakan aspek penting. Ia satu bab di dalam buku teks perakaunan atau mana-mana bidang lain. Maksud saya, ia topik besar dan sangat penting. Terdapat buku yang membicarakan perancangan sebagai aspek khusus perbincangan.

Pesanan Nabi Yaakub kepada anak-anaknya juga mengandungi beberapa elemen lain yang perlu dipertimbangkan. Misalnya, kita berusaha tetapi akhirnya Allah SWTlah yang menentukan samada apa yang kita rancangkan menjadi kenyataan atau tidak. Benar, kita selalu menyebut, “kita merancang, Allah menentukan”. Malah saya selalu mendengar orang menulis dan menyebut, “perancangan Allah lebih baik dari perancangan manusia”.

Benar, ia kenyataan yang sangat benar. Mereka yang bersandar dengan falsafah ini – barangkali – akhirnya menemui satu lagi istilah yang boleh mendekatkan mereka dengan Allah SWT. Ia dinamakan Redha. Mereka yang redha akan bersabar dengan kegagalan mendapat apa yang dihajati. Mudah-mudahan suasana ini sentiasa benar dalam menjadikan manusia sebagai mereka daripada golongan terpilih.

Namun ada sesuatu sering kita pinggirkan apabila mendapati apa yang dirancang gagal. Penyerahan kepada perancangan Allah SWT tanpa membuat semakan terhadap perancangan sendiri. Misalnya, kita mahu bangun pada 1/3 malam tersisa, kunci jam dan tidur awal. Setiap hari begitu. Bila sampai masanya kita masih gagal bangun. Lalu sesuaikah jika kita berkata, “saya sudah merancang dan berusaha tetapi Allah yang menentukannya”.

Perlindungan ini banyak membantu mereka yang sebenarnya tidak mahu berusaha secara bersungguh-sungguh untuk mengatasi satu detik kesukaran beramal ibadat. Di dalam ilmu pengurusan terdapat keperluan untuk melihat dan membuat analisis, kajian dan mencari jawapan kenapa perancangan yang dilakukan gagal dilaksanakan. Apakah yang boleh diperbaiki. Maksudnya, ia tidak setakat terhenti dengan perancangan semata-mata dan apabila gagal menyerahkannya kepada Allah SWT.

Dalam konteks beramal ibadat, ia lebih tertumpu kepada pertanyaan buat diri sendiri. Kenapa? Apakah kesukaran yang menyebabkan kita tidak boleh melakukannya. Bagaimana mahu mengatasinya sehingga berjaya. Malah ia perlu dilakukan dan dipertahankan secara konsisten.

Akhirnya, tanyalah diri sendiri dengan jujur dan jawapannya terkandung dalam diri yang akhirnya menyebabkan kita malu dengan Allah SWT. Jika tidak berlaku begitu, sebenarnya kita bersifat hipokrit dengan fitrah dalaman seorang manusia beragama Islam.

Semalam – ketika menyampaikan tazkirah Asar kepada Jemaah wanita Singapura – saya nyatakan sekali lagi,

“Sekarang, puan-puan semua menutup aurat dengan sempurna kerana baru selesai menunaikan solat Asar di Masjid Nabawi. Nanti bila mahu pulang ke Singapura, menaiki pesawat dan baru sahaja diampunkan dosa kerana melakukan umrah yang sempurna, menangis memohon keampunan Allah di Mekah dan Madinah… .. tiba-tiba kita kembali kepada diri kita yang asal. Tidak menjaga aurat dengan sempurna. Kenapa begitu? Tanyalah dengan jujur kepada diri sendiri… . in syaa Allah akan ada jawapannya”.

Bukankah Baginda SAW pernah menyatakan,

“Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta beragan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak)”

(Riwayat al-Tarmizi).

Malam tadi seisi rumah tidak terjaga sehinggalah terdengar Muazzim qamat dari masjid terdekat. Letih berkemas? Tidak. Hakikatnya, kami tidak bersungguh berdoa untuk bangun awal kerana yakin ia rutin biasa. Tidak. Ia tidak boleh begitu. Benar, Allah yang Maha Berkuasa dan aturannya kita perlu meyakini DIA yang memberi kudrat untuk melakukan sesuatu. Namun ada aturan tertentu yang perlu dilaksanakan.

Setiap kali kita gagal melakukan sesuatu, berdiamlah sejenak, renunglah dengan mata hati – Insya Allah – terbuka sesuatu yang lebih bererti misalnya muncul sifat Maha Berkuasa dan Maha Hebat Allah SWT. Malah sifat hamba dan kerdil lagi fakir seorang manusia akan lebih terserlah.

Kami mohon keampunanMu ya Allah.

http://www.muhdkamil.org/home

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Create your website with WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: