TABARUK DI GUNUNG JERAI

TABARUK DI GUNUNG JERAI

Tabaruk bermaksud mencari berkat. 

Perlu ditegaskan bahawa mengkhususkan sesebuah tempat secara umum atau spesifik untuk mencari berkat tanpa sebarang dalil syarak yang menganjurkan sedemikian merupakan satu kemungkaran tidak kira sama ada tempat tersebut ialah pokok, mata air, sungai, bukit, gunung atau gua, dan sama ada tempat itu didatangi untuk mandi, berdoa, membaca Al-Quran, berzikir, solat, menyembelih atau apa jua bentuk ibadah lain.

Dalil-dalil yang melarang perbuatan sedemikian ialah seperti berikut:

1. Perbuatan bertabaruk dengan cara seperti itu tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah ﷺ, para Sahabat dan generasi Salaf al-Soleh.

Ia hanya berlaku kemudian selepas zaman mereka tanpa sebarang dalil yang sarih (jelas) daripada Al-Quran atau hadis yang sahih.

Sedangkan sekiranya amalan ini dianjurkan serta diberi pahala nescaya Nabi ﷺ telah mengajarkannya kepada para Sahabat lalu mereka melakukannya dan turut menganjurkan orang lain untuk turut sama.

Sebaliknya apabila didapati bahawa mereka semua tidak melakukannya maka jelaslah bahawa ia merupakan amalan baharu yang diada-adakan sedangkan realitinya ia bukanlah ibadah atau ketaatan untuk mendekatkan diri kepada Allah ﷻ.

Barang siapa menganggapnya sebagai ibadah ketaatan maka dia telah menyalahi jalan Rasulullah ﷺ dan para Sahabat, dan mensyariatkan dalam agama apa yang tidak diizinkan oleh Allah ﷻ.

2. Kebiasaannya perbuatan bertabaruk dengan tempat-tempat ini lahir daripada rasa takzim kepadanya sedangkan sewajibnya Muslim hanya mentakzimkan apa yang disyariatkan oleh agama mengikut cara-cara yang ditetapkan.

Kerana itu para ulama memakruhkan perbuatan solat di tempat-tempat yang tidak ditakzimkan oleh Islam walaupun tanpa niat takzim sebagai sad al-zari’ah (menutup pintu kemudaratan).

Seperti perbuatan solat sunat mutlak di atas gunung atau dalam gua tertentu.

3. Mengiaskan tempat-tempat ini dengan Kaabah untuk mengucup, menyapu atau tawaf di sekelilingnya sedangkan pendekatan qias tidak boleh digunakan dalam ibadah kerana ia bersifat tauqifiyyah manakala perbuatan mengucup, menyapu dan tawaf merupakan perbuatan-perbuatan ibadah tanpa syak kerana orangnya berniat taqarrub mendekatkan diri kepada Allah di samping mengharapkan kebaikan dan pahala.

Tambahan pula, perbuatan mengucup, menyapu dan tawaf adalah khas buat Kaabah dan pada bahagian-bahagian tertentu sahaja, dan keistimewaan ini tidak dikongsi sama oleh mana-mana tempat yang lain.

Mencium Hajar Aswad misalnya adalah berdasarkan perbuatan Nabi ﷺ dan kerana itu Omar al-Khattab radiallahuanhu berkata:

إِنِّي لَأَعْلَمُ ‌أَنَّكَ ‌حَجَرٌ لَا تَضُرُّ وَلا تَنْفَعُ، وَلَوْلا أَنِّي رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَبِّلُكَ مَا قَبَّلْتُكَ.

“Sesungguhnya aku tahu engkau adalah batu yang tidak memberi mudarat atau manfaat dan kalaulah bukan kerana aku melihat Rasulullah ﷺ mencium engkau nescaya aku tidak akan mencium engkau.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Omar al-Khattab radiallahuanhu menegaskan bahawa jika bukan kerana syarak memerintahkan supaya mencium Hajar Aswad nescaya umat Islam tidak disuruh supaya menciumnya.

Maka tempat-tempat lain tidak boleh dikiaskan dengan Hajar Aswad.

4. Tiada mana-mana tempat ditetapkan oleh syariat Islam yang didatangi untuk solat, berdoa, berzikir dan seumpamanya kecuali masjid dan kawasan-kawasan masyair haji.

Oleh yang demikian, tidak boleh mengkhususkan tempat-tempat tertentu selain masjid dan kawasan-kawasan masyair haji untuk solat, zikir dan doa.

Sebaliknya jika masuk waktu solat maka Muslim itu akan solat di mana sahaja kecuali di tempat-tempat yang ditegah.

KESIMPULAN

Jika mengkhususkan tempat-tempat tertentu selain masjid dan kawasan-kawasan masyair haji untuk mencari berkat ditegah oleh syarak berdasarkan sebab-sebab yang telah dinyatakan di atas maka perbuatan bermusafir dengan niat ibadah ke tempat-tempat ini turut dilarang.

Kerana Nabi ﷺ bersabda:

لَا ‌تُشَدُّ ‌الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلَاثَةِ مَسَاجِدَ مَسْجِدِي هَذَا وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَالْمَسْجِدِ الْأَقْصَى.

“Tidak boleh bermusafir (dengan tujuan ibadah) kecuali ke tiga buah masjid: Masjid Al-Haram, Masjidku ini dan Masjid Al-Aqsa.”

[Sahih. Riwayat Ahmad]

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan perlindungan.

Ustaz Idris bin Sulaiman

Kajang

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Create your website with WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: