CONTOH HADIS PALSU YANG TERSEBAR

CONTOH HADIS PALSU YANG TERSEBAR

Berikut disenaraikan beberapa contoh hadis-hadis yang popular di dalam masyarakat. Sayangnya hadis-hadis yang popular ini pada hakikatnya adalah dhaif atau palsu. Saya menyebutnya sebagai dhaif atau palsu dengan meletakkan komen dan hasil kajian para ulama hadis dulu dan kini untuk sama-sama diteliti dan difahami. Ini bermakna, bukanlah saya yang memandai-mandai mengatakan ia dhaif atau palsu, tetapi saya berpandukan kepada hasil kajian yang telah sedia ada di dalam buku-buku para ulama hadis. Bagi para pembaca, mereka dialu-alukan untuk membetulkan kesilapan saya sama ada dari segi penggunaan bahan rujukan atau kesilapan dalam terjemahan teks asalnya yang ditulis dalam bahasa arab.

Pertama : ‘Tuntutlah ilmu walaupun hingga ke negeri China.’

Kedudukan Hadis:

Ini adalah hadis palsu. Hadis ini telah disebutkan sebagai palsu oleh Ibn al Jauzi di dalam buku al Maudhu’atPembaca juga boleh melihat buku Menangkis Pencemaran Terhadap Agama dan Tokoh-Tokohnya karya Mohd. Asri Zainul Abidin untuk mendapat maklumat lanjut tentang hadis ini. Hadis ini dikritik juga oleh pengkaji hadis seperti Ibnu Tahir al Maqdisi (507H) al Iraqi, Ibn Hibban dan Muhammad Nasiruddin al Albani

Ulasan:

Hadis ini kerap dijadikan hujah bagi membuktikan bahawa Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu sejauh yang mungkin walaupun ke negara China. Sedangkan pada hakikatnya hadis ini adalah palsu. Telah ada dalil-dalil serta hujah-hujah yang jelas dalam Al Quran dan hadis-hadis sahih tentang kewajipan menuntut ilmu serta kelebihan mereka yang mempunyai ilmu.

Kedua : ‘Tidur selepas subuh/ waktu pagi menghalang rezeki.’

Kedudukan Hadis:

Hadis ini adalah hadis palsu. Hadis ini dilabelkan sebagai palsu oleh al Hasan Ibn Muhammad al Shoghoni dan disokong oleh ahli hadis masa kini, Abd. Fattah Abu Ghuddah. Manakala di antara ulama yang melabelkan hadis ini sebagai sangat dhaif pula ialah al Haithami, Ahmad Syakir, Muhammad Nasiruddin al Albani dan Syuaib al Arnaouth.

Ulasan:

Tiada tegahan dan tiada pula suruhan ke arah perkara ini. Perkara ini dilakukan mengikut kesesuaian keadaan dan keperluan. Sedangkan sesiapa sahaja yang ingin mencari hadis ini pasti akan menemui bahawa para ulama hadis yang terkenal telah mengkritik hadis ini sekaligus menjadikannya hadis yang tidak sahih. Ada pula yang berhujah bahawa logik akal menyokong hadis ini kerana orang yang bekerja akan lewat ke tempat kerja dan tidak dapat menjalankan tugas sekiranya tidur selepas subuh. Mereka seolah-olah lupa bahawa ada juga masyarakat kita yang bekerja pada waktu petang dan malam. Adakah mereka tidak dapat menjalankan tugas jika tidur selepas subuh?

Persoalan rezeki ini adalah persoalan besar dan untuk menyatakan sesuatu perkara itu menghalang rezeki, kita memerlukan hujah dan dalil yang kuat daripada Al Quran atau hadis sahih. Terdapat beberapa perkara lagi yang dikatakan menghalang rezeki seperti minum daripada gelas sumbing, menjahit baju di badan sendiri dan lain-lain lagi tetapi semuanya tidak mempunyai dalil atau hujah daripada Al Quran atau hadis sahih.

Ketiga : ‘Sabar itu separuh daripada iman’

Kedudukan Hadis:

Menurut Ibn Rajab al Hanbali, ini adalah kata-kata sahabat dan bukan hadis Nabi SAW. Di antara yang menyebutnya sebagai hadis Nabi SAW ialah al Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumiddin. Menurut al Iraqi yang mengkaji hadis-hadis Ihya’ Ulumiddin, hadis tersebut adalah dhaif. Begitu juga dengan al Albani yang menyatakannya sebagai sangat dhaif. Menurut al Baihaqi dan al Zubaidi, kata-kata ini mauquf (kata-kata sahabat).

Ulasan:

Memandangkan bahawa kata-kata ini adalah kata-kata sahabat dan melihat kepada maksudnya yang tidak menyalahi mana-mana asas dalam Islam, maka boleh diucapkan dan disebarkan kepada masyarakat. Apa yang perlu ialah menyatakannya sebagai kata-kata sahabat atau kata-kata hikmah dengan tidak menyatakannya sebagai hadis Nabi SAW. Kita juga mesti mengutamakan ayat-ayat Al Quran yang menceritakan perihal kesabaran dan kepentingannya seperti ayat-ayat di dalam surah Luqman yang menceritakan nasihat Luqman kepada anaknya yang antara lainnya mengandungi nasihat supaya bersabar di atas segala ujian yang menimpa diri. Begitu juga dengan hadis-hadis sahih yang menceritakan soal kesabaran dan pahala orang-orang yang sabar. Itu mesti didahulukan daripada kata-kata hikmah atau kata-kata sahabat agar masyarakat sentiasa memahami kewajipan mendahulukan Al Quran dan hadis sahih dalam kehidupan.

Keempat : Kebersihan itu separuh daripada iman.

Kedudukan Hadis:

Hadis ini telah dikritik dan dilabelkan sebagai hadis dhaif jiddan (sangat dhaif) oleh al Iraqi dan dinyatakan sebagai palsu oleh al Albani dengan lafaz yang hampir sama iaitu “kebersihan itu menyeru kepada keimanan”.

Ulasan:

Telah disepakati oleh semua orang yang mempelajari tentang Islam melalui sumber utamanya iaitu Al Quran dan hadis sahih bahawa Islam memang mementingkan kebersihan. Tetapi tidak ada hadis yang menyatakan bahawa “Kebersihan itu separuh daripada iman”. Kita perlu berhati-hati apabila menyebutkan sesuatu hadis dan tidak sekadar menyebutnya kerana maknanya bertepatan dengan ajaran Islam.

Terdapat satu perkara yang menarik yang saya pernah temui iaitu satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahih Muslim dengan lafaz: الطهور شطر الإيمان yang diterjemahkan dengan maksud: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman”. Terjemahan sebegini saya temui di dalam salah sebuah majalah yang pernah saya baca. Sedangkan maksud hadis itu yang sebenar menurut kata para pengkaji hadis dalam buku-buku mereka ialah: “Bersuci dari hadas adalah separuh daripada solat”. Terdapat perselisihan pendapat tentang maksud hadis ini dalam buku Jami’ al Ulum wa al Hikam karya Ibnu Rejab al Hanbali (795H). Ibnu Rajab telah membincangkan maksud sebenar perkataanالطهور dan perkataan الإيمان dengan membawa banyak pendapat para ulama. Kesimpulan yang diambil oleh Ibnu Rajab ialah perkataan الطهور membawa maksud ‘bersuci daripada hadas’ dan maksudالإيمان pula ialah ‘solat’. Maksud hadis ini betul, namun hakikat ini tidak bermakna kata-kata tersebut telah benar-benar diucapkan oleh Rasulullah SAW. Kita mesti berhati-hati dalam menyebut sesuatu berkaitan Rasulullah SAW.

Sumber : http://hafizfirdaus.com/ebook/20asashadis/isu20.htm#_ftn6

http://virtualfriends.net/article/articleview.cfm?AID=51923

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Create your website with WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: