SEMANGAT KEMERDEKAAN DAN NILAI-NILAI MURNI

SEMANGAT KEMERDEKAAN DAN NILAI-NILAI MURNI

Dato’ Dr Ismail Haji Ibrahim 01/09/1995

Buku cenderamata Pelancaran Putrajaya pada 29 Ogos 1995 menekankan falsafah pembangunan Putrajaya berdasarkan hubungan tiga hala antara manusia dengan Penciptanya, antara manusia dengan manusia dan antara manusia dengan. alam sekitar. Dr. Ponlos Mar Gregorios Presiden The Inter-Religious Federation for World Peace (Persekutuan Antara Agama Untuk Keamanan Sejagat) dalam kata-kata aluan ketika melancarkan Kongres Realizing the Ideal : The Responsibility of the World Religions yang diadakan di Seoul, Korea Selatan pada 20 – 27 Ogos 1995 bertanya ” .. Adakah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang kebanyakan anggotanya berfalsafahkan sekularisme akan berjaya memimpin kita mencapai kecemerlangan di dalam kehidupan individu, kehidupan keluarga, masyarakat dan alam sekitar yang bersih?

Dua kenyataan di atas yang datangnya dari sumber yang berbeza, dari dua daerah yang berasingan pula, jelas menunjukkan kesatuan pemikiran tentang keperluan manusia kepada falsafah pembangunan yang berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan sebagai sumber inspirasi dan ajaran murni untuk kesejahteraan dan kecemerlangan manusia di dunia ini.

Bertolak dari falsafah ini, manusia sejagat pada hari ini haruslah meletakkan falsafah ketuhanan sebagai asas pembangunan individu, keluarga dan masyarakat seluruhnya. Nilai-nilai murni kehidupan yang dibawa oleh agama yang merupakan nilai-nilai sejagat untuk kesejahteraan umat manusia haruslah mendominasi kehidupan manusia seluruhnya.

Tema sambutan perayaan kemerdekaan Malaysia tahun ini yang tertumpu kepada Jatidiri juga merupakan satu tema yang mempunyai gambaran pembanguan mental dan fizikal mantap rakyat Malaysia dalam menghadapi cabaran-cabaran hebat menjelang abad ke 21. Kelemahan daya tahan bangsa, keruntuhan nilai-nilai murni warisan agama dan bangsa, kemelut politik wang, wabak rasuah di semua sektor yang amat berleluasa, kegelojohan dan persaingan kotor syarikat dan individu untuk mendapatkan kemewahan material bagi kepentingan diri dan sebagainya merupakan gejala-gejala negatif yang mencabar dan meruntuhkan warisan dan nilai-nilai murni hidup cemerlang.

Pengalaman selama lima hari di Seoul semasa menghadiri Kongres yang tersebut di atas dalam musim tengkujuh mengajar saya apa ertinya penghayatan nilai-nilai murni sejagat dari sudut positifnya. Orang-orang Korea termasuk jurujual di gedung-gedung besar tidak pandai berbahasa lnggeris. Pemandu teksi tidak berbahasa lnggeris, pemandu bas tidak berbahasa lnggeris. Tetapi hakikat ini tidak menjadi penghalang untuk mereka menghayati nilai-nilai murni kemanusiaan ketika berurusan dengan orang-orang luar yang tidak menguasai bahasa Korea.

Warisan budaya timur mengajar mereka menjadi manusia yang sederhana dan tahu bersyukur. Para pemandu teksi umpamanya masih mempertahankan budaya amanah dan sabar. Mereka tidak perlu diminta untuk menggunakan meter walau ke mana sekalipun destinasi yang dituju. Memakai meter teksi menjadi satu tabiat semulajadi mereka, bukan kerana desakan penumpang atau takutkan penguatkuasaan undang-undang. Mereka juga menjadi orang-orang yang beramanah tanpa sebarang perasaan tamak untuk memulangkan wang kecil para penumpang walaupun hanya beberapa sen sahaja.

Perawakan orang-orang Korea menampakkan kebengisan dan keazaman yang kuat. Tetapi di sebalik wajah yang “bengis” ini tersembunyi hati yang bersih dan mesra. Pernah saya mengalami kekecewaan untuk balik ke hotel di dalam hujan yang lebat kerana tidak ada teksi yang dapat membawa saya ke hotel. Dalam kekecewaan inilah seorang Korea, yang walaupun hanya menggunakan bahasa isyarat, mengajak saya ke persimpangan jalan yang lain dan mengiringi saya balik ke hotel dengan sebuah teksi. Bukan hanya setakat menghantar saya ke hotel, malah bersungguh-sungguh menolak bayaran sewa teksi walaupun saya berkeras untuk membayarnya.

Bahasa isyarat, lukisan gambar, arah perjalanan yang ditulis oleh orang-orang hotel dalam bahasa Korea, sudah cukup sebagai bekalan untuk perhubungan orang asing dengan orang-orang Korea. Keunggulan mereka sebagai orang-orang Timur benar­benar dimanifestasikan dalam penghayatan nilai-nilai murni dan kemantapan komunikasi kemanusiaan sesama sendiri.

Budaya inilah yang mungkin membuat mereka bangga dengan identiti dan keperibadian mereka. Korea yang merupakan negara teknologi yang mantap menampakkan semangat kerja keras dan penguasaan diri yang tinggi. Di atas jalan raya, tidak kelihatan kenderaan mewah yang diimport dari Jepun atau Eropah. Mereka menggunakan kenderaan kecil dan besar, ringan dan berat, hasil teknologi mereka sendiri.

Kombinasi penghayatan nilai-nilai murni dan kekuatan teknologi ini melahirkan bangsa yang kuat dan cemerlang. Nilai-nilai murni kemanusiaan dan sejagat adalah sesuatu yang diasah dan dididik sehingga ianya menjadi warisan budaya yang mantap dan kekal bagi sesuatu bangsa itu.

Maka dalam hal ini, nampaknya kita menghadapi masalah dalam pembinaan bangsa kita sendiri. Gejala rasuah, pecah amanah, gelojoh kebendaan yang mendorong salah laku dan penipuan di dalam semua lapisan masyarakat seperti yang disebutkan di atas merupakan ciri-ciri bahaya yang kelihatannya akan membentuk dan menjadi budaya bangsa kita. Nilai-nilai murni warisan agama dan bangsa sentiasa berubah mengikut arus perubahan masyarakat yang bersifat individualistik dan materialistik.

Sikap dan pemikiran bangsa juga turut berubah ketika menghadapi cabaran-cabaran moden dan perubahan yang terpengaruh dengan budaya asing yang melanda masyarakat kita.

Apakah dengan merebaknya gejala dan wabak individualistik dan materialistik itu masyarakat kita akan benar-benar dapat mengatasi cabaran Wawasan 2020 untuk membangun negara maju dengan bangsa yang berpegang teguh kepada nilai-nilai etika, moral dan agama?

Kita mesti merangka program dan aktiviti formal dan tidak formal bagi tujuan mengatasi cabaran ini. Kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan mestilah mengenal pasti permasalahan pembinaan bangsa Malaysia sekarang ini dalam konteks pembinaan nilai murmnya dan berusaha menyusun agenda kerja untuk memperbaiki dan mengatasi masalah ini.

Kalau orang-orang Korea dan Jepun masih dapat mempertahankan nilai-nilai murni ketimuran mereka dan berpegang teguh kepada keperibadian bangsa, bahasa dan warisan mereka, maka mengapakah kita kelihatan begitu terumbang ambing dengan warisan budaya dan agama kita?

Banyak rungutan yang dibuat tentang pemandu teksi dan bas kita. Banyak maklumat negatif yang diterima tentang pegawai­pegawai kita dalam soal salah laku dan masalah disiplin. Banyak para pelabur dan usahawan dalam dan luar negara yang terkejut besar denqan budaya rasuah yang amat ketara dan berleluasa dalam negara kita. sampai bilakah hal ini akan dibiarkan bermaharajalela dalam masyarakat kita?

Maka dalam menyambut ulang tahun kemerdekaan negara kita, satu agenda penting yang harus dilaksanakan ialah agenda secara komprehensif melahirkan bangsa Malaysia yang bermoral dan berakhlak tinggi, berpegang teguh kepada nilai-nilai etika dan agama. Dan inilah sebenarnya semangat dasar pandang ke Timur yang harus difahami dan dihayati dengan sebaik-baiknya. Dan inilah semangat kemerdekaan yang perlu diisi dengan bersungguh-­sungguh.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Create your website with WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: