PEMIMPIN DAN ORANG RAMAI

PEMIMPIN DAN ORANG RAMAI

Dato’ Dr Ismail Haji Ibrahim

Pimpinan dalam Islam adalah pimpinan yang merangkumi kedua-dua bidang fizikal dan kerohanian yang berasaskan kepada ajaran-ajaran Al-Quran dan Al-Sunnah. Pemimpin dalam hal ini, dipandang dari perhubungannya dengan orang-orang yang dipimpinnya adalah ibarat seorang bapa dalam satu keluarga. Ia tentulah mempunyai hubungan yang rapat dengan setiap orang anggota keluarganya, iaitu perhubungan yang menjamin kebahagiaan dan kebajikan mereka, bukan hanya dari segi lahir atau kepentingan kebendaan semata-mata, tetapi juga dari segi perasaan, kepuasan hati dan jiwa, dan sebagainya.

Tugas pemimpin menurut pandangan Islam adalah merangkumi tugas-tugas agama dan dunia secara sepadu, iaitu segala sesuatu yang dilaksanakan oleh beliau adalah sentiasa terikat dengan nilai-nilai yang ditentukan oleh Islam bagi menjamin kebahagiaan umat di dunia dan di akhirat.

Sifat-sifat pimpinan yang ada pada pemimpin utama Islam, Nabi Muhammad s.a. w. dan para sahabatnya yang lain yang dapat dipetik dari sejarah menunjukkan bahawa bukan setiap orang dalam satu masyarakat itu boleh menjadi pemimpin yang berjaya, atau yang dapat melaksanakan pimpinan yang benar-benar berkesan. Sifat-sifat semulajadi sebagai seorang pemimpin, ditambah dengan kemahiran dan pengalaman yang diperolehi secara formal atau tidak formal adalah menjadi asas berjaya atau tidaknya seorang pemimpin itu, dan berkesan atau tidak berkesannya pimpinan seseorang itu. Dalam Islam, dasar ‘meletakkan orang yang sesuai pada tempatnya yang sesuai’ adalah amat dititikberatkan seperti yang ternyata dalam sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Apabila diletakkan sesuatu urusan itu pada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah tibanya hari kiamat (iaitu saat keruntuhan dan kecelakaannya “,

Pada zaman Rasulullah s.a.w. dan pada zaman para sahabatnya, hal ini amatlah dipentingkan, dan kerana kepentingan perkara inilah maka untuk mengepalai angkatan tentera, Nabi Muhammad s.a.w. memilih seorang panglima yang termasyhur dengan gagah beraninya iaitu Khalid ibn Al-Walid. Pada zaman Khalifah yang pertama, Abu Bakar Al-Siddiq, urusan amanah Baitul Mal diserahkan kepada seorang yang terkenal dengan amanahnya iaitu Abu ‘Ubaidah ibn Al-Jarrah, dan pada zaman Umar ibn Al-Khattab, khalifah yang kedua, tugas ini diserahkan kepada Ali ibn Abi Talib, dan dalam melaksanakan proses ini, tidak pemah timbul masalah pilih kasih atau diskriminasi dalam memilih pemimpin kerana dengan berpegang kepada dasar ini Rasulullah s.a. w. dan para sahabatnya tidak terpengaruh dalam pemilihan mereka dengan dasar ikatan keluarga, sahabat dan sebagainya. Pemilihan itu dilakukan dengan adil berasaskan kepada kelayakan dan sifat-sifat kepimpinan yang ada pada seseorang calon itu.

Rasulullah s.a.w. pemah menolak permohonan seorang pemohon untuk memegang satu jawatan pada zamannya kerana jawatan itu tidak sesuai dengan pemohonnya. Abu Musa pemah menceritakan, “Saya bersama-sama dengan dua orang sepupu saya masuk berjumpa Nabi s.a.w. maka seorang daripada mereka berkata: “Wahai Rasulullah, jadikanlah kami pemerintah bagi sebahagian pemerintahan yang dikumiakan Allah bagimu, ” dan yang seorang lagi pun kemudiannya mengucapkan kata-kata yang sama juga kepada Nabi, lalu Nabi pun menjawab, “Sesungguhnya aku demi Allah tidak dapat memberikan tugas itu bagi sesiapa yang memintanya atau sesiapa yang menghendakinya”. Cerita ini jelas menunjukkan bahawa sesuatu jawatan itu tidak seharusnya diberikan kepada seseorang berdasarkan kepada permohonan dan minat sahaja, tetapi lebih jauh dari itu kelayakan dan kesesuaian kerja dengan pemohonnya adalah penting.

Para pemimpin dalam Islam bukanlah terdiri dari orang-orang yang hanya dilantik mengikut kehendak sebahagian orang-orang yang berkuasa semata-mata, tetapi pemimpin itu juga haruslah terdiri dari calon-calon yang disukai oleh orang ramai dan ia sendiri sentiasa berdampingan dengan orang ramai, mencampuri segala ‘kegiatan masyarakatnya dan sama-sama bekerja dengan orang-orang yang dipimpinnya dalam semua keadaan. Rasulullah ketika memimpin ummah di dalam aman dan perang telah menunjukkan contoh pimpinan yang benar-benar bercorak keIslaman, iaitu ketika beliau turut bersama-sama orang ramai menggali parit di sekeliling kota Madinah ketika menghadapi peperangan Khandaq dan turut bekerja membina masjid di Quba’ ketika beliau sampai ke tempat tersebut pada masa beliau berhijrah dari Mekah. Allah mengisyaratkan hal ini dalam firmanNYa yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu sendiri, berat baginya apa yang kamu susahkan, ia sangat inginkan kebaikan bagi kamu. la pengasih, penyayang kepada orang-orang mukmin”. (Al-Quran: 9-21)

Para pemimpin dan pentadbir juga sentiasa diingatkan oleh Allah supaya melaksanakan sendiri segala apa yang diperintahkan kepada orang lain. Allah berfirman yang bermaksud:

“Apakah kamu menyuruh manusia berbuat kebaikan, pada hal kamu lupakan dirimu (sendiri)? ” (Al-Baqarah: 44)

“Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu berkata apa yang tidak kamu kerjakan, besar kemurkaan di sisi Allah kerana kamu berkata apa yang tidak kamu kerjakan”. (Ash-Shaff: 2:3)

Dan di samping menjadi contoh yang baik untuk orang lain pemimpin juga mestilah bertanggungjawab, mementingkan muslihat umum, berakhlak tinggi, sabar, pandai merancang dan melaksanakan tugas dan lain-lain lagi.

Dalam memilih tenaga manusia untuk sesuatu tugas yang tertentu, Islam mementingkan kebajikan kedua-dua belah pihak, iaitu yang melantik dan dilantik, atau majikan dan pekerja, juga menjaga perhubungan kemanusiaan yang baik supaya segala kerja dapat dilaksanakan dengan licin dan jaya. Seperti yang telah disebutkan di atas, pemimpin Ummah Nabi Muhammad s.a. w. dan para sahabatnya amat berhati-hati ketika memilih calon-calon yang sesuai untuk tugas-tugas yang tertentu, maka demikian jugalah dalam menentukan bayaran upah dan ganjaran kepada para pekerja.

Rasulullah s.a. w. sendiri menetapkan kadar upah yang bersesuaian dengan berat ringannya sesuatu tugas yang dikerjakan oleh seorang pekerja pada zamannya. Beliau berpegang kepada dasar bahawa upah adalah mengikut kadar kerja iaitu dasar yang diambilnya dari dasar umum yang ditegaskan oleh Allah yang bermaksud:

“Dan bagi setiap orang beberapa darjat daripada apa yang mereka kerjakan, dan tidaklah Tuhanmu itu lalai dari apa yang mereka kerjakan”. (Al-An’aam: 32)

“Dan janganlah kamu kurangkan (daripada) manusia akan hak-hak mereka”. (Al-A’ruuf: 85)

Ketentuan kadar upah ini juga hendaklah dibuat sebelum seorang itu memulakan kerjanya dan bayarannya mestilah disegerakan setelah selesai kerja tersebut. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang mengupah seorang pekerja, maka hendaklah ditentukan upahnya”.

dan Nabi bersabda yang bermaksud:

“Berilah upah seorang pekerja itu sebelum kering peluhnya”.

Bagi pihak pekerja pula dalam menjalankan tugas yang diserahkan kepadanya, ia haruslah menunaikannya dengan penuh tanggungjawab, kerana tugas yang diberikan kepadanya itu adalah merupakan satu amanah yang semestinya dikerjakan dengan baik dan penuh tanggungjawab, kerana ia akan disoal oleh Allah tentang amanahnya ini. Dasar umum dalam hal ini adalah terkandung dalam firman Allah yang bermaksud:

“Barangsiapa mengerjakan kebaikan sebesar atom (sekalipun) Ia melihatnya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan sebesar atom (sekalipun) Ia melihatnya”. (AI-Zalzalah: 78)

“Barangsiapa mengerjakan kebaikan maka baginya (ganjaran) sepuluh kali ganda, dan barangsiapa mengerjakan kejahatan, maka tidaklah dibalas melainkan sebanyak (kejahatannya itu, dan mereka tidak akan dianiaya)”. (Al-An’aam: 160)

Islam dalam mewujudkan ikatan perhubungan manusia yang baik sentiasa menekankan dasar persaudaraan sesama mereka. Perhubungan manusia dalam Islam adalah perhubungan yang berasaskan kepada kerjasama, keadilan dan kejujuran. Islam sentiasa menyeru manusia kepada kebajikan, bertimbang rasa, sabar dan sifat-sifat lain yang menjamin perhubungan baik di antara anggota-anggota masyarakat untuk sama-sama bekerja dengan ikhlas dan tekun bagi kebahagiaan dunia dan akhirat. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan buatlah kebaikan sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah engkau membuat kerosakan di bumi, sesungguhnya Allah tidak suka orang­orang yang membuat kerosakan”. (Al-Qasyash: 77)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Create your website with WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: