CIRI-CIRI KESEMPURNAAN IMAN

CIRI-CIRI KESEMPURNAAN IMAN

Datuk Dr. Abdul Monir Bin Yaacob

Islam boleh dihuraikan dari beberapa sudut. Bagi golongan intelektual mereka mengambil pendekatan Islam sebagai suatu cara hidup. Slogan Islam melahirkan “quranic ummah”.

Bagi golongan konservatif mereka memperkenalkan Islam sebagai tuntutan “rukun” yang perlu disempurnakan oleh setiap individu. Rukun tersebut diperjelaskan dalam tuntutan rukun Islam yang lebih bersifat ibadat yang dilakukan oleh individu.

Islam sebagai ajaran yang syumul mencakupi tiga asas utama iaitu akidah, syariah dan akhlak. Akidah berteraskan tauhid. Ia menyentuh kepercayaan yang diikuti dengan tindakan. Kepercayaan dalam diam sahaja tidak cukup, atau pengakuan sahaja juga tidak memadai selagi tidak dilaksanakan dalam bentuk tingkah laku atau amalan.

Masyarakat Islam terdapat di mana-mana sahaja, samada di barat atau di timur. Negeri Cina pada suatu ketika dahulu kita anggap sebagai musuh kerana pegangan ideologi Komunis telah diberi pengiktirafan. Di negeri Cina juga terdapat masyarakat Islam. Bahkan keislaman mereka lebih awal dari kita di rantau ini. Kita mendengar dari sejarah Melaka, seorang panglima dari negeri Cina yang beragama Islam singgah di Melaka. Bahkan catatan sejarah menyatakan Islam telah sampai ke negeri Cina sejak pemerintahan Khalifah Othman lagi. Dalam pemerintahan Kerajaan Bani Umayyah dan Abbasiyah beberapa perutusan telah dihantar ke negeri tersebut. Kesan-kesan sejarah yang terdapat di negeri Cina telah membuka keinginan kita untuk melawat negeri tersebut.

Islam jika dilihat dari segi pakaiannya tentu berbeda. Pakaian lebih mencerminkan kebudayaan sesuatu bangsa. Sudah pasti pakaian untuk bangsa Arab tidak sama dengan pakaian kebangsaan Melayu atau Cina atau Inggeris. Sebenarnya Islam itu melewati “batas-batas daerah dunia”. Sebenarnya Islam tidak boleh dilihat dari luaran sahaja. Kesatuan dan keseragaman terdapat dalam diri Muslim kerana Islam berpusat kepada akidah, syariah dan akhlak yang sama.

Aspek dalaman yang akan dibicarakan adalah mengenal keimanan. Keislaman seseorang boleh diukur dan dinilai dari tindakannya. Tindakan seseorang Muslim akan dipandu oleh imannya. Dalam hadis ada menyatakan tidak sempurna iman seseorang sehingga dia tidak mengasihi saudaranya apa yang dia suka pada dirinya:

Dalam konteks yang lebih luas kesempurnaan iman perlu dilihat dalam diri seseorang. Di antara ciri-ciri kesempurnaan iman terdapat dalam surah al-Hujarat ayat 15 yang menyatakan bahawa orang-orang yang beriman adalah mereka yang beriman dengan Allah dan rasulNya kemudian itu mereka tidak ragu-ragu dan berjihad dengan harta benda dan nyawa pada jalan Allah.

Terjemahan ayat di atas menggariskan tiga ciri utama kesempurnaan iman iaitu hati orang yang beriman itu tidak ada keraguan tentang ajaran Islam. Berjihad dengan harta dan jiwa/nyawa.

Contoh Muslim yang mempunyai ciri-ciri tersebut terdapat pada generasi permulaan Islam. Mereka percaya kepada Islam tanpa ragu-ragu. Menerima Islam sepenuh hati. Mereka patuh dan menyerah sepenuhnya kepada tuntutan Islam, serta lapang dada apabila diberi keputusan tentang sesuatu perkara. Mereka berhijrah meninggalkan kampung halaman dan harta benda kerana Islam. Mereka menggunakan kekayaan untuk menegakkan Islam. Mereka gugur syahid mempertahankan Islam. Mereka adalah teladan sebagai “quranic ummah”.

Untuk melahirkan quranic ummah kita perlu mencontohi perjuangan mereka yang terdahulu yang mempunyai ciri-ciri unggul. Mari kita meninjau diri kita sendiri di mana berada sekarang.

Umat Islam percaya kepada ajaran Islam, namuun masih terdapat golongan masyarakat Islam yang ragu-ragu tentang Islam sebagai sistem yang lengkap.

Dalam Islam terdapat sistem muamalah, seperti sistem Kewangan, Perbankan, Takaful dan Rehan. Bagaimanapun, masih ada umat Islam yang ragu­ragu tentang ketelusan sistem-sistem tersebut. Bahkan/ di negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam masih belum memperkenalkan sistem muamalah Islam. Sepatutnya sistem ini diperkenal dan diperkembangkan dengan lebih berkesan, seperti yang berlaku di Malaysia.

Masyarakat Islam di negara ini sepatutnya merubah pandangan serta peka kepada perubahan yang berlaku. Perubahan yang membawa kebaikan di dunia dan akhirat. Suatu pilihan ke arah yang lebih baik dari segi komitmen kepada tuntutan Islam.

Sungguhpun negara Islam masih dikaitkan dengan kemiskinan dan buta huruf yang tinggi, ia adalah sebahagian dari realiti. Tidak dinafikan ada negara Islam yang kaya dan maju. Imej positif perlu diketengahkan dan memerangi imej negatif yang ditonjolkan oleh media barat. Ini boleh dilakukan dengan perubahan sikap dan nilai di kalangan umat Islam serta dilakukan dalam bentuk tindakan.

Keimanan dalam erti kata yang luas mencukupi usaha manusia supaya memakmurkan bumi. Ini dapat dikaitkan dengan firman Allah dalam surah Hud ayat 60 yang menyatakan bahawa tiada Tuhan’ kecuali Allah. Dia menciptakan manusia dan menyuruh memakmurkan bumi ini.

Iman dan amal digabungkan dalam diri orang Islam. Beriman sahaja tanpa berusaha untuk maju membangunkan dunia ini adalah ibarat langit tanpa hujan. Ajaran Islam menyuruh umatnya berusaha. Tanpa usaha pembangunan tidak tercapai. Beribadat sahaja tanpa amal, dengan mengharapkan belas kasihan orang lain ditolak oleh Islam. Islam menyuruh kita berusaha. Kita tidak boleh maju jika sentiasa mengharapkan bantuan orang lain. Hadis nabi ada menyatakan, tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima.

Hari ini negara pesat membangun. Hasil dari pembangunan telah melahirkan golongan manusia yang berada dari golongan korporat yang kaya. Dahulu kita tidak mendengar orang Melayu jadi jutawan. Keadaan telah berubah. Jutawan Melayu telah meningkat bilangannya. Mereka telah berada dalam kelompok korporat yang berjaya setanding dengan kaum lain. Kita patut berbangga dengan mereka kerana telah menaikkan maruah bangsa.

Islam menuntut orang Islam berjihad dengan harta benda. Hari ini ingatan telah diberikan kepada golongan hartawan ml supaya melaksanakan “tanggungjawab sosial”. Dalam satu kata lain supaya berjihad dengan harta kekayaan yang telah mereka perolehi hasil dari peluang yang disediakan oleh pemerintah. Kekayaan perlu diagihkan terutama kepada golongan yang memerlukannya.

Secara minimum, Islam mewajibkan zakat. Paling tidak zakat fitrah. Bagi setengah golongan mereka telah menyempurnakan zakat perniagaan dan zakat pertanian. Ini adalah sumbangan wajib. Bagaimana dengan sumbangan yang lebih bersifat tanggungjawab sosial. Mereka yang telah berjaya patut berkongsi tanggungjawab dengan pemerintah dalam menunaikan tanggungjawab sosial seperti dalam bidang pendidikan, dengan mengadakan Yayasan-yayasan. Perkara sedemikian berlaku di barat. Bahkan Yayasan seperti ini telah memberi tenaga kepada Institusi Pengajian Tinggi untuk lebih produktif dan inovatif. Islam menggalakkan amalan sedemikian. Ini adalah sebahagian jihad harta yang dituntut oleh Islam.

Dalam menuju wawasan 2020 masyarakat Islam perlu mempunyai VISI tersendiri yang di asaskan kepada tauhid. Kekuatan Tauhid akan dapat mempengaruhi sikap dan tindakan individu ke arah kebaikan. Kemantapan iman akan menjamin pembangunan yang seimbang kerana ia dilakukan oleh individu yang seimbang.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Create your website with WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: