Islam Ialah Tamadun

Islam Ialah Tamadun

Islam mengenal dan mengiktiraf hanya dua bentuk masyarakat sahaja, iaitu masyarakat Islam dan masyarakat jahiliyah.

 “Masyarakat Islam” ialah masyarakat yang di dalamnya dilaksanakan Islam: akidah, ibadah, undang-undang, moral dan cara hidup. Manakala masyarakat jahiliyah itu ialah masyarakat yang Islam tidak dilaksanakan di dalamnya; masyarakat yang tidak dipandu oleh Islam, baik dari segi akidah, konsep, nilai, sistem dan undang-undang, moral dan tata susila.

“Masyarakat Islam” bukanlah sebuah perkumpulan atau organisasi manusia yang menamakan diri mereka “MUSLIM” sedangkan syariat Islam tidak menjadi undang-undang masyarakat itu, walaupun mereka patuh bersembahyang, menunaikan rukun puasa dan naik haji ke Mekah. Bukan juga masyarakat Islam itu yang mereka reka bentukkan bentuk Islam untuk diri mereka sendiri, lain daripada yang telah diatur dan ditetapkan oleh Allah SWT dan telah diajar oleh Rasulullah SAW, dengan memakai nama “Islam liberal” atau “Islam progresif”.

Manakala “masyarakat jahiliyah” pula lahir dalam beraneka bentuk dan rupa, tapi semuanya jahiliyah belaka:­

Ada yang berbentuk masyarakat yang engkar sama sekali akan wujudnya Zat Allah SWT dan membuat tafsiran secara benda terhadap sejarah, melaksanakan sistem apa yang disebutkan sebagai “sosialisme saintifik” sebagai panduan hidupnya.      

Ada pula yang berbentuk sebuah masyarakat yang tidak engkar akan wujudnya Zat Allah SWT, tetapi menghadkan kuasa Allah SWT di dalam urusan yang bersangkutan dengan akhirat sahaja dan enggan mengiktiraf kuasa Allah SWT dalam urusan hidup di dunia. Masyarakat ini tidak mahu menjadikan syariat dan undang-undang Allah sebagai panduan hidup mereka, dan tidak sudi mengambil nilai-nilai Islam sebagai pedoman dalam mengukur sesuatu. Anggota-anggota masyarakat seperti ini dibolehkan beribadat di dalam biara-biara, gereja-gereja dan masjid-masjid, tetapi mereka dilarang menuntut pelaksanaan syariat Allah dalam urusan hidup sehari-hari, dengan demikian maka masyarakat itu dengan sendirinya menolak dan melemahkan kekuasaan dan ketuhanan Allah dan seluruh urusan hidup di bumi ini, sedangkan Allah SWT sendiri telah menyatakan dengan tegasnya bahawa kekuasaan dan ketuhanan-Nya meliputi seluruh langit dan bumi.

Firman Allah:

وَهُوَ الَّذِي فِي السَّمَاء إِلَهٌ وَفِي الْأَرْضِ إِلَهٌ

Maksudnya: “Dan Dialah Tuhan [yang disembah] di langit dan Tuhan [yang disembah] di bumi dan Dialah Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui.”

(Azzukhruf: 84)

Oleh kerana itulah masyarakat seperti itu tidak mengikut agama Allah yang sebenar sebagaimana yang ditegaskan-Nya di dalam firman:

إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ لِلّهِ أَمَرَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ

Maksudnya: “Tidak ada hukuman itu melainkan bagi [kepunyaan] Allah. Ia perintah kamu jangan sembah melainkan Dia [sahaja], [kerana] yang demikian itu adalah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

 (Yusoff: 40)

Dengan sebab yang di atas itulah masyarakat itu menjadi sebuah masyarakat “jahiliyah”, walaupun ia mengiktiraf wujudnya Allah SWT dan walaupun ia memberi kebebasan kepada manusia untuk beribadat di biara-biara, gereja-gereja dan masjid-masjid.

 “Masyarakat Islam” dengan bentuk seperti yang disebut di atas itulah sebenarnya masyarakat yang bertamadun, manakala masyarakat “jahiliyah” dalam segala bentuknya adalah masyarakat “songsang”.

Saya pernah memasang iklan mengenai sebuah buku karangan saya yang masih di dalam percetakan. Buku itu asalnya berjudul: “Menuju masyarakat Islam yang bertamadun”, tetapi dalam iklan kali berikutnya saya buang perkataan “bertamadun” dan judul buku itu diubah menjdai “Menuju Masyarakat Islam” sahaja. Perubahan judul ini rupanya menarik perhatian seorang penulis Al-Jazair (Algeria) yang selalu menulis di dalam bahasa Perancis. Beliau lantas menulis sebuah artikel mengenai perubahan judul ini, dalam mana beliau telah membuat tuduhan bahawa perubahan judul itu berpunca daripada apa yang dinamakan beliau “operasi mempertahankan Islam dari dalam jiwa”. Beliau menyatakan kesalnya atas perubahan judul itu kerana itulah kononnya saya dianggap beliau sebagai tidak layak lagi membuat ulasan masalah itu mengikut keadaan yang sebenar.

Saya tidak ambil hati kepada penulis itu atas sikapnya yang demikian, sebab pada ketika mula-mula menulis judul buku berkenaan, cara berfikir saya masih serupa dengan cara berfikir beliau. Persoalan yang berlegar dalam kepala saya ialah persoalan definisi “tamadun” sama sahaja dengan persoalan yang selalu menari di dalam kepala beliau.

Saya terpaksa mengaku dengan berterus-terang bahawa cara berfikir saya pada ketika itu pun masih belum bebas sepenuhnya dari pengaruh sisa-sisa kebudayaan Eropah yang sama sekali asing dari selera keIslaman, sekali pun arah pemikiran saya begitu jelas ke arah Islam, namun sisa-sisa cara berfikir ala Eropah itu masih lagi mempengaruhi saya. Definisi “tamadun” ala Eropah selalu sahaja bermain-main di dalam ingatan saya. Perkataan ini, kalau tidak penjelasan secukupnya, boleh mempengaruhi para pembaca dengan bayangan konsep asing yang aneh itu.

Perselisihan pendapat itu sebenarnya ialah mengenai definisi “tamadun” dan dengan demikian perlulah persoalan ini dihuraikan denagn agak luas.

Dan akhirnya terserlah jualah kebenaran “Masyarakat Islam” ialah sebenar-benarnya masyarakat yang “bertamadun”. Perkataan “bertamadun” sebenarnya tidak perlu dipakai, kerana ia adalah suatu omong kosong, tidak membawa sesuatu apa pun yang baru.

Bila sahaja kekuasaan tertinggi dalam pemerintahan sebuah masyarakat itu diserah kepada Allah sahaja, dalam bentuk berkuasanya syariat Allah di dalam masyarakat itu, ketika itulah baru terdapat kebebasan dan kemerdekaan penuh umat manusia dari pengabdian diri kepada sesama umat manusia. Inilah yang dinamakan “tamaddun kemanusiaan” kerana tamaddun umat manusia itu mempunyai pokok pangkal yang penting, iaitu kebebasan asasi dan mutlak bagi umat manusia, kehormatan yang sebenar bagi setiap anggota masyarakat, kerana pada hakikatnya kebebasan dan kemerdekaan itu tidak wujud di dalam sebuah masyarakat yang setergah anggotanya menjadi “Tuhan” dan yang setengah lagi menjadi “hamba abdi” yang mesti mematuhi kekuasaan tuannya.

Kita perlu tegaskan bahawa kekuasaan itu tidak hanya terbatas di dalam lingkungan sistem undang-undang sahaja, seperti yang lumrah difahami orang terhadap perkataan “’Syariat”, yang difahami melalui faham yang begitu sempit sekali, sebab fikiran, program, undang-undang dan nilai-nilai, kebiasaan dan adat resam pun merupakan perkara yang mesti dipatuhi oleh setiap individu, iaitu apabila segolongan manusia melakukan kekuasaannya atas golongan lain, dan golongan lain pula patuh menerima kekuasaan itu, maka masyarakat itu tidak layak lagi disebut sebagai sebuah masyarakat yang bebas dan merdeka, kerana ia mengakui kekuasaan sesuatu golongan atas golongan lain, di luar daripada panduan Allah, masyarakat yang satu golongan anggotanya menjadi “Tuhan” manakala satu golongan yang lain menjad “abdi”. Oleh yang demikian masyarakat itu bukanlah sebuah masyarakat yang ber“tamaddun” malah ia adalah sebuah masyarakat yang “songsang”, atau menurut kaca mata Islam, masyarakat itu ialah sebuah masyarakat “jahiliyah”.

 “Masyarakat Islam” ialah satu-satunya masyarakat yang dikawal dan dilindungi oleh Allah Yang Maha Esa. Anggota-anggota masyarakat itu meninggalkan dan membuang jauh segala bentuk pemujaan dan pendewaan kepada sesama manusia untuk melakukan pemujaan dan pendewaan kepada Allah SWT sahaja. Oleh sebab itulah anggota-anggota masyarakat itu menjadi orang yang bebas dan merdeka sepenuhnya, kebebasan yang menjadi paksi keseluruhan tamaddun dan kehormatan umat manusia sebagaimana yang ditakdir Allah sejak azali sewaktu Allah memproklamasikan kepada para malaikat tmtuk melantik manusia sebagai “khalifah”Nya di bumi ini.

Bila sahaja program yang berpunca dari Tuhan Yang Maha Esa menjadi tali pengikat antara umat manusia, dalam mana kedaulatan bagi seluruh umat manusia tidak bersumber dari sebarang kuasa duniawi dalam bentuk pengabdian dan penindasan atas sesama umat manusia nescaya masyarakat itu menjadi sebuah masyarakat yang ideal yang boleh menggambarkan keindahan ciri kemanusiaan, iaitu ciri roh dan fikiran.

Sebaliknya bila sahaja dasar perkauman, kebangsaan, warna kulit dan tanahair, persamaan nasib dan lain-lain lagi, yang menjadi tali pengikat antara kelompok umat manusia, maka jelaslah bahawa dasar-dasar itu tidak menggambarkan ciri kemanusiaan, sebab manusia akan tetap menjadi manusia juga tanpa kebangsaan, tanpa warna kulit dan tanahair, tetapi manusia itu bukan manusia lagi tanpa roh dan fikiran

Di samping itu dengan berdasarkan kebebasan dan kemahuan sendiri manusia boleh mengubah akidahnya, boleh mengubah fikirannya, dan jua mengubah program hidupnya, sebaliknya manusia tidak akan berdaya mengubah kebangsaan dan wana kulitnya, seperti jua dia tidak akan berupaya mengubah terrpat kelahirannya.

Sebuah masyarakat yang di dalamnya manusia berkumpul dan berorganisasi berdasarkan kemerdekaan dan kebebasan kemahuan fitrah kemanusiaan itulah masyarakat yang bertamaddun. Adapun sebuah masyarakat yang di dalamnya manusia berkumpul berdasarkan sesuatu di luar kemerdekaan dan kebebasan fitrah kemanusiaan, maka masyarakat itu adalah sebuah masyarakat yang songsang atau mengikut istilah Islam, masyarakat itu ialah masyarakat “jahiliyah”.

Sesungguhnya masyarakat Islam sahajalah sebuah masyarakat yang anggotanya berkumpul berdasarkan kemerdekaan dan kebebasan. Ia juga sebuah masyarakat yang menganggap “akidah” sebagai rupa bangsa yang mengumpulkan orang-orang berkulit putih, hitam, merah dan kuning, mengumpulkan orang Arab, Romawi, Parsi, Negro dan seluruh bangsa manusia di muka bumi ini menjadi satu umat yang bertuhankan Allah, yang memuja dan menyembah-Nya sahaja. Orang yang paling mulia dan dihormati di dalam masyarakat itu ialah orang yang paling bertaqwa dan yang selainnya adalah setaraf sahaja dalam menjunjung hukum dan perintah Allah.

Apabila “kemanusiaan” manusia itu menjadi nilai yang tertinggi di dalam­ sesebuah masyarakat, dan apabila sifat-sifat “kemanusiaan” di dalam masyarakat itu yang menjadi tumpuan penilaian ketika itulah masyarakat itu menjadi sebuah masyarakat yang bertamaddun. Sebaliknya bila sahaja “benda” – datam bentuk apa pun – yang menjadi nilai tertinggi sesebuah masyarakat sama ada dalam bentuk “teori” seperti dalam tafsiran ala Karl Marx terhadap sejarah, atau dalam bentuk “pengeluaran benda” seperti di Amerika, Eropah dan seluruh negara yang menganggap pengeluaran benda itu sebagai nilai tertinggi, dan kerana itulah pula nilai-nilai kemanusiaan itu dipandang hina dan malah dipijak-pijak, maka masyarakat itu adalah sebuah masyarakat yang “songsang” atau mengikut sebutan Islam masyarakat itu adalah masyarakat “jahiliyah.”

Sesungguhnya masyarakat bertamaddun, atau masyarakat Islam, tidak memandang enteng kepada benda, tidak dalam bentuk teori (dengan menganggapnya sebagai bahan penyusunan alam dan daripadanyalah kita mengambil faedah dan penghasilan) dan tidak pula dalam bentuk “pengeluaran benda”, kerana pengeluaran benda adalah punca kehidupan di dunia ini, yakni sebagai pemberian Allah, tetapi Islam tidaklah pula memandang benda itu sebagai asas semua nilai kemanusiaan, semata-mata kerana hendak mengejar kemewahan benda.

Apabila “nilai kemanusiaan” atau “moral kemanusiaan” yang menjadi asas hidup umat manusia, berkuasa di dalam sebuah masyarakat, nescaya masyarakat itu akan menjadi sebuah masyarakat, yang bertamaddun, dan nilai moral kemanusiaan itu bukanlah suatu perkara yang sukar, tidak pula merupakan suatu perkara yang berubah dan tidak mantap serta tidak punya asas, sebagaimana yang dituduh oleh “pentafsiran ala benda atas sejarah” atau seperti yang dituduh oleh para penganut “sosialisme saintifik”.

Sesungguhnya nilai yang dimaksudkan itu ialah nilai-nilai yang menggalakkan pertumbuhan ciri-ciri yang menjadi milik manusia sahaja dan tidak dimiliki oleh haiwan, nilai-nilai yang menonjolkan sudut-sudut yang membezakan manusia dengan haiwan, bukanlah nilai-nilai yang meng­galakkan pertumbuhan ciri dan sudut yang menyamakan manusia itu dengan haiwan.

Apabila persoalan sudah sampai ke peringkat ini maka lahirlah garis pemisah yang terang dan nyata, yang tidak jadi pak turut kepada aliran fahaman orang yang menamakan dirinya “progresif” dan orang yang mendakwa diri mereka sebagai orang “sosialis saintifik”!

Ketika itu istilah suasana keliling dan kebebasan. masyarakat tidak lagi menjadi kuasa penentu dalam menilai moral dan tata susila, kerana perbezaan suasana masyarakat itu berlaku mengikut nilai yang tetap dan tidak berubah-ubah. Pada ketika itu tiada lagi nilai masyarakat “pertanian”, atau masyarakat “industri”, tiada juga nilai moral “kapitalis” atau nilai moral “sosialis”, tiada moral “borjuis” atau “proletar” yang ada hanyalah nilai moral “kemanusiaan” dan nilai moral “kehaiwanan/kebinatangan” kalaulah perkataan itu boleh disebut atau mengikut pandangan Islamnya, nilai-nilai moral “Islam” dan nilai moral “Jahiliyah”.

Sesungguhnya Islam mengiktiraf nilai moral “kemanusiaan” yang menyebabkan lahirnya aspek yang membezakan manusia dengan haiwan. Islam memang menggalakkan perkembangannya di dalam setiap masyarakat yang menghayati Islam, sama ada masyarakat itu berbentuk sebuah masyarakat “pertanian” atau masyarakat “industri”, sama ada masyarakat itu masih primitif dan hidup dari sumber ternakan atau sebuah masyarakat kosmopolitan, masyarakat orang-orang miskin atau masyarakat orang berada. Islam menatang manusia mendaki ke puncak dengan membawa ciri-ciri yang khusus untuk manusia di samping mengawalnya sungguh-sungguh dari menjunam jatuh membawa ciri-ciri kehaiwanan atau kebinatangan.

Apabila sistem “keluarga” menjadi kaedah utama dalam pembentukan masyarakat, dan keluarga itu dibina di atas asas pembahagian tugas di antara suami isteri, pembahagian tugas dalam melaksanakan kerja, serta keluarga itu memberi perhatian penuh kepada masalah perrbentukan generasi baru dan pendidikan anak-anak; maka masyarakat itu menjadi sebuah masyarakat yang bertamaddun; kerana keluarga dalam bentuk ini, di bawah lindungan program Islam, adalah merupakan tapak dan pangkalan dalam mana nilai-nilai “kemanusiaan” itu diproses dan dilentur, dibentuk dan dipupuk, untuk menjadi panduan generasi muda, sebab nilai-nilai itu tidak mungkin diproses dan dibentuk kecuali dalam unit sebuah keluarga.

Sebaliknya apabila hubungan sex (yang kadang-kadang dinamakan sebagai perhubungan bebas) dan pembentukan keturunan dan zuriat di luar hukum syarak, yang menjadi asas perkembangan masyarakat, apabila hubungan sex antara laki-laki dan wanita dilakukan atas asas memuaskan hawa nafsu yang ganas dan serakah, bukan atas asas pembahagian tugas seperti yang disebut tadi, dalam pembentukan sesebuah keluarga, apabila peranan dan tugas wanita ialah semata-mata menjadi bahan perhiasan dan penglipurlara sahaja apabila kaum wanita ikut menumpukan usaha dan waktunya ke arah pengeluaran benda dan membikin alat produksi negara, dan tidak memberikan perhatiannya kepada masalah membentuk dan menghasilkan “manusia” kerana kononnya pengeluaran benda itu lebih mustahak dan lebih bernilai daripada pengeluaran “manusia” maka pada ketika itu menonjollah ciri “songsang”nya tamadun, dipandang dari sudut kemanusiaan atau tegasnya lahirlah “jahiliyah” dalam kaca mata Islam.

Masalah keluarga dan hubungan sex antara laki-laki dan wanita adalah menampakan persoalan pokok yang menentukan, di dalam menilai sifat sebuah masyarakat, sama ada mundur atau maju, sama ada songsang atau tamaddun, sama ada jahiliyah atau Islam, sebab sesebuah masyarakat yang dipengaruhi oleh nilai-nilai kehaiwanan dan kebinatangan, tidak mungkin menjadi sebuah masyarakat yang bertamaddun, walaupun taraf ekonomi dan ilmu pengetahuannya tinggi melangit, kerana ukuran ini dibuat mengikut kadar maju mundurnya nilai kemanusiaan. Dan sudah pasti sekali ukuran ini tetap dan tidak akan pernah meleset!

Nilai-nilai moral sangat merosot keadaannya di dalam masyarakat jahiliyah, kerana di dalam masyarakat jahiliyah itu aspek-aspek dan ciri-ciri yang membezakan “manusia” dengan “binatang” itu tidak diberi perhatian, malah dikesampingkan langsung. Oleh kerana itulah di dalam masyarakat jahiliyah hubungan sex di luar hukum syarak (dengan perkataan lain “zina”) dan malah hubungan sex antara sama sejenis (homosexual) atau mengikut istilah Islam “liwat” yang terkutuk di sisi undang-undang agama, tidak dipandang sebagai suatu kejahatan moral. Di. dalam masyarakat seperti itu “kejahatan” hampir hanya terbatas di dalam lingkungan persoalan yang ada kaitannya dengan ekonomi dan politik sahaja, dan malah ada yang hanya berkaitan dengan “kepentingan negara” semata-mata. Oleh sebab itulah maka skandal sex antara Christine Keeler dengan bekas seorang Menteri Perang Inggeris – umpamanya – tidak dianggap sebagai suatu kejahatan dalam pandangan masyarakat Inggeris semata-mata kerana mereka berhubungan sex secara zina. Skandal itu dianggap sebagai suatu kejahatan justeru kerana Christine Keeler juga menjadi seorang teman wanita kepada bekas Attache Angkatan Laut Soviet Russia di Negeri Inggeris, iaitu suatu hal yang membahayakan kepentingan Negara kerana bocornya rahsia negara kepada pihak musuh melalui perhubungan beliau dengan kedua orang itu. Hal ini dianggap berbahaya kepada negara kerana bekas Menteri Perang itu telah memberikan keterangan bohong kepada Parlimen mengenai skandai ini. Skandal­-skandal yang sama bentuknya tidak kurang berlaku di Dewan Senate Amerika Syarikat; begitu juga. skandal-skandal lain berupa sindiket pengintipan dan, jaringan penggelapan berita, seperti juga terdapat pegawai-pegawai tinygi kerajaan Inggeris dan Amerika yang melarikan diri ke Soviet Rusia. Hal-hal itu tidak dianggap sebagai kejahatan kerana mereka melakukan hubungan sex secara haram (zina) tetapi justeru kerana perbuatan mereka yang merugikan kepentingan dan mengancam keselamatan negara.

Ramai pengarang, wartawan dan penulis cerpen dan novel yang telah membongkar skandal rahsia dan aneh yang berlaku dengan sebenarnya di dalam masyarakat jahiliyah. Mereka telah menceritakan dengan terus terang tentang kejadian ganjil di sana sini di sekitar hubungan sex bebas; malah mereka telah sanggup menjalankan kempen di kalangan para isteri dan suri rumahtangga dengan mengatakan bahawa perhubungan sex bebas (zina) bukanlah termasuk di dalam golongan skandal yang meruntuhkan moral. Mereka lagi malah sanggup menjalankan kempen bahawa tidaklah termasuk dalam istilah mengkhianati cinta sekiranya seorang isteri berlaku curang terhadap suaminya dengan umpamanya melakukan zina dengan seorang laki-laki lain, asalkan hajat nafsu syahwat dapat ditunaikan, malah mereka menganggap suatu kebodohan bahawa seorang isteri itu masih tetap menjaga kesucian dirinya seandainya si suami didapati lemah tenaga batinnya. Mereka beranggapan bahawa seorang isteri yang mengalami nasib demikian boleh menyerahkan dirinya kepada laki-laki lain dengan penuh kerelaan hati dan dengan penuh “amanah”. Banyak sekali hal-hal seperti ini boleh dibaca melalui cerpen-cerpen dan ruangan pojok juga gambar-gambar kartun serta komik yang beraneka rupa, juga dalam bahan bualan di kaki lima dan di jalan raya yang semuanya membawa pengertian seperti di atas.

Masyarakat model ini adalah masyarakat yang mundur, adalah masyarakat yang “songsang” ditinjau dari sudut “Manusia” dan diukur dengan nilai-nilai tamaddun “kemanusiaan”. Sesungguhnya garis tamad­dun “kemanusiaan” itu bergerak ke arah “pengawasan” terhadap “syahwat kebinatangan” dan membatasnya ke dalam lingkungan “keluarga” berasaskan tugas kemanusiaan, berfungsikan pembinaan generasi manusia bukan bermatlamatkan,kelazatan dan kepuasan sex pembinaan generasi muda yang boleh dilakukan dengan disediakan praserana yang berbentuk ciri-ciri kemanusiaan yang akan menghiasi hidup mereka. Penyediaan praserana itu tidak mungkin dapat dilakukan dengan jayanya kecuali dalam pangkuan kekeluargaan yang dilindungi oleh ketenteraman dan ketenangan jiwa berdasarkan rasa kasih sayang dan hormat menghormati di dalam unit sebuah keluarga. Manakala di dalam masyarat yang dibentuk oleh arahan dan pengaruh yang penuh beracun, yang mengkesampingkan fahaman moral yang sebenar, yang tidak menghormati kesopanan dan ajaran agama di dalam soal hubungan sex, dalam masyarakat seperti ini tidak mungkin wujud praserana untuk membentuk generasi muda “manusia” yang sejati.

Oleh hal yang demikian maka nilai-nilai moral, pengajaran dan hukum-hakam Islam yang menjamin keselesaan hidup manusia yang memang benar-benar layak untuk mengelakkan diri sejauh mungkin dari ciri-ciri kebinatangan.

Dari huraian ini nyatalah bahawa Islam adalah suatu bentuk “tamaddun” mengikut nilai-nilai kemanusiaan yang tetap teguh, nilai yang tidak berganjak dan tidak sudi menjadi pak turut kepada nilai-nilai lain.

Kesimpulannya: Bila sahaja umat manusia itu benar-benar melaksana­kan tugasnya sebagai “khalifah” Allah di bumi-Nya mengikut cara yang betul, iaitu: dengan menumpu dan memurnikan “ubudiyah” semata-mata kepada Allah dan dengan demikian membebaskan diri sepenuhnya daripada “ubudiyah” dan tunduk kepada yang lain daripada-Nya dengan cara menghayati syariat dan undang-undang Allah di dalam segenap aspek hidup dan menolak tegas sahnya (legalitinya) undang-undang dan sistem selain undang-undang Allah, di samping membina kehidupan di atas nilai-nilai moral yang telah ditentukan oleh Allah SWT dan melempar jauh nilai-nilai dan hukum-hukum bikinan para hamba Allah di samping membuat kajian dan mengambil manfaat daripada peraturan-peraturan alam yang telah ditugaskan oleh Allah sejak azali, dan menggunakannya untuk memajukan kehidupan dan mengeluarkan hasil bumi, meneroka rezeki dan menikmati makanan yang telah dikurnia oleh Allah. Memang perlu sekali alam itu diteroka dan diolah dengan menggunakan kepandaian dan keahlian yang telah dikurnia-Nya melalui berbagai bentuk ilmu yang berkenaan dengannya. Bila sahaja umat manusia menggali sumber rezeki dan meneroka bahan-bahan mentah, mendirikan kilang perusahaan, me­laksanakan pembangunan ekonomi dan pemerintahan negara dengan menghayati undang-undang dan syariat Allah apabila itu semuanya melaksanakan di atas asas “LILLAAHI” – kerana Allah, iaitu kerana menunaikan ubudiah kepada Allah, kerana menunaikan amanah Allah yang telah melantik umat manusia menjadi “khalifah”-Nya di muka bumi ini – maka pada ketika itu umat manusia itu ber“tamaddun” sepenuhnya. Ada pun ciptaan, kemajuan dan pembangunan benda sahaja, tanpa menjalankan tugas sebagai “khalifah” dan menjalankan “ubudiah” kerana Allah sahaja, tidak diiktiraf oleh Islam sebagai “tamaddun” sebab kemajuan dan pembangunan benda seperti itu boleh jadi diresapi oleh pengaruh jahiliyah.

Allah SWT telah mempamerkan sifat dan ciri jahiliyah di dalam pembangunan benda di dalam ayat-ayat berikut:

أَتَبْنُونَ بِكُلِّ رِيعٍ آيَةً تَعْبَثُونَ (128) وَتَتَّخِذُونَ مَصَانِعَ لَعَلَّكُمْ تَخْلُدُونَ (129) وَإِذَا بَطَشْتُم بَطَشْتُمْ جَبَّارِينَ (130) فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطِيعُونِ (131) وَاتَّقُوا الَّذِي أَمَدَّكُم بِمَا تَعْلَمُونَ (132) أَمَدَّكُم بِأَنْعَامٍ وَبَنِينَ (133) وَجَنَّاتٍ وَعُيُونٍ (134) إِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ (135)

Maksudnya: “Mengapakah kamu mendirikan pada tiap-tiap tanah tinggi bangunan untuk bermain-main? [maksudnya: untuk bermewah-mewah dan memperlihatkan kekayaan] Dan kamu membuat benteng-benteng [mahli­gai: istana) dengan maksud supaya kamu kekal [hidup di dunia] Dan bila kamu menyeksa, maka kamu menyeksa sebagai orang-orang kejam dan bengis. Kerana itu bertaqwalah kepada Allah dan taatlah kepada-Ku. Dan bertaqwalah kepada Allah yang telah menganugerahkan kepadamu apa yang kamu ketahui. Dia telah menganugerahkan kamu binatang-binatang ternak dan anak-anak, kebun-kebun dan mata air. Sesungguhnya Aku takut kamu ditimpa azab hari yang besar.”

(Asy-syu’araa: 128-135)

Dan firman:

أَتُتْرَكُونَ فِي مَا هَاهُنَا آمِنِينَ (146) فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ (147) وَزُرُوعٍ وَنَخْلٍ طَلْعُهَا هَضِيمٌ (148) وَتَنْحِتُونَ مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا فَارِهِينَ (149) فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطِيعُونِ (150) وَلَا تُطِيعُوا أَمْرَ الْمُسْرِفِينَ (151) الَّذِينَ يُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ وَلَا يُصْلِحُونَ (152)

Maksudnya: “Adakah kamu akan dibiarkan tinggal di sini [di negeri kamu ini] dengan aman. Di dalam kebun-kebun serta mata air, Dan tanaman­-tanaman dan pohon-pohon kurma yang mayangnya lembut, Dan kamu pahat sebahagian dari gunung-gunung untuk dijadikan rumah-rumah dengan rajin. Sebab itu bertaqwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku. Dan jangan kamu taati perintah orang-orang yang melampaui batas. Yang melakukan kerosakan di muka bumi dan tidak mengadakan perbaikan.”

(Asy-syu’araa:146-152)

dan firman Allah:

فَلَمَّا نَسُواْ مَا ذُكِّرُواْ بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُواْ بِمَا أُوتُواْ أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ (44) فَقُطِعَ دَابِرُ الْقَوْمِ الَّذِينَ ظَلَمُواْ وَالْحَمْدُ لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (45)

Maksudnya: “Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membuka semua pintu kesenangan untuk mereka, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa. Maka orang-orang zalim itu pun dimusnah dan dihancurkan sampai ke akar-akarnya. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta Alam.”

(Al-An’aam: 44-45)

Dan firman:

حَتَّىَ إِذَا أَخَذَتِ الأَرْضُ زُخْرُفَهَا وَازَّيَّنَتْ وَظَنَّ أَهْلُهَا أَنَّهُمْ قَادِرُونَ عَلَيْهَآ أَتَاهَا أَمْرُنَا لَيْلاً أَوْ نَهَارًا فَجَعَلْنَاهَا حَصِيدًا كَأَن لَّمْ تَغْنَ بِالأَمْسِ

Maksudnya: “Sesungguhnya perumpamaan kehidupan duniawi ini, adalah seperti air [hujan] yang Kami turunkan dari langit, lalu tumbuhlah dengan suburnya kerana air itu, tanaman-tanaman bumi, di antaranya ada yang dimakan manusia dan binatang-ternakan. Hingga apabila bumi itu telah sempurna keindahannya dan memakai [pula] perhiasannya [maksudnya: bumi yang indah dengan gunung-gunung dan lembah yang menghijau dengan tanamannya] dan pemilik-pemiliknya menyangka bahawa mereka pasti menguasainya [dapat memetik hasilnya], tiba-tiba datanglah kepadanya azab Kami di waktu malam dan siang, lalu Kami jadikan tanaman-tanamannya laksana tanaman-tanaman yang sudah disabit [atau ditual] seakan-akan belum pernah tumbuh kelmarin. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat [Kami] kepada orang-orang yang berfikir.”

 (Yunus: 24)

Kita telah jelaskan di atas tadi bahawa Islam sama sekali tidak memandang rendah kepada benda dan tidak sama sekali memandang rendah kepada teknologi benda, tetapi sebaliknya Islam menganggap corak kemajuan seperti ini, yang berteraskan panduan Allah, adalah satu nikmat Allah untuk umat manusia, yang Allah kurnia kepada umat manusia sebagai balasan ketaatan mereka di dunia ini.

Firman Allah:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (10) يُرْسِلِ السَّمَاء عَلَيْكُم مِّدْرَارًا (11) وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا (12)

Maksudnya: “Maka Aku katakan kepada mereka: “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun.” Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat. Dan membanyakkan harta dan anak-anak kamu, dan mengadakan kebun-kebun untukmu mengadakan [pula di dalamnya] untukmu sungai-sungai.”

(Nuh: 10-12)

dan firman:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ وَلَكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ

Maksudnya: “Jikalau sekiranya penduduk kota [dan kampung] beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan [ayat-ayat Kami] itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.”

(Al-A’raaf: 96)

Yang penting ialah asas, tapak dan pangkalan bagi pembangunan industri, dan nilai-nilai yang mempengaruhi masyarakat, yang menjadi bahan ramuan dalam pembentukan ciri tamadun “kemanusiaan”.

Sesungguhnya pangkalan gerakan dan kaedah pembentukan anggota masyarakat Islam itulah yang menjadikan ia (masyarakat Islam) sebuah masyarakat yang unik, sebuah masyarakat yang tidak boleh diresapi oleh mana-mana jua teori pun yang menjadi asas dan kaedah pembentukan anggota masyarakat jahiliyah kerana masyarakat Islam itu lahir dari suatu gerakan, gerakan yang terus menerus di sepanjang zaman, gerakan yang akan memberi posisi dan tempat kepada setiap individu dalam masyarakat Islam itu, gerakan yang akan menentukan tugas dan fungsi mereka di dalam masyarakat Islam itu.

Gerakan yang menetaskan masyarakat Islam itu pada asalnya ialah suatu gerakan yang datang dari luar daya umat manusia gerakan itu datang dalam bentuk suatu akidah yang Allah kurniakan secara langsung kepada manusia. Gerakan yang melahirkan suatu konsep yang unik mengenai hakikat wujud ini, mengenai hakikat hidup, hakikat sejarah, hakikat nilai-nilai dan hakikat tujuan hidup. Gerakan yang melahirkan suatu program kerja yang lahir dari konsep itu. Cetusan permulaan yang melahirkan gerakan itu tidak datang dari dalam jiwa umat manusia dan tidak pula dari sesuatu bahan benda di dalam alam nyata ini, tetapi seperti telah kita katakan tadi, ia datang dari luar lingkungan bumi nyata, dari luar daya umat manusia. Inilah pokok perbezaan terpenting dalam pembentukan masyarakat Islam yang memisahkannya dari masyarakat jahiliyah.

Dengan menggunakan unsur azali yang ghaib, di luar jangkauan daya manusia dan di luar campur tangan umat manusia itulah, pada asalnya, bermulalah langkah pertama dalam pembentukan masyarakat Islam, disertai dengan kerja melentur pembentukan “manusia”, iaitu manusia yang berimankan akidah yang datang secara langsung dari sumber ghaib itu, dengan kudrat Allah SWT. Bila sahaja satu individu manusia itu mula menerima akidah ini dan mula beriman dengannya maka pada dasarnya bermulalah sudah wujudnya masyarakat Islam itu sebab individu yang satu itu menerima akidah dan iman itu bukan untuk dipendam dan disimpan di dalam hatinya seorang sahaja. Dia pasti akan bergerak dan berjalan membawa akidah itu bersama-samanya.

Inilah tabiat setiap gerakan yang dinamis dan aktif. Kudrat Ilahi yang Maha Tinggi yang menggariskan akidah ini meresap atas seketul hati, Maha Mengetahui bahawa akidah akan mengajak dan mendorong individu bergerak, bergerak terus langkah demi langkah menuju matlamat yang ditentukan.

Bila sahaja orang yang menerima akidah itu genap jumlahnya menjadi tiga orang, maka akidah sendiri akan membisikkan kepada mereka: “kalian telah menjadi sebuah masyarakat Islam yang merdeka dan bebas”, sebuah masyarakat yang terpisah jauh daripada masyarakat jahiliyah yang tidak menganut akidah seperti ini dan tidak punya nilai-nilai asasi akidah itu.

Kemudian tiga orang tadi akan bertambah jumlahnya menjadi sepuluh, seratus, seribu, dua belas ribu hingga berkembang dan bertapaklah secara pastinya sebuah masyarakat Islam itu.

Semasa kedua bentuk masyarakat ini meneruskan perjalanan masing-masing, sering pula timbul pergeseran, yang satu baru berumur setahun jagung, mendukung akidah dan konsep hidup sendiri, manakala yang satu lagi menderita kerana kehilangan pengikut. Pergeseran itu dengan sendirinya tambah menampakkan perbezaan antara kedua bentuk masyarakat itu, perbezaan konsep dan cara bergerak, walaupun masyarakat Islam masih belum mengisytiharkan kelahirannya di tengah­-tengah masyarakat jahiliyah yang masih berpengaruh itu.

Tetapi “gerakan” yang menjadi tanda pengenalan akidah Islam dan menjadi cap masyarakat baru ini, masyarakat yang lahir dari cetusan akidah, tidak akan membiarkan para anggotanya tinggal diam membung­kam. Setiap individu di dalam masyarakat baru itu akan bergerak, bergerak dari menonjolkan akidahnya, bergerak dalam pembentukan anggota masyarakatnya, bergerak menarik anggota masyarakat jahiliyah supaya menukar haluan menjadi anggota masyarakat baru ini, bergerak mengikis bersih sisa-sisa pengaruh jahiliyah yang masih melekat pada diri anggota­-anggotanya. Pendek kata pergeseran itu tidak dapat dielakkan; ia akan berjalan terus, dan jihad tidak akan berhenti hingga ke hari kiamat.

Posisi setiap individu di dalam masyarakat baru ini akan ditentukan oleh peranan dan aktivitinya di dalam menghayati gerakan. Pembentukan masyarakat baru ini pun akan sempurna dengan wujudnya koordinasi di antara peranan individu dan peranan posisi masing-masing.

Pertumbuhan dan proses seperti ini akan merupakan dua ciri penting di dalam pembentukan masyarakat Islam. Ia tidak boleh memakai cara lain dan tidak boleh menggunakan konsep yang lain, juga tidak dapat dilaksanakan melalui sistem yang lain, sistem yang disadur dari konsep lain.

Sesungguhnya masyarakat Islam itu, seperti yang telah dihuraikan melalui definisi “tamaddun” di atas, bukanlah hanya suatu lagenda sejarah yang boleh disebut-sebut sebagai bahan kenangan sahaja. Ia adalah suatu keperluan semasa dan cita-cita masa depan. Ia adalah suatu matlamat yang dicari-cari dan ditunggu-tunggu ketibaannya oleh seluruh umat manusia sejagat, baik hari ini mahupun besok, supaya kemanusiaan itu dapat keluar menyelamatkan diri daripada jurang jahiliyah yang menyeksanya sekarang, sama ada jahiliyah itu di kalangan bangsa-bangsa yang telah maju di lapangan industri dan ekonomi dan sama ada di kalangan bangsa-bangsa yang sedang membangun.

Sesungguhnya nilai yang kita sebutkan secara ringkas tadi ialah nilai-nilai kemanusiaan, nilai yang tidak akan boleh dicapai oleh umat manusia kecuali di dalam lingkungan “tamaddun Islam” iaitu tamaddun yang lengkap dengan nilai-nilai kemanusiaan bukan nilai kemajuan ekonomi, perindustrian atau ilmu-ilmu pengetahuan yang kosong dari nilai-nilai kemanusiaan.

Nilai-nilai itu bukanlah juga berbentuk “khayalan ideal” malah ia adalah nilai-nilai yang real dan praktikal, boleh dilaksanakan melalui kesungguhan usaha manusia – di bawah lindungan fahaman Islam yang sebenar – boleh dilaksanakan di dalam setiap suasana tanpa perikat kepada bentuk kehidupan yang sedang wujud juga tanpa terikat kepada kemajuan industri, ekonomi dan kebudayaan; sebab ia tidak menghalang sebarang kemajuan dalam segenap aspek hidup, tetapi dalam waktu yang sama ia tidak mendiamkan diri di dalam negeri-negeri yang masih mundur di dalam lapangan itu. Sesungguhnya kemajuan dan pembangunan boleh berjalan di dalam suasana mana pun yang menerima dan melaksanakan nilai-nilai ini. Adapun bentuknya secara benda, maka sama sekali tiada batas baginya, kerana ia tetapjuga melaksanakan nilai-nilai itu.

Dengan demikian maka masyarakat Islam itu – dari segi bentuk dan rupanya, dari segi jenis suasana yang wujud bukanlah suatu lagenda seja­rah yang statis tetapi wujud dan tamaddunnya adalah bergantung kepada nilai-nilai sejarah yang tetap. Apabila kita menyebut “sejarah” maka tidaklah kita maksudkan selain daripada bahawa nilai-nilai itu telah dikenali di dalam sejarah yang tertentu. Ia bukanlah hasil bikinan sejarah dan tiada sangkut paut dengan masa dan zaman tertentu. Ia adalah suatu hakikat dan kebenaran yang datang dari Tuhan untuk manusia dari sumber ketuhanan, di luar realiti hidup manusia dan di luar daripada wujudnya benda.

Tamaddun Islam boleh dibentuk di dalam berbagai corak dan rupa, baik corak benda atau teknikal; asal sahaja nilai-nilainya mempunyai asas yang kukuh; kerana nilai itulah yang menjadi tonggak tamaddun ini. Asas-asas itu ialah:

Pengabdian diri kepada Allah Yang Maha Esa.

Berorganisasi atas asas akidah.

Keagungan dan keluhuran nilai kemanusiaan berbanding dengan     benda.

Berfungsinya nilai-nilai kemanusiaan yang menyebabkan berkembang­nya sifat “kemanusiaan” manusia, bukan sifat “kebinatangan”.”

Kesucian keluarga.

Melaksanakan tugas “khilafah” di bumi Allah dengan mengikut pandu­an Allah dan setia   memegang janji dan amanah Allah.

Mematuhi syariat sahaja di dalam semua urusan khilafah ini.

Sesungguhnya tamaddun Islam yang didirikan di atas asas yang tetap itu boleh terpengaruh dan boleh pula menyesuaikan dirinya dengan kemajuan industri, ekonomi dan sains, kerana ia hendak menggunakan segala kemajuan itu sesuai dengan perkembangan suasana. Oleh kerana itu, mahu tak mahu, bentuk lahirnya boleh berubah dan bertukar ganti, selaras dengan keadaan yang sentiasa berubah dan terlentur, untuk membolehkan segenap corak masyarakat manusia di seluruh dunia menyesuaikan diri di dalam lingkungan masyarakat Islam sejagat. Sifat ketelenturan (flexibility) bukanlah suatu perkara yang dipaksa-paksakan ke atas akidah Islam yang menimbulkan tamaddun tadi, sebab sifat ketelenturan (flexibility) memang menjadi tabiat akidah Islam. Perlu diingat, bahawa walaupun ia flexible, bukanlah bererti ia tidak punya batas langsung, bukanlah bererti ia longgar dan loose langsung.

Sesungguhnya Islamlah yang telah membawa tamaddun ke tengah­-engah hutan belantara Afrika di kalangan umat manusia yang masih bertelanjang bogel. Justeru dengan wujudnya Islam di sanalah orang-orang yang tadinya masih bertelanjang itu telah pandai menggunakan pakaian dan memasuki arena tamaddun berpakaian yang memang terkandung di dalam pengajaran Islam secara langsung. Melalui Islam juga umat manusia melangkah keluar dari kancah kemunduran untuk meneroka kekayaan benda. Islam jugalah yang membawa mereka keluar daripada cara hidup bersuku sakat dan berkabilah untuk menjadi suatu umat dan bangsa yang tidaksudi lagi menjadi penyembah “totem” untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT, Tuhan sekalian alam yang terbentang luas ini. Yang demikian, manakah lagi tamaddun itu, kalau bukan dalam bentuk ini? Inilah tamaddun yang sepadan dengan suasana yang seperti ini. Ada pun bila Islam menghadapi masyarakat yang lain, maka ia akan melahirkan (dengan memakai nilainya yang tetap itu) suatu bentuk suasana yang berlainan pula, yang mempergunakan segala fakta yang wujud di dalam masyarakat itu sendiri pula.

Demikianlah perkembangan tamaddun Islam itu, tidak berhenti setakat suatu tahap tertentu sahaja, baik dalam batas kemajuan industri, ekonomi dan sains, bahkan ia terus berkembang meladeni gerak hidup masyarakat manusia. Hanya dasar-dasar dan nilai-nilainya tetap tidak berubah dan berganjak membimbing umat manusia ke mercu tamaddun sepanjang zaman, membawa bentuk Islam azali, yang telah dijamin oleh Allah SWT di dalam firmannya:

صِبْغَةَ اللّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللّهِ صِبْغَةً

Maksudnya: “Sibghah [celupan] Allah dan siapakah yang lebih baik sibghah [celupan]nya daripada Allah?”

(Al-Baqarah:138)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Create your website with WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: