Al-Quran Adalah Cahaya dan Pemandu Ke Syurga

Al-Quran Adalah Cahaya dan Pemandu Ke Syurga

Al-Quran adalah kitab hidayah. Ia menjadi petunjuk yang menyinari perjalanan kehidupan Muslim.

Kehidupan di dunia ini memerlukan panduan untuk diikuti. Allah SWT yang mencipta makhluk telah menyediakan manual untuk menjadi panduan dalam hidup ini. Manual itu tidak lain adalah al-Quran. Firman Allah SWT:

ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ ٢

Maksudnya: Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa (al-Baqarah: 2).

Dalam hadis Nabi SAW, baginda memberi pesanan kepada Abu Dzar:

عَن أبِى ذَرٍّ قَالَ قُلْتُ يَارَسُولَ اللهِ أَوصِنِى قَالَ عَلَيْكَ بِتَقْوَى اللهِ فَإِنَّهُ رَأْسُ الأَمْرِ كُلِّهِ قُلْتُ يَارَسُولَ اللهِ زِدْنِي قَالَ عَلَيْكَ بِتِلاَوَةِ الْقُرْءَانِ فَإِنَّهُ نُورٌلَكَ فِى الأَرْضِ وَذُخْرٌلَكَ فِى السَّمَاءِ

“Daripada Abu Dzar bahawa beliau telah meminta Rasulullah SAW memberikannya satu pesanan (yang berpanjangan) Rasulullah bersabda: semaikanlah rasa takut (bertakwa) kepada Allah, sesungguhnya takut kepada Allah itu kepala (sumber) bagi segala amalan kebaikan. Abu Dzar meminta supaya Rasulullah SAW menambah lagi. Sabda Rasulullah SAW: Hendaklah kamu membaca al-Quran kerana ia adalah cahaya bagimu di bumi (dunia) dan bekalan untuk mu di langit (akhirat). (HR Ibn Hibban No: 361). Status: Hasan Lighairihi.

Baginda juga mengingatkan:

عن جابر عن النبي صلى الله عليه وسلم قال اَلقُرْءَانُ شَافِعٌ مُشَفَّعٌ وَمَاحِلٌ مُصَدَّقٌ مَن جَعَلَهُ أَمَامَهُ قَادَهُ إِلَى الْجَنَّةِ وَمَن جَعَلَهُ خَلْفَ ظَهْرِهِ سَاقَطَهُ إِلَى النَّارِ

Daripada Jabir RA dari Nabi SAW bersabda: Al-Quran adalah pemberi syafaat (yang mana) syafaatnya akan diterima dan sebagai penghujah (yang mana) hujahnya disokong. Barangsiapa meletakkan al-Quran di hadapannya maka al-Quran akan memandunya ke syurga dan barangsiapa yang meletakkan al-Quran di belakangnya maka al-Quran akan mencampakkannya ke neraka” (HR Ibn Hibban No: 124) Status: Hadis Sahih

Membaca al-Quran akan mendapat ganjaran berganda. Abdullah bin Mas’ud RA meriwayatkan sabda Nabi SAW:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لاَ أَقُولُ الْم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakana yang ألم itu satu huruf. Bahkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (HR Tirmizi No: 2910) Status: Hadis Hasan

Ayuh, kita mendampingi al-Quran sebagai teman kita. Selain membacanya, berusahalah mempelajari dan memahami kandungan al-Quran agar al-Quran menjadi hidayah buat kita.

Berbuka Dengan Rotab atau Tamar atau Air

Berbuka Dengan Rotab atau Tamar atau Air

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَى رُطَبَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْرَاتٌ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تُمَيْرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ قَالَ أَبُو عِيسَى وَرُوِيَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُفْطِرُ فِي الشِّتَاءِ عَلَى تَمَرَاتٍ وَفِي الصَّيْفِ عَلَى الْمَاءِ

Daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW selalu berbuka dengan kurma basah (rotab) sebelum solat, jika baginda tidak mendapatinya, maka (baginda berbuka) dengan kurma kering (tamar) dan jika tidak mendapatkan kurma kering, baginda berbuka dengan meneguk air tiga kali. Abu ‘Isa berkata, ini merupakan hadis hasan gharib. Abu ‘Isa berkata lagi, diriwayatkan juga bahawa Nabi SAW berbuka pada musim dingin dengan kurma dan pada musim panas dengan air. (Sunan Tirmizi No: 696) Dar Kutub Ilmiyyah Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW akan berbuka terlebih dahulu sebelum menunaikan solat Maghrib.

2. Rasulullah SAW kebiasaannya akan berbuka puasa dengan rotab (kurma basah, lembut dan baru).

3. Jika tiada rotab, Rasulullah SAW akan berbuka dengan tamar (kurma kering).

4. Seandainya ketiadaan rotab dan tamar, Rasulullah SAW akan berbuka dengan air.

5. Pada musim sejuk, Rasulullah SAW akan berbuka dengan tamar (kurma kering)

6. Pada musim panas, baginda SAW akan berbuka dengan meminum air.

7. Rotab dan Tamar merupakan makanan paling kaya kandungan gula glukosa sekitar 55% dan 45% fruktosa.

8. Glukosa dalam kurma (rotab dan tamar) akan cepat berubah menjadi frutose, kemudian diserap melalui sistem pencernaan untuk menjadi tenaga dengan cepat. Penyerapan gula kurma dalam tubuh manusia sangat cepat antara 30 dan 45 minit berbanding nasi yang memerlukan lebih kurang 4 jam untuk dicernakan. Justeru, berbuka puasa dengan kurma dapat memberi tenaga segera kepada tubuh manusia di samping dapat mencegah keletihan yang bersangatan.

9. Pengambilan kurma dalam pemakanan boleh mengelakkan daripada sembelit, penyakit jantung dan merendahkan kolesterol jahat. Kurma mengandungi peratusan serat tidak larut dan larut air antara 10 dan 20%. Serat tidak larut air sangat penting untuk membantu pergerakan najis dalam sistem penghadaman manusia seterusnya boleh mencegah sembelit. Manakala, serat larut air penting untuk mencegah penyakit jantung, dan mencegah peningkatan kolesterol jahat dalam darah.

Melewatkan Sahur Menyegerakan Berbuka

Melewatkan Sahur Menyegerakan Berbuka

عَنْ أَبِي ذَرٍّ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِبِلَالٍ أَنْتَ يَا بِلَالُ تُؤَذِّنُ إِذَا كَانَ الصُّبْحُ سَاطِعًا فِي السَّمَاءِ فَلَيْسَ ذَلِكَ بِالصُّبْحِ إِنَّمَا الصُّبْحُ هَكَذَا مُعْتَرِضًا ثُمَّ دَعَا بِسَحُورِهِ فَتَسَحَّرَ وَكَانَ يَقُولُ لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا أَخَّرُوا السَّحُورَ وَعَجَّلُوا الْفِطْرَ

Daripada Abu Dzar RA bahawa Nabi SAW bersabda pada Bilal: “Wahai Bilal, kalau subuh telah beranjak ke langit maka itu bukanlah subuh, subuh itu nampak seperti ini, “lalu baginda menyuruh untuk sahur dan baginda pun sahur seraya bersabda: “Umatku akan selalu dalam kebaikan selama mengakhirkan sahur dan mempercepat berbuka.” (Musnad Ahmad No: 20996) Dar Ihya Turath Arabi. Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW adalah contoh dalam kita melakukan ibadat termasuk amalan berbuka dan bersahur ketika berpuasa.

2. Antara amalan yang perlu dicontohi ketika berpuasa ialah segera berbuka apabila masuk waktu berbuka.

3. Melewatkan bersahur juga merupakan amalan Rasulullah SAW dan para sahabat yang kita digalakkan mengikutinya.

4. Waktu sahur dilewatkan seperti yang diceritakan oleh Anas bin Malik RA dari Zaid bin Tsabit:

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً

“Kami makan sahur bersama Nabi Muhammad SAW lalu kami solat (subuh) berjamaah”, Anas berkata kepada Zaid: “berapa jarak waktu antara azan (subuh) dan sahur?” Zaid menjawab: “sekitar bacaan al-Quran 50 ayat” (Sahih Bukhari No: 550) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Berdasarkan hadis ini, jarak waktu selesai sahur Nabi SAW dengan waktu subuh sangat dekat, hanya sekitar jangkaan waktu bacaan 50 ayat al-Quran yang dibaca dengan kadar sederhana, tidak cepat dan tidak lambat (sekitar 10 hingga 15 minit sebelum subuh) yang juga disebut waktu imsak (atas dasar berhati-hati).

Amr B. Maimun al-Audi menyatakan, “Para sahabat Muhammad SAW adalah orang-orang yang paling bersegera dalam berbuka dan paling terakhir (lewat) dalam bersahur.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 4/199)

Semoga kita dapat mengikuti sunah Nabi SAW dengan bersegera berbuka apabila masuk waktu dan melewatkan sahur.

Sahur Dengan Kurma Kering

Sahur Dengan Kurma Kering

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نِعْمَ سَحُورُ الْمُؤْمِنِ التَّمْرُ

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW baginda bersabda: Sebaik-baik (makanan) ketika seseorang mukmin bersahur adalah tamar (kurma kering).” (Sunan Abi Daud No: 2345) Maktabah Asriyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Bersahur adalah sunnah Rasulullah SAW.

2. Sebaik-baik makanan untuk bersahur adalah kurma kering

3. Syeikh Abd al-Muhsin al-‘Abbad mensyarahkan hadis ini menyebut: “Pada hadis ini menunjukkan pujian pada sesiapa yang bersahur dengan tamar, kerana pada tamar itu terdapat kekuatan yang tersendiri. Terdapat satu hadis sahih yang menceritakan, “Rumah yang tiada tamar padanya, maka akan lapar penghuninya”, kerana tamar merupakan makanan asasi yang utama di sisi mereka. Hal ini menunjukkan bahawa bersahur dengan tamar itu dipuji, kerana perkataan ni’ma (نِعْمَ) ini menunjukkan sighah pujian sebagaimana yang diketahui. (Syarh Sunan Abi Daud, oleh Syeikh Abd al-Muhsin al-‘Abbad, 8/255)

4. Kurma merupakan makanan paling kaya kandungan gula glukosa sekitar 55% gula dalam kurma berbentuk glukosa, sedangkan 45% lagi membentuk fruktosa.

5. Glukosa dalam kurma akan cepat berubah menjadi fruktosa, kemudian diserap melalui sistem pencernaan untuk menjadi tenaga. Khususnya jaringan yang perlu tinggi energi, seperti: sel-sel otak, sel-sel saraf, sel-sel darah merah dan sel-sel tulang belakang.

6. Selain glukosa, kurma juga mengandung sejumlah lemak, protein, dan beberapa vitamin seperti vitamin A, B2, B12. Kurma mengandung beberapa mineral, terutama kalsium, sulfat, sodium, fosfor, potassium, magnesium, florin, kuningan, manganese, cobalt, zinc, serta sejumlah selulosa.

At-Thabrani dalam Mu’jam al-Kabir, dari Uqbah bin Amir RA

أن النبي صلى الله عليه وسلم أخذ حفنة من تمر، فقال: نعم سحورٌ للمسلم

Bahawa Nabi SAW pernah mengambil segenggam kurma, kemudian bersabda, “Ini sebaik-baik hidangan sahur orang Muslim.” (Mu’jam al-Kabir, 17/282).

Jika kita memiliki kurma, selain mengambil nasi bersama ikan dan sayur di waktu sahur, elok juga makan sedikit kurma kering.

Sahur Waktu Mustajab Berdoa

Sahur Waktu Mustajab Berdoa



عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

Daripada Abu Hurairah RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Allah Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia pada setiap akhir sepertiga malam lalu berfirman, “Siapa sahaja yang berdoa kepada-Ku, maka Aku tunaikan untuknya. Sesiapa sahaja yang meminta kepada-Ku, Aku berikan kepadanya. Sesiapa sahaja yang memohon ampun kepada-Ku, Aku ampunkannya.” (HR Bukhari No: 1094) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sepertiga akhir malam adalah waktu istimewa untuk ahli ibadah (sekitar jam 3 pagi hingga sebelum subuh).

2. Waktu akhir sepertiga malam (waktu sahur) merupakan waktu mustajab doa (doa diperkenan).

3. Waktu akhir sepertiga malam (waktu sahur) waktu Allah mengampunkan dosa kepada yang memohon keampunan.

وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُون

Ketika waktu sahur (akhir-akhir malam), mereka berdoa memohon keampunan” (QS. Adz Dzariyat: 18)

4. Rugilah mereka yang bangun di penghujung malam hanya untuk makan sahur atau ke bilik air semata-mata.

Rebutlah peluang waktu istimewa ini dengan solat sunat seperti tahajud dan berdoa serta memohon keampunan daripada dosa.

Jadikan ibadat Ramadan kali ini menyuburkan amalan kita bagi memburu taqwa dan menyebar rahmah.

Sahur Waktu Mustajab Berdoa

Sahur Waktu Mustajab Berdoa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

Daripada Abu Hurairah RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Allah Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia pada setiap akhir sepertiga malam lalu berfirman, “Siapa sahaja yang berdoa kepada-Ku, maka Aku tunaikan untuknya. Sesiapa sahaja yang meminta kepada-Ku, Aku berikan kepadanya. Sesiapa sahaja yang memohon ampun kepada-Ku, Aku ampunkannya.” (HR Bukhari No: 1094) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sepertiga akhir malam adalah waktu istimewa untuk ahli ibadah (sekitar jam 3 pagi hingga sebelum subuh).

2. Waktu akhir sepertiga malam (waktu sahur) merupakan waktu mustajab doa (doa diperkenan).

3. Waktu akhir sepertiga malam (waktu sahur) waktu Allah mengampunkan dosa kepada yang memohon keampunan.

وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُون

Ketika waktu sahur (akhir-akhir malam), mereka berdoa memohon keampunan” (QS. Adz Dzariyat: 18)

4. Rugilah mereka yang bangun di penghujung malam hanya untuk makan sahur atau ke bilik air semata-mata.

Rebutlah peluang waktu istimewa ini dengan solat sunat seperti tahajud dan berdoa serta memohon keampunan daripada dosa.

Jadikan ibadat Ramadan kali ini menyuburkan amalan kita bagi memburu taqwa dan menyebar rahmah.

Sahur Itu Barakah

Sahur Itu Barakah

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ فَلَا تَدَعُوهُ وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Daripada Abi Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda: “makan sahur itu barakah, maka janganlah kalian tinggalkan meskipun salah seorang dari kalian hanya minum seteguk air, kerana sesungguhnya Allah ‘azza wajalla dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang makan sahur.” (HR Ahmad No: 10664) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Makan ketika bersahur itu memiliki keberkatan. Antara bentuk barakah dari makan sahur adalah mampu memberikan tenaga, menguatkan semangat, dan meringankan beban bagi mereka yang berpuasa.

2. Bersahurlah kita sebagai mengambil barakah atau kebaikan dan kelebihan, walaupun hanya dengan seteguk air.

3. Ibn Hajar al-‘Asqalani mensyarahkan hadis ini: “Berkat pada sahur terhasil daripada sudut yang pelbagai, iaitu mengikut sunnah, serta berlawanan dengan ahli kitab, dan ianya menguatkan tenaga untuk melakukan ibadah puasa, serta menambahkan semangat untuk berpuasa, menahan daripada perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar, penyebab memberi sedekah kepada yang meminta, dan sebab kepada berzikir dan berdoa, waktu mustajab untuk berdoa, dan waktu niat untuk berpuasa bagi yang lupa berniat sebelum tidur. (Lihat Fath al-Bari, 4/140)

4. Allah dan para malaikat berselawat ke atas orang yang makan dan minum untuk bersahur. Selawat Allah ke atas orang yang bersahur adalah pujian-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang bersahur, manakala selawat para malaikat ke atas mereka yang bersahur pula merupakan doa pengampunan dari malaikat buat mereka yang bersahur.

5. Waktu sahur itu sendiri pula termasuk antara waktu mustajab berdoa, waktu terbaik beribadah, dan waktu diampunkan bagi mereka yang memohon keampunan.

6. Keberkatan bersahur terbahagi kepada dua jenis keberkatan:

a. Keberkatan Syar’iyyah: iaitu keberkatan dalam mengikut sunnah baginda Rasulullah SAW, mendapat ganjaran dan pahala, penyebab kepada berzikir, berdoa, beristighfar pada waktu sahur yang merupakan waktu mustajab doanya serta beroleh keampunan.

b. Keberkatan Badaniyah: iaitu keberkatan pada sahur tersebut memberikan bekalan nutrien dan tenaga kepada badan serta menguatkan semangat untuk berpuasa, dan menahan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar.

Bersahur Membezakan Puasa Muslim

Bersahur Membezakan Puasa Muslim

عَنْ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ

Daripada Amru Ibnu Al-Ash RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Perbezaan antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur.” (HR Muslim No: 1836) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Ibadah puasa yang diwajibkan ke atas umat Islam sama juga dengan ibadat puasa yang telah pun diwajibkan kepada ahli kitab (yahudi dan nasrani). Tetapi terdapat beberapa perbezaan di antaranya ialah :

a. Umat Islam diwajibkan berpuasa setahun sekali iaitu pada bulan Ramadhan.
b. Disunatkan bagi orang Islam yang hendak berpuasa makan sahur sebelum masuk waktu subuh.

2. Ibadat puasa kita perlu berbeza dengan ibadat puasa ahli kitab iaitu dengan kita makan sahur sebelum fajar.

3. Bersahurlah walaupun dengan seteguk air atau sebiji kurma.

4. Umat Islam yang berpuasa dengan niat ikhlas kerana Allah akan mendapat ganjaran pahala yang melimpah-limpah di akhirat dan beroleh berbagai-bagai pertolongan di dunia lagi.

Bagi yang berpuasa sebaiknya bersahurlah sebagai mencontohi amalan Rasulullah SAW dalam ibadat puasa dan ia membezakan ibadat puasa orang Islam dengan puasa ahli kitab.

Memasuki Syurga Menerusi Pintu Ibadat

Memasuki Syurga Menerusi Pintu Ibadat

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ نُودِيَ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا خَيْرٌ فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلَاةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّلَاةِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجِهَادِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الْجِهَادِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الرَّيَّانِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا عَلَى مَنْ دُعِيَ مِنْ تِلْكَ الْأَبْوَابِ مِنْ ضَرُورَةٍ فَهَلْ يُدْعَى أَحَدٌ مِنْ تِلْكَ الْأَبْوَابِ كُلِّهَا قَالَ نَعَمْ وَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang menginfaqkan dua jenis (berpasangan) dari hartanya di jalan Allah, maka dia akan dipanggil dari pintu-pintu syurga; (lalu dikatakan kepadanya): “Wahai ‘Abdullah, inilah kebaikan (dari apa yang kamu amalkan). Maka barangsiapa dari kalangan ahli solat dia akan dipanggil dari pintu solat dan barangsiapa dari kalangan ahli jihad dia akan dipanggil dari pintu jihad dan barangsiapa dari kalangan ahli puasa dia akan dipanggil dari pintu ar-Rayyan dan barangsiapa dari kalangan ahli sedekah dia akan dipanggil dari pintu sedekah”. Lantas Abu Bakar Ash-Shidiq radliallahu ‘anhu bertanya: “Demi bapa dan ibuku, jika seseorang dipanggil diantara pintu-pintu yang ada, itu sebuah kepastian, namun apakah mungkin seseorang akan dipanggil dari semua pintu?”. Rasulullah menjawab: “Benar, dan aku berharap kamu termasuk diantara mereka”. (HR Bukhari No: 1764). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Ramadan bulan infak. Orang yang menginfak sepasang daripada hartanya di jalan Allah (banyak @ berterusan), dia akan dipanggil dari pintu-pintu syurga.

2. Amalan fardu seperti solat, puasa, zakat dan haji yang dilakukan semasa di dunia, akan menyediakan daripada ibadat tersebut, antara pintu-pintu ke syurga.

3. Mereka yang ahli solat, ahli jihad, juga ahli sedekah, akan dipanggil menerusi pintu-pintu di syurga antaranya pintu solat, pintu jihad dan pintu sedekah untuk masuk ke syurga.

4. Ahli puasa akan dipanggil dari pintu syurga yang bernama ar-Rayyan

5. Orang yang melaksanakan semua ibadat, semua pintu ibadat di syurga akan memanggil untuk masuk ke syurga melalui pintu masing-masing.

Jom kita suburkan dan sempurnakan ibadat SOLAT, JIHAD, SEDEKAH dan PUASA. Semoga ia memantapkan keperibadian kita dan menjadi antara pintu-pintu Syurga buat kita.

Ar-Rayyan Pintu Khas Syurga Untuk Orang Berpuasa

Ar-Rayyan Pintu Khas Syurga Untuk Orang Berpuasa

عَنْ سَهْلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُونَ فَيَقُومُونَ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ

Daripada Sahl RA, Nabi SAW telah bersabda: “Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang diberi nama Ar-Rayyan, iaitu pintu masuk bagi orang yang berpuasa di hari kiamat nanti. Tidak akan ada seorangpun yang masuk melewati pintu tersebut kecuali orang yang berpuasa. Lalu dikatakan kepada mereka; Mana orang yang berpuasa?, maka orang yang berpuasa berdiri menghadap (memasukinya). Tidak akan ada seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut selain mereka. Apabila mereka telah masuk semuanya, maka pintu itu ditutup dan tidak akan ada lagi seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut”. (HR Bukhari No: 1896) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar dan kedudukannya di sisi Allah SWT sangat mulia di mana Allah SWT menyediakan pintu khas memasuki syurga yang dinamakan Ar-Rayyan kepada orang yang berpuasa. Malaikat yang menjaga pintu tersebut akan menyeru dan memanggil orang yang berpuasa untuk dimasukkan ke dalam syurga melaluinya dan tiada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak sahaja.

2. Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim menyebut: Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa dan kemuliaan orang yang berpuasa.

3. Pintu tersebut dinamakan “Ar-Rayyan” yang berasal dari kalimah “Array” dari segi bahasa membawa maksud titisan air hujan yang pertama. Kiasan kepada orang yang berpuasa apabila memasukinya akan hilanglah segala kehausannya selama-lamanya sebagaimana apabila kita sesat di padang pasir yang panas dalam keadaan kehausan dan apabila disebutkan air maka akan terasa kehausan itu semakin berkurangan walaupun sebenarnya kita belum meminumnya lagi. Bayangkanlah apabila kita dapat menikmati air tersebut tatkala kehausan. Betapakah nikmatnya tidak dapat diperkatakan.

4. Al-Rayyan membawa maksud: Orang yang tidak merasa dahaga. Ia kalimah atau sifat yang sangat sesuai kepada orang yang berpuasa.

5. Berkata Mulla al-Qari: “Maksud al-Rayyan itu sama ada dirinya sendiri tidak merasa dahaga kerana terdapat banyaknya sungai-sungai yang mengalir dan buah-buahan yang berada di sampingnya atau kerana yang sampai kepadanya (memasukinya) akan hilang rasa dahaga pada hari kiamat.”

6. Syurga itu indah dan terlalu mahal harganya. Sudah pasti untuk memasukinya memerlukan rahmat Allah SWT yang Maha Luas. Di bulan Ramadhan ini, rahmat Allah SWT mencurah-curah untuk hamba-Nya yang berpuasa dan sudah disediakan kepada orang yang berpuasa satu pintu untuk memasukinya. Orang yang berpuasa Ramadan, pada hari kiamat akan memasukki syurga melalui pintu Ar-Rayyan (pintu yang dikhaskan kepada orang yang berpuasa).

Ayuh kita laksanakan ibadah puasa dengah sungguh-sungguh, semoga kita menjadi salah seorang yang akan memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan.

Create your website with WordPress.com
Get started