Perbetulkan Kesalahan Pemimpin

Perbetulkan Kesalahan Pemimpin

Kitab Hadis Sahih Ibnu Hibban

Oleh USTAZ AZHAR IDRUS

DARIPADA Atha’ bin Yasar iaitu qadi negeri Madinah berkata: Aku telah mendengar akan Ibnu Mas’ud r.a. dan beliau berkata:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: سَيَكُونُ أُمَرَاءُ مِنْ بَعْدِي يَقُولُونَ مَا لَا يَفْعَلُونَ، وَيَفْعَلُونَ مَا لَا يَؤْمَرُونَ، فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، لَا إِيمَانَ بَعْدَهُ

Ertinya: “Telah bersabda oleh Rasulullah sollallahu alaihi wasallam : Lagi akan ada selepas ketiadaan aku nanti pemimpin-pemimpin yang bercakap akan perkara yang tidak mereka lakukan dan mereka lakukan apa yang tidak disuruh mereka lakukan. Maka barang siapa yang bersungguh melawan akan mereka dengan tangannya maka dia orang mukmin dan barang siapa yang bersungguh melawan akan mereka itu dengan lidahnya maka dia orang mukmin dan barang siapa yang bersungguh melawan akan mereka itu dengan hatinya maka dia orang mukmin. Tiada lagi iman selepas itu.”

Hadis ini ada dikeluarkan oleh Imam Muslim dari jalan yang lain dan Bukhari pada At-Tarikh dan Ahmad dan Al-Bazzar dan lainnya juga oleh selainnya.

Keterangan

Pemimpin yang adil

Seorang pemimpin mempunyai tanggungjawab besar dan secara langsung di dalam urusannya memikul amanah dan tugas berat kepada rakyat yang dipimpinnya bahkan seorang pemimpin akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah terhadap kepimpinannya.

Oleh kerana itulah pemimpin yang adil adalah manusia yang pertama mendapat naungan pada hari akhirat nanti sebagaimana tersebut di dalam hadis Nabi sollallahu alaihi wasallam.

Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi sollahu alaihi wasallam bersabda:

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ إِمَامٌ عَادِلٌ

Ertinya: “Tujuh golongan Allah berikan mereka berteduh pada hari tiada teduhan melainkan teduhan-Nya yaitu pemimpin yang adil…” (Hadis riwayat Bukhari)

Berkata ulama:

( الإِمَام الْعَادِل ) الْمُرَاد بِهِ : صَاحِب الْوِلَايَة الْعُظْمَى , وَيَلْتَحِقُ بِهِ كُلُّ مَنْ وَلِيَ شَيْئًا مِنْ أُمُور الْمُسْلِمِينَ فَعَدَلَ فِيهِ . وَأَحْسَن مَا فُسِّرَ بِهِ الْعَادِل : أَنَّهُ الَّذِي يَتَّبِعُ أَمْر اللَّه بِوَضْعِ كُلّ شَيْء فِي مَوْضِعه مِنْ غَيْر إِفْرَاط وَلا تَفْرِيط . وَقَدَّمَهُ الإمام العادل فِي الذِّكْرِ لِعُمُومِ النَّفْع بِهِ

Ertinya: “Makna imam yang adil itu ialah pemimpin yang besar dan sekalian mereka yang menguruskan segala urusan muslimin dan dia berlaku adil padanya dan makna yang sangat elok ialah pemimpin yang mengikut akan perintah Allah dengan meletakkan suatu pada tempatnya tanpa berlebihan dan didahulukan sebut pemimpin yang adil itu kerana meratai manfaatnya.”

Dan adalah sebab pemimpin disebut sebagai orang yang pertama mendapat kelebihan bernaung di bawah naungan Allah pada hari kiamat kerana apabila dia adil maka sekalian rakyat akan mendapat manfaatnya dan merasai kebaikannya. Ada pun seorang ketua keluarga jika dia adil maka hanya anak dan isterinya sahaja yang mendapat manfaat dan kebaikannya.

Pemimpin tidak boleh bercakap bohong

Rasulullah sollallahu alaihi wasalam selalu berpesan supaya pemimpin itu adil dan memberi amaran supaya meninggalkan sifat suka berbohong dan melakukan kezaliman ke atas rakyatnya.

Diriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar Al-Muzani r.a. beliau berkata:

إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ إِلَّا حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

Ertinya: “Sungguhnya aku telah mendengar akan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda: Tiada dari seorang yang Allah jadikannya memimpin akan rakyat kemudian mati ia dalam keadaan menipu akan rakyatnya melainkan Allah mengharamkan atasnya syurga.” (Hadis riwayat Muslim)

Dan pada hadith riwayat Imam Ahmad:

أَيُّمَا رَاعٍ غَشَّ رَعِيَّتَهُ فَهُوَ فِي النَّارِ

Ertinya: “Mana-mana pemimpin yang membohongi rakyatnya maka dia dalam neraka.”

Berkata Imam Nawawi telah berkata Al-Qadhi ‘Iyadh:

مَعْنَاهُ بَيِّنٌ فِي التَّحْذِيرِ مِنْ غِشِّ الْمُسْلِمِينَ لِمَنْ قَلَّدَهُ اللَّهُ تَعَالَى شَيْئًا مِنْ أَمْرِهِمْ وَاسْتَرْعَاهُ عَلَيْهِمْ وَنَصَبَهُ لِمَصْلَحَتِهِمْ فِي دِينِهِمْ أَوْ دُنْيَاهُمْ

Ertinya: “Maknanya ialah memberi amaran daripada menipu kaum muslimin bagi mereka yang dilantik sebagai pemimpin oleh Allah pada urusan mereka itu dan memelihara rakyat dan menunaikan kebajikan mereka itu pada dunia dan akhirat mereka itu.” (Kitab Syarah Muslim)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا يُكَلِّمُهُمُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمْ قَالَ أَبُو مُعَاوِيَةَ: وَلَا يَنْظُرُ إِلَيْهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ: شَيْخٌ زَانٍ، وَمَلِكٌ كَذَّابٌ، وَعَائِلٌ مُسْتَكْبِرٌ

Ertinya: “Tiga golongan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka pada hari kiamat dan tidak akan membersihkan mereka. Kata Abu Mu’awiyah: Tiada memandang akan mereka itu dan bagi mereka azab yang sangat pedih iaitu orang tua yang berzina dan pemimpin yang berdusta dan orang miskin yang sombong.” (Hadis riwayat Muslim)

Contoh pembohongan yang selalu dilakukan oleh pemimpin itu ialah ketika mereka hendak mendapatkan jawatan dan kuasa mereka membuat pelbagai janji manis yang dapat menarik hati rakyat untuk memberi sokongan. Seperti jika mereka berkuasa mereka akan mendahulukan kebajikan rakyat dari kebajikan diri mereka dan mereka akan sentiasa berdamping dengan rakyat supaya senang rakyat mengadu kesusahan mereka dan mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyenangkan kehidupan rakyat. Tetapi apabila kuasa sudah di tangan dan sudah dilantik memegang jawatan mereka tidak pun mendahulukan kebajikan rakyat tetapi mementingkan mengaut kekayaan sedapat mungkin dan mereka tidak datang kepada rakyat sebagaimana yang telah dijanjikan. Bahkan rakyat pun susah untuk bertemu dengan mereka dan mereka bukan bersungguh-sungguh hendak menyenangkan kehidupan rakyat tetapi bersungguh-sungguh mengkayakan diri dan kaum kerabat dan kroni mereka sahaja, sehingga dapatlah dilihat pakaian mereka semakin cantik dan kenderaan mereka semakin mewah dan rumah semakin besar dan duit bertambah banyak.

Disebut dalam hadis di atas:

يَقُولُونَ مَا لَا يَفْعَلُونَ، وَيَفْعَلُونَ مَا لَا يَؤْمَرُونَ

Ertinya: “Mereka bercakap apa yang mereka tidak lakukan dan mereka lakukan apa yang mereka tidak diperintahkan.”

Sungguhnya pemimpin yang seperti ini akan mendapat susah diakhirat dan Nabi sollallahu alaihi wasallam mendoakan minta Allah Taala menyempitkan kehidupan pemimpin seperti ini.

Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah berdoa:

اللَّهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَاشْقُقْ عَلَيْهِ وَمَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَرَفَقَ بِهِمْ فَارْفُقْ بِهِ

Ertinya: “Ya Allah siapa yang menjadi pemimpin atas urusan umatku kemudian dia susahkan atas rakyatnya maka susahkanlah atasnya dan siapa yang menjadi pemimpin atas urusan umatku lalu dia mudahkan akan rakyatnya maka mudahkanlah dengannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Wajib tegur pemimpin lakukan salah laku

Hukum menegur salah laku adalah wajib samada yang terlibat dengan salah laku itu seorang pemimpin tinggi atau lainnya.

Ada orang berkata tidak boleh menegur pemimpin kerana ia akan mengaibkan parti atau jemaah maka perkataan ini bukan dari ajaran Islam. Sungguhnya Islam mengajar umatnya siapa sahaja yang melakukan kesalahan wajib ditegur sekalipun imam yang sedang menunaikan solat.

Dengan menegur salah laku pemimpin inilah jemaah akan menjadi kuat dan berkat dan mendiamkan salah laku pemimpin sebenarnya adalah meruntuhkan jemaah.

Telah diriwayatkan daripada Tamim bin Aus Ad-Dari r.a. sungguhnya Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda:

الدِّينُ النَّصِيحَةُ قُلْنَا لِمَنْ قَالَ لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

Ertinya: “Bermula agama itu nasihat. Kami berkata: Bagi siapa? Sabdanya: Bagi Allah dan bagi kitab-Nya dan bagi Rasul-Nya dan bagi pemimpin sekalian orang Islam dan orang awam mereka itu.” (Hadis riwayat Muslim)

Menegur dan menasihati pemimpin itu sebenarnya tanda sayang kepada mereka kerana jika dibiarkan tanpa ditegur dan dinasihati maka mereka akan bertambah rosak dan telah jelas dalam hadis-hadis sahih menegur salah laku mereka itu di dalam hati adalah iman yang paling lemah dan tidak menegur dan membenci langsung bahkan membela pemimpin yang salah laku itu itu alamat bagi tiadanya iman.

Telah diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri r.a. berkata: Aku telah dengar akan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda :

مَنْ رَأَى مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ

Ertinya: “Barang siapa melihat akan satu kemunkaran maka hendaklah dia ubahnya dengan tangannya maka jika dia tidak mampu maka dengan lisannya maka jika dia tidak mampu maka dengan hatinya. Bermula yang demikian itu ialah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim dan Ibnu Majah dan Tirmizi dan An-Nasaie dan lainnya)

Sesungguhnya menegur salah laku pemimpin itu adalah jihad yang sangat besar dan dipuji oleh agama dan ialah amalan para sahabat r.a. dan salafussolih.

Kerana itu Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda:

فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، لَا إِيمَانَ بَعْدَهُ

Ertinya: “Maka barangsiapa yang bersungguh melawan akan mereka dengan tangannya maka dia orang mukmin dan barang siapa yang bersungguh melawan akan mereka itu dengan lidahnya maka dia orang mukmin dan barang siapa yang bersungguh melawan akan mereka itu dengan hatinya maka dia orang mukmin. Tiada lagi iman selepas itu.”

Bermula maksud berjihad ke atas pemimpin yang tidak melaksanakan tanggungjawab itu ertinya bersungguh menasihati mereka dan menegur salah laku mereka dan jika mereka degil maka hendaklah ditukar dengan orang lain.

Diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri r.a. beliau telah berkata: Telah bersabda oleh Rasulullah sollallahu alaihi wasallam:

أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ

Ertinya: “Jihad yang paling afdhal ialah berkata benar di hadapan penguasa yang jahat.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud dan At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Semoga semakin ramai umat Islam yang berani menegur salah laku pemimpin umat Islam dan menasihati mereka dan semoga Allah membimbing para pemimpin umat Islam dan memberi kekuatan ke atas mereka untuk menunaikan segala tanggungjawab dan amanah kepada rakyat.

Wallahua’lam

Posted on 1 Disember 2021 by Muafakat Pondok Malaysia

Posted in Adab Islam, Lensa Isu

Tinggalkan komen

https://muafaqatpondok.wordpress.com/category/lensa-isu/

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Create your website with WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: