Jauhi Prasangka Dan Mencari Aib Orang


Jauhi Prasangka Dan Mencari Aib Orang

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: “Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (Sahih Bukhari No: 5604) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Orang beriman dilarang berprasangka buruk kepada orang lain kerana ia akan mendorong kepada perbuatan menuduh tanpa bukti dan akan menjadi dosa besar.

2. Ibnu Sirin berkata: “Jika sampai kepadamu berita yang tidak kamu sukai tentang saudaramu, maka carilah uzur untuknya. Jika kamu tidak mendapati uzur maka katakan, barangkali dia memiliki uzur yang aku tidak mengetahuinya.

3. Islam menyuruh agar tidak mendiamkan diri jika kemungkaran berlaku di hadapan kita dengan cara mencegah atau menasihat secara hikmah mengikut kemampuan, bukan dengan cara maki hamun.

4. Muslim dilarang mencari-cari isu atau kelemahan orang lain. Lebih-lebih lagi isu atau kelemahan itu ditulis dan ditularkan di media elektronik seperti FB, Whatsapp, telegram dan sebagainya hingga mengaibkan peribadi seseorang.

5. Setiap kita juga dilarang saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci. Raikanlah perbezaan yang ada pada kita dengan saling bermaafan.

6. Setiap Muslim dituntut agar berusaha menjaga tali persaudaraan sesama Muslim.

Menjaga persaudaraan itu wajib seperti wajibnya solat dan puasa dengan menjauhi sangka buruk, tidak mencari kelemahan dan aib orang lain, jangan berdengki, elakkan membenci, tidak membelakangkan orang lain dan bantu sahabat dengan mencegah dia dari melakukan maksiat.

Muflis Di Akhirat

Muflis Di Akhirat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أتَدْرُونَ مِن الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ لَا لَهُ دِرْهَمَ وَلَا دِينَارَ وَلَا مَتَاعَ قَالَ الْمُفْلِسُ مِنْ أُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ يَأْتِي بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ عِرْضَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُقْعَدُ فَيَقْتَصُّ هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Tahukah kalian siapakah yang disebut dengan orang yang muflis?” Para sahabat menjawab; “Orang yang muflis menurut kami wahai Rasulullah, adalah orang yang tidak punya dirham dan dinar serta harta benda.” Baginda bersabda: “Seorang muflis daripada kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan pahala solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) dia juga membawa dosa mencela orang ini, menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan memukul orang ini (dan seumpamanya), lalu diberikan kepada orang ini sebahagian daripada pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil dosa-dosa mereka tadi dan ditompokkan ke atasnya hingga akhirnya dia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa)” (Musnad Ahmad No: 8062) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Orang yang muflis di akhirat bukan kerana tidak memiliki wang ringgit serta harta semasa di dunia.

2. Orang yang muflis di hari kiamat pada awalnya datang dengan pahala hasil amal ibadat semasa di dunia (pahala solat, puasa, zakat dan amal solleh yang lain) namun pahalanya habis kerana terpaksa membayar hutang pada orang lain.

3. Muflis kerana pahala yang ada terpaksa membuat bayaran hutang dosa yang dilakukan semasa di dunia antaranya dosa mencela, menghina, menuduh, menyebarkan berita palsu, mengumpat dan memfitnah orang lain sama ada melalui lisan mahupun tulisan sehingga habis segala pahalanya.

4. Muflis juga disebabkan pahala yang ada akhirnya habis kerana terpaksa membayar hutang yang belum dijelaskan semasa didunia seperti mengambil harta orang lain, mencederakan serta menumpahkan darah tanpa hak.

5. Muflis kerana pahala yang ada telah habis, sedangkan hutang dosa dengan orang lain masih ada. Akhirnya terpaksa menanggung dosa orang lain.

Jangan biarkan kita menjadi MUFLIS di akhirat nanti.

Orang Yang Enggan Masuk Syurga

Orang Yang Enggan Masuk Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى

Daripada Abu Hurairah RA, bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan, ” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, siapa yang enggan?” Nabi menjawab: “Siapa yang taat kepadaku masuk syurga dan siapa yang mendurhakaiku dialah orang yang enggan.” (HR Bukhari No: 6737) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap umat Nabi Muhammad SAW akan masuk ke syurga dengan syarat mentaati dan mengikuti apa yang ditunjukkan Rasulullah SAW. Melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala yang dilarang.

2. Taat dan patuh itu antaranya dengan mentauhidkan Allah serta istiqamah dalam melaksanakan syariat Allah seperti menunaikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan puasa Ramadhan, berbakti kepada kedua orang tua, menjaga dari perkara yang haram seperti perbuatan zina, minum yang memabukkan, serta perkara haram yang lain.

3. Orang yang enggan dan tidak mahu mentaati syariat yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulullah SAW adalah orang yang enggan untuk masuk syurga. Orang tersebut mencegah dirinya untuk masuk ke dalam syurga dengan melakukan amal keburukan dan meninggalkan syariat yang diwajibkan.

4. Wajib bagi setiap muslim untuk mentaati segala perintah Allah, serta mengikuti Nabi Muhammad SAW dalam setiap syariat yang baginda bawa. Firman Allah:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya” (Al Hasyr: 7)

Marilah kita sempena bulan Maulidurasul ini menjadi orang yang akan masuk syurga bukan orang yang enggan.

Amalan Yang Amat Digalakkan

Amalan Yang Amat Digalakkan

Selain daripada amalan wajib yang dituntut kepada setiap Muslim seperti solat waktu, puasa Ramadan juga ibadat Zakat, terdapat juga ibadat sunat yang amat digalakkan.

Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلَاثٍ بِصِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَيْ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَرْقُدَ

Daripada Abu Hurairah RA katanya; “Sahabat akrabku SAW mewasiatkan kepadaku untuk melakukan tiga perkara, berpuasa tiga hari setiap bulan, melaksanakan solat sunat dhuha dua rakaat setiap hari, dan melakukan solat witir sebelum tidur.” (HR Muslim No: 1182) Status: Hadis Sahih

Biasanya bila kita sebut wasiat, ia merupakan suatu amanah yang tidak boleh tidak perlu dilaksanakan. Dalam hadis di atas ia bukannya bermaksud wajib namun wasiat berupa ikrar atau pengakuan untuk disempurnakan. Rasulullah SAW telah meninggalkan pesanan agar dapat kita laksanakan. Antaranya:

a. Berpuasa sunat tiga hari setiap bulan
b. Melaksanakan solat sunat dhuha dua rakaat
c. Melakukan solat witir sebelum tidur

Orang yang berpuasa tiga hari sebulan menyamai ganjarannya sebulan penuh (kerana kebaikan itu digandakan dengan sepuluh kali ganda). Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَامَ الْأَبَدَ صَوْمُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ الشَّهْرِ صَوْمُ الشَّهْرِ كُلِّهِ

Barangsiapa berpuasa tiga hari dalam satu bulan, sama halnya dengan berpuasa sebulan penuh.” (HR Muslim No: 1967) Status: Hadis Sahih

Bagi yang melaksanakan solat sunat Dhuha, antara kelebihannya adalah dua rakaat solat Dhuha menyamai kita telah melaksanakan sedekah terhadap 360 sendi di dalam badan kita.

Daripada Abi Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلَامَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ، فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ، وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ، وَنَهْيٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ، وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنَ الضُّحَى

“Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat Dhuha.” (HR Muslim No:720).

Sementara tuntutan kepada solat sunat witir pula, Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّكُمْ خَافَ أَنْ لاَ يَقُومَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ فَلْيُوتِرْ ثُمَّ لْيَرْقُدْ وَمَنْ وَثِقَ بِقِيَامٍ مِنَ اللَّيْلِ فَلْيُوتِرْ مِنْ آخِرِهِ فَإِنَّ قِرَاءَةَ آخِرِ اللَّيْلِ مَحْضُورَةٌ وَذَلِكَ أَفْضَلُ

“Siapa di antara kalian yang khuatir tidak boleh bangun di akhir malam, hendaklah ia witir sebelum tidur. Dan siapa yang yakin mampu bangun di akhir malam, hendaklah ia witir di akhir malam, kerana bacaan di akhir malam akan dihadiri (oleh para Malaikat) dan hal itu adalah lebih utama.” (HR. Muslim No: 755) Status: Hadis Sahih

Ayuh kita melaksanakan wasiat Rasulullah SAW yang merupakan sunat muakkad (suatu amalan yang amat digalakkan) kepada mereka yang dikasihi Rasulullah SAW iaitu puasa sunat tiga hari sebulan, solat sunat dhuha dua rakaat dan solat witir. Moga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk melaksanakannya.

Membalas Jasa Ibu bapa

Membalas Jasa Ibu bapa

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاسْتَأْذَنَهُ فِي الْجِهَادِ فَقَالَ أَحَيٌّ وَالِدَاكَ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ

Abdullah bin ‘Amru radliallahu ‘anhuma berkata: “Datang seorang laki-laki kepada Nabi SAW lalu meminta izin untuk pergi berjihad. Maka Baginda bertanya: “Apakah kedua orang tuamu masih hidup?” Laki-laki itu menjawab: “ya”. Maka Baginda berkata: “Kepada keduanyalah kamu berjihad (berbakti) “.(HR Bukhari No: 2782) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Berkhidmat dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah dituntut seperti membantu dari sudut kewangan, penjagaan terutama semasa mereka tidak sihat atau tua serta kasih sayang.

2. Berkhidmat dan berbakti kepada kedua ibu bapa adalah sebahagian daripada jihad.

3. Ada sahabat yang Rasulullah SAW tidak izinkan untuk pergi berjihad dan diminta berbakti kepada kedua ibu bapanya yang masih hidup.

4. Berbakti juga dituntut selepas ibubapa meninggal dunia. Antaranya Menunaikan hutang-hutang yang wajib iaitu hutang dengan Allah SWT seperti puasa, haji, nazar dan juga hutang kepada manusia. Hadis Nabi SAWdaripada Ibn Abbas RA,

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا قَالَ: نَعَمْ قَالَ: فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan ke atasnya puasa Ramadhan (meninggalkan puasa). Adakah aku perlu qadha’ puasa bagi pihaknya? Rasulullah SAW bersabda: “Ya, kerana hutang dengan Allah lebih berhak untuk tunaikan.” (HR Bukhari No: 1953)

Berbuat baiklah kepada ibu bapa yang telah berjasa kepada kita. Sama ada mereka masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

Amalan Buat Si Mati

Amalan Buat Si Mati

Sebagai anak, antara tanggungjawab kepada ibu bapa adalah berbuat baik kepada keduanya sama ada semasa mereka masih hidup juga selepas kematian keduanya. Antara amalan anak yang soleh sebagai tanda berbuat baik kepada kedua ibu bapa adalah mendoakan keduanya.

1. Doa dan istighfar.

Sabda Nabi SAW:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ‏

“Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” (HR Muslim No:1631)

Imam al-Nawawi mengulas di dalam al-Azkar dengan katanya: Telah ijma’ ulama bahawa doa untuk orang-orang yang sudah mati bermanfaat bagi mereka dan pahalanya sampai kepada mereka. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.” (al-Hasyr: 10)

Rasulullah SAW berdoa:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا

“Ya Allah, Ampunkanlah dosa orang yang hidup di kalangan kami, yang mati, yang kecil, yang besar, lelaki, perempuan, yang hadir dan yang ghaib. (HR Abu Daud No: 3201)

2. Bersedekah untuk kedua orang tua. ‘Aisyah RA meriwayatkan perihal Sa’d bin Ubadah yang bertanya kepada Baginda SAW:

إنَّ أمِّي افتُلتَتْ نفسُها وأظنُّها لو تكلَّمَتْ تصدَّقَتْ فهل لها أجرٌ إن تصدَّقتُ عنها قال: نعمْ تصدق عنها

“Sesungguhnya ibuku meninggal dunia secara tiba-tiba (dan tidak memberikan wasiat), dan aku mengira jika ia boleh berbicara, maka ia akan bersedekah. Maka, apakah dia akan memperoleh pahala jika aku bersedekah atas namanya (dan aku pun mendapatkan pahala)? Beliau menjawab: “Ya, maka bersedekahlah untuknya.” (HR Muslim, No. 1004)

Para ulama bersepakat bahawa boleh bersedekah ke atas nama orang yang telah meninggal sama ada dengan menggunakan harta si mati atau menggunakan hartanya sendiri.

3. Melunaskan hutang bagi pihak ibu dan ayah. Nabi SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

“Siapa yang mati sedangkan ada baginya puasa qadha’ maka hendaklah walinya berpuasa bagi pihaknya.” (HR Bukhari No:1952)

Ibn Abbas R.Anhuma:

‏جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا فَقَالَ ‏”‏ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكَ دَيْنٌ أَكُنْتَ قَاضِيَهُ عَنْهَا ‏”‏ ‏.‏ قَالَ نَعَمْ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى ‏”‏

Bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi SAW, lalu berkata: Wahai Rasulullah, Sesungguhnya ibuku telah meninggal, dan dia mempunyai puasa (yang belum diganti) selama sebulan, apakah aku perlu tunaikan untuknya? Lalu baginda berkata: “sekiranya ibumu mempunyai hutang, apa kau akan bayar hutang untuknya?” Lelaki itu berkata: “Ya”. Maka berkata Nabi SAW: “Hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan”(HR Muslim No: 1148)

Pahala adalah hak orang yang beramal. Jika ia menghadiahkan kepada orang tuanya atau mana-mana saudara Islamnya, maka hal itu tidak ada halangan sebagaimana ia menghadiahkan harta untuk orang lain di waktu hidupnya.

Anak yang soleh akan berusaha menjelaskan hutang ibu bapa termasuk hutang pada manusia.

Allah SWT memberikan banyak peluang kepada seseorang untuk berbuat baik atau berbakti kepada orang tua walaupun mereka sudah meninggal dunia.

Pahala Berterusan Walaupun Sakit dan Musafir

Pahala Berterusan Walaupun Sakit dan Musafir

أَبَا بُرْدَةَ بْنَ أَبِي مُوسَى وَاصْطَحَبَ هُوَ وَيَزِيدُ بْنُ أَبِي كَبْشَةَ فِي سَفَرٍ وَكَانَ يَزِيدُ يَصُومُ فَقَالَ لَهُ أَبُو بُرْدَةَ سَمِعْتُ أَبَا مُوسَى مِرَارًا يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Abu Burdah bin Abu Musa bahawa ia menemani Yazid bin Abu Kasyabah dalam suatu perjalanan, dan pada waktu itu Yazid sedang berpuasa. Abu Burdah berkata kepadanya; Saya berkali-kali mendengar Abu Musa berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang hamba sakit atau dalam bermusafir (menempuh perjalanan), maka dicatat baginya pahala kebaikan sebagaimana ketika ia bermukim (menetap di suatu tempat) dan dalam keadaan sihat.” (HR Ahmad No: 18848) Status: Isnad Tsiqah

Pengajaran:

1. Laksanakan amal ibadah setiap masa khususnya ketika kita sihat dan bermukim (menetap di suatu tempat).

2. Orang yang sakit, walaupun tidak dapat mengerjakan amal soleh seperti mana ketika dia sihat, dia akan tetap mendapat ganjaran pahala jika semasa dia sihat, dia melaksanakan amal tersebut. (contohnya semasa dia sihat, setiap magrib dia ke masjid dan mendengar kuliah – waktu dia sakit, tidak dapat menghadirinya – Malaikat tetap mencatat ganjaran pahala seolah-olah dia hadir)

3. Allah juga memberi ganjaran yang sama kepada orang yang bermusafir. Contohnya amalan puasa sunat yang dilakukan semasa tidak bermusafir. Ketika dia bermusafir, dia tidak berpuasa. Dia turut mendapat pahala puasa tersebut.

Marilah kita laksanakan amal soleh semasa kita sihat dan tidak kemana-mana. Moga Allah memberikan ganjaran yang sama walaupun kita tidak dapat laksanakan semasa kita sakit dan bermusafir.

Jaminan Masuk Syurga

Jaminan Masuk Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ صَائِمًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ تَبِعَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ جَنَازَةً قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ أَطْعَمَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مِسْكِينًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ عَادَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مَرِيضًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا اجْتَمَعْنَ فِي امْرِئٍ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW pernah bertanya: “Siapakah di antara kalian yang pagi ini sedang berpuasa?” Abu Bakar menjawab, “Aku.” Baginda bertanya lagi: “Siapa di antara kalian yang hari ini telah menghantar jenazah?” Abu Bakar menjawab: “Aku.” Baginda bertanya lagi: “Siapa di antara kalian yang hari ini telah memberi makan orang miskin?” Abu Bakar menjawab: “Aku.” Baginda bertanya lagi: “Siapa di antara kalian yang hari ini telah menjenguk orang sakit?” Abu Bakar menjawab, “Aku.” Selanjutnya Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah semua itu ada pada seseorang kecuali dia pasti akan masuk syurga.” (HR Muslim No: 1707) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Syurga disediakan untuk mereka yang beriman dan melakukan amal yang soleh.

2. Abu Bakar adalah contoh sahabat Rasulullah SAW yang menunjukkan amal soleh.

3. Melaksanakan ibadat puasa adalah sebahagian daripada ibadat peribadi setiap Muslim sebagai bukti ketaatan dan keikhlasan seseorang kepada Allah.

4. Menghantar jenazah, memberi makan kepada orang miskin dan menjenguk orang sakit merupakan kewajipan Muslim kepada masyarakat. Ia adalah sebahagian daripada penunaian tanggungjawab terhadap hak orang lain apabila kita hidup bermasyarakat.

5. Mukmin yang melaksanakan kewajipan ibadat individu seperti solat, puasa, zakat serta kewajipan untuk cakna kepada masyarakat seperti ziarah orang sakit, menolong orang susah, pasti akan masuk syurga.

Marilah kita menyantuni orang yang lemah seperti golongan fakir dan miskin, orang yang sakit juga anak yatim. Hidupkan budaya menziarahi atau bertanya khabar kerabat, sahabat, teman, jiran, rakan kita yang kurang sihat.

Berpuasa dan Solat Tapi Munafik

Berpuasa dan Solat Tapi Munafik

عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ عَلَامَاتِ الْمُنَافِقِ ثَلَاثَةٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
حَدَّثَنَا عُقْبَةُ بْنُ مُكْرَمٍ الْعَمِّيُّ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ قَيْسٍ أَبُو زُكَيْرٍ قَالَ سَمِعْتُ الْعَلَاءَ بْنَ عَبْدِ الرَّحْمَنِ يُحَدِّثُ بِهَذَا الْإِسْنَادِ وَقَالَ آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ وَإِنْ صَامَ وَصَلَّى وَزَعَمَ أَنَّهُ مُسْلِمٌ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Di antara tanda orang munafik ada tiga: apabila dia bercakap, dia berbohong, apabila dia berjanji dia mengingkari, dan apabila dia diberi amanah, dia berkhianat.”
Telah menceritakan kepada kami Uqbah bin Mukram al-Ammi telah menceritakan kepada kami Yahya bin Muhammad bin Qais Abu Zuhair dia berkata, saya mendengar al-Ala’ bin Abdurrahman menceritakan dengan sanad ini seraya berkata, “Tanda-tanda orang munafik ada tiga, walaupun dia berpuasa dan solat serta menuntut atau mengaku bahawa dia seorang Muslim.” (HR Muslim No: 90) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Tiga tanda orang munafik yang perlu dijauhi iaitu apabila dia bercakap, dia berbohong, apabila dia berjanji dia mengingkari, dan apabila dia diberi amanah, dia berkhianat.

2. Sifat munafik akan kekal walaupun dia mengerjakan solat, berpuasa dan mengaku sebagai Muslim.

3. Ibadat puasa adalah perisai dan benteng dari sifat munafik.

اَلصَّوْمُ جُنَّةٌ

Puasa adalah perisai atau benteng (yang melindungi pelakunya daripada keburukan).” (Riwayat Tirmidzi No: 2749).

4. “Bercakap” termasuk dalam bentuk penulisan dan ditular sama ada di FB, WhatsApp, Telegram dan lain-lain. Jika faktanya salah, tidak benar maka ia dianggap berbohong dan orang tersebut ada tanda munafik pada dirinya.

5. “Amanah” adalah tanggungjawab kita. Setiap pekerja ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, jangan culas atau curi tulang. Lebih-lebih lagi dalam suasana kerja dari rumah seperti di musim PKP. Tidak amanah jika gaji diambil tapi pekerjaan tidak sempurna. Bertambah tidak amanah bila gaji diambil, rasuah diterima.

6. Ruginya jika mengaku seorang Muslim, berpuasa dan solat namun menjadi orang munafik kerana memiliki sifat munafik.

Jadikan puasa dan solat kita sebagai perisai dari sifat munafik. Berusaha agar tidak berbohong, memungkiri janji dan khianat terhadap amanah yang diberi.

Amalan Pintu Kebaikan

Amalan Pintu Kebaikan

عَنْ مُعَاذٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَأُنَبِّئُكَ بِأَبْوَابٍ مِنْ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ وَقِيَامُ الْعَبْدِ مِنْ اللَّيْلِ

Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Nabi SAW bersabda; “Aku akan memberitahu kepadamu pintu-pintu kebaikan iaitu; puasa adalah perisai, sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api, dan seorang hamba bangun (qiamullail) di malam hari. (Musnad Ahmad No: 21628). Dar Ihya Turath Arabiy. Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1. Nabi SAW menyampaikan pesanan tentang pintu-pintu kebaikan kepada umatnya iaitu Ibadat puasa, sedekah dan qiamullail.

2. Pintu kebaikan pertama ialah Ibadat puasaPuasa menjadi benteng atau perisai kepada seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Puasa adalah perisai yang akan melindungi daripada kehancuran jiwa, kerosakan perjalanan hidup, melindungi diri daripada terjerumus ke dalam golongan manusia yang tidak memiliki sifat sabar.

3. Puasa juga menjadi perisai memberikan keteguhan hati dalam bertakwa kepada Allah. Puasa adalah perisai seseorang dari api neraka. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّمَا الصِّيَامُ جُنَّةٌ يَسْتَجِنُّ بِهَا الْعَبْدُ مِنَ النَّارِ

Puasa adalah perisai yang dapat melindungi seorang hamba dari siksa neraka” (HR Ahmad No: 3868 dalam sahih al-Jami’).

4. Persiapkanlah diri dengan mula berpuasa sunat pada bulan Syaaban ini. Moga akan memudahkan kita melaksanakannya pada bulan Ramadan yang menjelang tiba. Semoga ibadat puasa menjadi perisai buat kita dari api neraka.

5. Pintu kebaikan kedua ialah bersedekah. Sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api. Kita dianjurkan bersedekah khususnya kepada mereka yang memerlukan seperti derma kepada mereka yang terkesan akibat musibah wabak Covid 19 atau terkena musibah banjir.

6. Ambillah kesempatan untuk menyumbang dan menderma. Semoga sumbangan kita menjadi pelebur dosa dan penghindar kita dari api neraka. Sabda Nabi SAW:

اِتَّقُوا النَّارَوَلَوبِشِقِّ تَمْرَةٍ

Hindarilah neraka meskipun dengan sebelah biji korma. (Sahih Bukhari No: 5677) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

7. Pintu kebaikan ketiga adalah menghidupkan malam dengan Qiamullail. Antaranya dengan melaksanakan solat sunat malam, memperbanyakkan zikir dan munajat kepada Allah. Semoga amalan ini mampu membina kekuatan rohani kita. Ambillah kesempatan bermunajat dan berdoa di malam hari agar Allah mengangkat musibah wabak Covid 19 yang telah lebih dua tahun melanda.

Marilah kita melaksanakan amal-amal yang menjadi antara pintu kebaikan iaitu membanyakkan puasa sunat, bersedekah dan qiamullail.

Create your website with WordPress.com
Get started