PENGABAIAN HAK SEORANG ISTERI

PENGABAIAN HAK SEORANG ISTERI

Dr Mohd Saad bin Abdul Rahman

Mukadimah:

Sering kita melihat penganiayaan berlaku ke atas para isteri sama ada dalam bentuk deraan tubuhbadan, pengabaian tanggungjawab dan kezaliman dalam pengagihan hak.

Biasanya perbuatan-perbuatan yang tidak sihat ini hanya diselesaikan dengan sikap sabar para isteri sahaja. Kalaupun mereka membuat aduan, hakim syar`i sentiasa menasihatkan mereka agar balik dan bersabar atau banyak bersabar. Pada anggapan hakim, para isteri adalah insan yang amat perasa, gemar membesarkan sesuatu yang kecil dan tidak melihat sesuatu menerusi pertimbangan yang waras dan bermacam lagi tanggapan yang lain.

Punca Permasalahan:

Di sini harus kita sedari bahawa kejahilan para isteri dengan hak dan tanggungjawab mereka menjadi penyumbang besar kepada keadaan penganiayaan ini berterusan. Selain dari itu mereka juga tidak mengetahui tentang saluran undang-undang yang seharusnya mereka adukan berkaitan dengan masalah yang mereka hadapi.

Terdapat beberapa peruntukan di dalam Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri yang memberi peluang kepada mereka menuntut hak mereka menerusi kuatkuasa undang-undang. Sebagai contohnya, dalam Undang-undang Keluarga Islam Selangor (1985) terdapat beberapa peruntukan membenarkan para isteri menuntut cerai atau fasakh atau khulu` jika diri mereka teraniaya, menuntut nafkah yang diabaikan atau tertunggak, menuntut hak penjagaan anak, menuntut harta sepencarian jika mereka bercerai hidup ataupun mati dan lain-lain (rujuk Bahagian V, seksyen 49, 58, Bahagian VI, seksyen 59-80, Bahagian VII, seksyen 81-88).

Para isteri hendaklah mengambil tahu tentang peruntukan-peruntukan tersebut dan berani menampilkan diri untuk menuntut hak mereka. Maklumat-maklumat seperti ini hendaklah diterapkan lebih awal sebelum sesuatu pasangan itu berkahwin. Suatu modul ringkas tentang peruntukan-peruntukan ini wajarlah disampaikan kepada pasangan yang akan berkahwinan selain hal-hal berkaitan dengn fardu `ain dan fardu kifayah yang menjadi asas.

Khidmat guaman dapat mereka gunakan sebagai saluran yang tepat ketika menuntut hak mereka jika mereka tidak mampu atau tidak arif mengemukakan aduan atau berhujah di kamar mahkamah. Mereka juga tidak harus teragak-agak untuk mengemukakan aduan kepada pihak keselamatan berkaitan apa-apa penginayaan dan kezaliman menimpa diri mereka tanpa bersifat kasihan atau kerana takutkan� maruah diri atau keluarga sendiri tercabar akibat tindakan itu. Kelewatan membuat aduan sehingga setelah hilang kesan pengniayaan atau kegagalan mendapatkan kenyataan doktor berkaitan dengan kecederaan deraan akan melemahkan hujah mereka di hadapan hakim.

Apa yang Perlu Dilakukan:

Para isteri harus ingat bahawa, menurut hukum syarak, mereka tidak diharuskan keluar rumah tanpa mendapat keizinan suami, tetapi mereka harus keluar untuk menyelamatkan diri jika mereka didera suami atau kerana rumah kediaman tidak lagi selamat atau takut kepada ancaman penjahat dengan berpindah ke tempat yang lebih selamat, seperti menumpang di rumah sahabat, jiran atau kembali ke rumah keluarga, dan sebelum itu mereka terlebih dahulu hendaklah membuat laporan dan aduan kepada pihak keselamatan untuk menyelamatkan diri mereka daripada dihukum sebagai isteri yang nusyuz (derhaka). Ingatlah keselamatan diri merupakan tanggungjawab individu yang wajib dipertahankan dan membiarkan diri dianiaya atau berada di dalam kebinasaan adalah sesuatu yang dilarang (rujuk maksud ayat 195, surah al-Baqarah).

Sikap Hakim Syar`i dan Tindakan Mahkamah Syari`ah:

Dalam hal ini dan untuk berlaku adil, hakim syar`i hendaklah bersikap terbuka serta meneiliti aduan daripada mana-mana pihak dengan saksama. Dalam sebuah Hadisnya, baginda Rasulullah s.a.w. memerintah para hakim menerusi nasihatnya kepada `Ali bin Abi Talib supaya, sebelum menjatuhkan hukuman, mendengar aduan dan kenyataan selengkapnya daripada kedua-dua belah pihak yang bertelagah. Hakim juga dikehendaki melayani mereka yang datang membuat aduan dengan penuh kesabaran dan kebijaksaan supaya semua pihak dapat menyampaikan aduannya dengan mudah, tepat dan tanpa rasa takut kepada hakim. Justeru, suara seorang hakim, gerak gerinya, perasaannya, penampilannya dalam mahkamah dan lain-lain perlulah seimbang kerana semua ini merupakan adab-adab yang wajib dipatuhi dan ia juga akan membantunya dalam menyelesaikan sesuatu aduan dengan mudah, tepat dan adil.

Pelbagai Hak yang Perlu Diketahui Para Isteri:

Di antara pelbagai hak seorang isteri yang menjadi tanggungjawab suami menyediakannya ialah:

1. Hak terhadap pergaulan yang baik (bagi mengelak penderaan emosi),

2. Hak terhadap nafkah (zahir),

3. Hak terhadap nafkah (batin),

4. Hak terhadap giliran bermalam (masa bersama suami),

5. Hak mendapatkan bimbingan suaminya dalam pembentukan peribadi dan penghayatan agama (fardu ain dan fardu kifayah),

6. Hak terhadap keselamatan dan kehormatan diri, dan

7. Hak terhadap pembantu.

Kegagalan suami dalam memenuhi tuntutan hak-hak ini sedikit sebanyak mengundang kemurungan dalam kehidupan mereka, kalaupun tidak ketegangan dan perceraian. Justeru, para suami hendaklah bertindak segera dan pada kadar kemampuan sendiri dalam menangani hak-hak ini.

Pelbagai Hak Suami:

Di sebalik hak-hak tersebut yang menjadi tanggugnjawab suami terhadap isterinya, kita perlu fahami bahawa Islam juga telah mengatur beberapa perkara yang dibebankan ke atas si isteri memenuhinya, antaranya:

1. Hak ketaatan dan layanan yang baik,

2. Hak keperluan batin,

3. Hak kepimpinan rumahtangga, ini termasuk tanpa keluar rumah kecuali dengan keizinannya,

4. Hak memberi keizinan mengerjakan ibadat sunat,

5. Hak memberi keizinan orang asing memasuki rumah kediaman,

6. Hak pemeliharaan marwah dan harta bendanya.

7. Hak menerima pembayaran zakat harta isterinya jika berada dalam keadaan kesempitan,

8. Hak mengawal hebahan harta isterinya, dan

9. Hak terhadap penerimaannya dengan baik,

Disamping itu, terdapat hak terhadap harta sepencarian yang dianggap terbaru di dalam perbincangan ulama’ pada masa ini.

Kesimpulan:

Dengan mengenali hak-hak ini yang kesemuanya menjadi tanggungjawab pihak yang kedua sama ada suami atau isteri dan merialisasikannya dengan baik, maka kerukunan rumahtangga akan terjamin sepanjang usia. Dengan kedudukan ini tidak akan ada lagi apa yang dinamakan landing husband atau super quin dan sebagainya.

Hakim syar`i perlu memahami hak dan tanggungjawab ini ketika menerima aduan mana-mana pihak, sama ada ianya terlaksana atau tidak, kerana inilah punca sebenar keretakkan rumahtangga selain campur tangan orang ketiga yang menjadi racun memusnahkan kerukunan sesebuah rumahtangga.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Create your website with WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: