AJARKAN ANAK-ANAK KITA AGAMA ALLAH SWT

AJARKAN ANAK-ANAK KITA AGAMA ALLAH

Anak-anak ialah amanah daripada Allah, namun ramai ibubapa masih lalai akan kewajipan tersebut dan gagal mendidik anak-anak mereka dengan pengetahuan agama yang asas.

Justeru, kesempatan cuti sekolah yang ada ini perlu dimanfaatkan masa untuk mengajarkan anak-anak kita supaya mereka dapat mengenal agamanya.

Luangkan masa untuk mengajarkan anak-anak topik berikut;

1. Kebesaran Tuhan kita iaitu Allah, ajarkan mereka mengenal kekuasaan Allah, kemampuan Allah mencipta alam, mencipta manusia, memberi rezeki, menghidup dan mematikan.

Kenalkan mereka akan nama-nama-Nya yang mulia dan kewajipan tauhid serta menjauhi syirik.

Fahamkan mereka bahawa dalam hidup ini ada yang lebih penting dan lebih besar daripada diri kita iaitu TUHAN. Kita hanyalah hamba, diciptakan dengan tujuan supaya menjadi hamba yang baik.

2. Perkara ghaib seperti Malaikat dan tugas-tugasnya, syurga dan neraka, hari kiamat dan perhitungan di padang masyhar, titian sirath, azab kubur dan perkara yang berkaitan dengan kewujudan makhluk ghaib seperti jin dan syaitan.

3. Rukun Islam dan rukun Iman, terangkan satu-persatu khususnya hari kiamat dan qadha dan qadar. Ajarkan mereka supaya memahami ketetapan Allah dan beriman kepada perkara berkaitan takdir.

4. Ajarkan mereka cara berwudhuk, tayammum, istinjak dan cara bersuci dan membersihkan diri, pakaian dan tempat daripada najis dengan betul. Kemudian ajarkan mereka juga tentang aurat dan batasan mereka dengan orang lain serta kedudukan mahram dan ajnabi.

5. Ajar cara hendak mengetahui masuk waktu solat, jangan hanya berdasarkan tengok jam. Tetapi pengetahuan melihat bayang dan matahari bagi menentukan masuk waktu solat.

6. Ajarkan cara azan dan iqamah dengan betul dan cara menjawab azan dan iqamah beserta doanya.

7. Ajarkan mereka cara solat yang betul beserta bacaan wajib atau penting yang perlu diketahui dalam solat. Semak cara takbiratul ihram, semak doa iftitah, semak bacaan al-fatihah, semak bacaan ayat lazim, semak rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud.

Semak bacaan tahiyat awal dan akhir, bacaan qunut dan juga bacaan doa sebelum salam.

Jika mampu ajarkan wirid selepas solat, yang ringkas, yang sunnah tetapi boleh diamalkan sepanjang hayat.

8. Semak bacaan al-Quran anak-anak, betulkan makhraj sebutan huruf. Semak hukum mad tentang panjang dan pendek bacaan, dengung dan ikhfa’ anak-anak. Pilih surah-surah yang ringkas pastikan mereka hafal.

Pilih satu surah panjang untuk dijadikan amalan seperti surah al-Mulk untuk dibaca setiap malam, al-Kahfi dibaca setiap hari Jumaat atau surah Yasin dibaca malam Jumaat. Sebagai rutin dan kebiasaan mendidik mereka supaya sentiasa terikat dengan ayat Allah.

9. Ajarkan anak tentang dosa dan kejahatan yang dilarang oleh agama seperti zina, mencuri, berbohong dan perbuatan keji yang perlu mereka jauhi. Takutkan mereka dengan neraka Allah dan azab selepas mati serta tanamkan kefahaman bahawa Allah Melihat dan Mengawasi serta malaikat mencatat amalan kita di kiri dan kanan.

10. Ajarkan anak-anak kita sirah Nabi, kenali rasul kita Muhammad salallahualaihiwassalam, sunnah-sunnah baginda yang utama dan perlu diamalkan dalam kehidupan seharian, cara makan, cara minum, cara duduk, cara tidur, cara memakai baju dan kenalkan mereka dengan kisah sahabat-sahabat baginda seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan sepuluh ahli syurga yang masyhur.

11. Ajarkan anak-anak kita hukum-hakam yang asas seperti perkara wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Terangkan kepada mereka hukum fekah yang penting seperti makanan yang halal dan haram dimakan, batas perhubungan lelaki perempuan, rezeki yang halal dan haram, amalan yang sunat, perbuatan makruh dan perkara yang harus.

12. Akhirnya ajarkan mereka akhlak yang mulia, akhlak dengan Allah, rasul, para ulama, para pemimpin, ibubapa, guru, kawan, adik-beradik dan sesama manusia, serta akhlak dengan haiwan dan seluruh makhluk Allah. Didik mereka dengan tertib, kesabaran, kesopanan, sifat malu, maruah, sifat-sifat mulia yang disukai Allah.

# Inilah 12 topik yang asas yang perlu diterangkan kepada anak-anak kita supaya mereka dapat memahami agama yang diturunkan oleh Allah Ta’ala dan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah salallahualaihiwassalam.

Jika kita tidak mampu, maka carilah orang yang mampu dan kita pun ikut sama belajar dengan anak-anak kita untuk memahami agama Allah.

Allah Ta’ala berfirman;

وَالَّذِينَ ءَامَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُم بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَآأَلَتْنَاهُم مِّنْ عَمَلِهِم مِّن شَىْءٍ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ

“Dan orang-orang yang beriman dan anak cucu mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan kami tidak mengurangi sedikitpun daripada pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” (Ath Thur:21)

https://ustaz.blogspot.com/2017/11/ajarkan-anak-anak-kita-agama-allah.html

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Create your website with WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: