MUFTI: ANTARA ILMU DAN KUASA

MUFTI: ANTARA ILMU DAN KUASA

Encik Md. Asham bin Ahmad

Mufti adalah Si Pemberi Fatwa. Tugasnya mengeluarkan fatwa dalam bentuk hukum hakam sebagai jawaban kepada persoalan yang dihadapi oleh umat Islam. Di negara kita para mufti dilantik oleh sultan negeri-negeri berkenaan, kerana baginda bertanggungjawab terhadap pentadbiran Islam di negeri masing-masing. Perlantikan seseorang mufti, sepertimana juga perlantikan-perlantikan yang lain, tentulah dibuat berdasarkan kelayakan tertentu, yang membolehkan orang yang dilantik itu menjalankan amanah yang diberikan. Justeru, orang-orang yang tidak berilmu dan berwibawa tidak mungkin, dan tidak sepatutnya dilantik ke jawatan yang penting itu.

Yang sebenar-benar memberikan kewibawaan (autoriti) kepada seseorang mufti itu ialah ilmu yang dimilikinya. Walaubagaimanapun, tidak semua yang berwibawa akan dilantik sebagai mufti dan tidak semua mufti yang dilantik itu seorang yang berwibawa.

Kita sudah diingatkan tentang kemungkinan ini sejak lama dahulu, merujuk kepada sebuah hadis Nabi yang menyentuh tentang Si Pemberi Fatwa (mufti) yang jahil, yang sesat dan menyesatkan kerana memberi fatwa tanpa ilmu. Keadaan ini berlaku, menurut hadis berkenaan, apabila Allah menghapuskan dari kalangan masyarakat Islam orang-orang yang benar-benar berilmu (sebagai tanda kemurkaanNya terhadap masyarakat berkenaan), sehinggakan mereka tidak dapat membezakan siapa yang layak dan siapa yang tidak layak memimpin mereka. Akibatnya para pemimpin yang jahil, yang tidak ada keahlian, naik memimpin.

Mufti adalah pemimpin. Apabila kita berbicara tentang mufti sebagai pemimpin, ruang-lingkup perbincangan tidak boleh lagi dihadkan semata-mata kepada soal keahlian dalam hukum-hakam dan halal-haram. Amanah yang dipikul oleh seorang pemimpin amat berat; justeru, ia tidak boleh dibebankan kepada yang jahil dan zalim. Kejahilan dan kezaliman disebut seiring dalam al-Qur’an. Kezaliman adalah kegelapan, akibat ketiadaan cahaya (yakni ilmu). Yang tiada ilmu tidak mungkin dapat berlaku adil, yakni meletakkan sesuatu, termasuk dirinya sendiri, pada tempatnya yang betul. Natijah kepada kejahilan ialah kezaliman, yakni keadaan di mana berlaku kekeliruan, kekacauan dan krisis kerana yang diberikan amanah itu telah menyalah-letakkan segala-galanya.

 Ilmu amat penting kerana ia adalah prasyarat keadilan dan juga keberanian. Tanpa keberanian tidak mungkin seseorang mufti itu sanggup dan berupaya mempertahankan kebenaran, dan tanpa kebenaran masakan ada keadilan. Sedangkan mufti sebagai pemimpin, dituntut memimpin dengan adil dan berani.

Justeru, mufti bukan sahaja wajib berilmu tetapi juga wajib mengamal dan menggalakkan budaya ilmu. Maksudnya, setiap apa yang dinyatakan, sama ada dalam bentuk fatwa atau tidak, mestilah mempunyai sandaran ilmu yang kukuh. Apa yang dinyatakan itu benar bukan semata-mata kerana yang menyatakan itu seorang mufti tetapi kerana ia memiliki kekuatan hujah yang tidak boleh disangkal secara sembarangan.

Seorang mufti tidak perlu takut, kecewa, marah, dan mudah berkecil hati sekiranya kenyataannya disanggah atau tidak dipersetujui oleh orang lain. Sebaliknya dia seharusnya berupaya berhujah mempertahankan pendapatnya secara ilmiah, yakin, berani, dan tegas, dan menunjukkan kesalahan atau kepalsuan pandangan pihak yang tidak sependapat dengannya. Sekiranya dia sendiri mendapati pandangannya silap, ataupun ditunjukkan oleh orang lain kesilapannya dia mestilah pula berani mengakui kesilapan pandangannya, dan mendokong pandangan yang benar tidak kira dari mana datangnya. Inilah yang kita maksudkan mengamalkan budaya ilmu. Mufti bukan sahaja mesti berilmu tetapi menjelmakan sifat itu dalam tutur kata, perbuatan, dan tindakannya.

Berilmu bukan bermakna mengetahui segala-galanya serta suci dari kesilapan kerana itu bercanggah dengan sifat kemanusiaan. Sebab itu seseorang mufti tidak disyaratkan menguasai semua disiplin ilmu serta ma’sum, yakni terpelihara dari dosa. Tetapi itu tidak bermakna dia boleh dimaafkan atas sebarang kesalahan. Ada kesalahan khususnya yang bersifat ilmiah yang tidak boleh dimaafkan, seperti kegagalan seseorang mufti menyedari, memahami, dan mengakui wujudnya percanggahan dalam hujah yang dikemukakan kerana ia menimbulkan keraguan terhadap kemampuannya mengistinbatkan hukum secara mantiqi. Kesilapan-kesilapan lain yang berbentuk perbuatan, selagi tidak mencacatkan keadilan, akhlak dan maruah seorang mufti, sewajarnya ditutup dan dimaafkan.

Amatlah menjengkelkan apabila seseorang mufti membangkitkan soal kuasa dan kedudukannya apabila ditegur, disanggah, atau diberi pendapat untuk dipertimbangkannya. Mufti dan institusi yang dipimpinnya tidak sepatutnya mencerminkan zaman di mana tiada perbezaan di antara kuasa dan kebenaran, atau lebih tepat lagi kebenaran itu hak mutlak pihak yang memegang kuasa.

Islam, sebaliknya, adalah agama ilmu dan akal. Tiada agama bagi yang tidak berakal. Sehubungan itu, kewajiban menuntut ilmu adalah kewajiban pertama setiap Muslim, lelaki dan perempuan, dan ia kewajiban yang tiada penghujungnya selagi hayat dikandung badan. Jika demikian keadaannya, bagaimana boleh diterima seseorang yang diragui akal dan ilmunya memimpin mereka?    

Tiada gunanya melatah melenting menuduh golongan itu dan ini tidak menghormati mufti dan ulama kerana hormat atau tidak masyarakat terhadap institusi mufti bergantung kepada orang yang memegangnya. Mufti tidak akan menjadi alim dan bijaksana dengan melabelkan orang lain sebagai jahil dan tidak tahu agama. Sebaliknya merekalah yang mesti membuktikan kewibawaan mereka memimpin masyarakat keluar dari kemelut akliah dan akhlakiah yang kelihatannya semakin hari semakin parah. Masyarakat mahu melihat mufti yang berbeza pembawaannya daripada seorang ‘penceramah bebas’; mufti yang tahu membezakan antara ‘autoriti’ dan ‘populariti’.

Penghormatan sebenar terhadap seorang mufti, sayugia kita tegaskan sekali lagi, terletak kepada ilmu dan hikmah yang dimilikinya. Hikmah dan hukum sesungguhnya mempunyai kaitan maknawi yang rapat. Dari segi bahasa hukum bererti ‘halangan’, yakni halangan daripada kezaliman. Perkataan ‘hikmah’ dikiaskan darinya kerana ia membawa erti ‘halangan daripada kejahilan’. Apabila kita menghukum seseorang, kita menghalang kehendaknya, yakni kehendaknya yang menyeleweng yang tidak dipandu oleh ilmu, kerana tindakan yang tidak dipandu ilmu itu ialah tindakan yang zalim, yang mesti dihalang. Dari penerangan ini jelas kelihatan kaitan erat antara hukum dengan hikmah/ilmu, dan keadilan. Hukum adalah keputusan yang diambil berdasarkan ilmu dan hikmah; tujuannya: menegakkan keadilan dan menghalang kezaliman.

Hanya orang yang memiliki ilmu dan hikmah berupaya menjatuhkan hukum yang adil. Ilmu dan Hikmah pula adalah antara Sifat-sifat Allah Yang Maha Indah, yang dikurniakan dengan kadar-kadar yang berbeza kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Yang memperolehi kurniaan itu sesungguhnya memperolehi kebaikan yang amat banyak, sehingga manfaatnya turut dinikmati oleh orang lain.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Create your website with WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: