MUHASABAH UNTUK MEMAKNAKAN RAMADAN

MUHASABAH UNTUK MEMAKNAKAN RAMADAN

Puan Norkumala binti Awang 04/06/2019

Sedar atau tidak, kita telah melalui separuh masa pertama Ramadan dan hanya berbaki separuh masa lagi untuk terus berjuang bagi mencapai matlamat akhir, iaitu ketakwaan. Keberadaan umat Islam dalam bulan Ramadan harus dihargai dengan rasa kesyukuran kerana masih diberi peluang untuk meraih pahala yang berlipat kali ganda. Justeru, setiap umat Islam harus mengaudit diri supaya gelanggang separuh masa kedua yang sedang dilalui ini dapat ditempuhi dengan jayanya.

Sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam sahihnya menyatakan bahawa “Jibril datang kepadaku dan berkata, ‘Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadan, namun setelah bulan itu habis dan ia tidak mendapat keampunan, maka jika mati ia masuk Neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin! Aku pun mengatakan: Amin!”

Hadis ini seharusnya menjadi satu peringatan kepada umat Islam untuk meraikan kesempatan berada dalam bulan Ramadan ini dengan memperbanyakkan amal ibadah dan membersihkan hati daripada segala kekotoran. Masa yang tersisa ini harus direbut untuk memperbaiki segala kelemahan dan kepincangan dalam amalan selama ini. Di samping itu, matlamat untuk mendapat rahmah, keampunan dan pembebasan api neraka menjadi neraca untuk terus memecut bagi menggapai kemenangan.

Menyoroti kembali semasa awal kedatangan Ramadan, seringkali umat Islam meletakkan pelbagai azam dengan penuh iltizam untuk melakukan perubahan diri ke arah kebaikan dan meningkatkan amalan. Barangkali ada antara kita yang bertekad untuk mengkhatam al-Quran sekurang-kurangnya sekali sepanjang tempoh Ramadan dan mungkin ada yang berazam untuk bertadabur dengan setiap juzuk al-Quran bagi lebih menghayati makna dan tafsiran indahnya. Tidak kurang ada yang ingin memperbanyakkan zikir, sedekah, mengekalkan momentum mendirikan solat terawih dan solat-solat sunat lain, iktikaf dan qiyamullail, menjauhi mengumpat dan tabiat buruk serta menjamu rakan taulan dan anak yatim berbuka puasa. Dari sudut nilai fizikal pula mungkin ada yang ingin menjadikan Ramadan ini sebagai titik tolak untuk berhenti merokok, menjaga kesihatan jasmani, menjauhkan pembaziran dan tidak berlebih-lebihan dalam mengambil makanan. Keazaman ini merupakan satu perkara yang digalakkan dalam Islam dan selari dengan saranan Rasulullah SAW yang menyarankan agar melipatgandakan amalan kebajikan di bulan Ramadan.

Justeru, tiba masanya untuk kita cuba bermuhasabah sejauh mana pencapaian amalan yang telah digapai setakat ini? Perkara ini ibarat menyemak pencapaian setengah tahun di tempat kerja. Setiap pekerja menilai keupayaan diri dengan melihat pencapaian yang diperoleh dan perubahan-perubahan yang perlu dilakukan serta langkah ke hadapan yang perlu diambil bagi menjayakan sasaran kerja tahunan. Begitulah tamsilan dengan puasa kita yang sudah mencecah masuk fasa separuh masa kedua. Setiap umat Islam perlu melihat dan mengaudit pembetulan yang perlu dilakukan agar kita tidak terus terpesong sekiranya masih terbantut dan ketinggalan dalam melaksanakan ibadah. Sekiranya ketinggalan, kita masih mampu mengesan rekod tersebut untuk kembali kepada landasan bagi mencapai sasaran sebelum berakhirnya Ramadan.

Puasa bukan sekadar untuk berlapar dahaga. Umat Islam berjaya menahan nafsu pada siang hari tetapi masih banyak yang berterusan leka semasa di bulan puasa. Proses mengekang nafsu tidak berjaya sepenuhnya kerana sewaktu berbuka puasa, nafsu terus mengamuk dan bermaharajalela. Dengan berbuka puasa secara berlebih-lebihan, tamak, gelojoh dan membazir memperlihatkan bahawa kita bukanlah mengekang nafsu tersebut sebaliknya hanya diempang seketika cuma dan akan membuak-buak apabila berbuka. Dengan sikap ini, bermakna nafsu bukan semakin lemah tetapi terus kuat beraja di bulan puasa. Puasa yang diamalkan tanpa ada kefahaman dan penghayatan yang sebenar menjadikan Ramadan yang dilalui bukan lagi menjadi medan latihan mendidik nafsu. Nabi Muhammad SAW telah memperingatkan umatnya tentang kepincangan puasa yang bermaksud:“Berapa ramai orang yang berpuasa, namun tidak mendapatkan apa-apa selain lapar, dan berapa banyak orang yang solat di tengah malam tidak mendapatkan apa-apa, selain berjaga malam sahaja.”(Hadis riwayat Nasa’ie).

Ramadan hadir dengan pakej latihan yang cukup lengkap bagi menghasilkan puasa yang berkesan. Ia bukan hadir hanya bermatlamatkan habluminallah (hubungan dengan Allah) tetapi juga habluminannas (hubungan dengan manusia). Aspek ini harus dimuhasabah agar tiada kelompongan yang wujud dalam usaha untuk meraih keredaan Allah. Ramai umat Islam mengetahui akan pentingnya mendidik rohani dengan mengingati dan beribadat kepada Allah, tetapi tidak ramai yang peka bahawa menjaga hubungan dengan manusia juga adalah elemen penting dalam meraih ketakwaan hasil berpuasa.

Hubungan baik yang wujud dalam suasana kasih sayang dan bertimbang rasa dengan kawan di tempat kerja, saudara-mara, jiran tetangga juga sesama manusia dan makhluk Allah yang lain amat penting dititikberatkan. Contoh yang paling biasa dalam kehidupan kita tetapi ramai yang mengambil mudah seperti adab berkenderaan semasa di jalan raya. Ramai yang tidak prihatin dengan pengguna lain semasa di jalan raya, mementingkan diri dengan tidak memberi isyarat untuk menukar laluan malah meletakkan kereta tidak pada tempatnya semasa menunaikan solat di masjid. Perkara seperti ini nampak kecil tetapi ia telah menganggu, menyakiti dan membahayakan orang lain. Kita ingin meraih pahala tetapi dalam masa yang sama terdapat perkara yang masih menyekat daripada mendapat keuntungan yang luar biasa di bulan Ramadan.

Berwaspadalah dengan perkara yang dianggap remeh kerana ia akan menimbulkan ketegangan, permusuhan dan ketidakharmonian dalam hubungan sesama manusia. Malah ramai juga antara kita yang terpedaya dengan penyakit hati kerana merasakan ibadah dan ketaatan yang telah dilakukan akan menutup segala kecelaan remeh yang dilakukan kepada insan lain. Jangan cemari ibadah di bulan Ramadan dengan penyakit riyak dan ujub serta merasakan hanya habluminallah menjadi keutamaan dan dalam masa yang sama mengabaikan aspek habluminannas.

Oleh itu, gelanggang separuh masa kedua Ramadan ini harus digunakan sebaiknya untuk bermuhasabah. Apakah kita telah menamatkan separuh masa pertama dengan perkara yang terbaik sama ada dari bentuk pengisian rohani mahupun penzahiran akhlak dalam amalan rutin? Hal ini kerana tiada janji yang pasti bahawa kita masih berpeluang untuk mengecapinya pada musim akan datang. Justeru, tiada ruang untuk berlengah lagi bagi meraih takwa seperti yang dijanjikan oleh Allah. Mudah-mudahan puasa ini lebih bermakna dan bukan hanya berlapar dahaga seperti yang dirasai sejak sekian lama!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Create your website with WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: