MENGURANG KETAKSAMAAN, MENGAGIH KEKAYAAN

MENGURANG KETAKSAMAAN, MENGAGIH KEKAYAAN

Puan Nur Syahidah binti Abdul Jalil 15/11/2019

Kisah Qarun memiliki harta yang tidak terhingga banyaknya dan menjadi sombong bukan sahaja kepada kaumnya bahkan juga kepada Allah SWT memberi pengajaran kepada kita akan hakikat “kekayaan” yang sebenar. Kisah ini ada disebut di dalam al-Quran, surah al-Qasas ayat 76 hingga 82. Banyaknya harta kekayaan Qarun sehingga anak-anak kunci kepada hartanya sahaja telah membebankan sebilangan orang-orang kuat yang memikulnya.

Ayat ke-77 ada menekankan tentang di sebalik semua kurniaan-Nya, hendaklah juga mencari kebahagiaan akhirat, berbuat baik kepada yang lain dan tidak melakukan kerosakan. Dalam kisah ini, Qarun yang dilimpahi kekayaan yang tidak terhingga diperingatkan untuk tidak bermegah-megah dengan hartanya. Namun dengan sombongnya Qarun mengatakan harta kekayaan itu adalah hasil daripada pengetahuan dan kepandaiannya semata-mata. Akibat daripada kesombongan ini, akhirnya Qarun telah dibenamkan bersama-sama hartanya ke dalam perut bumi.

Menjadi kaya bukanlah sesuatu yang ditegah dalam Islam, bukan pula menjadi miskin itu sesuatu yang mulia di sisi agama. Seseorang yang kaya mahupun miskin, tetap wajib melaksanakan segala perintah Allah SWT berdasarkan kemampuan mereka. Hendaklah mereka juga berlaku baik dan adil kepada semua makhluk dan alam sekitar. Namun, kekayaan yang melimpah-ruah seperti Qarun jika hanya ada pada sebilangan kecil individu sahaja, boleh menyebabkan kerosakan dan kemusnahan kepada manusia dan dan alam.

Mengapa ini berlaku? Harta yang banyak tetapi wujud hanya pada segelintir individu sahaja menunjukkan kemungkinan berlakunya pengagihan ekonomi yang tidak adil. Keadaan ini seterusnya mewujudkan jurang ketaksamaan yang keterlaluan dalam masyarakat. Dalam laporan “Private Wealth or Public Goods” oleh Oxform International misalnya mendapati bahawa kekayaan golongan billionaire dunia meningkat sebanyak USD900 bilion pada 2018 manakala 3.8 bilion orang miskin telah mengalami kemerosotan kekayaan sebanyak 11% pada tahun yang sama.

Winnie Byanyima, Pengarah Eksekutif Oxform International juga berpandangan bahawa jurang ketaksamaan yang melampau dan semakin berkembang ini bukanlah satu kebetulan. Sebaliknya, ia juga berlaku akibat daripada keputusan dasar dan polisi yang telah dibuat oleh kerajaan. Justeru apabila Bajet Malaysia 2020 bertemakan “Kemakmuran Bersama” yang dibentang pada 11 Oktober lalu memfokus untuk mengurangkan jurang ketaksamaan dalam masyarakat, ia boleh menjadi satu titik permulaan kepada kehidupan masyarakat Malaysia secara lebih adil dan inklusif.

Pengalaman Malaysia misalnya, jurang pendapatan penengah isi rumah di antara kumpulan isi rumah T20 dengan kumpulan isi rumah B40 ialah sebanyak RM10,148 pada 2016 berbanding RM6,569 pada 2009. Peningkatan jurang inilah yang menjadi “kudis” dalam masyarakat dan perlu ditangani bersama-sama. Ia boleh mewujudkan perasaan mementing diri, mengasing mengikut kelas pendapatan, ketidakadilan dalam peluang ekonomi dan pelbagai lagi.

Selain daripada jurang pendapatan, ketaksamaan yang turut dibahaskan dalam pembentangan Bajet Malaysia 2020 tersebut merangkumi jurang antara etnik, wilayah dan rantaian bekalan. Prospek agihan kekayaan secara adil menjadi keutamaan untuk membolehkan masyarakat majmuk Malaysia mendapat satu taraf hidup yang wajar (a descent standard of living). Matlamat ini jugalah yang telah mendasari “Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.”

Pengagihan kekayaan yang adil boleh diibaratkan seperti darah. Ia perlu beredar dan teragih ke seluruh tubuh untuk bagi membolehkan seseorang itu mencapai kapasiti maksimumnya. Maka, jika darah itu hanya bertumpu di sebahagian kawasan tertentu sahaja, anggota tubuh yang tidak menerima bekalan darah secukupnya akan merosot fungsinya. Akhirnya, ia menyebabkan individu tadi kehilangan fungsi maksimum tubuhnya, malah boleh mengancam nyawanya.

Begitulah juga kekayaan yang hanya berlegar-legar dalam kalangan sebilangan kecil individu sahaja boleh meningkatkan jurang ketaksamaan dalam masyarakat. Keadaan ini boleh menyebabkan kelumpuhan tamadun manusia akibat kerakusan, ketamakan, kesengsaraan dan kemusnahan alam sekitar.

Harta kekayaan bukanlah sumber kebahagiaan mutlak kepada manusia. Namun dalam realiti semasa, harta dan kekayaan diperlukan untuk membangunkan negara dan bangsa. Kita perlu mempunyai modal untuk mengeluarkan produk yang hebat seterusnya menjana pulangan yang terbaik. Jadi, agihan kekayaan negara secara adil memberi peluang kepada semua ahli masyarakat untuk mencapai matlamat kehidupan masing-masing, meneroka bakat terpendam dalam pelbagai lapisan masyarakat dan menggilap kemahiran terbaik individu dalam bidang kepakaran mereka.

Dalam memperihal tentang kekayaan manusia, usahlah pula kita bersangka bahawa Islam tidak menyukai umatnya mempunyai harta yang banyak. Sebaliknya, Islam menentang umatnya yang malas berusaha dan meminta-minta. Berusaha untuk mengumpul harta kekayaan dengan jalan yang benar amat digalakkan oleh Islam.

Melalui kekayaan, umat Islam berpeluang berkongsi dan mengagihkan harta kekayaan mereka kepada yang lain melalui zakat, sedekah, wakaf dan pelbagai lagi. Amal kebajikan begini mendatangkan kemanisan dalam kehidupan orang-orang yang beriman. Sebaliknya, bagi sesiapa yang mendapatkan harta kekayaan melalui penipuan, penindasan, kezaliman kepada yang lain adalah dilarang dan mereka akan dihitung dengan azab yang pedih seperti kisah Qarun tadi.

Prospek agihan kekayaan secara adil sememangnya satu pendekatan yang boleh membawa Malaysia maju ke hadapan. Melalui pembentangan Bajet Malaysia 2020 yang lalu, kita berharap dengan peluang yang terbuka ini akan mendorong setiap lapisan masyarakat untuk menggilap bakat dan kemahiran mereka bukan sahaja untuk menjana pendapatan yang lebih baik, tetapi juga untuk menjadi sebuah masyarakat yang progresif dan makmur. Sebagai umat Islam hendaklah juga kita mengambil iktibar bahawa “… sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada hamba-hamba-Nya dan Dialah juga yang menyempitkannya” (al-Qasas, 28: 82).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Create your website with WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: