KEBENARAN VS KEBATILAN

KEBENARAN VS KEBATILAN

Cik Wan Roslili Bt. Abd. Majid 28/10/2015

Ditulis oleh Wan Roslili Bt. Abd. Majid. Diterbitkan logo-artikel

Al-Qur’an mengingatkan, “Jika kamu melakukan kebaikan (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu melakukan kejahatan, maka (kesannya yang buruk) akan kembali kepada diri kamu juga.”  (Surah al-Isra’ 17 : 7).  Peringatan al-Qur’an ini muncul dalam ingatan saat mengikuti laporan tentang dua kisah yang berbeza.  Kisah pertama bertemakan kebaikan, kemesraan, dan persahabatan.  Kisah kedua pula sebaliknya berkaitan dengan kezaliman dan kejahatan.  Kedua-dua kisah melibatkan hubungan timbal- balik antara dua buah masyarakat dunia.  Kisah kebaikan yang dimaksudkan ialah langkah terpuji yang diambil kerajaan Jepun untuk menyediakan lapangan terbang mesra umat Islam.  Usaha murni tersebut khabarnya dimulakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai (KIX), Osaka sejak tahun 2006 dengan mewujudkan sebuah musolla.  Lapangan antarabangsa tersebut seterusnya membuat penambahan dua buah lagi musolla pada tahun lalu.  Ketiga-tiga buah musolla tersebut dipisahkan mengikut gender; lelaki dan wanita selain memiliki kemudahan berwuduk.  Selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, Narita Airport juga menyediakan dua buah bilik untuk mendirikan solat yang dinamakan silence rooms di kedua-dua buah terminalnya.

Di samping kemudahan bilik solat, pengurusan lapangan terbang itu juga menyediakan dua buah restoran yang mengajikan hidangan halal untuk penumpang beragama Islam.  Lebih menarik kedua-dua buah restoran tersebut memiliki sijil halal yang disahkan oleh Malaysia.  Langkah yang sama khabarnya turut dituruti oleh beberapa buah lapangan terbang lain seperti Haneda, juga di Tokyo.  Meskipun langkah yang diambil oleh pengurusan kesemua lapangan terbang tersebut bertujuan menarik kunjungan pelancong Muslim, khususnya dari Indonesia serta Malaysia dan seterusnya memberikan impak positif terhadap sektor pelancongan Jepun, namun keprihatinan yang ditunjukkan terhadap keperluan asas lagi utama bagi penumpang Muslim begitu membanggakan.

Seterusnya, kisah kejahatan pula berkaitan dengan pembunuhan kejam dua rakyat Jepun oleh militan IS beberapa minggu yang lalu.  Ironinya, kezaliman tidak terperi kumpulan militan itu dalam melakukan pembunuhan yang melibatkan Islam dan bukan Islam, orang awam, pekerja, tawanan, banduan, tentera, juruterbang, semuanya dilakukan atas nama Islam.  Lebih ironi dalam kes pembunuhan dua warga Jepun tersebut, kemesraan dan persahabatan yang dihulurkan negara matahari terbit itu kepada umat Islam seolah-olah tidak bermakna sama sekali bagi segelintir pihak.  Tidak keterlaluan jika dirumuskan bahawa kebaikan tidak disambut malah dibalas dengan kejahatan dan kekejaman yang tidak tergambar dek fikiran.  Amat mengaibkan kerana kebaikan dan persahabatan ditawarkan kerajaan bukan Islam.  Sebaliknya, kezaliman ditimpakan terhadap rakyatnya tanpa belas ihsan oleh kumpulan yang mengakui diri mereka sebagai Muslim.

Menyedari mudarat dan cemar yang besar terhadap agama Islam, sebagaimana lazimnya banyaklah gesaan yang lantang kedengaran.  Negara-negara Islam dan pertubuhan-pertubuhan Islam seperti OIC didesak menggerakkan usaha dan kuasa bagi mengekang kegilaan, sifat kebinatangan, dan kesesatan kumpulan militan tersebut.  Pada 15 Februari lalu, Jawatankuasa Eksekutif OIC mengulangi pendirian teguhnya untuk menentang sebarang bentuk ekstremisme dan keganasan.  Malah OIC turut menegaskan bahawa ia menolak sebarang usaha untuk mengaitkan keganasan dengan mana-mana jua negara, kumpulan etnik, agama, kebudayan, mahupun kerakyatan atau kewarganegaraan.

Selain itu, pada September tahun lalu, sekumpulan 126 orang cendekiawan Muslim telah menulis surat terbuka kepada Abu Bakar al-Baghdadi dan pengikut-pengikutnya.  Antara nama besar yang turut menandatangani surat tersebut termasuklah Syeikh Hamzah Yusuf, sarjana Islam paling berpengaruh di dunia barat dan Syeikh Ali Jum’ah, mantan Mufti Besar Mesir.  Meskipun surat yang sarat berisi peringatan dan kecaman itu dikritik segelintir pihak sebagai tidak mungkin mengesankan kumpulan militan ganas tersebut, namun sebahagian besar menganggapnya sebagai salah satu langkah terbaik untuk menafikan sekeras-kerasnya hubungan antara keganasan dengan ajaran Islam.  Malah, ia berperanan menyedarkan individu yang membacanya; Islam dan bukan Islam perihal hakikat ajaran Islam yang sebenar.  Begitu juga dengan mereka yang menentang kumpulan militan itu agar menyedari asas kukuh penentangan dan bantahan mereka.  Demikian pula bagi yang menyimpan hasrat serta minat untuk menyertai kumpulan pengganas tersebut, khususnya golongan muda. Sebagaimana ditegaskan Nihad Ahwad daripada The Council on American Islamic Relations (CAIR), surat tersebut bertujuan menguburkan hasrat mereka.  Menurut beliau, penjelasan yang diberikan dalam surat tersebut juga diharap dapat membetulkan nas-nas syarak yang telah salah difahami dan salah ditafsirkan oleh anggota kumpulan militan tersebut serta digunakan secara membuta-tuli untuk merekrut anggota baharu.

Dunia Islam yang diasak dari segenap arah dan lingkungan; dalam dan luar tidak harus goyah, apatah lagi menyerah kalah.  Kekuatan yang masih bersisa perlu terus digembleng bagi membersihkan imej Islam yang semakin parah tercalar dan tercemar.  Risalah kudus yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. perlu terus dipertahankan.  Pengutusan Baginda sebagai rahmat bagi sekalian alam  harus terus-menerus ditekankan.  Hal ini sekali gus dapat menolak kenyataan mengelirukan lagi menyesatkan anggota kumpulan militan itu bahawa Nabi Muhamamd S.A.W. diutus dengan pedang sebagai rahmat bagi sekalian alam. Dunia Islam umumnya juga perlu senada untuk terus menyatakan penolakan terhadap kumpulan militan itu.  Antaranya termasuklah dengan tidak mengiktiraf mereka sebagai Islamic State (IS), nama baharu yang diperkenalkan kumpulan tersebut pada 29 Jun 2014.   Malah sebaliknya sekadar menamai mereka sebagai militan atau pengganas.  Hal ini sekali gus menolak “kekhalifahan” pemimpin mereka, Abu Bakar al-Baghdadi.

Pada peringkat tempatan, usaha perlu dilaksanakan bagi menangkis perkembangan doktrin dan ancaman kumpulan militan tersebut ke negara ini.  Sebagaimana dilaporkan, rantau ASEAN mempunyai beberapa buah kawasan yang boleh dimanipulasikan untuk menyebarluaskan ideologi IS.  Hal ini termasuklah dengan menumpukan perhatian terhadap rangkaian dan hubungan yang sedia wujud antara kumpulan militan tersebut dengan kumpulan yang memiliki ideologi yang sama di rantau ini.  Golongan muda secara khusus perlu diberikan kesedaran tentang kesesatan perjuangan dan kezaliman melampaui batasan kemanusiaan yang dilakukan kumpulan pengganas ini.  Perbincangan dalam media elektronik dan cetak tentang maksud sebenar jihad sebagaimana yang telah dilaksanakan setakat ini wajar diteruskan bagi memupuk kesedaran yang amat diharapkan itu.

Kegigihan kita menolak keras kumpulan ini lambat-laun pasti membuahkan hasil.  Kebatilan tidak selama-lamanya kekal.  Lambat-laun, ia akan tertewas dan terhapus juga disebabkan kebenaran.  Demikianlah jaminan yang diberikan Allah S.W.T. bagi hamba-hamba-Nya yang nekad berpegang pada kebenaran dan tidak berputus asa daripada rahmat serta pertolongan-Nya.  Allah S.W.T. berfirman, “Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang benar menentang yang salah lalu ia menghancurkannya maka dengan serta-merta hilang lenyaplah ia….” (Surah al-Anbiya’ 21 : 18).  Dalam Hadith daripada Thauban r.a. pula, Nabi S.A.W. diriwayatkan bersabda (maksudnya), “Sentiasa ada satu golongan daripada umatku yang menegakkan kebenaran.  Orang yang meninggalkan mereka tidak memberi mudarat kepada mereka sehinggalah datang hari kiamat dan mereka dalam keadaan tersebut (menegakkan kebenaran).” (Muslim).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Create your website with WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: