Tiga Amalan Penerus Pahala

Tiga Amalan Penerus Pahala

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak soleh yang mendoakannya.” (HR Muslim No: 3084) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap keturunan anak Adam bergantung dengan amal yang mereka lakukan semasa hidup.

2.  Ada amalan yang dilakukan semasa hidup akan berterusan mengalir pahalanya walaupun dia telah meninggal dunia antaranya:

a.  Sedekah jariah berbentuk harta seperti wakaf, derma yang disumbang semasa hidup yang manfaatnya diguna oleh orang lain termasuk haiwan.

b.  Ilmu bermanfaat yang diajarkan kepada orang lain dan dimanafaatkannya untuk kemaslahatan hidup termasuk hasil ciptaan daripada ilmu yang dipelajari. Ilmu juga termasuk sesuatu yang dihasilkan berbentuk buku, artikel, juga sebarang penulisan yang baik dan bermanfaat dalam bentuk elektronik seperti laman web, FB, telegram dan whatsapp.  

c.  Anak soleh yang melakukan amal-amal soleh serta yang mendoakan keampunan untuk kedua ibu bapanya.

Lakukanlah sesuatu yang boleh menjadi penerus amal dan pemberi ganjaran pahala berterusan walaupun kita telah meninggal dunia.

Anak Tidak Mampu Membalas Jasa Ibu Bapa

Anak Tidak Mampu Membalas Jasa Ibu Bapa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَجْزِي وَلَدٌ وَالِدًا إِلَّا أَنْ يَجِدَهُ مَمْلُوكًا فَيَشْتَرِيَهُ فَيُعْتِقَهُ

Dari Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW  bersabda: “Seorang anak tidak akan mampu untuk membalas kebaikan orang tuanya, kecuali ia mendapatinya dalam keadaan hamba, lalu ia membeli dan memerdekakannya.” (HR Tirmizi No: 1829) Status: Hasan Sahih.

Pengajaran:

1.  Pengorbanan ibu bapa terhadap anak-anak amat besar. Bermula dari kesusahan si ibu ketika mengandungkannya, melahirkan hinggalah membesarkannya

2.  Seorang anak tidak akan mampu membalas kebaikan ibu bapanya yang telah mengasuh, membimbing dan memberikan pendidikan di samping keperluan fizikal.

3.  Perbandingan membalas jasa keduanya diumpamakan jika orang tuanya seorang hamba, lalu si anak membeli dan memerdekakannya.

Daripada kedua ibu bapa, kita dilahirkan ke dunia. Berkhidmatlah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa semampu yang boleh.

Create your website with WordPress.com
Get started