SEJARAH AL-FADHIL TUAN GURU USTAZ MUSA BIN SALEH

BERITA KEMATIAN AL-FADHIL TUANGURU USTAZ MUSA BIN SALEH…..AL FATIHAH.

CATATAN SEGERA OLEH USTAZ DR AZAHAR BIN YAAKUB.

Assalamualaikum semua sahabat-sahabat yang dikasihi sekelian.

1) Pada tanggal 13 Safar 1443 bersamaan 20 September 2021 hari Isnin, lebih kurang jam 12:15 pagi Allah yang maha Penyayang dan Pengasih telah menjemput hambanya bernama Musa bin Saleh kembali ke rahmatullah dengan menjadikan sakit tua pada usia 88 tahun penyebabnya.

2) Arwah ialah ayah kepada Ustazah Datuk Dr. Norhafizah binti Musa, juga merupakan bapa mentua kepada Ustaz Dr. Azahar bin Yaakub.

Allahyarham Ustaz Musa @ Abah waktu mudanya  mendambakan diri berkelana mencari ilmu agama di merata tempat.

3) Hampir 40 tahun abah berkhidmat menjadi Guru Agama di beberapa buah sekolah. Malamnya menjadi Imam Satu di Masjid Kuala Jempol, Negeri Sembilan. Arwah juga Penaung kepada Tahfiz Darul Furqan, Padang Balang, KL dan Tahfiz Madinatul Huffaz, Gombak, KL. Kedua-dua tahfiz ini dimiliki oleh dua anak perempuannya, Ustazah Noranisah Musa dan Ustazah Norhafizah Musa bersama suami masing-masing.

4) Abah terus menyumbang bakti menjadi Guru Takmir mengajar agama di masjid-masjid di sekitar Seremban, Kuala Pilah, Jempol dan Bahau. Puluhan pasangan juga telah berkahwin melalui Wali Hakim, abah sebagai juru nikah rasmi Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan.

5) Hasil perkahwinan abah dengan Ustazah Hajah Maryam binti Zakaria memperolehi 6 orang anak yang berjaya, kesemuanya memiliki latarbelakang agama dan pendakwah, alhamdulillah. Ustazah Norhafizah ialah anak ke-5.

6) Ustaz selaku menantu banyak sekali belajar dari arwah abah. Beliau teguh dengan pendirian agama, istiqamah ibadahnya, mulia akhlaknya, halus dan hikmah dalam membuat keputusan, bersih sekali hati nalurinya, peneraju utama dalam mendidik anak-anak serta memiliki nilai qawwamah sebagai pemimpin rumahtangga dan masyarakat.

7) Terlampau banyak nostalgia indah ustaz dengan arwah abah.

Contoh pengalaman ketika ustaz dan ustazah ingin berkahwin dulu, adalah berlaku penentangan dan halangan dari banyak pihak. Namun abah nekad tidak masuk dalam arus tersebut. Sebaliknya abah secara halus dan hikmah sekali dalam membuat keputusan dengan beristikharah menyerah kepada takdir Allah.

8) Selama tiga malam abah solat istikharah dengan cara yang amat kukuh dan adil. Akhirnya abah memuktamadkan dengan tiba-tiba menelefon ustaz dan minta datang segera ke rumah Jempol untuk aqad nikah. Abah sanggup dilihat menentang arus sekeliling seketika, namun abah yakin dengan keputusan istikharahnya yang bersandarkan pedoman dari Allah.

9) Nyatakan sekali masa pantas berlaku akhirnya dengan izin Allah semua yang berada di sekeliling abah mulai menyayangi kami sekeluarga. Sehingga kami suami isteri pula malu dengan layanan baik dari semua keluarga besar di Jempol terutama dari ibu mertua ustaz yang amat ustaz sayangi iaitu Ustazah Hajah Maryam.

10) Bagi ustaz arwah abah dan emak mertua, ustazah Maryam betul² pengganti bapa dan ibu ustaz yang telah lama meninggal dunia. Mereka berdua tempat ustaz bersandar berkasih sayang, mencurah bakti dan meminta nasihat.

11) Pernah seketika hanya ustaz dan abah sahaja berkebetulan ada di rumah Jempol. Seketika abah diam-diam ke dapur dan keluar membawa tea dan biskut menjemput ustaz minum petang. Amat terharu dan malu betapa santunnya abah melayan menantu.

12) Abah selain menjadi pelanggan tetap akhbar HARAKAH, abah juga amat bersemangat bila berbicara soal agama dan politik semasa di Malaysia. Siap berpesan kepada kami anak menantu agar terus penyokong perjuangan Islam. Abah amat mengkagumi Allahyarham Tuanguru Haji Nik Abdul Aziz Nikmat.

13) “Ini orang alim, cergas dalam perjuangan Islam, akhlaknya mulia. Kita kena ikut perjuangan dia”,Tegas abah kepada kami semua

14) Ini di antara nasihat abah bila kami anak menantu pulang bersantai di Kampung,  Kuala Jempol. Selalunya ustaz kalau balik kampung di Jempol, abah akan minta ustaz menggantikan tempat beliau sebagai imam dan pentazkirah.

15) Biasanya selepas solat subuh abah akan minta ustaz bawa abah ke restoran untuk sarapan makan roti canai dan tea, itu menu kegemaran abah. Sambil hirup tea, kami berdua sembang berbicara adakalanya santai dan serius.Tajuk kegemaran yang abah suka sembang ialah bab fekah dan politik semasa tanahair.

16) Apa yang enak selalunya kami akan makan free saja di restoran.Tiba masa ustaz nak bayar, cashier akan beritahu sudah ada orang lain bayar untuk meja Ustaz Musa. Ustaz yakin ini semua aura baik abah yang dikenali oleh masyarakat setempat, Alhamdulillah.

17) Pernah satu pagi ketika kami berdoa asyik makan di restoran abah tanya ustaz soalan susah bab

 فقه التعايش مع غير المسلمين

Apa yang boleh ustaz buat kesimpulan betapa abah biarpun lanjut usia, tetap beliau update bab fekah @ agama. Padahal bab ini baru saja muncul dalam ensiklopedia ilmu feqah.

18) Sembang dengan abah tentunya kerap diselangi dalam bahasa Arab. Abah memang mahir dan menguasai betul bahasa Arabnya. Ada nota silibus Bahasa Arab dari awal bab hingga akhir yang abah tulis sendiri untuk kegunaan pelajar-pelajar samada ketika mengajar di sekolah atau masjid. In Sya Allah ustaz berhasrat untuk mencetak buku tersebut. Nota abah mudah difahami.

19) Bahkan Ustazah Norhafizah pun mahir berbahasa Arab semenjak di bangku sekolah menengah kerana abah yang mengajarnya ketika kedua-dua beranak ini mengajar dan belajar di Sekolah yang sama iaitu Sekolah Agama Serting Hulu.

20) Abah memang seorang yang sangat teliti dan cermat samada dalam membuat keputusan atau tindakan. Kalau kita ke Masjid Kuala Jempol, masih ada beberapa tulisan khat abah yang sangat lawa terpahat di sana. Pakaian abah dibasuhnya sendiri supaya tidak menyusahkan orang lain dan biar puas hati tahap kebersihannya.Tiba masa nak sidai kain, abah akan bersihkan dulu dawai @ tali sidaian supaya tidak kotor kain di atasnya.

21) MasyaAllah semua ini ustaz saksikan sendiri betapa cermat dan halus perlakuan abah sehalus tuturkatanya. Memang abah cermat, halus dan teliti bermula dari cara berfikir, menyusun kata-kata,  dan dalam membuat keputusan dan tindakan.

22) Semoga damailah arwah abah di alam barzakh dan menjadi ahli syurga, In syaAllah dan Amin

23) Buat ibu mertua yang Azahar kasihi dan sayangi, Ustazah Hajah Maryam, In Sya Allah kami seluruh anak menantu serta cucu² dan cicit akan menjaga emak @ wan sebaik mungkin. Tentunya Wan bersedih dengan kematian suami tercinta. Namun itulah takdir hidup yang disusun oleh Allah. Ada siang ada malamnya. Ada bulan ada bintangnya. Ada hidup ada matinya. Paling penting Allah meredhai kita semua.

24) AL-FATIHAH buat bapa mertuaku, Almarhum Al-Fadhil Ustaz Tuanguru Ustaz Musa bin Saleh.

In sya Allah kelak kita semua akan sama-sama bertemu di Jannah. Amin.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s