KEHIDUPAN PASCA PKP/PKPB

KEHIDUPAN PASCA PKP/PKPB

Hajah Siti Fatimah binti Abdul Rahman 28/06/2020

Bermula 1 Jun 2020, semakin banyak pejabat yang kembali beroperasi setelah ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan/Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKP/PKPB).  Ini bererti semakin ramai pekerja kembali bertugas di pejabat serta menempuhi rutin hidup seperti biasa.  Betul, hidup perlu diteruskan tetapi ia perlu diteruskan dengan mengamalkan kelaziman-kelaziman baru seperti memakai pelitup muka ketika di pejabat, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau dengan hand sanitizer, menjaga jarak sosial dan seumpamanya.

Pengalaman di China dan beberapa buah negara Eropah yang kembali beroperasi seperti biasa selepas perintah berkurung mendapati bahawa virus COVID-19 kembali menyerang.  Walaupun pengalaman seumpama ini menakutkan, namun, ia tidak sepatutnya mematahkan semangat kita.  Dengan mengamalkan langkah berjaga-jaga yang disarankan, kita mampu memelihara diri dan orang di sekeliling kita dariPADA dijangkiti wabak ini.

Di pejabat-pejabat kerajaan misalnya, langkah berjaga-jaga ini dikenali sebagai Norma Baharu Amalan Seharian Warga Kerja yang menetapkan agar perkara-perkara berikut diamalkan: (i) memeriksa suhu badan setiap hari, (ii) kerap membasuh tangan dengan air dan sabun serta sering menggunakan hand sanitizer; (iii) memakai pelitup muka; (iv) mengelakkan sentuhan dengan rakan sekerja; (v) mengamalkan penjarakan sosial; (vi) terus pulang ke rumah selepas kerja; dan, (vii) berdoa dijauhi wabak.

Pada masa yang sama, perkara-perkara berikut hendaklah dielakkan: (i) bersalaman; (ii) bersentuhan; (iii) menghadiri perhimpunan; (iv) berkumpul beramai-ramai; dan, (v) bekerja dalam kawasan tertutup.

Pastinya langkah berjaga-jaga yang sama perlu diamalkan di pejabat swasta mahupun di tempat-tempat awam.  Kerajaan telah memberikan garis panduan bagaimana kita perlu meneruskan kehidupan pasca PKP/PKPB ini demi membendung wabak COVID-19.  Kini bergantung kepada kita, untuk mematuhinya atau mengengkarinya. 

Sebagai orang Islam yang diarahkan untuk kembali bertugas di pejabat, kita sepatutnya bersyukur kerana masih boleh bekerja.  Seperti yang dimaklumi, ramai yang kehilangan kerja dan punca pendapatan akibat PKP/PKPB.  Maka, bagi mensyukuri kerja yang masih dimiliki itu, marilah kita berazam untuk bekerja bersungguh-sungguh walaupun dalam situasi yang sedikit mencabar seperti menaiki kenderaan awam yang boleh meningkatkan risiko jangkitan, mahupun bekerja dengan memakai pelitup muka sepanjang masa.

Mungkin juga ramai yang tidak sabar untuk masuk bekerja kerana Bekerja Dari Rumah (BDR) bukanlah pilihan terbaik untuk mereka.  Dalam satu kaji selidik di China yang dilakukan oleh Zhang Xiaomen, seorang ahli akademik dalam bidang Tingkah laku Organisasi dari sebuah Fakulti Perniagaan, didapati bahawa dari 5835 orang responden, 53 peratus daripadanya mengakui bahawa keberkesanan mereka sebagai pekerja menurun apabila BDR; 37 peratus lagi merasakan tiada perubahan, manakala hanya 10 peratus yang mengakui bahawa keberkesanan mereka meningkat ketika BDR.  Jadi, kepada majoriti pekerja, kembali ke pejabat adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu. 

Justeru, untuk meneruskan hidup pasca PKP/PKPB ini, sama ada untuk kembali bekerja di pejabat atau aktiviti lainnya, kita perlu mengamalkan Norma Baharu Amalan Seharian.  Jika dahulu gincu bibir menjadi penyeri wajah kita, kini pelitup muka menjadi penyelamat nyawa kita.  Jika dahulu waktu makan tengah hari menjadi tempat kita bersosial dengan kawan-kawan di pejabat, kini kita mungkin perlu makan bersendirian. Jika  dahulu kita mengharapkan pekerja pencucian membersihkan bilik pejabat kita sekali atau dua kali seminggu, kini kita sendiri yang perlu melakukannya setiap hari.

Begitu juga, jika sebelum PKP/PKPB kita sering membawa keluarga berjalan-jalan di pusat membeli belah di hujung minggu, mungkin aktiviti ini tidak lagi boleh diteruskan buat masa ini. Jika dahulu kita sering makan di luar bersama keluarga, kini kita hanya makan di rumah.  Sekiranya kita ingin makan di luar sekalipun, kita perlu memilih tempat makan yang memenuhi garis panduan (SOP) yang ditetapkan.

Norma Baharu Amalan Seharian ini dilihat memenuhi prinsip Islam dalam penjagaan kesihatan iaitu prinsip “la darar wala dirar” yang bermaksud, “Tidak ada sebarang mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.”  Menurut prinsip ini, orang Islam tidak boleh melakukan sesuatu yang memudaratkan dirinya   dan/atau memudaratkan orang lain. 

Dalam konteks kita sedang berhadapan dengan wabak COVID-19 ini, tidak memakai pelitup muka dan tidak mencuci tangan dengan kerap bererti kita memudaratkan diri kita sendiri kerana mendedahkan diri kita kepada virus tersebut.  Manakala tidak mematuhi saranan-saranan agar kita mengelakkan sentuhan atau menghadiri perhimpunan mungkin menyebabkan kita memudaratkan orang lain dengan menyebarkan virus ini kepada mereka.

Pada  masa yang sama, norma baharu ini juga adalah ikhtiar kita untuk mengelakkan diri, keluarga dan masyarakat daripada virus dan penularan wabak ini.  Setelah segala ikhtiar ini kita laksanakan, jangan pula kita lupa untuk berdoa kepada Allah Yang Maha Pelindung agar melindungi diri kita, keluarga dan masyarakat kita daripada wabak ini.   Sesungguhnya doa adalah senjata terbaik untuk orang Islam, di samping mengambil langkah-langkah pencegahan dengan sebaik mungkin.https://www.ikim.gov.my/index.php/2020/06/28/kehidupan-pasca-pkp-pkpb/

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Create your website with WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: