Kedaulatan makanan negara semasa krisis pandemik

Kedaulatan makanan negara semasa krisis pandemik : Di manakah peranan kita?

Puan Norkumala binti Awang 12/06/2020

Malaysia telah menduduki tangga ke-28 pada tahun 2019 berbanding tempat ke-48 pada tahun 2018 dalam Global Food Security Index. Situasi ini telah menempatkan Malaysia berada pada tempat kelima yang mempunyai skor tertinggi status sekuriti makanan di Asia Pasifik. Walau bagaimanapun, rekod tersebut bukan satu jaminan bahawa bekalan makanan di Malaysia tidak terancam dengan penularan pandemik Covid-19. Aspek sekuriti makanan tidak boleh dipandang remeh tetapi harus dimantapkan lagi.

            Penularan wabak Covid-19 yang tidak terjangka memberi impak kepada siap siaga negara dalam menghadapi kejutan krisis bekalan makanan. Ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bertujuan untuk mengekang penularan Covid-19, sudah pasti menimbulkan ancaman terhadap ketersediaan bekalan makanan untuk satu tempoh yang lama. Ketidakstabilan dan ketidakpastian dalam rantaian pengeluaran makanan semasa pandemik akan memberi risiko berlarutan kepada hala tuju sektor makanan negara khususnya jaminan sekuriti makanan sekiranya tidak ditangani secara tuntas. Apakah krisis Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada hari ini benar-benar memberi kesan kritikal dan menterjemah hakikat sebenar status bekalan makanan di Malaysia?

Sekuriti makanan negara perlu dilihat secara multidimensi daripada aspek kestabilan, ketersediaan, kemudahan dan kemampuan untuk memperoleh makanan selamat serta berkhasiat supaya dapat dinikmati oleh semua individu sepanjang masa termasuk dalam menghadapi saat kegetiran wabak pandemik. Maka, sudah pasti sudut kedaulatan makanan tidak boleh dipandang ringan untuk memastikan keupayaan dan tahap kemandirian bekalan makanan lokal sesebuah negara dalam menghadapi ancaman penularan wabak.

Kedaulatan makanan ialah penggunaan makanan sihat dan sesuai mengikut keperluan masyarakat tempatan dengan mengutamakan pengeluaran untuk pasaran tempatan serta hak untuk menentukan, melindungi dan mengawal pengeluaran pertanian dan ternakan dalam sistem pertanian negara. Untuk itu, usaha meningkatkan hasil pengeluaran makanan tempatan perlu digembleng di samping dapat mengurangkan kebergantungan terhadap makanan import. Ini kerana wabak pandemik yang melanda seluruh dunia mungkin akan berlanjutan dalam suatu tempoh yang panjang dan sudah pasti menjadi dilema kepada negara pengimport untuk memastikan keperluan warganya mencukupi terlebih dahulu sebelum dieksport keluar.

Fenomena pembelian panik mencetuskan kesukaran ketersediaan makanan sepertimana yang berlaku pada permulaan fasa PKP diperintahkan. Situasi ini menyebabkan manipulasi harga barangan yang akan terus menyaksikan peningkatan harga dan pengurangan bekalan makanan.

Beras merupakan makanan ruji di Malaysia di samping keperluan tanaman lain serta penternakan.  Justeru, penumpuan harus diberikan untuk memastikan persediaan bekalan beras tempatan, sumber tanaman lain dan haiwan ternakan mencukupi untuk satu jangka masa panjang, Kos penghasilan sumber makanan dapat dikurangkan dan dikawal selia dengan penyaluran bantuan seperti subsidi baja, padi dan bank biji benih serta sistem pengairan sebagai sumber air untuk pertanian dapat naik taraf. Di samping itu, pembangunan tanah-tanah terbiar dan tanah wakaf perlu diteroka bagi aktiviti pertanian dan penternakan demi memastikan kadar tahap sara diri (SSL) terus meningkat dan negara tidak bergantung kepada sumber import sekiranya terus berdepan dengan kesukaran yang tidak boleh dijangka.

Golongan petani harus terus dibantu dengan pakej rangsangan dan program penggalakan yang konsisten agar lebih ramai masyarakat menceburi bidang pertanian bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan. Teknologi baharu perlu diaplikasikan bagi meningkatkan produktiviti makanan dan memberi nilai tambah dalam memastikan agihan bekalan dan penggunaan makanan tidak terputus serta mampu menyelesaikan masalah kekurangan tenaga buruh. Usaha melalui pendekatan teknologi diharapkan dapat mengeluarkan masyarakat daripada belenggu ketidakcukupan makanan dan menjaga kedaulatan makanan negara.

Justeru, apakah peranan yang seharusnya diambil oleh masyarakat dalam memastikan ketersediaan makanan terus berlangsung di samping usaha-usaha kerajaan yang dikenal pasti bagi membantu kelangsungan kedaulatan makanan negara? Dalam tempoh PKP, setiap individu harus memanfaatkan masa terluang dengan menanam tanaman sayuran asas di halaman rumah atau menggunakan kaedah dan teknologi tertentu sekiranya tiada tanah untuk menanam. Langkah ini akan mengurangkan perbelanjaan isi rumah untuk kegunaan dapur masing-masing pada saat-saat mencabar ini.

Dalam keadaan getir ini, sebagai umat Islam harus bersyukur dengan kadar rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah dan perlu berusaha untuk membaik pulih keadaan yang sedang dilalui kini dengan usaha dan langkah yang konstruktif dengan mengambil inspirasi daripada ayat 27 surah as-Sajadah yang dirakamkan oleh Allah dalam al-Quran, yang bermaksud “Dan tidakkah mereka (yang tidak mahu taat dan bersyukur) itu melihat bahawa Kami mengarahkan turunnya hujan ke bumi yang kering kontang, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman-tanaman, yang daripadanya dimakan oleh binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri? Maka mengapa mereka tidak mahu memerhati (semuanya itu supaya taat dan bersyukur)?”

Islam mengambil berat terhadap kesan ketidakcukupan makanan yang akan menggugat keimanan seseorang. Ini kerana apabila diuji dengan kelaparan dan ketidakcukupan makanan, manusia sanggup melakukan apa sahaja bagi memenuhi keperluannya walaupun dilarang dalam Islam. Sehubungan itu, situasi yang dihadapi pada hari ini cukup membimbangkan apabila PKP yang sedang dilaksanakan menggugat status ekonomi seterusnya mengganggu rantaian bekalan makanan yang sedia ada. Kebimbangan dijangkiti wabak Covid-19 tetap ada, namun kesempitan hidup untuk mendapat keperluan makanan khususnya, akan menyebabkan masyarakat terdesak mencetuskan pula masalah jenayah dan kebejatan sosial yang lebih kritikal. Kelumpuhan ekonomi menyekat kemampuan masyarakat untuk mendapatkan makanan dan keperluan lain. Ekonomi yang tidak dipulihkan akan menimbulkan ketidakseimbangan yang lebih dahsyat kepada masyarakat seperti masalah kesihatan yang lain, keganasan domestik dan masalah sosial yang lebih sukar dan mengambil masa yang lama untuk dikawal.

Justeru, langkah membuka semula sektor ekonomi penting semasa fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan memastikan kelangsungan sektor rantaian makanan agar stok pengeluaran mencukupi dan berada pada tahap selamat seterusnya dapat mengaplikasikan langkah strategik dalam memelihara kedaulatan makanan negara dan mengurangkan kebergantungan makanan import serta memperkasa sosioekonomi para petani.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s