DUNIA DAN KEHIDUPAN MANUSIA

DUNIA DAN KEHIDUPAN MANUSIA

Dunia mempunyai beberapa sifat, iaitu:

1)La’ibun (permainan), iaitu permainan jasmani dan ini adalah perbuatan anak-anak yang mereka itu menjadikan diri mereka sangat letih dan kemudian setelah permainan tersebut selesai tidak ada faedah yang diperolehi.

2)Lahwun (Sesuatu yang melalaikan/senda gurau), iaitu yang menjadikan hati lalai. Ini adalah perbuatan orang dewasa yang kebanyakannya setelah perbuatan yang melalaikan itu selesai, maka yang tinggal hanyalah penyesalan. Ini kerana, orang yang berakal setelah melakukan perbuatan yang melalaikan dia melihat bahawa hartanya hilang, umurnya berkurang (pergi) dan kelazatannya habis. Sedangkan nafsu/jiwa semakin rindu dan haus akan hal tersebut, namun nafsu tidak memperolehinya, sehingga terkumpul kesan buruk dan berkesinambungan (tidak pernah puas).

3)Zinah (perhiasan), iaitu berhias dalam hal pakaian, makanan, minuman, kenderaan, rumah, istana, kedudukan, dan lain-lain. Ibnu Abbas R.Anhuma berkata, “Maksudnya adalah bahawasanya orang kafir sibuk sepanjang hidupnya untuk mencari perhiasan dunia tanpa beramal untuk akhirat.”

Saling berbangga terhadap sifat-sifat yang fana’ (tidak abadi) dan pasti hilang, iaitu boleh jadi berbangga-bangga dengan nasab, kekuasaan, kekuatan, bala tentera yang semuanya itu pasti lenyap. Dan saling berbangga di antara kamu iaitu masing-masing dari penduduk dunia ingin membanggakan atas yang lain dan ingin supaya dia menjadi jaguh dalam semua urusannya dan ingin mendapatkan populariti dalam semua keadaannya.

Berbangga-bangga dengan harta dan anak, iaitu masing-masing menginginkan dia lebih banyak dari yang lainnya dalam hal harta dan anak. Semua ini hanya terjadi pada diri pencinta dunia dan yang merasa damai dengan dunia.

Ibnu Abbas R.Anhuma berkata, “Mengumpulkan harta dalam kemurkaan Allah dan membanggakan harta terhadap wali-wali Allah serta mengeluarkan harta dalam perkara-perkara yang mendatangkan murka Allah maka dia menjadi kegelapan yang bertumpuk-tumpuk.” Hasan al-Basri Rahimahullah berkata, “Apabila kamu melihat orang yang mengalahkanmu dalam perkara dunia, maka kalahkan dia dalam hal akhirat.”

Semoga Allah selamatkan kita daripada tipu daya dunia dan menjadikan kita mendapat kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

 Firman Allah SWT:Maksudnya: “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

(Surah al-Hadid (20)

Untuk mendapatkan sebuah tafsiran yang jelas, marilah kita merujuk kepada ulama’ salafus soleh dari kalangan ahli tafsir serta ulama’ mutaakhirin. Kami mulakan dengan tafsiran ulama’ mutaqaddimin. Antaranya:

Ibn Kathi berkata dalam tafsirnya, Tafsir al-Quran al-‘Azim (8/55-65): Allah berfirman dengan merendahkan dan menghinakan kehidupan dunia dalam ayat di atas. Iaitu yang dihasilkan oleh hal-hal duniawi bagi penghuninya hanyalah yang disebutkan itu. Ia adalah sepertimana firman Allah SWT:

Maksudnya: Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

(Surah Ali Imran (14)

Firman Allah yg bermaksud“ُKemudian tanaman itu bergerak segar s masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai), maksudnya tanaman itu berubah menjadi kering sehingga engkau melihatnya berwarna kuning setelah sebelumnya berwarna hijau. Dan selepas itu semuanya berubah menjadi kering dan hancur.

Demikianlah kehidupan dunia berjalan. Pertama muda belia, lalu menginjak dewasa, kemudian menjadi lemah dan tidak berdaya. Ketika perumpamaan itu menunjukkan lenyap dan musnahnya dunia yang pasti akan terjadi, tidak mungkin tidak dan bahawasanya akhirat pasti ada. Dan tidak mungkin tidak Allah mengingatkan agar sentiasa beringat dengan kehidupan dunia dan menanamkan kecintaan terhadap kebaikan di dalamnya.

Firman Allah yg bermaksud ِ” (Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya) Yakni semuanya itu hanya merupakan kesenangan fana, yang menipu sesiapa sahaja yang cenderung kepadanya. Sesungguhnya manusia yang tertipu olehnya dan dibuatnya terkagum-kagum, sehingga dia meyakini bahawasanya tidak ada alam lain selain dunia dan tidak ada akhirat setelah dunia, sedangkan ia (dunia) sangat hina dan sangat kecil dibandingkan dengan alam akhirat.

Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Satu tempat di syurga yang sebesar cemeti lebih baik daripada dunia dan seisinya.”

Riwayat al-Bukhari (6415)

Manakala dalam hadis daripada Abdullah R.A, Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Syurga itu lebih dekat kepada salah seorang di antara kamu daripada tali sandalnya. Dan neraka juga demikian.”

Riwayat al-Bukhari (6488)

Huraian Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya, Tafsir Mafatih al-Ghaib (29/462-464) berkata: Ketahuilah olehmu bahawasanya hidup di dunia ini ada hikmahnya dan ada benarnya. Ia adalah kerana Tuhan telah berfirman bahawa Dia lebih tahu apa yang manusia tidak mengetahuinya. Jika bukan ada hikmah dan ada kebenaranya nescaya Allah tidak akan berfirman sedemikian. Dan Tuhan juga telah menciptakan hidup dan disebutkan pula bahawasanya Tuhan telah menciptakan mati dan hidup adalah kerana bagi menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Tuhan juga menegaskan bahawa tidaklah Dia menciptakan itu dengan sembarangan dan tidak tentu arah (‘abath), dan firman-Nya juga: “Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di atas keduanya dengan sia-sia (batil).”

Oleh sebab hidup itu adalah nikmat, bahkan ia adalah asal pokok daripada nikmat, dan hakikat segala sesuatu tidak berubah, baik tatkala di dunia apatah lagi di akhirat. Dan oleh kerana Allah SWT juga amat besar kurnia-Nya, oleh kerana menciptakan hidup itu, maka berfirmanlah Dia: Bagaimana kamu akan kafir kepada Allah, sedangkan kamu tadinya mati, kemudian itu dihidupkan. Maka yang terutama sekali dari pelbagai jenis nikmat itu ialah nikmat hidup itu sendiri.

Oleh sebab itu maka dari segala yang telah kita turunkan itu, dapatlah kita katakan bahawa kehidupan dunia ini tidak tercela. Melainkan dengan yang dimaksud dengan mencela hidup itu ialah jika hidup dipergunakan untuk mengikuti kehendak syaitan dan menuruti hawa nafsu. Itulah yang tercela. Hidup yang begitulah yang dijelaskan cacatnya oleh Tuhan. Pertama bahawa hidup yang begitu ialah la’ibun, ertinya main-main; itulah perbuatan kanak-kanak yang badannya letih, faedahnya tidak ada. Kedua adalah lahwun, yang bermaksud senda gurau; iaitu perbuatan anak-anak muda. Biasanya setelah selesai bergurau-gurau tidak ada kesannya melainkan penyesalan. Kerana orang-orang yang berakal merasakan sendiri bahawa setelah senda gurau itu selesai, kesan yang tinggal hanyalah menyesal, harta habis dan umur juga habis. Kepuasan berganti dengan kepenatan, sedangkan jiwa haus hendak mengulanginya kembali. Kemudian ternyatalah mudaratnya datang tidak putus-putus. Kemudian itu dikatakan pula bahawa dunia itu tidak lain hanya perhiasa (zinatun). Inilah pangkal kerosakan, kerana perhiasan atau ziinah ialah berusaha mengelokkan barang walaupun kurang elok dan berusaha membuat sesuatu kelihatan sempurna sedangkan ia telah kurang.

Maka apabila sudah jelas bahawa usia itu sendiri dari muda pasti menuju tua, dari kukuh pasti menuju runtuh, bagaimanalah seorang yang berakal ingin menjadikan waktunya menahan perjalanan yang wajar bahawa yang kukuh menuju rosak. Disebabkan itulah, Ibn Abbas memberikan kata ganti dalam tafsir ini: Makna ayat ini ialah bahawa orang yang kafir itu siang malam yang difikirkannya di dunia ini ialah memperbaiki yang rosak dan dia lupa kepada kehidupan akhirat. Hal ini sepertimana syair yang menyebut:

 Hidupmu di dunia, wahai orang yang tertipu, ialah lupa dan lalai.

Syeikh al-Maraghi berkata: “Kehidupan dunia dari aspek kebinasaan dan kemusnahan yang begitu cepat diumpamakan seperti tanah yang ditimpa hujan lebat. Seterusnya Dia menumbuhkan tumbuh-tumbuhan yang mengagumkan para petani dan menjadikan mereka berasa gembira, rasa tertarik, bersuka ria dan bersenang-senang, namun ketika mereka diasyikkan dengan keadaan demikian, tiba-tiba tanam-tanaman itu menjadi kering dan hancur berterbangan ditiup angin.

Kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan dan kenikmatan yang akan mengalami kemusnahan, tidak kekal dan hanya cenderung memperdayakan orang dan sememangnya sudah ramai orang yang telah terperdaya dan kagum terhadapnya sehingga dia berkeyakinan bahawa tidak ada negeri lain selain dunia ini dan tidak ada tempat kembali lagi di seberang sana. ” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/6855)

Berkata Sayyid Qutb: Kehidupan dunia apabila diukurkan dengan ukuran dunia dan ditimbangkan dengan neraca dunia, maka ia akan dilihat dan dirasakan sebagai satu kehidupan yang amat agung dan besar. Akan tetapi, apabila diukur dengan ukuran alam buana dan ditimbangkan dengan neraca Akhirat, maka ia akan kelihatan sangat kecil dan kerdil. Gambaran kehidupan dunia di sini kelihatan seperti mainan-mainan kanak-kanak yang kecil sahaja jika dibandingkan dengan kebesaran dan kesungguhan kehidupan Akhirat, di mana berakhirnya kesudahan untung nasib manusia setelah selesainya permainan hidup di dunia.

Permainan, hiburan, berbangga-bangga, berlumba-lumba membanyakkan harta dan anak merupakan hakikat kehidupan dunia walaupun pada lahirnya kelihatan merupakan satu kehidupan yang penuh dengan kesungguhan dan kesibukan.

Kemudian al-Quran terus membandingkan kehidupan dunia dengan satu perbandingan yang menarik mengikut cara al-Quran yang amat seni, iaitu kehidupan dunia ini adalah sama seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya,Kata-kata َdi sini mengandungi maksud sindiran untuk menunjukkan bahawa orang-orang yang kafir itu amat tertarik dengan kehidupan dunia.

Beliau berkata lagi: Inilah hakikat kenikmatan dunia yang sebenar apabila seseorang berfikir secara mendalam untuk mencari hakikat yang sebenar. Tetapi tujuan al-Quran mengemukakan hakikat ini bukanlah untuk menggalakkan manusia supaya memencilkan diri mereka dari kehidupan dunia dan mengabaikan tugas pembangunan dan khalifah memerintah bumi yang telah diserahkan kepada makhluk manusia itu, malah tujuannya ialah untuk membetulkan ukuran perasaan dan penilaian jiwa manusia terhadap kehidupan itu, juga untuk mengingatkan manusia supaya jangan terpesona dengan kenikmatan dunia yang penuh dengan tipu daya itu, dan jangan terkongkong dengan tarikan yang mengikatkan manusia dengan bumi. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 15/525)

Dr. Hamka berkata: Diumpamakan Tuhan bahawa manusia berbangga dengan main-main, senda gurau, berhias, berbangga-bangga kerana pangkat dan kedudukan, dan banyak anak dan harta benda dengan petani ke sawah itu. Keduanya itu, kebanggaan dengan harta dunia dan ketakjuban petani melihat melihat hujan turun, janganlah terlalu dibanggakan. Kerana pada hakikatnya tidaklah kita yang kuasa.

Sudah berkali-kali, berpuluh beratus kali kejadian sawah yang telah kuning padinya, tidak disangka sama sekali, hancur melapik dengan bumi kerana angin ribut. Sawah yang telah menghijau padinya dan kelihatan akan subur kerana telah diberi pupuk, habis hilang kerana berhektar-hektar dibanjiri air hujan. Toko dan kedai besar yang didirikan dengan bersusah payah memakan waktu bertahun-tahun boleh sahaja dalam semalam, satu jam dua jam habis dimakan api. Bahkan kadang-kadang tubuh badan kita sendiri, kemarin sedang sihat wal afiat, besok pagi datang orang menghimbaukan bahawa tadi malam telah menghembuskan nafas terakhir. (Lihat Tafsir al-Azhar, 6/296)

Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: Sesungguhnya maksud yang utama dan pokok dari ayat ini adalah menegaskan akan hinanya dunia dan agungnya keadaan akhirat. Oleh kerana itu, Allah SWT menerangkan dunia dengan lima sifat atau spesifikasi, iaitu:

Pertama, dunia adalah permainan. Ini adalah tipikal bagi anak-anak yang sangat suka bermain sehingga letih dan menghabiskan tenaga mereka sedemikian rupa, dan kemudiannya hal itu berakhir tanpa ada sebarang faedah dan tenaga mereka terbuang sia-sia.

Kedua, dunia adalah hiburan dan huru-hara belaka. Ini adalah tipikal anak-anak muda, yang biasanya tidak memberika sesuatu melainkan penyesalan.

Ketiga, dunia adalah perhiasan. Ini adalah tipikal kaum perempuan, yang tujuan utamanya adalah menutupi kekurangan.

Keempat, saling membangga-banggakan diri dengan hal-hal yang fana, adakalanya dengan nasab, kemampuan dan potensi material, kekuatan fizik, dan lain-lain.

Kelima, dunia adalah tempat untuk saling bersaing dalam banyaknya harta dan anak. (Lihat Tafsir al-Munir, 14/353)

Namun apakah tujuan Allah menjadikan dunia dan manusia sebagai khalifah?

Firman Allah yg bermaksud:

 “Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam”. (Surah Ali Imran, ayat 102)

Allah SWT menciptakan manusia dengan sebaik-baik ciptaan. Allah SWT juga memuliakan manusia yang diciptakan-Nya, sebagaimana firman-Nya di dalam Al-Quranaksudnya:

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan”. (Surah Al-Israa’, ayat 70)

Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan mafhum ayat ini: Allah Ta’ala muliakan anak-anak Adam dengan menjadikan mereka dalam bentuk yang seelok-eloknya, pandai berkata-kata, berakal fikiran, sehingga dapat menguasai dunia dan isinya. Diberinya kemudahan bergerak di darat, di laut dan di udara dengan menggunakan berbagai jenis kenderaan. Diberinya rezeki dari benda-benda yang baik-baik dan lazat serta diberinya kelebihan yang besar dari kebanyakan makhluk-makhluk yang lain. Sebab itu, sudah semestinya mereka bersyukur akan nikmat-nikmat Allah yang besar itu, dengan beribadat kepada-Nya dan menjauhi perbuatan syirik.

Manusia dan makhluk-makhluk lain yang diciptakan Allah SWT, tidak diciptakan dengan sia-sia, melainkan ada manfaat dan juga fungsinya kepada kehidupan manusia dan juga alam ini. Firman Allah SWT yg maksudnya:

“Dia-lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk, Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada), Yang Membentuk rupa (makhluk-makhluk-Nya), bagi-Nya-lah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya, bertasbih kepada-Nya segala yang ada di langit dan di bumi dan Dia-lah Yang tidak ada tolok banding-Nya, lagi Maha Bijaksana”. (Surah Al-Hasyr, ayat 24)

Islam sebagai agama yang diperakui agama yang benar di sisi Allah SWT, adalah agama yang mengatur kehidupan manusia mengikut titah perintah Allah SWT dan mengikut Sunnah Rasul-Nya. FirmanAllah yg bermaksud

: “Dan tidaklah harus bagi orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata”. (Surah Al-Ahzab, ayat 36)

Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan lagi: Ayat ini menegaskan satu kaedah yang wajib dipatuhi oleh orang mukmin dalam segala urusan hidupnya, iaitu tidak harus bagi seseorang itu memilih sesuatu ketetapan selain daripada yang telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala dan diterangkan oleh Rasul-Nya.

Sehubungan itu, Islam meletakkan tiga tugas utama manusia sebagaimana hamba Allah yang menjadi penghuni di muka bumi ini, iaitu:

Pertama: Tugas sebagai hamba Allah SWT. Manusia diciptakan oleh Allah SWT untuk melaksana tugasnya sebagai hamba Allah ialah mengabdikan diri kepada Allah SWT dalam segala aspek kehidupan, bukan saja manusia, malah jin juga diciptakan untuk mengabdikan dirinya kepada Allah SWT. Maksud pengabdian kepada Allah SWT adalah luas, bukan semata-mata dalam ibadah-ibadah khusus seperti melaksanakan ibadat solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya, tetapi mencakupi aspek dalam mengatur uruskan kehidupan harian, hidup berkeluarga, bermasyarakat, bermuamalat, berpolitik, termasuk pendidikan, ekonomi, perundangan dan sebagainya mesti di atas landasan dan makna mengabdikan diri kepada Allah SWT, firman-Nya di dalam Al-Quran:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka mengabdi dan beribadat kepada-Ku”. (Surah Adz-Dzaariyaat, ayat 56)

Tidak syirik atau menyekutukan Allah SWT dalam beribadah, beramal, bekerja dan dalam apa-apa jua tindakan, firman-Nya yg maksudnya:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu, oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”. (Surah Al-Kahfi, ayat 110)

Kedua: Tugas sebagai khalifah Allah SWT. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah Al-Baqarah, ayat 30)

Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan maksud “khalifah” dalam ayat ini: Khalifah ialah seorang yang dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk mengatur kehidupan manusia di bumi dengan berdasarkan wahyu dan syariat Allah, supaya kehidupan manusia itu teratur dan mempunyai tujuan-tujuan hidup yang suci murni untuk mencapai keredhaan Allah Azza wa Jalla.

Kisah Nabi Daud AS di dalam Al-Quran merupakan iktibar dan pengajaran kepada umat manusia akhir zaman tentang tugas seorang khalifah, firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu) dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu”. (Surah Saad, ayat 26)

Pengajaran daripada ayat ini kepada umat Islam zaman ini, sebagai khalifah kita terikat dengan hukum dan syariat Islam yang mencakup semua perkara seperti aqidah, syariat, akhlak, kehidupan dan sebagainya.

Ketiga: Tugas untuk memakmurkan dunia. Manusia tidak diciptakan saja-saja atau sia-sia, tetapi Allah SWT menciptakan manusia dengan tugas besar untuk memakmurkan dunia, sebagaimana firman-Nya:

Maksudnya: “…Dia-lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya…”. (Surah Hud, ayat 61)

Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan maksud ayat ini: Yakni berusaha supaya ramai penduduknya, banyak hasil mahsulnya dan sejahtera hidup padanya.

Inilah tugas dan tanggungjawab manusia dalam memakmur dan juga membangunkan dunia selaras dengan maqasid syariah, demi memelihara dan menjaga lima perkara asas dalam kehidupan manusia, iaitu menjaga agama, akal, jiwa, nasab dan harta. Melalui ayat ini juga para Ulama menerangkan maksud kalimah “isti’mar” yakni memakmurkan itu, ialah perintah supaya manusia melaksana dan menegakkan segala tanggungjawab yang diletakkan di atas diri manusia.

Para ulama juga menggariskan makna memakmurkan dunia ini kepada tiga tanggungjawab besar, iaitu tanggungjawab kepada agama, tanggungjawab kepada masyarakat dan tanggungjawab kepada manusia. Islam meletakkan tanggungjawab kepada agama itu merupakan suatu yang paling utama dan penting dalam hidup manusia. Ini bermakna agama adalah perkara asas dalam mengurus dan memakmurkan hidup di dunia, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pokok segala urusan ialah Islam dan tiangnya ialah solat dan puncaknya (atapnya) ialah jihad”. (HR At-Tirmizi)

Demikianlah, indah dan sempurnanya Islam sebagai addin satu cara hidup yang mencakup semua aspek dan urusan kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Maka Syariat Islam inilah yang selayaknya menjadi dasar dan asas dalam kita mengatur hidup manusia dengan peraturan Allah SWT yang terbaik yang termaktub di dalam Al-Quran dan Sunah Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: “Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh”. (Surah Al-Anbiyaa’, ayat 105)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s