MEMERANGI DADAH MENGIKUT PERSPEKTIF ISLAM
Islam merupakan agama yang menekankan kesucian jiwa dalam kehidupan manusia yang bertamadun. Kesucian jiwa adalah
sebahagian daripada iman yang berfungsi melahirkan individu yang mematuhi segala syariat Islam. Masalah penyalahgunaan dadah dilihat sangat serius sejak kebelakangan ini.
Menurut Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan diantara tahun 2012-2016, jumlah penagih di negeri Kelantan seramai : 74,799 orang, purata tahunan : 14,960 orang, purata bulanan : 1,246 orang, purata harian : 42 orang dan melibatkan 75% kes berulang.
Islam menqiaskan dadah kepada arak iaitu perkara yang memabukkan, menghilangkan kewarasan akal dan pertimbangan diri. Oleh itu, Maqasid Syar’iyah menyamakan penglibatan individu dalam penyalahgunaan dadah sebagai pencabulan kepada agama, akal, diri dan harta hingga menyebabkan berlaku perlakuan yang diharamkan oleh agama. Kajian ini dikupas berdasarkan kajian perpustakaan yang dijalankan berdasarkan kitab dan himpunan penulisan ulama dan cendekiawan terdahulu. Kertas kerja ini mengulas perbincangan berkaitan definisi dadah dan fatwa-fatwa beberapa ulama mengenai pengharaman najis dadah dalam ketamadunan Islam.
Perbincangan juga merumuskan kesepakatan para ulama Malaysia yang mengharamkan penyalahgunaan dadah serta keperluan untuk memberi pendedahan meluas tentang isu ini kepada masyarakat bagi mengurangkan statistik penagihan dadah di Malaysia.
Pengenalan
Penyalahgunaan dadah telah menjadi satu masalah serius yang dihadapi oleh setiap negara di dunia termasuklah di rantau Nusantara.
Masalah ini dilihat mampu menjejaskan perkembangan sistem ekonomi, politik dan sosial bagi negara yang terlibat. Ini kerana pembangunan ketamadunan sesebuah negara itu bergantung pada keupayaan rakyatnya untuk mentadbir agar negara terus mencapai kemajuan. Jika rakyat sesebuah negara itu tidak memiliki keupayaan, maka segala perancangan negara terhadap pelaksanaan pembangunan ekonomi, politik dan sosial pasti tidak mencapai matlamatnya.
Pernyataan Masalah
Statistik menunjukkan bahawa kebanyakan penagih dadah di Malaysia terdiri daripada kalangan bangsa Melayu yang beragama Islam (Abdul Fatah, 2009). Data menunjukkan peningkatan penagih dadah pada setiap tahun. Pada tahun 2010 menunjukkan seramai 16,646 orang berbanding 15,736 orang pada tahun 2009, ini ditambah pula dengan penagihan semula yang meningkat pada setiap tahun selepas mendapat pemulihan daripada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) atau pusat rawatan alternatif (AADK, 2010). Keadaan ini mengundang persoalan adakah mereka tidak mengetahui bahawa agama Islam melarang keras penganutnya daripada menyalahgunakan sesuatu yang boleh membawa kerosakan pada diri termasuklah menyalahgunakan dadah. Jika benar andaian ini, maka wajarlah bagi para sarjana Islam di Malaysia khususnya merangka satu penjelasan berkaitan hukum penyalahgunaan najis dadah dan disebarkan secara meluas kepada masyarakat. Ini kerana didikan dan penghayatan agama merupakan langkah pencegahan berkesan bagi membolehkan seseorang individu itu tidak terjerumus dengan penyalahgunaan dadah.
Pengertian Dadah
Dadah dalam bahasa Arab disebut sebagai al-mukhaddarat berasal daripada perkataan mukhaddara iaitu benda-benda yang boleh menyebabkan hilangnya pertimbangan dan kewarasan seperti ganja dan morfin (Al-Marbawi, 1998).
Berdasarkan kajian para ulama dan ahli perubatan Islam, kesan daripada penggunaan dadah adalah sama dengan kesan meminum arak kerana boleh memabukkan dan menghilangkan kewarasan akal. Pengertian al-mukhaddarat ini sebagai benda-benda yang memabukkan dan boleh menghilangkan kewarasan akal dilihat bertepatan dengan sabda Rasullah SAW: Setiap yang memabukkan adalah arak dan setiap arak itu adalah haram.
(Riwayat Muslim).Menurut risalah Islam Memusuhi Dadah (Anti Dadah, 1993), dadah ialah bahan kimia psikoaktif yang mempunyai kesan paling buruk ke atas sistem saraf tubuh manusia seperti menyebabkan mabuk,untuk mengesan, mencegah atau mengubati penyakit. Selain itu, dadah juga ditakrifkan sebagai apa-apa bahan kimia sama ada asli atau tiruan apabila digunakan boleh mengubah fungsi badan, perasaan atau kelakuan seseorang penagih
Keputusan Fatwa Malaysia Tentang Permasalahan Dadah
Selain fatwa yang dikeluarkan oleh para ulama Islam, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-3 yang bersidang pada 15-16 April 1982 (JAKIM, 1982) turut membincangkan mengenai Masalah Dadah dan Penyelesaiannya serta telah memutuskan bahawa:
1. Sebarang penyalahgunaan, termasuk penyalahgunaan dadah, hukumnya haram.
2.Dadah hanya boleh digunakan bagi tujuan perubatan yang sah mengikut syarak.
Manakala Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21-23 November 2006 (www.e-fatwa.gov.my) turut membincangkan Hukum Penyalahgunaan Dadah Jenis Syabu dan Jenis-Jenis Dadah Baharu Yang Lain dan telah memutuskan bahawa:
1. Dadah jenis syabu dan dadah-dadah jenis baharu yang lain mempunyai kesan mudarat yang sama seperti ecstasy, katamine dan Gamma Hyroxybutyric Acid (GHB).
2. Oleh itu, penyalahgunaan dadah jenis syabu dan dadah-dadah jenis baharu yang lain adalah haram dan semua aktiviti yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah ini seperti menanam, memproses, memiliki, menjual, mengedar, membeli atau membenarkan premis digunakan untuk bersubahat dengan penggunaannya adalah juga diharamkan.
Kronologi Hukum Pengharaman Dadah
Menurut kesepakatan Ulama Islam, hukum asal terhadap sesuatu makanan dan minuman adalah halal serta boleh dimakan atau diminum (Al-Zuhaili, 2007). Selagi mana tiada sebarang dalil yang melarang sesuatu makanan atau minuman itu, maka dihukum sebagai harus dan halal. Kenyataan ini bersandarkan kepada firman Allah SWT:
Maksudnya: Dialah (Allah S.W.T.) yang menjadikan untuk kamu apa yang ada di bumi kesemuanya. (Surah al- Baqarah : 22).
Walau bagaimanapun, sesuatu perkara yang disebutkan pengharamannya oleh dalil lain secara khusus adalah terkeluar daripada maksud umum ayat di atas (Al-Khin, 2005) termasuklah dalam bab makanan dan minuman.
Antara perkara yang diharamkan oleh Allah SWT dan rasul-Nya adalah sesuatu benda yang boleh memabukkan seperti arak.
Rumusan
Pengharaman dadah dilihat kepada semua benda yang memabukkan adalah haram di sisi Islam, termasuklah semua jenis dadah sama ada dadah jenis baharu atau sebagainya. Ini kerana, penyalahgunaan dadah akan mengakibatkan kesan buruk dan mudarat yang amat besar kepada penagih. Bertambah jelas dengan adanya dalil-dalil yang menunjukkan tentang pengharaman dadah melalui kaedah qias illah terhadap pengharaman arak. Bahkan juga bukan setakat mendatangkan merosakkan kepada individu penagih itu sahaja, malah kerosakan ini mencakupi kerosakan kepada agama, bangsa dan negara memandangkan mereka merupakan aset berharga kepada masyarakat.
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang menyuruh manusia agar tidak mencampakkan diri mereka ke dalam kebinasaan dan melampaui batas, seperti mana ayat berikut:
Maksudnya: Wahai orang beriman! Janganlah kamu mengharamkan apa-apa yang baik yang telah dihalalkan Allah kepada mu, dan janganlah
kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.
(Surah al- Maidah: 87).
Menyedari hakikat masalah dadah yang kian rumit dan kompleks ini, kerjasama antara orang ramai dengan pihak berkuasa kerajaan adalah sangat diharapkan bagi mengatasi permasalahan umat kita ini. Semua dilihat pihak mempunyai peranannya yang tersendiri untuk dimainkan dalam mendidik anggota masyarakat tentang bahayanya najis dadah. Jika perkara ini dapat difahami, ia akan memberikan natijah bahawa permasalahan dadah ini bakal menemui penghujungnya.
RUJUKAN :
Pusat Pendidikan Asas dan Liberal, Universiti Malaysia Terengganu, Terengganu, 2Jabatan Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu.
*Corresponding author: bgq7729@yahoo.com.my