Design a site like this with WordPress.com
Mulakan

RENUNGI KEHIDUPAN INGATI KEMATIAN

ASSALAMUALAIKUM WBT., MUSLIMIM MUSLIMAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Saya berpesan kepada diri saya dan muslimin muslimat sekalian supaya meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangannya, sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa dengan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

seruan

Laman Minda Penerbit Kali ini akan membicarakan tajuk “RENUNGI KEHIDUPAN INGAT KEMATIAN”.

putus-nikmat-dunia-11

Kita sediamaklum bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati, begitu jugalah dengan manusia tiada seorang pun boleh lari dari ajalnya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, di mana bila ajal seseorang itu telah sampai malaikat Izrail tetap akan mencabut nyawanya tidak kira di mana seseorang itu berada.

putus-nikmat-dunia-22

Sebagaimana Firman Allah dalam surah al-Jumu’ah ayat 8 yang berbunyi:

“Katakan (wahai Muhammad) sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)”.

Begitulah apabila nyawa seseorang telah terpisah daripada jasadnya, maka tinggallah segala apa yang dimilik sama ada ahli keluarga, saudara mara dan harta benda yang akan diwarisi oleh kaum keluaga.  Jasad yang terbujur kaku akan diurus dan dihantar ke kubur untuk dikebumikan. Pada saat itu, terpisahlah ia ke alam lain iaitu alam kubur atau alam barzakh sementara menunggu hari pembalasan di akhirat.

putus-nikmat-dunia-3

Para alim ulama pernah berkata, kehidupan di dunia yang sementara ini, kadang-kadang menjadikan manusia lupa tentang kehidupan di alam akhirat yang kekal abadi.  Maka kehidupan di dunia ini dianggap sebagai godaan terbesar yang boleh memesongkan manusia dari mengingati Allah SWT, kecuali bagi orang-orang yang berjaya mengurus kehidupan mereka dengan ketakwaan kepada Allah SWT, yang mana ketakwaan tersebut menjadi jambatan emas menuju ke syurga.  Persoalannya, mengapa Islam menyuruh umatnya untuk sentiasa mengingati mati?.

Pertama: di antara sebab kenapa Islam menganjurkan umatnya supaya mengingati mati ialah, kerana manusia yang sentiasa mengingati mati akan dapat mendidik jiwanya menjadi rendah diri, tidak resah gelisah, tidak lupa diri dan sombong bahkan bersedia untuk menempuh kehidupan yang kekal abadi di akhirat.

Kedua: mengingati mati adalah suatu kejadian yang pasti akan dialami oleh setiap manusia dan mati juga suatu perkara yang tidak dapat dihindarkan walau dengan apa cara sekalipun dan ianya pasti berlaku ke atas setiap diri manusia. Namun begitu, mengingati mati itu, bukanlah bermaksud memaksa diri untuk segera mati atau sengaja mendedahkan diri kepada kematian.

Ketiga: mengingati mati menjadikan diri seseorang itu lebih bersedia dan merancang kehidupan sebelum mati dan dapat mengingatkan dirinya untuk berhadapan dengan mati, dengan itu dia terdorong untuk meningkatkan ketakwaan dengan memperbanyakkan amal ibadah sebagai bekalan untuk bertemu dengan Allah SWT.

Sebaliknya, bagi orang yang melupakan tentang kematian merupakan kesuatu perbuatan yang tidak dapat diterima akal dan termasuk di kalangan orang yang tidak bijak merancang masa depan, kerana sesungguhnya dengan mengingati kematian itu memberi kesedaran dan peringatan tentang kehidupan di dunia yang dilaluinya dan kehidupan di akhirat yang bakal ditempohi.

putus-nikmat-dunia-4

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Jabir yang bermaksud:

“Apabila seseorang dimasukkan nur (cahaya keimanan) maka hatinya akan menjadi lapang dan terbuka. Lalu sahabat bertanya : Apakah tandanya hati yang lapang dan terbuka itu?. Jawab Rasulullah SAW : Ada perhatian terhadap kehidupan yang kekal di akhirat dan timbulnya peringatan tentang tipu daya ini dan orang bersiap sedia mengahadapi mati sebelum datangnya ajal”.

Apabila seseorang telah disemadikan jasadnya di dalam kubur, pastinya ia keseorangan, tiada lagi kawan-kawan, tiada lagi ahli keluarga, tiada lagi tempat untuk mengadu dan memohan pertolongan. Bagi orang yang beriman kehidupan mereka di alam kubur dipenuhi dengan segala macam kenikmatan kurniaan Allah SWT. Sebaliknya bagi orang yang syirik, kufur dan ingkar terhadap suruhan dan perintah Allah sudah pasti seksaan dan azab kubur diterima sebagai tanda hukuman yang akan diterima di hari akhirat.

putus-nikmat-dunia-5

Oleh itu, sebelum jasad diusung ke tanah perkuburan dan disemadikan disana, marilah kita memperkasakan diri dengan keimanan yang mantap dan ketakwaan yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT. Di samping kita juga berdoa supaya kita termasuk di kalangan orang-orang yang soleh yang sentiasa memperbanyakkan amal ibadah tanpa jemu dan putus asa yang mana bekalan amal soleh sahajalah yang dapat menyelamatkan manusia dari azab kubur dan seksaan di akhirat. Janganlah kita menjadi seperti orang yang hanya mengaku beriman di mulut sahaja sedangkan di dalam hati masih kufur kepada Allah dengan perilaku seharian seolah-olah mempersenda-sendakan ajaran islam.

Oleh itu, saya ingin menyeru dan mengingatkan agar kita semua sentiasa bersedia untuk mengahadapi kematian dengan berlumba-lumba melaksanakan perkara kebaikan dengan berbekalkan keimanan dan amal soleh.

putus-nikmat-dunia-6

Akhir kata, marilah kita sama-sama menlengkapkan diri kita dengan ajaran Islam yang sebenar-benarnya sebagai persediaan kita sebelum mati.

Sekian, wassalam.

https://mutiaraislam.wordpress.com/2009/03/24/renungi-kehidupan-ingat-kematian/

MENANTI DI ALAM KUBUR

Setiap yang bernyawa pasti akan mati, begitu jugalah dengan manusia tiada seorang pun boleh lari dari ajalnya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Apabila ajal seseorang itu telah sampai malaikat Izrail tetap akan mencabut nyawanya tidak kira di mana seseorang itu berada. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Jumu’ah ayat 8:

Maksudnya : “Katakanlah: Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)”.

Begitulah apabila nyawa seseorang telah terpisah daripada jasadnya, maka tinggallah segala apa yang dimilik sama ada ahli keluarga,anak-anak,  saudara mara, pangkat,harta benda dan sebagainya. Jasad yang terbujur kaku akan diurus dan dihantar ke kubur untuk dikebumikan. Pada saat itu, terpisahlah ia ke alam lain iaitu alam kubur atau alam barzakh sementara menunggu hari hisab dan pembalasan di akhirat.

Menurut kamus Lisanul Arab oleh Ibni Manzur, makna alam kubur ialah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan atau ia juga bermakna dinding pemisah antara dua alam sejak dari waktu kematian seseorang sehinggalah dia dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh atau alam kubur.  Alam kubur  juga  merupakan tempat permulaan seorang manusia itu dihukum segala amalannya semasa hidup di dunia ini. firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 62:

Maksudnya : “Kemudian mereka dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar. Ketahuilah, bagi Allah jualah kuasa menetapkan hukum dan Dialah secepat-cepat Penghitung”.

Ketika berada di alam kubur seseorang itu dapat menjangkakan sama ada dia akan mendapat kenikmatan atau kesengsaraan di akhirat kelak. Perkara ini disebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras)”.

Bagi orang yang beriman kehidupan mereka di alam kubur dipenuhi dengan segala macam kenikmatan kurniaan Allah SWT. Sebaliknya bagi orang yang syirik, kufur dan ingkar terhadap suruhan dan perintah Allah sudah pasti seksaan dan azab kubur diterima sebagai tanda hukuman yang akan diterima di hari akhirat. Sahabat Nabi bernama Ubaid bin Umair al-Laitsi berkata,

“ setiap mayat yang hendak meninggal, pasti liang lahad di mana mayat itu di kubur memanggilnya, “Akulah rumah yang gelap gelita, sunyi dan sendiri. Jika waktu hidupmu kau taat kepada Allah SWT maka aku hari ini akan menjadi rahmat bagimu. Jika kau derhaka, maka hari ini aku akan menjadi seksa bagimu. Siapa memasukinya dengan taat, akan keluar dengan bahagia. Dan sesiapa masuk dengan derhaka, dia akan keluar dengan penuh penyesalan”.

Sesungguhnya nikmat dan azab kubur adalah sesuatu yang wajib kita percayai dan yakini kewujudannya kerana ia dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT. Rasulullah SAW memerintahkan kita agar sentiasa memohon pelindungan daripada Allah SWT dari azab kubur sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang menyuruh para sahabat agar mengamalkan doa seperti berikut:

Bermaksud: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku mohon berlindung dari azab api neraka dan aku mohon berlindung dari azab kubur”. (Riwayat Muslim)

Kita wajib berlindung diri dari azab kubur, kerana alam kubur merupakan persinggahan sementara untuk kehidupan selanjutnya. Jika di alam kubur kita mendapat kenikmatan, itulah tanda bahawa kita akan mendapat kemudahan dan kebahagiaan di alam akhirat nanti. Sebaliknya, apabila mendapat azab kubur, itulah petanda bahawa orang tersebut akan mendapat kesulitan di akhirat sebagaimana Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi.” (Riwayat at-Tirmizi)

Ramai umat manusia pada hari ini melupai tentang hakikat sebenar kehidupan dengan gagal mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian dan menyedari bahawa dirinya akan menjadi penghuni kubur. Ramai daripada kita leka dengan kehidupan dunia. Jika ada di kalangan kita yang mengingati kematian, itu pun hanya dilakukan dengan sambil lewa tanpa merasa takut dan gentar akan kedasyatan azab alam kubur  ini. Mengapa ini berlaku, hal ini berpunca disebabkan hati kita yang terlalu cinta dan sibuk dengan perkara dunia sehingga menyebabkan hati kita keras dan gelap dari cahaya.

Ingatlah bahawa  jalan Allah SWT tidak dapat kita tempuhi dengan telapak kaki tetapi ia dapat ditempuh dengan kekuatan dan kesucian hati. Jika kita merasakan hati kita keras dan beku rawatilah ia dengan melaksanakan beberapa perkara seperti berikut:

Pertama:

Gunakanlah masa yang berkualiti ini dengan sentiasa membaca al-Quran dan berzikir.

Kedua:

Bersikap tawaduk dan sentiasa merendah diri di hadapan Allah SWT.

Ketiga:

Menghadiri majlis-majlis ilmu. Sedarilah, semakin tinggi ilmu agama seseorang semakin takut dia kepada tuhan-Nya. Di samping itu juga elakkan diri dari menghadiri majlis-majlis yang tidak berfaedah dan membuang masa.

Keempat:

Mengingati mati. Seseorang yang sentiasa ingat akan kematian menyebabkan hatinya tertumpu kepada alam akhirat, sekaligus meremehkan dunia dan tidak panjang angan-angan.

Kelima:

Menziarahi kubur. Jika hati kita tidak dapat disembuhkan dengan cara sebelum ini maka inilah  cara yang paling berkesan dalam mengubati hati yang keras.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ziarahilah kubur kerana ia akan mengingatkanmu kepada kematian”. (Riwayat Muslim)

Marilah sama-sama kita menghitung diri kita, bagaimana nasib kita di alam kubur nanti, adakah kita sebahagian dari umat yang akan dirahmati atau akan di azab oleh Allah SWT. Renungilah kehidupan kita selama ini, adakah kita sudah bersedia untuk meninggalkan alam dunia ini, bagaimana dengan amalan kita? adakah sudah mencukupi untuk bertemu dengan Alllah SWT di akhirat kelak. Ingatlah segala amalan kita akan diperhitungkan samada ia berpahala atau berdosa dan semuanya terserah kepada neraca keadilan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. lngatlah wahai  muslimin sekalian bahawa setiap pergerakan kita sentiasa diawasi oleh dua malaikat iaitu Raqib dan Atid. Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa termasuk melemparkan tuduhan, prasangka buruk serta bercakap bohong. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8:

Maksudnya: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat dzarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” .

https://mutiaraislam.wordpress.com/2011/02/01/menanti-di-alam-kubur/

KAYA DI DUNIA TETAPI MISKIN DI AKHIRAT

1. Kaya Dunia Miskin Akhirat- Inside

Sebagai seorang Islam kita seharusnya bijak melayarkan bahtera kehidupan ke arah yang benar mengikut petunjuk yang telah digariskan oleh al-Quran dan al-Hadith. Dalam menuju ke destinasi akhirat maka hendaklah kita mencari dan mengumpul seberapa banyak bekalan pahala kebajikan dan kebaikan semasa hidup di dunia. Ingatlah sebagaimana pesan Nabi kita dalam hadithnya yang bermaksud:

“Dunia ini sebagai tempat bercucuk tanam. Hasilnya kita akan kecapi di Akhirat nanti.” Dan “Beramallah untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Beramallah untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati keesokannya.”

Segala amalan kita di dunia ini akan dibentangkan di akhirat, tidak terkecuali walaupun ianya sekecil zarah. Pada ketika itu kita akan melihat segala amalan semasa hidup ini dalam suratan amal, ada yang berpahala, ada juga yang berdosa. Mereka yang berdosa itu akan merasa takut dengan keadaan sedemikian. Firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 49 :

Picture1

Bermaksud :

“Dan Kitab-kitab Amal dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau besar, melainkan semua dihitungnya! Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu ada tertulis di dalamnya. dan ingatlah Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun”.

Namun persoalannya pada hari ini ada daripada kalangan kita yang kaya di dunia tetapi miskin di akhirat dengan kata lain mereka ini banyak melakukan amalan kebaikan dan kebajikan semasa di dunia tetapi ketika di akhirat mereka ini dikira sebagai golongan miskin ataupun muflis.. Kenapa jadi sebegini?. Jawapannya ialah kerana semasa hidup di dunia, mereka melakukan kebaikan dan kebajikan serta dalam masa yang sama mereka juga melakukan kejahatan dan dosa sesama manusia. Segala ganjaran pahala kebaikan di ambil oleh Allah SWT bagi membayar segala hutang kejahatan semasa hidup di dunia ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud:

“Siapa yang muflis? Manusia yang muflis itu bukanlah mereka yang tidak berharta dan tempat tinggal. Sesungguhnya orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak menunaikan hak-hak orang lain seperti mencaci dan merampas harta tanpa hak, memukul tanpa sebab dan sebagainya”. (Riwayat Muslim)

Dan sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud:

“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?”

Para sahabat menjawab:

“Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun hartabenda”.

Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi:

“Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi semasa di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang di zalimi akan menerima pahala amal si penzalim. Jika pahala amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Alllah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka. ” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadith ini, dapat kita fahami bahawa golongan yang menjadi muflis di akhirat adalah berasal daripada mereka yang memiliki pahala yang banyak. Bagaimanapun, semua pahala ibadah mereka itu habis kerana digunakan sebagai bayaran ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikianati, dihina, dibunuh atau dizalimi. Bahkan mereka juga akan dibebankan dengan dosa orang yang dizalimi. Alangkah ruginya golongan muflis ini. Ganjaran pahala yang dikumpulkan dengan mengerjakan bermacam kebaikan dan ibadah, akhirnya menjadi barang tukaran kerana denda yang perlu dibayar dengan sebab kesalahan terhadap orang lain. Kuat beribadah dan memiliki pahala yang banyak tidak menjamin terpeliharanya seseorang itu daripada azab Allah SWT jika pada masa yang sama masih lagi melakukan penganiayaan, penindasan dan kezaliman kepada insan lain.

Dalam pergaulan hidup sehari-hari sudah tentu berlaku kesilapan sama ada disengajakan atau tidak. Kesilapan itu boleh mengundang dosa terutama jika ia menyentuh pelanggaran hak yang berkaitan dengan tubuh, maruah diri dan harta benda orang lain. Apabila kesalahan berkaitan dengan manusia, maka wajib bagi kita meminta maaf dan mengembalikan haknya. Jika kita tidak sempat memohon kemaafan semasa hidup di dunia ini maka dosa-dosa itu akan dibayar dengan pahala-pahala di akhirat. Kerana itulah pahala kita ini akan berkurangan sehingga kita miskin di akhirat nanti. Jika kita miskin di dunia masih ada lagi orang yang bersimpati dan dapat membantu kita. Tetapi bagaimana pula hal keadaan kita apabila miskin di akhirat ?. Siapakah yang akan bersimpati, siapakah yang akan menolong kita dan siapakah pula yang akan menyelamatkan kita dari azab seksaan neraka Allah SWT?.

Dalam banyak-banyak anggota, lidahlah yang paling banyak kesalahan yang melibatkan sesama manusia. Dosa lidah boleh menyebabkan seseorang itu menjadi muflis di akhirat. Kenapa lidah kita amat mudah untuk bercakap mengenai orang lain? Itulah persoalan yang perlu ditanya diri kita pada hari ini. Imam al-Ghazali pernah berkata:

“menerusi lidah akan berlakulah pendustaan atau pembohongan, buruk sangka, permusuhan, fitnah, mencarut, mencela, mengutuk, bertelingkah, mengumpat, melaknat dan membicarakan sesuatu dalam keadaan kesat, kasar dan penuh dengan kesombongan”.

Untuk hidup dalam suasana yang tenteram, aman dan damai, hendaklah diawasi lidah kerana melalui lidah tutur kata akan menjadi lebih benar, beradab dan bahasanya lebih sopan. Sikap tidak menjaga lidah bukan sahaja menimbulkan kemarahan orang yang mendengarnya, malah menimbulkan implikasi buruk kepada hubungan sesama manusia yang mengakibatkan seseorang itu menjadi muflis di akhirat.

Sebagaimana hidup di dunia, kehidupan di akhirat juga kita memerlukan kekayaan. Kita memerlukan kekayaan yang digunakan untuk mendapat alam kubur yang luas dan terang, berada di Padang Mahsyar dengan selesa, meniti Titian Siratul Mustaqim sepantas kilat, melintasi pintu Syurga, membina mahligai besar di dalam syurga, makan dan minum yang enak-enak, bergerak tanpa batas, mempunyai bidadari yang cantik dan hidup bersenang lenang di Syurga abadi. Hanya satu sahaja kekayaan yang bernilai iaitu ganjaran pahala. Tanpa pahala kita akan menjadi manusia yang miskin di akhirat kelak dan tidak mampu membeli kesenangan, kita akan susah di alam kubur, di Padang Mashyar dan seterusnya akan dilemparkan ke dalam neraka bersama kaum kafir dan Iblis.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita menghitung diri kita, adakah kita ini sudah cukup amalan untuk bertemu dengan Alllah SWT di akhirat kelak, adakah segala amalan kita di dunia ini dijamin pahala di akhirat. Ingatlah segala amalan kita akan diperhitungkan samada ia berpahala atau berdosa dan semuanya terserah kepada neraca keadilan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. lngatlah wahai muslimin sekalian bahawa setiap pergerakan kita sentiasa diawasi oleh dua malaikat iaitu Raqib dan Atid. Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa termasuk melemparkan tuduhan, prasangka buruk serta bercakap bohong. Setiap apa yang diucapkan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Hanya perkataan-perkataan yang diredai Allah akan dicatat, manakala perkataan-perkataan yang mendatangkan kebencian Allah akan dicatat atas kemurkaan-Nya sampai hari kiamat. Janganlah kita tergolong dalam golongan mereka yang kaya di dunia tetapi miskin di akhirat.

Ingatlah nilai dunia tidak lebih seperti sebelah kepak nyamuk, kekuatan dunia tak lebih dari sarang labah-labah. kampung akhirat jua lah yang kekal selama-lamanya.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8 :

Celik Didunia Buta Diakhirat 6 - surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8

Bermaksud:

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat dzarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) ”.

https://mutiaraislam.wordpress.com/2013/01/13/kaya-dunia-miskin-akhirat/

CELIK DI DUNIA BUTA DI AKHIRAT

Celik Didunia Buta Diakhirat - Inside

Ramai manusia yang diciptakan oleh Allah SWT dalam keadaan celik, tidak buta, mata boleh melihat dengan sempurna, boleh melihat ciptaan Allah SWT, boleh makan dan minum, berjalan dan lain-lain lagi. Tetapi di hari akhirat nanti mereka yang celik di dunia ini dibangkitkan oleh Allah SWT dalam keadaan menjadi buta. Persoalan besar timbul di sini kenapakah mereka ini dibangkitkan dalam keadaan sedemikian? Jawapannya ialah kerana mereka ini berpaling daripada ajaran Allah yang sebenar, tidak melakukan aturan-aturan Allah, melakukan maksiat dan membuat dosa-dosa besar serta menzalimi orang lain, matanya tidak digunakan untuk melihat kebenaran, sebaliknya digunakan untuk melihat kebatilan akibatnya hidup di dunia akan disempitkan, tidak tenang, menderita dan ditimpa musibah. Malahan di akhirat pula, mereka menjadi buta sebagai balasan keengkaran semasa di dunia. Firman Allah SWT di dalam Surah Taha ayat 124-125 :

Celik Didunia Buta Diakhirat 3 - Surah Taha ayat 124-125

Maksudnya:

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata: Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu celik?.”

Bayangkan betapa azabnya golongan ahli neraka yang diseksa fizikalnya dengan seksaan yang dahsyat, ditambah pula dengan mata yang dibutakan, tidak melihat kawasan sekeliling. Ini adalah satu bentuk seksaan spritual yang amat dahsyat daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang ingkar. Firman Allah SWT di dalam Surah al Hud ayat 106-107:

Celik Didunia Buta Diakhirat 4 - Surah al Hud ayat 106-107

Maksudnya:

“Adapun orang-orang yang celaka (disebabkan keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (sepaerti suara keldai). Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi, kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu. Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.”

Ingatlah, sebagai seorang Islam kita mestilah bijak melayarkan bahtera kehidupan ke arah yang benar mengikut petunjuk yang telah digariskan oleh al-Quran dan al-Hadith. Bukannya mengikut hawa nafsu atau kepentingan diri dan lebih malang lagi jika sanggup tunduk dan mengikut kehendak musuh Islam. Ingatlah bahawa dalam menuju ke akhirat maka hendaklah kita mencari dan mengumpul seberapa banyak bekalan pahala kebajikan dan kebaikan semasa hidup di dunia.

Renungilah pesan Saidina Ali ini: “Seharusnya manusia yang berakal tidak bersungguh-sungguh melainkan dalam tiga perkara: Berusaha untuk keperluan hidupnya, beramal untuk hari kemudian dan bersuka-suka di dalam perkara yang tidak haram.”

Adalah diingatkan bahawa perbuatan kita semasa di dunia menentukan kedudukan kita di sisi Allah SWT di akhirat dan begitulah sebaliknya. Jika kita benar benar taat dan akrabnya di dunia dengan Allah SWT , maka di akhirat pastinya Allah SWT akan mendampingi kita. Seorang sahabat Nabi yang bernama Samurah bin Jundab pernah berkata: “Sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah SWT, maka periksalah kedudukan Allah di sisinya. Barangsiapa yang menghormati perintah Allah, lalu bersegera melakukannya, menjauhkan diri daripada larangan Allah, juga berusaha menghiasi diri dengan adab-adab Islam, maka kedudukan di sisi Allah pun terhormat.”

Satu riwayat menceritakan bahawa suatu hari tiga orang lelaki berjalan di depan masjid ketika Rasulullah SAW sedang berceramah menyampaikan wahyu Allah SWT kepada manusia. Salah seorang daripada tiga orang itu berjalan begitu sahaja, ia tidak tertarik untuk mendengar apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, sementara dua daripadanya memutuskan untuk singgah, mendatangi majlis Nabi SAW, salah seorang memilih tempat kosong di celah-celah majlis dan seorang lagi memilih untuk duduk di belakang. Apabila selesai daripada ceramah, Rasulullah SAW bersabda: “mahukah aku beritahu perihal ketiga-tiga orang ini? Salah satu daripada mereka datang kepada Allah SWT, maka Allah SWT menyambutnya. Salah seorang merasa malu-malu, maka Allah pun malu kepadanya. Adapun seorang yang berpaling daripada Allah SWT, maka Allah berpaling daripadanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ingatlah bahawa segala amalan kita di dunia ini akan dibentangkan di akhirat, tidak terkecuali walaupun ianya sekecil zarah. Pada ketika itu kita akan melihat segala amalan semasa hidup ini dalam suratan amal, ada yang berpahala, ada juga yang berdosa. Mereka yang berdosa itu akan merasa takut dengan keadaan sedemikian. Janganlah demi untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati, kita sanggup melakukan tindakan yang ternyata boleh mendatangkan musibah pada bangsa dan agama serta mengundang dosa dan kemurkaan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 49:

Celik Didunia Buta Diakhirat 5 - surah al-Kahfi ayat 49

Maksudnya:

“Dan Kitab-kitab Amal dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau besar, melainkan semua dihitungnya! Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu ada tertulis di dalamnya. dan ingatlah Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.”

Dalam pergaulan hidup sehari-hari sudah tentu berlaku kesilapan sama ada disengajakan atau tidak. Kesilapan itu boleh mengundang dosa terutama jika ia menyentuh pelanggaran hak yang berkaitan dengan tubuh, maruah diri dan harta benda. Dalam banyak-banyak anggota, lidah dan matalah yang paling banyak kesalahan yang melibatkan sesama manusia. Mata jika tidak dihalakan kepada kebaikan ianya akan mendatangkan kemaksiatan dan dosa lidah dan mata boleh menyebabkan seseorang itu menerima azab di akhirat. Hujatul Islam Imam al-Ghazali pernah berkata: menerusi lidah akan berlakulah pendustaan atau pembohongan, buruk sangka, permusuhan, fitnah, mencarut, mencela, mengutuk, bertelingkah, mengumpat, melaknat dan membicarakan sesuatu dalam keadaan kesat, kasar dan penuh dengan kesombongan. Percayalah, walaupun sewarak mana seseorang itu, banyak solat, puasa, akan tetapi apabila tidak mampu menjaga lidah dan akhlaknya dari memfitnah, berbohong, hasad dengki dan dendam, pasti dia akan tergolong dalam golongan orang yang rugi.

Marilah kita berpesan pada diri kita untuk hidup dalam suasana yang tenteram, aman dan damai, hendaklah diawasi lidah kerana melalui lidah tutur kata akan menjadi lebih benar, beradab dan bahasanya lebih bersopan. Sikap tidak menjaga lidah bukan sahaja menimbulkan kemarahan orang yang mendengarnya, malah menimbulkan implikasi buruk kepada hubungan sesama manusia yang mengakibat keadaan menjadi huru hara dan kacau bilau. Berkatalah perkara yang benar dengan penuh keberanian walaupun ianya sangat pahit untuk ditelan lebih lebih lagi jika kita sebagai pemimpin kerana ianya mengambarkan pendirian dan sikap kita sebagai seorang yang beriman. Berwaspadalah kita akan setiap tutur kata kerana bahayanya lidah bukannya hanya pada individu tertentu tetapi kesannya juga boleh meruntuhkan sesebuah negara dan bangsa.

Akhir kata marilah sama-sama kita menghitung diri kita, adakah kita ini sudah cukup amalan untuk bertemu dengan Alllah SWT di akhirat kelak, adakah segala amalan kita di dunia ini dijamin pahala di akhirat. Ingatlah segala amalan kita akan diperhitungkan samada ia berpahala atau berdosa dan semuanya terserah kepada neraca keadilan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. lngatlah wahai muslimin sekalian bahawa setiap pergerakan kita sentiasa diawasi oleh dua malaikat iaitu Raqib dan Atid. Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa termasuk melemparkan tuduhan, mengeluarkan kata-kata yang boleh membangkitkan kebencian pada individu tertentu, prasangka buruk serta bercakap bohong. Setiap apa yang diucapkan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Hanya perkataan-perkataan yang diredai Allah akan dicatat, manakala perkataan-perkataan yang mendatangkan kebencian Allah akan dicatat atas kemurkaan-Nya sampai hari kiamat. Janganlah kita tergolong dalam golongan mereka yang celik di dunia tapi buta di akhirat. Firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8:

Celik Didunia Buta Diakhirat 6 - surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8

Bermaksud:

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat dzarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! .”

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

https://mutiaraislam.wordpress.com/2013/02/22/celik-di-dunia-buta-di-akhirat/

JANGAN ALPA PERSIAPAN HARI PEMBALASAN

Manusia dijadikan oleh Allah SWT dengan sebaik-baik kejadian melalui peringkat yang tertentu dalam pelbagai bentuk. Manusia tinggal di bumi hanya untuk sementara waktu, kemudian kembali menjadi tanah dan dikuburkan sehingga tiba saat yang hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja.

Firman Allah SWT:

Binasalah hendaknya manusia (yang ingkar) itu, betapa besar kekufurannya? Ibn Abbas berkata: Terkutuklah manusia dan itulah jenis manusia yang suka berbuat dusta kerana terlalu banyak mendustakan hari akhirat.

Ibn Juraij mengatakan: Sungguh parah kekafirannya, sedangkan Ibn Jarir berkata: Apakah yang membuatnya menjadi kafir dan mendustakan hari akhirat?

Firman Allah SWT:

(tidakkah ia memikirkan) dari apakah ia diciptakan oleh Allah? Dari air mani diciptakan-Nya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab. Kemudian jalan (baik dan jahat), dimudahkan Tuhan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil mana satu yang ia pilih).

Ibn Abbas berkata: Dia memudahkan keluarnya dari perut ibunya. Syed Qutb berkata: Allah memudahkan jalan kehidupan atau jalan hidayah. Di samping itu, memberikannya kemudahan bertindak dengan sifat-sifat, bakat dan kesediaan yang ada pada dirinya sam ada untuk perjalanan hidupnya atau untuk mencari hidayah dalam hidupnya.

Sesudah tamat perjalanannya, ia akan kembali kepada kesudahan yang diterima oleh setiap yang hidup tanpa pilihan dan tanpa kesempatan melarikan dirinya.  Saidina Ali r.a berkata: Mengapa manusia banggakan diri sedangkan dia telah keluar melalui saluran kencing dua kali?

Firman Allah SWT:

Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan. Kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula).

Al-Maraghi berkata: Kemudian Allah SWT menggenggam nyawanya dan tidak membiarkan begitu sahaja berbaring di atas bumi untuk dimakan oleh binatang buas, tetapi dimuliakannya dan jenazahnya ditanam sebagai penghormatan.  Apabila Allah SWT menghendaki akan dibangkitkan semula dari kuburnya untuk dihitung dan diberi pembalasan pada suatu saat yang hanya Allah SWT sendiri mengetahuinya.

Dalam perkataan idhasha, tersirat pengertian bahawa hari kiamat itu tidak dapat diketahui oleh sesiapa pun kecuali Allah SWT.  Dia sahaja yang mengetahuinya, berkuasa untuk mempercepatkan atau melewatkan kedatangannya, berkuasa menghidupkan, mematikan, membangkitkan dan mengumpulkannya serta memberi balasan terhadap amal yang telah dikerjakannya sama ada baik mahupun buruk.

Firman Allah SWT:

Janganlah hendaknya ia kufur ingkar lagi! Sebenarnya ia belum menunaikan apa yang diperintahkan kepada-Nya.

Syed Qutb berkata: Manusia umumnya, baik secara individu mahupun generasi belum lagi melaksanakan apa yang diperintahkan Allah SWT hingga akhir hayat.

Itulah saranan yang disampaikan oleh ungkapan tidak sekali-kali begitu. Manusia masih cuai, tidak menunaikan kewajipannya, tidak mengingatkan asal-usul kejadiannya dengan ingatan yang sebenar, tidak bersyukur dan tidak membuat persediaan menghadapi hari pembalasan.  Beginilah keadaan manusia pada keseluruhannya sedangkan kebanyakan mereka pula menolak dan menentangnya.

Firman Allah SWT:

(Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana Kami mentadbirkannya).

Ibn Kathir berkata: Terkandung juga dalil tumbuhnya tumbuhan dari bumi yang gersang sebagai bukti jasad-jasad yang sebelumnya berupa tulang belulang yang hancur di tanah boleh dihidupkan kembali.

Firman Allah SWT:

Sesungguhnya Kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. Kemudian Kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan.

Ibn Kathir berkata: Kami tempatkan air di sana yang masuk ke lapisan tanah selanjutnya menumbuhkan tanaman di permukaan bumi.

Firman Allah SWT:

Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian, dan buah anggur serta sayur-sayuran.

Sebahagian ulama menafsirkan qadbhan sayur-sayuran yang dimakan dengan mentah oleh binatang sedangkan Hasan Basri berkata: “Ia bermaksud makanan binatang”.

Firman Allah SWT:

Dan zaitun serta pohon-pohon kurma, dan taman-taman yang menghijau subur.

Al-Maraghi berkata: Gambaran demikian ini mengandungi petunjuk bahawa kenikmatan yang dapat diambil dari pohon-pohon itu tidak hanya terbatas kepada buahnya sahaja.

Bahkan ia dapat digunakan untuk membuat perabot rumah, bangunan dan alat-alat kraftangan dan industri. Kayunya juga dapat dimanfaatkan untuk memasak makanan dan digunakan untuk melebur besi dan benda-benda logam yang lain.

Firman Allah SWT:

Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput, untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.

Syed Qutb berkata: Demikianlah kisah makanan dan semuanya adalah ciptaan tangan kudrat yang menciptakan manusia itu sendiri. Manusia tidak boleh mendakwa ada kekuasaan yang lain turut serta dalam penciptaan itu baik di peringkat perkembangannya, biji-bijian dan benih yang ditabur bukan dari ciptaan dan rekaannya.

Mukjizat dalam ciptaan benih-benih di luar kefahaman dan tanggapan manusia. Tanah di hadapannya sama sahaja, tetapi benih dan bijian berlainan dan masing-masing mengeluarkan buahnya di petak bumi yang berdekatan.  Semuanya dijirus dengan air yang sama tetapi dengan kudrat Ilahi telah mempelbagaikan tumbuh-tumbuhan dan buahan itu dan memelihara dalam biji benih yang kecil itu segala sifat-sifat ibunya yang melahirkannya. Kemudian sifat ini dipindahkan kepada anak yang dilahirkannya.

Semua sifat itu tersembunyi daripada pengetahuan manusia. Mereka tidak mengetahui rahsianya dan tidak pula membuat apa-apa keputusan terhadapnya. Mereka tidak pula dirundingi dalam mana-mana urusannya. Inilah kisah makanan yang dikeluarkan dengan kekuasaan Allah SWT.

Terlalu banyak kurniaan Allah SWT dan nikmat-Nya kepada hamba-Nya. Dengan kurniaan tersebut, maka mudahlah meneruskan kehidupan.  Ini menunjukkan kasih sayang dan rahmat Allah kepada manusia, dan sewajarnya dibalas dengan ketaatan dan kepatuhan mutlak kepada-Nya.

https://mutiaraislam.wordpress.com/2010/05/09/jangan-alpa-persiapan-hari-pembalasan/

SUCIKAN HARTA

Umat Islam mempunyai peluang yang amat luas untuk melipat gandakan pahala khususnya bagi mereka yang diberi kelebihan harta dan wang ringgit. Beruntunglah orang yang diberi kelebihan oleh Allah s.w.t  serta suka menolong orang lain dan membantu didalam kerja-kerja kebajikan.

Justeru Islam mengesa umatnya supaya bermurah hati dan segera memberi pertolongan kepada orang yang memerlukan bantuan.

Hal ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran ayat 92 yang bermaksud:

” Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

Harta wakaf yang kita lihat pada hari ini ada sebahagiannya tidak dimajukan untuk pembangunan yang mendatangkan manfaat kepada umat Islam khasnya tanah, ia tidak dimanfaatkan untuk mendapatkan pulangan yang memuaskan.

Begitu juga sering kali timbul pelbagai isu dan masalah apabila tanah wakaf ingin dibangunkan seperti dihalang oleh pemegang amanah tanah wakaf dan sebagainya. Ini disebabkan kurang kefahaman tentang konsep wakaf itu sendiri dengan mempersoalkan bagaimana cara dan bentuk ia dibangunkan atau dimajukan.

Sebenarnya Islam tidak melarang umatnya membangunkan atau menggunakan tanah wakaf untuk manfaat umat Islam yang lain, khususnya membantu golongan yang miskin.

Dalam konteks ini ulama Fekah telah mentakrifkan harta wakaf sebagai suatu benda atau harta yang suci dan halal bentuk zatnya supaya ia digunakan untuk tujuan kebaikan dan mendapat manfaatnya.

Oleh hal yang demikian, tidak salah sekiranya ada dikalangan umat Islam yang menawarkan diri untuk membangunkan tanah wakaf bagi manfaat umat Islam selagi mana ianya tidak bercampur dengan unsur-unsur riba, penipuan dan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah s.w.t.

Justeru, umat Islam harus faham dan sedar bahawa ganjaran pahala harta wakaf akan bertambah dan pahalanya berkekalan selagi harta yang diwakafkan masih boleh digunakan dan dimanfaatkan oleh umat Islam, selagi itulah pahala wakaf akan terus diterima selama-lamanya.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Apabila mati seseorang anak Adam itu, maka terputuslah amalanya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu mendoakan kepadanya.”

 (Riwayat Muslim)

Berdasarkan kepada hadis tersebut, jumhur ulama bersepakat bahawa sedekah jariah tersebut adalah termasuk harta wakaf.

https://mutiaraislam.wordpress.com/2011/04/28/sucikan-harta/

AKAUNTABILITI TERHADAP AMANAH ALLAH S.W.T.

Manusia adalah hamba Allah SWT yang diamanahkan menjadi khalifah di muka bumi ini. Tugas khalifah begitu amat luas yang meliputi segala aspek dalam menyempurnakan kehidupan umat manusia dan seluruh alam. Justeru kita diwajibkan bertanggungjawab terhadap amanah tersebut.

Bagi membolehkan melaksanakan tugas yang begitu berat, maka Allah SWT memberi satu pedoman kepada kita dengan  menurunkan al-Quran dan Rasul- Nya agar dijadikan rujukan dan panduan untuk kita mentadbir alam ini. Justeru, maka kita sebagai khalifah diwajibkan mentaati segala peraturan dan panduan yang telah ditetapkan itu demi kesejahteraan semua manusia dan seluruh alam.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Anfal (ayat 27) yang bermaksud:

 Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).

Ketahuilah bahawa manusia yang benar-benar beramanah ialah Nabi Muhammad SAW yang telah menunaikan seluruh kewajipannya sebagai penegak agama, penyelamat  ummah, pembela dhuafa’,  pendidik masyarakat.  Baginda juga sebagai ketua keluarga, sebagai ketua negara dan sebagai pemimpin seluruh alam.

Selaras dengan itu, Rasulullah SAW memperingatkan kita agar memelihara dan bertanggunjawab ke atas setiap amanah yang di pikul setiap manusia sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Suami (bapa) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Wanita pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Orang gaji adalah pemimpin kepada harta benda yang diamanahkan kepadanya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu.

( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Anugerah amanah ini bukan sekadar suatu penghormatan dan penghargaan ke atas kebijaksanaan dan kemampuan manusia berbanding dengan makhluk Allah yang lain, tetapi ia merupakan satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Justeru itu, demi memastikan amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan baik, kita haruslah bersikap jujur terhadap amanah ini dan melakukan dengan bersengguh-sungguh untuk tujuan mencapai kebenaran serta dengan dasar yang jelas dan benar.

Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan soal hak, amanah dan tanggungjawab. Penegasan tentang hak dan amanah ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW  dalam sebuah  hadithnya yang bermaksud:

Sesungguhnya darah-darahmu, harta-hartamu dan maruahmu adalah haram atasmu semua seperti kesucian harimu ini, di negerimu ini dan dalam bulanmu ini. Dan engkau semua akan menemui Tuhanmu lalu Dia akan menanyakan kepadamu semua perihal amalan-amalan kamu. Ingatlah!, maka janganlah kamu semua kembali menjadi orang-orang kafir selepasku, sebahagiannya menetak leher sebahagian yang lain (berbunuhan tanpa dasar kebenaran). ”

 (Muttafaqun ‘Alaih)

Persoalan hak dan amanah sebenarnya berkait dengan  hak-hak Allah SWT yang wajib ditunaikan, hak-hak manusia yang perlu dilaksanakan termasuklah kepada diri sendiri, anak-anak, keluarga, jiran-tetangga dan masyarakat keseluruhan.  Ingatlah bahawa beriman kepada Allah SWT dengan mentaati segala perintah-Nya adalah suatu amanah, menyeru kepada kebaikan adalah amanah, mendidik anak-anak juga adalah amanah. Menunaikan solat, puasa, zakat dan sebagainya merupakan sebahagian dari amanah.dengan kata lain semua persoalan hidup ini adalah amanah.

Rasulullah SAW telah berpesan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dari Mu’az bin Jabal RA katanya: “Saya mengekori Nabi SAW yang sedang menunggang seekor keldai. Tiba-tiba Baginda bertanya kepada saya:”Wahai Mu’az, adakah engkau tahu hak Allah ke atas hamba-Nya?”. Saya menjawab:”Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui”. Baginda bersabda:”Hak Allah ke atas hamba-Nya ialah mereka wajib mengabdikan diri mereka kepada-Nya dan tidak mensyirikan sesuatu apapun dengan-Nya. ”Ibnu Mas’ud pernah  berkata: Ingatlah bahawa solat itu adalah amanah, wuduk itu juga adalah amanah, mandi wajib adalah amanah, timbang menimbang adalah amanah dan yang paling berat sekali ialah wadi’ah iaitu barang simpanan orang yang dipercayakan kepadamu untuk menyimpannya.”

Tahap akuantibiliti terhadap pelaksanaan amanah di kalangan sesetenggah anggota masyarakat pada hari ini amat membimbangkan. Banyak tanggungjawab yang diabaikan samada berkaitan hubungan dengan  Allah SWT atau sesama manusia. Kita dapat melihat ramai di kalangan kita yang mengabaikan solat, memandang remeh kewajipan berzakat, kikir untuk mengeluarkan sedikit harta untuk bersedekah. Ramai juga dikalangan kita yang mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga, anak-anak diabaikan. Betapa banyak kes anak-anak yang lari dari rumah yang dilaporkan. Gejala sosial semakin menjadi, kecurian berlaku di mana saja sehingga ada di kalangan mereka yang sanggup mengambil harta benda dan tabung jemaah di masjid.

Akauntabiliti pengurusan agensi kerajaan dalam sektor awam dan swasta pada masa ini juga pada tahap membimbangkan.  Seringkali dilaporkan berlaku kejadian pecah amanah, penyelewengan kuasa, rasuah, membazir masa dan sebagainya yang merugikan negara.  Satu lagi yang membimbangkan ialah tentang elemen keselamatan perlindungan rahsia negara.  Ramai dikalangan penjawat awam pada hari ini mengabaikan dengan tidak mengambil berat tentang hal ini, sehingga berlaku kebocoran maklumat rahsia negara. Perlu difahami  rahsia negara merupakan sebahagian aset negara dan ianya mesti  dilindungi secara menyeluruh daripada pelbagai ancaman.  Apa jua bentuk tindakan untuk membocorkan rahsia negara ianya merupakan jenayah yang akhirnya meruntuhkan dan menghancurkan negara.

Justeru, sebagai seorang Islam, marilah sama-sama kita menghayati prinsip integriti, akauntibiliti, sentiasa beramanah, jujur, telus dengan penuh rasa tanggungjawab di samping menyerlahkan sifat-sifat mahmudah yang lain seperti rajin, tekun, berdisplin dan mengutamakan kualiti dan kesempurnaan dalam setiap tugasan.

Allah SWT akan mengadili semua tugas yang diamanahkan walau sekecil manapun tugas tersebut. Ingatlah jika kita sekali mengkhainati amanah yang diberikan nescaya seribu kali kita sukar untuk mendapat kepercayaan orang lain. Jika sekiranya kita terlibat dalam penyelewengan dan penipuan, maka rezeki yang kita perolehi adalah haram, makanan dan minuman adalah haram, pakaian yang dipakai juga haram kerana datang dari sumber yang haram.

Oleh itu, marilah sama-sama kita mengamalkan sikap jujur dan bertanggunjawab serta ikhlas dalam melaksanakan segala amanah yang diberikan ini. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa (ayat 58) yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

https://mutiaraislam.wordpress.com/2011/04/18/akauntabiliti-terhadap-amanah-allah-s-w-t/

SENTIASA BERSYUKUR LAHIR PERIBADI MULIA

Marilah kita sentiasa menghubungkan diri dengan Allah Yang Maha Pencipta sekalian alam dengan cara mengingati kebesaran-Nya, mengingati segala rahmat, nikmat kurniaan-Nya yang sentiasa dicurahkan kepada kita.

Dalam keadaan tidur pun, Allah mengirimkan rahmat-Nya ke dalam tubuh kita untuk menggerakkan jantung dan paru-paru. Oksigen kita hirup melalui udara adalah rahmat Allah yang diperlukan oleh badan supaya kita boleh hidup.

Bukan itu saja, banyak lagi rahmat yang dikurniakan Allah kepada kita. Wajarkah manusia lupa terhadap Allah? Tidak pernah mengingati dan menyebut nama Allah, tidak pernah bersyukur dan memuji Allah, bahkan tidak pernah beribadah menyembah Allah?

Allah menyeru manusia supaya selalu ingat dan jangan lupa terhadap-Nya dalam firman yang bermaksud:

“Wahai orang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan sebanyak-banyaknya.”

(Surah Al-Ahzab, ayat 41)

Setiap hari Jumaat, di akhir khutbah Khatib turut mengingatkan jemaah untuk berzikir mengingati Allah.  Mengapa setiap Jumaat diulang-ulang menyebutnya? Ini bermaksud mengingati Allah adalah perkara yang sangat mulia.  Mengingati Allah akan memberikan pengaruh hebat dan besar kepada manusia dari segi rohani serta jasmani.  Seorang pemimpin negara yang banyak mengingati Allah, sudah tentu akan memberi pengaruh dan kesan besar terhadap corak pemerintahan serta kepemimpinannya.  Manakala rakyat atau pekerja yang banyak mengingati Allah akan memberi kesan mendalam untuk melaksanakan tugas, tanggungjawab dan kewajipannya.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan, dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).”

(Surah Al-Baqarah, ayat 152)

Orang yang sentiasa mengingati Allah, Allah akan sentiasa mengingatinya, jiwanya menjadi tenang, hatinya tenteram, jauh dari perasaan gelisah. Hasilnya, lahirlah budaya pekerti dan tutur kata mulia. Semua orang merasa senang dan bahagia bersamanya, walaupun kehidupannya serba kekurangan.

Firman Allah yang bermaksud:

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah, ketahuilah hanya dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

(Surah Ar-Ra’d, ayat 28)

Sebaliknya, mereka yang melupakan zikrullah dan hanya memikirkan keseronokan kehidupan dunia, hatinya semakin lama akan menjadi keras membatu. Hati yang lalai kepada Allah akan membentuk tingkah laku dan tutur kata yang kasar. Dosa dan kemungkaran menjadi amalan biasa padanya.  Kesannya, masyarakat sekeliling merasa tidak senang jika berdamping dengannya, termasuk anak dan isterinya. Orang seperti ini akan menjadi tidak tenang hatinya hingga rela menjadi pembunuh dan melakukan perbuatan keji.  Maka bumi yang luas ini seolah-olah sempit dalam pandangannya dan dunia terang benderang menjadi gelap gelita kepadanya. Contoh manusia yang demikian banyak sekali, sama ada di Timur mahupun di Barat.

Walaupun ilmu pengetahuan manusia semakin menjulang tinggi, namun kerosakan dan kekejaman semakin menjadi-jadi. Untuk memulihkan keadaan, hendaklah manusia kembali beriman dan banyak mengingati Allah. Dengan demikian, dunia sudah tentu menjadi aman dan tenteram.  Manusia yang keras hati dan lalai terhadap Allah, syaitan dengan senang dapat mempermainkan mereka hingga perbuatan keji dianggap baik. Sebaliknya, perbuatan baik dianggap keji dan ditentang.  Jika diberi nasihat, ia akan dibantah dan dipersendakan. Ingatlah, segala kerosakan dan kejahatan yang bermaharajalela di muka bumi ini, dilakukan oleh manusia cerdik pandai, tetapi kosong hatinya dari mengingati Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

“Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada kami dengan nada rendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran) dan syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.”

(Surah Al-An’am, ayat 43)

Rasulullah SAW juga banyak mengingatkan umatnya supaya sentiasa mengingati Allah. Sabda Baginda yang bermaksud:

“Mahukah aku beritahukan kepadamu sebaik-baik amalan kamu dan paling bersih (banyak keberkatan) di sisi Tuhanmu, paling tinggi darjatnya, dan lebih baik bagi kamu menafkahkan emas dan perak, dari (berperang) menghadapi musuh, lalu kamu penggal leher mereka atau mereka memenggal leher kamu? Jawab sahabat: Mahu ya Rasulullah. Baginda bersabda: Iaitu zikrullah.”

(Hadis riwayat Tarmidzi, Ibnu Majah daripada Abu Darda)

Marilah kita bersama berzikir dengan membaca al-Quran, doa dan wirid daripada Rasulullah seperti diajar kepada sahabatnya, Muadz Bin Jabal iaitu:

“Ya Allah tolonglah aku, supaya (dapat) sentiasa mengingatiMu dan mensyukuri serta memperbaiki ibadatku kepadaMu.”

(Hadis riwayat Abu Daud)

Tidak kira di mana pun kita berada, sentiasa hadirkan Allah dalam diri kita. Sesungguhnya, kita adalah hamba-Nya yang hebat di dunia, berjaya di akhirat kelak.

https://mutiaraislam.wordpress.com/2011/05/04/sentiasa-bersyukur-lahir-peribadi-mulia/

JANGAN ALPA PERSIAPAN HARI PEMBALASAN

Manusia dijadikan oleh Allah SWT dengan sebaik-baik kejadian melalui peringkat yang tertentu dalam pelbagai bentuk. Manusia tinggal di bumi hanya untuk sementara waktu, kemudian kembali menjadi tanah dan dikuburkan sehingga tiba saat yang hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja.

Firman Allah SWT:

Binasalah hendaknya manusia (yang ingkar) itu, betapa besar kekufurannya? Ibn Abbas berkata: Terkutuklah manusia dan itulah jenis manusia yang suka berbuat dusta kerana terlalu banyak mendustakan hari akhirat.

Ibn Juraij mengatakan: Sungguh parah kekafirannya, sedangkan Ibn Jarir berkata: Apakah yang membuatnya menjadi kafir dan mendustakan hari akhirat?

Firman Allah SWT:

(tidakkah ia memikirkan) dari apakah ia diciptakan oleh Allah? Dari air mani diciptakan-Nya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab. Kemudian jalan (baik dan jahat), dimudahkan Tuhan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil mana satu yang ia pilih).

Ibn Abbas berkata: Dia memudahkan keluarnya dari perut ibunya. Syed Qutb berkata: Allah memudahkan jalan kehidupan atau jalan hidayah. Di samping itu, memberikannya kemudahan bertindak dengan sifat-sifat, bakat dan kesediaan yang ada pada dirinya sam ada untuk perjalanan hidupnya atau untuk mencari hidayah dalam hidupnya.

Sesudah tamat perjalanannya, ia akan kembali kepada kesudahan yang diterima oleh setiap yang hidup tanpa pilihan dan tanpa kesempatan melarikan dirinya.  Saidina Ali r.a berkata: Mengapa manusia banggakan diri sedangkan dia telah keluar melalui saluran kencing dua kali?

Firman Allah SWT:

Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan. Kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula).

Al-Maraghi berkata: Kemudian Allah SWT menggenggam nyawanya dan tidak membiarkan begitu sahaja berbaring di atas bumi untuk dimakan oleh binatang buas, tetapi dimuliakannya dan jenazahnya ditanam sebagai penghormatan.  Apabila Allah SWT menghendaki akan dibangkitkan semula dari kuburnya untuk dihitung dan diberi pembalasan pada suatu saat yang hanya Allah SWT sendiri mengetahuinya.

Dalam perkataan idhasha, tersirat pengertian bahawa hari kiamat itu tidak dapat diketahui oleh sesiapa pun kecuali Allah SWT.  Dia sahaja yang mengetahuinya, berkuasa untuk mempercepatkan atau melewatkan kedatangannya, berkuasa menghidupkan, mematikan, membangkitkan dan mengumpulkannya serta memberi balasan terhadap amal yang telah dikerjakannya sama ada baik mahupun buruk.

Firman Allah SWT:

Janganlah hendaknya ia kufur ingkar lagi! Sebenarnya ia belum menunaikan apa yang diperintahkan kepada-Nya.

Syed Qutb berkata: Manusia umumnya, baik secara individu mahupun generasi belum lagi melaksanakan apa yang diperintahkan Allah SWT hingga akhir hayat.

Itulah saranan yang disampaikan oleh ungkapan tidak sekali-kali begitu. Manusia masih cuai, tidak menunaikan kewajipannya, tidak mengingatkan asal-usul kejadiannya dengan ingatan yang sebenar, tidak bersyukur dan tidak membuat persediaan menghadapi hari pembalasan.  Beginilah keadaan manusia pada keseluruhannya sedangkan kebanyakan mereka pula menolak dan menentangnya.

Firman Allah SWT:

(Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana Kami mentadbirkannya).

Ibn Kathir berkata: Terkandung juga dalil tumbuhnya tumbuhan dari bumi yang gersang sebagai bukti jasad-jasad yang sebelumnya berupa tulang belulang yang hancur di tanah boleh dihidupkan kembali.

Firman Allah SWT:

Sesungguhnya Kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. Kemudian Kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan.

Ibn Kathir berkata: Kami tempatkan air di sana yang masuk ke lapisan tanah selanjutnya menumbuhkan tanaman di permukaan bumi.

Firman Allah SWT:

Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian, dan buah anggur serta sayur-sayuran.

Sebahagian ulama menafsirkan qadbhan sayur-sayuran yang dimakan dengan mentah oleh binatang sedangkan Hasan Basri berkata: “Ia bermaksud makanan binatang”.

Firman Allah SWT:

Dan zaitun serta pohon-pohon kurma, dan taman-taman yang menghijau subur.

Al-Maraghi berkata: Gambaran demikian ini mengandungi petunjuk bahawa kenikmatan yang dapat diambil dari pohon-pohon itu tidak hanya terbatas kepada buahnya sahaja.

Bahkan ia dapat digunakan untuk membuat perabot rumah, bangunan dan alat-alat kraftangan dan industri. Kayunya juga dapat dimanfaatkan untuk memasak makanan dan digunakan untuk melebur besi dan benda-benda logam yang lain.

Firman Allah SWT:

Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput, untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.

Syed Qutb berkata: Demikianlah kisah makanan dan semuanya adalah ciptaan tangan kudrat yang menciptakan manusia itu sendiri. Manusia tidak boleh mendakwa ada kekuasaan yang lain turut serta dalam penciptaan itu baik di peringkat perkembangannya, biji-bijian dan benih yang ditabur bukan dari ciptaan dan rekaannya.

Mukjizat dalam ciptaan benih-benih di luar kefahaman dan tanggapan manusia. Tanah di hadapannya sama sahaja, tetapi benih dan bijian berlainan dan masing-masing mengeluarkan buahnya di petak bumi yang berdekatan.  Semuanya dijirus dengan air yang sama tetapi dengan kudrat Ilahi telah mempelbagaikan tumbuh-tumbuhan dan buahan itu dan memelihara dalam biji benih yang kecil itu segala sifat-sifat ibunya yang melahirkannya. Kemudian sifat ini dipindahkan kepada anak yang dilahirkannya.

Semua sifat itu tersembunyi daripada pengetahuan manusia. Mereka tidak mengetahui rahsianya dan tidak pula membuat apa-apa keputusan terhadapnya. Mereka tidak pula dirundingi dalam mana-mana urusannya. Inilah kisah makanan yang dikeluarkan dengan kekuasaan Allah SWT.

Terlalu banyak kurniaan Allah SWT dan nikmat-Nya kepada hamba-Nya. Dengan kurniaan tersebut, maka mudahlah meneruskan kehidupan.  Ini menunjukkan kasih sayang dan rahmat Allah kepada manusia, dan sewajarnya dibalas dengan ketaatan dan kepatuhan mutlak kepada-Nya.

https://mutiaraislam.wordpress.com/2010/05/09/jangan-alpa-persiapan-hari-pembalasan/

Hikmah Di Sebalik Musibah

Kerosakan alam lumrahnya mengakibatkan kerugian bagi manusia.

MUTAKHIR ini kita selalu saja mendengar berita tentang musibah (bencana) yang berlaku di serata dunia. Alam seolah-olah begitu murka dengan keserakahan umat manusia yang dengan rakus mengeksploitasinya tanpa henti.

Mengapakah musibah selalu saja menimpa kita? Mungkin kita akan menemukan banyak pendapat mengapa ini terjadi.

Ahli geologi akan mengatakan: “Ini hanya peristiwa alam biasa”. Para dukun pula akan mengatakan: “kejadian-kejadian tersebut adalah penanda pergantian zaman”.

Namun semua yang demikian adalah pendapat saja. Dalam pandangan al-Quran, musibah-musibah adalah merupakan ketentuan (takdir) yang telah digariskan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah:

“Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanyalah kepada Allah orang yang beriman harus bertawakal”. (at-Taubah: 51).

Pada ayat ini, Allah menegaskan bahawa setiap peristiwa yang terjadi semuanya telah digariskan Allah. Dan hanya kepada Allah, kita berlindung.

Mengapakah Allah menimpakan bencana kepada umat-Nya, umat yang mengimani dan menyembah-Nya dalam ajaran yang benar dan hak? Mengapa bukan orang-orang kafir saja ditumpaskan dengan bencana?

Jawabnya adalah kerana di sebalik setiap takdir, pastilah terdapat makna yang tersembunyi. Ini termasuklah dalam beberapa musibah yang melanda kita. Dan bagi yang tertimpa musibah, setidak-tidaknya dapat memetik hikmah atas apa yang menimpa mereka.

Mereka yang lolos dari bencana adalah orang-orang yang beruntung kerana masih sempat ditegur oleh Allah SWT. Mereka yang lolos masih diberi kesempatan oleh Allah untuk memperbaiki kualiti ketakwaan, keimanan dan hidupnya.

Mereka masih sempat meminta keampunan kepada Allah atas segala kesalahan yang mereka lakukan serta berbuat kebajikan sepanjang sisa hidupnya untuk menghapuskan dosa.

Sesungguhnya, bencana menjadi teguran bagi mereka yang selamat, demikian pula bagi mereka yang berada jauh dari tempat kejadian. Orang-orang yang tidak terkena bencana, mendapatkan cubaan dari kesan bencana. Mereka yang selamat (senang) berkewajipan menolong yang kepayahan. Mereka yang hidup berkewajipan menyelenggara-kan jenazah bagi yang meninggal.

Mereka yang masih memiliki banyak harta, berkewajipan memberi makanan dan pakaian serta menolong dengan segenap kemampuan kepada mereka yang kehilangan segalanya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang-siapa melepaskan kesusahan seorang muslim dari kesusahan dunia, Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat; barang siapa memudahkan seorang yang mendapat kesusahan, Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat; dan barang siapa menutupi (aib) seorang muslim, Allah akan menutupi (aibnya) di dunia dan akhirat; dan Allah selalu akan menolong hambanya selama ia menolong saudaranya”. (riwayat Muslim).

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Hak seorang Muslim atas seorang Muslim yang lain ada enam. Di antara para sahabat ada yang bertanya: Apa saja ya Rasulullah? Baginda menjawab: Bila kamu berjumpa dengannya ucapkan salam. Jika ia mengundangmu, penuhilah. Jika ia meminta nasihat kepadamu, nasihatilah. Jika ia bersin dan memuji Allah hendaknya kamu mendoakannya, dan jika ia sakit jenguklah, dan jika ia mati hantarkanlah jenazahnya….” (riwayat Muslim)

Bencana juga adalah teguran Allah kepada orang-orang beriman yang lalai menjalankan perintah-Nya. Kita selalu saja tidak dapat memperbaiki diri, sikap dan perbuatan. Padahal bencana yang terjadi ini adalah akibat dari perbuatan dan helah kita sendiri sebagai bangsa.

Jika alam di negeri kita rosak, siapakah yang merosakkannya? Tentu kita sendiri yang menjadi puncanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Telah nampak kerosakan didarat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (ar-Rum: 41).

Adapun bagi kita semua, rentetan musibah yang terjadi hendaklah menjadi tazkirah (pengingat) bahawa bencana tersebut dapat terjadi ditempat kita jika Allah SWT menghendaki.

Seharusnyalah kita selalu berdoa, bertaqarrub dan beristighfar semoga Allah SWT selalu menganugerahkan keselamatan dan keampunan bagi kita semua.

Peringatan daripada Allah yang berupa bencana menunjukkan Allah masih sayang kepada hamba-hamba-Nya dan menghendaki mereka untuk kembali ke jalan yang diredai-Nya.

Sesungguhnya, kerosakan alam selalu mengakibatkan kerugian bagi warga di sekelilingnya, terutama rakyat kecilnya.

Siapa yang lebih kuat harus melindungi yang lemah. Siapa yang berkemampuan harus menolong yang sedang dalam kesusahan dan siapa yang selamat harus bersedia menolong yang terkena musibah.

Kita semestinya merasa takut jika tidak menolong, padahal kita mampu. Kita semestinya merasa malu kepada Allah jika tidak membantu mereka yang sedang kesusahan, padahal kita sedang banyak memiliki kelonggaran.

Dengan berbuat demikian, maka umat akan bersatu dan kesatuan umat Islam akan semakin kukuh selepas berlalunya bencana. Sedarlah bahawa selalu ada hikmah di balik setiap kejadian yang tampak mengerikan.

Sesungguhnya, bencana merupakan ujian bagi umat Islam.

https://mutiaraislam.wordpress.com/2010/02/16/hikmah-di-sebalik-musibah/