Corak Rasuah Di Malaysia

Jenayah rasuah di Malaysia

Kerajaan Malaysia begitu memandang serius jenayah rasuah dan komited untuk memeranginya. Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib dipetik berkata “Kerajaan menjadikan rasuah musuh nombor satu negara” (Dato’ Sri Najib, 2012). Dalam Syarahan Kelab Komanwel di San Francisco pada 24 September 2013, beliau turut menyebut “I want to make corruption part of Malaysia’s past, not its future.” (Dato’ Sri Najib, 2013). Antara inisiatif utama kerajaan dalam usaha membanteras rasuah adalah menaik taraf Badan Pencegahan Rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Penstrukturan baru dibuat dengan mewujudkan lima pemantau bebas untuk memastikan SPRM melaksanakan fungsinya secara bebas, telus dan profesional.

Kuasa SPRM untuk melaksanakan penguatkuasaan terhadap jenayah rasuah diberi melalui Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009). Kesalahan rasuah yang diperuntukkan melalui akta ini merangkumi perbuatan meminta dan menerima suapan; menawar dan memberi suapan; tuntutan palsu; dan salah guna kedudukan oleh penjawat awam.

Kesalahan meminta dan menerima rasuah

Kesalahan ini boleh dilakukan oleh semua orang sama ada pegawai awam, swasta, ahli perniagaan dan orang biasa.

Kesalahan berlaku apabila seseorang itu meminta atau menerima sebarang bentuk rasuah sebagai ganjaran melakukan sesuatu perkara yang tidak mengikut (atau melanggar) peraturan.

Seramai 3,364 orang individu ditangkap kerana kesalahan ini. Majoriti terdiri daripada bangsa Melayu (2,534 orang atau 75%). Dalam kalangan tangkapan melibatkan warganegara Malaysia (3,292 orang), 62% ialah penjawat awam. Sebahagian besarnya ialah kumpulan sokongan.

Fakta ini tidak menghairankan kerana penjawat awam mempunyai banyak peluang untuk terlibat dengan jenayah rasuah dan majoriti penjawat awam adalah berbangsa Melayu. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, penjawat awam terdiri daripada 77.4% Melayu, China (6.2%), India (4.1%), Bumiputra Sabah (6.6%), Bumiputra Sarawak (4.3%) dan lain-lain bangsa 1.4%. (Sinar Harian Online, 2013).

Kesalahan menawar dan memberi rasuah

Kesalahan berlaku apabila seseorang itu menawarkan atau memberi rasuah bertujuan untuk mendapat faedah bagi dirinya sendiri tanpa mengikut peraturan yang ditetapkan.

Seramai 1,774 orang individu ditangkap kerana kesalahan ini. Hampir semuanya (97%) kakitangan swasta dan orang awam. Paling ramai ditangkap kerana jenayah ini ialah kaum Cina (37%) dan warga asing (32%). Faktor utama ramai kaum Cina terlibat kerana kebanyakannya bekerja di sektor swasta atau bekerja sendiri. Kekerapan berurusan dengan pejabat kerajaan bagi mendapatkan pelbagai bentuk perkhidmatan meningkatkan risiko untuk terjebak dalam kesalahan memberi rasuah. Daripada segi usia pula, 36% tangkapan berumur di bawah 30 tahun dan 29% berumur antara 31 hingga 40 tahun.

Membuat tuntutan palsu

Kesalahan berlaku apabila seseorang itu mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi maklumat tidak benar (palsu). Tuntutan palsu yang dikemukakan kepada pejabat (contoh kerajaan atau swasta) bertujuan bagi mendapat keuntungan peribadi.

Berdasarkan jumlah tangkapan, kecenderungan melakukan kesalahan ini adalah sama antara kakitangan sektor kerajaan (52%) dan swasta (48%). Fakta ini menunjukkan sektor kerajaan dan swasta mempunyai peluang yang sama banyak untuk terjebak dalam perbuatan tuntutan palsu.

Menggunakan jawatan awam untuk mendapatkan suapan

Kesalahan ini juga dikenali sebagai salah guna kedudukan oleh penjawat awam. Seperti namanya, ia hanya melibatkan penjawat awam sahaja.

Salah guna kedudukan bermaksud, seseorang yang mempunyai kedudukan membuat sesuatu keputusan atau mengambil tindakan yang dapat menguntungkan dirinya atau keluarganya.

Contohnya, Pengarah Bahagian Pentadbiran Jabatan A (Kerajaan) meluluskan kontrak penyelenggaraan kepada syarikat yang dimiliki adiknya. Tindakan beliau itu menguntungkan syarikat milik keluarganya.

Kesalahan ini merupakan yang paling sukar untuk dibuktikan dalam siasatan. Dalam tempoh 10 tahun, hanya 77 orang individu ditangkap kerana kesalahan ini. Daripada jumlah itu, hampir semua berbangsa Melayu dan Bumiputra Sabah/Sarawak. Hanya seorang sahaja berbangsa Cina. Majoritinya berumur 41 tahun ke atas.

Rasuah oleh warga asing

Dalam 10 tahun, 657 orang warga asing ditangkap. Seperti yang disebut sebelum ini, kebanyakan (88%) warga asing ditangkap kerana kesalahan menawar dan memberi suapan. Berdasarkan rekod SPRM, paling ramai adalah dari negara Indonesia (202 orang atau 31%), Bangladesh (103 orang atau 16%), Pakistan (82 orang atau 12%), Myanmar (62 orang atau 9%) dan India (39 orang atau 6%).

Jumlah rasuah terlibat

Nilai rasuah berbeza mengikut jenis kes dan siapa yang terlibat. Apa yang menarik, berdasarkan rekod SPRM, terdapat segelintir pelaku rasuah ‘malang’ yang ditangkap kerana memberi atau menerima rasuah dalam jumlah yang amat kecil. Dalam kes rasuah, walau sekecil mana pun jumlah rasuah terlibat, akibatnya sama.

Bagi kesalahan meminta dan menerima rasuah, nilai rasuah terlibat serendah RM10 dan paling tinggi USD 20 juta. Dari 2003 sehingga 2012, 35 orang individu ditangkap kerana menerima suapan kurang daripada RM50.

Contoh: Pada 9 Disember 2011, seorang koperal polis ditangkap kerana menerima suapan RM10.00 sebagai balasan tidak melakukan pemeriksaan terhadap barangan seludup dan bercukai yang dibawa masuk ke negara ini oleh pelawat Thailand.

Manakala bagi kesalahan menawar dan memberi suapan, nilai paling rendah ialah RM3 sehingga RM1 juta. Seramai 431 orang individu ditangkap kerana memberi rasuah kurang daripada RM50. Daripada jumlah itu, 44 ditangkap kerana memberi rasuah kurang RM10. Adakah berbaloi ditangkap kerana jumlah sekecil itu?

Contoh 1: Pada 8 Oktober 2010, seorang pesalah trafik ditangkap polis kerana cuba memberi rasuah RM3.00 bagi mengelakkan di saman.

Contoh 2: Pada 2 Mei 2008, seorang individu ditangkap kerana cuba memberi rasuah kepada seorang anggota polis sebanyak RM7.00 dengan harapan tidak di saman kerana memandu dalam keadaan mabuk serta memiliki lesen memandu yang telah tamat tempoh.

Kesimpulan

Memerangi rasuah tidak hanya terletak di atas bahu SPRM sahaja. Masyarakat sendiri dapat menentukan tahap rasuah di negara kita. Punca utama jenayah ini berlaku akibat ketiadaan integriti dalam diri seseorang individu. Sekiranya anda menganggap negara kita mempunyai masalah rasuah yang serius, sebenarnya anda mempunyai peranan untuk menjadikan negara kita lebih baik. Caranya mudah, jangan beri dan jangan terima rasuah. Sebagai rakyat Malaysia yang bermimpikan negara yang bebas rasuah, laporkan perlakuan rasuah yang berlaku kepada SPRM. Tindakan ‘tidak mahu jaga tepi kain orang’ tidak akan membantu mengurangkan jenayah rasuah. Bukan sahaja lapor, tetapi bantu SPRM dalam siasatan dan pendakwaan. Hentikan kritikan tidak membina kepada SPRM. Buktikan dengan perbuatan bahawa anda benar-benar mahu membanteras rasuah. Anda boleh lakukan perubahan, PERANGI rasuah!…

Artikel dipetik daripada Trends & Patterns Rasuah Di Malaysia, Buletin SPRM, 1/2014 halaman 10-11

https://wordpress.com/read/blogs/101537630/posts/188#comments

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Create your website with WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: